PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, May 31, 2010

Konvoi Gaza: 16 mati, kapal dirampas


Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.

Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada di atas kapal dan Allah SWT sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka. Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Sumber Harakah Daily

Saturday, May 29, 2010

Kasut Crocs Ada Kalimah Allah


Assalamualaikum,

Now, ramai dah mula bercakap mengenai kasut crocs mempunyai kalimah Allah pada logonya. Saya harap ustaz dapat memeberi pandangan dalam hal ini. Boleh dikatakan ramai orang Malaysia pakai brand ini samada original mahupun yang tiruan.

Jawapannya

Umat Islam dari zaman Nabi Muhammad sehingga sekarang tidak sepi dari cubaan musuh Islam untuk menyesatkan akidah umat Islam. Berbagai cara, teknik dan metode mereka gunakan untuk jatuhkan akidah umat Islam. Dahulu mereka gunakan teknik kekerasan iaitu peperangan, pembunuhan dan penindasan untuk menyekat kebangkitan umat Islam. Tetapi teknik ini seringkali menghadapi jalan kegagalan dan kebuntuan musuh Islam. Sekarang mereka menggunakan kaedah baru iaitu dengan menggunakan psikologi, hiburan, budaya dan penindasan. Mereka masukkan siaran-siaran yang melalaikan seperti filem-filem keagamaan mereka, pelakon yang tidak menutup aurat, 18 sx dan sebagainya. Teknik baru yang digunakan oleh musuh Islam ini sangat berkesan sehingga dapat memecahkan beberapa fahaman umat Islam, di antaranya ialah seperti Islam librare, Islam sikular, Islam Moden, Islam Tradisional dan sebagainya. Apabila Islam telah berpecah mudah bagi mereka untuk menghancurkan Islam sepertimana yang telah berlaku kepada zaman kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthmaniah Turkey. Sekarang umat Islam tidak terbela lagi sehingga darah daging umat Islam sama nilainya dengan ikan-ikan busuk di pasar malam dan pasar minggu.

Umat Islam sekarang menghadapai masalah sosial yang paling serius dan susah untuk diubati lagi, kecuali dengan undang-undang Islam. Sering kita dengari di dalam media masa, umat Islam paling ramai dengan sumbang mahram, seks bebas, buang anak, penyalah gunaan dadah, rempit, malas belajar dan sebagainya. Ini semua berlaku adalah dari agenda terancang musuh Islam dahulu, kini dan selamanya hingga kiamat.

Yang Terbaru, ialah penghinaan Kalimah Allah di kasut, tatu badan, rantai samseng, tali pinggang dan sebagainya. Ini semua merupakan penghinaan kepada agama Islam dan umat Islam. Selagi mana umat Islam tidak bersatu, maka selagi itulah musuh Islam berani untuk menghina Islam. Sebenarnya saya dah buat satu artikel berkaitan masalah ini, klik sini untuk membacanya.

Kembali kepada perbahasan asal artikel ini, masalah logo kepada kasut crocs yang hangat diperkatakan oleh orang sekarang ini. Setelah saya lihat logonya memang sangat serupa dengan kalimah Allah sama ada original atau tiruan. Pendapat saya, lebih baik elak dari membelinya dan elak dari memakainya, kerana kita dikira bersekonkol melaksanakan kerja jahat syarikat tersebut dalam menjatuhkan maruah Islam. Walaupun kita kuat sembahyang, tutup aurat, kuat sedekah dan berbagai ibadah yang lain kita buat, tetapi masih menggunakan kasut berlogo kalimah Allah, maka tiada gunanya ibadah kita selama ini, kecualilah kepada orang yang tidak tahu bahawa kasutnya ada kalimah Allah. Inilah yang disifatkan oleh Nabi Muhammad bahawa umatnya di akhir zaman diibaratkan seperti buih atau sampah di lautan, tiada tindakan yang boleh dibuat untuk membasmi masalah kasut logo kalimah Allah ini.

Saya percaya ada sebahagian umat Islam akan mengatakan bahawa
“inilah kerja ustaz dan orang agama itu tak boleh ini tak boleh semua haram”. Ada yang kata “alamak ustaz kasut nih sedap pakai dari kasut-kasut lain, kerana ia mudah dan senang, nak ambil air wuduk pun mudah nak pi jamban pun mudah”. Anda semua perlu ingat, Walau apa cara sekalipun hatta menggadaikan harta dan nyawa untuk mempertahankan Islam, maka wajib kita kena buat dan tiada terkecuali, kerana menjaga agama adalah kewajipan bagi umat Islam semua. Biarlah susah sikit untuk perkara dunia dan senang untuk perkara akhirat. Ganjaran sangat besar bagi orang yang sanggup mengorbankan dirinya untuk menagih cinta Ilahi. Kerja sebagai seorang Ustaz atau pendakwah ini sangat berat dan membetulkan salah orang, kalau bukan ustaz membetulkan salah orang siapa lagi. Adakah artis akan membetulkan salah masyarakat? Jelas ini memang kerja ustaz dan pendakwah, memang kena tegur kesalahan orang dan bukan menegur kesalahan binatang atau haiwan.

Saya seru kepada semua, jom kita boikot syarikat kasut tersebut dengan rasa sensetifnya terhadap penghinaan kalimah Allah tersebut. Inilah cara yang kita mampu buat dari yang lain dan kita sama-sama doakan agar kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap syarikat-syarikat yang meletakkan kalimah Allah kasut dan sebagainya. Sebagai tanggungjawab Islam, maka wajiblah kita menyampaikan perkara kebaikan kepada saudara-saudara sesama Islam mengenai masalah ini. Saya akan buat aduan JAKIM tentang masalah kasut yang menggunakan kalimah Allah ini, sebagai rasa bertanggungjawab.

Friday, May 28, 2010

Cara Mandi Hadas (Mandi Wajib)


Assalamualaikum ustaz...

Macamana kah cara mandi wajib lelaki yang betul? ada kah menggunakan hos sambil berniat membersihkan badan dikira sah sebanyak tiga kali dilakukan..terima kasih..

Jawapannya

Terlebih dahulu saya berikan pengenalan mandi wajid dahulu sebagai pengetahuan kita semua. Mandi wajib atau dinamakan mandi hadas disebabkan keluarnya mani, keluar darah haid, nifas dan berjunub (bersetubuh) antara suami dan isteri. Menurut pandangan As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah jilid 1 mengatakan bahawa :

“Mandi adalah meratakan air ke seluruh tubuh”.

Mandi disyariatkan berdasarkan Firman Allah yang bermaksud :
“…dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib…”. (Al-Maidah : 6)

Jelas di sini bahawa mandi wajib adalah menyampaikan air keseluruh anggota-anggota zahir tanpa ada halangan seperti cat, sisik ikan, minyak dan seumpamanya. Jika ada perkara yang menghalang air sampai ke seluruh anggota badan, maka tidak sah mandi tersebut dan ia perlu mengulangi mandi tersebut.

Perkara-perkara yang mewijibkan mandi

  1. Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).

  2. Keluar mani walaupun sedikit.

  3. Mati melainkan mati syahid.

  4. Keluar haid bagi perempuan.

  5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).

  6. Wiladah atau melahirkan anak.


Fardhu mandi

Pertama :

Niat

Keluar mani atau keluar haid dan nifas

نَوَيْتُ رَفَعَ الْحَدَثِ الْاَكْبَرِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْحَيْضِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْجَنَابَةِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan keluarnya darah nifas

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ النِفَاسِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Kedua :

Menghilangkan najis daripada anggota badan. Iaitu sebelum memulakan mandi, perlulah terlebih dahulu membersihkan atau menghilangkan najis daripada anggota badan.

Ketiga :

Mengalirkan atau meratakan air ke seluruh anggota badan. Maksudnya ialah menyampaikan air ke seluruh bulu, rambut, seluruh anggota badan dan mengalirkan air kepada tempat-tempat yang zahir daripada khubul dan dubur.

Cara mandi

  1. Sebelum memulakan mandi hadas, maka terlebih dahulu mandi biasa untuk membersihkan tubuh, menghilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan. Perlulah disabun terlebih dahulu sebagai tanda menghilangkan kotoran sebelum mandi hadas. Ingatan saya, jangan ketika mandi hadas anda sabun, kerana sabun itu bukan dari air yang mutlak dan mandi hadas anda boleh menjadi tidak sah di sebabkan sabun tersebut.

  2. Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.

  3. Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.

  4. Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu.

  5. Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.

  6. Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi.

  7. Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.

  8. Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.
Saya rasa ini sahaja untuk perbahasan bab mandi hadas bagi lelaki dan perempuan. Maaf saya menulis artikel ini dengan ringkas dan menggunakan teknik penulisan poin sahaja. Jika ada apa-apa persoalan boleh kemukakan di ruangan komen dibawah ini. Insyaallah saya akan menjawabnya jika masa mengizinkan. Anda juga boleh menyemak di kitab-kitab fiqh, bab bersuci, bahagian mandi.

Wednesday, May 26, 2010

Ciri-ciri Utama Orang Bertakwa


Seperti yang kita ketahui bahawa segala bentuk ibadah kepada Allah swt di dalam ajaran Islam adalah untuk membina manusia menjadi insan yang bertakwa.

“Wahai sekamu manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu (daripada kamu), supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.” (Al-Baqarah : 21)

Hal ini termasuklah ibadah puasa yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan, adalah semata-mata untuk melahirkan insan yang bertakwa. Persoalannya adalah, apakah kriteria yang sebenarnya untuk menjadi insan yang bertakwa di sisi Allah swt? Di dalam Al-Quran terdapat banyak sekali ayat yang menggambarkan ciri-ciri orang yang bertakwa. Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al-An’am : 32)

Berdasarkan ayat di atas, jelas sekali bahawa Allah swt menghendaki sesiapa yang ingin mendapatkan status takwa dalam dirinya agar memandang bahawa kehidupan di akhirat yang kekal dan hakiki, adalah lebih baik daripada kehidupan di dunia yang fana dan menipu. Hal ini sejajar dengan gambaran di dalam ayat yang lain, iaitu:

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat)”. (Al-Ankabut : 64)

Allah swt menghendaki agar orang yang bertakwa memandang kehidupan akhirat dengan penuh kesungguhan. Ini kerana, di sanalah kehidupan hakiki yang akan dijalani oleh manusia. Sedangkan di dunia, Allah swt menghendaki agar orang yang bertakwa untuk bersikap sewajarnya dan tidak lalai dalam usaha untuk meraih keberhasilan dunianya. Ini kerana Allah swt menggambarkan kehidupan dunia ini sebagai tempat di mana manusia hanya sekadar bermain-main dan bersenda-gurau.

Di dunia, pada hakikatnya manusia tidak akan pernah meraih kebahagiaan dan penderitaan yang bersifat hakiki. Ini kerana, hanya di Syurgalah tempat yang hakiki bagi para pemilik kebahagiaan. Manakala neraka adalah tempat bagi pemilik penderitaan yang sebenarnya. Maka dari itu, alangkah naif, hina dan ruginya bagi orang yang sanggup mempertaruhkan kehidupan abadinya di akhirat kelak dengan alasan ingin merebut keberhasilan dunia. Sungguh orang-orang yang hidup dengan pemikiran sekular seperti itu tentu akan sangat menyesal ketika ia menyedarinya kesalahannya di akhirat kelak. Pada hari itu (hari hisab), penyesalan atas kekeliruan mereka sudah terlambat dan tidak akan berguna bagi mereka.

“Dan mereka berkata: Kalaulah Kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang Yang mencari kebenaran), tentulah Kami tidak termasuk Dalam kalangan ahli neraka. Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang Yang kufur ingkar), maka tetaplah JauhNya rahmat Allah dari ahli neraka.” (Al-Mulk : 10-11)

Maka benarlah ketika Allah swt memerintahkan Nabi saw agar menjauhkan dari golongan pencinta dunia. Sebab mereka tidak pernah peduli dengan peringatan yang datang dari Allah dan RasulNya.

“Oleh itu, janganlah Engkau (Wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata. (Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir daripada pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Najm : 29-30)

Nabi saw juga memperingatkan dengan jelas dalam sebuah hadisnya tentang kesan negatif pemburu dunia.

“Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan urusannya dan dijadikan kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak memberinya dari harta dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Di sisi lain, Nabi saw pula menjelaskan manfaat yang diperoleh bagi orang bertakwa, yang menjadikan akhirat sebagai tumpuan utamanya.

“Dan barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai keinginannya, nescaya Allah SWT kumpulkan baginya urusan(dunia)-nya dan dijadikan kekayaan di dalam hatinya dan didatangkan kepadanya dunia bagaimana pun keadaannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kiriman dari : http://jebbat.blogspot.com

Monday, May 24, 2010

Sanggul Tinggi Trend Tudung Masa Kini


Assalamualaikum ustaz,

Saya ingin bertanyakan tentang sanggul tinggi yang menjadi trend wanita masa kini. Setelah saya cuba untuk mencari jawapan bagi persoalan yang timbul dibenak iaitu apakah hukumnya... saya menjadi keliru kerana ada yang menberikan pendapat yang berbeza berdasarkan sebuah hadis iaitu

Hadis : Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :

"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim).

Ada yang menyatakan seperti ini...

Hadis yang menyatakan seperti bonggol unta itu ditujukan kepada perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat secara sempurna. Mereka memakai pakaian yang nipis-nipis mahupun ketat-ketat sehingga boleh menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit. Pemakaian seperti ini adalah dilarang sama sekali oleh Islam terhadap para wanita kerana seolah-olah mereka semacam bertelanjang juga.

Sanggul rambut di kepala yang selalu para wanita memakainya bukanlah membawa maksud seperti hadis di atas secara mutlaknya. Boleh sahaja untuk memakai sanggul asalkan tidak mendedahkan aurat di hadapan lelaki bukan mahramnya.

dan pendapat lain adalah seperti berikut

Ulama' Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah perkara yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan diizinkan oleh suaminya.

Imam Ramli (Ulama' Mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj :

"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya. Sekiranya wanita itu mendapat keizinan suaminya (bagi yang bersuami) atau tuannya (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka diharuskan. Ini kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada isterinya. Ini disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi (Jilid 2 ms 25)

Menurut ulama', seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.

SEBAB PENGHARAMAN

Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:

SEBAB PERTAMA : PENGUBAHAN

Rasulullah saw bersabda :

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)

Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut :

“Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal"

Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya. Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.

SEBAB KEDUA: PENIPUAN

Muawiyah berkata :

"Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.

Kesimpulan :

Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw bersabda:

"Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya." (Hr Abu daud - hasan sahih)

Rujukan: Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr soleh Fauzan.

Apa yang jelas di fikiran saya sekarang ini adalah pendapat yang kedua berdasarkan tulisan yang telah saya highlightkan.. Apakah ianya benar?

Sekian sahaja buat masa ni. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Wassalam.

Jawapannya

Ingatan kepada semua, wanita yang tidak menutup aurat adalam dosa dan haram perbuatan tersebut. Wanita yang bersanggul tinggi yang tidak menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh hadis yang pertama di atas. Masalah ini beza dengan wanita yang bertudung, tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya.

Masalah sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah dilihat dari tujuannya. Kenapa disanggulkan rambut tersebut? Adakah ia untuk diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya cantik? Atau sebagainya. Menurut saya, kalau sanggul tersebut dibuat adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang bukan mahram, maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki yang bukan mahram. Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. Tetapi apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul dan berpakaian kemas dan cantik.

Sanggul tinggi adalah harus apabila tidak menarik perhatian orang lain dan tidak mempunyai niat-niat yang tidak baik sepertimana dinyatakan di atas. Awas!!! Jika sanggul tersebut dapat menarik perhatian orang bukan mahram dan boleh membangkitkan syahwat orang lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu menukar teknik sanggulnya dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul tinggi dihadapan suaminya atau berpakaian cantik dihadapan suaminya, kerana ini adalah suruhan agama berhias untuk keselesaan suaminya.

Jika dilihat dari trend orang sekarang ini berfesion seperti sanggul tinggi dan fesion tudung yang semakin hari semakin menjadi-jadi fesion tersebut. Pendapat saya, jika fesion tersebut tidak melanggar hukum Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya bertelanjang sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram. Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :

“Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim).

Berpakaian atau bertudung sepertimana menurut Islam telah saya siapkan dalam bentuk artikel saya yang lepas. Untuk mengetahui pakaian yang dikehendaki oleh Islam bolehlah anda membaca artikel tersebut di sini.

Saturday, May 22, 2010

Rasulullah SAW Dihina Lagi



Molly Norris, seorang kartunis di Seattle telah membuat deklarasi bahawa 20hb Mei adalah hari ‘Everybody draw Mohamed Day’ (Hari untuk semua orang melukis Mohamed). Begitu biadab sekali tindakan si kafir ini. Kini, ‘Facebook’, laman web sosial yang berpengkalan di AS pula menyokong tindakan tersebut. Persoalannya sekarang, apakah tindakan kita umat Islam terhadap kebiadaban ini? Apakah kita masih lagi mengharapkan para pemimpin umat Islam yang dayus dan khianat untuk berbuat sesuatu? Kaum kuffar akan terus menerus menghina, membunuh dan merampas hak kaum Muslimin kerana kita hidup berpecah-pecah, tanpa kesatuan politik dan intelektual. Realitinya, kaum kuffar masih terus berani melakukan semua ini kerana ia masih dibenarkan oleh para pemimpin umat Islam yang khianat.

Alasan yang digunakan oleh Barat adalah tidak lain tidak bukan, kebebasan. Sesungguhnya kebebasan yang mereka laung-laungkan itu hanyalah merupakan alasan untuk terus menghentam Islam. Apakah ratusan Muslim yang dipenjara di Guantanamo Bay tanpa pertuduhan menikmati kebebasan seperti mana yang dilaung-laungkan Barat? Apakah individu di Barat yang mengkritik peristiwa ‘Holocaust’ bebas berbuat demikian? Hakikatnya terlalu banyak perkara yang boleh diketengahkan yang menunjukkan sikap hipokrit Barat dalam mengenengahkan idea kebebasan.

Barat mengetahui bahawa umat Islam tidak akan dapat berbuat apa-apapun kerana kita tidak hidup di bawah Islam sebenar yang akan melindungi kita. Mereka tahu bahawa kaum Muslimin lemah dan tidak bermaya tanpa kesatuan politik di bawah Daulah Islam. Namun, ramai antara kita kaum Muslimin masih buta dan terus leka dengan suasana hari ini tanpa ada sedikitpun kesedaran bahawa keadaan hidup kita hari ini , tanpa Islam sebagai Deen yang syumul, bukanlah keadaan yang diredhai Allah.

Junjungan besar kita, Muhammad SAW adalah makhluk Allah yang paling mulia. Baginda adalah Rasul kita. Baginda adalah penyelamat kita. Apakah kita akan terus redha dengan perilaku kaum kuffar yang terus menerus menghina Islam dan Rasul kesayangan kita ini? Barat sedar bahawa provokasi seperti ini akan membakar semangat kaum Muslimin dan ini memberikan mereka justifikasi yang lebih kuat untuk ‘War on Terror’ yang mereka pelopori. Dan mereka begitu ghairah berbuat demikian kerana mereka tahu, tiada siapa yang akan membela kita. Namun sejarah mengingatkan kita ketika George Bernard Shaw, seorang penulis Inggeris ingin membuat suatu penulisan negatif mengenai Rasulullah, kewujudan Khilafah Uthmaniyyah yang pada ketika itu sudahpun lemah, adalah cukup untuk menghalang penulis ini dari meneruskan hasratnya. Di dalam biografinya, tertulis:

‘I had long desired to dramatise the life of Mahomet. But the possibility of a protest from the Turkish Ambassador - or the fear of it - causing the Lord Chamberlain to refuse to license such a play, deterred me.' [Hesketh Pearson's biography of George Bernard Shaw]

(Saya telah lama ingin menulis drama mengenai kehidupan Muhammad tetapi kemungkinan adanya protes dari duta Turki – atau kebimbangan mengenainya – sehingga Lord Chamberlain menolak dari memberi lesen bagi drama ini, telah menghalang saya (dari menulisnya)

Kiriman dari http://jebbat.blogspot.com

Tuesday, May 18, 2010

Adegan Seks Ustazah di Asrama Pelajar

Sekadar gambar hiasan sahaja


Kosmo Online, Tarikh 18 Mei 2010


KUALA LUMPUR - Menjijikkan apabila seorang ustazah sebuah sekolah agama di sini yang lengkap berjubah, bertudung dan bersarung tangan tergamak melakukan hubungan seks di dalam bilik asrama pelajar dengan seorang warden.

Perbuatan terkutuk ustazah itu dan pasangannya terbongkar selepas rakaman video yang diambil ketika mereka melakukan hubungan seks tersebar secara meluas hingga diolah dalam empat siri yang berbeza tetapi melibatkan 'pelakon' yang sama.

Berdasarkan kepada percakapan mereka, rakaman itu dibuat kononnya untuk mengabadikan kenangan cinta mereka sejak enam bulan lalu.

Kosmo! mendapati dalam video seks pertama selama tujuh minit yang disebarkan itu, ustazah berkenaan pada mulanya seperti takut-takut apabila pasangannya cuba merakamkan aksi mereka menggunakan telefon bimbit. (Kosmo)

Pandangan Ustaz

Malu-malu apabila membaca artikel surat khabar ini. Saya sebagai seorang guru agama sangat jijik apabila mengetahui bahawa seorang pendidik yang berstatuskan ustazah mengadakan hubungan seks dengan warden asrama. Ini sekaligus memberikan tanggapan sangat negatif masyarakat kepada semua ustaz dan ustazah dengan mengatakan
“ustaz dan ustazah juga tak betul macam mana nak ajar orang”.

Berat apabila memegang status ustaz dan ustazah ini, kerana kesalahan kecil yang dilakukan akan dianggap besar oleh masyarakat. Sepatutnya sebagai seorang guru agama wajib mempertimbangkan setiap perbuatannya dahulu, kerana masyarakat sentiasa memerhatikannya. Inilah bahananya kalau setiap perbuatannya didahulukan dengan nafsu yang sentiasa bersahabat dengan syaitan. Alangkah baiknya jika setiap perbuatannya didahulukan dengan pertimbangan iman di dadanya, nescaya tidak akan sesat di dunia dan di akhirat.

Jadikan kerjaya sebagai seorang ustaz dan ustazah sebagai kewajipan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada semua masyarakat dan bukan sebagai kerjaya untuk memperolehi gaji yang lumayan dan tiada kerja lain yang boleh dibuat melainkan menjadi ustaz dan ustazah. Niat mulanya sudah tidak betul, maka tidak hairanlah kalau kita dengar ustazah melakukan maksiat seperti orang lain. Ini adalah disebabkan oleh individu berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap gelarannya sebagai seorang ustaz dan ustazah. Ini yang dikatakan sebagai penyakit masyarakat, harapkan ustazah dan ustaz sebagai pendidik tetapi mereka juga diibaratkan sebagai ketam yang mengajar anaknya berjalan bengkok. Apa-apapun kita berdoalah kepada mereka supaya kembali ke jalan yang benar.

Monday, May 17, 2010

Cinta Kerana Allah


Cinta kerana Allah adalah mencintai hamba Allah kerana keimanannya dan ketaatan kepada Allah SWT.

Keutamaan Cinta Kepada Orang Beriman

Mencintai orang-orang beriman yang senantiasa taat kepada Allah, sangat besar pahalanya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya kelak pada Hari Kiamat Allah akan berfirman, “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini Aku akan memberikan naungan kepadanya dalam naunganKu di saat tidak ada naungan kecuali naunganKu”

Diriwayatkan hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda :

“Demi Allah, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Tidak sempurna keimanan kamu sehingga kamu saling mencintai. Adakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu, yang mana jika kamu melakukannya nescaya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu!” (HR. Muslim).

Dalil yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna keimanan kamu sehingga kamu saling mencintai”. Hadis ini menunjukkan tentang besarnya pahala saling mencintai kerana Allah.

Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata.” (HR. Bukhari).

Hadis dari Abu Dzar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Hibban, ia berkata :

“Wahai Rasulullah, bagaimana jika ada seseorang yang mencintai suatu kaum tapi tidak mampu beramal seperti mereka? Rasulullah SAW bersabda, “Engkau wahai Abu Dzar, akan bersama siapa sahaja yang engkau cintai.” Abu Dzar berkata; maka aku berkata, “Sungguh, aku mencintai Allah dan RasulNya.” Abu Dzar mengulanginya sebanyak satu atau dua kali.”

Hadis Muadz bin Anas Al-Jahni bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya.” (HR. Al-Hakim).

Manifestasi Cinta kerana Allah

  1. Disunahkan orang yang mencintai saudaranya kerana Allah untuk memberitahukan cintanya kepada orang yang dicintainya. Abu Dawud dan At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : “Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka kabarkanlah bahawa ia mencintainya.”

  2. Disunahkan mendoakan saudara yang dicintainya ketika tidak bersamanya. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : “Barang siapa yang mendoakan saudaranya pada saat ia tidak bersamanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasinya berkata, “Semoga Allah mengabulkan; dan bagimu semoga mendapat yang semisalnya.” (HR. Muslim).

  3. Disunahkan meminta doa dari saudaranya. Abu Dawud dan Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar bin Khatab berkata: Aku meminta izin kepada Nabi SAW untuk umrah, kemudian beliau memberikan izin kepadaku dan bersabda : “Wahai saudaraku, engkau jangan melupakan kami dalam doamu.”

  4. Disunahkan mengunjungi orang yang dicintai, duduk bersamanya, saling menjalin persaudaraan, dan saling memberi kerana Allah, setelah mencintaiNya. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya ada seseorang yang mengunjungi saudaranya di kota lain. Kemudian Allah memerintahkan Malaikat untuk mengikutinya. Ketika malaikat sampai kepadanya, ia berkata, “Engkau hendak ke mana?” Orang itu berkata, “Aku akan mengunjungi saudaraku di kota ini.” Malaikat berkata, “Apakah ada hartamu yang dikelola olehnya?” Ia berkata, “Tidak ada, hanya saja aku mencintainya kerana Allah.” Malaikat itu berkata, “Sesunggunya aku adalah utusan Allah kepadamu. Aku diperintahkan untuk mengatakan bahawa Allah sungguh telah mencintaimu sebagaimana engkau telah mencintai saudaramu itu kerana Allah.”

  5. Senantiasa berusaha membantu memenuhi keperluan saudaranya dan bersungguh-sungguh menghilangkan kesusahannya. Hal ini berdasarkan hadis Mutafaq 'alaih dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda : “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya binasa. Barangsiapa berusaha memenuhi keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi perluannya. Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dari seorang muslim maka dengan hal itu Allah akan menghilangkan salah satu kesusahannya kelak di Hari Kiamat. Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di Hari Kiamat.”

  6. Disunahkan menemui orang yang dicintai dengan menampakkan (menzahirkan) perkara yang disukainya untuk menggembirakannya. Diriwayatkan oleh Thabrani dalam kitab As-Shagir, Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang menemui saudaranya yang muslim dengan menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannya, maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya di Hari Kiamat.”

  7. Disunahkan seorang muslim menemui saudaranya dengan wajah yang berseri-seri. Diriwayatkan dari Abu Dzar, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda : “Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun, walau sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.” (HR. Muslim).

  8. Disunahkan seorang muslim memberikan hadiah kepada saudaranya, berdasarkan hadis bahawa Rasulullah saw bersabda : “Kamu harus saling memberi hadiah, maka kamu akan saling mencintai.” (HR. Bukhari)

  9. Disunahkan menerima hadiah yang diberi saudaranya dan membalasnya. Dasarnya adalah hadis daripada Aisyah riwayat Bukhari, ia berkata : “Rasulullah SAW pernah menerima hadiah dan membalasnya.” Termasuk memberikan balasan hadiah yang setimpal adalah jika seorang muslim mengatakan kepada saudaranya, “Jazakallah Khairan”, ertinya semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Tirmidzi meriwayatkan dari Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa diberi kebaikan kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, “Jazakallah Khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang sangat baik.”

  10. Harus berterima kasih kepada orang yang telah memberikan kebaikan kepadanya. Diriwayatkan dari Nu’man bin Basyir, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan dapat mensyukuri nikmat yang banyak. Barangsiapa yang tidak dapat bersyukur kepada orang, maka ia tidak akan dapat bersyukur kepada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah sama dengan bersyukur. Dan tidak membicarakan kenikmatan bererti mengingkari nikmat. Berjemaah adalah rahmat, bercerai berai adalah azab.”

  11. Disunahkan membela saudaranya untuk mendapatkan kemanfaatan dari suatu kebaikan atau untuk memberikan kemudahan dari suatu kesulitan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW jika didatangi peminta-minta (pengemis), maka baginda suka berkata : “Belalah dia, maka kamu akan diberikan pahala. Dan Allah akan memutuskan dengan lisan nabiNya tentang perkara yang ia kehendaki.” (HR. Bukhari)

  12. Wajib memberi kemaafan terhadap saudaranya. Diriwayatkan Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang mengajukan permintaan maaf kepada saudaranya dengan suatu alasan tapi ia tidak menerimanya, maka ia akan mendapat kesalahan seperti kesalahan pemungut pajak.”

  13. Wajib menjaga rahsia seorang muslim. Diriwayatkan Abu Dawud dan Tirmidzi dari Jabir, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Jika seseorang berkata kepada orang lain dengan suatu perkataan kemudian ia menoleh (melihat sekelilingnya), maka pembicaraan itu adalah amanah”.

  14. Wajib memberi nasihat. Imam Muslim telah mentakhrij dari Abu Hurairah ra., ia berkata; sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Hak muslim ke atas muslim yang lain ada enam. Dikatakan, “Apa yang enam itu, Ya Rasulallah?” Rasul SAW bersabda, “Apabila engkau bertemu dengan saudara muslim yang lain, maka ucapkanlah salam kepadanya; Apabila ia mengundangmu, maka penuhilah undangannya; Apabila ia meminta nasihat kepadamu, maka berikanlah nasihat kepadanya; Apabila ia bersin dan mengucapkan al hamdu lillah, maka ucapkanlah yarhamukallah; Apabila ia sakit maka ziarahlah; Apabila ia meninggal dunia, maka hantarkanlah sampai ke kuburnya.”


Khatimah

Semoga dengan melaksanakan petunjuk Rasulullah SAW dalam mencintai seorang hamba keranaNya, kita dicintai Allah SWT sebagaimana hadis dari Umar bin Al-Khathab, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah mempunyai hamba-hamba yang bukan nabi dan bukan syuhada, tapi para nabi dan syuhada tertarik dengan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, siapa mereka dan bagaimana amal mereka? Semoga saja kami dapat mencintai mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Mereka adalah suatu kaum yang saling mencintai nikmat dan kurnia yang diberikan oleh Allah. Mereka tidak memiliki hubungan nasab dan tidak memiliki harta yang mereka kelola bersama. Demi Allah keberadaan mereka adalah cahaya dan mereka kelak akan ada di atas mimbar-mimbar dari cahaya. Mereka tidak berasa takut ketika banyak manusia berasa takut. Mereka tidak bersedih ketika banyak manusia bersedih.” Kemudian Rasulullah SAW membacakan firman Allah yang bermaksud :

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Yunus : 62)

Kiriman dari http://jebbat.blogspot.com

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru Kepada Semua

video



Salam buat semua rakan dan sahabat yang sentiasa mendapat naungan rahmat Allah. Bersempena Sambutan Hari Guru pada tahun 2010 ini, saya nak menyeru kepada semua yang bergelar guru, teruskan perjuangan anda mendidik anak bangsa ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Didik dan ajar mereka seperti anak dan adik sendiri. Jasa sebagai seorang guru memang besar dan pahalanya berterusan selagimana kita mendidik anak-anak murid kita kearah jalan kebaikan dan ketaqwaan.

Jangan jemu dalam melaksanakan kewajipan yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan Allah kepada kita. Tanggungjawab merupakan kewajipan yang perlu dipikul dan tunaikan, jika kita tidak melaksanakan kewajipan ini dengan baik, maka bererti kita menginkari perintah Allah dan berdosa kepada agama, bangsa dan negara.. Ingat wahai sekelian guru teruskan perjuangan anda dalam mendaulatkan negara, bangsa dan agama kepada tahap yang paling tinggi sekali. Segala pengorbanan dan usaha kita semua akan dianugerahkan pahala yang paling besar dari Allah SWT. Terimalah nasyid ini sebagai menghargai segala pengorbanan semua guru Malaysia.


SELAMAT HARI GURU

KEPADA SEMUA GURU-GURU MALAYSIA

Friday, May 14, 2010

Awas Dengan Website Sesat Dari Fikrah Islam


Salam sejahtera kepada anda semua, saya doakan anda semua berada dalam keadaan sihat dan diberikan nikamat kesihatan untuk melaksanakan segala amanah Allah. Sehari yang lepas (13 Mei 2010) saya diminta oleh seorang sahabat yang dikenali sebagai kulaan untuk memantau dan meneliti sebuah laman blog (Kebenaran Asalama) yang diragui akan penulisan artikelnya yang berkaitan dengan Islam. Apabila saya ziarah blog tersebut memang mendapati tulisannya memang berbeza seperti perkataan Allah, Muhammad dan sebagainya. Mulanya saya tidak perasan lagi penyelewengan artikel blog tersebut. Tetapi apabila saya baca artikelnya yang bertajuk “Melayu Pewaris Nabi” saya sangat terkejut dan tulisannya sangat menyimpang jauh dari perbahasan Islam. Jika anda semua ingin melihat sendiri blog tersebut, sila klik di sini.

Saya datangkan beberapa perbahasan dan dakwaan beliau kononnya bangsa melayu mempunyai persamaan dengan Nabi. Di antara penulisannya ialah :

“Kebanyakan bangsa Melayu mengikuti sesuatu agama yg ingin di terapkan kpd mereka. Apabila Malaysia merdeka, bangsa ini masih dijajah dan penjajahan ini adalah dlm bentuk agama. Perhatikan bangsa2 lain di dunia, apabila negara mereka di beri kemerdekaan, rakyatnya diberi kebebasan memilih agama yg ingin di anuti. Ini juga terdpt di dlm firman tuhan di dlm al quran iaitu tiada paksaan di dlm beragama. Perkara ini tidak terjadi kpd bangsa Melayu dan apakah muslihat di sebalik semua ini? Mengapakah bangsa Melayu merupakan satu2nya bangsa di dunia yg dijajah menggunakan agama? Adakah bangsa Melayu ini asalnya menganut agama hindu atau bangsa ini merupakan bangsa yg paling di geruni kebangkitannya sehingga terpaksa di jajah menggunakan agama? Musuh2 tuhan memang mengetahui ttg kehebatan bangsa Melayu dan satu2nya cara untuk mereka dpt menakluki dunia ialah dgn memastikan bangsa Melayu tidak kembali kpd agama nenek moyang mereka.”

Jawapan saya

Petikan di atas ini saya ambil dari muqadimah artikelnya. Pembetulan dari ayat Al-Quran yang digunakan beliau iaitu “tiada paksaan dalam agama”. Ayat ini dituju khas kepada orang non muslim untuk memilih dan menentukan agamanya, Islam juga tidak memaksa orang non muslim memeluk Islam. Hal ini berbeza dengan orang Islam yang ingin keluar dari agama Islam. Hukuman yang sangat berat bagi umat Islam yang murtad (keluar dari Islam) iaitu akan dikenakan hukuman Hudud. Kesimpulan dari ayat tersebut bahawa Islam tidak memaksa non muslim memeluk Islam dan umat Islam berkewajipan menyampaikan dakwah kepada non muslim.

Penjajah Inggeris datang ke Tanah Melayu adalah bertujuan untuk menyebarkan agama mereka iaitu kristian. Tujuan mereka menjajah negara-negara umat Islam adalah untuk mematahkan pengaruh Islam di Tanah Melayu yang ketika itu sangat terkenal seperti Melaka, Aceh dan Tanah Jawa. Orang Barat menjajah Melayu bukan sebab kehebatan orang melayu, kalau betullah orang melayu hebat, sudah lama penjajah kalah dalam peperangan menakluki Tanah Melayu dahulu.

Katanya lagi tentang masalah tulisan jawi di dalam artikelnya iaitu :

“Hanya bangsa Melayu menggunakan tulisan huruf2 arabaya. Semua kitab2 yg diturunkan tuhan kpd nabi2 menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa arabaya. Bangsa Melayu di zaman dahulu merupakan bangsa yg mahir dgn kitab2 yg di turunkan tuhan dan mereka merupakan tenaga pengajar bagi penganut agama nabi Ibrahim. Perkara ini jelas terbukti dgn kebanyakan negara2 luar dtg untuk mempelajari agama dari bangsa Melayu. Tulisan jawi ini diwariskan kpd org2 Melayu melalui hijrah Raja Iskandar ke Timur dan bangsa Melayu di zaman dahulu yg mempunyai segala kelebihan berbanding bangsa lain di dunia.”

Jawapan saya

Sebagai pembetulan kepada penulisannya mengenai bahasa yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasulnya dengan menggunakan bahasa arab. Jawapannya Allah itu Maha mengetahui dari segala yang bahru (makhluk) dan Allah juga sangat mengetahui segala bahasa yang ada di dunia ini. Allah sangat sukakan bahasa arab kerana Rasulullah di turunkan kepada bangsa arab. Bahasa dalam syurga Allah juga bahasa arab. Sebenarnya kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada rasulnya mengikut bangsa rasul tersebut. Contohnya seperti Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dalam bahasa Ibrani. Nabi Musa adalah dari keturunan Israel (Yahudi) dan bahasa mereka adalah bahasa Ibrani. Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab kerana bangsanya adalah bangsa arab. Kalaulah semua kitab diturunkan dalam bahasa Arab sudah tentu pengikut-pengikut Nabi Musa, Nabi Isa dan Rasul-rasul yang lain tidak faham dan payah untuk menerima dakwah mereka.

Petikan dari tulisannya lagi :

“Adakah Islam membawa tulisan jawi kpd bangsa Melayu sedangkan mereka sendiri membariskan al quran dan meletakkan tanda dgn alasan al quran tidak boleh dibaca tanpa baris dan tanda. Ini merupakan satu pembohongan yg jelas kerana mana2 bahasa di dunia, huruf2 lah yg membentuk perkataan dan bukan tanda. Cuba eja perkataan Islam di dlm jawi, tentu ianya di eja Alif Ya Sin Lam Mim bukan? Ini bermakna bangsa Melayu di zaman dahulu menganut agama nabi Ibrahim iaitu Asalama kerana ianya di eja Alif Sin Lam Mim.”

Jawapan saya

Penulisannya di atas ini mengenai huruf-huruf tulisan jawi. Penulisan jawi ini di bawa oleh ulamak-ulamak arab yang datang berhijrah ke Tanah Melayu. Ini bertujuan untuk memudahkan lagi proses dakwah dan pembelajaran Al-Quran. Saya tidak tahu tulisan yang digunakan di Tanah Melayu sebelum masuknya Islam. Orang melayu dahulu tidak pandai menulis, tidak pandai membaca dan bangsa yang sangat ketinggalan jauh dari bangsa lain, sebab itulah Melayu dijajah dahulu. Apabila Islam masuk di Tanah Melayu barulah dikenali dengan tulisan jawi dan baru terwujudnya pengajian-pengajian pondok dan sebagainya. Semua ini hasil pengajian orang melayu di Negara Arab dan belajar kepada bangsa arab yang berhijrah ke Tanah Melayu. Rasa saya tulisan jawi lama ditentukan bunyinya dengan baris, tetapi barisnya tidak dizahirkan seperti contoh بوم (bumi) atau بولو روم (bulu roma) dan banyak lagi. Tulisan jawi baru yang diguna pakai sekarang ini barulah mengikut perkataannya atau mengikut ejaan rumi. Jelas di sini bahawa tulisan jawi juga diambil dari kaedah bahasa arab.

Petikan dari artikelnya lagi :

“Musuh2 tuhan memang mengetahui hakikat ini, maka mereka berusaha menghapuskan penggunaan tulisan jawi di kalangan bangsa Melayu kerana di khuatiri penipuan ini di kesan.”

Jawapan saya

Pandangan saya yang menjadi musuh Allah itu adalah penulis blog tersebut yang berani mengatakan bahawa dirinya dari bangsa melayu berketurunan Nabi dan dia sebenarnya tidak sedar dirinya itu adalah orang yang munafik iaitu orang yang menyesatkan umat Islam yang lain. Setahu saya, anak cucu Nabi Muhammad saw mempunyai nama Syed, habib atau syarifah di hadapan nama mereka. Memang ada orang Melayu yang mempunyai nama-nama seperti syad, habib dan syarifah, kerana keturunan mereka telah bercampur dari darah Arab yang datang berhijrah ke Tanah Melayu dan berkahwin dengan orang tempatan. Tulisannya yang mendakwa dirinya dari bangsa melayu keturunan Nabi ialah :

“Hamba sebagai seorang Melayu dari keturunan nabi2 akan membangkitkan semula bangsa hamba dengan izin Tuhan yg maha kuasa. Ungkapan Takkan Melayu Hilang Di Dunia adalah ungkapan keramat bagi bangsa hamba. Walau berbagai cara di lakukan bagi menghapuskan bangsa hamba namun janji tuhan untuk membangkitkan semula agama yg diredhainya melalui bangsa hamba pasti tercapai. Bangsa yg hamba sayangi ini akan melaungkan semula kalimat kebesaran tuhan dan sekali lagi menakluki dunia. Berkat nabi2 dan para rasul yg diutus bagi meninggikan agama tuhan, taida yg mustahil di lakukan. Orang2 di dlm bangsa hamba yg memperkecilkan kebolehan bangsa hamba, mengkhianati nenek moyangnya sendiri.”

Kesimpulan

Sebagai pelayar internet untuk mencari bahan-bahan agama, mestilah anda mengetahui dahulu asal usul penulis tersebut dan mesti mengetahui bidang pengajian penulis tersebut. Ini penting untuk memastikan bahawa setiap artikel yang disiarkan tidak sesat dan bertepatan dengan kehendak agama. Saya kuatir kepada orang yang gemar mencari bahan-bahan ilmu Islam di internet tanpa mempelajari di kelas-kelas kuliah di masjid atau tempat lain, kerana orang seperti ini kurang pengetahuannya dan asasnya tidak mencukupi untuk menafikan perkara yang batil atau sesat. Setiap perkara yang diterima tanpa asas yang kukuh dari dalil-dalil aqli dan naqli atau bukan dari hujah-hujah ulamak yang muktabar, wajib ditelitikan dahulu artikel tersebut, supaya anda tidak tersesat dan tertipu dengan artikel tersebut. Tindakan yang paling baik, setiap artikel yang diragukan wajiblah merujuk kepada orang yang lebih arif atau lebih mengetahui seperti ustaz dan ustazah atau tokoh-tokoh agama yang dikenali anda semua.

Selepas anda membaca artikel saya ini sebarkanlah kepada semua orang sama ada rakan-rakan anda, keluarga anda, jiran-jiran anda dan semua untuk mengelakkan mereka terpedaya dengan dakyah-dakyah orang yang sentiasa ingin menyesatkan umat Islam jauh dari pangkal jalan. Saya izinkan anda semua untuk copy artikel ini dan diletakkan di blog, website dan laman-laman sesawang untuk disebarkan kepada orang ramai. Tetapi permohonan saya masukkan link rujukkan asalnya sebagai tanda penghargaan dan amanah anda terhadap tuan artikel tersebut. Sebenarnya banyak lagi laman-laman website yang jauh menyimpang dari ajaran Islam yang terdapat dalam dunia internet ini. Jika anda hendak mengetahui laman-laman yang telah disenaraikan oleh saya bolehlah klik di sini.

Gambar Blog Tersebut


Klik pada gambar untuk paparan lebih besar

Thursday, May 13, 2010

Cara Menegur Kesalahan Ibu Bapa


Soalan

Bagaimana cara yang terbaik untuk menasihati kedua ibu bapa tentang batas pergaulan anak angkat lelaki dan perempuan dengan mereka? Ibu bapa saya tidak mahu menceritakan perkara yang sebenar mengenai asal usul anak angkatnya. Mohon sedikit pendapat dan perkongsian Ustaz tentang masalah ini.

Jawapannya

Sepertimana yang telah saya nyatakan dalam artikel-artikel yang lepas, bahawa bukan kerja yang mudah untuk menyampaikan kebenaran. Bak pepatah melayu “telan anak mati bapa, telan bapa mati anak”. Walaubagaimana kebenaran perlu ditegakkan dengan apa cara sekalipun mengikut kemampuan kita. Siapa lagi kalau bukan kita mencegahnya, jangan diharapkan orang lain untuk mencegahnya, kerana sikap yang begitu akan merosakkan semua. Walaupun kita sering solat dan menunaikan segala yang makruf dan tidak melakukan segala yang mungkar, dalam masa yang sama kita tidak pernah mencegah kemungkaran yang berlaku disekeliling, maka jawapannya Allah tetap akan humban kita ke neraka Allah juga kerana tidak menunaikan amanah atau kewajipan yang telah diberikan oleh Allah untuk menyampaikan dakwah.

Masalah di atas ini agak rumit untuk menyelesaikannya, kerana anak tidak boleh mengecilkan hati kedua ibu bapanya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Isra : 23)

Sebagai anak yang bertanggungjawab untuk memelihara dan mencegah kedua ibu bapanya dari siksaan api neraka Allah yang sangat dahsyat. Untuk menegur kedua ibu bapa ini perlu mempunyai metode atau kaedah yang sangat halus (hikmah) supaya hati dan perasaannya tidak terguris. Cara hikmah ini boleh digunakan dengan cara pertuturan yang baik dengan rasa merendah diri kepada kedua ibu bapa. Contohnya “mak saya mohon maaf atas segala kesalahan atau derhaka saya terhadap mak, saya sebenarnya hendak menegur mak atas kesilapan yang telah mak lakukan seperti keluar rumah walaupun sejengkal mesti menutup aurat, ini bukan kehendak saya, tapi ini kehendak Allah. Orang yang tidak menutup aurat akan dibakar rambutnya di akhirat nanti, takut mak siksaan Allah”. Ini sebagai contoh sahaja, mungkin anda semua mempunyai ayat yang lebih halus dan hikmah untuk menegur kedua ibu bapa anda. Kalau anda semua ada pendapat mengenai masalah ini boleh dikongsikan di ruangan komen di bawah ini.

Ada setengah ibu bapa, mereka lebih suka dengan cara berbincang diwaktu-waktu lapang dengan anak-anak mereka di rumah atau di luar rumah. Kalau cara ini mengikut hemah saya, lebih mudah sedikit dari cara di atas, kerana ibu bapa yang bersifat terbuka lebih mudah untuk ditegur, selalunya mereka tidak akan berkecil hati akan teguran anak-anak mereka. Ibu bapa yang terbuka juga mudah untuk menerima segala pandangan anak-anak mereka dengan hati yang ikhlas dan bersifat kekeluargaan. Anak-anak yang mempunyai ibu bapa seperti ini, boleh menegur dengan cara terus terang tanpa ada ayat-ayat bunga bagi anak yang tidak pandai menggunakan ayat-ayat bunga. Walaupun ibu bapa anda bersifat terbuka, maka lebih baiklah anda gunakan juga bahasa-bahasa yang berbunga dan cantik di dengari oleh ibu bapa anda dan hatinya tenang dan mudah menerima segala teguran yang hikmah.

Ada sebahagian ibu bapa yang egois atau tidak mahu langsung mendengar teguran anak-anak mereka dengan alasan mereka lebih dahulu makan asam garam dari anak-anak mereka. Ini juga susah untuk menegur kesalahan yang telah dilakukan oleh ibu bapa. Menurut saya, ibu bapa seperti ini boleh ditegur dengan menggunakan orang lain yang rapat dengannya, seperti saudaranya yang dipercayai, ayah (tok wan) dan ibu (nenek) mereka, sahabat mereka dan sesiapa sahaja yang rapat dengan mereka. Selalunya mereka akan mudah menerima teguran dari orang yang dipercayai atau dihormati oleh mereka. Malah mereka akan akur dengan segala teguran orang tersebut.

Ada juga ibu bapa yang langsung tidak boleh terima teguran anak, sahabat, saudaranya, teman-temannya dan sesiapa sahaja. Ini sangat susah dan perlu mempunyai strategi yang baik menurut kemampuan anak tersebut. Selalunya teguran dari anak akan kesalahan ibu bapa tersebut, mereka akan mengatakan bahawa anak tersebut derhaka dan masuk ke neraka. Persoalannya siapa yang derhaka dan siapa yang berdosa, anak tersebut tidak berdosa dan tidak derhaka dan cuma menjalankan kewajipan sebagai seorang anak yang soleh dan solehah. Nasihat saya, kepada sesiapa yang ingin menegur kesalahan ibu bapanya, jangan takut dengan istilah derhaka dan dosa jika teguran anda betul dan mengikut segala teknik yang ada dalam dakwah Islam. Kecualilah teguran anak dengan menggunakan perkataan yang kesat, kasar atau sebagainya untuk menegur kesalahan ibu bapanya, maka hal ini barulah dikatakan dosa. Untuk mengetahui teknik atau cara menegur yang lain dari saya nyatakan di atas ini boleh klikkan di sini.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan melaksanakan amanah Allah terhadap kedua ibu bapanya, mestilah menegur kesalahan ibu bapanya dengan cara yang baik dan hikmah. Kerana anak tersebut telah memelihara ibu bapanya dari siksaan api neraka Allah. Jangan takut kepada segala kesulitan yang akan dihadapi, takutlah kepada Allah yang sentiasa memerhatikan perbuatan dan percakapan kita. Jadi seorang anak yang soleh dan solehah dan sentiasa mendoakan kebaikkan kepada kedua ibu bapanya. Doa kepada kedua ibu bapa :

“Ya Allah ya Tuhanku, cucurilah rahmat dan kasihanilah kepada kedua ibu bapaku sepertimana mereka mengasihani dan menyayangi aku sewaktu kecil dahulu”.

Wednesday, May 12, 2010

Tazkiyatul An-Nafs


Bersiap sedia menghadapi cabaran perjuangan

MUSLIMIN sekalian! Marilah kita mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan Ahzab yang berlaku didalam bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulhijjah pada tahun kelima (5) Hijrah. Peperangan Ahzab ini sangat menguji keimanan umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w.. Peperangan ini berlaku apabila beberapa pemimpin Yahudi datang ke Makkah menemui pemimpin-pemimpin Musyrikin Quraisy, mengajak mereka bergabung dengan kabilah-kabilah Arab yang lain untuk membentuk pasukan tentera bagi menyerang Madinah dan menghancurkan Islam sehingga ke akar umbi.

Walaupun peristiwa ini sangat menggerunkan umat Islam pada masa itu, namun dengan keimanan dan keyakinan yang teguh kepada Allah Taala dan kepada janjinya, membolehkan mereka berhadapan dengan tentera Ahzab yang bilangan mereka berlipat kali ganda berbanding dengan bilangan umat Islam, dan akhirnya mereka diberi kemenangan oleh Allah Taala.
Betapa kukuhnya keimanan dan keyakinan umat Islam pada masa itu digambarkan oleh Allah Taala didalam al-Quranul Karim dengan firmanNya yang bermaksud :

"Dan apabila orang-orang beriman melihat tentera Ahzab, mereka berkata inilah apa yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya, dan benar janji Allah dan rasulNya, dan tidak menambahkan kepada mereka kecuali keimanan dan penyerahan diri kepada Allah. Ada dikalangan orang-orang yang beriman itu lelaki-lelaki yang membenarkan janji mereka kepada Allah (untuk berjuang). Maka dikalangan mereka ada yang mati syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu-nunggu. Dan mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka." (Suraj Al-Ahzab ayat 22-23).

Daripada peristiwa Ahzab ini hendaklah kita menyedari bahawa walaupun musuh-musuh Islam daripada penganut berbagai-bagai agama dan mereka bermusuh-musuhan sesama mereka, mereka tetap akan bersatu apabila berhadapan dengan Islam. Mereka akan terus melakukan penentangan terhadap Islam dan akan berakhir hanya apabila umat Islam keluar daripada Islam. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan mereka akan tetap memerangi kamu sehingga mereka berjaya memurtadkan kamu daripada ugama kamu sekiranya mereka mampu." (Surah al-Baqarah ayat 217).

Permusuhan ini akan tetap berlaku bukan terhenti pada zaman Rasulullah s.a.w. Ia akan berpanjangan sehingga hari kiamat. Di dalam melangsungkan permusuhan terhadap umat Islam, mereka tidak akan mengira di mana tinggal orang Islam dan daripada bangsa mana orang Islam, walaupun satu bangsa dengan mereka.

Di dalam suasana permusuhan yang berpanjangan ini, umat Islam hendaklah meneruskan usaha menyampaikan risalah Islam dan menjadi umat contoh yang keluarkan oleh Allah Taala untuk umat manusia dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari kiamat. Firman Allah Taala yang bermaksud :

"Kamu merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh perkara baik dan kamu mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah." (Surah A-li Imran ayat 110).

Dan firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan demikianlah kami dijadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi faktor kemenangan yang diberikan oleh Allah Taala." (Surah al-Baqarah ayat 143).

Rasulullah s.a.w tidak hilang pertimbangan apabila mengetahui kedatangan tentera Ahzab. Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan para sabahat bagaimana hendak berhadapan dengan tentera Ahazb. Seorang sahabat bernama Sulaiman Farisi berasal dari Parsi mencadangkan supaya digali parit sepanjang kawasan yang boleh dilalui oleh musuh. Cadangan ini diterima dan Rasulullah s.a.w. bersama-sama para sahabat Muhajirin dan Ansar bertungkus lumus menggali parit sehingga parit berjaya disiapkan dalam masa yang singkat.

Bila tiba tentera Ahzab, mereka terkejut apabila melihat parit yang terbentang luas dihadapan mereka meghalang kemaraan mereka. Orang-orang Islam bertahan beberapa bulan tetap di dalam keimanan dan keyakinan kepada Allah Taala dan janjiNya.

Tentera Ahzab tidak boleh bertahan lama apabila mereka berpecah sesama sendiri. Maka datanglah pertolongan dari Allah Taala dengan ditiup angin kencang malam yang gelap gelita yang menakutkan, lalu menerbang dan mencabut khemah mereka dan memusnahkan kelengkapan perang mereka.

Allah Taala Maha Kuat tidak boleh dikalahkan oleh musuh walau bagaimana kuat mereka. Inilah keyakinan orang-orang Islam pada masa itu dan inilah keyakinan yang wajib ditanam di dalam setiap hati umat Islam hari ini. Marilah kita asingkan orang-orang yang berpura-pura beriman di hadapan umat Islam sedangkan mereka memyembunyikan di dalam hati mereka perasaan tidak yakin kepada Allah dan RasulNya serta Islam. Marilah kita mengikut teladan orang-orang yang terdahulu yang beriman kepada Allah dan yakin bahawa Islam inilah yang menyatukan mereka, Islam inilah yang menguatkan mereka dan Islam inilah yang menyelamatkan mereka didunia dan diakhirat. Firman Allah Taala yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah, kuatkan kesabaran, bersiap sedialah (di dalam perjuangan) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya." (Surah A-li Imran ayat 200)

Fikrah Islamiah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Tuesday, May 11, 2010

Zakat Binatang Ternakan



Soalan yang diajukan :

Salam, mohon penerangan berkaitan zakat ternakan lembu

Pada 15 muharam jumlah lembu 40 ekor. Dua bulan kemudian menjadi 55 ekor dan bertambah berterusan. Bila tarikh mengeluarkan zakat dan jumlah mana yang hendak digunapakai?

Bolehkah zakat ini dibayar dengan nilai duit?

Apakah benar zakat ternakan hanya dikenakan pada ternakan meragut bebas yakni tidak wajib pada ternakan yg makanannya dibeli dan gembalanya digaji?


Pendahuluan



Dari segi bahasa

Perkataan "Zakat" dalam Bahasa Arab merupakan kata dasar dari "Zaka" yang bererti berkal, tumbuh, suci, bersih dan baik yang maksudnya membersihkan dan mengembangkan.

Dari segi syarak

Zakat bererti sejumlah harta tertentu yang diwajibkan Allah diserahkan kepada orang-orang yang berhak atau nama bagi bahagian yang tertentu dari harta yang tertentu yang wajib diberikan kepada orang-orang yang tertentu dengan syarat-syaratnya.

Bahagian zakat

Zakat fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Zakat fitrah dikeluarkan zakat fitrah bertujuan untuk menyucikan diri orang yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji. Dari Ibnu Abbas ra berkata :

“Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan kata-kata kotor serta sebagai pemberian makanan untuk orang-orang miskin” (HR. Abu Daud)

Zakat harta ialah zakat yang merangkumi zakat emas dan perak, zakat ternakan, zakat pertanian, wang simpanan, harta perniagaan, harta karun dan seumpama dengannya. Firman Allah yang bermaksud :

“Ambilah sebahagian drp harta mereka menjadi sedeqah (zakat),dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)”. (Surah At-Taubah: Ayat 103)

Maksud zakat ternakan ialah binatang peliharaan yang terdiri daripada lembu, kerbau, kambing dan unta yang cukup nisab dan haulnya sepertimana telah ditetapkan oleh Islam. Zakat ternakan ialah dari bahagian zakat harta yang dikenakan kepada orang yang mempunyai binatang ternakan yang cukup haul dan nisabnya.

Syarat-syarat wajib zakat ternakan

  1. Islam yang merdeka

  2. Kepunyaan sendiri atau dimiliki

  3. Cukup nisab

  4. Cukup haul iaitu genap setahun

  5. Bebas makan rumput di mana-mana, bukan dibeli

  6. Binatang bukan digunakan untuk bekerja

Cara mengeluarkan zakat ternakan lembu atau kerbau



Cara mengeluarkan zakat ternakan kambing




Cara mengeluarkan zakat ternakan unta



Jawapannya

Nisab Lembu atau kerbau yang dikenakan zakat ialah bermula dari bilangan 30 ekor ke atas. Jika kurang dari bilangan tersebut, maka lembu atau kerbau tersebut tidak dikenakan zakat. Haul ternakan lembu atau kerbau mestilah cukup satu tahu dari tarikh anda perolehi, contohnya 30 ekor lembu tersebut dilahirkan atau diperolehi pada 15 Muharram 1431 Hijrah, lembu tersebut kekal kepada penternak sehingga tarikh 15 Muharram 1432 Hijrah, maka genaplah setahun haulnya dan lembu tersebut dikenakan zakat sepertimana saya nyatakan di atas. Tidak di kenakan zakat bagi lembu yang kurang dari haulnya iaitu umur setahun.

Masalah bayaran zakat ternakan digantikan dengan duit senilai dengan binatang peliharaan diharuskan dan hal ini adalah dirujuk kepada pendapat Mazhab Hanafi yang mengharuskan zakat fitrah digantikan dengan wang. Jika di rujuk kepada Mazhab Syafie tidak harus digantikan zakat fitrah tersebut dengan duit. Kesimpulannya ulamak-ulamak moden seperti Dr. Yusuf Al-Qardawi mengharuskan zakat fitrah dikeluarkan dengan duit, kerana ia lebih luas penggunaannya oleh asnaf-asnaf zakat. Berdasarkan hujah tersebut, maka zakat ternakan juga dapat dikeluarkan melalui duit senilai dengan binatang ternakan yang dikenakan zakat, kerana duit lebih luas penggunaanya dan lebih mudah untuk diagihkan dan diselenggarakan dan memudahkan asnaf zakat membeli dan memperolehi barang-barang keperluannya dengan menggunakan wang zakat.

Zakat ternakan ialah zakat yang dikenakan kepada binatang yang memakan rumput tanpa dibayar atau tidak bermodal. Tetapi hal ini perlu dirujuk kepada tujuan menternak binatang tersebut, lazimnya orang yang menternak binatang ini adalah untuk bisnes atau perniagaan. Kalau binatang tersebut mempunyai modal seperti makanannya dibeli dari kedai sepertimana penternak sekarang ini laksanakan iaitu binatang ternak diberi makan dedak atau rumput beli, maka binatang tersebut tidak dikenakan zakat binatang ternakan. Binatang ternakan bermodal ini akan dikenakan zakat perniagaan sebanyak 2.5% dari modal perniagaan.



Monday, May 10, 2010

Majlis Aqiqah dan Tahnik Anak Ustaz

Berselawat Bersama Kawan-kawan Ustaz Kumpulan Nasyid Aff-One

Majlis Selawat Nabi Kepada Anak Ustaz

Majlis Tahnik (Belah Mulut) Kepada Anak Ustaz

Kenduri Aqiqah Anak Ustaz

Kenduri Aqiqah Di Kampung Isteri Ustaz


Salam berbahagia kepada anda semua, dah lama saya tak tengok blog ini disebabkan dengan berbagai-bagai kesibukkan, sibuk dengan anak isteri yang berada dalam pantang, sibuk dengan kerja disebabkan pemantauan dalaman kualiti ISO dan banyak lagi. Saya mohon maaf kepada anda semua yang bertanya masalah-masalah agama atau sebagainya, kerana saya tidak dapat menjawab soalan anda semua.

Pada Tarikh 07 Mei 2010, Hari Jumaat Malam Sabtu selepas solat Isyak saya mengadakan kenduri Aqiqah, Tahnik (belah mulut) yang disempurnakan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Mutalib Bin Maaruf, cukur kepala dan penetapan atau pengisytiharan nama Nuruddin Bin Nor Amin Sayani kepada umum. Semua ini bertujuan untuk mendapatkan pahala sunat, kerana ini merupakan sunnah Nabi Muhammad saw sewaktu beliau melaksanakan perkara yang sama kepada cucunya Hassan dan Hussin. Alhamdulillah selesai semua tanggungjawab tersebut dan saya perlu meneruskan perjuangan hidup ini untuk memberikan pendidikan yang sebaiknya kepada anak sulung saya ini dengan apa yang dikehendaki oleh syariat Islam. Ini penting kerana masa depan anak-anak tergantung kepada ibu bapa anak tersebut, jika silap pendidikan yang diberikan maka rosaklah anak tersebut. Jika benar pendidikan yang diberikan sepertimana yang dikehendaki oleh Islam, maka selamatlah anak tersebut di dunia dan di akhirat.


Bukan senang hendak mendidikan anak, banyak cubaan dan dugaannya. Kadang-kadang di rumah betul didikannya, tetapi di sekolah dan di luar rumah belum tentu betul didikannya. Ini semua cabaran umat Islam, kita tidak boleh lari dari semua keadaan ini, yang perlu kita buat ialah laksanakan semampu yang boleh untuk memberikan didikan yang baik menurut Islam kepada anak. Banyakkan berdoa supaya anak tersebut menjadi anak yang soleh. Sering bertawakal setelah berusaha mendidik anak. Sering bergantung dengan Allah, kerana pemantauan ibu bapa sahaja tidak mencukupi untuk memastikan sikap dan tingkah laku anak.

Friday, May 7, 2010

Hukum Menonton di Panggung Wayang


Soalan : Adakah dibenarkan untuk kita pergi menonton di panggung wayang dan menonton filem-filem biasa yang ditayangkan? Adakah dibenarkan untuk kita menonton filem-filem lucah walaupun hanya sekadar gambar dan bukan tubuh badan yang sebenar? Apakah tanggungjawab kita terhadap muslim yang menonton filem-filem seperti ini, adakah kita mencegah dan melarangnya ataupun membiarkan mereka menonton apa yang mereka mahu?

Jawapan : Adalah dibenarkan untuk kita pergi ke panggung dan menonton filem-filem yang bermanafaat (seperti dokumentari) dengan syarat barisan antara penonton perempuan di dalam dewan hendaklah diasingkan dari penonton lelaki. Keadaan ini samalah seperti kita menghadiri seminar. Ia dibenarkan dengan syarat hendaklah ada pengasingan antara penonton lelaki dan perempuan.

Namun begitu, meskipun di bolehkan menonton wayang dengan syarat yang dinyatakan di atas, adalah lebih baik sekiranya dielakkan, supaya mata tidak terlihat aurat wanita yang hadir menonton dan juga telinga tidak akan mendengar suara-suara yang tidak enak dari para penonton didalam panggung wayang itu.

Manakala menonton filem-filem yang berunsur lucah atau filem seksi adalah diharamkan sama sekali, walaupun sekadar gambar-gambar dan bukan susuk tubuh badan yang sebenar kerana kaedah syarak dalam hal ini ialah “sesuatu perkara yang menjurus kepada keharaman, maka hukumnya adalah haram” Ini bermaksud, apa sahaja perkara yang walaupun belum benar-benar pasti menjurus kepada keharaman, tetapi mempunyai kebarangkalian boleh membawa kepada keharaman, juga sudah mencukupi untuk dinyatakan sebagai haram hukumnya.

Secara umumnya, kebanyakkan filem-filem sebegini akan menjerumuskan si penontonnya kepada perbuatan yang mengandungi unsur-unsur haram jadi kaeadah syarak ini terkena pada semua filem seksi, filem berunsur seks dan filem lucah. Maka dengan sebab itu, adalah diharamkan untuk menonton, mahupun membeli filem-filem sebegini.

Merujuk kepada persoalan bagaimanakah caranya syabab berhadapan dengan kaum muslimin yang menonton filem sebegini, seperti yang diketahui, sebahagian daripada mereka yang menonton filem seperti ini adalah orang yang rendah pemikirannya yang tidak menurut perintah dan larangan Allah kecuali orang-orang yang mempunyai belas kasihan Allah.

Namun sekiranya syabab mempunyai kaedah pencegahan yang rasional biarkan mereka menggunakannya. Mungkin orang yang mengajukan soalan ini, maksudkan perkara ini berlaku dikalangan kaum keluarganya dan dia merasa sedih dengan perbuatan mereka maka seharusnya dia membimbing mereka untuk menjauhi perbuatan ini. Didalam kes ini hendaklah dia melarang mereka dengan kaedah yang benar dan berharap Allah akan membimbing mereka ke jalan yang benar dan InsyaAllah dia akan diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT kelak.

Kiriman http://
jebbat.blogspot.com

Tuesday, May 4, 2010

Orang Baru Ustaz Nor Amin


Salam sejahtera kepada semua pengunjung dan rakan blogger saya, buat seketika waktu saya tidak dapat melayan dan mengupdate blog ini, kerana saya dianugerahkan cahaya mata pada 01 Mei 2010 (anak pertama). Bersyukur kepada Allah atas segala rezeki yang diberikan. Anak saya selamat dilahirkan pada jam 10.45 malam, hari Sabtu, tarikh 01 Mei 2010 di Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

Kali pertama melihat anak, hati gementar dan sayu apabila melihat rupa anak yang telah dianugerahkan Allah. Malam itu juga anak saya selamat diazankan dan diiqamahkan sebagai sunnah Nabi Muhammad saw, supaya kalimah Tayyibah memasuki dalam dirinya dan terhindar dari ganguan syaitan. Anak perupakan anugerah Allah yang sangat besar hasil hubungan perkahwinan suami dan isteri. Anak juga merupakan tanggungjawab ayah dan ibunya untuk memastikan anak tersebut menjadi manusia yang soleh dan solehah. Apa-apapun kita cuba berikan didikan yang baik kepada anak dan tertunai tanggungjawab dan kewajipan mendidik anak menjadi insan yang berguna dan bertaqwa.

Setiap kelahiran merupakan fitrah semula jadi dan setiap kelahiran diibaratkan seperti kain putih yang kosong dan bersih. Ibu bapa yang bertanggungjawab untuk mencorakkan anaknya sama ada menjadi mukmin atau menjadi Yahudi. Jangan sesekali merasa bebanan terhadap kehadiran anak, kerana anak ini merupakan rezeki dari Allah. Kita sebagai manusia hanya bertawakal dan berusaha dan yang menentukan rezeki anak-anak adalah Allah.

Saya memohon maaf atas ketidak layanan semua pertanyaan, email, persoalan dan sebagainya, kerana masa tidak begitu mengizinkan dan terlalu sibuk. Biasalah anak pertama, sibuk lain macam sikit, sebab tiada pengalaman lagi. Insyaallah tidak saya akan melayan semua pertanyaan sahabat dan pengungjung semua pada masa akan datang. Segala kesulitan dan kelambatan saya mohon maaf dan semua itu datang dari diri saya sendiri. Saya doakan anda semua diberikan nikmat kesenangan dan ditambahkan iman dan taqwa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG