PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, August 13, 2010

Hukum, Sejarah, Hikmah & Rakaat Solat Sunat Tarawih


Maksud Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu kali istirehat. Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.

Hukum Solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat Sunat Tarawih.

Kelebihan yang paling besar dikurniakan Allah swt kepada orang yang mengerjakan solat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:

“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sejarah Solat Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang berada di masjid tersebut. Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. Pada malam ketiga lebih ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. Pada keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut. Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. Peristiwa ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim)

Rakaat Solat Tarawih

Ulamak dari empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk dengan witir. Hujah ini berdasarkan kepada :

  1. Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.

  2. Hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat. ( 20 rakaat Tarawih dan 3 Rakaat Witir)

Pendapat dari ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah :

  1. Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain witir.Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah."

  2. Imam Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa : “Solat Tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para sahabat."

  3. Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam Ahmad memilih 20 rakaat selain witir."

  4. Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa Solat Tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima tarwihat (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat rakaat dengan terdiri dua salam."

Jelas daripada semua pendapat ulamak di atas mengatakan bahawa Solat Tarawih mengandungi 20 rakaat. Hal ini tidak menjadi masalah kalau ada orang yang tidak mampu mengerjakan 20 hanya mengerjakan 8 rakaat. Dalam hal ini juga tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu berbalah atas alasan Rasulullah tidak melaksanakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid. Ini semua hanya masalah furuk sahaja dan tiada dalil yang mengaharamkan atau mewajibkan perbuatan tersebut. Bergantung kepada kemampuan semua orang, jika mampu laksanakan 20 rakaat, maka lakukanlah 20 rakaat, kalau tidak mampu cukup hanya dengan 8 rakaat sahaja.

8 comments :

  1. Asalamualaikum Ustaz,

    Terima Kasih ustaz atas maklumat yang sungguh berguna ini. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa ustaz

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Terima kasih atas komen anda, saya juga doakan anda diberikan nikmat kesihatan dan dimudahkan segala urusan.

    ReplyDelete
  3. terima kasih juga ustaz,saya baru tahu sejarah solat terawih..banyak maklumat di blog ustaz

    ReplyDelete
  4. Salam ustad,

    Sekarang ramai yang sembayam terawih,kebanyakan buat 8 rakaat.Tapi iman buat 20 rakaat.Tapi rata-rata masjid atau surau bila cukup 8 rakaat dari 10 saf tingal 3 saf yang meneruskan hingga 20.

    Kebayakkan bila cukup 8 rakaat makmum bagun dan terus turun surau .Bagaimana cara lebih beradat masa nak keluar 8 rakaat dan tidak mahu meneruskan ke 20 rakaat.Bila buat 8 rakaat masa mana nak buat witir

    ReplyDelete
  5. Salam,

    Masalah ini ikut kemampuan orang tersebut, kalau dia mampu lebih baik 20 rakaat, kalau tak mampu boleh lapan sahaja. Witir nih boleh buat bila sahaja, setelah 8 rakaat pun boleh atau esok pagi buat qiyamullai pun boleh. Solat witir ini adalah solat penutup malam itu.

    ReplyDelete
  6. Salam ustaz,
    Apakah hukumnya jika solat terawih dikerjakan seperti terburu2. sbg cth 8 rakaat + 3 witir selesai dalam masa 15 - 20 min.

    ReplyDelete
  7. Salam,

    Dalam solat ada adab dia dan ada caranya, lagipun nama solat tarawih itu ialah berehat2 atau solat berehat2. Mungkin solat itu sah tetapi tiada pahala sebab solat itu terburu-buru. Kalau malang solat itu tak sah sebab solat itu tidak mempunyai tomakninah dan adabnya.

    ReplyDelete
  8. Salam. Terima kasih atas penjelasan ustaz di atas. Dalam mengejar imam yg express solatnya, adakah sempurna solat saya jika
    1. menumpukan kpd bacaan fatihah sendri ketika imam membaca fatihah krn setelah itu beliau terus membaca surah al-ikhlas.
    2. hanya sempat membaca sekali bacaan ketika rukuk dan sujud.
    3. tidak membaca doa ketika duduk ant 2 sujud.
    4. hanya sempat membaca tasyahud awal ketika duduk tahiyyat akhir.
    Situasi keduanya, jemaah juga tdk berusaha utk merapatkan saf dan ada ketika terdpt saf yg kosong di tgh slps 8 rakaat. Keadaan ini berlaku setiap mlm. Adakah patut saya sembhyang sendiri saja di rumah? Terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG