PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Tuesday, January 25, 2011

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia


Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :

“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.

Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.


Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :

“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :

“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :

  1. Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.

  2. Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

18 comments :

  1. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat juga saya pengisian sebelum tidur..

    ReplyDelete
  2. salam..saya masih keliru mengenai keluarnya cecair ini ketika tidur kerana apabila sudah bangun cecair sudah kering.boleh ustaz terangkan keadaan untuk setiap cecair itu semasa tidur?tq.insan yang keliru.

    ReplyDelete
  3. salam..apa beza keputihan wanita dengan air mazi? selama ini saya fikir keputihan wanita yg berwarna sedikit kekuningan itu adalah air mazi..
    apabila ghairah cecair putih seperti warna gam uhu akan keluar..tp kalau hari2 biasa, cecair berwarna putih kekuningan akan keluar, sy anggap itu keputihan...sy keliru..bantu saya ustaz...

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/605-syahwat-terangsang-tika-puasa-keliru-mazi-a-mani.html

      Kat bawah sekali

      Delete
  4. Salam

    Maaf saya tidak dapat menjawab semua soalan anda, sebab saya ada perkara tertentu untuk disiapkan secepat mungkin

    ReplyDelete
  5. Salam
    Biasanya saya selepas buang air kecil akan di ikuti dengan air wadi, cuma masaalahnya air wadi saya lamabat berhenti sehingga melambatkan untuk saya mengerjakan solat, bagaimanakah cara untuk saya mengatasi masalah ini.

    ReplyDelete
  6. SALAM... TERIMA KASIH USTAZ. SAYA JUGA ADA COPY PERKONGSIAN ILMU INI UNTUK DIKONGSI BESAMA RAKAN-RAKAN. MOHON KEBENARAN DARI USTAZ. RIBUAN TERIMA KASIH. :)

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Ustaz, saya ada sedikit keraguan...saya ada terbaca satu laman web pasal perkara mandi wajib dan dikatakan bulu di dalam lubang hidung tdak wajib dibasuh namun sekiranya terdapat najis di bulu2 tersebut, maka wajib dibasuh...tetapi sekiranya perkara tersebut disedari sebaik sahaja solat masih terdapat najis melekat di bulu2 hidung tidak kira masih lagi basah atau kering, wajibkah kita mandi semula...

    ReplyDelete
  8. Apakah hukum nya jika wanita mengandung bersolat dgn air susu yg keluar dr buah dada nya?

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum ustaz, apakah hukumnya jika di tempat bekerja dan sedang bekerja seluar terkena lebihan air kencing tanpa disedari, bolehkah saya menqqada' kan solat di rumah memandangkan saya di tempat bekerja pada waktu itu supaya saya dapat memastikan pakaian saya bersih daripada najis dan kotoran?

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum .. ustaz kata air mazi keluar bila kta terangsang kan dan warna nya kekuningan ? tp mcm mana kalau kita puasa dan tidak terangsang tp ia keluar juga adakah ia membatalkan puasa kita ? harap ustaz memberi jawapan secepat mungkin kerana ketika ini saya sedang berpuasa .

    ReplyDelete
    Replies
    1. air mazi kalau keluar ketika puasa masih sah lagi puasanye...lainla air mani ia akan membatalkan puasa kerana ia perlu manddi wajib.

      Delete
  11. Assalamualikum, ustaz.
    Saya budak sekolah menengah yang bersekolah sesi petang, dari pkl 11 pg - 550 ptg. Jadi solat zohor n asar di sekolah. Saya perempuan jadi sekarang saya nak tanya yang kalau keputihan kena di tuala wanita , ada kah sah solat saya dgn adanya keputihan di tuala wanita bukan seluar ....

    ReplyDelete
  12. Salam.sy ingin tanya tntang air mazi jika trkena pd kain pelekat untk dbawa solat yg trkena sudah lama tp hilang dr pndangan,adakah sah solat.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum ustaz . Saya nak tanya . Apa perbezaan antara air mani perempuan dengan keputihan ? Adakah ianya sama ? And macam mana nak tahu samada air mani ataupun keputihan yang keluar ?

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum ustaz.saya nak tanya jikalau sisa mani keluar semasa solat,perlukah saye men qada kan solat ?

    ReplyDelete
  15. Assaalamualaikum ustaz. Setelah sy bngun dri tdur , seluar sy selalu basah. Sy keliru adakah itu air mani ataupn air mazi. Semasa tidur , sy tiada pun mimpi basah ke ape. Mohon jelaskn tentang kekeliruan ini kerana perkara ini sering terjadi kepasda sy.

    ReplyDelete
  16. Salam ustaz,
    Kalo terkena percikan kecik air kencing kat tuala dan kita x perasan.Then kita gunakan tuala tu berulang kali selepas mandi or ambil wuduk.Adakah batal/x sah solat kita?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG