Monday, January 23, 2012

Hukum Mempelajari Ilmu Akidah




Ilmu Tauhid adalah asas atau tunjang dalam agama Islam jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti fiqh, tasawuf, akhlak dan sebagainya. Ilmu tauhid ini sangat penting kerana ia mengajar manusia untuk mengenali Allah dengan cara lebih mendalam, ilmu ini juga mampu untuk menambah tahap keyakinan seseorang terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah. Kalaulah seseorang itu tidak mempelajari ilmu tauhid bagaimana dia hendak mengenali dan beriman kepada Allah.

Berdasarkan keterangan di atas ini, hukum mempelajari ilmu tauhid adalah fardu ’ain atau wajib bagi setiap mukallaf (orang yang akil dan baliqh), lelaki dan perempuan. Mempelajari ilmu tauhid adalah wajib atau satu keharusan bagi setiap orang yang memiliki akal sehat dan telah memasuki umur dewasa sebelum ia mempelajari ilmu-ilmu agama lainnya. Karena ilmu ini bersangkutan dengan keimanan dan  keberadaan Allah dan para rasul rasulNya.



Wednesday, January 18, 2012

Aliran Mazhab Akidah


Selepas zaman Rasulullah dan zaman para sahabat ilmu tauhid ini berkembang dengan pesat dan telah dibahaskan oleh beberapa tokoh ilmuan Islam dengan sedetailnya. Dari ini, timbullah beberapa aliran mazhab dalam ilmu tauhid seperti Qadariah, Jabariah, Murjiah, Muktazilah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mazhab Qadariah

Qadariah adalah sebuah mazhab yang dilahirkan di Basrah berikutan timbulnya perbahasan hangat orang Islam mengenai dengan masalah qadha dan qadar Allah. Asal nama mazhab ini diambil dari perkataan Al-Qadar yang membawa maksud sifat qudrat.  Mereka berpendapat segala kerja baik dan buruk manusia itu terjadi dengan kehendak dan kuasa diri sendiri dan bukan kerana Allah, Segala baik dan buruk manusia itu telah ditetapkan oleh Allah. Pengasas mazhab ini bernama Ma’bad Ibnu Khalid Al-Juhani dan Ghailan Al-Dimasyqi. Diantara pendapat mereka ialah seperti :
  1. Mereka mengatakan manusia itu bebas untuk melakukan segalanya menurut apa yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri.

  2. Mereka percaya bahawa Allah tidak menentukan apa-apa takdir kepada manusia.
Mazhab Jabariah

Jabariah muncul di Kufah pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah, pengasas mazhab ini ialah Jaham Ibnu Safuan yang berasal dari Khurasan. Asal Jabariah ini diambil dari perkataan Al-Jabr atau Jabrun yang membawa maksud digagahi atau tergagah. Mereka berpendapat bahawa manusia dan makhluk itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata atau sepenuhnya. Mereka juga mengatakan tidak ada sedikit pun bagi manusia ikhtiar dan tidak boleh memilih sama sekali. Segala perbuatan baik dan buruk manusia itu bukan atas dasar kehendak diri sendiri dan itu semua adalah dari kehendak Allah. Diantara pendapat mazhab ini ialah seperti :
  1. Manusia dikuasai sepenuhnya oleh Allah. 

  2. Manusia itu tidak mempunyai apa-apa usaha, pilihan atau ikhtiar dalam melakukan semua perbuatan. 

  3. Manusia diibaratkan seperti bulu dan kapas yang boleh ditiup angin ke mana sahaja. 

  4. Syurga dan neraka tidak kekal, kerana yang kekal hanya zat Allah sahaja. 

  5. Al-Quran itu adalah baru. 

  6. Allah hanya mempunyai zat dan tidak mempunyai sifat. 

  7. Allah tidak boleh dilihat pada hari akhirat nanti.
Mazhab Murjiah

Murjiah berasal dari bekas-bekas ahli politik, mereka mengambil sikap berkecuali di dalam masalah perselisihan umat Islam ketika itu mengenai perebutan jawatan khalifah diantara puak Khawarij dan Syiah. Asal perkataan murjiah ini diambil dari Arja’ yang membawa maksud menangguhkan. Mereka berpendapat iman itu adalah mengenal Allah dan rasulNya. Sesiapa yang mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka sudah cukup dikira sebagai beriman.

Ada juga dikalangan mereka yang melampaui batas dengan mengatakan bahawa orang yang mengaku secara terang-terangan dan menyembah berhala secara terang-terangan dan mati dalam keadaan seperti ini dikira beriman, kerana iman itu adalah iktiqad di hati sahaja.

Mazhab Muktazilah

Muktazilah adalah satu mazhab akidah yang berpegang kuat kepada dasar kebebasan berfikir dan cuba melepaskan umat Islam dari belenggu taqlik buta. Muktazilah diambil dari perkataan I’tazala yang membawa maksud mengasingkan diri dari golongan pada masa itu. Manakala dari segi istilah ia bermaksud golongan yang lahir dalam Islam pada awal kurun kedua Hijrah. Pengasas mazhab ini bernama Wasil Ibnu Ata’ yang mengasingkan diri daripada gurunya Hasan Al-Basri. Ketika itu Wasil keluar dari halaqah gurunya kerana tidak bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Hasan Al-Basri tentang hukum orang melakukan dosa besar. Beliau berpendapat orang yang melakukan dosa besar itu tidak mukmin dan tidak kafir, bahkan mereka berada di satu tempat di antara dua tempat, iaitu Al-Manzilah Baina Al-Manzilatain. Antara fahaman yang dibawa oleh mereka ialah :
  1. Allah tidak bersifat dengan mana-mana sifat bahkan segalanya dengan zat Allah sahaja. 

  2. Allah itu bersifat Adil dan mesti membalas baik kepada orang yang membuat baik demikian juga sebaliknya.

  3. Manusia bebas melakukan sesuatu menurut kehendak mereka.

  4. Allah wajib membuat sesuatu yang baik dan yang lebih baik.

  5. Al-Quran itu baru dan bukan qadim. 

  6. Allah tidak dapat dilihat oleh manusia baik di dunia atau pun di akhirat.
Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mengikuti perjalanan sunnah Rasulullah dan orang ramai. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berbeza dan menentang semua mazhab yang telah lahir sebelumnya. Golongan ini diketuai oleh dua orang tokoh ilmu tauhid yang bernama Abu Hassan As-Syaari di Basrah dan Abu Mansor Maturidi di Samarkhandi. Ada lapan kelompok yang tergolong dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti :
  1. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang akidah dan kerasulan. Mereka juga mengikut ulamak mutakallimin Safatiyyah, iaitu golongan yang tidak mentasybihkan Allah, ulamak ini juga berpegang bahawa Allah mempunyai sifat-sifat tertentu dan sifat-sifat itu tidak menyerupai sifat-sifat makhluk. 

  2. Orang Islam yang menjadi tokoh dalam fikah dan mengikut jalan safatiyyah dari sudut akidah dan pegangan mereka. Mereka terdiri daripada pengasas empat mazhab, iaitu Imam Malik, Imam Hambali, Imam Hanafi dan Imam Syafie serta semua pengikut mereka.

  3. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tarmizi, Imam Abu Daud dan sebagainya.

  4. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang adab, nahu dan saraf atau dikenali sebagai kumpulan ahli bahasa.

  5. Kumpulan orang Islamyang mempunyai ilmu dalam bidang bacaan qaraat Al-Quran dan tafsirnya, mereka ini juga dikenali sebagai ahli qiraat dan ahli tafsir.

  6. Orang Islam yang mempunyai ilmu tasawuf, mereka juga dikenali sebagai orang yang zahud atau sufi.

  7. Orang Islam yang berjihad atau berjuang untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan. 

  8. Orang Islam yang tinggal di negeri, tempat dan mengikti segala syiar yang terdapat dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mereka telah memperbetulkan segala fahaman yang salah berkaitan dengan ilmu tauhid yang diberikan oleh golongan terdahulu. Diantara pendapat mereka ialah :
  1. Allah telah menjadikan perbuatan manusia yang berbentuk usaha dan ikhtiar sendiri.  Manusia bebas menggunakan segalanya sama ada hendak membuat sesuatu atau tidak.  Manusia hendaklah mematuhi segala hukum yang telah diwajibkan ke atasnya. 

  2. Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan yang lain baginya, seperti kuasa, berkemahuan, berpengetahuan dan sebagainya. Sifat Allah berada pada zat Allah sejak azali lagi dengan sifat kuasa itulah Dia mengada atau mentiadakan segala yang mumkin. Manakala kemahuan Allah pula menentukan sesuatu perkara yang mumkin. 

  3. Al-Quran adalah kalam Allah yang qadim dan azali (bukan baru) kerana segala isi dan maksud Al-Quran itu ialah kalam Allah yang qadim. 

  4. Orang mukmin dapat melihat Allah di akhirat nanti. 

  5. Orang mukmin yang melakukan dosa besar itu boleh gugur imannya dan mereka masih dianggap mukmin. Jenazah mereka boleh disembahyangkan dan mereka dimasukkan di dalam neraka dahulu sehingga bersih dari segala dosa yang telah dilakukan, kemudian mereka dimasukkan ke dalam syurga.


Monday, January 16, 2012

Majlis Fatwa Kebangsaan Haramkan Bank Susu Ibu



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa cadangan penubuhan bank susu ibu adalah haram.

Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” kata kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dan dipetik akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu mengakui bahawa tabung susu itu diperlukan bagi bayi pra-matang yang memerlukan rawatan dan juga bayi yang ibunya kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi.

Bagaimanapun muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Bagaimanapun menurut laporan dalam Berita Harian itu kecualian diberikan  dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan.

Muzakarah juga memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

New Comment

Followers

 
Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template Vector by DaPino