PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Tuesday, January 4, 2011

Perkara Yang Perlu Dilakukan Sebelum & Selepas Memandikan Jenazah


Pendahuluan

Mengurus jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua orang Islam dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.

Orang Yang Berhak Menguruskan Jenazah

Orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya ; anaknya sendiri kalau simati bapanya. Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta Imam atau Bilal di kawasan tersebut untuk menguruskannya.

Perkara Yang Perlu Diuruskan Oleh Warisnya

Waris yang tertua hendaklah berpakat/berbincang berhubung dengan kematian. Di antara perkara yang perlu diuruskan oleh warisnya ialah :

  1. Urusan di Balai Polis bagi melaporkan kematian. Nota : Sekiranya jenazah itu meninggal di Hospital cukup dengan surat kebenaran atau pengesahan dari doktor.

  2. Membeli keperluan untuk urusan memandi dan mengkafankan mayat.

  3. Menentukan bilal untuk memandikan mayat.

  4. Urusan menggali kubur.

  5. Menentukan Imam untuk sembahyang mayat.

  6. Menguruskan kenderaan untuk jenazah.

  7. Ucapan takziah.

Syarat Mandi (ke atas mayat)
  1. Beragama Islam.

  2. Ada bersifat manusia.

  3. Ada tubuh manusia walaupun sebahagian daripadanya (ada mayat).

  4. Bukan mati syahid yang menegakkan kesucian Islam.


Syarat Ke atas Orang Hendak Memandikan Mayat
  1. Beragama Islam.

  2. Bukan musuh.

  3. Orang dewasa.

  4. Merdeka.

  5. Mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup.

  6. Sabar.

  7. Tabah dan berani.

  8. Beramanah.


Rasulullah saw bersabda :

“Barang siapa yang memandikan mayat dan ia menyembunyikan ke atas apa yang dilihatnya, diampunkan oleh Allah swt empat puluh kali”.

Peralatan Dan Persiapan Mandi

  1. Tempat mandi/bilik mandi/tabir.

  2. Kain basahan dan tuala mandi.

  3. Air sabun – 1 baldi.

  4. Air cendana dan air kapur barus – 1 ceret.

  5. Sarung tangan.

  6. Kain sugi – 5 & 6 helai.

  7. Kain sugi – 7 & 9 gulung.

  8. Air daun bidara – 1 baldi.

  9. Kemeyan/setanggi sekiranya diperlukan.

  10. Pencebok atau gayung secukupnya.

  11. Tanah untuk tayammum.

Cara Memandikan Jenazah

Pada asasnya, mandi mayat sama dengan mandi wajib yang lain. Iaitu mengandungi 2 rukun. Pertamanya niat mandi dan keduanya meratakan air keseluruhan badan termasuklah bulu-bulu rambut dan umbi rambut. Cara-caranya ialah :

  1. Mayat diletakkan di tempat yang di khaskan.

  2. Dimandikan dalam sehelai kain yang boleh menyerapkan air serta menutup aurat. “Sesungguhnya Nabi saw telah dimandikan di dalam gamisnya (baju labuh)”. Maksud hadis.

  3. Bersihkan najis-najis pada tubuh dan kemaluannya. Kemudian diurut serta menekan perutnya supaya mengeluarkan najis atau kotoran yang ada dan membersihkannya. Niat beristinjak : “Sahaja aku beristinjak ke atas mayat ini kerana Allah taala”.

  4. Wudukkan mayat sepertimana orang hidup. Niat wuduk : “Sahaja aku mengambil wuduk yang sunat bagi mayat ini kerana Allah taala”.

  5. Mulakan mandi dengan air bersih. Disertai niat memandikan jenazah (hukum niat adalah sunat) (mandi adalah wajib). Lafaz niat : “Sahaja aku mandikan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.

  6. Setiap anggota mulakan disebelah kanan dahulu, dari Ummu Athiyah mengatakan ketika kami memandikan puteri Rasulullah saw, Zainab. Rasulullah bersabda mafhumnya : “Mulakan dengan memandikan bahagian anggota-anggota yang kanan dan anggota wuduk”. (Riwayat Al-Bukhari).

  7. Setelah dimandikan dengan air sabun, air daun bidara dan air mutlak sebanyak 3 kali, sekiranya tidak cukup memuaskan, maka lebihkan mandian menjadi 5 atau 7 kali. Rasulullah saw bersabda : “Mandikanlah jenazah-jenazah itu secara ganjil tiga, lima, tujuh kali atau lebih jika kamu pandang perlu”.

  8. Akhirnya mandikan dengan air kapur barus dan air cendana.


Beberapa Peringatan

  1. Ketika membasuh di sebelah kanan. “Ampunkanlah dia wahai tuhan dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

  2. Ketika membasuh di sebelah kiri. “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.

  3. Ketika mencurah air kapur barus (diakhir mandi jenazah). “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.

  4. Sunat orang yang telah selesai memandikan jenazah, mandi sunat dengan niat “Sahaja aku mandi sunat selepas memandikan mayat kerana Allah Taala”. Begitu juga dengan orang yang mengangkatkan jenazah, sunat berwuduk untuk dirinya.

  5. Doa untuk mengelakkan dari badi mayat. “Dengan nama Allah yang tidak memberikan kemudharatan oleh sesuatu di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.


Permasalahan

  1. Mayat lelaki atau perempuan dalam keadaan janabah (Berhadas besar) tidak dituntut mandi lagi kerana mandi mayat sudah memadai.

  2. Jika di dapati keluar najis atau darah setelah sempurna dimandikan memadai dibersihkan sahaja darah atau najis tersebut. Jika berlarutan keluarnya diikat dan dibalut dengan kapas atau kain.

  3. Jika rambut, kulit atau lainnya yang tanggal dari anggota badannya, wajib diambil dan dibasuh kemudian kapankan bersama-sama jasadnya.

  4. Jika didapati mayat di dalam sungai atau lombong yang sudah berubah atau reput, maka boleh kita selamkan semula mayat itu dalam 1 atau 2 minit dengan niat memandikan mayat (kira-kira meratakan air di seluruh anggotanya, nescaya sahlah mandinya jika tidak ada najis di badannya.

  5. Keguguran mengikut Imam Syafie, bayi cukup bulan ialah berumur dalam kandungan 6 bulan lahzah. Manakala bayi yang tidak cukup bulan ialah berumur 6 bulan lahzah ke bawah.

  6. Keguguran bayi cukup bulan, wajib disempurnakan empat perkara sepertimana jenazah orang dewasa iaitu mandi, kafan, sembahyang dan kebumikan.

  7. Keguguran bayi yang tidak cukup bulan : Jika keguguran itu ada tanda-tanda hidup seperti bersuara atau bergerak wajib disempurnakan sepertimana jenazah orang-orang dewasa (mandi, kafan, sembahyang dan di kebumikan). Jika keguguran itu tidak ada tanda-tanda hidup wajib disempurnakan tiga perkara sahaja iaitu mandi kafan dan kebumikan dengan tidak perlu disembahyangkan. Jika keguguran itu seketol darah dan belum bersifat manusia, sunat dibungkuskandengan kain lalu ditanamkan sahaja.

  8. Mayat kanak-kanak yang lahir, mati sebelum dipotong urinya. Sebelum dimandikan hendaklah dipotong urinya terlebih dahulu, kerana uri itu bukan anggota kanak-kanak tersebut dan bukan dari anggota ibunya. Uri itu najis, jika tidak dipotong, tidak sah sembahyang keatas kanak-kanak tersebut. Potong uri tidak dinamakan menyiksa mayat. Haram dimandikan, disembahyangkan dan ditanam uri bersama kanak-kanak tersebut. Uri perlu dibungkus dan ditanam begitu sahaja.

  9. Mengkebumikan mayat wanita mengandung. Diakui oleh doktor perubatan atau bidan yang anak dalam kandungan itu telah mati, baru boleh dikebumikan. Haram membelah perut ibu untuk mengeluarkan mayat anaknya di dalam kandungan. Sekiranya disahkan oleh doktor perubatan atau bidan, anak dalam kandungan masih hidup hendaklah dibelahkan perut ibunya untuk menyelamatkan anaknya.


Tayammum Dari Aspek Keadaan Mayat

Tayammum ialah menggunakan debu tanah yang suci lagi kering sebagai ganti daripada mandi mayat dan anggota yang tidak dapat kena air.

  1. Mayat yang harus ditayammum : Kerana ketiadaan air, mayat harus ditayammum berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud : “Jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum”. (An-Nisa : 43). Mayat yang terlalu uzur (mati terbakar) kalau dimandikan hancur dagingnya. Mayat lelaki atau perempuan yang meninggal tempat yang terpencil yang susah mendapatkan air mutlak. Rasulullah saw bersabda mafhumnya : “Jika seorang wanita meninggal di lingkungan lelaki hingga tidak ada wanita lain, atau lelaki di lingkungan wanita-wanita di mana tidak ada lelaki lain, maka hendaklah mayat tersebut ditayammumkan lalu dimakamkan kedua mereka itu sama halnya dengan yang tidak mendapatkan air”. Kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan. Mayat yang reput atau hancur.

  2. Niat Tayammum “Sahaja aku tayammumkan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.


Jenazah Yang Tidak Perlu dimandikan Atau Ditayammumkan

Orang yang mati di medan pertempuran kerana menegakkan agama Allah dari musuh yang bukan Islam. Dari Jabir Bin Abdullah berkata mafhumnya :

“Sesungguhnya Nabi saw memerintah untuk menanamkan mereka yang terbunuh di medan perang Uhud dengan darah serta pakaian mereka dan tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disembahyangkan”. (Riwayat Al-Bukhari)

Perkara Yang Haram Di Waktu Mandi

  1. Meniarapkan mayat.

  2. Menyentuh kemaluan dengan tidak berlapik.

  3. Melihat aurat antara pusat ke lutut dengan tidak ada sesuatu hajat.

  4. Menceritakan kepada orang lain apa yang dilihat sewaktu memandikan jenazah, seperti hitam mukanya, lebam, berubah baunya dan sebagainya.


2 comments :

  1. Apakah hukum saat mayat dikebumikan dan tali kafan semua tak diizinkan utk dibuka.. Terimakasih

    ReplyDelete
  2. Bagaimana cara pengurusan mayat seseorang yang meninggal dunia di negara yang jauh daripada Malaysia dan perjalan untuk membawa pulang ke tanahair mengambil masa lebih kurang 1 minggu dengan bertukar beberapa pesawat? Si arwah pula merupakan saudara baru dan bekerja pula dengan orang yang rata-rata bukan beragama islam? Mohon pandangan ustaz. Terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG