PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, October 2, 2011

Tun Dr. Mahadir : Filem Hantulah Punca Histeria & Perosak Minda


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir (gambar) dipetik Berita Minggu hari ini.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

“Untuk bergerak dan maju ke hadapan, kita perlu banyak menerapkan cara berfikir secara saintifik dalam menyelesaikan masalah, bukan bergantung pada bomoh.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh mengubati orang dengan kemenyan,” katanya sambil menambah, “dulu kita tidak ada cara lain mungkin boleh guna cara itu.”

“Dulu jika kita sakit jantung, pergi belah dada kita akan mati.

“Sekarang, jika kita sakit jantung, kita boleh belah (buat pembedahan) sebab sudah ada mesin jantung dan paru-paru. Itu saintifik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.

Ulasan Ustaz

Perkara utama zaman sekarang ini yang sangat memesongkan umat Islam negara ini adalah filem-filem hantu yang menceritakan perkara-perkara tahyul dan syirik. Ini filem yang tidak masuk akal dan filem yang membuatkan umat Islam negara ini takut kepada hantu dan bukan takut kepada Allah. Sebab itulah ramai umat Islam sekarang berani melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Saya sangat setuju apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa filem itu membawa fahaman yang salah dan tidak dapat dibuktikan oleh ilmiah.

Bagus apabila filem itu menggambarkan bahawa orang yang dirasuk atau diganggu hantu itu dirujuk kepada Ustaz atau orang agama. Tapi malangnya lakonan ustaz atau fiqiyah yang digambarkan itu keterlaluan dan sangat memesongkan seperti, keluarnya cahaya perkataan Allah, cahaya kilat atau sebagainya. Ini sangat memesongkan dan tidak betul segala apa yang digambarkan oleh filem hantu tersebut.

Baru-baru ini Filem Hantu Bonceng menjadi hangat apabila dikritik oleh orang-orang agama dan masyarakat bahawa filem tersebut boleh merosakkan akidah dan sebahagian gambaran yang dibuat menghina Islam. Menjadi tanggugjawab pihak yang mempunyai kuasa untuk menapis filem-filem membuat penilitian yang sepatutnya. Jika ada filem yang bertentangan dengan Islam atau dengan moral masyarakat, maka lebih elok filem tersebut disekat dan tidak diterbitkan. Jadikan orang agama sebagai tempat rujukan apabila ada perkara-perkara yang tidak diketahui oleh penal penapisan filem.

Satu lagi perkara yang jarang disebut dan dipertikaikan oleh masyarakat iaitu pakaian pelakon yang kebanyakkannya tidak mengambarkan sebagai seorang muslim yang baik. Ada artis Islam negara ini yang berpakaian seksi kalah artis Hoollywood atau Bollywood. Bagaimana artis nak menunjukkan tauladan yang baik kepada peminat mereka kerana mereka sendiri mempunyai akhlak yang jauh menyimpang dari akhlak Islam. Kadang-kadang mereka menggambarkan filem-filem Islamik dan mereka hanya berpakaian tutup aurat ketika lakonan sahaja, tetapi diluar lakonan mereka sebenarnya hipokrik.

Saya menegaskan disini, bukan sekadar filem hantu sahaja perlu dibersihkan dari industri perfileman negara, tetapi akhlak dan pakaian artis juga perlu dibersihkan dari dunia perfileman. Jika ini semua cantik, maka nescaya segala mesej atau objektif yang disampaikan dalam filem tersebut akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh untuk mendidik masyarakat negara ini yang kebanyakkannya sedang hanyut ditipu oleh syaitan.


2 comments :

  1. Takut yang paling penting ialah takutkan Allah,generasi Melayu banyak dimomokkan dengan pelbagai jenis ketakutan sejak kecil,tu yang susah nak berubah ke arah kebaikan,banyak sangat takutnya.


    Nuklear Dalam Kehidupan Manusia

    ReplyDelete
  2. peranan ahli agama sebagai pembiak kepercayaan karut dan ketahyulan tidak pernah diperbincangkan oleh ahli masyarakat. Mungkin kehormatan kepada ahli agama telah mengunci hujah mereka untuk mempertahankan ilmiah dan menolak unsur perbomohan yang dicampur aduk dengan kesucian agama.
    dengan mengunakan istilah perubatan Islam, orang melayu telah terperangkap dalam kepercayaan karut dan ketahyulan yang tiada kaitan dengan kesucian Islam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG