PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, January 28, 2011

Kebersihan Separuh Dari Iman


Membersihkan Badan Dan Pakaian

Najis yang terkena pada pakaian dan badan, maka hendaklah dibasuh dengan air hingga hilang sekiranya benda najis tersebut dapat dilihat, seperti darah. Tetapi apabila setelah dibasuh itu masih ada bekasnya dan sukar dihilangkan, maka ia dimaafkan. Jika najis itu tidak dapat dilihat seperti air kencing, maka cukup membasuhnya meskipun hanya satu kali basuhan. Dari Asma Binti Abu Bakar ra berkata :

“Salah seorang perempuan datang berjumpai Nabi SAW dan bertanya : Salah seorang kami berhaid, lalu darahnya terkena pada pakaian. Apakah yang semestinya dilakukan? Beliau menjawab : Hendaklah darah tersebut dikikis, kemudian digosok dan dibasuh dengan air. Setelah itu, pakaian itu boleh dibawa dalam solat.” (Kesahihan hadis ini disepakati oleh ulamak hadis)

Jika najis itu terkena pada bahagian hujung bawah pakaian seorang perempuan, maka ia menjadi suci dengan menyentuh tanah. Dalilnya hadis berikut :

“Seorang perempuan bertanya kepada Ummu Salamah ra : Aku menghulurkan hujung pakaianku hingga terjela dan menyentuh tanah. Pada ketika itu, aku berjalan di tempat yang kotor. Bagaimanakah cara menyucikannya? Ummu Salamah menjawabnya dengan sabda Rasulullah SAW : Hujung pakaian itu menjadi suci apabila menyentuh tanah.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Membersihkan Tanah

Cara membersihkan tanah yang terkena najis adalah dengan mengalirkan air ke atasnya. Dalilnya hadis Abu Hurairah ra berkata :

“Seorang arab badawi berdiri lalu kencing di dalam masjid. Ramai sahabat yang berdiri untuk menangkapnya sekali gus membalasahnya. Melihat itu, Nabi SAW bersabda : Biarkan dia, kamu hanya perlu menyiram kencingnya itu dengan sebaldi atau segayung air. Ingatlah bahawa kamu diutus untuk memberi keringanan, bukannya untuk mendatangkan kesukaran kepada orang lain.” (Riwayat oleh sekumpulan ulamak hadis kecuali Muslim)

Tanah yang terkena najis menjadi suci apabila ia kering dan demikian pula benda-benda yang berada di sekelilingnya. Seperti pokok dan bangunan. Abu Qilabah berkata : “Keringnya tanah bererti menandakan kesuciannya”. Aisyah ra berkata : Sucinya tanah ialah dengan cara mengeringkannya. Ini apabila najis itu cair. Tetapi jika najis itu beku, maka tanah tidak menjadi suci melainkan benda najis tersebut dihilangkan atau dibuang.

Membersihkan Mentega Dan Seumpamanya

Dalam masalah ini, terdapat hadis yang berkaitan dengan cara mencucikan mentega. Dari Ibnu Abbas ra dari Maimunah ra berkata bahawa :

“Nabi SAW pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh dan masuk ke dalam minyak mentega. Beliau menjawab : Buanglah tikus itu begitu juga dengan mentega yang tersentuh tikus tersebut. setelah itu, makanlah minyak mentega itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafiz berkata : Menurut Ibnu Abdul Barr, ulamak bersepakat bahawa apabila bangkai termasuk ke dalam makanan beku, maka buanglah bangkai itu begitu juga dengan makanan yang berada di sekelilingnya. Dengan erti kata lain, seluruh benda yang tersentuh bangkai wajib dibuang bersamaan dengan bangkai itu. Jika bangkai masuk ke dalam makanan yang cair, ulamak berbeza pendapat mengenai cara menyucikannya. Sebilangan besar ulamak berpendapat, jika bangkai terjatuh dan masuk ke dalam benda cair, maka kesemuanya itu menjadi najis sebaik sahaja bangkai tadi masuk ke dalamnya.

Membersihkan Kulit Bangkai

Kulit bangkai sama ada bahagian luaran mahupun dalamnya, dapat disucikan dengan cara menyamaknya. Dalil hadis Ibnu Abbas ra berkata :

“Nabi SAW pernah bersabda : Jika kulit disamak, maka ia menjadi suci.”

Samak ialah menyucikan kulit haiwan selain anjing dan babi dengan syarat-syarat tertentu. Ia menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam (peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut dapat menanggalkan dan menghilangkan semua kekotoran dan lendir yang mengandungi kuman¬-kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

“Setiap kulit yang disamak menjadi bersih.” (Riwayat Muslim)

Menurut pendapat yang sahih, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.

Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat solat, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.

Membersihkan Cermin Dan Seumpamanya

Membersihkan cermin, pisau, pedang, kuku, tulang, kaca, bejana berkilat dan setiap kepingan yang tidak berlubang adalah dengan cara menyapu najis berkenaan sehinggalah hilang kesan-kesannya. Para sahabat pernah mengejakan solat, sedangkan mereka membawa pedang yang terkena darah dalam peperangan. Mereka menyapukan mata-mata pedang itu dan cara itu mereka anggap sudah memadai untuk menyucikannya.


Membersihkan Kasut

Selipar dan kasut yang bernajis menjadi suci dengan cara menggosokkannya ke tanah hingga kesan najis tersebut hilang. Dalilnya hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri berkata :

“Nabi SAW bersabda : Jika salah seorang kamu datang ke masjid, maka hendaklah membalikkan kedua-dua seliparnya dan kemudian memperhatikan bahagian telapaknya. Jika terdapat kotoran, hendaklah menggosokkannya ke tanah, kemudian dia dibolehkan memakainya dalam solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Di samping itu, kasut dan selipar merupakan benda yang selalunya terkena najis. Oleh yang demikian, menyapunya dengan benda kesat seperti tanah dan batu sepertimana cara menyucikan tempat istinjak sudah memadai malah lebih diutamakan. Ini memandangkan tempat istinjak yang bernajis hanya disapu sebanyak dua atau tiga kali sahaja, sementara selipar dan kasut kerap kali menyentuh benda-benda kesat tersebut.

Perkara Yang Terdapat Dalam Kehidupan

  1. Tali yang biasa digunakan untuk menjemur pakaian terkena najis, kemudian ia kering disebabkan sinar matahari atau tiupan angin adalah dibolehkan menjemur pakaian bersih ke atasnya sebaik sahaja ia kering.

  2. Sekiranya sesuatu objek jatuh ke atas seseorang tanpa diketahui sama ada air biasa atau air kencing, maka dia tidak perlu memastikan objek yang jatuh itu. Tetapi jika dia tetap ingin mengetahui objek berkenaan dengan cara bertanya, maka orang yang ditanya tidak diwajibkan memberi jawapan, meskipun dia tahu bahawa objek tadi sebenarnya benda najis. Di samping itu, si penanya juga diwajibkan membasuh bahagian yang terkena objek yang jatuh itu.

  3. Jika kaki atau hujung pakaian terkena sesuatu benda basah pada waktu malam tanpa diketahui apakah sebenarnya benda basah tersebut, maka dia tidak diwajibkan untuk mengetahuinya seperti mencium dan sebagainya.

  4. Tidak diwajibkan membasuh apa jua benda yang terkena tanah jalanan. Kamail Bin Ziyad berkata : “Aku melihat Ali ra berjalan di tengah-tengah lumpur setelah hujan turun. Namun beliau terus masuk ke dalam masjid, lalu mengerjakan solat tanpa membasuh kedua-dua kakinya terlebih dahulu.

  5. Jika seseorang sudah mengerjakan solat, tiba-tiba terlihat najis pada pakaian atau bahagian badannya yang sebelumnya tidak diketahui, atau mengetahuinya tapi lupa membersihkannya, atau tidak lupa tapi tidak sanggup menanggalkannya, maka solatnya tetap dikategorikan sah dan tidak perlu mengulanginya.

  6. Seseorang yang tidak mengetahui tempat najis pada pakaiannya diwajibkan membasuh kesemua pakaiannya itu. Sebab, tidak ada jalan lain untuk menanggalkan najis tersebut melainkan dengan cara membasuh kesemua pakaiannya. Ini termasuk ke dalam kaedah yang menyatakan : Jika suatu kewajipan tidak sempurna melainkan dengan adanya perkara lain, maka ia juga menjadi wajib.

  7. Jika pakaian milik seseorang itu bercampur antara yang bersih dengan yang najis sehingga dia berasa kebingungan memilih mana satu yang bersih dan yang najis, maka dalam hal ini dia dikehendaki memilih pakaian yang dianggap bersih mengikut keyakinannya. Namun dia hanya dibenarkan memakainya untuk sekali solat sahaja, tanpa mengira jumlah pakaiannya itu sama ada sedikit mahupun banyak. Kes seumpama ini sama halnya dengan masalah kiblat, di mana seseorang dituntut berijtihad menentukan arah kiblat untuk sekali solat sahaja, manakala solat berikutnya dia dikehendaki berijtihad semula dalam menentukan arahnya.

1 comment :

  1. assalammualaikum ustaz..inilah persoalan yg selama ni tertangguh untuk sy bertnyakan kepada yg tahu..terima ksh ya usraz...alhamdulillah

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG