PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, October 15, 2010

Renungi Kehidupan Ingati Kematian



Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di mana bila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 :

"Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).


Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga, saudara mara dan harta benda yang akan diwarisi oleh kaum keluaga. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan di akhirat.


Para alim ulama pernah berkata, kehidupan di dunia yang sementara ini, kadang-kadang menjadikan manusia lupa tentang kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Maka kehidupan di dunia ini dianggap sebagai godaan terbesar yang boleh memesongkan manusia dari mengingati Allah SWT, kecuali bagi orang-orang yang berjaya mengurus kehidupan mereka dengan ketakwaan kepada Allah SWT, yang mana ketakwaan tersebut menjadi jambatan emas menuju ke syurga. Persoalannya, mengapa Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa mengingati mati?.


Pertama, di antara sebab kenapa Islam menganjurkan umatnya supaya mengingati mati ialah, kerana manusia yang sentiasa mengingati mati akan dapat mendidik jiwanya menjadi randah diri, tidak resah gelisah, tidak lupa diri dan sombong bahkan bersedia untuk menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat.


Kedua, mengingati mati adalah suatu kejadian yang pasti akan dialami oleh setiap manusia dan mati juga suatu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekalipun dan ianya pasti berlaku ke atas setiap diri manusia. Namun begitu, mengingati mati itu, bukanlah bermaksud memaksa diri untuk segera mati atau sengaja mendedahkan diri kepada kematian.


Ketiga, mengingati mati menjadikan diri seseorang itu lebih bersedia dan merancang kehidupan sebelum mati dan dapat mengingatkan dirinya untuk berhadapan dengan mati, dengan itu dia terdorong untuk meningkatkan ketakwaan dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT.


Sebaliknya, bagi orang yang melupakan tentang kematian merupakan kesuatu perbuatan yang tidak dapat diterima akal dan termasuk di kalangan orang yang tidak bijak merancang masa depan, kerana sesungguhnya dengan mengingati kematian itu memberi kesedaran dan peringatan tentang kehidupan di dunia yang dilaluinya dan kehidupan di akhirat yang bakal ditempohi.


Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud :


"Apabila seseorang dimasukkan nur (cahaya keimanan) maka hatinya akan menjadi lapang dan terbuka. Lalu sahabat bertanya : Apakah tandanya hati yang lapang dan terbuka itu?. Jawab Rasulullah SAW : Ada perhatian terhadap kehidupan yang kekal di akhirat dan timbulnya peringatan tentang tipu daya ini dan orang bersiap sedia mengahadapi mati sebelum datangnya ajal".


Apabila seseorang telah disemadikan jasadnya di dalam kubur, pastinya ia keseorangan, tiada lagi kawan-kawan, tiada lagi ahli keluarga, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohan pertolongan. Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat.


Oleh itu, sebelum jasad diusung ke tanah perkuburan dan disemadikan disana, marilah kita memperkasakan diri dengan keimanan yang mantap dan ketakwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Di samping kita juga berdoa supaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang soleh yang sentiasa memperbanyakkan amal ibadah tanpa jemu dan putus asa yang mana bekalan amal soleh sahajalah yang dapat menyelamatkan manusia dari azab kubur dan seksaan di akhirat. Janganlah kita menjadi seperti orang yang hanya mengaku beriman di mulut sahaja sedangkan di dalam hati masih kufur kepada Allah dengan perilaku seharian seolah-olah mempersenda-sendakan ajaran Islam.


Oleh itu, mimbar Jumaat hari ini ingin menyeru dan mengingatkan agar kita semua sentiasa bersedia untuk mengahadapi kematian dengan berlumba-lumba melaksanakan perkara kebaikan dengan berbekalkan keimanan dan amal soleh. Disamping menginsafi diri dengan perkara-perkara berikut :


  1. Kehidupan sesudah mati jauh lebih penting daripada kehidupan sebelum mati. kerana itulah, segala apa yang dimiliki daripada nikmat dunia ini tidak memberi manfaat di hari akhirat kecuali keimanan kepada Allah dan amal soleh yang sebenar-benarnya.

  2. Islam menganjurkan umatnya mengingati mati supaya kesempatan hidup ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA : "Dari Abi Bakrah dia mendengar daripada bapanya bahawasanya seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Jawab Baginda: Orang yang pangjang umurnya dan baik pula amalannya. Ia bertanya lagi: Siapakah orang yang paling jahat? Jawab Baginda: orang yang pangjang umurnya dan jahat pula amalannya".

  3. Sewaktu di alam kubur kita akan didatangi oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir untuk menyoal dengan beberapa pertanyaan. Bagi orang yang beriman dan melakukan amal soleh semasa hayatnya di dunia, dia akan dapat menjawab dengan mudah dan lancer, pada saat itu kuburnya diluaskan dengan seluas-luasnya serta dipenuhi dengan pelbagai nikmat yang berkekalan sehinggalah dibangkitkan pada hari kiamat. Sebaliknya jika gagal menjawab pertanyaan tersebut, kubur akan disempitkan dan diberikan azab seksa sehinggalah berlakunya hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi".

Firman Allah yang bermaksud :

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Surah Ali-Imran ayat: 14)

Petikan : Khutbah JAKIM



4 comments :

  1. salam ustaz, minta izin copy paste ye.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Ambillah saya benarkan tetapi kalau boleh masukkan linknya sekali sebagai rujukan.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas perkongsian ustaz.

    Namun orang kita ni pelik skit ustaz. Diorg tak berapa suka sebut pasal2 mati ni.Takut terjadi betul2, padahal kalau tak sebut pun mati tetap terjadi jg.

    Satu lagi sebab katanya tak produktif kalau selalu sebut pasal mati. Barangkali sebab tu lah timbul banyak isu rasuah, zina, dan sebagainya.

    ReplyDelete
  4. Orang sekarang ini cinta dunia dan takutkan mati sebab itulah semua benda yang ada dalam dunia ni dia sebat tak kira haram atau halal janji menguntungkan dia.. Itulah sebabnya maksiat, jenayah berleluasa.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG