PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Wednesday, June 30, 2010

Sejarah Pembinaan Kaabah



Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s pergi ke Mekah untuk membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail as :

"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya."

Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah Yang bermaksud:

"Wahai Tuhan kami! Terimalah amal kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Quran serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari perbuatan syirik dan maksiat. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Sehinggalah Allah SWT menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah dengan keadaan :

  1. Tinggi Kaabah sembilan hasta.

  2. Panjang dari paras bumi atau dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.

  3. Lebar Kaabah dari bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.

  4. Panjang dari paras bumi bermula sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta.

  5. Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta.

  6. Nabi Ibrahim telah membina pintu Kaabah rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.

  7. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun.

Monday, June 28, 2010

Ganjaran & Kelebihan Orang Yang Membaca Al-Quran



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (Riwayat Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Al-Bukhari dalam shahihnya)

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Utrujjah yang baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an seperti buah kurma yang tidak berbau sedang rasanya enak dan manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur’an adalah seperti raihanah yang baunya harum sedang rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti hanzhalah yang tidak berbau sedang rasanya pahit.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini.” (Riwayat Abu Dawud)

“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.” (Riwayat Abu Isa Muhammad bin Isa At-Tirmidzi dan katanya: hadits Hasan Shahih)


Saturday, June 26, 2010

Kesalahan Wanita Dalam Berpakaian




Melihat kepada dunia sekarang, wanita-wanita Islam tidak mengambil berat soal aurat mereka. Pemakaian mereka ada kalanya tidak dapat dibezakan dengan wanita-wanita barat. Bahkan ada yang lebih teruk dari segelintirnya. Tetapi tidak ketinggalan juga bagi yang memakai tudung. Cara pemakaian tudung mereka tidak menepati apa yang dituntut oleh Islam. Antara kesalahan yang dilakukan adalah :

  1. Bagi wanita, aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

  2. Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.

  3. Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

  4. Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

  5. Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

  6. Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat/kuliah sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

  7. Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

  8. Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Petikan Dari Murabbi Net

Pendapat Ustaz

Firman Allah yang bermaksud :

“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)

Lagi Firman Allah yang bermaksud :

“Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (an-Nur: 31)

Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya

Wahai sekalian wanita Islam kembalilah kamu semua ke ajaran Islam yang sempurna atau kaffah. Sesungguhnya diri kamu akan selamat di dunia dan di akhirat, Islam bukan agama yang membebankan kamu semua, tetapi Islam adalah agama yang paling cantik dan dapat menyelamatkan kamu dari fitnah dunia. Jadikanlah Khadijah dan Aisyah isteri Rasulullah saw sebagai contoh tauladan kamu semua kerana sesungguhnya mereka adalah umul mukminin (ibu mukmin).


Thursday, June 24, 2010

Wajib Sertu Apabila Sentuh Anjing & Babi Atau Seumpamanya


Assalamualaikum ustaz,

ada org pernah beritahu sy, kita tak perlu samak tangan apabila pegang anjing, dengan syarat kedua-dua tangan dan anjing itu dalam keadaan kering

Saya terpegang kasut yang diperbuat daripada kulit khinzir, apabila teringat info seperti yang di atas, saya pun tak samak la tangan saya sbb saya yakin tangan dan kasut tersebut kering. Betul tak tindakan saya ni?

Jawapannya

Mengikut ahli fiqh, sertu adalah lakukan kepada najis yang datang dari binatang anjing, babi dan keturunannya yang dikategorikan sebagai Najis Muqallazah. Dari Ibn Mughaffal, ia berkata :

“Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan membunuh anjing,kemudian bersabda: “Mengapa mereka mengangap penting anjing-anjing itu?” Kemudian Rasul memberi keringanan dalam hal berkaitan anjing pemburu dan anjing penjaga kambing lalu bersabda : “Apabila ada anjing minum di dalam bekas, basuhlah bekas tersebut tujuh kali dan gosoklah dengan tanah pada basuhan kelapan..”

Jangan salah faham kepada mereka yang mengatakan samak kepada anjing dan babi apabila terkena najis tersebut. Orang melayu memang menggunakan perkataan samak terhadap najis tersebut. Samak sebenarnya digunakan untuk membersihkan kulit binatang. Perkataan yang sepatutnya digunakan adalah sertu atau membersihkan Najis Muqallazah.

Cara Sertu

Mengikut pendapat Mazhab Syafie wajib dibasuh tempat yang terkena najis Muqallazah sebanyak tujuh kali iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika di dapati najis itu tetap ada ain (nampak), baud an rasanya maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.

Sertu menggunakan Sabun Taharah? Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak wajib atau tidak sah menggunakan Sabun Taharah untuk membersihkan najis anjing dan babi kerana kandungan tanah di dalamnya adalah sedikit iaitu 5% sahaja. Begitu juga dengan Mufti Negeri Selangor yang berpendapat bahawa tidak sah menggunakan Sabun Taharah semasa membersihkan najis anjing dan babi, kerana membersih najis tersebut mestilah dengan menggunakan tanah yang asli.

Kesimpulan dari kedua pendapat di atas ialah tidak sah sertu dengan menggunakan barang alternatif lain selain dari tanah, kecuali apabila dalam keadaan darurat sahaja seperti contoh : apabila mengunakan tanah boleh merosakkan barang yang terkena najis anjing dan babi atau boleh mendatangkan kemudharatan kepada orang yang terkena najis anjing dan babi. Maka dari itu dibolehkan menggunakan barang alternatif lain untuk membersihkan najis Muqallazah (anjing dan babi).

Barangan Yang Diperbuat daripada Kulit Babi

Wajib sertu orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi seperti contoh kasut, beg, dompet dan sebagainya. Babi merupakan najis yang paling berat iaitu najis Mughallazah. Cara menyucikan najis ini beza dengan Najis Muqaffafah dan Najis Mutawasyitah. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Ada pendapat yang mengatakan
“kalau kering kedua-duanya tidak perlu dibersihkan”. Sebenarnya pendapat ini adalah salah. Ulamak berpendapat bahawa najis anjing yang kering sahaja tidak perlu dibersihkan, kerana najis anjing itu tidak berat sepertimana najis babi. Kalau najis anjing itu basah atau lembab, maka ia juga wajib dibersihkan. Najis babi atau barang yang diperbuat dari kulit babi wajib dibersihkan kerana ia merupakan najis yang paling berat.

Kenapa Islam suruh umatnya sertu apabila tersentuh babi yang basah atau kering? Ada satu penelitian ilmiah yang diterbitkan pada 1986, dalam Persidangan Tahunan Sedunia tentang Penyakit Alat Pencernaan, yang diadakan di Sao Paulo. Mereka berpendapat :

“Babi banyak mengandung parasit, bakteria, bahkan virus yang berbahaya, sehingga dikatakan sebagai Reservoir Penyakit. Gara-gara babi, virus Avian Influenza jadi ganas. Virus normal AI (Strain H1N1 dan H2N1) tidak akan menular secara langsung ke manusia. Virus AI mati dengan pemanasan 60'C lebih-lebih bila dimasak hingga mendidih. Bila ada babi, maka dalam tubuh babi, Virus AI dapat melakukan mutansi & tingkat virulensinya boleh naik hingga menjadi H5N1. Virus AI Strain H5N1 dapat menular ke manusia. Virus H5N1 ini pada Tahun 1968 menyerang Hong Kong dan membunuh 700.000 orang (diberi nama Flu Hong Kong)."

Kesimpulannya

Islam adalah agama yang memberikan keselamatan kepada umatnya dalam semua amalan ibadah. Setiap perkara yang diwajibkan atau diperintahkan Allah ada tujuan dan maslahahnya. Sertu adalah merupakan cara yang terbaik untuk menghilangkan kuman-kuman (virus-virus) yang terdapat daripada anjing dan babi yang sudah terbukti dapat membahayakan manusia. Wajib dibersihkan kepada pakaian, kenderaan atau tubuh yang terkena najis anjing dan babi. Begitu juga dengan orang yang tersentuh barang yang diperbuat daripada kulit babi dan wajib dibersihkan dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam.

Tuesday, June 22, 2010

Adakah lelaki lembut dilaknat oleh Allah

Gambar ini adalah gambar hiasan sahaja

Soalan :


Salam ustaz,

Adakah lelaki lembut dilaknat oleh Allah? saya dibesarkan sejak kecil seperti lelaki, tetapi kerana suasana pembesaran, menjadikan saya lebih bersifat keperempuanan. Iaitu, cara saya bercakap lembut, pergerakan juga lembut. bila remaja, saya mula suka kepada kedua-dua lelaki dan perempuan. saya tertarik dengan lelaki yg hensem dan macho. Pada masa yang sama, saya suka perempuan yang alim dan solehah. Tetapi, nafsu shahwat saya lebih terarah kepada lelaki sehinggalah sekarang. Saya tahu homoseks adalah haram dan dilaknat. Saya mencuba untuk menjauhinya dan Alhamdulillah, sekarang nafsu lebih terkawal.. Tetapi, sukar untuk saya padamkan nafsu sonsang tersebut.. Kadang-kadang mata saya masih melirik kepada lelaki hensem.. Saya cuba tundukkan pandangan mata.

saya berdoa agar saya tidak gay dan saya rasa sedikit sebanyak sudah ada hasilnya. Cuma, untuk mempunyai shahwat dengan perempuan pula agak susah. Bila bercakap dengan wanita idaman saya, nafsu saya tidak terangsang sebagaimana saya melihat lelaki hensem..

Apakah nasihat ustaz? Bagaimana harus saya lupuskan kesemua nafsu songsang ?

Selain itu, walaupun perasaan songsang mula lentur, tetapi sikap keperempuanan saya masih ada. Gaya lembut berjalan dan beraksi, cara percakapan saya. Saya rasa, mungkin sekali bercakap dengan orang sahaja, mereka sudah tahu saya jenis lembut.. Tabiat ini susah untuk saya buang. Adakah saya juga berdosa dengan menyerupai wanita dari cara ini? Sebab memang saya berjiwa lembut.

Harap ustaz boleh bagi nasihat.

Jawapan :

Takrif lelaki lembut ialah rangkai kata lembut lembai (dialek Kedah) yg bermaksud orang lelaki yg berjalan seperti orang perempuan. Lelaki yang lembut sering kali suka kepada pekerjaan wanita seperti mengemas rumah, memasak, berhias, berperasaan atau sikap seperti wanita dan sebagainya. Lazimnya lelaki lembut ini tidak suka kepada pekerjaan-pekerjaan yang berat sepertimana pekerjaan lelaki.

Lelaki yang lembut adalah anugerah Allah dan tidak dilaknat Allah selagimana dia tidak melakukan perbuatan sumbang. Semua kejadian manusia dan alam ini adalah dari Allah, mereka juga dijadikan dengan sebaik-baik kejadian tanpa cacat cela. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4)

Lelaki yang lembut juga memerlukan layanan yang baik sepertimana orang lain, tetapi malangnya masyarakat melayu sekarang ini rata-ratanya melayan mereka ini seperti orang yang tidak bermaruah. Sesiapa yang mempunyai sahabat, keluarga, anak atau sebagainya dianggap malang kerana mengundang kutukan atau celaan orang lain. Mereka lupa sebenarnya ini semua adalah anugerah Allah kepada keluarga atau masyarakat tersebut. Allah hendak menguji mereka bagaimana mereka mendidik lelaki lembut ini atau mereka memdidik lelaki lembut ini kearah kemaksiatan seperti seks sejenis (homoseksual), lesbian atau sebagainya. Baru-baru ini telah digemparkan dengan kisah Fadhil Min yang berkahwin songsang dengan lelaki Inggeris.

Sebenarnya lelaki lembut ini perlu dibimbing mereka ke arah yang dikehendaki oleh syariat supaya mereka tidak terjebak dalam masalah sosial seperti yang dinyatakan di atas. Keluarga perlu bertanggungjawab mengarahkan anak lelaki mereka yang lembut seperti, tidak membiarkan anak lelaki mereka memakai pakaian anak-anak perempuan, tidak membiarkan anak lelaki mereka berkawan dengan perempuan, tidak membiarkan anak lelaki mereka memasak dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan anak lelaki yang lembut tidak mempunyai perasaan perempuan atau cinta songsang.

Sebagai masyarakat, kita tidak semestinya meminggirkan mereka yang lembut ini, kerana kebanyakkan kes yang berlaku seperti pondan atau mat nyah ini adalah disebabkan keluarga dan masyarakat yang meminggirkan mereka. Sebagai masyarakat, kita seharusnya membimbing mereka ke arah apa yang dikehendaki oleh Islam dan memberikan semangat kepada mereka supaya tidak terasa hina dan terpinggir. Sebenarnya lelaki yang lembut ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri yang tidak mampu di buat oleh lelaki biasa. Di antara kelebihannya ialah memasak, mengemas rumah, menjahit dan sebagainya.

Sebagai seorang lelaki yang lembut, anda tidak perlu merasa diri ini hina dan menjadi bebanan kepada keluarga tersebut. Anda juga perlu ingat ini semua adalah ketentuan Allah dan setiap ciptaan Allah tidak sia-sia. Ramai lelaki yang lembut berjaya mengharumkan namanya seperti menjadi pengacara TV, menjadi artis, jadi penceramah, guru, ustaz dan sebagainya. Ini sekaligus menafikan bahawa lelaki lembut ini tidak berguna. Firman Allah yang bermaksud :

“Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah”.

Kepada sesiapa yang mempunyai sifat lelaki lembut, anak atau kawan yang lembut, mereka tetap lelaki dan hukumnya juga tetap lelaki. Mereka hanya mempunyai perwatakan sahaja lembut seperti wanita, tetapi ketentuan hukum fiqh adalah lelaki. Pergaulannya dengan perempuan tetap haram atau menyerupai wanita juga tetap haram. Ada setengah lelaki lembut ini menganggap diri mereka perempuan sehinggakan mereka berpakaian seperti perempuan, bergincu, seluar ketat, rambut sangul dan malah ada yang bertudung. Kalau yang lebih teruk lagi mengadakan hubungan songsang iaitu jatuh cinta kepada lelaki dan tiada selera keinginan kepada wanita. Ini semua terjadi adalah anggapan mereka yang tertipu dengan syaitan dengan mengatakan bahawa mereka adalah perempuan. Daripada Ibn Abbas r.a. katanya :

“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang berkelakuan seperti perempuan dan perempuan yang berkelakuan seperti lelaki, dan kata baginda lagi “halau mereka dari rumahmu.” (Sahih Bukhari)

Kembalilah ke pangkal jalan dan bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan berjanji tidak lagi mengulangi perbuatan yang terkutuk ini. Allah sangat membenci dan melaknat orang yang melakukan hubungan luar tabi’i. Berhijrahlah diri anda dari perlakuan yang lama kepada perlakuan yang baru, supaya hidup ini menjadi berkat dan menjadi hamba Allah yang baik ( Sifat Mahmudah). Seringlah takut akan azab Allah yang amat dahsyat kepada sesiapa yang melanggar perintah dan hakikat kejadian manusia. Firman Allah yang bermaksud :

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Al-Syams : 7-10)

Kesimpulannya

Lelaki lembut adalah dari ciptaan Allah dan ini semua adalah dari kehendak Allah. Sebagai manusia yang bertaqwa kepada Allah, maka wajiblah kita menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah ke atas diri kita. Berbahagialah orang yang menerima ketentuan dan ketetapan Allah, dirinya akan merasa tenang dan akan ditambah cahaya iman dan taqwa di dalam dirinya. Positifkan pemikiran dan berdoa :
“aku tidak akan melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah seperti bercinta atau mempunyai keinginan songsang. Aku akan menjadi suami kepada seorang isteri yang solehah dan menunaikan segala amanah dan tanggungjawab aku sebagai suami.” Mudah-mudahan Allah akan memakbulkan segala permintaan kita semua, Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani, seringlah ingatkan Allah dan seringlah memohon pertolongan kepada Allah untuk mengeluarkan diri kita dari segala kesusahan.

Saturday, June 19, 2010

Cara Ganti Puasa Ramadhan & Bayar Fidyah Puasa


Soalan :

Assalamualaikum ustaz,

saya menuntut di luar negara. saya telah mengqadha segala puasa saya yg saya tinggalkan dizaman remaja dulu. hampir 70 hari kesemuanya.

semua telah siap saya qadha. masalahnya ialah, saya tidak tahu cara membayar Fidyah. saya tahu cara mengira nya. cuma saya tidak tahu di mana harus saya bayar Fidyah tersebut sebelum masuk Ramadhan tak lama lagi.

adakah saya harus bayar di malaysia iaitu ditempat saya dibesarkan, atau saya boleh bayar sahaja di negara saya belajar sekarang?

tapi, jika saya bayar disini, harganya sangat mahal. bolehkah saya bayar di Malaysia dengan hanya mengirim wang kepada rakan dan membayarnya di mana2 pusat pungutan zakat di Malaysia?

tapi urusan nya agak rumit dari segi pemindahan wang, bolehkah saya membayar Fidyah tersebut dalam bentuk seolah2 saya bersedekah sahaja kepada pihak masjid dengan memasukkan duit zakat mengikut jumlah bayaran Malaysia?

saya confius la ustaz..

saya ada jumpa satu laman web yg menyediakan segala maklumat bank untuk kita bayar zakat. ianya berpangkalan di Sri Lanka. boleh kah saya bayar sahaja Fidyah tersebut kepada pusat zakat sri lanka tersebut? ianya mudah bagi saya, kerana saya tidak perlu menyusahkan sesiapa mewakili saya membayar Fidyah. saya hanya perlu transfer duit sahaja. jika boleh, kadar Fidyah yg mana satukah yg saha kena guna? adakah harga secupak beras Sri Lanka, atau secupak beras negeri Terengganu (kelahiran saya) atau secupak beras yg saya makan di tempat saya sekarang?


atau, paling senang, bolehkah ustaz tolong saya bayarkan Fidyah tersebut? saya boleh masukkan duit ke dalam akaun ustaz. saya segan untuk minta tolong ahli keluarga di malaysia.. saya tak nak lah mereka tahu yg saya 'ponteng' puasa.

harap ustaz boleh jelaskan.. terima kasih.

Jawapannya :

Puasa atau dalam istilah arabnya saum secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Orang Yang Dilarang Puasa

Wanita yang didatangi haid dan nifas. Diriwayatkan dari 'Aisyah ra. ia berkata :
“Disaat kami haidh di masa Rasulullah saw, kami dilarang puasa dan diperintahkan mengqadhanya, dan kami tidak diperintah mengqadha Shalat " ( H.R Bukhary Muslim)

Orang Yang Diberi Kelonggaran Tidak Berpuasa

  1. Orang yang musafir yang tiada tenaga dalam musafirnya oleh berbuka dan wajib ia ganti puasa tersebut.

  2. Orang yang uzur seperti orang tua yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa.

  3. Ibu yang menyusu anaknya, kalau di dapati ibu tersebut lemah disebabkan anaknya menyusu dan lemah disebabkan puasa, maka ibu tersebut boleh berbuka puasanya.

  4. Orang Islam yang pergi berperang dan berhadapan dengan musuh Islam, maka dibolehkan mereka berbuka untuk memberikan kekuatan kepada mereka melawan musuh Islam.

  5. Orang yang sakit dan dinasihatkan oleh doktor perubatan bahawa beliau tidak perlu puasa dan jika ia puasa sakitnya lebih teruk lagi.

  6. Wanita yang hamil dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa, kerana dikuatiri dirinya menjadi lemah dan akan membahayakan kandungannya, maka wanita itu tidak wajib berpuasa.

Cara Menggantikan Puasa Ramadhan

Orang Islam yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadhannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Orang yang musafir yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadhan.

Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya, maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi orang yang memang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa, jika ia puasa akan mendatangkan kemudharatan kepadanya. Maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan Fidyah kepada orang miskin.

Cara Mengeluarkan Fidyah

Maksud Fidyah ialah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakilli satu hari yang tertinggal puasa Ramadhan padanya. Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670gram. Contohnya sipulan telah meninggalkan puasanya sebanyak 5 hari, maka dia wajib membayar Fidyahnya sebanyak 5 cupak beras kepada fakir miskin. Firman Allah yang bermaksud :

“(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184)

Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam telah memberikan keringanan (rukshoh) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar Fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin. Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadhan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin. Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya. Untuk semakkan atau perkiraan boleh klik di sini.

Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan Fidyah adalah dua perkara yang berbeza. Zakat fitrah lain dan Fidyah juga lain. Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar Fidyah, maka anda boleh wakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin.

Sekadar ini sahaja penjelasan saya, jika ada apa-apa yang tidak difahami dan ragu-ragu, maka boleh bertanya di ruangan komen di bawah ini. Insyaallah saya akan menjawabnya apabila ada masa lapang nanti. Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk itu datang dari saya sendiri.

Thursday, June 17, 2010

Hikmah 7 Ayat



Menurut Tafsir Hanafi, barangsiapa menghafal Tujuh Kalimah dan jika diamalkan dalam kehidupan seharian, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih-buih di lautan.

  1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

  2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

  3. Mengucap Astaghfirullah jika lidah menyebut perkataan yang tidak elok.

  4. Mengucap Insya' Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

  5. Mengucap La haula wala quwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tidak disukai dan tidak diingini.

  6. Mengucap Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un jika menghadapi dan menerima musibah.

  7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tidak terpisah dari lidahnya.

Mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat..mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi biasa, kerana sudah biasa.

Petikan Dari : Laman Portal Murabbi Net

Tuesday, June 15, 2010

Kenali 9 syuhada Mavi Marmara

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pada 31 Mei lalu, seramai sembilan sukarelawan dari Turki telah syahid sewaktu dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara seagama di Palestin.

Mereka dibunuh oleh tentera Israel laknatullah ketika angkatan kuffar itu menyerang kapal Turki M.V. Mavi Marmara yang sedang dalam misi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikurung dalam sebuah penjara yang sungguh besar.

Berikut merupakan senarai syuhada yang telah gugur sepanjang misi menyampaikan bantuan tersebut sebagaimana laporan laman web Haluan Palestin:


1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.


3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.


4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.


5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.


6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.



7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.


8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.


9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Petikan Dari Harakah Daily

Sunday, June 13, 2010

Jom Kita Lawat & Daftar Laman Web Murabbi Ramai-Ramai

Klik Pada Gambar Untuk Ke Laman Portal Murabbi Net


Salam kepada semua kawan-kawan dan salam 1 akidah kepada semua sahabat sekalian. Saya doakan anda semua sihat dan dimudahkan segala urusan anda. Sebenarnya saya tidak ada apa yang ingin ditulis, tetapi atas rasa terharu kepada pengelola laman portal Murabbi Net yang telah berjaya mengambil kembali akaun google saya dari pencuri laman maya. Terima kasih kepada Emilife yang sudi menolong saya. Beliau adalah salah seorang pengelola laman portal Murabbi Net. Nasihat kepada sahabat semua kena berjaga-jaga takut-takut kes yang telah dialami saya akan berlaku kepada anda.

Laman Murabbi net adalah sebuah laman yang baru dan tujuan didirikan laman portal tersebut adalah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah alam maya. Pernah sekali saya dijemput untuk menjadi moderator agama kepada laman web Murabbi ini. Kepada semua kawan-kawan yang mencari ilmu-ilmu atau informasi-informasi agama, maka bolehlah melayari laman portal Murabbi net, kerana banyak ilmu agama yang didedahkan di situ. Setelah mengunjung jangan lupa daftar sekali dan iklankan bannernya di blog anda atau di mana-mana laman sesawang sebagai sokongan anda untuk perjuangan dakwahnya.

Portal web Islam, www.murabbi.net telah dibuka kepada pengunjung-pengunjung pada 30 Januari 2010, 11:30 malam. Tetapi secara rasminya, www.murabbi.net dibuka pada 1 Februari 2010. Cadangan nama asal portal web Islam ini ialah "iluvgenerasimurabbi" Ia bersesuaian dengan tema yang gunakan dalam mesyuarat agong persatuan Al-marhum Mohd Fadhiri yang lepas iaitu “Ke arah melahirkan generasi murabbi” Tetapi cadangan nama asal telah diubah sedikit supaya nama portal web Islam ini senang disebut, senang untuk di kenali, dan yang paling penting ada maksud tersendiri di mana ada kaitan dengan Al-marhum Mohd Fadhiri, dan juga merangkumi keseluruhan sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah Al-marhum Mohd Fadhiri kerana mereka semua juga pendidik-pendidik yang akan bakal mewarnai dunia pendidikan."Murabbi" yang yang boleh di sama ertikan dengan “Mualim” (Guru lelaki) atau “Mualimah” (Guru perempuan) amat bersesuaian untuk dijadikan nama portal web Islam ini . Maka “murabbi” telah dipilih dan terbitlah www.murabbi.net.

Semoga sokongan kita semua dapat memberikan semangat kepada webmasternya untuk terus menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat yang sentiasa mendahargakan ilmu agama. Saya juga doakan semoga laman web Murabbi Net ini menjadi satu laman yang sangat terkenal sepertimana laman IluvIslam, Halaqah, Ukhuwah dan sebagainya. Segala kerja baik laman portal Murabbi Net diberikan ganjaran yang setimpal dari Allah atas segala usaha dan pengorbanan mereka menyediakan satu media maya Islam untuk masyarakat Islam yang dahagakan ilmu agama Islam.

JANGAN TUNGGU LAGI JOM DAFTAR RAMAI-RAMAI UNTUK MEMERIAHKAN LAGI LAMAN PORTAL MURABBI NET DALAM MENYEMARAKKAN PENGHAYATAN ISLAM ALAM MAYA (INTERNET)

Saturday, June 12, 2010

Mohon Maaf Kerana Tidak Dapat Menjawab Soalan Yang Diajukan


Salam bahagia kepada semua, saya minta maaf sangat kepada anda semua yang bertanya dan tiada jawapan dari saya. Sebenarnya akaun google saya di curi oleh orang yang tidak dikenali yang menghantar email kepada saya atas nama google. Dalam email tersebut dia minta username dan password saya untuk diupdate akaun google saya oleh kerana saya telah menggunakan domain beli. Berjaga-jaga kawan-kawan semua, takut masalah yang saya alami akan menimpa anda juga nanti. Sebenarnya google tidak pernah email atau meminta username dan password kepada semua pelanggannya.

Alhamdulillah akaun google saya boleh buka dan boleh masuk balik disebabkan pertolongan sahabat saya dari laman portal Murabbi dot net. Saya sangat terharu kepadanya, kerana beliau sanggup membantu saya mengambil kembali akaun google saya. Hampir satu minggu saya tidak dapat membuka akaun blog dan melihat email saya. Semua email yang dikirim oleh sahabat-sahabat semua telah hilang, sesiapa yang ada mengajukan soalan kepada saya, boleh emailkan kembali soalan tersebut untuk dijawab.

Saya mohon sedikit masa untuk menjawab soalan anda semua, kerana sekarang ini saya dalam kursus KPLI-MARA selama dua minggu dari tarikh 7-19 Jun 2010. Setiap soalan boleh hantarkan kepada alamat email asshafiee@gmail.com. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang menyokong saya dalam usaha dakwah alam maya ini. Semoga segala jasa baik anda akan diganjarkan Allah dengan balasan yang setimpal. Saya doakan ada dibanyakkan rezeki dari Allah dan diberikan nikmat kesihatan yang baik.

Thursday, June 10, 2010

Status Hukum Facebook


Salam....

Apa hukum facebook ustaz...dengar kata dana keuntungan dari facebook disalurkan untuk yahudi?

Jawapannya

Facebook adalah laman sesawang yang sangat popular dan sangat mudah berkomunikasi di seluruh dunia. Facebook juga merupakan laman yang sangat efektif untuk menyebarkan apa-apa maklumat dan apa-apa iklan perniagaan, kerana ia dapat dilihat oleh semua orang seluruh dunia. Lazimnya facebook digunakan untuk ahlinya berkomunikasi bersama kawan-kawannya dan juga kemudahan untuk soal-soal tugasan atau pekerjaan. Ada individu mengunakan facebook untuk mengisi masa lapangnya, ada mengunakan facebook untuk mencari kawan-kawan lama, ada mengunakan facebook untuk perniagaan dan sebagainya.

Pengasas Facebook, iaitu Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi-Amerika dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County, New York. Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara ‘tokoh paling berpengaruh dunia 2008′, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama. majalah Forbes Top400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008. Namun apa yang lebih penting, Zuckerberg merupakan individu termuda pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1.5 billion. Facebook telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD300 juta pada tahun 2008.

Status hukum

Menurut Ustaz Zaharuddin dalam blognya berkata :

“Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.”

Katanya lagi :

“Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk tidak membuka dan menyertai facebook. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.”

Hujah yang mengatakan harus adalah disandarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari)

Muamalah Islam tidak melarang umatnya untuk berniaga atau urusan keduniaan dengan orang bukan Islam, kerana ini tidak melibatkan perkara yang dilarang oleh agama Islam. Sebagai ingatan, selagimana muamalah atau urusan keduniaan itu tidak melibatkan agama atau sensitiviti agama, maka selagi itulah ianya menjadi harus. Kalau melibatkan sensitiviti agama, maka ia jatuh haram.

Pandangan saya

Pertama : Harus

Facebook merupakan medan yang paling baik untuk menyebarkan dakwah, kerana ianya luas dan tiada tapisan, setiap berita yang dimasukkan akan dilihat oleh semua orang seluruh dunia. Saya juga mempunyai akaun facebook dan saya hanya menggunakan akaun facebook untuk menyebarkan artikel-artikel blog saya yang berkaitan dakwah kepada sahabat-sahabat di facebook dan jarang saya gunakan facebook untuk sembang-sembang kosong dan tidak pernah sembang perkara-perkara yang laqa atau tidak berfaedah.

Harus juga bagi sesiapa yang menjadikan facebook sebagai tempat mencari kawan-kawan lama, menjadikan facebook sebagai medan pertanyaan, menjadikan facebook sebagai urusan pekerjaan dan seumpamanya. Kerana aktiviti ini tidak bercanggah dengan Amal makruf dalam Islam.

Kedua-dua perkara di atas ini tidak melibatkan transaksi kewangan kepada facebook dan ianya semata-mata sosial. Ada orang mengatakan bahawa sebahagian keuntungan facebook akan diberikan kepada negara haram Israel. Awas!!! Jangan sesekali klik kepada iklan yang terdapat di sisi kanan facebook, kerana facebook akan memperolehi duit dari iklan tersebut.

Kedua : Haram

Jika facebook dijadikan sebagai tempat untuk mencari kesilapan orang, mengutuk orang, menghina orang, menyebarkan perkara yang dilarang oleh Islam, menyebarkan fitnah, laqa sehingga lupa solat dan sebagainya, maka ini menjadi haram, kerana Islam melarang umatnya melakukan perkara yang sia-sia dan perkara sia-sia itu adalah sifat syaitan dan mazmumah.

Menyertai segala skim atau pelaburan yang ditawarkan oleh facebook, sepertimana skim infinity downline, iklan perklik facebook dan sebagainya, maka ini menjadi haram kerana bisnes tersebut bercanggah dengan muamalah Islam dan sedikit sebanyak menyumbangkan dana kepada negara haram Israel untuk membunuh umat Islam Palestin.

Kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, maka itu tidak mengapa dan mungkin anda mempunyai hujah yang tersendiri. Pesanan saya lagi, setiap perkara yang dilakukan bersandarlah kepada 4 sumber hukum Islam iaitu Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas atau bersandarlah kepada dalil naqli dan aqli. Berbeza pendapat adalah fitrah kejadi manusia. Selagimana setiap perkara itu tidak mempunyai dalil qat’i atau dalil yang jelas mengatakan itu adalah haram, maka selagi itulah kita perlu merujuk kepada yang alim atau berijtihad (orang yang ada ilmu sahaja) bersandarkan dalil naqli dan qat’i.

Orang yang ragu-ragu dan takut, maka lebih baik tolak terus dan jangan menggunakan facebook. Perbuatan ini lebih baik dan orang tersebut tidak was-was dan ragu-ragu lagi akan tindakkannya. Kaedah Islam lebih baik elak dari melakukan perkara yang subhah atau tidak jelas halal dan haramnya. Janganlah pula terus menuding jari mengatakan ustaz-ustaz yang ada akaun facebook itu tak betul atau menyokong Yahudi membunuh umat Islam Palestin. Anda semua perlu faham, setiap ustaz itu ada hujahnya tersendiri dan hujah mereka selalunya bersandarkan kepada nas-nas Al-Quran, Hadis dan pendapat ulamak yang muktabar.

Tuesday, June 8, 2010

Hujah Logo Islam Bulan Bintang & Islam Tolak Bible


Salam,

Ustaz saya ada ditanya oleh seorang kawan beragama kristian (cina). Soalan dia ialah :

Adakah lambang bulan sabit dan bintang itu lambang agama Islam? kenapa dan apa maknanya? Apakah itu dewa agama Islam?

Kenapa orang Islam sering mengatakan yang kitab Injil zaman sekarang sudah diubah suai (tidak asli)sedangkan orang Islam beriman kepada kitab yang empat. Kalau benar kitab injil sudah dipesongkan, kenapa tidak tunjukkan yang aslinya untuk nyatakan kebenaran Islam, buat perbandingan yang jelas. (Maksudnya disini, seolah-olah kita orang Islam hanya tahu menyalahkan tanpa menghadirkan bukti sahih, dan tiba-tiba mengatakan Al-Quran dan Islam adalah benar)

Kelu lidah saya yang cetek ilmu ni. Saya minta pandangan ustaz tentang soalan diatas. (Maaf komen yang tak berkaitan dgn entry). Terima kasih.

Jawapan Pertama

ketika Sultan Muhammad II yang lebih dikenal dengan Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi panglima, jatuhlah kota yang pernah menjadi ibu kota Eropa itu. Lewat pertempuran yang sangat dahsyat dengan menggunakan senjata paling modern di kala itu, yaitu CANON atau meriam yang sangat besar dan suaranya memekakkan telinga, Muhammad Al-Fatih berhasil menjatuhkan kota konstantininopel itu dan menjadikannya sebagai ibu kota Khilafah Turki Uthmaniah. Serta menjadikannya pusat peradaban Islam.

Wilayahnya adalah tiga benua dengan semua peradaban yang ada di dalamnya. Saat itu bulan sabit digunakan untuk melambangkan posisi tiga benua itu. Ujung yang satu menunjukkan benua Asia yang ada di Timur, hujung lainnya mewakili Afrika yang ada di bagian lain dan di tengahnya adalah Benua Eropa. Sedangkan lambang bintang menunjukkan posisi ibu kota yang kemudian diberi nama Istambul yang bermakna: Kota Islam.

Bendera bulan sabit ini adalah bendera rasmi umat Islam masa itu, karena seluruh wilayah dunia Islam berada di bahwa satu naungan khilafah Islamiah. Tidak seperti sekarang ini yang terpecah-pecah menjadi sekian ratus negara yang berdiri sendiri hasil dari jajahan barat.

jawapan logik, bulan itu adalah penyinar alam dan bintang itu adalah bernaung di bawah cahaya bulan. Jadi kesimpulannya bulan itu adalah Tuhan dan manusia hidup atas ehsan tuhan dan menjadi hamba Tuhan. Jelas bahawa Islam adalah menghambakan diri kepada Allah yang satu. semua umat tak kira warna kulit, bangsa dan keturunan semua berada di bawah Allah yang satu.

Jawapan Kedua

Pasal kitab injil, bukan kita tuduh tetapi memang terbukti mereka yg ubah dan tukar. di dunia ni ada beribu-ribu jenis kitab bible. setiap jenis ada perbezaan antara satu sama lain. ini terjadi dek kerana mereka translate sana sini. Bila translate maksud asal dah lari dan itu masalah translate, tidak kira lagi masalah dia tambah dan buang ayat-ayat dalam injil dan sekarang ni terhasilnya bible. orang awam kristian memang tidak tahu pasal ini. Tapi ramai paderi-paderi masuk Islam. sebagai contoh Dr. Jerald F. Dirks. dia ni bekas Minister Christian,belajar di Harvard Divinity School,USA, Doctor of Psychology. Di akhir pengajian sebelum diangkat menjadi paderi utama, mereka kena menghadiri beberapa seminar, di sinilah dia cakap, dia telah diberitahu dan didedahkan mengenai perubahan ayat-ayat dari Bible King James Version ke Old testament ke new testament and so on.. kiranya, ada ayat yg ditambah manusia, dan ada yg telah dibuang akhirnya, dia masuk Islam. dan ramai lagi yang masuk Islam. antara contohnya Hajah Irene handono (bekas nun), Yusuf Estes (preacher), Joshua Evans (preacher) dan banyak lagi. Semua ini orang-orang berilmu tinggi yang ingin mencari kebenaran dan akhirnya jumpa Islam. Adapun ramai Melayu yang convert ke Kristian, ia bukanlah kerana kebenaran, tetapi tertarik dengan gaya hidup bebas.

Tuesday, June 1, 2010

7 Sunnah Nabi Yang Patut Dilakukan


Tujuh Sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan ialah :

Solat Tahajjud

Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya :

  1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.

  2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.

  3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.

  4. Dimudahkan hisab ke atasnya.

  5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (Al-Isra : 79)

Membaca Al-Qur'an Sebelum Terbit Matahari

Membaca Al-Quran merupakan salah satu sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbitnya matahari. Besar pahala bagi orang yang mebaca Al-Quran dan mentadabbur isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan dijadikan Al-Quran sebagai bacaan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita Yang mengembirakan orang-orang Yang beriman Yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.” (Al-Isra : 9)

Jangan Tinggalkan Masjid

Solat yang lebih baik adalah solat berjamaah di masjid, kerana pahala orang yang solat berjamaah di masjid sangat besar dan pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperolehi pahala berjamaah sebanyak 27 pahala. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Sungguh, alangkah ingin aku menyuruh (para sahabat) melakukan solat, dan aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang yang membawa beberapa ikat kayu api menuju (rumah) orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, untuk membakar rumah mereka dengan api."


Jaga Solat Dhuha

Solat Sunat Dhuha adalah solat yang yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah kepada umatnya, kerana solat sunat Dhuha ini banyak kelebihannya. Di antara kelebihannya ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jaga Sedekah

Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana Allah. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan jangan sekali-kali orang-orang Yang bakhil Dengan harta benda Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka Bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) Dengan apa Yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik Segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan Segala Yang kamu kerjakan. (mukjizat) Yang nyata dan Dengan (korban) Yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang Yang benar (dalam apa Yang kamu dakwakan itu)?" (Al-Imran : 180)

Jaga Wudhuk Terus Menerus

wudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi oleh Allah. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib :

"Orang yang selalu berwudhuk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Istighfar Setiap Masa

Istighfar ialah memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal : 33)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG