PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Friday, June 3, 2011

Bertakwalah Kepada Allah


Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepadaNya. Ibadat dengan erti tunduk, patuh dan taat kepada perintah dan arahanNya. Ini semua bertujuan melahirkan manusia yang baik dan beriman kerana hanya manusia yang beriman dapat memakmurkan alam yang diciptakan Allah dengan kebaikan.

Sekiranya penghuni bumi beriman, bumi akan aman dan sebaliknya jika bumi dipenuhi orang-orang yang fasik nescaya ia akan berada di lembah kehancuran. Oleh itu bumi sangat perlu kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa agar dapat terus dimanfaatkan oleh penduduknya.
Pengertian Takwa

Takwa merupakan masdhar (kata dasar/jadian) dari kata waqa’ yang berarti menghalangi diri dari segala hasrat biologis (Syahwat). Menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan, khususnya hal-hal syubhat, lebih-lebih yang haram. Takwa mempunyai pengertian yang sangat luas dan banyak. Antara beberapa takrif takwa yang diberikan oleh ulamak ialah seperti berikut :
  1. Takut kepada azab Allah dengan melakukan amalan yang soleh, dan takut kepada Allah secara terang atau tersembunyi.

  2. Takwa juga adalah berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan agar tidak melampaui batasan yang ditegah oleh Allah. Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang takwa. Ubay berkata: “Pernahkah kamu berjalan di suatu jalan yang penuh berduri?” Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubay lagi: “Bagaimana kamu melaluinya?” Kata Umar: “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.” Lalu Ubay berkata: “Itulah makna takwa.”

  3. Menurut Umar bin Abdul Aziz bahwa takwa adalah meninggalkan segala yang diharamkan (dilarang) oleh Allah Ta’ala dan melaksanakan apa Yang diwajibkan.

  4. Saidina Ali Karamallahu Wajhah pernah mentakrifkan takwa sebagai ‘takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, redha dengan kurniaan Allah walaupun sedikit, dan membuat persediaan untuk hari pembalasan.”

  5. Al-Tahanuwi mengatakan: “Takwa adalah kamu menghiasi batinmu untuk Allah sebagaimana kamu menghiasi zahirmu untuk makhluk.”

  6. Al-Taftazani pula menjelaskan takwa adalah menghindari diri daripada segala yang dikeji oleh syarak.
Kedudukan Takwa

Takwa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa dalam Islam. Banyak ayat al-Quran yang menyeru dan mendesak manusia supaya bertakwa kepada Allah swt Setiap minggu kaum muslimin diingatkan dalam khutbah Jumaat supaya bertakwa. Dengan peringatan berterusan yang sentiasa diberikan kepada orang yang beriman ini, maka ia menunjukkan bahawa betapa Allah swt sangat memberikan perhatian ke arah melahirkan mausia yang bertakwa. Allah swt juga mengingatkan manusia agar benar-benar bertakwa kepadaNya. Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu seorang muslim.” (Ali Imran : 102)

Terdapat dua perkara penting yang menjelaskan kepada kita betapa besarnya kedudukan takwa dalam Islam iaitu:
Seruan Kepada Takwa Adalah Tugas Utama Para Rasul

Tugas semua rasul yang diutuskan oleh Allah ialah mengajak umat mereka bertakwa kepada Allah. Semenjak zaman nabi Adam ‘Alaihissalam dan nabi-nabi selepas itu sehinggalah kepada Nabi Muhammad saw, kesemuanya menyeru kaum mereka supaya bertakwa kepada Allah. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang tugas ini. Antaranya ialah :

Firman Allah swt tentang kisah Nabi Nuh yang menyeru kaumnya supaya bertakwa kepadaNya selama 950 tahun :
“Kaum Nuh telah mendustakan para rasul,Ketika saudara mereka, Nuh berkata kepada mereka; mengapa kamu tidak bertakwa?” (Al-Syuara : 105-106)

Begitu juga kisah Nabi Hud as dengan kaum ad Baginda juga sentiasa menyeru kaumnya agar bertakwa kepada Allah swt :
“Kaum ‘Aad telah mendustakan para rasul.Ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka; Mengapa kamu tidak bertakwa?” (Al-Syuara : 123-124)

Antara tujuan dan matlamat Allah swt menurunkan hukum dan syariat kepada para nabi ialah untuk membentuk masyarakat yang bertakwa. Jika takwa sudah menghuni dalam jiwa manusia, maka mereka tidak perlu lagi kepada pengawasan dan kawalan daripada sesiapa pun. Takwa mendorong seseorang melakukan kebaikan yang membuahkan hasil.
Kayu Pengukur Kualiti insan

Allah swt menjadikan takwa sebagai kayu ukur hubungan seseorang hamba denganNya. Jika seseorang itu bertakwa, bererti dia orang yang hampir dengan Allah swt, manakala orang yang tidak bertakwa, dia adalah orang jauh hubungannya dengan Allah swt. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Al-Hujurat : 13)

Allah tidak menilai seseorang berdasarkan rupa paras, harta atau kedudukan, sebaliknya takwa menjadi asas penilaian Allah terhadap kualiti seseorang insan. Allah juga menyebut bahawa takwa sebagai sebaik-baik bekalan yang perlu disediakan oleh manusia untuk bertemu denganNya di akhirat kelak. Tiada bekalan lain yang setanding dengan takwa. Firman Allah :

“Sediakanlah bekalan,sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa” (Al-Baqarah : 197)

Di samping itu, takwa juga menjadi pakaian terbaik untuk perhiasan hidup manusia di dunia ini kerana orang yang bertakwa bukan sahaja mulia di sisi Allah tetapi mereka juga akan dihormati oleh manusia kerana ketinggian akhlak dan keperibadian mulia. Firman Allah swt :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan, dan takwa ialah sebaik-baik pakaian untukmu” (Al-Araf : 26)
Implikasi Orang Bertakwa

Allah swt telah menjanjikan beberapa ganjaran bagi orang yang bertakwa sama ada berupa ganjaran di dunia mahupun ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Antara ganjaran yang menanti orang-orang yang bertakwa ialah :
Allah Menjadikan Di antara Para WaliNya

Kedudukan orang yang bertakwa sangat mulia di sisi Allah. Allah swt tidak menjadikan rupa paras atau harta dan kedudukan sebagai kayu pengukur kepada penilaian kemuliaan seseorang manusia, sebaliknya menjadikan ketakwaaan seseorang sebagai ukuran. Walaupun pada pandangan manusia seseorang mungkin di pandang rendah kerana tidak memiliki harta, kekayaan dan pangkat tetapi jika dia bertakwa, maka dia tinggi di sisi Allah. Di kalangan orang yang bertakwa ada yang lebih tinggi darjat mereka lalu diangkat oleh Allah sebagai para waliNya. Firman Allah swt :
“Ingatlah sesungguhnya para wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.Iaitu orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.” (Yunus : 62-63)
Mendapat Hidayah Daripada Allah

Allah swt berhak memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bagi orang yang bertakwa, mereka seolah-olah mendapat satu jaminan daripada Allah swt bahawa mereka akan mendapat hidayah tersebut, sedangkan orang yang tidak bertakwa akan terus berada dalam kesesatan kerana tiada hidayah daripada Allah swt. FirmanNya :
“(Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran : 138)
Menerima Amalan Mereka Sebagai Ibadat

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa." (Al-Maaidah : 27)

Ini bermaksud orang yang tidak bertakwa, segala amalan kebajikan yang mereka lakukan tidak dinilai dan diberikan ganjaran oleh Allah. Amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Mereka menjadi orang-orang yang rugi.
Selamat Daripada Rancangan Jahat Dan Godaan Syaitan

Orang yang tidak bertakwa mudah terpengaruh dengan pujukan dan godaan syaitan. Mereka akhirnya terpedaya dan mengikut hasutan syaitan yang menyesatkan. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Al-Araaf : 201)
Terlepas Daripada Belenggu Kesempitan Hidup Dan Dimurahkan Rezeki

Orang bertakwa sentiasa diberikan jalan keluar oleh Allah ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Hati mereka sentiasa tenang kerana yakin Allah pasti akan membantu mereka. Allah juga memberi jaminan rezeki yang berterusan kepada orang-orang yang bertakwa. Firman Allah swt :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar .Dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak ia sangka.” (Al-Talaq : 2-3)
Sentiasa Mendapat Pertolongan Dan Kasih Sayang Allah

Orang-orang yang bertakwa sentiasa patuh dan taat kepada Allah. Mereka melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Oleh itu Allah juga memberikan kasih dan cintaNya kerana mereka. Bahagialah orang-orang yang mendapat kasih dan cinta Allah kerana Allah akan sentiasa memeliharanya daripada sebarang kecelakaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Nahl : 128)

FirmanNya lagi :
“Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertakwa.” (Al-Taubah : 7)
Mendapat Balasan Syurga Daripada Allah

Syurga menjadi idaman bagi setiap manusia, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Mereka sering merindukan syurga. Mereka juga terdorong melakukan amalan soleh dengan harapan diberikan ganjaran syurga. Allah menjanjikan syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tiada tandingannya kepada orang yang bertakwa. Firman Allah swt :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mata air.” (Al-Zariyat : 15)
Kisah Orang Bertakwa

Kisah Pertama :

Abdullah bin Dinar menceritakan: “Suatu hari aku pergi ke Mekah dengan Umar al-Khattab. Dalam perjalanan kami kehabisan bekalan makanan, lalu bertemu dengan seorang pemuda pengembala kambing. Umar meminta kepada pemuda itu agar dijualkan seorang kambing kepada kami. Pemuda itu memberitahu dia hanyalah seorang hamba yang ditugaskan memelihara kambing tersebut, tidak berhak untuk menjualnya.

Umar mengujinya dengan berkata: “Kamu beritahulah kambing kamu telah dibaham serigala.” Jawab pemuda itu: “Allah melihat perbuatan saya.” Umar menangis mendengar jawapan pemuda pengembala kambing tersebut yang takut kepada Allah. Dia tidak sanggup melanggar larangan Allah dengan menjual kambing yang bukan miliknya, walaupun ditawarkan dengan ganjaran dunia di saat dia sangat memerlukannya. Akhirnya pemuda itu dibeli lalu dibebaskan oleh Umar al-Khattab.”

Kisah Kedua :

Kisah seorang ibu dengan anak gadisnya penjual susu. Ibunya mahu mencampurkan air ke dalam susu agar mereka mendapat keuntungan yang lebih. Si ibu menyebut bahawa tiada siapa yang tahu perbuatan mereka termasuk khalifah Umar. Jawab si anak gadis: “Walaupun Umar tidak nampak, tetapi tuhan Umar nampak perbuatan kita.” Anak gadis ini tidak mahu mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan. Walaupun tiada siapa yang melihat perbuatannya, tetapi keyakinan kepada Allah telah mencegahnya daripada perbuatan dosa.

Kedua-dua kisah di zaman Saidina Umar ini memberikan gambaran pemuda dan pemudi yang beriman dan bertakwa yang telah berjaya dilahirkan pada zaman baginda. Mereka memiliki peribadi, akhlak dan keimanan yang tinggi. Bagaimana pula dengan generasi muda-mudi di zaman kita sekarang?
Jalan-jalan Menuju Takwa

Setelah mengetahui hakikat dan kepentingan takwa, kita perlu mengetahui jalan-jalan yang boleh membawa kita menjadi orang-orang yang bertakwa. Kita juga mahu mencontohi dan menjadi golongan beriman sebagaimana golongan yang terdahulu. Berikut adalah beberapa perkara yang harus dilakukan untuk mencapai darjat takwa :
Membaca Al-Quran Dan Menghayatinya

Hati yang bersih dapat menerima peringatan daripada al-Quran. Orang yang mendapat penyakit hati seperti tiada ketenangan jiwa dan resah gelisah, hati mereka akan sembuh apabila membaca al-Quran. Firman Allah swt :
“Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka bertakwa.” (Al-Baqarah : 187)

Firman-Nya lagi :
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.(Yunus : 57)

Bagi orang kafir dan munafik, mereka tidak mendapat manfaat daripada Al-Quran. Sebahagian ulama tasawwuf menyebutkan bahawa Al-Quran ialah jalan yang paling sempurna untuk mendapat keredhaan Allah. Tempoh paling singkat untuk mengkhatamkan Al-Quran ialah tiga hari (sehari sepuluh juzuk) manakala paling lama ialah sebulan (sehari satu juzuk). Para ulamak menyebutkan tidak harus seorang muslim membiarkan harinya berlalu tanpa dia membaca sebahagian daripada Al-Quran.

Membaca Al-Quran bukan sekadar untuk mendapat berkat tetapi tujuan utama ialah untuk memahami ,menghayati dan beramal dengan isi kandungannya. Di samping itu pembaca mestilah menjaga adab ketika membaca Al-Quran yang merupakan kitab suci dan hidayah bagi orang-orang beriman.
Berusaha Mencari Hidayah Allah

Hidayah adalah hak milik Allah. Manusia hanya boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi Allah sahaja yang berhak menentukan kepada sesiapa yang dikehendakiNya untuk diberi hidayah.Firman Allah swt :
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami.” (Al-Ankabut : 69)

Antara usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk mencapai hidayah Allah ialah dengan memperbanyakkan berfikir tentang ciptaan Allah serta berzikir kepadaNya. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan lagit dan bumi (lalu berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Allah, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”(Ali Imran : 190-191)

Di samping itu manusia hendaklah memenuhi segala tuntutan dan kewajipan sebagai seorang muslim seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menghubungkan silaturrahim, jihad pada jalan Allah dan meninggalkan yang haram .

Berpuasa

Berpuasa merupakan salah satu cara untuk mencapai darjat takwa di sisi Allah. Takwa ialah jalan menuju ke syurga, dan syurga pula dikelilingi oleh perkara yang dibenci oleh manusia, manakala hawa nafsu pula ialah jalan menuju ke neraka. Berpuasa adalah lambang penguasaan manusia terhadap hawa nafsu. Manusia berjaya hidup di atas dunia ini sekiranya nafsu mereka dapat dikuasai. Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Neraka dikelilingi oleh hawa nafsu (yang disukai manusia), dan syurga dikelilingi oleh perkara yang dibenci manusia (melakukannya).” (Muttafaqun ‘Alaih)

Antara hikmah Allah mewajibkan puasa kepada orang beriman ialah untuk melahirkan orang-orang yang bertakwa kepadaNya. Dengan melakukan ibadah puasa manusia boleh mencapai darjat ketakwaan. Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu puasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Ibadah puasa mempunyai kekuatan menundukkan hawa nafsu. Puasa juga mempunyai sistem pendidikan yang baik kerana dalam ibadah puasa Ramadhan disunatkan juga membaca al Quran, solat tarawih, ‘iktikaf di masjid, qiamullail dan bersedekah.Semuanya seolah-olah satu pakej yang mempunyai kelebihan tersendiri yang saling melengkapkan antara satu sama lain dalam melahirkan orang-orang yang bertakwa.
Mengenal Allah (Ma’rifatullah)

Kita diperintah supaya beribadah kepada Allah. Ibadah tidak bererti tanpa kita mengenal siapa tuhan yang kita sembah. Semua penganut agama di dunia mendakwa mereka menyembah tuhan, tetapi mereka menyembah tuhan yang palsu kerana mereka tidak kenal tuhan yang sebenar. Firman Allah swt :
“Wahai manusia, sembah tuhan yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 21)

Untuk menjadi orang bertakwa, seseorang manusia mesti mengenal zat, sifat dan nama Allah seperti yang diterangkan oleh al-Quran. Zat Allah tidak sama dengan zat makhluk begitu juga sifatNya yang tidak sama dengan sifat makhluk. Firman Allah swt :
“Tidak ada suatu pun yang serupa denganNya,dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Syura : 11)

Ibadah juga mestilah dilakukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Kita tidak boleh mereka atau mencipta menurut hawa nafsu sendiri. Semua perbuatan kita sama ada melakukan yang disuruh, meninggalkan larangan atau melakukan yang sunat pula mestilah disertai dengan niat beramal soleh. Jika tidak, amalan kita hanya menjadi adat kebiasaan.

Demikianlah sebahagian kaedah sebagai panduan bagi seseorang untuk mencapai darjat takwa. Jika kita berusaha memenuhi segala tuntutan tersebut, tidak mustahil kita juga dapat memperolehinya. Bahagialah orang yang berjaya mencapai ketakwaan kerana mereka akan beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.
Kesimpulan

Setiap orang yang beriman hendaklah berusaha mencapai darjat takwa iaitu dengan cara memastikan setiap perbuatan dan perkataan yang mereka lakukan bertujuan mendapat keredhaan Allah. Orang yang diredhai Allah akan mendapat kasih sayang daripadaNya.

1 comment :

  1. Besnis produk kesihatan myherb2u-goji,tricajus,susu kambing,mlm call +60192311900
    http://www.healthbuilders.com.my/
    othmandraman@yahoo.com
    http://othmandraman.blogspot.com/?m=1
    http://www.dnaglobal2u.com/
    http://www.iphytoscience.com/
    http://www.drtina.mynucerity.biz/indexi.php
    Kedai P01 pasar majlis sek16 shah alam,selangor,malaysia
    Rakan kongsi/penyewa/pekerja diperlukan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG