PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, February 28, 2010

Dahsyat Betul Azab Kubur


Salam mesra kepada semua, sedikit tazkirah ringkas dalam blog saya ini untuk memperingati kepada diri saya dan semua akan azab kubur yang amat pedih dan dahsyat. Suatu azab yang cukup hebat kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepada-Nya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepada-Nya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepada-Nya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.


Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.

Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)

14 comments :

  1. saya tak dapat membayangkan bagaimana kiranya sekiranya saya ditakdirkan mati dan ditunjukkan pula gambaran yang tidak enak bila di alam kubur nanti..sungguh menakutkan..hadith rasulullah itu sdh cukup menggerunkan sesiapa yang yang menghayatinya..

    ya betul tu ustaz,tidak ada jalan pintas untuk ke syurga allah melaikan wajib mematuhi segala perintahNya.
    ***********************************
    hmm..ustaz,saya fikir saya ada keliru tentang masalah agama.sudi kiranya ustaz menjawab soalan saya ini jika ustaz mengetahui dan boleh menjelaskannya..

    Jika seseorang gadis dirogol oleh seorang lelaki..secara kebetulannya ada bukti kamera cctv yang si wanita itu dirogol oleh lelaki tersebut dengan paksaan,dan pada masa yang sama juga telah dibuktikan dari segi kajian D.N.A iaitu si lelaki yang tertuduh itu sememangnya merogol si wanita tersebut.Dari segi undang-undang Islam bolehkah dijatuhkan hukuman terhadap si tertuduh tersebut jika tiada 4orang saksi?

    ReplyDelete
  2. salam Shahbandar terima kasih atas persoalan anda Jawapannya ialah.

    Mengikut pendapat setengah ulamak moden, apabila terbukti dengan CCTV atau video rakaman. Maka bawa video tersebut kepada 3 orang saksi (sepengetahuan saya kalau silap ana minta maaf)yang adil dan tidak fasik (pembohong)dan persaksikan video tersebut dan sahkan betul2 bahawa hasyafah (kepala kemaluan lelaki tersebut masuk ke faraj mangsa, maka boleh disabitkan hukuman zina menurut Islam.

    Wanita atau mangsa tersebut terlepas dari hukuman sebab bukan dengan kerelaannya. Tetapi beza dengan lelaki, kalau lelaki dipakasa oleh wanita merogol atau dirogol oleh wanita, lelaki itu tetap kena hukuman zina. Sebab lelaki tersebut boleh mengelak dan itu dari keinginannya.

    Ini saja penjelasan secara ringkas.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum ustaz,boleh tak kita percaya dgn perubatan yg menggunakan prewang(jin)..bila dia nak mula mengubat jin akan masuk kebadan si pengamal ni tadi...boleh tak ustaz(niat dia nak tolong org sbb dia tak minta apa2 pun sbg ganjaran.tapi disini saya ada sikit ragu2 dgn amalannya.
    dan dia juga boleh melihat mahkluk halus serta boleh membaca perangai seseorg.
    tolong saya ustaz.

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Terima kasih kepada sarif, bagi pendapat saya lebih baik elakkan dari menggunakan jin, kerana cara perubahan Islam banyak lagi dan hanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran, kerana Al-Quran itu adalah syifa kepada manusia. Lebih baik kita mengelak dari perkara yang diragukan, kerana itu lebih baik.

    Perubahan dukun atau pawang ini kena tengok, ayat-ayat yang digunakan seru ke tidak menyeru atau dicampur adukkan ayat Al-Quran dan ayat-ayat pujaan lain. Kalau camtu lebih baik tak payah, kerana itu adalah syirik dan sesat.

    Nasihat ana carilah bomoh yang menggunakan ayat Al-Quran kerana itulah yang benar, ayat Al-Quran jika diamalkan dengan yakin, jika di izinkan Allah insyaallah dapat menyembuh penyakit manusia.

    ReplyDelete
  5. As Salam Ustaz. terima kasih atas artikel yg baik ini.Sebagai umat yang mengakui dirinya muslim memang wajib mempercayai alam ghaib ini, sebagai tanda keimanan kita pd Allah s.w.t.Walau bagaimanapun ustaz saya ada sedikit kemuskilan ttg azab dan alam kubur ini,dimana keadaan manusia(Mayat)ketika itu adakah mayat bersama jasadnya atau rohnya sahaja semasa di alam barzakh dan apakah amalan2 baik yg boleh kita amalkan utk menghindari dri azab kubur ini. Minta ustaz tlong jelaskan.Tq Salam

    ReplyDelete
  6. salam ustaz .. apakah tarian shuffle itu salah dari segi islam ?

    ReplyDelete
  7. Salam,

    Sila lihat link di bawah ini untuk jawapan tentang tarian shuffle

    http://ustaznoramin.blogspot.com/2010/02/pandangan-ustaz-terhadap-tarian-shuffle.html

    ReplyDelete
  8. salam ustaz..sy mengucapkan trima ksh untuk blog ni..bnyk yang sy x tau tapi alhamdulillah dpt sedikit sebnyak ilmu dari blog ni..saya jgk harap ustaz dpt menjawb petanyaan sy, sekiranya sy mempunyai masalah mengenai agama @ perkara2 lain..

    ReplyDelete
  9. Salam,

    Nadiah Insyaallah kalau saya ada masa saya akan jawab secepat yang mungkin, doakan saya sentiasa istiqamah dalam penyebaran dakwah ini.

    ReplyDelete
  10. salam ustaz..
    kawan saya tanya saya, haidnya telah kering tetapi dia belum mandi hadas lagi. sebelum mandi hadas dia bersama dengan suaminya. apakah hukum dia bersama dengan suaminya sebelum mandi hadas?

    ReplyDelete
  11. Salam ustaz mohon utk copy artikel ini sebagai kongsian bersama

    ReplyDelete
  12. Ambillah saya benarkan tetapi masukkan link asalnya ye

    ReplyDelete
  13. Salam Ustat,

    Saya sangat percaya dgn sistem keadilan Allah.... diakhirat kelak kita diadili, dimana semua anggota badan kita menjadi saksi dan kita diperlihatkan amalan2 kita semasa hidup di dunia selepas itu ditimbang baik dan buruk.... begitu teliti Allah sebelumk menjatuhkan hukuman. Sistem keadilan Allah ini dalam perbincaraan waktu itu wajib dijadikan petunjuk oleh manusia didunia ini sebelum menjatuhkan hukuman kepada suspek..... bukan seperti sistem ISA, tangkap tanpa bicara suspek terus jatuhkan hukuman.....

    Malangnya kepercayaan adanya siksa kubur juga sama dengan sistem ISA, belum dibicarakan dah kena siksa (hukum) dlm kubur, selepas itu dibangkitkan semula baru nak dibicarakan untuk menentuhkan hukuman, walhal dah kena siksa pun dlm kubur.... ibarat tangkap, siksa kemudian baru nak diadili untuk menuntuhkan salah atau tidak.... ???

    Apa komen ustat ?

    Syuk

    ReplyDelete
  14. Salam..ustaz,saya nak tanya bolehkah buat kuburan seperti yang gambar di atas?..Ayah saya baru meninggalkan dan kami sekeluarga merancang utk membuat binaan di atas kuburannya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG