PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Saturday, April 30, 2011

Perbicaraan Sumpah Laknat Di dalam Kitab-kitab Islam



Maksud Sumpah


Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman yang merupakan jamak dari perkataan al-Yamin. Pada dasarnya ia bererti tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab lazimnya mengangkat tangan kanan mereka. Apabila mereka saling bersumpah, masing-masing memukul tangan kanannya dengan tangan kanan orang yang bersumpah. Adapun dari sudut istilah, ia bererti menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus.

Syarat Sumpah

Agar sumpah menjadi sah (valid) dan berauthority sebagaimana hadis di atas, ia perlu terlebih dahulu menepati satu syarat, iaitu ia disumpah atas nama Allah, salah satu dari nama-nama Allah atau salah satu dari sifat-sifat Allah. Berikut diperincikan syarat ini :

Sumpah Dengan Nama Allah

Rasulullah saw bersabda :

“Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.

Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.

Berdasarkan hadis di atas juga, boleh bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti Al-Rahman, Al-Rahim, Al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Sumpah Dengan Salah Satu Sifat Allah

Sumpah sebegini pernah dilakukan oleh Rasulullah saw, umpama :

“Aku berlindung dengan Kemuliaan Kamu, yang tidak ada Tuhan melainkan Kamu yang tidak mati manakala jin dan manusia akan mati.” (Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma), dia berkata, Nabi saw pernah bersumpah dengan berkata :
“Tidak! Demi yang membolak-balikkan hati.” (Riwayat Al-Bukhari)

"Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka." (Riwayat Muslim)

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah swt jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan :

Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah:
“Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.” (Riwayat Abu Daud)

Sumpah dengan selain Allah bukan sahaja tidak sah dan syirik, orang yang melakukannya perlu segera mengucapkan syahadah, mempersaksikan bahawa “Tiada Tuhan Melainkan Allah” :

Sesiapa di antara kalian bersumpah lalu berkata dalam sumpahnya itu : “Demi Latta!”, maka hendaklah dia mengucapkan La ilaha illallah. Dan sesiapa yang berkata kepada temannya: “Ayuh, aku ingin bertaruh dengan kamu”, maka hendaklah dia bersedekah. (Riwayat Muslim)

Mengapakah sumpah dengan selain Allah boleh melibatkan syirik? ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menjawab persoalan ini :

Al-Yamin ialah sumpah dengan kata-kata khusus bagi menguatkan sesuatu yang disumpah, iaitu dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Orang yang bersumpah apabila ingin menguatkan sesuatu, baik dalam rangka menafikan atau menetapkan, maka dia perlu menguatkannya dengan sumpah yang disandarkan kepada yang mulia, yakni dengan mengucapkan sesuatu mulia yang dia miliki.

Sejak dahulu lagi, manusia menyakini bahawa sesuatu yang dijadikan sandaran sumpah akan menguasai orang yang bersumpah, di mana ia dapat memberikan manfaat atau mudarat berdasarkan sebab-sebab rasional dan tidak rasional. Apabila orang yang bersumpah menepati apa yang dia sumpahkan, maka (diyakini) yang dijadikan sandaran sumpah tersebut telah rela dan mengabulkan sumpahnya. Apabila (yang dijadikan sandaran sumpah) tidak rela, maka ia akan menimpakan bahaya kepadanya.

Atas dasar inilah, sumpah atas nama selain Allah swt atau atas nama selain sifat Allah dikatakan sebagai perbuatan syirik (kerana menyakini manfaat dan mudarat datang dari apa yang dijadikan sandaran sumpah dan bukan datang dari Allah).

Selain larangan bersumpah dengan selain Allah, seseorang itu juga diperingatkan agar jangan berdusta dalam sumpah, sekalipun terhadap perkara yang amat kecil. Rasulullah saw bersabda :

“Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.” Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “(Ya), sekalipun sebatang kayu arak (yang digunakan untuk bersiwak).” (Riwayat Muslim)

Mengingatkan besarnya ancaman bagi orang yang berdusta dalam sumpahnya, maka Islam menganjurkan sikap “cegah sebelum parah”, yakni jangan biasakan diri bersumpah. Jangan bersumpah tentang itu dan ini tanpa sebarang keperluan untuk bersumpah. Kebiasan bersumpah akan menyebabkan orang itu merasa tidak mengapa untuk berdusta dalam sumpahnya sehingga akhirnya terjebak dalam ancaman hadis di atas. Justeru Allah swt berfirman :

“Dan janganlah kamu menurut orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina.” (Al-Qalam :1 0)

Beberapa Persoalan Berkaitan Sumpah

Sah Atau Tidak Sumpah Dengan Lafaz Yang Tidak Jelas?

Para ilmuan berbeza pendapat tentang orang yang bersumpah dengan lafaz yang tidak jelas, umpama “Demi janji Allah…” atau orang yang hanya menyebut “Aku bersumpah…” tanpa menyandarkannya kepada Allah. Perbezaan ini membuahkan tiga pendapat :

  1. Sumpah tersebut adalah sah (valid).

  2. Sumpah tersebut tidak sah (invalid).

  3. Sumpah tersebut sah jika penyumpah meniatkannya sebagai satu sumpah, tidak sah jika penyumpah tidak meniatkannya sebagai satu sumpah.
Di antara tiga pendapat ini, yang terbaik ialah meminta penyumpah melafazkan semula sumpahnya dengan lafaz yang pasti, umpama “Demi Allah aku bersumpah tidak melakukan hal ini”. Jika dia enggan, maka sumpahnya dianggap tidak sah kerana memiliki unsur keraguan di dalamnya.

Sah atau tidak sumpah dengan ucapan insya-Allah?

Sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut :

“Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.”(Riwayat Abu Daud)

Bolehkah Bersumpah Dengan Al-Quran?

Kamal bin Al-Sayyid Salim hafizhahullah menjawab persoalan ini :

Al-Quran ialah perkataan Allah (kalamullah) dan ia bukan ciptaan (Allah). Perkataan Allah yang suci itu merupakan satu sifat dari sifat-sifat-Nya. Oleh kerana itu jumhur ilmuan, kecuali Abu Hanifah, berpendapat boleh bersumpah dengan al-Qur’an dan sumpah itu menjadi sah… Sementara itu tokoh Mazhab Hanafi yang mutakhir seperti Ibn Al-Hamam dan al-Aini menguatkan pendapat jumhur membolehkan sumpah dengan al-Quran. (Demikian kenyataan Wahbah al-Zuhaili dalam) Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, jld. 3, ms. 379.

Sesiapa yang bersumpah dengan mushaf al-Quran sementara yang dia maksudkan ialah perkataan Allah yang tertulis dalam mushaf itu, maka ia dibolehkan. Namun jika yang dia maksudkan ialah lembaran kertas yang tertulis (atasnya ayat al-Quran), maka ia tidak dibolehkan. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Dalam suasana kebanyakan umat Islam masa kini yang tidak faham tentang sifat Kalamullah dan kaitannya dengan al-Quran, serta tidak tahu membezakan antara Kalamullah dan tulisan di atas Al-Quran, maka adalah lebih selamat mereka tidak bersumpah dengan menggunakan al-Quran.

Apakah Hukum Orang Yang Melanggar Sumpahnya?

Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kafarat sumpah berdasarkan firman Allah swt :

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu Yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya Dengan sebab sumpah Yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan Yang sederhana Yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. kemudian sesiapa Yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamanya) supaya kamu bersyukur.” (Al-Maidah : 89)

Bagi sumpah yang berganda, maka ia diperincikan sebagai berikut :

  1. Orang yang melafazkan sumpah beberapa kali untuk satu perkara yang sama lalu dia melanggarnya, maka kafaratnya hanya sekali.

  2. Orang yang melafazkan satu sumpah untuk beberapa perkara dengan satu lafaz, maka satu kafarat bagi setiap perkara yang dilanggarnya.
Walaubagaimanapun terdapat beberapa jenis pelanggaran sumpah yang tidak diwajibkan kafarat, iaitu :

  1. Sumpah dusta (Al-Yamin Al-Ghamus). Sumpah ini hukum asalnya memang tidak sah kerana ia adalah dusta. Disebabkan ia sejak awal adalah tidak sah, maka pelanggarannya tidak mewajibkan kafarat. Akan tetapi orang yang melakukan sumpah dusta tersebut diwajibkan bertaubat dan menyatakan apa yang benar di sebalik pendustaannya itu.

  2. Percakapan biasa yang tidak dimaksudkan sebagai sumpah (Al-Yamin Al-Laghw). Terhadap ayat 89 surah al-Maidah di atas, ‘Abd Allah Al-Bassam hafizhahullah menulis : “Aisyah ra menafsirkan sumpah yang tidak dimaksudkan adalah perkataan yang sering diucapkan oleh lisan manusia saat mereka berbicara, iaitu ucapan mereka sendiri seperti La wallahi dan Bala billah. Ia adalah ungkapan yang sering diucapkan oleh lisan tetapi tidak diniatkan oleh hati sebagai sumpah. Penafsiran sebegini dikemukakan oleh tiga imam mazhab.”

  3. Orang yang melanggar sumpahnya kerana terlupa, keliru atau dipaksa. Ini berdasarkan keumuman hadis Rasulullah saw :“Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesilapan, kekeliruan dan apa yang dipaksa ke atasnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

  4. Orang yang telah bersumpah untuk sesuatu yang akan datang, lalu kemudian dia mendapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia sumpahkan, maka tidaklah bersalah untuk dia melanggar sumpahnya yang awal, asalkan dia membayar kafarat. Dalilnya ialah hadis berikut :“Apabila kamu bersumpah dengan sesuatu sumpah, lalu kamu melihat sesuatu lain yang lebih baik dari apa yang telah kamu sumpah, maka bayarlah kafarat dari sumpah kamu (yang awal itu) dan ambillah yang lebih baik itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Bagaimana Menangani Pendapat Yang Membolehkan Sumpah Dengan Selain Allah?

Diketahui terdapat sebahagian pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah. Mereka berhujah dengan beberapa sumpah Allah swt di dalam al-Quran, di mana Allah bersumpah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya. Antara ayat al-Quran yang dimaksudkan :

“Demi langit dan (bintang)”. (Al-Thariq : 1)

“Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh!” (Al-Fajr : 1-2)

“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari!” (Al-Syams : 1)

Penghujahan di atas dapat ditolak dengan penjelasan :

  1. Sumpah-sumpah seperti di atas mengandungi sandaran sumpah yang tersembunyi, iaitu Pencipta bagi ciptaan-ciptaan tersebut, yakni Allah swt. Sehingga yang dimaksudkan dalam sumpah-sumpah tersebut ialah “Demi Pencipta langit dan bintang”, “Demi Pencipta waktu fajar dan malam yang sepuluh” dan “Demi Pencipta matahari dan cahayanya di pagi hari”.

  2. Sumpahan Allah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya memiliki tujuan menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta perkara-perkara tersebut. Justeru apabila Allah bersumpah “Demi matahari…”, ia bagi menunjukkan kepada manusia kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta matahari.
Berdasarkan dua penjelasan di atas, dapat diketahui bahawa sumpah seumpama ayat-ayat al-Quran di atas hanya layak bagi Allah, justeru menjadi hak-Nya sahaja. Kita sebagai manusia tidak layak meniru tatacara sumpah sedemikian.

Selain itu pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah menggunakan hadis berikut sebagai dalil :

“Daripada Abu Hurairah ra dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata : “Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling tinggi anjarannya?” Rasulullah menjawab : “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata : “Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.” (Riwayat Muslim)

Pendalilan dengan hadis di atas dijawab, bahawa perkataan Rasulullah saw “Demi ayah kamu!” bukanlah satu sumpah tetapi sekadar ungkapan yang lazim di sisi masyarakat Arab (Al-Yamin Al-Laghw). Al-Nawawi rahimahullah menjelaskan :

"(Rasulullah) bersumpah dengan ayah (sahabat itu) padahal (baginda) melarang bersumpah dengan selain Allah. Maka berkenaan sumpah dengan sandaran ayah ini, dijelaskan bahawa sumpah yang dilarang dengan selain Allah adalah apabila ia memang dimaksudkan (sebagai sumpah). Adapun lafaz sumpah dalam hadis ini, ia merupakan kebiasaan di atas lisan orang-orang Arab tanpa (mereka) memaksudkannya (sebagai sumpah). Maka ia tidak termasuk dalam kategori sumpah yang dilarang oleh baginda."

Dalam kes jenayah, bolehkah yang tertuduh bersumpah sebelum diminta oleh hakim?

Terdapat dua hadis yang menjadi rujukan bagi persoalan ini :

“Sumpah kamu wajib berada di atas apa yang diminta oleh lawan kamu (yang membuat tuduhan).” (Riwayat Muslim)

“Sumpah bergantung kepada niat orang yang meminta sumpah.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan dua hadis di atas, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat :

  1. Orang yang tertuduh hendaklah menunggu hingga hakim meminta dia bersumpah bagi membersihkan tuduhan ke atas dirinya.

  2. Asalkan ada tuduhan, orang yang tertuduh boleh bersumpah bagi membersihkan dirinya. Dengan syarat ia diminta atau dicadangkan oleh orang yang memiliki kedudukan di sisi masyarakat atau negara, baik orang itu ialah seorang hakim atau selainnya.
Pada analisa saya, yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Penjelasannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad Bin Ismail Al-Shanani rahimahullah :

Kesimpulannya, sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah dalam semua perkara kecuali apabila diminta bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapkan ke atasnya. Maka dalam kes ini sumpah hendaklah sesuai dengan maksud orang yang meminta dia bersumpah (yakni hakim atau wakilnya). Inilah maksud hadis di atas.

Adapun apabila dia bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapnya, maka sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah.

… Saya (al-Shan‘ani) berkata, tidak diketahui dari mana datangnya pembatasan (terhadap keumuman) hadis di atas kepada hakim atau wakilnya sahaja (dalam persoalan permintaan sumpah). Padahal zahir hadis menunjukkan apabila sumpah itu diminta oleh orang yang memiliki hak (yakni kedudukan dalam masyarakat atau negara), maka niat sumpah itu sesuai dengan niat orang yang memintanya (dan ini berlaku secara) mutlak.

Apakah Maksud Sumpah Mubahalah?

Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut :

“Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” (Ali Imran : 61)

Perkataan Mubahalah berasal daripada kata bahlah atau buhlah yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.

Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran untuk berdialog dengan Rasulullah saw di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah swt menurunkan ayat 61 surah Ali Imran di atas.

Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke atas ahli keluarganya.

Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.

Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah yang dilakukan oleh Rasulullah saw, dapat dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah :

  1. Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.

  2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.

  3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.

  4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
Lazimnya apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara berhadapan, sumpah mubahalah tidak akan berlaku. Pihak yang membuat tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan :

Daripada Huzaifah ra, dia berkata : Al-Aqib dan Al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah saw untuk saling melaknat (Mubahalah). Huzaifah menyambung: Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.” Lalu akhirnya mereka berdua berkata : “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab : “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.” Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah saw sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda : “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah saw bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sumber : Blog Dari Minda Ku

3 comments :

  1. Salam.

    Bila ustaz mula posting pasal sesumpahan ni, nampak sgt isu ni dh smpi kemuncak. Terima kasih ustaz utk maklumat ini :)

    ReplyDelete
  2. bagi fiqh semasa, tajuk yang perlu diberi perhatian adalah "kesan sumpah kepada perundangan dan mahkamah".
    Pada asasnya sumpahan dilakukan untuk menguatkan atau mengukuhkan dakwaan seseorang. Ini adalah hak individu, manakala kesan daripada sumpah ini bergantung kepada penerimaan masyarakat. Sepertimana Rasulullah SAW telah melakukan sumpah dihadapan orang-orang kafir untuk mengukuhkan dakwaan ke atas kenabian dan kerasulannya.
    Penerimaan sumpah ini bergantung kepada orang awam, sama ada untuk mempercayainya atau menolaknya.
    Sementara sumpah yang dilakukan oleh seseorang atas arahan hakim atau kadhi, seperti sumpah lian yang dilakukan oleh seorang suami yang menuduh isterinya berzina tanpa saksi.
    Sumpah ini meninggalkan implikasi undang-undang dan mahkamah kepada orang yang bersumpah.

    ReplyDelete
  3. salam,
    mohon untuk dijadikan bahan sumber didalam artikel diblog.Semoga dirahmati Allah atas segala usaha.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG