PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Wednesday, April 28, 2010

Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah


Soalan yang diajukan :

Apa hukumnya kita menggantung gambar bernyawa didalam rumah. Contoh gambar kita menerima sijil?

Jawapannya

Menggantungkan gambar yang bernyawa di dalam rumah ialah seperti gambar binatang, gambar orang atau gambar keluarga tuan rumah. Setelah saya meneliti masalah ini bahawa memang haram dan Nabi melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah untuk memberikan rahmat. Hadis Nabi yang bermaksud :

Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah SAW: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Riwayat Muslim)

Berkata Imam Manawi :
Yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini ialah suatu yg mempunyai ruh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yg tidak mempunyai ruh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yg membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatit amal tiadalah berpisah ia dari seseorang anak Adam.

Haram bagi orang yang meletakkan gambar atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk pohon, kapal, rumah, ayat Al-Quran, Kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.

Hal di atas beza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video. Harus bagi sesiapa yang ingin meletakkan atau menggantungkan gambar fotografik di rumahnya. Jika gambar fotografik tersebut mengandungi unsure-unsur pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut dan seumpamannya, maka hukumnya adalah haram dan bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku
Seni Dalam Islam :

"Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempuyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq, penyembah berhala, komunis ataupun tokoh-tokoh seni yang menyeleweng.
"

Pandangan saya, gambar manusia atau makhluk bernyawa yang dihasilkan oleh seni lukisan, adalah haram sepertimana yang terdapat di dalam hadis di atas. Di haruskan gambar dari hasil seni lukisan bukan gambar manusia dan makhluk bernyawa seperti gambar pemandangan, masjid, rumah, kereta dan seumpamanya. Harus juga bagi gambar yang dihasilkan oleh kamera atau video untuk digantung atau diletakkan di rumah bukan bertujuan penyembahan, mengagungkan, gambar yang tidak mendedahkan aurat, gambar orang kafir dan seumpamanya. Gambar kamera yang dibolehkan adalah bertujuan sebagai kenangan, tanda kekeluargaan dan seumpamanya.

Tuesday, April 27, 2010

Kurafat Adalah Syirik dan Sesat


Islam adalah agama tauhid iaitu agama yang berasakan iman kepada keesaan Allah yang Maha Kuasa, maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kepada kesempurnaan tauhidnya.


Namun demikian, masih terdapat di kalangan sesetengah umat Islam yang belum benar-benar sempurna tauhid mereka. Ini adalah kerana mereka mencampur adukkan fahaman khurafat dalam akidah mereka yang bertentangan dengan dasar tauhid. Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububyyiah Allah. Sifat Uluhiyyiah Allah ialah sifat yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.

Manakala Sifat Rububiyah Allah pula ialah sifat Allah dalam mentadbir, mengurus, mendidik dan mengasuh makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Oleh kerana itu, amatlah sesat dan syirik jika kita mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihi, mencintai dan mentaati perintah-Nya sebagaimana layaknya mencintai dan mentaati Allah atau meminta dan mengharapkan sesuatu hajat dari sebarang makhluk.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48 yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “

Berdasarkan kajian oleh pihak-pihak tertentu, dilaporkan bahawa kepercayaan dan amalan-amalan khurafat masih subur dalam masyarakat kita. Antara amalan dan kepercayaan tersebut ialah pertama, mempercayai bomoh dan dukun dapat memenuhi sesuatu hajat.

Sesetengah masyarakat kita di dapati ada yang menjadikan bomoh dan dukun sebagai tempat memohon dalam memenuhi sesuatu hajat. Hajat-hajat tersebut antaranya ialah seperti ingin mendapat pangkat, kedudukan dan pengaruh atau untuk mendapatkan calon isteri atau suami dan tidak kurang juga untuk menghilangkan penyakit.

Demi cita-cita tersebut sesetengahnya telah meletakkan kepercayaan dan harapan kepada dukun dan bomoh. Keyakinan yang sebegini sebenarnya tergolong dalam pengertian menyekutukan Allah dari sudut sifat rububiyah dan sifat uluhiyah Allah SWT kerana memohon keperluan kepada makhluk. Lebih malang lagi ada segelintir bomoh yang mengambil kesempatan merogol, mencabul kehormatan dan melakukan jenayah kekerasan. Dalam hal ini Nabi SAW telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abdullah yang bermaksud : “ Barangsiapa yang menemui tukang tilik atau ahli sihir atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka lalu dia mempercayainya akan apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah menggerunkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW “. (Musnad Abi Ya’la)

Amalan kedua ialah memakai tangkal azimat dengan keyakinan tertentu seperti menjadi kebal, pelaris perniagaan, penolak bahaya, penyembuh penyakit, penggerun, penunduk musuh dan sebagainya. Keyakinan kepada azimat yang sedemikian boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Rasulullah SAW melarang keras amalan memakai tangkal azimat. Di dalam sebuah hadith baginda yang bermaksud :“ Sesungguhnya jampi mantera, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah syirik “. (Sunan Abu Daud)

Kepercayaan khurafat yang lain ialah mempercayai hari-hari tertentu contohnya hari Rabu boleh mendatangkan keburukan kepada sesuatu pekerjaan seperti majlis kahwin, majlis pelancaran atau perasmian sesuatu program. Disebabkan yakin kepada kesialan hari-hari tersebut, maka terdapat di kalangan sesetengah masyarakat kita terpaksa menangguh atau melewatkan sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya semua hari adalah baik dan boleh dilaksanakan apa juga pekerjaan. Adapun kegagalan, kemalangan dan keburukan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian dan kelalaian kita sendiri.

Mutakhir ini kita dapati segelintir masyarakat mula mempercayai bintang dan angka-angka tertentu yang didakwa boleh membawa tuah dan keberkatan. Justeru, ada yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit membeli nombor-nombor tertentu seperti nombor pendaftaran kenderaan yang diyakini boleh membawa tuah. Demikian juga kepercayaan kepada bintang-bintang yang dihubungkan dengan tarikh kelahiran seseorang sehingga dijadikan ukuran untuk memilih pasangan hidup. Kesemua ini adalah kepercayaan karut marut yang jelas bertentangan dengan akidah tauhid uluhiyah dan rububiyah iaitu ketetapan buruk dan baik kehidupan dunia adalah hak mutlak Allah yang tidak ada kaitan langsung dengan pengaruh sebarang makhluk.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 106: “ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).“

Ingin saya ingatkan bahawa, perkara-perkara khurafat akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kehidupan di dunia dan di akhirat antaranya :

  1. Merosakkan akidah dan membatalkan amal ibadah.

  2. Pembaziran masa kerana menunggu hari yang membawa berkat atau tuah.

  3. Pembaziran wang ringgit kerana membayar pengeras atau upah dukun dan bomoh.

  4. Permusuhan atau pembunuhan kerana terlalu mempercayai ramalan yang tidak benar.

  5. Wujud kegelisahan dan ketidaktenteraman jiwa kerana bergantung kepada kuasa selain dari Allah.

  6. Menjadi mangsa jenayah seks golongan yang tidak bertanggungjawab.

Marilah kita memurnikan akidah dengan membudayakan hidup sebagai muslim yang berilmu. Berilmu dalam akidah, berilmu dalam syariat dan berilmu dalam tasauf. Semoga dengan ilmu kita terselamat daripada segala tipu-daya dan pengaruh khurafat dan ajaran sesat.

Monday, April 26, 2010

Tips Keyakinan & Motivasi Diri


Soalan yang diajukan :

Ustaz ada tips tak macam mana nak tingkatkan keyakinan diri dan meningkatkan motivasi diri?

Jawapannya :

Setiap manusia yang dilahirkan atau dijadikan oleh Allah adalah untuk memperhambakan diri kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud :

“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia, melainkan untuk beribadah kepadaKu”.

Ayat di atas ini dapat disimpulkan bahawa manusia ini hanya milik Allah dan manusia ada tanggungjawabnya untuk dilaksanakan iaitu beribadah dan mengerjakan amalan yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah. Keyakinan diri akan lahir pada orang yang benar-benar mengenali Allah dan rasulNya. Sepertimana kata orang sufi :

“Barang siapa yang hendak mengenali Allah, maka dia perlu mengenali dirinya terlebih dahulu”.

Apabila orang tersebut mengenali Allah, maka dia tahu akan tanggungjawab dan kewajipannya. Orang seperti ini dinamakan sebagai orang yang beriman dan bertaqwa. Apabila orang yang bertaqwa, maka orang ini akan mempunyai kemampuan diri yang sangat ajaib dan mempunyai keyakinan yang tinggi sehingga setiap perkara yang sukar dapat ditempuhi dengan mudah dengan hanya berbekalkan keyakinan diri dan yakin setiap perkara baik dan buruk itu datangnya dari Allah. Contohnya Nabi Muhammad dapat menyebarkan Islam dari tiada apa sehingga Islam bertapak dan kuat di Madinah. Jika difikirkan secara logik, mustahil seorang Nabi yang tiada harta dan anak yatim piatu dapat menjadi pemimpin dunia yang dikenali dari kalangan umat Islam dan bukan Islam. Semua ini berlaku adalah berkat dari kesabaran dan keyakinan Baginda terhadap perintah Allah.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang kuat keyakinannya dan susah untuk digugatnya, kerana akidahnya sangat kental dan teguh terhadap Allah swt. Orang yang bertaqwa juga mudah untuk melaksanakan pekerjaan dunia dan akhirat, kerana mereka ini selalunya seiring antara dunia dan akhirat. Kalau sesuatu usaha mereka gagal, maka mereka mengatakan ini adalah ujian dari Allah dan bukan rezeki mereka. Hal ini beza dengan orang yang tidak bertaqwa dan tidak yakin apa yang ada di dunia ini adalah milik Allah. Orang yang tidak bertaqwa sering kali kecewa sehingga ada yang membunuh diri dan tidak sanggup lagi untuk menghadapi perkara tersebut.

Begitu juga dengan motivasi diri mesti dengan agama, kerana agama itulah penawar bagi segala-galanya. Agama juga merupakan nur dan panduan bagi semua umat manusia untuk menjadi manusia yang berguna dan manusia yang berjaya hidupnya di dunia dan di akhirat. Al-Quran dan Hadis sebagai petunjuk dan panduan kepada semua umat manusia, supaya umat manusia termotivasi dan terdorong untuk melakukan perkara yang bermanfaat dan berguna untuk dirinya dan sekelilingnya. Alasan saya mengatakan agama adalah motivator yang terbaik untuk merubah dan membimbing umatnya. Firman Allah yang bermaksud :

“ Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu : bebanmu (menyiarkan Islam) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan Dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan). Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).” (Al-Insyirah : 1-8)

Ayat di atas ini merupakan satu motivasi bagi sesiapa yang sukar untuk menempuh cabaran hidupnya, walaupun ayat di atas ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw, tetapi ianya juga sesuai kepada kita untuk dijadikan pengajaran kepada orang yang beriman kepada Allah, kerana setiap kesukaran ada jalannya untuk keluar dan perkara ini merupakan sunnatullah. Tiada kesusahan yang tidak ada jalan keluarnya. Bagaimana jalan keluarnya? Iaitu agama Islam merupakan jalan keluar terbaik untuk segala masalah yang dihadapi. Mengalami masalah belajar? Maka berusaha sedaya yang mampu dan selebihnya berdoa dan tawakal kepada Allah. Ada masalah kewangan? Kalau orang ada agama, maka dia tidak akan berbelanja berlebihan, malah dia akan sentiasa beringat dan tidak mudah untuk berutang dan terlibat dengan perkara yang syubhah. Ada masalah keluarga? Maka agama juga jalan keluarnya, iaitu masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab, maka keluarga tersebut akan aman dan bahagia. Semua masalah yang ada di dunia ini, Islam ada penawarnya dan tips untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Israk : 82)

Apa tunggu lagi!! kembalilah kepada agama Islam yang kaffah, amalkan segala suruhan Allah dan tinggalkan segala larangan Allah, nescaya hidup kita semua tidak akan sesat selama-lamanya dan terhindar dari azab api neraka Allah. Kepada siapa yang ambil amalan Islam pada keadaan yang tertentu sahaja, cepat-cepatlah tukar cara hidup anda yang lama dan ambillah keseluruhan cara hidup Islam dengan melaksanakannya dengan hati yang benar-benar ikhlas kepada Allah. Selamatkan cepat keluarga kita dari terjebak dalam lembah kerugian, dan jadikan Islam cara hidup anda, keluarga kita, nescaya tidak akan menyesal dihari kemudian.

Friday, April 23, 2010

Tipu Surat beli Komputer Elak dari Income Tax


Soalan dari pengunjung

persoalan ana tentang situasi kebiasaanya penjawat-penjawat kerajaan yang membuat claim income tax bagi belian barangan seperti laptop, komputer dan sebagainya..kebiasaanya maksimun claim yang boleh dibuat oleh penjawat awam ini ialah RM 5000..persoalan ana bagaimana hukumnya bagi seseorang yang membuat claim tidak mengikut jumlah yang dibelinya.

Ana bagi contoh membeli harga laptop dengan harga RM 2699, tetapi utk claim income tax, letak harga RM 5000. Bagaimana hukumnya ustaz.

Ana tengok ramai sangat orang yang membuat seperti itu. Bagi ana ia tidak wajar kerana seolah-olah menipu, kerana jumlah belian barangan tidak seperti jumlah claim bg income tax.

Jawapannya

Sebagai seorang muslim yang mematuhi perintah Allah dengan menaati segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah. Islam juga melarang umatnya menipu, kerana menipu itu ada haram dan dosa. Sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :

“Barang siapa yang tipu daya bukan dari golongan kami”.

Hadis ini jelas dan terang, bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya menipu dan jika menipu bukan dari golongan Islam. Masalah di atas ini, ialah masalah hukum dunia dan hukum manusia. Wajarkah kita mematuhi hukum manusia? Jawapan saya wajar, kerana ini merupakan hukum alam ataupun sunnatullah. Firman Allah yang bermaksud :

“Taatlah kamu kepada Allah, kepada Rasul dan kepada pemimpin yang mentaati Allah da rasul.”

Jika dipandang positif tentang income tax, ini merupakan hukum manusia dan tidak melanggar syariat Allah. Pada zaman pemerintahan Islam dahulu juga adanya cukai perlindungan bagi orang kafir dan orang Islam dikenakan zakat. Income tax ini dikenakan dan duitnya disalurkan untuk kegunaan awam, pembangunan negara, bayar gaji kakitangan awam dan sebagainya. Jelas di sini, income tax adalah untuk kegunaan yang berfaedah dan tidak digunakan ke arah kemaksiatan dan dosa.

Menjadi tanggungjawab rakyat negara ini membayar cukai, kerana kita adalah penduduk negara ini dan wajib mematuhi peraturan atau undang-undang negara ini. Jika ingkar dengan segala peraturan Allah, maka layaklah menerima hukuman atau tindakan negara. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk Yang bergerak serta Malaikat; sedang mereka (Malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadanya).” (An-Nahl : 49)

Berdasarkan firman Allah di atas ini, maka wajib kita semua mematuhi hukum yang dibuat oleh negara dan manusia yang mematuhi peraturan Allah. Tidak wajib bagi orang yang beriman mematuhi hukum yang jelas bertentangan dengan syariat Islam, kerana ia jelas bertentangan dengan Islam. Lazimnya hukum Allah itu bertepatan dengan hukum manusia, kerana Allah itu Tuhan sekelian Alam dan tuhan segala makhluk yang ada di ala mini termasuklah manusia.

Tidak wajar bagi orang yang menipu untuk melepaskan diri dari bayaran income tax dengan cara yang dinyatakan di atas. Kerana cara ini jelas menipu dengan memalsukan surat pembelian untuk melepaskan diri dari membayar income tax. Rezeki yang Allah bagi kepada kita semua adalah bukan hak kita, sebab itulah Islam mewajibkan umatnya membayar zakat dan mensunatkan sedekah.

Memang income tax ini adalah undang-undang manusia, tetapi kita kena ingat ini adalah ketetapan dan ketentuan Allah kepada semua manusia. Hal ini jelas dalam rukum iman yang terakhir iaitu percaya kepada qada’ dan qadar Allah. Maka bagi orang yang lari dan menipu tidak membayar income tax adalah dosa dan lari daripada sunnatullah.

Thursday, April 22, 2010

Mengambil Keuntungan Dalam Perniagaan

Gambar Hiasan Sahaja


Maksud Berniaga


Berniaga adalah salah satu bentuk muamalat yang disyariatkan oleh Islam. Berniaga dari sudut bahasa bermaksud berdagang atau berjual beli. Manakala dari sudut istilah syarak pula, berniaga bermaksud pertukaran harta dengan harta mengikut syarat-syarat tertentu. Harta yang dimaksudkan di sini ialah semua jenis barangan yang bernilai di sisi syarak.

Adab-Adab Berniaga

  1. Amanah bermaksud penjual dan pembeli bersikap jujur dan tidak menipu dalam perniagaan.

  2. Ihsan bermaksud peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dengan mengambil kira semua aspek kemasyarakatan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. di samping mendapat keuntungan.

  3. Bekerjasama bermaksud penjual dan pembeli hendaklah bertolak ansur sekiranya timbul sebarang perkara yang tidak diingini.

  4. Tekun perniagaan hendaklah dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh agar perniagaan yang dijalankan itu berkembang maju.

  5. Menjauhi perkara yang haram penjual hendaklah menjauhi perkara yang haram semasa menjalankan perniagaan. Contohnya menipu dalam timbangan, menjalankan muamalat riba, menyorok barang, dan menjual barangan yang diharamkan seperti dadah dan arak.

  6. Melindungi penjual dan pembeli penjual dan pembeli hendaklah saling melindungi hak masing-masing. Contohnya penjual memberikan peluang yang secukupnya kepada pembeli untuk membuat pilihan ketika hendak membeli sesuatu barangan.


Keuntungan Penjualan Barang Mengikut Islam


  1. Keuntungan barang jualan seperti keuntungan yang diambil dari barang yang dijual. Contohnya perniaga menentukan harga barang yang ingin dijual dengan harga yang berpatutan. Sebenarnya Islam tidak menentukan keuntungan penjualan barang tersebut, yang penting setiap penjualan perlu mempunyai akad, suka sama suka atau persetujuan dua belah pihak (penjual dan pembeli). Tetapi lebih baik penjual menentukan keuntungannya dengan harga yang berpatutan, kerana Rasulallah saw berniaga dengan menentukan harga barangnya secara berpatutan dan tidak mengambil keuntungan yang lebih, sebab itulah perniagaan Rasulallah sentiasa laris dan untung pada setiap kali beliau berdagang. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud : "Dari sahabat Urwah Al Bariqy ra mengisahkan: Rasulallah saw memberiku satu dinar agar aku membelikannya seekor kambing, kemudian akupun membeli dua ekor kambing dengan satu dinar yang diberikan Rasulallah, kemudian aku jual kembali seekor kambing dengan harga satu dinar, apabila aku datang menemui Baginda dengan membawa seekor kambing dan satu dinar. Kemudian Rasulallah saw mendoakan keberkatan kepada perniagaan arwah, sehingga seandainya ia membeli debu, niscaya ia akan memperolehi laba darinya." (Riwayat Abu Dawud, At Tirmizi dan Ibnu Majah)

  2. Keuntungan dari keberkatan, pahala dan keredhoan Allah. Apabila perniaga mengambil keuntungan yang memadai dengan barang yang dijual, maka dia memperolehi keberkatan dari Allah dan pahala yang sangat besar. Lebih baik lagi peniaga muslim jangan menipu barangan yang dijual. Contohnya mencampurkan ikan lama dan yang baru dalam perniagaannya, atau menipu barang yang dijualnya adalah baru dan mempunyai kualiti yang baik, tetapi pada hakikatnya semua itu adalah penipuan. Maka di sini perniaga terlebut tidak memperolehi keuntungan di akhirat nanti dan dia akan dilaknat oleh Allah diatas penipuan yang dilakukannya semasa berniaga. Sabda Rasulallah yang bermaksud : "Dari Hakim bin Hizam dari Nabi saw beliau bersabda: "Kedua orang penjual dan pembeli masing-masing memiliki hak pilih selama keduanya belum berpisah, bila keduanya berlaku jujur dan menjelaskan, maka akan diberkahi untuk mereka penjualannya, dan bila mereka berlaku dusta dan saling menutup-nutupi, niscaya akan dihapuskan keberkahan penjualannya." (Muttafaqun 'alaih)

Kesimpulannya

Setiap perniagaan yang dijalankan perlulah diberikan kemudahan dan memudahkan pembeli untuk memiliki barang yang diingini dengan harga yang berpatutan, kerana Allah akan memberikan ganjaran yang sangat besar kepada penjual di akhirat nanti. Setiap perniagaan yang dijalankan janganlah mengharapkan keuntungan dunia semata-mata, kerana dalam masa yang sama kita telah menyusahkan orang lain dan ditakuti ada penipuan dalam perniagaan. Percayalah barang siapa yang menjual barang mengikut syariat Islam nescaya beliau akan memperolehi keuntungan yang sangat besar di dunia dan di akhirat.

Wednesday, April 21, 2010

Ulamak Dianggap Tidak Penting & Terpinggir


Salam bahagia dan salam gembira dari saya kepada anda semua. Rasa terkilan apabila masyarakat sekarang ini meminggirkan orang agama dan beranggapan bahawa orang agama ini hanya sekadar baca doa, imam masjid, khalifah Yassin dan Tahlil dan sebagainya. Sering didengari di mana-mana tempat ulamak dan orang agama dihina dan dicaci, kononnya orang agama tidak tahu cakap inggeris, tidak tahu pentadbiran, tidak tahu teknologi, tidak tahu bermasyarakat, tolak pembanggunan dan banyak lagi. Sedih betul saya, apabila ulamak dan orang agama dihina dan dianggap kuno dan tidak sesuai bercakap pada zaman ini. Masyarakat sekarang ini mengatakan hebat dan bertamadun bagi orang berkelulusan luar negara, kelulusan doktor (medic), kelulusan undang-undang, kelulusan bisnes dan sebagainya. Mereka menganggap lekeh dan hina orang yang berkelulusan Azhar, kelulusan Pengajian Islam, Kelulusan Syariah, Kelulusan Usuluddin dan sebagainya. Orang agama atau ustaz dan ustazah ini tidak diperlukan untuk pembanggunan negara, tidak diperlu di dalam masyarakat dan sebagainya. Contoh dapat dilihat sekarang ini seperti kebanyakkan ibu dan bapa tidak mempunyai keinginan langsung untuk menghantar anak mereka ke Pengajian Islam, ada ibu bapa apabila anak masuk sahaja tahun 6 sekolah rendah diberhentikan anak tersebut dari sekolah arab (agama) dengan alasan anak tersebut perlu tumpu 100% untuk UPSR.

Inilah yang dinamakan masyarakat sikular mengasingkan agama dan dunia, menganggap Pendidikan Islam ini tidak penting dalam didikan anak-anak mereka. Ustaz dan ustazah tidak penting dalam keluarga mereka, ustaz dan ustazah hanya menjadi tukang membaca doa dan imam di masjid sahaja. Inilah kesalahan dan inilah yang dinamakan munafik dan fasik, kerana meminggirkan Islam dibelakang dan menganggap Islam itu hanya doa, solat, tahlil, kahwin, bercerai dan Islam tidak sesuai untuk pentadbiran, Islam tidak sesuai untuk perlembagaan, Islam tidak moden dan sebagainya.

Tidak terpikirkah kita semua, bahawa orang agama inilah yang banyak membantu kita semua dalam hal-hal yang berkaitan agama. Apabila adanya kematian, ustaz juga yang menguruskannya mayat tersebut. Apabila adanya kenduri perkahwinan, ustaz juga yang datang untuk mengahwinkan pasangan tersebut. Apabila disampuk hantu atau syaitan, ustaz juga dipanggil untuk merawat sampuk tersebut. Apabila adanya kenduri kesyukuran, ustaz juga yang dijemput untuk membacakan doa. Apabila adanya masalah agama, ustaz juga yang mereka rujuk untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Imam dan bilal di masjid, ustaz juga yang dilantik. Apabila berlakunya penceraian dan masalah didalam keluarga, ustaz juga yang menjadi tempat rujukkannya. Cuba kita fikir, kalaulah ustaz tidak ada langsung dalam negara ini, bagaimana untuk menyelesaikan masalah seperti ini. Adakah peguam nak menguruskan jenazah kita? Adakah doktor nak menyelesaikan masalah penceraian? Adakah guru bahasa inggeris nak membaca doa tahlil dan yassin? Kalaulah situasi ini berlaku dalam negara ini, maka alamatnya hancur akidah umat Islam dan sesat amalan umat Islam negara ini, kerana melaksanakan kerja ibadah dan kerja Islam tanpa belajar dan rujuk kepada orang agama.

Pernah saya melawat seorang jenazah isteri kepada sahabat saya di Johor, sedih saya melihat penggali kubur memakai rantai sebesar ibu jari menguruskan pengebumian jenazah tersebut. Terdetik di hati saya, mana orang agama dikampung ini, mana penggali kubur yang baik, tidak melakukan perkara yang haram dan tidak pernah meninggalkan solat. Inilah yang dikatakan apabila orang agama dipinggirkan, maka jadilah seperti ini iaitu orang munafik dan fasik menguruskan mayat tersebut. Kesianlah kepada jenazah tersebut, sepatutnya biarlah orang agama yang menguruskannya dan biarlah jenazah tersebut diuruskan orang yang beriman dan orang agama, supaya jenazahnya dirahmati dan dicucuri rahmat. Apabila orang agama menguruskan mayat dan menanamkan mayat, maka ada juga terkeluar dari mulutnya doa, zikir dan ayat-ayat yang sepatutnya untuk disedekahkan kepada mayat tersebut.

Tapi malangnya masyarakat tidak sedar semua ini, mereka tetap mengatakan ustaz atau orang agama tidak penting. Kalau belajar agama tidak ada kerja dan susah hendak dapat kerja. Perkara seperti ini pernah berlaku kepada saya, ketika mana saya melanjutkan pelajaran ke sekolah agama (pondok), banyak orang mengatakan “Amin hang sambung sekolah agama, hang nak kerja apa? Orang agama nih boleh jadi imam je dan tak boleh nak kerja lain? Kalau hang sambung sekolah menengah, hang boleh jadi doktor, boleh jadi jurutera, boleh jadi peguam dan sebagainya”. Saya masih ingat lagi perkataan seperti ini, mereka sebenarnya lupa bahawa rezeki yang datang adalah dari Allah dan bukan dari manusia. Alhamdulillah, apabila saya habis belajar Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Kaunseling Islam di Indonesia tidak sampai 3 bulan saya menganggur terus dapat kerja sebagai Guru Agama MARA. Sebelum saya dapat kerja pun saya dijemput untuk menyampaikan ceramah, motivasi, mengajar dan sebagainya.

Manusia akhir zaman tidak lagi menghormati golongan agama dan tidak merasa penting golongan agama dalam kehidupan mereka, maka inilah yang dinamakan akhir zaman iaitu zaman yang menanti kemusnahan disebabkan berlakunya kiamat. Masyarakat sekarang ini kebanyakkannya terdiri daripada orang yang tidak menghayati Islam dan kebanyakkannya munafik dan fasik, kerana mereka tidak menjadikan Islam sebagai panduan hidup dan meraka menjadikan orang kafir (barat) sebagai idola kehidupan mereka. Dari Sahl Bin Saad As-Saadi R.A berkata : Rasulullah SAW bersabda :

"Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan satu zaman di mana para uama' sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang 'Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." (Riwayat Ahmad)

Apabila mereka meminggirkan golongan agama dan mengatakan golongan agama tidak diperlukan lagi, golongan agama tidak dihormati, dicaci dan dihina. Maka Allah akan mematikan para ulamak dan golongan agama supaya masyarakat moden ini menjadi sesat dan menjadikan golongan munafik sebagai pemimpin dan ikutan mereka agar mereka lebih jauh dari kebenaran agama Allah. Hal ini telah terbukti bahawa orang agama semakin berkurangan dan orang bukan agama bercakap tentang agama seolahnya mereka alim (pakar) agama. Tetapi mereka lupa setiap percakapan mereka itu adalah sesat, kerana mereka hanya menggunakan logik semata-mata dan tidak berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash ra :

“Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Akhir sekali, marilah kita semua jadikan golongan agama sebagai panduan hidup, kerana golongan agama mengetahui akan hujah Al-Quran dan Hadis. Hormatilah mereka atas keilmuan dan keimanan mereka kepada Allah. Jangan sesekali menghina para ulamak atau golongan agama, kerana hujah mereka adalah hujah agama yang termaktub di dalam kitab Allah dan Sunnah Nabi. Jadikan mereka sebagai jalan kepada kita untuk mencari redho Allah supaya kita semua mendapat perlindungan dari melakukan dosa dan maksiat.

“Ulamak itu adalah pewaris Nabi”.

Monday, April 19, 2010

Elak Dari Makan Di Kedai Kotor & Ragu-ragu


Salam bahagia kepada semua, semoga anda semua dalam keadaan sihat dan ceria selalu, mulakan langkah anda dengan rasa syukur kepada Allah untuk meneruskan perjuangan anda sebagai hamba Allah. Artikel kali ini saya nak berkongsi dan bercerita sedikit tentang makanan di kedai atau restoran yang kotor. Kadang-kadang kedai makan dihadapan saja Nampak cantik dan bersih, tetapi di belakangnya atau di dapur masaknya kotor dengan kuali tidak basuh, lantai hitam berair, pekerja berpakaian kotor dan sebagainya. Pernah berlaku dalam hidup saya dengan kawan-kawan semasa makan di kedai nasi kandar pinang, masakkan memang sedap maklumlah nasi kandar. Dengan kuasa Allah kami terlihat di dapurnya ada seorang perempuan india yang bertanda merah di dahinya. Ada peristiwa lain saya alami di kedai nasi kandar pinang juga, iaitu lori ayam cina masuk hantarkan ayam mati di kedai nasi kandar tersebut dan banyak lagi peristiwa yang mual untuk diceritakan. Terbaru dari berita Radio IKIM FM mengenai sebuah kedai mamak di Johor mengambil pekerja bukan Islam dari India dengan meletakkan logo halal tiruan di depan kedainya. Tetapi penipuan itu akhirnya pecah temerlang disebabkan pihak berkuasa minta Sijil Halal JAKIM dan mamak tersebut tidak dapat mengeluarkan Sijil Halal Tersebut.

Dari cerita di atas ini, memang takut dan serik untuk makan diluar tambah-tambah kedai mamak nasi kandar. Sebab tahap kebersihannya sangat kotor dan tidak terjaga. Mamak buat roti canai, mee goreng basuh tidak tangannya semasa menyediakan makanan. Untuk mengelakkan masalah ini semua, boleh dengan cara kita sebagai pelanggan mesti memastikan kedai mamak atau kedai makan tersebut bersih terutama di dapurnya. Kerana ini penting untuk menjamin makanan tersebut bersih. Untuk kita mengetahui peribadi tuan kedai tersebut pembersih ataupun tidak, lihatlah pakaiannya atau dapurnya, dua perkara ini cukup untuk menggambarkan peribadi tuan kedai tersebut. Cara saya menilai kedai makan dari sudut kebersihan kedai, pakaian, bertudung, Tidak memasang lagu-lagu laqa (lalai), tidak memakai benda-benda yang diharamkan oleh Islam seperti orang lelaki memakai gelang atau rantai dan sebagainya. Kenapa saya perhatikan semua ini? Sebab semua ini akan mempengaruhi makanan yang masuk ke dalam badan dan menjadi darah daging kita. Orang yang soleh sangat menitik beratkan soal pemakanan kerana mereka beranggapan makanan yang tidak bersih dan kotor akan menjadi racun dalam diri mereka dan susah untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Di antara perkara yang mereka beratkan ialah sayur perlu disamak disamak, pinggan atau gelas yang digunakan oleh orang kafir tidak akan digunakan, mereka tidak masuk kedai-kedai yang tidak bersih, tidak masuk kedai yang tidak menutup aurat dan seumpamanya.

Makanan yang disediakan oleh kedai, kebanyakkan makanan tidak dibasuh dengan baik dan sempurna. Pernah saya makan nasi campur di sebuah kedai di Johor, dalam sayurnya ada ulat daun, dalam ikan bilisnya ada ulat, ikan busuk dan banyak lagi. Untuk mengelakkan semua ini berlaku, maka kita semua perlulah mencari kedai yang bersih, tuan kedainya tidak meninggalkan solat dan menutup auratnya dengan sempurna. Jangan melanggan kedai tersebut sekadar murah harganya, sedap masakannya, tetapi langganlah kedai makan berdasarkan kebersihannya dan ketaqwaannya kepada Allah. Barulah diri kita terhindar daripada perkara-perkara yang syubhah atau ragu-ragu.

Sebelum ini pernah saya buat satu artikel berkaitan dengan masalah cop halal yang ada di pasaran sekarang ini. Sebagai seorang muslim haruslah peka dengan persekitarannya yang berlaku. Setiap pembelian mestilah berdasarkan kepada barangan muslim dan cop halal dari JAKIM, kerana dua benda inilah yang menjamin kesucian barangan tersebut.

Sunday, April 18, 2010

Masjid Menjadi Sasaran Latihan Menembak


Penggunaan replika masjid sebagai sasaran penembak dalam latihan ketenteraan Angkatan Tentera Darat Britain di North Yorkshire telah mendapat kecaman daripada kaum Muslimin. Perbuatan ini mencerminkan tujuan strategik Britain dan kekuatan ketenteraan atas dasar penjajahannya di dunia Muslim.

Taji Mustafa,wakil salah satu NGO Islam Britain berkata, "Terus terang, tentera Britain menggunakan replika masjid sebagai sasaran penembak dalam latihan mereka adalah sangat menjijikkan. Lebih menjijikan lagi kerosakkan yang jelas berlaku terhadap kehidupan manusia, masjid dan bangunan-bangunan yang lain sepertimana yang telah berlaku di Afghanistan dan Iraq sejak 2001. Kaum Muslimin berhak menunjukkan kemarahan mereka, tidak ada yang perlu dihairankan dalam perkara ini."

"Bukti ini bukan sahaja mencerminkan 10 tahun pencerobohan berdarah, penjajahan dan tindakan kejam, tetapi juga mencerminkan matlamat masa depan Britain," ujar Taji Mustafa.

Menurutnya, Britain membuktikan bahawa penjajahan mereka di dunia kaum Muslimin tidak diterima di dunia Islam sehingga mereka sendiri perlu melakukan banyak tindakan keganasan. Perkara ini berlaku tanpa membezakan parti mana yang menang pada pilihan raya yang akan datang, kata Taji Mustafa.

"Kerana kedua-dua parti utama berkomitmen dalam pencerobohan di Afghanistan dan kedua-duanya menyokong perang di Iraq," tegasnya.

"Ahli politik menghabiskan banyak waktu dalam bercakap tentang rancangan 'mencegah' kemarahan umat Islam, sementara mereka aktif dalam mendorong rancangan 'membuat' perang di dunia Islam."

Ini membuktikan bahawa Islam, umatnya dan tempat-tempat ibadah menjadi sasaran tentera Britain dalam terus melaungkan penjajahan di negeri-negeri kaum Muslimin.

Kiriman http://jebbat.blogspot.com

Friday, April 16, 2010

Mohon Sumbangan Ikhlas Untuk Saham Akhirat

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, saya doakan semoga anda semua sihat dan diberikan kemudahan untuk melaksanakan tugas-tugas harian anda semua. Kesempatan ini, saya selaku pengerusi Surau Al-Hidayah IKM Johor Bahru ingin memohon dan merayu sedikit sumbangan ikhlas daripada pihak tuan/puan untuk mengerakkan segala aktiviti keagamaan yang telah dirancangkan oleh kami. Diantara program yang telah dirancangkan dan dijalankan ialah :
  1. Kuliah Maghrib pada setiap hari Isnin yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amar Bin Abdullah, kuliah yang disampaikan ialah berkaitan dengan Tafsir Al-Quran.

  2. Kuliah Maghrib pada setiap hari Selasa yang disampaikan oleh Ustaz Haji Ishak Bin Aziz, kuliah yang disampaikan ialah berkaitan dengan Fiqh Ibadah.

  3. Kuliah Maghrib pada setiap hari Rabu yang disampaikan oleh Ustaz Fathul Munir Bin Mat, kuliah yang disampaikan ialah berkaitan dengan Akidah Islam.

  4. Yassin Perdana dan Ceramah Perdana di adakan sebulan sekali diantara semua warga IKM Johor Bahru.

  5. Pengajian Kitab Kuning yang disampaikan oleh Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal. Kitab yang dibacakan ialah kitab Hidayatul Subiyan (hidayah Anak-anak kecil) pada setiap pagi Rabu.

  6. Rancangan untuk membeli 100 nafkah Al-Quran PJ 1888 berharga RM 25.00 sebuah X 100 buah = RM 2500.00. Rancangan untuk membeli nafkah Al-Quran adalah bertujuan untuk kegunaan semua warga IKM Johor Bahru.

Permohonan sumbangan ikhlas ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada semua untuk mencari saham akhirat dengan melaburkan sedikit harta ke arah majlis-majlis ilmu dan ke arah kebaikan. Ganjaran yang akan dibalas oleh Allah sangat besar bagi sesiapa yang menyumbangkan sedikit hartanya untuk jalan agama.

Sebagai bukti kepada semua pengunjung, saya masukkan gambar surau dan aktiviti surau yang telah dilaksanakan. Segala program yang telah dirancangkan adalah untuk memberikan pendedahan agama kepada semua warga IKM Johor Bahru.

Segala sumbangan ikhlas anda bolehlah masukkan terus ke akaun Surau Al-Hidayah IKM Johor Bahru. No Akaun Bank Islam 01041010029289. Kepada sesiapa yang ingin melalui kiriman cek di atas nama Surau Al-Hidayah Institut Kemahiran MARA Johor Bahru.

Setiap kiriman cek atau wang pos boleh dihantar terus ke alamat :

Tetuan Surau Al-Hidayah,
Institut Kemahiran MARA,
Jalan Taruka Off, Jalan Datin Halimah,
80990 Johor Bahru.


Thursday, April 15, 2010

Hukum Orang Berhadas Menyentuh Al-Quran


Salam dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog Salam Perjuangan. Sebenarnya post ini disediakan adalah berdasarkan pertanyaan rakan kerja saya di Institut Kemahiran MARA Johor Bahru, beliau bertanya “Ustaz bagaimana hukum orang yang menyentuh Al-Quran tetapi tidak mempunyai air sembahyang (wuduk). Atas rasa tanggungjawab saya sebagai guru agama, maka saya telah menyiapkan sedikit perbahasan yang tidak seberapa ini untuk kepentingan umum dalam masalah menyentuh Al-Quran. Jika ada apa-apa pertanyaan atau pendapat bolehlah melalui ruangan komen yang disediakan.

Menyentuh dan mengangkat Al-Quran

Menurut firman Allah yang bermaksud : "Tidak menyentuhnya (Al-Quran) melainkan orang-orang yang suci." (Al-Waaqiah : 79).


Berdasarkan ayat Al-Quran di atas ini, haram bagi sesiapa yang menyentuh Al-Quran tanpa wuduk kerana ayat-ayat Al-Quran ini merupakan kalam Allah, perlu kita menghormati kalam Allah ini sebagai panduan kepada semua umat manusia. Haram juga bagi sesiapa yang datang haid menyentuh Al-Quran, kerana mereka berada dalam kekotoran atau berhadas besar. Mengikut sesetengah ulamak menyatakan bahwa dibolehkan bagi hafizah (wanita yang menghafal Al-Quran) sahaja di bolehkan mengulang dengan diniatkan kepada berzikir, tujuan dibolehkan ialah mengelakkan mereka lupa kepada surah-surah hafazan mereka kerana sesiapa yang menghafal Al-Quran diwajibkan kepada mereka menjaganya supaya mereka tidak lupa akan ayat-ayat yang telah dihafal. Tetapi jika mereka mengulang akan ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal dengan niat mengulang ayat Al-Quran maka hukumnya haram.

Kanak-kanak Mumayyiz menyentuh Al-Quran

Bagi kanak-kanak yang mumayyiz tidak mengapa menyentuh Al-Quran kerana keperluan mereka untuk mempelajari Al-Quran di sekolah atau ke tempat pengajian Al-Quran yang lain. Hal ini menurut fatwa Ibn Hajar mengatakan guru dan kanak-kanak dimaafkan terutama bagi mereka yang tidak berupaya menjaga wuduk mereka. Jika boleh atau berkemampuan, maka seeloknya mereka ini bertayammum sebagai ganti kepada wuduk mereka, tujuan bertayammum adalah mudah untuk mengambilnya jika berbanding dengan wuduk. Sumber rujukan ialah (I’anah Al-Thalibin: 1.82-83).

Mengangkat Al-Quran Dengan Barang Lain

Menurut kitab Al-Tuhfah bagi sesiapa yang mengangkat Al-Quran dengan barang lain, seperti meniatkan (qasad) menanggung mushaf, menanggung mushaf bersama barang, atau menanggungnya secara mutlak, ketiga-tiga cara ini adalah haram. Di bolehkan atau tidak haram jika diqasadkan kepada Al-Quran itu seperti menanggung barang biasa sahaja.

Menyentuh Lambaran, Kulit Atau Sarung Al-Quran

Menyentuh lambaran kulit mushaf adalah haram sekalipun bahagian yang tiada tulisan dan haram menyentuh bungkusan atau sarung mushaf yang khusus disediakan untuk menyimpan mushaf dengan syarat pada ketika itu mushaf ada di dalam bungkusan atau sarung berkenaan.

Menyentuh Mushaf Al-Quran Yang Mengandungi Tafsirnya

Menanggung dan menyentuh mushaf bersama tafsirnya tidak menjadi haram sekiranya tafsirnya itu lebih banyak. Jika tafsir itu sama banyak, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka adalah haram menyentuhnya. Ulama juga menggariskan kedudukan antara mushaf dan tafsir dalam mengukur banyak sedikitnya. Ketika menanggungnya yang diambil kira ialah jumlah Al-Quran dan tafsirnya. Manakala dalam perkara menyentuh, yang perlu diperhatikan ialah tempat di mana ia meletakkan tangannya. Jika pada tempat itu tafsirnya lebih banyak, tidak haram menyentuhnya, tetapi jika Al-Quran lebih banyak, haram menyentuhnya. (I’anah Al-Thalibin : 1:82).

Kesimpulannya

Perlu diingatkan setiap perkara yang hendak kita lakukan yang berkaitan dengan syiar atau syariat Islam perlu mempunyai hujahnya yang bersumberkan kepada Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Jika sesiapa yang melakukan perkara ibadah atau penghayatan Islam tanpa berpandukan kepada dalil-dalil atau hujah para ulamak, maka ia dinamakan sebagai jahil murakkab (jahil tidak mahu belajar), hal ini dikuatirkan orang tersebut sesat didalam penghayatannya.

Tuesday, April 13, 2010

Hukum Muslimah (Wanita) Membotakkan Kepala

Sekadar Gambar Hiasan Sahaja


Soalan yang telah dikemukakan ialah :

Assalamualaikum ustaz, saya ada pertanyaan. Boleh tak perempuan botakkan kepala dan tidakkan ianya menyerupai lelaki?

Jawapannya

Cukur kepala atau membotakkan kepala bermaksud membuangkan rambut di kepala dengan menggunakan pisau cukur atau seumpamanya sehingga lincin kepalanya. Allah jadikan wanita atau muslimah ini dengan sebaik kejadian dan dihiaskan dengan rupa dan paras yang cantik. Rambut perempuan juga merupakan perhiasan kepadanya. Setiap perhiasan yang Allah anugerahkan kepada perempuan wajiblah dijaga dengan baik mengikut syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.

Hukum mencukur atau membotakkan kepala perempuan adalah haram kerana ia perbuatan yang tidak disukai oleh Nabi Muhammad saw di dalam hadisnya yang bermaksud :

“Rasulullah saw berlepas diri dari perempuan yang meninggikan suara tangisan ketika meratap dan membotakkan kepala ketika musibah” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Jelas hadis di atas ini, bahawa Nabi tidak menyukai dan berlepas tangan bagi wanita yang meraung-raung dan mencukurkan kepalanya ketika ditimpa musibah. Hal ini juga sama dengan wanita yang mencukur kepalanya dengan sengaja, ingin menjadi lelaki (tomboy), bernazar dan sebagainya. Menurut pendapat saya wanita yang cukur kepala atau menyerupai lelaki (tomboy) sama ada membotakkan kepala, berpakaian adalah sangat buruk dan hilang keindahan serinya yang asli, jika dilihat sekali seperti lelaki bila direnung rupanya wanita. Islam menegah muslimahnya menyerupai lelaki dan hukumnya adalah haram.

Al Imam an Nawawi dalam kitabnya Syarah Sohih Muslim mengatakan bahawa :

“Adapun menggunting rambut dan memendekkannya (bagi seorang perempuan) untuk berhias dan kelihatan cantik, maka ia adalah harus jika mendapat izin dari suami dengan syarat tidak sampai menyerupai kaum lelaki”

Isteri yang ingin memendekkan rambut atau memotong sedikit rambutnya, mestilah mendapat restu atau izin suaminya terlebih dahulu. Manakala wanita yang tidak bersuami ingin memotong rambutnya untuk lebih cantik dan lebih kemas, maka ada ulamak berpendapat harus dengan syarat potongan rambutnya tidak menyerupai lelaki.

Kesimpulannya

Mencukur atau membotakkan kepala bagi muslimah, hukumnya adalah haram kerana menyerupai lelaki dan Rasulullah tidak menyukai perbuatan tersebut. Harus kepada muslimah yang ingin memendekkan rambutnya untuk kekemasan dan kecantikkan untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang lain, kerana rambut itu adalah aurat wanita dan hanya boleh diperlihatkan untuk mahramnya sahaja.

Monday, April 12, 2010

Hukum Membeli dan Menjual Barang Tiruan


Soalan yang telah ditanya kepada saya ialah :

Apa hukum menjual dan membeli barangan tiruan kepada jenama-jenamaan yang mempunyai hak cipta terutamanya pakaian, beg kasut dan lain-lain?

Jawapannya

Barangan tiruan adalah barang yang telah diciplak, ditiru dan di copy tanpa izin pencipta dengan jenama yang sama dan pengguna tidak dapat membezakan yang mana original dan yang mana tiruan. Sekarang ini barangan tiruan bersepah dan banyak di pasaraya, pasar malam, kedai borong dan sebagainya.

Barangan tiruan ialah barang yang dicuri reka dari pencipta yang sebenar tanpa izin dan hal ini sama dengan masalah mencuri. Islam melarang umatnya mencuri, kerana mencuri itu adalah haram. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Janganlah seorang dari kamu menjual atas barang jualan orang lain”

Fatwa dari Persatuan Ulamak Fiqh Sedunia dalam masalah ini ialah haram bagi sesiapa yang meniru barangan orang lain tanpa izin dari penciptanya. Barangan yang dimaksudkan di sini ialah barang yang menjadi hak cipta terpelihara.

Orang yang memprodukkan barangan tiruan seolahnya seperti mereka menipu pengguna dengan jenama yang diberikan. Contohnya baju kemeja yang diklon dari jenama yang terkenal tanpa izin dari penciptanya, kemudian produk tersebut dicopkan dengan jenama yang terkenal. Maka perkara ini merupakan penipuan yang nyata dan Islam sangat melarang umatnya menipu sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa menipu kami, maka bukanlah dari golongan kami”

Masalah curi dan menipu ini sangat jelas dalam Islam dan ia merupakan perkara yang haram dan mungkar. Setiap perkara yang haram itu jelas dan tiada ragu-ragu dan setiap perkara yang halal itu juga jelas dan tiada ragu-ragu. Cari sumber rezeki yang halal dan jauhkan diri dari terlibat dengan perkara yang haram. Kerana rezeki yang haram akan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Rezeki yang haram juga akan membuatkan hati menjadi hitam dan benak untuk melakukan perkara-perkara yang makruf. Hati orang yang makan rezeki yang haram menjadi keras dan susah untuk dibentuk dan ditarbiah.

Carilah rezeki yang halal dengan penat lelah diri sendiri, kerana rezeki yang halal ini walaupun sedikit tetapi ia memperolehi keberkatan dari Allah. Orang yang makan perkara yang halal dan baik, mudah untuk dirinya dan keluarganya untuk mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Bersyukurlah kepada Allah dengan rezeki yang diberikan kepada kita semua. Sesungguhnya Allah telah menentukan rezeki kepada setiap manusia. Kuat doa, usaha dan tawakal maka banyaklah rezeki yang diperolehi oleh kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)

“Oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (An-Nahl : 114)

Saturday, April 10, 2010

April Fool Adalah Hari Umat Islam Dibunuh



Bulan Mac telah melabuhkan tirainya. Bulan April kini menjelma. Terdapat suatu kebiasaan jahiliyah yang harus kita berwaspada sebagai seorang Muslim iaitu 1 April sebagai hari ‘April Fool’. April Fool adalah hari di mana orang-orang diperbolehkan untuk menipu atau berbohong tetapi orang lain. Tetapi tahukah anda apakah itu April Fool yang sebenarnya?

Sejarah April Fool

Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak sehebat perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, perhatikanlah di sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahil April Fool tanpa kita sedari. Wallahua’lam.

Kiriman http://jebbat.blogspot.com

Thursday, April 8, 2010

Setiap Muslim Wajib Berada Dalam Jemaah


Soalan yang dikemukakan ialah :

"Apakah pandangan ustaz mengenai kepentingan seseorang muslim brada dlm jemaah? Dan konflik yang lebih utama saya sedang hadapi sekarang, ialah tentang 'ingin mencari jemaah (@ cara pembawaan) yang terbaik untuk berdakwah'. Apa ye pndapat ustaz ttg ini? Apakah ciri2nya jemaah itu, dn perlukah kita sbg muslim cba mncarinya dn kmudian bgerak di dalamnya?

Jawapannya

Maksud jemaah ialah sekumpulan manusia untuk mencapai satu tujuan iaitu Islam dalam memartabatkan undang-undang Islam yang berlandaskan kepada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Jemaah sangat penting kepada semua umat Islam, sebab Allah menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Jika dakwah ini digerakkan berseorangan, belum tentu dakwah ini berkesan dan kurang mendapat sambutan. Jika digerakkan secara berjamaah, maka setiap kelemahan akan ditangani dengan baik menurut kepakaran bidang masing-masing dalam jemaah. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Al-Imran : 103)

Dari ayat Al-Quran di atas, dapat difahami bahwa orang yang berpegang teguh dengan agama Islam adalah orang yang bersatu padu dalam satu jemaah Islamiah untuk memperolehi jalan yang satu iaitu keredhoan Allah. Islam merupakan agama bersaudara diantara semua umat Islam, tidak kira dimana ia berada, warna kulit, keturunan dan bangsa. Apabila seorang umat Islam ditimpa musibah, maka wajib kita membantunya untuk mengurangkan musibahnya dengan apa cara sekalipun. Sejarah pada zaman Rasulullah saw, ketika mana ada seorang sahabat sedang nazar akibat mengalami kecederaan di medan peperangan, beliau meminta segelas air untuk minum sebagai menghilangkan daharganya. Apabila air itu sampai kepadanya, tiba-tiba sahabatnya meminta air untuk minum dan dia memberikan air itu kepada sahabatnya dengan alasan berikan air ini kepadanya, kerana ia lebih memerlukan dari aku. Apabila air itu sampai kepada sahabatnya, tiba-tiba sahabat disebelahnya pula meminta air untuk minum, dengan tidak melengahkan masa beliau berikan air tersebut kepada sahabatnya dengan alasan yang sama. Pengajaran dari cerita ini ialah betapa eratnya ukhuwah Islam di kalangan sahabat Nabi sehingga diambang mau, mereka masih mengutama sahabat mereka.

Islam dapat ditegakkan di dunia ini adalah disebabkan dari keberkatan perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya dalam satu jemaah. Mereka mendirikan sebuah Negara Islam dan mereka bersama-sama berjuang mempertahankan kota Islam dari serangan musuh. Jelas di sini bahawa kita semua wajib berada dalam satu jemaah Islam, kerana musuh Islam sangat takut kepada umat Islam yang berada dalam satu jemaah. Semasa zaman kegemilangan Islam, setiap Negara Islam di satukan dalam satu pemerintahan Islam iaitu pemerintahan berkhalifah, sehinggakan Islam tidak mampu digoyangkan oleh pihak musuh yang sentiasa mencari jalan dan cara untuk menjatuhkan kekuasaan Islam. Apabila pemerintahan berkhalifah jatuh dan diambil alih oleh pemerintahan sikular iaitu Kamal Attatuk dengan memecahkan negara-negara Islam menjadi kecil-kecil dan tidak bersatu, sehingga memudahkan pihak musuh mengganyang dan memusnahkan umat Islam sepertimana berlaku di Palestin, Iraq, Afganistan, Selatan Thailand dan sebagainya. Ini semua berpunca dari perpecahan umat Islam itu sendiri yang tidak berada di dalam jemaah Islam sepertimana zaman Rasulullah dan zaman pemerintahan Khulafak dahulu. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan".(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Cara mencari Jemaah

Jemaah Islam iailah jemaah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan jemaah tersebut berpandukan kepada 4 sumber perundangan Islam iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Jemaah yang benar ialah jemaah yang sentiasa memperjuangkan agama Islam dengan cara mencegah perkara yang mungkar dan melakasanakan perkara yang makruf. Firman Allah yang bermaksud :

“Di antara kamu ada segolongan manusia yang sentiasa mengajak manusia kearah kebaikan dan menyuruh berbuat perkara yang makruf (baik) dan mengcegah perkara-perkara yang mungkar (keburukkan) dan mereka itulah golongan yang berjaya”.

Jelas di sini jemaah Islam ialah jemaah yang menegakkan perkara yang makruf dan mengcegah perkara yang mungkar. Menurut hemah saya, jemaah Islam ini ialah jemaah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengandungi 4 imam yang muktabar iaitu Imam Syafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi. Inilah jemaah yang terbaik dan jemaah yang mengamalkan sunnah Nabi Muhammad dan sentiasa bergerak di dalam jemaah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa umat Islam di Padang Mahsyar di pecahkan menjadi 72 golongan, hanya satu golongan sahaja yang diterima oleh Allah iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jemaah-jemaah kecil yang ada sekarang ini seperti jemaah tabliq, jemaah ABIM, jemaah JIM dan sebagainya. Ini terpulang kepada kita semua untuk menyertainya, tetapi sebelum menyertainya mestilah menyelidiki dahulu latar belakang jemaah-jemaah tersebut, kerana takut tersalah langkah, seperti menyertai kumpulan sesat seperti Ayah Pin, Aminah Wadut, Haji Kaha dan banyak lagi. Selidiki dahulu objektif kumpulam, latar belakang ketua kumpulan dan amalan kumpulan tersebut sebelum menyertainya. Jika didapati kumpulan tersebut meragukan dan jauh menyimpang dari asas-asas syariat, maka lebih baik jangan menyertainya. Anda juga boleh menyemak status kumpulan-kumpulan tersebut di JAKIM atau mana-mana Majlis Agama Islam Negeri.

Cara Terbaik Untuk Berdakwah

Cara terbaik untuk berdakwah sepertimana yang telah dinyatakan di atas, iaitu mestilah di dalam jemaah, kerana orang yang berada dalam jemaah ini adalah orang yang tidak sesat dan memenuhi tuntutan Islam. Metode dakwah atau manhaj dakwah banyak dan berbagai cara yang boleh kita gunakan iaitu taklim, takdib, tadris dan tarbiyah. Ada juga dengan cara hikmah (kata-kata yang baik), mauizatul hasanah (contoh yang baik) dan mujadalah (berdiskusi, berdialok dan sebagai). Terpulang kepada kepakaran kita untuk menggunakan metode yang mana mengikut kesuaian kita. Tidak semestinya dengan berceramah sahaja, tidak semestinya dengan mengedar risalah sahaja, tetapi banyak lagi cara untuk berdakwah. Boleh juga teknik dakwah digabungkan dengan teknologi seperti blog, facebook, friendster, myspace dan sebagainya. Apa-apapun terpulang kepada kita untuk mencari teknik berdakwah. Selagimana kita menyampaikan perkara kebenaran dan mencegah perkara mungkar, maka itulah yang dikira dakwah, sebab itulah objektif dakwah. Dakwah di wajibkan kepada semua umat Islam untuk memberi peringatan akan kepentingan amalan agama kepada dirinya, keluarga dan masyarakat. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Sampaikanlah walaupun satu ayat”.

Kesimpulannya

Setiap muslim mesti dan wajib berada di dalam jemaah, kerana jemaah itulah sebagai pengerak kepada dakwah Islam. Jemaah Islam dapat menggeruni pihak musuh Islam, kerana sejarah telah membuktikan Islam itu kuat disebabkan berjemaah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Jemaah juga dapat mengubati segala kepayahan, kelemahan yang dialami oleh umat Islam. Jadikan jemaah Islam sebagai satu jalan untuk menuju keredhoaan Allah.

Wednesday, April 7, 2010

Sanggup Menempuh Dugaan Seperti Ini Untuk Menyampaikan Kebenaran?




Melarang Tampil dan Menyerukan (Dakwah) secara Terbuka


Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis yang panjang, dari ‘Aisyah ra. Ia berkata: “…Kaum Quraisy tidak menghiraukan jaminan Ibnu Daghanah. Mereka berkata kepada Ibnu Daghanah, ‘Perintahkanlah Abu Bakar untuk menyembah Tuhannya di rumahnya, dia boleh solat di rumahnya, dan membaca apa sahaja sesuka hatinya. Dengan seperti itu, dia tidak akan menyakiti kita sedikit pun. Katakanlah kepadanya, agar jangan tidak memperlihatkan ibadahnya itu, kerana kami khuatir tentang kaum wanita dan anak-anak kami akan terpesona. Kemudian Ibnu Daghanah pun menyampaikan permintaan kaum Quraisy itu kepada Abu Bakar. Abu Bakar tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas ia beribadah kepada Allah hanya di rumahnya dan tidak menzahirkan solat dan membacakan al- Quran di luar rumahnya. Tetapi setelah itu, Abu Bakar mempunyai keinginan untuk membina masjid di halaman rumahnya. Akhirnya dia pun solat dan membaca al-Quran di masjidnya itu. Apa yang dilakukan oleh Abu Bakar ini berjaya memikat kuam wanita dan anak-anak Quraisy. Mereka kagum ketika melihat Abu Bakar sedang beribadah di masjidnya. Abu Bakar adalah seorang lelaki yang kerap menangis, ia tidak mampu manahan air matanya ketika membaca al-Quran. Maka para pembesar Quraisy pun terkejut kerananya. Kemudian mereka memanggil Ibnu Daghanah, dan dia (Ibnu Daghanah) pun datang memenuhi panggilan tersebut. Mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami membiarkan Abu Bakar kerana jaminanmu bahawa dia akan beribadah kepada Tuhannya di rumahnya saja, tapi dia telah melanggarnya. Dia membina masjid di halaman rumahnya, kemudian secara terang-terangan solat dan membaca al-Quran di masjidnya itu. Kami sangat khuatir isteri-isteri dan anak-anak kami tergoda olehnya. Cegahlah dia! Jika dia memilih untuk menyembah Tuhannya di rumahnya, maka biarkan dia melakukannya. Tapi jika dia menolak dan tetap akan menyembah Tuhannya secara terang-terangan, maka tariklah semula jaminanmu terhadapnya. Kerana kami tidak ingin mempermalukanmu, dan kami tidak mengizinkan Abu Bakar beribadah secara terang-terangan….’”

Melempar dengan Batu

Ibnu Hibban dan Ibnu Huzaimah telah meriwayatkan hadis di dalam kitab sahihnya, dari Thariq al-Muharibi, ia berkata; Aku melihat Rasulullah SAW melalui pasar Dzil Majaz. Ia memakai jubah berwarna merah. Beliau bersabda: Wahai manusia, katakanlah La Illaha Illallah, nescaya kalian akan bahagia. Pada saat itu, ada seorang lelaki yang mengekori Rasulullah SAW sambil melemparkan batu kepada baginda. Akibatnya tumit dan betis baginda berdarah. Orang itu berkata, “Wahai manusia, jangan kalian mengikutinya kerana dia adalah seorang pendusta.” Aku berkata, “Siapa orang itu?” Mereka berkata, “Ia adalah anak muda dari bani Abdil Muthalib.” Aku berkata lagi, “Lalu siapa orang yang mengikutinya sambil melemparinya dengan batu?” Mereka berkata, “Abdul Uzza”, Abu Lahab.

Melempar Kotoran, seperti Najis (Tahi) Unta dan Lainnya

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Abdullah ra., ia berkata; Ketika Nabi SAW sedang sujud dan di sekitarnya terdapat sekelompok orang Quraisy, datanglah Uqbah bin Abi Mu’ith dengan membawa najis unta yang telah disembelih, lalu melemparkannya ke punggung Nabi SAW; maka Nabi tidak mengangkat kepalanya. Kemudian Fatimah datang dan mengambil kotoran (najis) itu dari punggung Nabi SAW. Baginda membiarkan apa yang dilakukan orang-orang Quraisy itu kemudian bersabda: Ya Allah, binasakanlah segolongan orang Quraisy, iaitu Abu Jahal bin Hisyam, Uthbah bin Rabi’ah, Syaibah Ibnu Rabi’ah, Umayah

Ibnu Khalaf atau Ubay bin Khalaf, (dua nama yang terakhir dari hadis di atas merupakan keraguan dari perawi hadis ini). Abdullah berkata, “Di kemudian hari aku melihat mereka telah terbunuh dalam perang Badar. Mereka semua dilemparkan ke dalam sumur Badar kecuali Umayah atau Ubay. Tubuhnya telah terpotong-potong sehingga tidak dilemparkan ke sumur.” Ibnu Sa’ad telah meriwayatkan dalam ath-Thabaqat daripada ‘Aisyah ra., ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Aku berada di antara kejahatan dua tetangga, iaitu Abu Lahab dan ‘Uqbah bin Abi Mu’ith. Keduanya suka membawa kotoran unta kemudian dilemparkannya ke pintu rumahku. Bahkan mereka (orang Quraisy) juga suka membawa sebahagian kotoran kemudian dilemparkannya ke rumahku.

Kemudian Rasul SAW keluar membawa kotoran itu seraya berkata, “Wahai bani Abdu Manaf, kejiranan seperti apakah ini?” Kemudian Nabi SAW melemparkannya ke jalan.

Berusaha Memijak Leher dan Menaburkan Tanah ke Wajah

Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah, ia berkata; Abu Jahal pernah berkata, “Adakah wajah Muhammad telah ditabur dengan tanah di hadapan kalian?” Kemudian ada yang menjawab, “Benar.” Abu Jahal berkata, “Demi Latta dan Uzza, jika aku melihat hal itu, maka aku akan memijak lehernya atau aku akan menaburkan tanah ke wajahnya.” Abu Hurairah berkata, “Kemudian Abu Jahal mendatangi Nabi SAW, ketika baginda sedang solat. Ia berhajat untuk memijak leher Nabi SAW. Kejadian itu, tidak ada yang menghairankan mereka, kecuali pada saat mereka berjalan di belakangnya dan menahan tangannya, dan bertanya, ‘Apa yang terjadi padamu?’ Abu Jahal berkata, ‘Antara aku dan Muhammad benar-benar ada parit api dan makhluk yang menakutkan, yang dipenuhi dengan sayap-sayap”. Rasulullah SAW bersabda: Andai kata (Abu Jahal) mendekatiku, maka sudah pasti anggota tubuhnya akan disambar oleh Malaikat satu persatu.

Penyiksaan Tanpa Diceritakan Caranya

Adz-Dzahabi meriwayatkan dalam at-Tarikh, al-Baihaqi dalam asy-Sya’bi, Ibnu Hisyam dalam as-Sirah, dan Ahmad dalam Fadhail Shahabah dari Urwah, ia berkata; Ketika Bilal sedang diseksa dan mengatakan Ahad, Ahad, Waraqah Bin Naufal berjalan melewatinya, sambil berkata: Ahad, Ahad, Allah! wahai Bilal. Kemudian Waraqah menemui Umayah bin Khalaf dan orang-orang dari Bani Jamuh yang telah menyiksa Bilal. Ia berkata; Umayah berkata, “Aku bersumpah dengan nama Allah, jika kalian membunuhnya dalam keadaan seperti itu, maka aku akan menjadikannya sebagai orang yang sentiasa dikenal.” Itulah yang terjadi, hingga suatu hari datanglah Abu Bakar ash-Shiddiq bin Abi Kuhafah tatkala mereka sedang menyiksa Bilal. Rumah Abu Bakar berada di perkampungan Bani Jamuh. Abu Bakar berkata kepada Umayah, “Kenapa engkau tidak takut kepada Allah ketika menyiksa orang miskin ini? Sampai bila engkau akan menyiksanya?”

Umayah berkata, “Engkaulah yang telah merosakkan orang ini, kerana itu selamatkanlah dia dari apa yang engkau lihat ini.” Abu Bakar berkata, “Baik, aku akan melakukannya. Aku mempunyai seorang hamba sahaya berkulit gelap yang lebih tegap dan lebih kuat memegang agamamu berbandingnya. Aku serahkan hamba tersebut kepadamu sebagai pengganti Bilal.” Umayah berkata, “Aku terima.” Abu bakar berkata, “Ya, hamba itu untukmu.” Maka Abu Bakar memberikan hambanya kepada Umayah, lalu mengambil Bilal dan memerdekakannya. Sebelum berlaku hijrah, Abu Bakar telah memerdekakan enam orang hamba bersama Bilal kerana (masuk) Islam.

Bilal adalah yang ketujuh, manakala yang lain adalah Amir bin Fuhirah, yang ikut serta di dalam perang Badar dan Uhud. Dia syahid di Bir Ma’unah. Umu ‘Ubays dan Zinirah, Al-Hakim telah mengeluarkan sebuah hadis di dalam kitab al-Mustadrak, ia berkata, “Hadis ini sahih, dan memenuhi syarat Muslim”, adz- Dzahabi menyetujuinya di dalam kitab at-Talkhish dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW menghampiri Amar dan keluarganya yang sedang diseksa. Kemudian Rasul SAW bersabda: Bergembiralah wahai keluarga Amar dan keluarga Yasir, sesungguhnya tempat yang dijanjikan kepada kalian adalah syurga. Imam Ahmad telah meriwayatkan dengan isnad yang perawinya terpercaya dari Utsman ra., ia berkata, aku datang bersama Rasul SAW, saat itu Beliau memegang tanganku. Kami berjalan-jalan di Batha hingga beliau mendatangi keluarga Amar yang sedang diseksa. Abu Amar berkata, “Wahai Rasulullah!,

Adakah seperti ini?” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Bersabarlah! Kemudian beliau bersabda, “Ya Allah, ampunilah keluarga Yasir! (Yasir berkata,) “Aku akan tetap bersabar”

Penyekatan Makanan

Ibnu Hibban telah mengeluarkan satu hadis dalam kitab Sahihnya; dari Anas, ia bekata; Rasulullah SAW bersabda: Aku telah diseksa kerana Allah, dan tidak ada seorang pun yang dianiaya. Aku telah diugut kerana Allah, dan tidak ada seorang pun yang diugut. Aku telah diboikot selama tiga hari tiga malam, dan aku tidak melihat makanan sedikit pun kecuali yang tersembunyi di bawah ketiak Bilal. Ibnu Hibban juga telah mengeluarkan dalam kitab Sahihnya, al- Hakim dalam al-Mustadrak, ia berkata, “Hadis ini sahih memenuhi syarat Muslim”, adz-Dzahabi menyetujui dalam kitab at-Talkhish dari Khalid bin Umair al-Adawiy, ia berkata; Atabah bin Gazwan telah berkhutbah di hadapan kami, ia memuji Allah kemudian berkata, “…Aku telah melihat diriku, dan aku termasuk yang ketujuh dari tujuh orang yang bersama Rasulullah SAW Kami tidak mempunyai makanan sedikit pun kecuali dedaunan pohon, hingga permukaan bibir kami terluka. Aku memungut satu kain kemudian memotongnya menjadi dua antara aku dan Sa’ad bin Abi Waqas, yang dikenal dengan julukan penunggang kuda Islam. Kemudian aku memakai setengah kain itu dan Sa’ad pula memakai setengahnya lagi. Pada hari ini, tidak ada seorang pun di antara kami yang hidup kecuali menjadi amir (pemimpin) di sebuah wilayah. Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi besar di dalam diriku tapi kecil di hadapan Allah…”

Kiriman
http://jebbat.blogspot.com

Tuesday, April 6, 2010

Pertaruhan Dalam Permainan Adalah Judi


Soalan yang dikemukakan ialah :

Saya ada kekeliruan dalam bersukan seperti badminton, golf dan lain-lain yang mana sebelum permainan bermula ada dibuat perjanjian antara pemain seperti berikut :

  1. Siapa yang kalah akan belanja makan atau air atau membayar kos bola atau bayaran kemasukkan dan lain-lain.

  2. Siapa yang menang akan dapat duit yg terkumpul dari setiap pemain atau dapat makan free dan lain-lain.
Perkara diatas dilakukan dengan alasan untuk menjadikan perlawanan itu lebih bersemangat dan pemain akan bermain bersungguh2 untuk menang dan tidaklah bermain dalam keadaan bersahaja/longlai.

Soalan saya, adakah perkara diatas dikira bertaruh/berjudi?

Jawapannya

Maksud judi ialah mempetaruhkan wang atau seumpama dengannya bagi sesuatu permainan seperti permainan bola sepak, golf, badminton dan sebagainya. Judi juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam, kerana ia mempunyai pertaruhan, harapan dan hilang wang pertaruhan apabila perlawanan itu dimenangi oleh orang lain. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah : 90)

Judi ini tidak semestinya dengan bermain daun judi, main game kuda, sport toto, nombor ekor dan sebagainya. Setiap benda yang ada wang pertaruhan atau mempertaruhkan apa-apa benda adalah dikira sebagai judi. Jadi merupakan perkara yang telah diharamkan dalam Islam dan mempunyai dalil yang jelas (qat’i) dan tidak perlu dipertikaikan lagi untuk mencari kehalalannya.

Menjadi tradisi dalam permainan bola sepak, badminton dan sebagainya siapa yang kalah mesti membayar kos permainan tersebut atau belanja lawannya makan free dan sebagainya. Bagi pendapat saya berdasarkan dalil di atas, pertaruhan ini adalah haram, kerana ia melibatkan pertaruhan dan harapan untuk seseorang itu menang. Masalah ini sama dengan permainan daun judi yang mempertaruhkan duit dalam permainannya, sesiapa yang menang dalam permainan tersebut dia akan mendapatnya.

Di haruskan perlawanan bola sepak, badminton, golf dan sebagainya yang menawarkan hadiah bagi pemenang oleh penganjur dengan tidak mempunyai wang pertaruhan daripada pemain. Wang yang dikenakan sebagai wang pendaftaran sahaja dan tidak melibatkan apa-apa pertaruhan yang boleh disamakan dengan judi.

Hal ini sama juga dengan peraduan-peraduan sms yang mengenakan caj setiap jawapan yang diberikan dan peraduan sms itu tidak diketahui apa jadi dengan jawapan tersebut. pihak yang mengetahui hanyalah penganjurnya sahaja. Kadang-kadang itu soalan yang ada cukup mudah dan boleh dijawab oleh pelajar darjah 1. Orang yang menyertainya memang betul jawapannya tetapi tidak menang juga. Ini yang dikatakan judi dan penindasan. JAKIM dan bekas Mufti Perlis iaitu Dr. Asri Zainal Abidin telah mengeluarkan fatwa mengenai peraduan sms ini dengan mengatakan peraduan tersebut adalah haram sebab tidak mematuhi syarak dan membazir.

Ringkasnya, setiap perkara yang dipertaruhkan adalah judi, tidak kira jenis perkara dan barang apa yang dipertaruhkan. Sesiapa yang berjudi adalah dosa besar kerana melanggar perkara yang telah jelas diharamkan oleh syarak. Makanlah dari rezeki yang dihalalkan oleh syarak, iaitu rezeki yang dicari dari hasil penat lelah kita sendiri. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG