PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Wednesday, September 22, 2010

Dunia Jambatan Hidup Abadi Di Akhirat


Setiap makhluk yang bernyawa pasti menemui kematian. Demikianlah sunnatullah yang ditetapkan oleh Allah SWT yang menghiasi pentas kehidupan dunia ini. Namun, ada hikmat tersembunyi di sebalik proses kehidupan dan kematian.

Allah SWT menegaskan, setiap makhluk yang menghuni bumi ini akan binasa apabila tiba masanya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Semua yang ada di bumi akan binasa. Zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan akan tetap kekal.” (Ar-Rahman : 26-27)

Apa yang jelas daripada wujudnya kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara, begitu juga kehidupan manusia di dunia ini.

Oleh itu, Islam menjelaskan kepada umatnya mengenai penciptaan dan kejadian manusia berdasarkan soalan; dari manakah kita datang? Untuk apa kita datang? Ke mana pula kita akan pergi? Jawapan itu ialah daripada Allah SWT kita datang, untuk Allah SWT kita hidup dan kepada Allah SWT jualah kita akan kembali. Dari sini, persepsi Muslim amat jelas matlamat sebenar kehidupan dan kematian.

Dengan kata lain, kehidupan di dunia ini menurut kaca mata seorang yang beriman kepada Allah SWT adalah jambatan menuju ke alam akhirat atau seumpama kebun akhirat, di mana seseorang akan menuai hasilnya pada hari akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kekal dan tidak wujud lagi istilah kematian dalam kamus kehidupan akhirat.

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka masuk ke neraka, didatangkanlah maut itu dan diletakkan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih. Selepas itu terdengarlah seruan: Wahai penduduk syurga! Tidak akan terjadi lagi kematian. Wahai penghuni neraka! Tidak akan ada lagi kematian. Dengan demikian, semakin bergembira dan bersukacitalah ahli syurga dan sebaliknya semakin menderita dan sengsaralah ahli neraka.” (Riwayat Bukhari)

Ada umat Islam yang gerun apabila disebut perkataan mati. Ada pula yang tidak berasa apa-apa, malah biasa saja, biarpun berdepan dengan kematian rakannya. Sebahagian lain pula tidak beriman kepada hari akhirat menganggap apa yang berlaku tidak lain dimuntahkan oleh rahim dan kemudian ditelan oleh bumi, sebagaimana kepercayaan golongan Dahriyyin yang dirakamkan Allah SWT dalam firmanNya bermaksud:
“Dan mereka berkata; Tiadalah hidup lain, selain hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran masa. Padahal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu. Mereka hanya menurut sangkaan semata-mata.” (Al-Jaatsiyah : 24)

Bagi orang beriman dan meyakini hari akhirat, mereka percaya kematian yang bakal ditempuhi nanti bukan noktah. Sebaliknya, perjalanan hidup mereka masih jauh. Mereka berada di alam barzakh dahulu sebelum berpindah ke alam akhirat yang kekal. Orang beriman sebenarnya tidak sabar-sabar menghuni syurga yang penuh kenikmatan sebagaimana termaktub dalam firman Allah SWT bermaksud:
“Dan mereka mengucapkan; segala puji-pujian bagi Allah SWT yang memenuhi janji-Nya kepada kami dan menjadikan kami mewarisi bumi syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana saja kami sukai. Pemberian sedemikian ialah yang sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Az-zumar : 74)

Selanjutnya, ingatan orang Mukmin tetap segar dan berkumandang dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Sesungguhnya negeri akhirat ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Al-Ankabut : 64)

Lanjutan daripada itu, antara pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ini ialah mengingati mati. Amalan itu bukan bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan, lebih-lebih lagi Islam menyeru umatnya supaya membangunkan akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan kebaikan itu meliputi kesemuanya.

Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT sebenarnya dituntut Islam. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada biji benih kurma, maka hendaklah dia menanamkannya.” (Riwayat Ahmad).

Sehubungan itu, Baginda SAW memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dianggap Rasulullah SAW sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persedian untuk mengadap Allah SWT selepas mati. Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah SWT .” (Riwayat Tirmizi).

7 comments :

  1. assalamualaikum,
    menarik tulisan ustaz ni. jzkk. nak minta izin copy ye ustaz.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Ambillah, kalau boleh masukkan link rujukan asalnya.

    ReplyDelete
  3. time kasih artikel di atas ustaz. semmgnya org paling bijak ialah mengingati mati.

    Pembunuhan ke atas orang Islam. MasyaAllah...

    ReplyDelete
  4. salam ustaz,
    apa hukum saya menyediakan makanan untuk majlis open house raya yang majlis itu bercampur gaul lelaki perempuan dan ada muzik2 lagu raya? niat saya hanya untuk bagi makan kat orang yg datang je.. boleh ke?

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum ustad..saya mau bertanya , apabila kita mati berarti yang mati adalah jasad kita sedangkan roh kita tetap hidup, yang saya tanyakan apakah roh kita tersebut bisa juga berfikit seperti di saat kita hdup di dunia ??

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Buat majlis raya adalah harus, tetapi apabila bercampur benda yang haram jadi haramlah. Kalau lagu raya ni kena tengok yang macam mana, kalau nasyid tak apalah. kalau lagu raya yang bukan nasyid kena tengok dulu sebab ada yang haram. Islam tidak melarang hiburan, tetapi hiburan itu kena ikut Islam. Benda tu semua boleh di asingkan oleh tuan rumah. Asingkan tempat hidangan lelaki dan perempuan. asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan.

    Jawapan kepada Andika :

    Roh dan perkara qaib ini adalah urusan Allah. Itu saya tak pasti. Roh yang dikeluarkan dari jasadnya akan mengadap Allah.

    ReplyDelete
  7. Salam ustaz. Salam perkenalan. Pertama kali saya jejakkan sepasang mata saya di dalam blog ustaz, saya terus suka.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG