Hawo Husein
Adey Salat tiba di kem bersama lima orang anak
Dadaab, Kenya Timur, 8 Sept – Hawo Husein mungkin akan diheret ke
mahkamah dan akan didakwa jika dia seorang rakyat Malaysia. Ibu muda
yang berusia 19 tahun itu sudah mempunyai lima orang anak. Dia mungkin
berkahwin pada usia 14 tahun atau lebih muda lagi.
Telah lima hari berlalu sejak beliau tiba di Dadaab dari perkampungan
bernama Sagale di Juba Tengah, Somalia. Bapanya mengizinkan dia bersama
bayinya berhijrah ke Kenya menggunakan wang simpanan sebanyak USD100
untuk perjalanan melalui jalanraya. Dia bergegas di antara tempat-tempat
persembunyian dan bernasib baik kerana dia dan rakannya yang lain tidak
disamun, dirompak atau dirogol sepanjang perjalanan yang memakan masa
20 hari itu.
“Saya tiba dengan selamat tetapi berlapar sepanjang perjalanan,
termasuk hari ini,” ujarnya sambil mengatakan dia belum mendapat kad
pelarian UNHCR bagi membolehkannya mendapat bekalan makanan mingguan.
“Segalanya pasti berubah jika hujan mulai turun. Kami menanam jagung
dan kacang tetapi semuanya musnah kerana kemarau. Tiada tanaman yang
mampu hidup dan kami telah kehabisan makanan dan wang. Siapakah yang
mahu membantu kami bertahan? Saya berharap hijrah ini akan memberikan
kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Adey Salat, 40 baru tiba di kem IFOR2 lapan hari yang lalu.
Bersamanya adalah lima anak-anak kecilnya sementara suaminya tinggal di
Somalia untuk menjaga harta benda mereka. Seperti Hawo dan kebanyakan
pelarian lain, Adey menanam jagung, kacang dan sayuran untuk dijual di
pasar. Dia yang kini di IFOR2 tiada tempat berteduh, terpaksa tidur di
bawah pokok dan tidak mempunyai pakaian dan ubat-ubatan.
“Kami berpanas di siang hari dan menahan kesejukan pada malamnya.
Kami akan berpelukan bersama dengan apa jua pakaian yang ada dan
diberikan oleh orang yang bersimpati,” tambahnya lagi.
Pelarian Somalia terpaksa melalui proses yang panjang dan rumit sebelum
mendapat kad pelarian UNHCR yang melayakkan mereka mendapat bekalan
makanan, rawatan dan mungkin sehelai hamparan tarpaulin sebagai khemah.
Dengan bekalan asas itu, mereka akan ke belukar berhampiran untuk
memotong beberapa batang pokok melley dan mendirikan struktur kubah
ringkas dengan hamparan tarpaulin sebagai bumbungnya. Dengan lumpur
keras sebagai lantainya, buat masa ini, pokok dan belukar akan menjadi
rumah mereka.
Sumber : Portal HALUAN MALAYSIA
Sumber : Portal HALUAN MALAYSIA








































0 comments:
Post a Comment