PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, September 17, 2010

Islam Cintakan Keamanan dan Persaudaraan


Sesungguhnya Islam, agama yang amat mementingkan keamanan dan perpaduan. Perpaduanlah yang akan membuahkan keamanan. Islam tidak hanya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata, tetapi lebih luas daripada itu, tuntutannya mencakupi juga, hubungan baik sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Hal ini ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya di dalam surah Ali-Imran ayat 112 :

"Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali Allah (Agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah dan sesudah para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas".

Untuk membina perpaduan dan keamanan, Allah memerintahkan kita umat Islam agar benar-benar bersaudara antara satu sama lain. Asas persaudaraan dalam Islam, bukanlah sekadar hubungan kekeluargaan, atau suku sakat sesuatu bangsa sahaja, bahkan ia merupakan satu ikatan akidah yang cukup kukuh dan utuh, Firman Allah dalam surah a-Hujurat ayat 10 :

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat".

Di samping ayat tersebut, terdapat juga beberapa ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang hak yang perlu dipelihara oleh seorang Muslim terhadap saudara seagama. Bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara sahaja, malah merangkumi segala aspek dalam kehidupan ini.

Sukalah ditegaskan bahawa, syariat Islam menuntut kita agar bersatu padu, saling bantu membantu dan bekerjasama dalam melaksanakan perkara-perkara yang membawa kebaikan bersama di atas muka bumi ini dengan matlamat mencari keredhaan Allah SWT. Jika kita mengkaji sejarah, dalam aspek pembinaan masyarakat Islam, kita dapat melihat dengan jelas bagimana baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW telah berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh yang singkat dan menggabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza di bawah panji-panji Islam. Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah penyatuan kehidupan manusia, di mana orang-orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba. Mereka sanggup berkorban harta, jiwa dan raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, sehingga benar-benar menusuk dalam sanubari para sahabat. Antaranya seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan Saidina Bilal bin Rabbah RA. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari persaudaraan serta perpaduan yang dibina berteraskan Agama Allah. Hal ini dapat dilihat dari hadis baginda Rasulullah SAW :

"Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Kita perlu sama-sama berwaspada terhadap faktor-faktor dalaman atau sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri seperti sangka buruk, cemburu, hasad dengki, riya', takbur, keras kepala, tidak boleh ditegur dan seumpamanya. Kesemua sifat inilah yang menjadi punca dan mendorong kepada terjejasnya perpaduan dan keamanan dalam musyarakah, negara dan sejagat. Sifat-sifat seperti ini, merupakan sindrom umat masa kini yang semakin parah. Akibatnya, umat Islam kini menderita dan gagal bersaing dengan bangsa yang lain, sehingga terus dibelenggu perpecahan dan kehinaan. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu, atau sabdanya memakan rumput ". (Hadis riwayat Abu Daud)

Selain daripada itu, jika dilihat faktor luaran pula, bahawa musuh-musuh Islam sentiasa bersatu dan berusaha mencari jalan bagi menggagalkan persaudaraan dan perpaduan yang dibina, sehingga keamanan yang kita cita-citakan hancur lebur lenyap dalam kehidupan ini. Sebagai contoh umat Islam dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah agar bersengketa dan bermusuhan sesama sendiri. Akibatnya, umat Islam menjadi kacau bilau, huru hara dan mudah dikuasai. Di manakah silapnya sehingga dakwaan mengatakan Islam yang sempurna, tidak lagi membawa apa-apa kesan yang utuh dan ampuh kepada penganut-penganut agama lain?. Hakikat yang terjadi, kebanyakan negara umat Islam dibelenggu kemunduran dan mengahadapi pelbagai masalah. Tidak ada jalan lain, untuk mengatasi kemelut ini dalam usaha mengembalikan kegemilangan umat Islam, marilah kita mengukuh lagi persaudaraan demi keamanan sejagat. Janganlah kita berbalah sesama sendiri dalam perkara-perkara yang remeh-temeh, atau perkara furu’ agar kita tidak mudah diperkotak katikkan oleh musuh-musuh Islam. Oleh sebab itulah kita perlu bersatu, sentiasa berwaspada dan berkorban, menggembleng pemikiran serta tenaga, untuk memastikan dunia ini sentiasa aman dan damai. Kita tanamkan azam dalam diri kita dengan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah ayat: 71)

Petikan : Khutbah JAKIM


No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG