PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, March 7, 2011

Istinjak Atau Membersihkan Kemaluan Cara Islam


Maksud Istinjak

Istinjak dari segi bahasa ialah putus. Manakala dari segi syarak pula ialah menghilangkan najis daripada kemaluan dengan menggunakan air, batu, atau kedua-duanya, atau sesuatu yang dibolehkan syara’ untuk bersuci.

Menurut Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji dalam kitab mereka Fikah Al-Manhaji Mazhab Syafie mengatakan bahawa :

“Istinjak ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar kencing atau air besar. Perkataan istinjak diambil daripada perkataan an-naja’ iaitu selamat dan terhindar daripada penyakit atau diambil daripada perkataan an-najwah iaitu tanah yang tinggi atau daripada perkataan an-najw iaitu sesuatu yang keluar daripada dubur. Ia dinamakan dengan istinjak di sisi syarak kerana orang yang beristinjak berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya ia dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah yang tinggi dan seumpamanya.”

Rumusan dari pendapat di atas mengatakan bahawa istinjak ialah menghilangkan najis ringan atau berat dari tempat keluarnya najis (khubul dan dubur) dengan menggunakan air, batu, kulit kayu atau benda-benda kesat. Tujuan istinjak adalah untuk membolehkan solat atau ibadah lain. Istinjak adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam, sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Istinjak

Wajib istinjak dengan air atau dengan batu atau suatu yang keras dan suci dan kesat serta tidak dihormati. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa bagi sesiapa yang meninggalkan istinjak dengan sengaja kerana orang tersebut berada didalam kekotoran.

Rukun Istinjak

  1. Islam.

  2. Alat untuk istinjak, seperti air, batu, kertas atau seumpamanya.

  3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.

  4. Istinjakkan itu membersihkan sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubur atau dubur.

Syarat Istinjak

  1. Menghapuskan rasa najis.

  2. Menghapuskan bau najis.

  3. Menghapuskan warna najis.

Cara Istinjak

  1. Istinjak mestilah 3 kali berturut-turut, jika masih belum suci, boleh diulang lagi basuhan sehingga suci.

  2. Alat dibuat istinjak mestilah melingkupi tempat yang disapu.

  3. Beristinjak mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar dari kemaluan manusia.
Istinjak Dengan Batu

Menggunakan satu batu besar atau tiga ketul batu, sapukan kepada tempat keluarnya najis iaitu qubur. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air. Hadis Rasulullah SAW :

“Dikatakan kepada Salman ra : Sesungguhnya Nabi kamu SAW telah mengajar kamu semua perkara termasuk cara membuang air. Lalu dikata : Benar, sesungguhnya baginda melarang kami mengadap kearah kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang kami beristinjak menggunakan tangan kanan atau istinjak menggunakan kurang dari tiga biji batu atau beristinjak dengan najis atau tulang.” (Riwayat Muslim)

Afdhal beristinjak dahulu dengan tiga biji batu atau tiga bahagian pada satu buji batu yang besar sehingga diyakini bersih, maka dibasuh pula dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih pada bahagian kemaluan yang terkena najis tersebut.

Disunatkan setiap bilangan penyucian itu diganjilkan bilangannya seperti 3, 5, 7, 9 dan seterusnya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa beristinjak dengan batu, maka hendaklah ia ganjilkan bilangannya. Sesiapa yang memperbuat begitu maka sesungguhnya itulah yang lebih baik, tetapi sesiapa yang tidak berbuat begitu maka tidaklah ia berdosa" (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Cara Isntinjak Dengan Batu

  1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan kemaluan yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.

  2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan kemaluan kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.

  3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.

  4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.

  5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.

Syarat Istinjak Dengan Batu

  1. Najis tersebut tidak terkena tempat lain.

  2. Bagi membuang air besar hendaklah najis tersebut berlemak-lemak, tidak cair atau lembik.

  3. Hendaklah najis itu tidak terkena najis lain ke atasnya. Kalau ia terkena najis lain, maka ia wajib beristinjak dengan menggunakan air mutlak.

  4. Sekurang-kurangnya menggunakan tiga biji batu atau tiga bahagian dari sebiji batu besar. Jika tiga batu masih tiada menyucikan hendaklah ditambah lagi hingga diyakini suci.

  5. Haram beristinjak menggunakan tulang dan najis yang menjadi keras. Begitulah juga haram beristinjak dengan sesuatu yang tertulis perkataan yang dimuliakan seperti ayat Al-Quran, Hadis, ilmu yang bermanfaat, nama-nama nabi-nabi, malaikat dan alim ulamak.

Istinjak Dengan Air Mutlak

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Beristinjak menggunakan air samalah juga dengan menggunakan batu iaitu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa, zat dan warnanya.”

Untuk memastikan bersih atau tidak qubul atau dubur, maka boleh dirasakan dengan tangan sendiri, jika ia berasa kesat dan tidak berlendir, maka ia telah dikira bersih dan suci qubul atau dubur. Air merupakan alat yang terbaik untuk beristinjak, kerana air dapat menghilangkan ain, rasa, bau dan warnanya sekali.

Cara Istinjak Dengan Air Mutlak

  1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.

  2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.

  3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.

  4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.

  5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.

  6. Sunat selepas istinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.

  7. Sunat ketika istinjak membaca doa.

  8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.

  9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.

Setelah selesai beristinjak dengan menggunakan air mutlak, batu atau benda-benda kesat, maka disunatkan membaca doa :

“Ya Allah, bersihkan hatiku daripada sifat munafik dan peliharalah kemaluanku daripada kejelekkan (kekotoran).”

Adab Beristinjak

Di sini terdapat etika yang dituntut ke atas setiap muslim supaya melakukannya ketika qada hajat dan beristinjak. Di antara etikanya ialah :

Tempat Menunaikan Hajat

  1. Jalan orang ramai atau tempat mereka duduk atau berkumpul kerana ia boleh menyakitkan mereka. Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat. Para sahabat bertanya : Apakah dua perkara tersebut? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang membuang air besar (menunaikan hajatnya) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh.” (Riwayat Muslim)

  2. Dalam lubang pada tanah atau pada dinding dan seumpamanya kerana ia akan menghasilkan perkara-perkara yang menyakitkan. Kemungkinan di dalam lubang tersebut terdapat binatang yang berbisa seperti kala jengking atau ular lalu ia keluar dan menyakitkannya. Kadang-kadang terdapat di dalamnya haiwan yang lemah, maka ia boleh menyakitkan binatang tersebut. Daripada Abdullah Bin Sarjis bahawa ia berkata : “Rasulullah SAW melarang daripada kencing di dalam lubang iaitu lubang tanah.” (Riwayat Abu Daud)

  3. Di bawah pokok yang berbuah bagi memelihara buah tersebut daripada tercemar ketika luruhnya sama ada buah tersebut dimakan atau diambil manfaat dengannya. Ini supaya perasaan seseorang tidak merasa jijik.

  4. Air yang tenang/bertakung. Ini kerana jiwa manusia akan merasa jijik dengan air tersebut sekalipun air itu banyak dan najis tersebut tidak merubah rasa, bau atau warnanya. Atau pun air itu akan dibuang begitu sahaja jika najis itu mengubahnya. Larangan ini juga termasuk pada air yang kurang dari 2 kolah. Daripada Jabir ra daripada Nabi SAW bersabda : “Baginda SAW melarang kencing dalam air (bertakung) tenang” (Riwayat Muslim)

Masuk Dan Keluar Tempat Qada Hajat

  1. Disunatkan kepada orang yang qada hajat supaya melangkah dengan kaki kiri ketika masuk dan dengan kaki kanan ketika keluar. Ini kerana itulah yang lebih layak untuk tempat-tempat kotor dan najis. Dan jangan ia membawa perkataan yang menyebut nama Allah dan juga namaNya yang lain.

  2. Disunatkan juga membaca zikir dan doa-doa yang telah thabit daripada Rasulullah SAW ketika masuk tandas dan keluar daripadanya.

Arah Mengadap

Haram ke atas orang yang qada hajat mengadap kearah kiblat atau membelakangkannya sekiranya ia berada di tempat lapang dan tidak ada pendinding yang tinggi yang menutup auratnya ketika qada hajat.

Begitu juga haram qada hajat di dalam binaan yang tidak disediakan sebagai tempat qada hajat dan tidak mencukupi syarat-syarat pendinding seperti dinding yang tinggi yang menutupi auratnya.

Disyaratkan dinding yang menutupnya itu tidak jauh daripadanya lebih daripada 3 hasta dengan ukuran tangan manusia atau menyamai lebih kurang 150cm. sekiranya binaan tersebut disediakan sebagai tempat qada hajat (tandas) maka janganlah mengadap kiblat atau membelakangkannya. Daripada Abi Ayub Al-Ansari ra. Daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila kamu datang ke tempat qada hajat maka janganlah kamu mengadap kea rah kiblat dan jangan kamu membelakangnya sama ada ketika buang air kecil atau besar, tetapi mengadaplah kea rah timur atau barat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Keadaan Orang Yang Qada Hajat

Dia hendaklah duduk di atas tumit kaki kiri dan mendirikan lutut kaki kanan serta tidak melihat ke langit, kemaluannya dan najis yang keluar daripadanya. Ini kerana perbuatan tersebut adalah tidak layak dengan keadaanya itu. Dan makruh dia bercakap dan lainnya ketika qada hajat. Daripada Ibnu Umar ra berkata :

“Seorang lelaki lalu berdekatan Rasulullah SAW yang sedang membuang air kecil. Lalu dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawab.” (Riwayat Muslim)

Makruh juga perbuatan yang lain seperti makan, minum dan bercakap-cakap ketika sedang melakukan perbuatan qada hajat.

Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri

Orang yang qada hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak dilakukan. Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana makruh menyentuh zakar dengan tangan kanan.

Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan mengerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut. Daripada Abi Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Riwayat Al-Bukhari)


Alat Yang Haram Digunakan Untuk Istinjak

  1. Tidak sah beristinjak dengan menggunakan benda-benda yang najis atau mengandungi najis, kerana ia akan menambahkan lagi kesan najis yang sepatutnya dikurangkan dengan cara beristinjak. Daripada Abdullah Bin Mas’ud ra berkata : “Nabi SAW telah datang ke tempat qada hajat dan menyuruh aku membawa 3 biji batu kepadanya. Aku hanya dapati dua biji batu dan aku cari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Kemudian aku mengambil tahi binatang dan bawa kepadanya, lalu Baginda mengunakan dua biji batu tersebut dan membuang najis itu seraya berkata : Ini adalah najis.” (Riwayat Al-Bukhari)

  2. Haram beristinjak dengan menggunakan makanan yang dimakan oleh anak Adam. Contohnya seperti roti dan lain-lainnya. Haram juga beristinjak dengan menggunakan tulang, kerana ia merupakan makanan jin dan haiwan seperti anjing. Daripada Ibnu Mas’ud ra dari Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Telah datang kepadaku Jin yang memanggil, lalu aku pergi bersamanya dan aku membacakan Al-Quran kepada mereka. Ibnu Mas’ud menceritakan lagi, dan mereka itupun meminta bekalan. Lalu Baginda menjawab : Bagi kamu semua tulang yang disebut di atasnya nama Allah, ia berada di tangan-tangan kamu dalam keadaan daging yang lebih banyak, dan juga tahi-tahi binatang menjadi makanan kepada binatang-binatang kamu.” (Riwayat Muslim)

  3. Haram beristinjak dengan sesuatu benda yang dihormati seperti anggota haiwan yang bersambung dengannya seperti tangan dan kakinya, lebih-lebih lahi anggota manusia kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan kemuliaannya.

Hikmah Istinjak

Melakukan istinjak dapat membersihkan anggota badan supaya anggota badan menjadi sihat dan cergas. Orang yang sihat akan sentiasa ceria dan bersemangat dalam setiap pekerjaannya yang dilakukan. Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri daripada segala penyakit yang disebabkan dari kuman atau kekotoran. Sebab itulah Islam sangat mengambil berat soal kebersihan ini kerana ia mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan.

Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. Kekemasan dan kebersihan adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai umat Islam kita perlu meneladani apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang yang mempunyai kebersihan diri akan sentiasa dihormati oleh orang sekelilingnya. Malah ia juga menjadi model atau contoh kepada masyarakat sekelilingnya. Berbeza dengan orang yang tidak bersih, kerana masyarakat akan memandangnya jijik dan mereka tidak mahu mendekati orang yang tidak bersih. Orang yang tidak bersih ini sering kalinya berada dalam keadaan yang tidak terurus, kotor, busuk dan sebagainya.

Beristinjak atau membersihkan diri daripada najis dapat menghindarkan diri dari berbagai-bagai penyakit yang disebabkan kekotoran najis. Kuman yang disebabkan najis yang dikeluarkan oleh seseorang dapat dihilangkan dengan cara istinjak sehingga bersih. Ini bertujuan untuk mengelakkan diri dari dihinggapi oleh berbagai penyakit. Islam telah meletakkan kaedah istinjak yang paling baik kepada umatnya supaya dapat menjauhkan diri daripada berbagai penyakit.

13 comments :

  1. salam.

    ustaz bagaimana jika membasuh kencing dengan air yg diambil dengan tangan kiri, kemuadian digosok ke kemaluan beberapa kali. adakah istinjak nya sah, kerana dalam situasi itu air tidak mengalir

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum ustaz, saya pun musykil juga ustaz. Saya mohon pencerahan dari ustaz berkenaan perkara diatas.

    ReplyDelete
  3. Ambik Air jerus ke kemaluan, bagi air itu mengalir sehingga hilang kesan najis...kalau gosot tak boleh, sebab air kencing itu tidak hilang dan tidak dialirkan oleh air mutlak..

    ReplyDelete
  4. Terimakasih ustaz. Jadi orang buang sambil berdiri dekat urinal bowl mungkin tak sempurna istinjak sebab air tak mengalir dan memberi kesan sah atau tidak pada solat.

    ReplyDelete
  5. ustaz sy mahu brtnye skit.....apakh hkum islam jika kiter menyentuh botol@tin arak???????????

    ReplyDelete
  6. Ustaz jka slpas buang air bsar dgn air mtlak tgn yg dgnakn untk brsuci msh ad sdkt brbau..adkah ia dmaafkan jka tgn itu sdah dcuci dgn air mtlak brulang kli ataupn adkh wajib mnggunakn sabun untk mnghlngkn bau dtgn itu..sykran

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Ustaz, jika selepas istinjak dengan air mutlak mengikut syarak2, lalu saya mengambil wuduk, terasa seperti ada air yg keluar dari khubul, apa kah wuduk itu batal walaupun air itu adalah bekas dari basuh khubul dengan air mutlak? Harap terangkan. Terima kasih Ustaz.

    ReplyDelete
  8. ustaz kalau kita beristinjak ada masalah hendak keluarkan najis dan terpaksa memmasukan jari kedalam dubur untuk memastikan tiada najis yg tertinggal dn membersihknnya ,apakah hukumnya kerana org itu ada masalah buasir. dan bagaimana pula jika dia berpuasa adakah puasanya dikira batal?

    ReplyDelete
  9. Salam ustaz, kalu kita Masa kita jirus kemaluan dgn air, , sering ada percikan air itu diseluar kerana air itu jatuh atas piring mangkuk tandas dan terpercik ke seluar, adakah seluar tu dikira tak sah dibawa solat? Yakno air dijirus di kemaluan, then air itu jatuh ke piring tempat duduk dan lantas kena seluar.

    ReplyDelete
  10. kira air najis la tu...air basuhan najis..seluar itu tak boleh bawa solat..

    ReplyDelete
  11. salam ustaz, kalau semasa kita buang air besar, kita ada memasukkan jari ke dalam duburr sendiri untuk memudahkan lagi proses membuang air besar.. haram ke perbuatan itu?adakah tergolong dalam kategori liwat?

    ReplyDelete
  12. Besnis produk kesihatan myherb2u-goji,tricajus,susu kambing,mlm call +60192311900
    http://www.healthbuilders.com.my/
    othmandraman@yahoo.com
    http://othmandraman.blogspot.com/?m=1
    http://www.dnaglobal2u.com/
    http://www.iphytoscience.com/
    http://www.drtina.mynucerity.biz/indexi.php
    Kedai P01 pasar majlis sek16 shah alam,selangor,malaysia
    Rakan kongsi/penyewa/pekerja diperlukan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG