PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Tuesday, February 15, 2011

Ya Maulidur Rasul, Tidak Hari Valentine


KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine.

Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah.

Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu.

Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya.

Di samping itu, ujarnya mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi.

Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.

“Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine.

Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial.

“Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya.

Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu.

Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan.

Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya.

Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam.

Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine.

“Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi.

Sumber : Harakah Daily

3 comments :

  1. Alhamdulllillah.. tahun ni pun promosi terhadap sambutan valentine day pun kurang. Biasa, kat media massa atau eletronik banyak promosi.
    Walaupun masih ada yg buat maksiat menyambut valentine day.

    ReplyDelete
  2. ... sambuangan
    walaupun masih ada yg buat maksiat sambut Valentine day ni, dengan promosi yng kurang malah banyak media menyebarkan tentang haramnya valentine ni, nampak berkurang sikit lah kes2 maksiat yg dikaitkan dgn valentine...
    Moga ingatan remaja kita terhadap sambutan valentine day ni terus terpadam di tahun2 akan datang.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG