PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Thursday, December 30, 2010

Cara Menghadapi Orang Sakit Yang Nazak


Pendahuluan

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.

Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab itu.

Namun dalam keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada jenerasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu kita meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu.

Sejajar dengan itu maka terbitlah risalah kecil ini bagi memberikan sedikit bimbingan dan panduan. Seperkara yang perlu diingat di samping kita menguruskan jenazah, diharap ianya dapat menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup untuk bersiap sedia menuruti jejaknya suatu hari nanti. Dengan adanya panduan-panduan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada para pelawat jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita.

Melawat Orang Yang Sakit

Hadis Rasulullah saw bersabda mafhumnya :

"Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."

Hukum melawat orang sakit

Adalah fardhu kifayah melawat orang yang sakit menurut jumhur pendapat ulamak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra mafhumnya :

“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. (Hadith Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Adab Menziarahi Pesakit

  1. Lawatan ke tempat orang sakit hendaklah tidak makan masa yang lama.

  2. Sunat duduk berhampiran dengan kepalanya.

  3. Berdoalah untuk pesakit agar dia sembuh. Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah : Bahawa Rasulullah saw biasa memohon perlindungan bagi sebahagian keluarga baginda. Disapukan dengan tangan kanannya lalu berkata : “Ya Allah wahai tuhan bagi sekelian manusia, lenyapkanlah penderitaan dan sembuhkanlah, kerana engkau yang dapat menyembuhkan. Tidak ada penyembuh kecuali penyembuhmu. Yakni penyembuh yang tidak meninggalkan penyakit lagi”.

  4. Berilah kata-kata semangat kepada orang yang sakit dan gembirakan dia.

  5. Menziarahi di waktu-waktu yang sesuai serta mengelakkan daripada waktu-waktu senja, makan dan lewat malam.

  6. Sekiranya ia berhutang segera jelaskan hutangnya (mengingatinya).

Tanda-tanda Orang Yang Hampir Ajal

  1. Tunduk hidungnya (hidungnya jatuh).

  2. Pucat/hilang cahaya mukanya.

  3. Lurus kakinya (lurus tapak kakinya).

  4. Tumitnya lembut.

  5. Renggang pergelangan tangannya dan juga sendi-sendinya.

Adab Menziarahi Orang Yang Hampir ajal (sedang nazak)

  1. Menghalakan pesakit yang nazak ke arah kiblat.

  2. Talqin/peringatan kepadanya.

  3. Ajarkan dia mengucap kalimah لا اله الا الله tidak usah ditambah dengan kalimah محمد رسول الله .

  4. Bacalah Surah Yasin dengan nyaring dan Surah Ar-Ra’du dengan perlahan.

  5. Sunat menitiskan air ke dalam mulut sekiranya terdapat tanda-tanda pesakit dahaga.

Hikmah Menziarahi Orang Sakit

Sakit adalah datangnya dari Allah. Penyakit yang ditimpa ke atas kita sebenarnya mengandungi hikmah. Antaranya ialah :

  1. Memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa kita ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkannya melainkan Allah.

  2. Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi dugaan Allah.

  3. Allah ingin mengampunkan dosa kita yang kita telah lakukan samada secara sedar ataupun tidak.

Kedatangan Sakaratul Maut

Rasulullah saw bersabda mafhumnya :

“Tidak akan keluar nyawa seseorang mukmin sebelum ia melihat tempatnya dalam syurga dan tidak keluar nyawa seseorang kafir sebelum dia melihat tempatnya di dalam neraka”.

Beredar Roh Pada Jasad

  1. Hujung kaki ke lutut.

  2. Lutut ke pusat.

  3. Pusat ke dada.

  4. Dada ke leher (halkum).

Keadaan Malaikat Maut Ketika Mencabut Nyawa

Keadaan Malaikat Maut terhadap orang yang sudah sampai masanya menemui Allah swt akan menemui 2 keadaan :
  1. Yang beriman (keadaannya dengan rupa yang mengembirakan).

  2. Yang tidak beriman (keadaannya dengan rupa yang menakutkan dengan keadaan demikian kesakitan orang yang hampir mati tidak dapat dirasai oleh orang lain melaikan kepada mereka yang merasainya sahaja.

  3. Beberapa ulamak berpendapat : “Bahawa mati itu terlebih sangat kesakitannya daripada seribu palu dengan pedang dan terlebih sakit daripada gergaji dengan beberapa gergajinya dan terlebih sakit daripada gunting dengan beberapa gunting”.
Perkara Sunat Selepas Kematian.
  1. Mengingati tempat kembali, berdoa dan bersabar.

  2. Sunat diucapkan : “Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita akan dikembalikan”.

  3. Memberi ucapan takziyah (menyabar) menghibur orang yang ditimpa musibah dengan mengebut hal-hal yang dapat menghilangkan duka. Doa Takziyah : “Moga-moga Allah swt menagndakan pahalamu dan memberi takziyah yang baik kepadamu serta mengampunkan yang mati itu”.

  4. Apabila sudah hilang nyawa wajiblah dipejamkan matanya dan dirapatkan mulutnya jika terbuka, dengan cermat. Kemudian diikatkan dagunya untuk memelihara daripada dimasuki serangga. Doanya ialah : “Ya Allah Ya Tuhan kami ampunkanlah dia, Ya Allah Ya Tuhan kami rahmatilah dia”.

  5. Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang sesuai. Sebaik-baiknya di atas katil dengan keadaan melentang mengarah ke qiblat.

  6. Salinkan pakaian yang dipakai dengan pakaian yang bersih supaya tidak terbuka auratnya.

  7. Letakkan sesuatu di atas perut untuk mengelak dari kembong perutnya.

  8. Harus bagi ahli keluarganya menciumnya (ijmak para sahabat).

  9. Ahli keluarga yang mampu segera tunaikan hutang si mati sekiranya ia menangguhkan hutang, sama ada dibayar dari harta peninggalan si mati atau atas pertolongan waris, kerana pada suatu ketika Rasulullah saw enggan menyembahyang ke atas jenazah yang mempunyai hutang sehingga dibayar hutangnya dan ditunaikan wasiatnya.

  10. Segerakan pengurusan jenazah tersebut. Dari Ali Bin Abi Talib, Sabda Rasulullah saw mahfumnya : “Wahai Ali tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan, sembahyang apabila masuk waktunya, kebumikan jenazah apabila sudah sedia dan nikahkan anak dara apabila ada jodohnya”.

  11. Mengumumkan kematiannya, kepada sahabat handai dan golongan orang-orang yang soleh agar segera menguruskannya.

  12. Diharamkan ratapan, meraung, menjerit dan diharuskan menangis.

  13. Diharamkan berkabung melebihi tiga hari.

Sunat Menyediakan Makanan Bagi Keluarga Yang Meninggal

Perbuatan ini disunatkan, kerana ia merupakan kewajipan dan pendekatan diri kepada keluarga mayat dan tetangga. Berkata Imam Syafi’e : “Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga mayat cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari satu malam, kerana itu adalah sunat dan merupakan perbuatan orang yang berbudi”. Sabda Rasulullah saw :

“Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’afar, kerana mereka sedang ditimpa musibah yang memilukan”. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Turmizi)

Para Imam memandang makruh hukumnya jika keluarga mayat menyediakan makanan buat orang yang datang kerana hal ini menambahkan kemalangan mereka, serta meniru perbuatan orang-orang Jahiliah.

Adalah menjadi kewajipan ke atas ahli keluarganya yang terdekat (warisnya) untuk menguruskan jenazah. Seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan jenazah mengikut peraturan-peraturan dan cara-cara yang telah ditetapkan oleh syarak.

Tuesday, December 28, 2010

Muamalat Bukan Sekadar Kewangan Islam


Kota Kinabalu Dis 19 - Sebut saja Muamalat umat Islam akan segera memikirkan sistem perbankan dan kewangan Islam. Itu saja.

Penyempitan istilah Muamalat ini harus dileraikan agar umat Islam di Malaysia mampu memahaminya secara telus dan haq agar tidak tersasar daripada maksud dan aplikasinya yang sebenar di dalam Islam.

Menurut Ustaz Muhammad Najib Abdullah pensyarah daripada Universiti Sains Islam Malaysia, segala harta yang ada di alam ini sama ada di muka bumi, di lautan atau di dasarnya adalah milik Allah SWT secara mutlak. Manusia hanya diberikan kebenaran untuk mencari dan memiliki harta yang disediakan oleh Allah SWT itu melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah SWT dan khalifah yang bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

“Malah semua urusan mentadbir anugerah Allah ini adalah digelar sebagai muamalat. Bukan hanya sekadar pengurusan perbankan sahaja seperti lazimnya difahami oleh umat Islam kita. Bermakna bukan hanya kita beradab dan menjaga tatasusila semasa urusan jual beli dan kewangan, malah semua urusan duniawi kita hendaklah berteraskan kepada rasa tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Tuhannya. Barulah tiada penyalahgunaan kuasa, pencerobohan alam sekitar, rasuah, nepotisme dan sebagainya. Kerana setiap makhluk itu akan rasa takut azab Allah SWT,” kata beliau semasa membentang kertaskerja bertajuk Beberapa Prinsip Mualamat Islamiyah: Ke Arah Memperkasakannya sempena Seminar Usahawan & Profesional HALUAN di sini.

Beliau memetik ayat Quran daripada surah Al Mulk:15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)”.

Muamalat bererti semua hukum-hakam syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia, dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Manusia mempunyai dua perhubungan di dalam hidup ini, iaitu hubungan dengan Allah (hablun min Allah) yang merangkumi aspek ibadah, dan hubungan dengan manusia (hablun min al-nas) yang dinamakan aspek muamalat.

Oleh kerana itu, muamalat merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing. Ia telah ditetapkan oleh Allah SWT yang mesti dipatuhi dan melibatkan bidang ekonomi dan juga sosial Islam.

Namun begitu, muamalat dengan nama yang digunakan pada hari ini ialah dalam bidang ekonomi, kewangan dan urusniaga yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Katanya lagi, di antara tujuan muamalat adalah supaya di dalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas, ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipu daya dan sebagainya. Ia bakal meletakkan manusia pada nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal tanpa menindas orang lain ataupun mementingkan hanya sebelah pihak sahaja.

Sumber : Haluan Malaysia

Sunday, December 26, 2010

Ini Bida'ah Itu Bida'ah




Sidang Jumaat yang dirahmati,

Bid'ah dari segi bahasa ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya. Manakala dari segi istilah pula ialah mengadakan sesuatu perbuatan atau iktikad atau mengeluarkan perkataan yang tidak terdapat keizinannya daripada syara' samada Al-Quran, As-Sunnah, ijma' atau qiyas dan tidak termasuk juga dalam Qawaid As-Syar'iyyah. Berdasarkan ini setiap perkara baru dirujuk kepada al-quran, as-sunnah, ijma' atau qiyas. Sekiranya ada, maka ia dikira sebagai sebahagian syariat. Sekiranya tidak ada, hendaklah dilihat kepada Qawaid As-Syar'iyyah. Sekiranya ada, maka ia juga sebahagian syariat dan tidak boleh dianggap bid'ah. Setelah tidak ditemui, barulah boleh dikatakan bid'ah atau sesat.

Ada nas yang menganjurkan perkara-perkara baru yang baik dan ada nas yang mencela orang yang menganjurkan jalan-jalan yang buruk. Sabda Rasulullah saw :

"Sesiapa yang melakukan sunnah (perbuatan) yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya hingga ke hari kiamat, dan sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa orang beramal dengannya hingga ke hari kiamat".

"Sesiapa yang mengadakan dalam perkara Kami ini (agama) perkara yang bukan daripadanya, maka ia tertolak."

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu amalan yang dilakukan tidak boleh dengan mudahnya dilabelkan sebagai bid'ah melainkan mencukupi syarat-syaratnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulamak. Bid'ah yang wajib diperangi mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut. Pertama, ia hendaklah termasuk dalam perkara yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan ibadah. Kedua, amalan itu dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah dan ketiga tidak didapati asasnya dalam agama.

Bagaimanapun, dalam memerangi bid'ah ini, hendaklah digunakan cara yang paling baik, yang tidak membawa kepada keburukan atau kefasadan yang lebih besar. Tidak semua perkara atau amalan bid'ah yang dilakukan itu wajib diperangi kerana hari ini penggunaan ungkapan bid'ah dan ibtida' begitu laris diperkatakan oleh masyarakat. Kadang-kadang digunakan begitu luas sehingga tidak ada sesuatu pun yang boleh keluar daripadanya. Di waktu yang lain pula maknanya begitu sempit.

Hadis ini mengisyaratkan bahawa akan timbul bentuk-bentuk pembaharuan yang tidak dapat dinafikan. Bentuk pertama ialah pembaharuan yang tertolak manakala bentuk kedua ialah pembaharuan yang diterima.

Pembaharuan yang diterima ialah sesuatu yang bertepatan dengan ajaran Islam berdasarkan rumusan yang tersirat dalam hadis iaitu mafhum mukhalafahnya seolah-olah hadis tersebut mengatakan :

"Sesiapa yang melakukan amalan yang diperintahkan Kami atau mengadakan pembaharuan dalam urusan Kami ini yang ia termasuk di dalamnya, maka ia diterima".

Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya Al-I'tisam membahagikan bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah sayyiah.

Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam membahagikan bid'ah kepada bid'ah wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Ibadah yang telah ditentukan oleh Rasulullah cara dan masanya wajib ditunaikan sepertimana yang ditunaikan oleh baginda tanpa penambahan dan mengurangkan seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya.

Ibadah yang diriwayatkan daripada Rasulullah dan tidak terikat dengan bentuk, masa, tempat, keadaan atau bilangan dan tidak ada riwayat larangan melakukan pada waktu-waktu tertentu, maka terpulanglah kepada umat Islam memilih masa dan tempat yang sesuai untuk melakukannya seperti solat sunat mutlak, zikir, membaca Al-Quran, selawat, kenduri kendara dan sebagainya. Maka ini tidak dianggap sebagai bid'ah.
Tetapi sekiranya dikaitkan dengan Rasulullah saw, maka ia menjadi bid'ah kerana ia adalah pendustaan kepada baginda.

Adapun pengurangan dan penambahan pada ibadah yang ditetapkan oleh syara' adalah bid'ah seperti menambah dan mengurangkan rakaat, menambah atau mengurangkan rukuk dan sujud dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Menurut As-Sheikh Imam Abu Amru Abdul Aziz bin As-Salam dalam penghujung kitabnya Al-Qawaid, beliau berkata: "Bid'ah ini dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dan cara menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syara'. Jika termasuk dalam kaedah yang mewajibkan jadilah wajib. Jika termasuk dalam kaedah yang mensunatkan jadilah sunat. Jika termasuk dalam kaedah yang mengharamkan jadilah haram. Jika termasuk dalam kaedah yang memakruhkan jadilah makruh dan jika termasuk dalam kaedah yang mengharuskan jadilah harus."

Contoh bid'ah wajib ialah meletakkan kaedah nahu dan sorof, membukukan Al- Quran, menyusun ilmu-ilmu seperti usuluddin, fekah dan sebagainya. Contoh bid'ah sunat ialah mengadakan sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah dan solat Terawikh berjemaah. Contoh bid'ah makruh seperti menghiasi masjid dan mashaf. Manakala contoh bid'ah harus pula ialah bersalam-salaman selepas solat, membahagi-bahagikan makanan, minuman dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu yang tidak dilakukan oleh Raslullah s.a.w dan para sahabat bukanlah bererti tidak dianjurkan oleh syara'. Pendapat mengatakan bahawa perkara itu bid'ah adalah tidak tepat, dilihat kepada dua sudut iaitu pertama sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah tidak menunjukkan ia tidak dianjurkan oleh syara' atau tidak juga dilarang, maka ia dianggap harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya dan kedua ialah pendapat yang mengatakan: "Kalaulah ia baik, sudah tentu ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kita" adalah pendapat seolah-olah syariat Islam adalah sesuatu yang jumud sedangkan Islam itu syumul.

Islam mampu menetapkan hukum pada setiap amalan atau peristiwa yang berlaku samada dalam muamalah atau sebahagian daripada ibadah yang tidak ditentukan oleh syariat iaitu dengan berpandukan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang terdapat dalam syariat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara persoalan yang sering timbul ialah menghukum bid'ah ke atas persoalan khilafiah atau yang ditetapkan oleh hadis dhaif.

Jawapannya termasuk dalam kesalahan yang nyata menetapkan hukum bid'ah ke atas perkara yang para ulamak tidak sekata mengenainya dari sudut sabit (wujud) atau tiadanya atau dari sudut kuat atau lemah dalilnya. Begitu juga pada perkara yang ditetapkan oleh hadis yang dianggap dhaif oleh para ulamak hadis kerana dengan label tersebut, menyebabkan kita menghukum para sahabat dan generasi salafus soleh sebagai pembawa bid'ah kerana seorang mujtahid akan menganggap ijtihadnya lebih masyhur daripada ijtihad orang lain.

Sebagai contoh Saidatina Aisyah pernah berselisih pendapat dengan Ibn Abbas pada satu hukum yang telah ditetapkan oleh Ibn Abbas. Sudah tentu boleh membawa kepada bid'ah membid'ahkan sesama mereka.

Demikian juga keadaannya pada perkara yang ditetapkan berpandukan hadis yang dhaif. Tidak boleh juga menghukumnya sebagai bid'ah kerana hukum memang sabit secara umum, tetapi lemahnya berlaku pada sanad hadis yang mungkin disebabkan kecacatan pada rawi atau pada matan hadis.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita jangan bersegera melabelkan seseorang itu dengan bid'ah dan sesat. Terdapat sesetengah golongan yang sampai ke peringkat melampaui batas sehingga berani mempertikaikan autoriti para ulamak besar dan melemparkan tuduhan tersilap, bid'ah dan kurang mengkaji hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Di antara ulamak yang mereka pertikaikan ialah imam-imam mazhab yang empat. Sedangkan mereka telah pun diperakui oleh umat Islam kelayakan mereka untuk dijadikan ikutan.

Terdapat juga sebahagian yang lain mempertikaikan ulamak lain yang mempunyai pendapat yang tidak sesuai dengan selera dan prinsip hidupnya walaupun mereka yakin bahawa mereka yang dipertikaikan itu benar dalam beberapa aspek yang lain seperti mempertikaikan pandangan Syafie dalam qunut dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara perkara yang sering dikaitkan dengan bid'ah sedangkan perkara-perkara tersebut adalah perkara khilafiah (yang diperselisihkan oleh ulamak) seperti tawasul dengan orang yang telah mati, menggerakkan atau mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat, berdoa selepas solat fardhu, doa secara berjemaah, membaca Qunut dalam solat Subuh, malam Nisfu Syaaban, hukum berselawat selepas azan, memohon syafaat dengan Rasulullah s.a.w, azan pertama pada hari Jumaat, sunat Qabliyyah Jumaat, bilangan rakaat solat Terawikh, menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka yang telah mati, perayaan Maulid Ar-Rasul dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Terdapat segolongan pemuda yang melampau dalam meletakkan pengertian bid'ah sehingga menghukumkannya terhadap perkara-perkara kecil, kerana mengikut hawa nafsu atau kerana terpengaruh dengan manhaj (prinsip) jamaah tertentu yang menganggap bid'ah ialah sesuatu amalan yang baru diwujudkan dan tidak pemah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Mereka lupa atau sengaja melupai keluasan dan kesyumulan Islam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, malah setiap sesuatu yang muncul samada yang berbentuk istilah atau peristiwa sehinggalah ke hari kiamat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita sepatutnya mengetahui pengertian bid'ah yang sebenarnya. Kita jangan terlalu cepat menghukum sesuatu perkara itu bid'ah yang dholalah (yang sesat).

Bid'ah yang wajib diperangi ialah bid'ah dalam perkara akidah yang membawa kepada syirik dan bid'ah saiyyiah (buruk). Dalam masa yang sama, kita pula jangan meringan-ringankan perkara bid'ah sehingga menokok tambah dalam perkara agama.

Panduan dalam menentukan sesuatu itu bid'ah atau tidak ialah merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma', qiyas dan pandangan ulamak.

Sumber :Mohd Al-Amin Duad Al-Azhari

Saturday, December 25, 2010

Perbandingan 4 Mazhab Berhubung Aurat Wanita Merdeka


Maliki

Semua badannya, kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah(harus) didedahkan muka dan dua tapak tangannya di jalan dan di hadapan lelaki ajnabi,tetapi dengan syarat aman daripada fitnah. Jika ditakuti fitnah, maka wajib ditutup


Hambali

Ada dua qaul :


  1. Semua badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Muka dan dua tapak tangannya halal dilihat lelaki ajnabi, jika aman daripada fitnah. Tetapi wajib ditutup sekiranya ditakuti mendatangkan fitnah.

  2. Semua badannya, tampa kecuali. Ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Iman Ahmad dan inilah qaul yang paling sahih.

Syafi'i

Ada dua qaul berdasarkan dua riwayat daripada Iman Syafi'i :

  1. Semua badan, tanpa kecuali. Inilah qaul yang paling sahih atau paling nyata atau mu'tamad, sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Hajar al-Haytamiyy di dalam az-Zawajir dan Al-Baydawiyy di dalam Tafsirnya dan juga para Ulama' Syafi'iyah.

  2. Semua badan, melainkan muka dan dua tapak tangan. Mubah didedahkan muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat aman daripada fitnah. Wajib tutup muka dan dua tapak tangan itu bukan kerana ianya aurat, tetapi kerana menutup pintu fitnah dan fasad.

Hanafi

Ada dua qaul, derdasarkan dua riwayat daripada Iman Abu Hanifah :


  1. Semua badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah di dedahkan muka dan dua tapak tangan di jalan dan di depan lelaki ajnabi dengan syarat aman dari fitnah. Jika ditakuti mendatangkan fitnah atau membawa kepada fasad, maka wajib ditutup.

  2. Semua badannya, kecuali muka, dua tapak tangan dan dua qadam (iaitu tapak kaki) dan pergelangannya.

Thursday, December 23, 2010

Ringkas Bisnes Online Dari Sudut Islam


Salam sejahtera kepada semua pengunjung, harap anda semua sihat di samping keluarga bahagia. Ramai rakyat Malaysia sekarang ini sangat berminat dengan skim pelaburan atau perniagaan MLM dan bisnes online. Saya berterus terang, bahawa saya kurang arif dalam masalah Muamalah dalam Islam dan saya bukan selayaknya untuk menjawab persoalan yang berkaitan dengan bisnes online ini. Yang selayaknya adalah seperti Ustaz Zaharuddin yang alim dalam bidang muamalah Islam dan dia banyak menghasilkan buku-buku yang berkaitan dengan muamalah Islam dan boleh dapatkan di pasaran. Dalam artikel ini saya hanya berikan sedikit sebanyak sahaja yang saya tahu dengan muamalah Islam hasil belajar di sekolah, buku-buku yang dibaca dan university ketika dahulu.

Untuk menyertai apa-apa bisnes sekalipun, perlu mengikuti prinsip (Klik Sini), ciri-ciri (Klik Sini) dan syarat yang telah diletakkan Islam seperti penjual, pembeli, barang dan akad. Jadi bagi sesiapa yang hendak menyertai skim bisnes online atau MLM anda perlu kenal dahulu penjualnya atau syarikat tersebut, kalau boleh cuba ziarahi syarikat tersebut supaya alamat yang ditulis dalam website mereka adalah betul dan bukan pembohongan. Jangan mudah percaya dengan apa yang diceritakan di dalam website mereka, kerana strategi bisnes tidak akan menceritakan apa-apa kelemahan yang dihadapi di dalam bisnes mereka. Pastikan juga syarikat tersebut benar-benar berdaftar dengan pihak berkuasa seperti SSM, Jabatan Kewangan dan banyak lagi. Ini penting sebagai tindakan berjaga-jaga daripada anda tertipu nanti. Realiti yang berlaku, ramai yang menyertai skim MLM syarikat tersebut selama beberapa bulan, tiba-tiba bulan seterusnya syarikat tersebut gulung tikar entah kemana dan duit yang dilaburkan lesap tanpa dikesan.

Setelah anda berpuas hati dengan latar belakang syarikat tersebut, maka anda bolehlah semak cara perniagaan mereka, adakah tawaran mereka mempunyai surat hitam putih sebagai bukti bayaran? Bagaimana pulangan hasil keuntungan syarikat? Adakah pihak syarikat membuat janji-janji yang tidak masuk akal atau janji-janji pulangan akan diberikan sekian-sekian pada setiap bulan atau sebagainya. Anda perlu pastikan bahawa syarikat tersebut mempunyai produk yang dijual atau hanya habuk sahaja. Islam sangat melarang perniagaan yang tidak jelas dan samar-samar, kerana dikuatiri ada unsur riba di situ. Kebanyakkan syarikat perniagaan online ini hanya mengambil bayaran sahaja dan tiada produk yang dijual. Islam mengharamkan bagi sesiapa yang melaksanakan atau menyertai perniagaan yang belum memulakan perniagaan sudah menjanjikan pulangan sekian banyak pada setiap bulan. Orang yang menyertainya hanya semata-mata ingin memperolehi keuntungan sahaja dan tidak ambil kisah tentang produk tersebut. Ini sangat dilarang dalam Islam, kerana secara logiknya mana akan berlaku perniagaan dan penjualan kalau tiada produk, maka jual beli tersebut tidak sah. Sebagai pembeli, anda perlu berjaga-jaga dan jangan terpedaya dengan kemewahan yang dijanjikan oleh syarikat tersebut.

Mengikut Mazhab Syafie setiap transaksi berlaku antara penjual dan pembeli wajib mempunyai akad yang menandakan bahawa barang itu terjual. Contohnya saya membeli barang dan wajib melafazkan akad “saya beli barang ini” dan penjual juga berkata “saya jual barang ini”. Masalah dalam bisnes online, semua pembayaran berlaku secara online dan tiada akad lafaz yang boleh dibuat antara penjual dan pembeli. Dalam hal ini ada pendapat yang mengatakan bahawa cukup dengan akad mafhum iaitu akad faham-faham antara penjual dan pembeli. Harus anda ingat setiap kali melakukan pembayaran secara online, simpan segala bukti pembayaran yang telah dilakukan sebagai bukti bayaran, ini penting kerana kalau berlaku apa-apa masalah dalam bayaran anda nanti, anda telah mempunyai bukti dan pihak syarikat tersebut boleh ambil tindakan yang sewajarnya.

Sepengetahuan saya dalam perniagaan MLM atau bisnes online ini, kebiasaannya syarikat mereka akan dianugerahkan sijil halal dari JAKIM sebagai bukti bahawa bisnes mereka mematuhi syarak. Ini pernah saya lihat di dalam seminar HPA pada tahun 2008 yang lepas. Mereka juga mempunyai penasihat syariah sendiri untuk memantau segala perjalanan syarikat tersebut. Jika berlaku apa-apa keraguan, penasihat syariahnya akan memberi teguran dan menyelesaikan masalah tersebut mengikut apa yang ditetapkan dalam Muamalah Islam. Ada syarikat yang hanya menggunakan nama mana-mana ustaz yang popular untuk memasarkan produk mereka tanpa diketahui oleh ustaz tersebut dengan mengatakan : “ustaz sekian yang pernah masuk TV dan radio menjadi duta syarikat, takkan makcik dan pakcik semua tak percaya bisnes kami”. Sebagai penguna perlu berhati-hati, dunia sekarang ini banyak penipuan demi semata-mata mencari keuntungan yang tidak menghiraukan halal dan haram.

Saya rasa setakat ini dahulu perbahasan saya secara ringkas tentang skim perniagaan online ini, selagimana dia tidak bercanggah dengan prinsip syarak, maka selagi itulah dia boleh disertai. Sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak memasukkan dalil-dalil dari Al-Quran, Hadis dan pendapat ulamak di atas, sebab tiada masa untuk merujuknya. Artikel saya ini bertujuan untuk memberi faham kepada sesiapa yang rasa ragu-ragu dengan skim-skim perniagaan online ini dan selebihnya anda perlu merujuk kepada orang yang lebih arif dalam bidang ini. Saya juga tidak berani mengeluarkan kenyataan yang khusus, kerana saya kurang tahu dan kurang mengkaji syarikat-syarikat bisnes online ini seperti HyProBulkSMS, Marhaban4u, Vemma, Ganda RM 10.00, Dapat Wang dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menghindari dari berlakunya fitnah.

Wednesday, December 22, 2010

Kem Remaja Unggul 2010 (Kristal 10)


Persatuan Alumni Sekolah Menengah Agama Islam Pahang (PERMAi) akan menganjurkan Program Cuti Sekolah (KRISTAL’10). Antara objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang bakal memasuki dunia kampus dan bertujuan membantu mereka memilih IPT yang sesuai dengan kursus pilihan mereka. Butiran program seperti berikut :
  1. Tarikh: 31 Dis 2010- 2 Jan 2011
  2. Tempat: Hutan Lipur Gunung Senyum, Temerloh, Pahang
  3. Sasaran: Pelajar lepasan SMA/SPM/STAM/STPM/ASASI
  4. Had Penyertaan: 120 orang sahaja
  5. Yuran: RM 30 bagi 30 Penyertaan Awal dan RM 50 bagi selebihnya
Sehubungan itu, pihak kami ingin memohon sumbangan tajaan daripada pihak Tuan/Puan/Dato’ untuk menjayakan KRISTAL’10. Sumbangan daripada pihak Tuan/Puan/Dato’ boleh diberikan dalam bentuk kewangan, barangan atau perkhidmatan.

Sebarang pertanyaan dan permasalahan bolehlah diajukan kepada Muhammad Zaid Bin Sabran (013-2578754) dan sumbangan boeh dibuat ke akaun bendahari program Nur Hidayah Bt Alias (Bank Islam :06019020755014 Tel no :013-3152057)

Segala kerjasama daripada pihak Tuan/Puan/Dato’ amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih

Kunci Meraih Keberkatan


Raihlah keberkatan hidup disisi Allah SWT kerana hidup berkat akan sentiasa bercukupan dan kecukupan itu akan memperoleh keberkatan. Justeru itu kita selalu berdoa dan meminta orang lain mendoakan kita agar segala sesuatu yang kita miliki dan kita usahakan memperolehi keberkatan dari Allah SWT.

Dalam masyarakat kata "berkat", "berkah", atau "barakah" sudah tidak asing lagi. Kata barakah berasal dari bahasa Arab yang bererti tumbuh, berkembang, tetapnya sesuatu, kemudian ia bercabang, dan satu sama lain saling berdekatan. Secara terminologi kata berkah bererti "kebaikan yang bersumber dari Allah SWT yang ditetapkan terhadap sesuatu sebagaimana mestinya".

Pasrah Kepada Allah

Sudahkah kita merasai keberkatan itu? Ramai orang yang meninggal dunia dalam keadaan kerugian sebelum tercapainya cita-cita yang diimpikan, tidak sempat untuk beramal kerana sibuk mengejar harta. Gemerlap dunia ibarat meminum air laut, semakin banyak diminum semakin menambah rasa haus dan tidak pernah merasa cukup terhadap apa yang sudah dimiliki.

Orang yang tidak pernah puas maka ia tidak akan pernah bahagia. Hidupnya menjadi tidak barakah disisi Allah SWT dan menderita. Namun orang yang merasa cukup dengan apa yang dimiliki maka Allah SWT memberikan kurnia-Nya yang melimpah.

"Barangsiapa yang memasrahkan keperluannya kepada Allah, niscaya Dia akan mendatangkan kepadanya rezeki dengan segera atau menunda kematiannya." (HR. Ahmad).

Menurut Ath-Thabathaba'i, kebaikan yang bersumber dari Allah SAW itu muncul tanpa diduga dan tidak terhitung dalam sepanjang kehidupan, baik yang bersifat kebendaan mahupun berbentuk kerohanian. Keberkatan yang bersifat kebendaan itu akan bermuara juga kepada keberkatan dalam ketinggian kualiti spiritual dalam kehidupan yang mencintai akhirat.

Mulianya hidup tatkala kehidupan sentiasa diberkati Allah SWT. Bila hidup kita diberkati Allah SWT, kehidupan akan selalu merasa cukup dan bila kita merasa berkecukupan maka kita memperoleh keberkatan.

"Sesungguhnya Allah yang Maha Luas kurnia-NYa lagi Maha Tinggi, akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang telah Dia berikan kepadanya. Barangsiapa yang redha dengan pemberian Allah maka Allah akan memberkahi dan melapangkan rezeki untuknya dan barangsiapa yang tidak redha niscaya rezekinya tidak diberkahi." (HR. Ahmad).

Kunci Keberkatan

Untuk meraih keberkatan dalam kehidupan, ada dua tuntutan syarat yang perlu kita laksanakan. Firman Allah SWT:

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya (Al-A'raf:96).

Pertamanya, beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang dikutip di dalam surah Al-A'raf, ayat 96. Ayat ini menunjukkan balasan Allah SWT bagi hamba-hamba-Nya yang beriman, yakni keberkatan dari langit dan bumi. Sebaliknya, ayat tersebut juga sekaligus menjadi penjelas bahawa orang yang kufur kepada Allah SWT, niscaya tidak akan pernah merasakan keberkatan dalam hidup.

Justeru bagi membina iman, kita perlu mentarbiyah hati kita dengan tarbiyah imaniyah. Bersihkan hati kita dari sebarang dosa dan noda. Bersihkan hati kita dari karat-karat jahiliyah yang akan menghitamkan hati kita lalu menjadi penghalang kepada hadirnya hidayah, petunjuk dan pertolongan dari Allah SWT. Hati yang bersih akan menumbuhkan keimanan yang sebenar terhadap Allah SWT.

Kedua, amal soleh. Yang dimaksud dengan amal soleh ialah menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat yang diajarkan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

"Demi malam apabila menutupi, dan siang apabila terang benderang, dan penciptaan laki-laki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza. Adapun orang yang memberikan (harta di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah "(Al-Lail:1-7).

Iman dan Amal Soleh

Inilah hakikat kepentingan memiliki ketakwaan dan melaksanakan amal soleh yang menjadi prasyarat datangnya keberkatan sebagaimana ditegaskan Allah SWT di dalam Al Quran. Setelah kita berusaha untuk memenuhi prasyarat tersebut, maka berserahlah kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (ath-Thalaq, 65: 2-3)

Allah SWT juga menceritakan di dalam Al-Quran tentang Ahlul Kitab yang hidup pada zaman Nabi SAW, Allah SWT berfirman:

"Dan sekiranya mereka benar-benar menjalankan Taurat, Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka, niscaya mereka akan mendapatkan makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka…" (Al-Ma'idah: 66).

Para ulama tafsir menjelaskan, yang dimaksud dengan "mendapatkan makanan dari atas dan dari bawah kaki", ialah Allah SWT melimpahkan kepada mereka rezeki yang sangat banyak dari langit dan dari bumi, sehingga mereka akan mendapatkan kecukupan dan pelbagai kebaikan tanpa susah payah, letih, lesu, dan tanpa adanya tentangan atau pelbagai permasalahan yang mengganggu ketenteraman hidup mereka (Tafsir Ibnu Katsir, 2/76).

Menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa'di, "Sekiranya mereka melaksanakan perintah-perintah Allah, menjauhi larangan-larangan-Nya, seperti yang dianjurkan dan diperintahkan oleh Allah, dan termasuk perlaksanaannya adalah beriman kepada apa yang diserukan oleh Taurat dan Injil untuk beriman kepada Muhammad s.a.w. dan kepada al-Quran, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Yakni, Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka, langit dijadikan menurunkan hujan, bumi pula menumbuhkan tanaman."(Rujuk: Tafsir as-Sa'di, jil. 2, m/s. 378-379)

Al-Quran Sumber Keberkatan

Semoga kita meraih keberkatan di sepanjang kehidupan kita. Tidak ada cara yang terbaik untuk kita beroleh keberkatan melainkan kita sentiasa merujuk kepada panduan terlengkap yang Allah SWT telah bekalkan kepada kita melalui Al Quran yang menajdi sumber keberkatan. Firman Allah SWT:

"Dan Al-Qur'an ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkah yang telah kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya? (Al Anbiyaa':50)

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran." (Shaad:29).

Kini kunci meraih keberkatan dalan kehidupan telah terbongkar. Al Quran memandu kita agar berbekal dengan iman, taqwa dan amal soleh, insyaAllah kita akan meraih keberkatan. Firman Allah SWT:

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (An-Nahl:97)

Sumber : Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Monday, December 20, 2010

Nabi Ibrahim Menguji Menantunya

Sekadar gambar hiasan sahaja dan tiada kaitannya dengan yang hidup dan yang mati


Pada suatu hari, nabi Ibrahim as datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu nabi Ibrahim. Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa nabi Ismail keluar memburu. Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab : " Kami hidup susah dan kesempitan". Nabi Ibrahim bertanya lagi : " Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?". Jawab perempuan tadi :" Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman".

Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang maka nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya : " Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya".

Sebaik sahaja nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya :" Adakah ada seseorang datang menziarahimu?". Jawab isterinya :" Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya". Baginda bertanya lagi :" Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu?". Jawab isterinya : "Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu". Mendengar jawapan daripada isterinya lantas nabi Ismail menjelaskan kepadanya :" Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula". Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.

Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail. Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana nabi Ismail tiada di rumah. Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik. Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : " Adakah kamu mempunyai tetamu?". Jawab perempuan itu :" Ya! iaitu engkau". Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab :" Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia". Sambil itu dia memuji-muji Allah. Sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan itu : " Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya". Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.

Setelah nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberithu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada nabi Ismail. Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu nabi Ismail dengan gembira memberitahu :" Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu". Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.

Saturday, December 18, 2010

Nabi Muhammad Gemar Beri Hadiah Kepada Isteri


Hadiah merupakan pelembut bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Baginda Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang. Sabda Nabi SAW:

Maksudnya;
"Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang." (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)

Pengikat Kasih, Pendamai Jiwa

Peranan hadiah sebagai pengikat kasih dan pendamai jiwa memang tidak boleh dinafikan. Hal ini terbukti dan pernah dialami sendiri oleh tokoh gerakan Islam Imam Hasan Al-Banna. Diceritakan bahawa semasa Imam Hasan Al-Banna sering menyampaikan kuliah agama. Dalam kuliah beliau itu, terdapat seorang Pak Cik tua yang sering mengemukakan soalan-soalan dengan niat untuk merendahkannya. Soalan yang dikemukakan itu, bukan dengan tujuan untuk mendapat ilmu, tetapi bagi menjatuhkan kredibiliti Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam di Mesir.

Melihat tindakan Pak Cik tersebut, Imam Hasan Al-Banna berfikir tentang cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedang menimpa itu. Akhirnya, Imam Hasan Al-Banna terfikir kepada hadis nabi yang menyebut tentang hadiah, menyebabkan Imam Hasan Al-Banna telah membelikan satu hadiah dan diberikan kepada Pak Cik tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, menyebabkan Pak Cik itu sudah mula merasa malu dengan Imam Hasan Al-Banna, dan selepas dari kejadian itu, Pak Cik tersebut tidak lagi mengemukakan soalan-soalan "pekena" seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.

Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa hadiah merupakan faktor penting dalam menaikkan semangat sayang menyayangi antara manusia. Lebih-lebih lagi, dalam usaha hendak melahirkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Nabi SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu dijadikan tauladan dalam pengurusan rumah tangga ini. Hal ini kerana, didapati baginda SAW juga sering memberikan hadiah kepada isterinya. Semuanya ini adalah bertujuan, untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

Kemurahan hati Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam memberikan hadiah untuk isterinya terbukti seperti yang digambarkan dalam hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita;

Maksudnya;
"Ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, "sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu." Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; "jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu." (Musnad Ahmad : 26016)

Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW.

Ubat Untuk Krisis Rumah Tangga

Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.

Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.

Begitu juga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.

Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad SAW.

Sumber : Portal I Love Islam

Wednesday, December 15, 2010

Binatang Yang Halal Dimakan


Assalamualaikum Ustaz..

Saya berminat untuk bertanya tentang status halal beberapa makanan / minuman berikut:
1. Penyu / Telur penyu
2. Ketam batu
3. Belangkas
4. Escargot (Sejenis siput)
5. Kopi Tahi Musang

Diharap agar Ustaz dapat membantu menerangkan perkara di atas.

Sekian, terima kasih.

Jawapan

Perlu difahami bahawa para ulamak bersepakat setiap perkara yang mempunyai dalil tentang pengharamannya dari Al-Quran dan Hadis tiada lagi perbahasannya sebab ia telah jelas haram. Manakala perkara yang tiada dalil pengharamannya dari Al-Quran dan Hadis, maka ia menjadi harus. Masalah binatang yang halal dimakan ini banyak pendapat dan dalil tantang masalah ini. Untuk tidak melebarkan perbahasan ini, saya fokuskan kepada persoalan sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah : 168)

Dihalalkan bagi manusia makanan yang baik-baik dan tidak memudharatkan manusia seperti memakan babi yang jelas boleh mendatangkan penyakit, binatang yang berbisa yang jelas boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan sebagainya. Kecualilah kalau seseorang itu sesat di dalam hutan, tiada makanan yang dibawa, dia lesu dan tidak bermaya lagi disebabkan tidak makan, maka barulah di situ dia boleh memakan segala binatang yang lalu dihadapannya dengan sekadar alas perut sahaja.

Islam mempunyai kaedahnya sendiri bagi membolehkan binatang tersebut dimakan iaitu dengan cara sembelih yang telah ditetapkan oleh syarak. Binatang yang tidak perlu disembelih dan halal dimakan oleh manusia adalah seperti ikan, sotong, belalang, ketam, udang dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Kebanyakkan ulamak mengatakan binatang hidup dua alam adalah haram dimakan. Di antara pendapat yang mengatakan haram ialah Al-Qadi Ibn Al-Arabi :

“Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang, kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram.”

Imam Syafie, Imam Nawawi, Imam Hambali mengatakan haram memakan binatang dua alam ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Dihadapan Rasulullah S.A.W. seorang tabib memeperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah S.A.W. melarang kita membunuh katak itu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I)

Hal ini berbeza dengan Penyu dan telur penyu juga diharuskan makan kerana ia jugak tidak hidup pada dua alam, kerana ia hanya naik seketika untuk bertelur, setelah dia bertelur dia turun kembali ke laut. Ibnu Qudamah ra berkata :

“Semua yang hidup didarat dari kalangan binatang laut, tidak halal tanpa disembelih, sebagaimana burung laut, penyu, anjing laut, melainkan ia tidak berdarah seperti ketam dihalalkan tanpa sembelih”.

Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa penyu dan telur penyu boleh dimakan adalah berdasarkan kepada dalil Al-Quran yang bermaksud :

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi”. (Al-Baqarah : 168)

Manakala ketam nipah pada hakikatnya dia bukan hidup dua alam seperti setengah orang mendakwanya adalah ketam batu. Apa yang saya tahu, ketam itu tidak pernah hidup di daratan, apabila dia ditangkap dan naik kedarat dia dapat hidup dan susah untuk mati kadang-kadang berhari-hari. Kesimpulannya ketam nipah halal dimakan, kerana dia bukan hidup dua alam seperti ketam batu.

Belangkas kalau tak silap saya adalah binatang yang beracun, ini saya tak pasti dan saya hanya dengar kata-kata orang sahaja, kalau dia beracun, maka haram memakan belangkas. Kalau dia tidak beracun, maka ia halal dimakan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah : 195)

Begitu juga dengan Escargot iaitu sejenis siput yang jelas tidak mendatangkan bahaya bagi orang yang memakannya, maka ia menjadi halal dimakan.

Kopi Tahi Musang adalah menjijikkan kerana ia diberbuat dari tahi musang. Islam sangat melarang umatnya memakan benda-benda yang jijik seperti tahi binatang, darah binatang dan sebagainya. Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk.” (Al-Araf : 157)

Banyak lagi kopi yang ada dipasaran yang tidak mencampurkan dengan benda-benda yang menjijikkan. Kalau nak jadi bertenaga pun boleh dan banyak kopi yang ada boleh diminum daripada kopi tahi musang ini. Jika dia hanya sekadar nama sahaja tak apa dan halal diminum.


Monday, December 13, 2010

Fadzilah Kamsah Keluarkan Fatwa Boleh Jadi GRO Jika Dharurat


Kenyataan Harian Metro Sabtu, 11 Disember 2010

KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.

Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.

“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.

“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.

“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

Ulasan Ustaz

Saya kurang bersetuju dengan pendapat pakar motivasi tersebut, kerana pakar motivasi tersebut bukan berasal dari orang yang belajar agama atau bidang agama, dia hanya pakar motivasi biasa sahaja dan tahu sedikit sebanyak tentang agama. Banyak hujah-hujahnya yang saya tidak setuju seperti dia mengatakan bahawa adanya bohong sunat, sebenarnya dalam Islam tiada bohong sunat, hanya ada helah. Bohong sunat itu disandarkan kepada sunnah Nabi Muhammad saw. Jadi hal ini bertentangan dengan sifat nabi iaitu benar dan amanah. Terbaru dia mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan masalah pelacuran atau GRO dengan mengatakan bahawa boleh teruskan dengan sebab dharurat untuk mendapatkan sedikit sebanyak duit penyaraan anaknya nanti.

Islam tidak pernah meredhoi atau menghalalkan zina walaupun dalam keadaan dharurat sekalipun. Kaedah Fiqh dua perkara yang tidak boleh dilakukan ketika dharurat iaitu membunuh atau bunuh diri dan berzina. Jadi jelas di sini tiada istilah halal melacur atau GRO untuk menyara kehidupannya. Kalau dilihat dari sudut keupayaan dan tenaga pelacur atau GRO tersebut, masih sihat dan bertenaga lagi untuk membuat kerja-kerja yang halal, seperti basuh pingan, kilang, pengawal, peminta sedekah, pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya. Kenapa pulak pakar motivasi tersebut mengatakan dharurat, sepatutnya pakar motivasi tersebutlah yang membantunya memberikan pekerjaan atau wang zakat untuk mengelakkan dirinya terus bergelomang dalam dosa sebab pakar motivasi tersebut adalah jutawan (sindiran semata-mata).

Tidak sesuai kes-kes agama dirujuk kepada pakar motivasi yang jelas bukan dari orang yang ahli agama, sepatutnya kes seperti ini dirujuk kepada orang agama supaya pendapat yang diberikan tidak menyimpang jauh dari syarak. Saya harap pakar motivasi tersebut rujuklah dahulu kepada orang yang pakar agama supaya hujah-hujahnya mempunyai sandaran atau sanat yang teguh dan tidak menyimpang jauh. Hal agama bukan boleh dimain-mainkan, kerana ia mempunyai kaitan dengan dosa dan pahala. Pakar motivasi tersebut perlu membuat kenyataan susulan atas kesilapannya dahulu, supaya masyarakat yang membaca kenyataannya di Harian Metro 11 Disember 2010 tidak dijadikan pegangan ataupun hujah.

Saturday, December 11, 2010

Hukum Liwat Atau Memasukkan Zakar Ke Dubur Isteri


Salam ustaz. Saya nak tanya soalan yang agak peribadi sedikit. Wajibkah seorang isteri menurut kehendak suaminya yg mahu si isteri belajar dan selalu menonton video lucah sedangkan dia tahu itu adalah haram. Alasannya ialah hanya untuk belajar. Ia berkenaan dengan melakukan hubungan suami isteri melalui jalan belakang dan di luar tabie. Pertengkaran selalu berlaku hanya kerana si isteri berasa amat berdosa setiap kali melakukannya. Perlukah si isteri mengubah pendiriannya untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut?

Jawapan

Perkahwinan merupakan satu kurniaan Allah kepada hambanya, perkahwinan juga banyak hikmahnya, seperti terhindar dari zina, dapat mendorong nafsu kearah yang halal, terhindar dari penyakit, merapatkan hubungan silaturahim dan sebagainya. Perkahwinan mestilah dilayari dengan tanggungjawab atau kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh pasangan, supaya perkahwinan mereka menjadi lebih barakah dan bahagia selamanya. Perkahwinan juga perlu bersandarkan kepada agama Islam, kerana Islam sahaja yang mampu atau dapat memberikan kebahgiaan kepada pasangan tersebut.

Tidak Wajib Isteri Mentaati Suami Atas Perkara Yang Mungkar

Isteri wajib mentaati perintah suami selagimana perintah suami itu tidak bercanggah dengan prinsip dan undang-undang Islam. Contohnya suami menyuruh isteri mencuri dengan tujuan untuk membantu suami menampung perbelanjaan dapur, isteri tidak wajib mengikuti perintah suami tersebut yang menyuruhnya mencuri, malah isteri wajib menegur suaminya supaya bertaubat dan mengatakan bahawa perbuatan mencuri itu adalah salah di sisi Islam. Begitulah persoalan yang ditanyakan di atas bahawa hukum suami menyuruh isteri menonton filem lucah dengan alasan belajar cara berjimak adalah dosa dan haram bagi isteri yang mentaati perintah suami tersebut, kerana perintah itu jelas perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud :

“Tolong menolonglah kamu atas perbuatan baik dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong atas perbuatan keji dan dosa”.

Dosa besar bagi sesiapa yang menonton filem lucah, kerana Islam melarang umatnya menonton aurat orang lain, apatah lagi filem tersebut dapat membangkitkan syahwat orang yang menontonnya. Filem ini juga dapat menyumbangkan perlakuan maksiat dikalangan orang yang melihatnya. Salah bagi suami isteri yang melihat untuk mempelajari teknik atau adegan sex dari filem tersebut, kerana teknik sex yang ditayangkan dalam filem tersebut banyak bercanggah dengan Islam seperti liwat, tukar-tukar pasangan, sex berkumpulan, sex oral dan sebagainya. Lihat lebih lanjut perbahasan melihat filem lucah ini di sini.

Islam mempunyai cara melakukan sex yang baik dan telah diajar oleh Nabi Muhammad saw dengan memberikan kenikmatan, penuh adab, kelembutan, belaian dan tanpa mengecewakan kepada pasangan masing-masing. Banyak buku-buku di pasaran yang boleh anda baca dan pelajari cara sex yang diajar oleh Islam.

Hukum Liwat Isteri

Meliwat Isteri atau memasukkan zakar ke dubur isteri adalah haram. Banyak dalil dari Al-Quran dan Hadis yang menyatakan hukum meliwat isteri ini. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

“Berjimaklah melalui depan atau melalui belakang. Jauhi dari memasukkan zakar ke dalam dubur dan berjimak semasa haid.” (Riwayat An-Nasai)

Jelas di dalam hadis di atas bahawa Islam sangat melarang umatnya melakukan hubungan sex melalui lubang dubur isterinya, kerana perbuatan ini adalah perbuatan luar tabie dan sangat dibenci oleh Allah. Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang melakukan hubungan sex dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia mesti halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri , duduk atau meniarap (suami menindih perempuan yang meniarap dilantai) selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Isteri itu adalah seperti ladang yang luas, bercucuk tanamlah suami diladang tersebut dengan benda-benda yang baik, supaya suami tersebut memperolehi hasilnya nanti. Jelas bahawa isteri itu adalah tempat suami bersuka dan berkasih sayang, ini juga merupakan amanah Allah kepada suami supaya dapat dimanfaatkan dengan baik dan tidak sesekali mensia-siakan isteri dengan cara mengabaikan mereka. Firman Allah yang bermaksud :

“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara Yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal Yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.” (Al-Baqarah : 223)

Hukum bagi suami yang meliwat isterinya ialah dosa besar dan Allah akan melaknat suami yang meliwat isterinya. Pasangan yang telah melakukan liwat akan ditarik oleh Allah akan nikmat jimak di faraj sama sekali dan ia akan sentiasa terus suka melakukan hubungan sex di jalan dubur isterinya. Mereka yang suka meliwat akan ditutup pintu hatinya dan mereka terus suka melakukan sex liwat dengan lebih teruk lagi. Mereka juga akan mudah dijangkiti dengan penyakit AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya, kerana perbuatan liwat ini adalah sangat jijik dan kotor dengan memasukkan zakar ke dubur yang jelas jalan tersebut adalah saluran najis. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkata ia berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu.” (Al-Ankabut : 28)

Lagi dalil dari Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Allah melaknat siapa yang berbuat dengan perbuatannya kaum Luth”. (Riwayat Ahmad)

Pasangan yang telah melakukan perbuatan terkutuk dan perbuatan yang sangat dilaknat Allah ini, maka kembalilah kepangkal jalan dan bertaubatlah kepada Allah. Jadikan agama Islam sebagai cara hidup dan sebagai rujukan dalam semua aspek kehidupan, jauhkanlah dari menonton filem lucah, kerana musuh Islam itu sentiasa akan berusaha menyesatkan umat Islam. Allah Maha pengampun dan Maha Penerima Taubat. Jalanilah kehidupan berkeluarga dengan penuh keharmonian dan penghormatan di antara satu sama lain. Mudah-mudahan keluarga anda semua memperolehi keberkatan dan kebahgiaan dari Allah.

Peranan Isteri

Isteri wajib menolak permintaan suaminya untuk mengadakan hubungan liwat, kerana Islam tidak sama sekali meredhoi benda yang haram walaupun pasangan suami isteri. Isteri juga wajib menegur atau menasihati suaminya yang mempunyai keinginan sex luar tabi’i itu. Ini tidak dinamakan sebagai isteri yang derhaka, kerana isteri telah melakukan amal makruf dan nahi mungkar dalam rumahtangga mereka.

Kalau suami ingkar dan marah sehingga sering terjadinya pergaduhan di dalam rumahtangga mereka, maka si isteri boleh membuat aduan ke Jabatan Agama Islam berdekatan tentang masalah keinginan sex suaminya yang jelas haram. Pihak jabatan agama akan terus mengambil tindakan kepada suami dengan cara memberikan kaunseling dan tindakan yang sepatutnya.

Wednesday, December 8, 2010

Jom Hijrah Seperti Hijrah Rasulullah Dan Sahabat


Sebelum memulakan penulisan artikel ini, Saya mengucapakan Selamat Tahun Baru Hijrah, mudah-mudahan anda semua mempunyai niat yang lebih baik untuk memajukan diri anda dari kebiasaan yang lama kepada tahap yang lebih baik lagi.

Maal Hijrah merupakan detik permulaan hijrah Rasulullah saw ke Kota Madinah untuk mengembangkan Islam dengan lebih baik lagi, hijrah juga bertujuan untuk mengelakkan umat Islam dari dizalimi oleh kaum kafir Quraisy. Setelah tibanya Rasulullah dan umat Islam Muhajirin Mekah yang disambut dengan penuh rasa kasih sayang dan persaudaraan dari penduduk Ansar Madinah, maka Negara Islam yang bertama dapat dilahirkan dengan menjadikan agama Islam sebagai teras atau tunggak perlembagaan negara Islam Madinah. Ketika itu, ramai umat manusia diseluruh dunia datang ke Madinah untuk melihat sendiri kerajaan yang dibina atas perpaduan umah yang tidak mementingkan kedudukan, pangkat, harta dan sebagainya sehingga memberikan perlindungan kepada semua rakyatnya. Ramai yang datang ke Madinah dengan rasa ingin tahu apakah formula yang digunakan oleh Rasulullah dan mereka pulang ke negara mereka dengan membawa syiar Islam atau dengan memeluk agama Islam.

Sebagai pengajaran dari sambutan Maal Hijrah, perlu kita ingat bahawa pengorbanan Nabi Muhammad saw untuk menegakkan Islam dizaman jahiliah amat memerikkan. Sebelum bermulanya peristiwa hijrah, umat Islam di Makah ditindas dan dizalimi oleh Kaum Quraisy. Di sinilah bermula kisah yang paling cemerlang dan indah yang pernah dikenal manusia dalam sejarah pengejaran yang penuh bahaya, demi kebenaran, keyakinan dan iman.

Sahabat-sahabat Baginda banyak berkorban dan bersama Rasulullah dalam semua aspek seperti harta, nyawa, tenaga dan apa sahaja mereka sumbangkan untuk menegakkan dakwah Islam bersama Rasulullah.

Saidina Abu Bakar telah menyediakan dua ekor untanya san diserahkan kepada Abdullah b. Uraiqiz untuk digunakan dalam hijrah mereka. Apabila mereka sudah bersedia untuk meninggalkan Mekah. Mereka yakin bahawa Quraisy pasti akan menjejaki mereka. Oleh karena itu Rasulullah meminta mereka melalui jalan lain dari jalan yang sering digunakan orang lain untuk pergi ke Madinah. Perjalanan mereka bermula pada waktu lain (bukan waktu kebiasaan pendagang atau berhijrah).

Lagi kisah yang dapat diambil, iaitu pengorbanan Saidina Ali Bin Abi Talib yang sanggup menggantikan tidur Rasulallah ketika mana rumah Rasulallah dikepung oleh Kaum Quraisy. Setelah Kaum Quraisy masuk ke dalam rumah, mereka mendapati bahawa Rasulallah sedang tidur dan mereka segera membukakan selimut itu dan mendapati ianya bukan Rasulallah tetapi Saidina Ali Bin Abi Talib tidur di tempat Rasulallah.

Begitu juga yang berlaku ketika Rasulallah dan Saidina Abu Bakar menyembunyikan diri di dalam Gua Thaur. Semasa berada di Gua Thaur, tiada siapa yang dapat menjejaki mereka, kerana jejak mereka dipadam oleh Amir Bin Fuhaira sebagai pengembala kambing. Tiba-tiba datang sekumpulan lelaki muda dari Kaum Quraisy bertanya kepada Amir : nampakkah kamu Muhammad lalu di sini? Amir menjawab : saya tidak melihat ada orang di sini. Setelah bertanya kumpulan pemuda Quraisy tersebut naik ke Gua Thaur untuk melihat di dalamnya. Tiba-tiba mereka mendapati pintu Gua Thaur ditutup oleh sarang labah-labah dan ada dua ekor burung sedang bertelur di sarangnya. Mereka beranggapan bahawa gua ini tiada penghuni, kalau ada tentu tiada sarang labah-labah dan sarang burung.

Muslimin Madinah Menantikan Kedatangan Rasulallah. Jarak mereka dengan Madinah (Yathrib) sudah dekat. Selama mereka dalam perjalanan yang sungguh meletihkan itu, berita-berita tentang hijrah Nabi dan sahabatnya telah diketahui oleh penduduk Madinah. Semua kaum Muslimin sedang menantikan kedatangan Rasulullah dengan hati penuh rindu, ingin melihatnya, ingin mendengar perbualannya dan sebagainya, kerana sebilangan besar penduduk Madinah belum melihatnya, walaupun mereka telah mendengar mengenai Rasulullah dan Islam. Semua itu membuat mereka rindu sekali ingin bertemu, ingin melihatnya. Setelah Rasulallah tiba sahaja di Madinah, penduduk Madinah iaitu kaum Ansar dan Muhajirin menyambut Baginda dengan paluan kompang dan nasyid Tala’al Badru Alaina.

Pengajaran Kisah

Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil iktibar dan tauladan di atas segala pengorbanan Nabi dan para sahabatnya. Cuba kita fikirkan selama kita hidup banyak mana pengorbanan kita terhadap Islam. Pada tahun baru Islam (tahun Hijrah), marilah hijrahkan diri ke jalan Allah iaitu jalan yang diradhoi Allah. Janganlah mulakan kehidupan pada tahun baru ini hanya semata-mata keduniaan sahaja. Tidak rugi berhijrah kerana Allah, kerana kita akan mendapat segalanya di dunia dan di akhirat. Sepertimana hadis Nabi yang bermaksud :

“Setiap pekerjaan dimulakan dengan niat, Barang siapa berhijrah kerana Allah dan Rasulnya maka dia akan mendapat dunia dan akhirat, dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia dan perempuan yang ingin dikahwininya makan dia akan memiliki dunia dan perempuan tersebut”.

Sempena Sambutan Maal Hijrah ini, mari berhijrah dua perkara dalam diri kita iaitu hijrah rohani dan hijrah jasmani, diantaranya sepertimana berikut :
  1. Hijrah rohani ialah seseorang yang menghijrahkan dirinya kearah yang agama Allah seperti beliau mendekatkan diri ke masjid dan majlis-majlis ilmu yang sebelum ini tidak pernah dihadirinya. Buangkan penyakit-penyakit hati yang sering menjauhkan diri kepada Allah seperti mempunyai perasaan tamak, hasad dengki, riak, menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki dan sebagainya. Jika seseorang itu dapat mengubah hatinya atau psikologinya kearah yang baik dan memiliki akhlak yang baik, nescaya ia akan mempunyai perasaan cintakan Allah dan Rasulnya. Malah dirinya akan disukai oleh masyarakat sekelilingnya. Orang seperti ini sering disenangi oleh masyarakat kerana ia mempunyai peribadi yang baik. Apabila ia terkena musibah atau ujian Allah, maka dia tabah dan tenang hatinya menghadapi ujian Allah, sedikitpun ia tidak bersungut dan gelisah dengan ujian Allah ke atas dirinya.

  2. Hijrah Jasmani ialah seseorang itu melakukan perubahan dirinya kearah yang lebih baik, sepertimana bersenam, memiliki pakaian yang baik dari segi syarak, ingin memiliki pekerjaan yang baik, ingin memiliki taraf akademik yang baik dan sebagainya.Jasmani perlu sihat kerana ia akan memudahkan kita beribadah kepada Allah dengan lebih sempurna, begitu juga memiliki pekerjaan yang baik supaya kita tidak mencuri disebabkan tekanan hidup, tukar pakaian daripada berpakaian yang kurang sempurna menutup auratnya sehingga sempurna menutup auratnya dan banyak lagi.
Setiap hijrah perlu dimulakan dengan hijrah rohani dahulu, kerana ia merupakan faktor dalaman untuk mengerakkan faktor luaran. Apabila hati menjadi baik dan sentiasa beribadah kepada Allah, maka dengan sendirinya ia dapat mencegah jasad (jasmani) kita dari perlakuan jahat dan dusta. Tetapi apabila diri kita mempunyai hati yang hitam dan kotor, maka payahlah kita untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mugkar”.

Sunday, December 5, 2010

Budaya Couple


Mutakhir ini, saya dikejutkan dengan ramainya sahabat- sahabat kita mula terjebak dengan gejala "COUPLE". Tidak pasti saya untuk menamakan ia sebagai GEJALA mahupun JENAYAH. Bercouple itu sendiri menyalahi hukum undang-undang Islam sendiri. Kita diajar supaya menjaga setiap batasan kita dengan kaum yang bukan sejenis.

LARANGAN BERCINTA SEBELUM NIKAH

“Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai KECUALI NIKAH.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, mungkin ini bisa menjadi motivasi dan ransangan buat sahabat-sahabat yang teringin bercouple ,mahupun sudah bercouple. Kalau cinta itu terjalin antara lelaki dan perempuan yang belum diikat oleh tali perkahwinan, maka mereka tidak perlu berjumpa, bercanda atau memerlukan apa saja ‘medium’ yang bertentangan dengan kehendak Allah.

Cinta mereka tidak akan dikotori oleh luapan nafsu yang melanggar syariat. Sebaiknya cinta itu bertaut pada rasa yang suci. Ingin sama-sama berganding bahu, bersatu rasa, untuk mentaati Allah s.w.t. Walaupun kadangkala antara mereka tidak pernah kenal atau baru berkenalan, tapi hati mereka sudah rasa sayang dan kasih. Masing-masing memendam rasa.

Menunggu saat bahagia sambil gigih melaksanakan tanggung-jawab masing-masing. Tidak ada unsur ‘mabuk’ cinta yang mengkhayalkan. Atau pembaziran masa tanpa arah tujuan. Atau ada air mata yang dialirkan sebab-sebab yang murahan.Tidak payah bersentuhan tangan, kerana mereka sudah bersentuhan hati. Tidak payah berbalas kerlingan mata kerana mereka sudah pun berbalas-balas doa. Kalau cinta ini terjalin antara suami isteri, maka isteri akan meletak seluruh ketaatan kepada suami kerana cintanya kepada suami datang dari cintanya kepada Allah s.w.t..

Sumber : Laman Portal Murabbi Net

Friday, December 3, 2010

Maaf Tidak Dapat Menjawab Soalan dan Update Blog Ini


Salam selamat berbahagia dan selamat menjalani ibadah kepada Allah, saya doakan anda semua sihat dan dirahmati oleh Allah. Tujuan saya tuliskan artikel serba ringkas ini adalah untuk memberi tahu, buat seketika ini saya tidak dapat untuk update dan jawab segala persoalan yang telah dikemukakan oleh anda semua kerana saya perlu menyemak kertas jawapan peperiksaan akhir semester dan memasukkan markah pelajar saya di dalam sistem data IKM JB.. Segala kesulitan saya minta maaf dan insyaallah kalau ada masa yang terluang saya akan jawab semua soalan yang telah dikemukakan.

Wednesday, December 1, 2010

Guru dan Jenayah Seksual


Tajuk-tajuk akhbar seperti jenayah rogol, pembuangan bayi dan seumpanya sering kelihatan dewasa ini. Kes-kes salah laku seksual kini menjadi bahan perbualan dan polemik umum malah laporan mengenai kes rogol kepada kumpulan hak asasi wanita serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga di dalam akhbar adalah perkara biasa.

Menurut laporan akhbar, seramai 1,462 wanita telah dirogol dalam 10 bulan pertama tahun 2005 yang mana ia hanya 10 peratus daripada keseluruhan kes rogol yang telah dilaporkan kepada pihak polis. Pelacuran kanak-kanak juga wujud malah merujuk kepada statistik polis pada tahun 2002, 97 gadis berusia di bawah 18 tahun telah ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral (lihat Seksyen 5, Perdagangan Manusia). (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap dalam kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek dipelajari hanya disebabkan subjek adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual seperti yang tersebut di atas.

Sejajar dengan ideologi idealisme yang memberi fokus kepada akal, jiwa dan kerohanian. Akal, jiwa dan kerohanian adalah penting dalam kehidupan kerana kebenaran menurut mazhab ini hanyalah bergantung kepada tiga perkara tersebut (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008:2).

Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amir Hasan Dawi (2006: 242), Ibn Khaldun dan Al-Qabisi berpandangan bahawa pendekatan dalam pembentukan disiplin pelajar atau mengatasi salah laku pelajar perlu diterapkan dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga disiplin boleh diterapkan melalui pembelajaran formal.

Langkah-langkah Pencegahan

Pemeliharaan pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan

Ini adalah perkara paling asas yang perlu diberi perhatian. Pergaulan yang melampaui batasan merupakan akar umbi kepada salah laku seksual. Dalam situasi keruntuhan moral yang semakin meruncing kini, saya menyokong tindakan guru-guru mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam isu yang digembar-gemburkan baru-baru ini di mana sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin (Harian Metro, 10 Januari 2008).

Berdasarkan teori perkembangan psikoanalisis Sigmund Freud; pada peringkat Genital (12 tahun ke atas), remaja mula menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Ketika ini, kelenjar-kelenjar kelamin sudah mula berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan wujud perasaan cinta dua arah.

Kesulitan-kesulitan yang timbul pada peringkat ini akan menyebabkan ketegangan yang berhubung dengan masalah seks (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002). Oleh kerana itulah syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul.

Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya.

Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya.

Tidak timbul masalah perkembangan remaja akan terganggu kerana pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dalam pendidikan telah diamalkan dalam Islam semenjak zaman Nabi sehinggalah era kegemilangan ilmu empayar Khilafah Uthmaniyah, malah telah terbukti bahawa mereka berjaya menghasilkan masyarakat yang tidak terjejas tetapi bertamadun tinggi dan harmoni.

Bukan itu sahaja, sistem persekolahan Inggeris yang dipandang tinggi oleh masyarakat itu juga mengamalkan pengasingan di antara murid lelaki dan perempuan pada suatu ketika dahulu!

Saya percaya guru memiliki tanggungjawab besar dalam memelihara pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujud serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sewaktu kelas mahupun sepanjang sesi persekolahan.

Selain pengasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan, guru boleh memilih untuk menguatkuasakan peraturan lain sebagai alternatif yang lebih longgar dan mudah dilaksanakan.

Antaranya, melarang pelajar lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan dan bersentuhan terutamanya jika pelakunya adalah pelajar muslim. Guru juga perlu menegur pelajar lelaki yang mengusik pelajar perempuan secara berlebih-lebihan serta pelajar lelaki dan perempuan yang bergurau senda melampaui batasan.

Dalam menjalankan fungsinya di sekolah, guru sepatutnya dapat mengubah cara hidup pelajar sungguhpun di luar sekolah pelajar itu mungkin berdisfungsi. Dalam usaha mendisiplinkan pelajar, guru mungkin menggunakan kaedah penguatkuasaan dengan mengetatkan peraturan dan hukuman (Amir Hasan Dawi 2006:239).

Cara pemakaian

Pakaian pelajar perempuan yang terdedah boleh menyumbang kepada berlakunya gejala-gejala sosial kerana pakaian diibaratkan sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki yang boleh membawa kepada berlakunya seks bebas, rogol, sumbang mahram dan lain-lain. Dalam hal ini, guru seharusnya memerhati, menegur dan menasihati pelajar-pelajar perempuan yang gemar berpakaian menjolok mata supaya berpakaian sopan di mana-mana sahaja .

Antara kepentingannya adalah untuk mengelakkan pelajar perempuan diganggu oleh kaum lelaki sewaktu keluar dari rumah malah ketika berada di dalam rumah juga pelajar perempuan sewajarnya berpakaian sopan atau tidak terdedah untuk mengelakkan rangsangan seksual kepada ahli keluarga lelaki.

Tambahan pula, kejadian kes sumbang mahram telah berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga melaporkan 306 kes sumbang mahram pada tahun 2002 dan pada bulan September 2005, media tempatan telah melaporkan bahawa berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 133 orang pesalah laku seksual, 23 peratus daripada mangsa adalah anak perempuan mereka sendiri (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005). Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita adalah salah satu punca berlaku kejadian rogol.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Surah an-Nur: 31)

Menerangkan adab dalam kehidupan pelajar

Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Ini kerana, pendidikan akhlak merupakan wadah penting untuk merungkai permasalahan akhlak dan melahirkan manusia yang baik.

Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM, pengenalan komponen adab dan akhlak Islam dalam kurikulum Pendidikan Islam pada 2003 adalah merupakan suatu usaha untuk mempertingkat dan mengemaskini lagi pengajaran dan pembelajaran akhlak di sekolah yang antara lainnya bagi mencapai matlamat dalam melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri berikut :

  1. Iman dan taqwa yang kukuh sebagai benteng ketahanan diri.

  2. Menguasai ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sebagai pedoman hidup.

  3. Mengamalkan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah bagi memenuhi tanggungjawab ibadah.

  4. Berakhlak mulia sebagai pelengkap diri dan tonggak budaya.

Hanya menerusi iman dan taqwa yang mantap sahaja dapat mengawal diri pelajar daripada gejala negatif. Ini bermakna, adab dan akhlak Islam mesti menjadi induk utama kepada nilai-nilai materialisme, sekularisme dan sainstisme.

Tuntutan Islam juga menyeru umatnya berdakwah iaitu saling nasihat-menasihati mengikut kemampuan masing-masing bagi menjauhkan perkara keji daripada berlaku dalam masyarakat berikutan daripada pengaruh persekitaran atau budaya luar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

''Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara yang lebih sopan. Ssungguhnya Tuhanmu jualah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari alan-Nya dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.'' (Surah An-Nahl: 125)

Saranan rakan-rakan pelajar yang baik

Guru perlu menyarankan pelajar mencari kawan sebaya yang betul kerana pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan pelajar daripada terpengaruh dengan unsur-unsur seperti yang dinyatakan di atas.Rasulullah s.a.w. pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Namun, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi.

Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008: 2), mazhab idealisme menyatakan pendidikan ialah untuk melahirkan individu bermoral yang boleh berperanan dalam masyarakatnya.

Di sini jelaslah bahawa pendidikan Islam dan Moral perlu menekankan kepada aspek penghayatan pelajar, bukan hanya mementingkan aspek kognitif sahaja. Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi agama dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.

Sumber : Laman Portal ILovIslam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG