PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, October 24, 2010

Maksiat Makin Berleluasa Di Malaysia


Manusia memang mempunyai nafsu dan sesetengahnya amat cenderung kepada kejahatan. Ini ditegaskan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud :

“Sesungguhnya nafsu itu cenderung kepada kejahatan.” (Yusuf : 53)

Oleh yang demikian, Allah memberikan akal untuk mengimbangi tuntutan nafsu. Allah juga menghiasi diri manusia dengan keinginan nafsu kepada perempuan, anak pinak, harta benda yang banyak seperti emas dan perak, kenderaan yang canggih dan binatang ternak serta ladang. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Al-Imran : 14)


Dalam diri manusia, memang sentiasa ada pertarungan untuk melakukan kejahatan atau keburukan.

Ini dijelaskan Rasulullah dalam hadis dari Ibnu Masud yang bermaksud : Sesungguhnya syaitan sentiasa berbisik dalam hati manusia. Malaikat juga berbisik dalam anak Adam. Adapun bisikan syaitan itu ialah dorongan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Bisikan malaikat pula ialah galakan supaya orang itu mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaran.

“Oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu daripada Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah. Dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi (bisikan kejahatan) maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah daripada angkara syaitan.” (Riwayat Tarmizi dan An-Nasaii).

Menyedari hakikat ini, diri tiap insan sejak dari kecil hendaklah diasuh dengan didikan agama kerana dengan didikan agama itulah manusia dapat mengetahui nilai baik dan buruk yang mutlak. Didikan agama maksudnya mempelajari segala hukum halal haram, dosa pahala dan perkara yang berkaitan kehidupan dunia serta hidup selepas mati.

Pergaulan bebas remaja lelaki dan perempuan mungkin pada pandangan ahli pendidik dan budayawan, tidak menimbulkan apa-apa masalah, tapi daripada nilai dan kaca mata Islam, ia salah dan amat dilarang.

Ini dinyatakan Rasulullah dalam hadis daripada Ali bin Abu Talib, yang bermaksud :

“Pandangan lelaki terhadap wanita (terutama yang cantik) adalah panah daripada aneka macam panah iblis yang beracun. Maka barang siapa yang menghindar daripada panah itu, maka Allah akan menggantikannya dengan ibadah yang membuatnya rasa selesa.” (Riwayat Ahmad)

Agama Islam memerintahkan ibu bapa bersedia lebih awal agar lebih berwaspada mengenai kesan pergaulan bebas. Di dalam rumah sendiri pun anak-anak lelaki dan perempuan yang sudah baligh hendaklah dipisahkan kamar (tempat tidurnya).

Sabda Rasulullah, bermaksud :
“Perintahkan anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan pisahkan tempat tidurnya.”

Jelas daripada hadis ini bahawa pergaulan bebas adik beradik pun dilarang, maka apatah lagi pergaulan bebas dengan orang lain yang halal nikahnya. Sudah tentulah ia sangat dilarang. Mengisi dada manusia dengan ilmu saja tidak mencukupi. Tanpa iman di dalam diri, mereka akan tewas dalam menghadapi pelbagai cabaran nafsu.

Ramai yang melakukan rasuah dan jenayah berat adalah kalangan mereka yang berkelulusan tinggi. Penyelewengan dalam pelbagai bidang bukanlah dilakukan oleh orang yang bodoh dan tidak bersekolah tinggi.

Ilmu semata-mata tidak menjamin seseorang itu menjadi baik. Rasulullah mengingatkan dalam sabdanya, bermaksud :

“Tidak akan berzina seseorang penzina itu kalau semasa berzina dia beriman. Dan tidak akan mencuri seseorang pencuri itu kalau semasa mencuri dia beriman.” (Riwayat As-Syaikhan).

Jika seseorang remaja itu benar-benar beriman, maka dia tidak akan melakukan zina. Seorang datuk yang sudah mencapai umur lebih 60 tahun tidak akan sanggup memperkosa cucunya berusia lapan tahun, kalau ia benar-benar beriman.

Namun begitu iman seseorang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman. Iblis sentiasa mendorong manusia merosakkan keimanannya dengan melakukan aneka maksiat.

Firman Allah, bermaksud :

“Kata Iblis, demi sesungguhnya aku akan memperelokkan pada pandangan Adam dan zuriatnya, segala jenis maksiat di dunia ini. Aku akan menyesatkan mereka semuanya.” (Al-Hijr : 39)

Antara ancaman iman itu datangnya melalui bacaan dan melihat gambar dan video lucah yang sangat mudah didapati sekarang. Ramai wanita Islam yang melahirkan anak luar nikah (tidak sah taraf). Meninggalkan suruhan agama terutamanya sembahyang juga adalah punca iman semakin lupus dari dalam diri seseorang. Ini kerana sembahyang dapat menjamin seseorang mengelak daripada perbuatan mungkar dan keji.

Firman Allah bermaksud :
“Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Al-Ankabut : 45)

Jadi apabila sembahyang ditinggalkan maka hilanglah perisai yang dapat mengawal diri seseorang daripada melakukan kemungkaran.

Sebagai kesimpulan, setiap orang Islam mesti sentiasa menjaga imannya di samping berusaha menyubur dan mengukuhkannya. Jika iman tidak ada atau tidak kukuh maka pelbagai maksiat sanggup dilakukannya termasuk berzina dan membunuh tanpa sebab. Wallahualam.

1 comment :

  1. Assalamualaikum,
    izin share ye ustaz.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG