PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, August 27, 2010

Peristiwa Nuzul Al-Quran


Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Walau bagaimanapun, wujud percanggahan pendapat dikalangan para ulamak, bila berlakunya tarikh Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran :

  1. Kebanyakan ulama berpendapat, al-Quran diturunkan pada malam al-qadar. Ini berpandukan kepada surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5. yang bermaksud: Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan al-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

  2. Sebahagian ulama pula mengatakan al-Quran turun pada bulan Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Baqarah, ayat 185. Allah s.w.t. berfirman: “Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)”.

  3. Sebahagian ulama lain pula berpendapat lailatul qadar adalah pada 17 Ramadan. Ini terkandung dalam surah al-Dukhan, ayat 3, Allah s.w.t. berfirman: Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Berdasarkan kepada surah tersebut, malam yang diberkati ialah malam al-Quran pertama kali diturunkan. Kebanyakannya menganggap ia jatuh pada tanggal 17 Ramadan.

Apabila dibahaskan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa ayat ini menerangkan berlakunya Perang Badar iaitu peperangan pertama bagi umat Islam pada 17 Ramadan. Hari al-furqan. Pada hari itu tentera Islam seramai 313 orang mencapai kemenangan dan dapat mengalahkan tentera kafir seramai 1,000 orang pada hari pertempuran peperangan Badar yang berlaku pada Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Cara Penurunan Al-Quran


Al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi diturunkan secara berperingkat-peringkat, seperti mana yang terkandung dalam surah al-Furqan, ayat 32, Allah s.w.t. berfirman: Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu."

Nabi Muhammad s.a.w. hidup di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Jadi bagaimana pula al-Quran boleh diturunkan sekali gus 30 juzuk? Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. semasa hidup dan selepas kewafatannya barulah al-Quran lengkap. Allah s.w.t. turunkan al-Quran (lengkap 30 juzuk) pertama kali dari Luh Mahfuz dan kemudian ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam bulan Ramadan. Setelah melalui kedua-dua peringkat ini, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun.

Martabat Penurunan Al-Quran

Martabat penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. terkandung dalam empat surah iaitu :

  1. al-Alaq iaitu melalui surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.

  2. Al-Qalam ialah mengingatkan menerusi ayat satu yang bermaksud: “Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis”. Allah s.w.t. menunjukkan betapa pentingnya pena dalam menyebarkan ilmu. Untuk mengukuhkan ilmu, manusia digalakkan belajar menulis. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat disuruh menulis di atas pelepah kurma, kulit kambing yang kering dan batu supaya ilmu yang diperoleh tidak hilang.

  3. Al-Muzammil iaitu ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa dengan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu pertama kepadanya, Baginda amat takut hingga menggigil seluruh tubuh badannya. Baginda meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya dengan kain yang tebal. Pada masa ini, Allah s.w.t. berfirman: “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya) , (iaitu) separuh daripada waktu malam atau kurangilah daripada separuh itu sedikit, atau lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil”. (al-Muzamil: 1-4)

  4. Al-Muddathir iaitu Allah s.w.t. turunkan perintahnya melalui surah al-Muddathir, ayat 1 hingga 2, yang bermaksud: Hai orang yang berkemul (berselimut) , bangunlah, lalu berilah peringatan! Ertinya, dengan pengukuhan ilmu dan kemantapan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t., berikanlah peringatan kepada orang yang masih belum mengetahui. Kita dapat melihat bagaimana Baginda menghadapi banyak dugaan dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam di Mekah,”

Penurunan empat surah di atas, menunjukkan bahawa setelah mempunyai ilmu, perkara yang paling penting adalah mempunyai hubungan yang intim dengan Allah s.w.t. sebelum terjun berdakwah ke dalam masyarakat. Allah s.w.t. perintahkan bermunajat dan bangun solat pada waktu malam untuk menguatkan mental dan rohani iaitu ciri-ciri penting yang perlu ada pada pendakwah. Sejak turunnya ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meninggalkan qiamullail.

3 comments :

  1. terima kasih ustaz.
    sy sentiasa mengikuti ilmu yg ustaz paparkan disini sbg panduan.

    ReplyDelete
  2. A'kum..keliru..mana yang betul 17 ramadhan atau 24 ramadhn penurunan Al-Quran?..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG