PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Tuesday, June 21, 2011

Sheikh Abu Bakr : Palestin Tanggungjawab Seluruh Umat Islam


JOHOR BAHRU, Bagaikan satu keberkatan dari Allah SWT apabila dipilih oleh Syeikh Abu Bakr Al-Awawidah untuk menyampaikan ceramah kesedaran dan berita perkembangan mutakhir Palestin kepada umat Islam di sini. Ini merupakan lawatan kali pertama ke Johor oleh ulamak Palestin itu, yang buta matanya akibat disiksa rejim pengganas Zionis Israel.

Majlis yang dianjurkan oleh HALUAN Johor dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Uda dan Pejabat Kadi Negeri Johor ini telah dimulakan dengan pengenalan ringkas tentang peribadi Syeikh Abu Bakr. Ustaz Abu Ubaidah Embong yang bertindak sebagai penterjemah telah menceritakan tentang pengalaman Syeikh yang buta sejak berumur 22 tahun apabila disiksa dengan kejam, termasuklah siksaan menggunakan renjatan elektrik di kepalanya ketika beliau ditahan kali pertama di sebuah penjara Israel. Syeikh Abu Bakr, yang jelas kelihatan lebih tua dari umurnya yang sebenar, telah dipenjara sebanyak lapan kali. Sebagai Ketua Rabitah Ulamak Palestin, beliau adalah tokoh yang tidak asing lagi di kalangan 7 juta orang penduduk Palestin.

Memulakan ceramah beliau, Syeikh Abu Bakr mengingatkan para jemaah yang hadir bahawa tanggungjawab terhadap Masjid Al-Aqsa, Kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin bukan hanya dipikulkan kepada umat Arab Palestin sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam di mana sekali pun mereka berada samada lelaki mahupun perempuan, rakyat atau pemerintah, yang buta huruf atau terpelajar. Baitul Maqdis dan bumi anbiya’ Palestin adalah merupakan tanah wakaf kepada ummat Islam sehingga ke akhir zaman, selaras dengan perjanjian “Al-Ahdi Al-Umari” di antara khalifah Islam yang kedua Saidina Umar RA dan wakil orang-orang Kristian iaitu Paderi Petronius.

Umumnya kita sedia maklum bahawa Baitul Maqdis adalah kota suci Islam yang ketiga setelah Mekah dan Madinah. Ironinya, kalau umat Islam boleh mempertahankan Mekah dan Madinah dengan darah dan nyawa mereka, mengapakah mereka tidak bersikap demikian terhadap Baitul Maqdis yang pada ketika ini berada di bawah cengkaman Yahudi laknatullah? Itulah persoalan yang dilemparkan oleh Sheikh Abu Bakr kepada para hadirin.

Sudah sekian lama rejim pengganas Zionis merancang untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa, iaitu masjid ketiga suci bagi umat Islam. Di situlah telah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW yang menjadi penghubung di antara langit dan bumi. Oleh itu, masjid ini wajib dipertahankan oleh umat Islam dengan apa sahaja yang mereka ada, samada harta, nyawa mahupun doa.

Syeikh Abu Bakr juga memberi peringatan khusus kepada kaum wanita di Malaysia. “Para wanita di Palestin telah mengorbankan suami-suami, anak-anak dan cucu-cucu lelaki mereka untuk mempertahankan Baitul Maqdis, Al-Aqsa dan bumi Palestin. Apakah yang telah dilakukan oleh wanita-wanita Muslim di Malaysia terhadap tanah wakaf mereka ini?,” soal beliau.

“Wahai Allah, aku telah menyampaikan kepada mereka, saksikanlah.” Begitulah kata-kata yang mengakhiri ceramah beliau, dengan linangan air mata membasahi wajahnya yang redup itu.

Pada malam itu sejumlah lebih RM 12,000 telah disumbangkan oleh para dermawan yang hadir. InsyaAllah sumbangan tersebut akan digunakan bagi menjayakan projek-projek bantuan dan pemulihan di Palestin dan juga kem-kem pelarian rakyat Palestin.

Sumber : Laman Portal HALUAN Malaysia



1 comment :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG