PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, December 26, 2010

Ini Bida'ah Itu Bida'ah




Sidang Jumaat yang dirahmati,

Bid'ah dari segi bahasa ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya. Manakala dari segi istilah pula ialah mengadakan sesuatu perbuatan atau iktikad atau mengeluarkan perkataan yang tidak terdapat keizinannya daripada syara' samada Al-Quran, As-Sunnah, ijma' atau qiyas dan tidak termasuk juga dalam Qawaid As-Syar'iyyah. Berdasarkan ini setiap perkara baru dirujuk kepada al-quran, as-sunnah, ijma' atau qiyas. Sekiranya ada, maka ia dikira sebagai sebahagian syariat. Sekiranya tidak ada, hendaklah dilihat kepada Qawaid As-Syar'iyyah. Sekiranya ada, maka ia juga sebahagian syariat dan tidak boleh dianggap bid'ah. Setelah tidak ditemui, barulah boleh dikatakan bid'ah atau sesat.

Ada nas yang menganjurkan perkara-perkara baru yang baik dan ada nas yang mencela orang yang menganjurkan jalan-jalan yang buruk. Sabda Rasulullah saw :

"Sesiapa yang melakukan sunnah (perbuatan) yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya hingga ke hari kiamat, dan sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa orang beramal dengannya hingga ke hari kiamat".

"Sesiapa yang mengadakan dalam perkara Kami ini (agama) perkara yang bukan daripadanya, maka ia tertolak."

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu amalan yang dilakukan tidak boleh dengan mudahnya dilabelkan sebagai bid'ah melainkan mencukupi syarat-syaratnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulamak. Bid'ah yang wajib diperangi mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut. Pertama, ia hendaklah termasuk dalam perkara yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan ibadah. Kedua, amalan itu dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah dan ketiga tidak didapati asasnya dalam agama.

Bagaimanapun, dalam memerangi bid'ah ini, hendaklah digunakan cara yang paling baik, yang tidak membawa kepada keburukan atau kefasadan yang lebih besar. Tidak semua perkara atau amalan bid'ah yang dilakukan itu wajib diperangi kerana hari ini penggunaan ungkapan bid'ah dan ibtida' begitu laris diperkatakan oleh masyarakat. Kadang-kadang digunakan begitu luas sehingga tidak ada sesuatu pun yang boleh keluar daripadanya. Di waktu yang lain pula maknanya begitu sempit.

Hadis ini mengisyaratkan bahawa akan timbul bentuk-bentuk pembaharuan yang tidak dapat dinafikan. Bentuk pertama ialah pembaharuan yang tertolak manakala bentuk kedua ialah pembaharuan yang diterima.

Pembaharuan yang diterima ialah sesuatu yang bertepatan dengan ajaran Islam berdasarkan rumusan yang tersirat dalam hadis iaitu mafhum mukhalafahnya seolah-olah hadis tersebut mengatakan :

"Sesiapa yang melakukan amalan yang diperintahkan Kami atau mengadakan pembaharuan dalam urusan Kami ini yang ia termasuk di dalamnya, maka ia diterima".

Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya Al-I'tisam membahagikan bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah sayyiah.

Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam membahagikan bid'ah kepada bid'ah wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Ibadah yang telah ditentukan oleh Rasulullah cara dan masanya wajib ditunaikan sepertimana yang ditunaikan oleh baginda tanpa penambahan dan mengurangkan seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya.

Ibadah yang diriwayatkan daripada Rasulullah dan tidak terikat dengan bentuk, masa, tempat, keadaan atau bilangan dan tidak ada riwayat larangan melakukan pada waktu-waktu tertentu, maka terpulanglah kepada umat Islam memilih masa dan tempat yang sesuai untuk melakukannya seperti solat sunat mutlak, zikir, membaca Al-Quran, selawat, kenduri kendara dan sebagainya. Maka ini tidak dianggap sebagai bid'ah.
Tetapi sekiranya dikaitkan dengan Rasulullah saw, maka ia menjadi bid'ah kerana ia adalah pendustaan kepada baginda.

Adapun pengurangan dan penambahan pada ibadah yang ditetapkan oleh syara' adalah bid'ah seperti menambah dan mengurangkan rakaat, menambah atau mengurangkan rukuk dan sujud dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Menurut As-Sheikh Imam Abu Amru Abdul Aziz bin As-Salam dalam penghujung kitabnya Al-Qawaid, beliau berkata: "Bid'ah ini dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dan cara menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syara'. Jika termasuk dalam kaedah yang mewajibkan jadilah wajib. Jika termasuk dalam kaedah yang mensunatkan jadilah sunat. Jika termasuk dalam kaedah yang mengharamkan jadilah haram. Jika termasuk dalam kaedah yang memakruhkan jadilah makruh dan jika termasuk dalam kaedah yang mengharuskan jadilah harus."

Contoh bid'ah wajib ialah meletakkan kaedah nahu dan sorof, membukukan Al- Quran, menyusun ilmu-ilmu seperti usuluddin, fekah dan sebagainya. Contoh bid'ah sunat ialah mengadakan sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah dan solat Terawikh berjemaah. Contoh bid'ah makruh seperti menghiasi masjid dan mashaf. Manakala contoh bid'ah harus pula ialah bersalam-salaman selepas solat, membahagi-bahagikan makanan, minuman dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu yang tidak dilakukan oleh Raslullah s.a.w dan para sahabat bukanlah bererti tidak dianjurkan oleh syara'. Pendapat mengatakan bahawa perkara itu bid'ah adalah tidak tepat, dilihat kepada dua sudut iaitu pertama sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah tidak menunjukkan ia tidak dianjurkan oleh syara' atau tidak juga dilarang, maka ia dianggap harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya dan kedua ialah pendapat yang mengatakan: "Kalaulah ia baik, sudah tentu ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kita" adalah pendapat seolah-olah syariat Islam adalah sesuatu yang jumud sedangkan Islam itu syumul.

Islam mampu menetapkan hukum pada setiap amalan atau peristiwa yang berlaku samada dalam muamalah atau sebahagian daripada ibadah yang tidak ditentukan oleh syariat iaitu dengan berpandukan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang terdapat dalam syariat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara persoalan yang sering timbul ialah menghukum bid'ah ke atas persoalan khilafiah atau yang ditetapkan oleh hadis dhaif.

Jawapannya termasuk dalam kesalahan yang nyata menetapkan hukum bid'ah ke atas perkara yang para ulamak tidak sekata mengenainya dari sudut sabit (wujud) atau tiadanya atau dari sudut kuat atau lemah dalilnya. Begitu juga pada perkara yang ditetapkan oleh hadis yang dianggap dhaif oleh para ulamak hadis kerana dengan label tersebut, menyebabkan kita menghukum para sahabat dan generasi salafus soleh sebagai pembawa bid'ah kerana seorang mujtahid akan menganggap ijtihadnya lebih masyhur daripada ijtihad orang lain.

Sebagai contoh Saidatina Aisyah pernah berselisih pendapat dengan Ibn Abbas pada satu hukum yang telah ditetapkan oleh Ibn Abbas. Sudah tentu boleh membawa kepada bid'ah membid'ahkan sesama mereka.

Demikian juga keadaannya pada perkara yang ditetapkan berpandukan hadis yang dhaif. Tidak boleh juga menghukumnya sebagai bid'ah kerana hukum memang sabit secara umum, tetapi lemahnya berlaku pada sanad hadis yang mungkin disebabkan kecacatan pada rawi atau pada matan hadis.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita jangan bersegera melabelkan seseorang itu dengan bid'ah dan sesat. Terdapat sesetengah golongan yang sampai ke peringkat melampaui batas sehingga berani mempertikaikan autoriti para ulamak besar dan melemparkan tuduhan tersilap, bid'ah dan kurang mengkaji hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Di antara ulamak yang mereka pertikaikan ialah imam-imam mazhab yang empat. Sedangkan mereka telah pun diperakui oleh umat Islam kelayakan mereka untuk dijadikan ikutan.

Terdapat juga sebahagian yang lain mempertikaikan ulamak lain yang mempunyai pendapat yang tidak sesuai dengan selera dan prinsip hidupnya walaupun mereka yakin bahawa mereka yang dipertikaikan itu benar dalam beberapa aspek yang lain seperti mempertikaikan pandangan Syafie dalam qunut dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara perkara yang sering dikaitkan dengan bid'ah sedangkan perkara-perkara tersebut adalah perkara khilafiah (yang diperselisihkan oleh ulamak) seperti tawasul dengan orang yang telah mati, menggerakkan atau mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat, berdoa selepas solat fardhu, doa secara berjemaah, membaca Qunut dalam solat Subuh, malam Nisfu Syaaban, hukum berselawat selepas azan, memohon syafaat dengan Rasulullah s.a.w, azan pertama pada hari Jumaat, sunat Qabliyyah Jumaat, bilangan rakaat solat Terawikh, menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka yang telah mati, perayaan Maulid Ar-Rasul dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Terdapat segolongan pemuda yang melampau dalam meletakkan pengertian bid'ah sehingga menghukumkannya terhadap perkara-perkara kecil, kerana mengikut hawa nafsu atau kerana terpengaruh dengan manhaj (prinsip) jamaah tertentu yang menganggap bid'ah ialah sesuatu amalan yang baru diwujudkan dan tidak pemah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Mereka lupa atau sengaja melupai keluasan dan kesyumulan Islam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, malah setiap sesuatu yang muncul samada yang berbentuk istilah atau peristiwa sehinggalah ke hari kiamat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita sepatutnya mengetahui pengertian bid'ah yang sebenarnya. Kita jangan terlalu cepat menghukum sesuatu perkara itu bid'ah yang dholalah (yang sesat).

Bid'ah yang wajib diperangi ialah bid'ah dalam perkara akidah yang membawa kepada syirik dan bid'ah saiyyiah (buruk). Dalam masa yang sama, kita pula jangan meringan-ringankan perkara bid'ah sehingga menokok tambah dalam perkara agama.

Panduan dalam menentukan sesuatu itu bid'ah atau tidak ialah merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma', qiyas dan pandangan ulamak.

Sumber :Mohd Al-Amin Duad Al-Azhari

2 comments :

  1. ustaz..

    mmg ramai orang yg suke melabel bidaah sesuka sendiri n lagi memburukkan lebih suka guna tafsiran ayat al-quran sendiri... walaupun mereka ni bukan ternyata wahabi, tapi amat gemar nak tunjuk pandai..:(

    Isu Semasa : Siapa Tak Pernah Fuck Dia Loser!!!

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Ustaz..terima kasih Ustaz, saya cukup enjoy baca post Ustaz.. skrg terlalu byk golongan yg berlebihan2 malah pertikai imam2 besar 4mazhab..apatah lagi dgn wujudnya facebook dan twitter laman2 sosial yg dgn mudahnya sampai menyampaikan sesuatu perkara yg mereka sendiri kurang arif tapi terikut2.. takut dan risau tgk generasi muda rakan sebaya saya skrg.. tambah mngerikan bila ramai pula yg 'like' post2 golongan ni.. risau generasi akn dtg.. kalau Ustaz ada fb account, tolong selamatkn generasi kami dn akan dtg ye.. terima kasih amat.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG