PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, June 12, 2011

Anak Anugerah Allah


Anak adalah anugerah yang tidak terhingga daripada Allah kepada pasangan suami isteri yang mendirikan rumahtangga. Timbul riak wajah yang ceria dan gembira suami isteri apabila mereka diberitahu oleh doktor yang merawat mengatakan bahawa isterinya mengandung sekian bulan.

Dari situlah mereka merancang dan mengatur jadual untuk menyambut kedatangan orang baru dalam keluarga mereka. Setiap hari dan setiap bulan mereka melakukan persediaan, seperti melakukan rawatan untuk memastikan bayi di dalam kandungan itu sihat dan selamat, mengawal pemakanan seperti memakan makanan yang berkhasiat, membeli pakaian, alat-alat penjagaan bayi, memilih nama yang sesuai dan sebagainya.

Apabila tiba tanda-tanda kelahiran kepada isteri, si suami bertungkus lumus berusaha untuk menghantar isterinya ke hospital yang berdekatan. Si suami memaklumkan kepada ibu bapanya dan mertuanya bahawa isterinya telah masuk ke wad bersalin di hospital sekian-sekian. Timbul berbagai kerisauan dan persoalan di dalam kepala suaminya seperti bagaimana keadaan isterinya? adakah isterinya selamat? adakah isterinya bersalin normal ataupun tidak? Selain dari itu juga suaminya berdoa kepada Allah semoga isterinya dapat melahirkan anaknya dengan keadaan selamat.

Setelah sekian lama menanti dengan penuh debaran dan kerisauan, si suami diberitahu oleh doktor yang merawat isterinya bahawa isterinya selamat bersalin dan isterinya sekarang sedang berehat setelah sekian lama bertarung dengan kesakitan yang tidak terhingga. Rasa syukur dan gembira apabila mendengar khabar tersebut. Beliau menziarahi isterinya dan anaknya untuk memastikan khabar tersebut sahih dan benar.

Si suami mendukung anaknya untuk diazankan disebelah telingga kanan dan diiqamahkan disebelah telingga kiri, sebagai memenuhi tuntutan sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw. Daripada Abi Raafi’ berkata :

“Aku pernah melihat Rasulullah saw mengazankan pada telinga Hasan Bin ‘Ali ketika ia dikahirkan oleh Fatimah”. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Cukup sahaja hari yang ketujuh si suami berusaha untuk mengadakan majlis aqikah, tahnik, cukur kepala dan diberikan nama kepada anaknya. Tidak kisah wang ringgit habis begitu banyak, yang penting adalah tanggungjawabnya sebagai bapa terhadap anaknya. Majlis disambut dengan penuh kegembiraan dengan menjemput sanak saudara, jiran-jiran dan para sahabat untuk meraikan majlis anaknya. Ucapan tahniah dan hadiah dari para tetamu yang datang diterima oleh bapa dan ibu anak tersebut. Hal ini menambahkan lagi rasa kegembiraan dan tali persaudaraan di antara tuan rumah dengan tetamu yang hadir.

Betapa gembiranya si ibu dan bapa apabila mendapat cahaya mata, berbagai harapan yang telah diberikan kepada anak tersebut. Ada yang mengharapkan anak tersebut menjadi anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Ada juga yang mengharapkan anak tersebut menjadi pandai dengan memperolehi pendidikan yang cemerlang, supaya anak tersebut memperolehi pekerjaan yang baik untuk masa depannya.

Tidak kiralah apa harapan yang telah diberikan kepada anak tersebut. Paling penting dalam pendidikan anak-anak adalah pendidikan agama Islam, kerana ia merupakan fardhu ain dan perlu diberikan kepada mereka. Pendidikan agama sangat penting untuk menjamin keselamatan dunia dan akhirat.

Menurut Dr Abdul Rahman an-Nawawi di dalam bukunya yang bertajuk “Pendidikan Islam Di Rumah, Di Sekolah dan Masyarakat” mengatakan bahawa :

".....keselamatan manusia daripada kerugian dan azab dapat dicapai melalui tiga bentuk pendidikan. Pertama, pendidikan individu yang membawa manusia kepada keimanan dan ketundukan kepada syariat Allah swt, serta beriman kepada yang ghaib. Kedua, pendidikan diri yang membawa manusia kepada amal soleh dalam menjalani kehidupan seharian. Ketiga, pendidikan masyarakat yang membawa manusia kepada sikap saling berpesan dalam kebenaran dan saling memberi kekuatan ketika menghadapi kesulitan yang pada intinya, semuanya ditujukan untuk beribadah kepada Allah swt."

Dalam pendidikan anak-anak perlu mempunyai tiga konsep yang perlu diserapkan kepada mereka supaya mereka tidak lari dari kehidupan yang dituntut dalam Islam iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. Konsep yang dimaksudkan ialah iman, amal soleh dan akhlak yang mulia. Jika dapat diberikan kepada anak-anak tersebut melalui pendidikan, nescaya mereka akan menjadi manusia yang baik, dihormati dan menjadi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat diluar sana.

Untuk memastikan pendidikan anak-anak ini berkesan, maka ibu bapa menjadi faktor penggerak yang utama untuk memastikan anak-anak mereka berhasil dalam pendidikan. Ibu bapa adalah idola yang paling dekat dengan anak, jika mereka tidak mempunyai akhlak yang baik maka sudah pasti anak tersebut mencontohinya atau mengikut tabiat buruk ibu bapanya. Pepatah melayu mengatakan bahawa “jika si bapa kencing berdiri, anaknya pula kencing berlari”.

Bagaimana hendak mengajar anak sembahyang, menutup aurat, menghormati orang yang lebih tua, sopan santun dan mempunyai akhlak yang baik kalau ibu bapanya tidak mempunyai sifat atau tingkah laku yang sedemikian. Sebab itulah pendidikan sekarang ini tidak berkesan, kerana ia hanya terlaksana di masa dan tempat yang tertentu sahaja.

Natijah yang kita dapat dari hasil pendidikan tersebut ialah berlakunya gejala-gejala sosial dikalangan remaja kita sekarang ini. Seperti berlakunya penyalah gunaan dadah, pergaulan bebas, mat rempit, buang anak dan sebagainya. Ramai anak remaja Islam kita yang rosak disebabkan terpengaruhnya dengan budaya barat yang merosakkan. Sepatutnya dengan kepesatan perkembangan teknologi, pendidikan dan ekonomi, remaja Islam kita lebih berdaya saing semasa mereka untuk memperolehi kejayaan dengan segala kemudahan yang ada pada masa sekarang ini. Tetapi malangnya remaja kita lebih terkebelakang jika dibandingkan dengan remaja-remaja bangsa lain di negara ini.

Pihak kerajaan telah memberikan berbagai-bagai kemudahan kepada kita untuk meningkatkan taraf kehidupan bangsa kita terutamanya Melayu Islam. Segala usaha yang dibautkan oleh kerajaan tidak mencapai tahap yang diharapkan, malah perlu mencari kaedah yang baru untuk menyelesaikan berbagai masalah-masalah sosial yang berlaku sekarang ini. Banyak wang dan tenaga pakar yang dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini.

Kaedah yang paling baik dan berkesan untuk menyelesaikan masalah ini adalah kembali semula kepada Islam, kerana Islam mempunyai kaedah yang lebih baik dan telah terbukti semasa Nabi Muhammad saw mendidik para sahabatnya dari zaman kegelapan jahiliah kepada zaman nur Islam. Setelah Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, baginda menjalankan usaha dakwah yang pertama secara berahsia. Pusat perhimpunan umat Islam atau para sahabatnya ketika itu adalah di rumah Al- Arqam bin Abil Arqam. Di sinilah Rasulullah saw mengajar para sahabatnya tentang dasar-dasar agama Islam iaitu Makrifatullah (Mengenali Allah). Berkat perjuangan dan kesabaran Rasulullah, maka para sahabatnya tabah dan bersabar apabila diseksa oleh penduduk musyrikin Mekah. Walaupun diseksa dan diancam bunuh, mereka tetap juga berpegang teguh dengan akidah Islam dengan penuh keyakinan. Tidak gentar menghadapi musuh-musuh mereka walaupun mereka tidak memiliki apa-apa kelengkapan atau senjata dan hanya yakin terhadap pertolongan Allah sahaja.

Inilah hasil yang dikehendaki dalam pendidikan Islam, bukan sahaja mempunyai akhlak yang baik, malah mereka juga berani mengorbankan diri mereka untuk menegakkan syariat Islam. Jelas di sini bahawa pendidikan Islam layak untuk digunakan dan diamalkan dalam kehidupan kita, supaya ia dapat memastikan anak-anak dan keluarga kita menjadi insan yang berguna, tidak menyusahkan masyarakat dan tertaqwa kepada Allah. Bagi memastikan pendidikan itu berjaya, maka ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak tersebut.


1 comment :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG