PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, September 6, 2010

Ramadhan Masa Membuat Perubahan Akhlak


Allah swt telah mengurniakan pelbagai bentuk nikmat dan anugerah yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Antara anugerah yang paling berharga ialah bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Berdasarkan kelebihan puasa ini, maka Allah swt turut mewajibkan umat Islam yang terdahulu untuk berpuasa. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. "(Al-Baqarah : 183)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang menjadi mukmin bertaqwa kepada Allah swt iaitu mukmin yang patuh kepada semua perintahNya serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepadaNya dengan meninggalkan segala bentuk makisat sama ada zahir atau pun batin.


Selain itu, puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai sempurna ibadah puasa selagi tidak menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah. Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :

"Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahu pun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya atau hendak berkelahi dengannya. Maka dia hendaklah mengatakan: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!."

Bulan Ramadan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa. Antaranya ialah pintu syurga akan terbuka dengan luasnya. Manakala pintu neraka akan tertutup serapat-rapatnya dan para syaitan akan diikat dan dirantai. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan dibulan Ramadan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan adalah kurang dan terbatas. Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :

"Apabila datang bulan Ramadan maka pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka akan ditutup serta syaitan-syaitan akan dirantai."

Gambaran ini menunjukkan betapa luasnya ruang yang disediakan oleh Allah swt melalui bulan Ramadan untuk mendidik nafsu manusia agar tunduk di bawah pengaruh iman dan taqwa. Alangkah bahagianya orang yang mengambil faedah dari kesempatan yang Allah sediakan ini.

Sempena Ramadan yang sedang kita lalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadan dengan solat Tarawih, bertadarus al-Quran, memperbanyakan istighfar dan bermunajat kepada Allah swt di tiap-tiap malam sebelum bersahur. Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw mengingatkan kita betapa besarnya fadilat menghidupkan Ramadan sabdanya :

"Sesiapa yang bangun mengerjakan solat sunat di dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu."

Perlu kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga sebulan Ramadan adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan perihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah sauara seagama kita yang telah diuji oleh Allah azza wajalla dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.

Persoalan besar di sini ialah sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikan hati agar kasihkan hartabenda, bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah?. Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa hartabenda ialah amanah Allah untuk menyelamat dan membela golongan lemah tersebut. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 186 :

"Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab dahulu daripadamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat."

Sempena dengan kedatangan Ramadan yang berkat ini, saya menyeru ibubapa dan masyarakat Islam agar dapat mengambil peluang untuk mendidik nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran dan dosa agar keluarga dan anak-anak kita istiqamah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya. Bersamalah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti modal insan dan kuantiti ibadah kita kepada Allah swt.


Sumber : Teks Khutbah JAKIM

3 comments :

  1. Salam Ustaz

    Terima Ksih kerana memberi tazkirah yang cukup menyentuh jiwa ini. Semoga Allah saja dapat membalas jasa baik Ustaz

    ReplyDelete
  2. salam ustaz, saya suka teks khutbah ini. mohon copy paste spread.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Ambillah saya benarkan, kalau boleh masukkan link rujukannya sekali. Sebagai kewajipan berdakwah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG