Berkorban bererti
kesanggupan memberikan dengan ikhlas sesuatu amat disayangi kepada orang lain
supaya dapat memberi manfaat kepada orang itu. Antara peristiwa mengesankan
hati ialah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang mengajar supaya taat perintah,
beriman dan berserah kepada Allah.
Berkorban untuk
mendapat cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban
untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan setiap hamba, malah pengorbanan
menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.
Kerana
kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada bertanya, apakah ganjaran
berkorban?
Daripada
Zaid bin Arqam, katanya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya yang
bermaksud: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab
Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.
Mereka berkata: Apa
yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi
setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan
bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada
kebajikannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan
kita kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa
demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan
Dia berhak mengambil serta menganugerahkan apa saja.
Kitab Tafsir Ibn Kathir
merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun Baginda
sudah lanjut usia. Namun Baginda tidak pernah berputus asa berdoa dan
bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat.
Maka dengan kuasa Allah
yang tidak dapat diduga, Baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama
Ismail. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian berat diturunkan Allah
SWT ke atas dua beranak itu dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka
kepada Allah.
Allah SWT memerintah
Nabi Ibrahim menyembelih putera kesayangannya. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim
menyatakan perintah Allah kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah
Allah SWT yang wajib dilaksanakan.
Dengan hati sedih, Nabi
Ibrahim menyatakan perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang
mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa
diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan
orang yang sabar.”
Ada dua dimensi
pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa
mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama
ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan keredaan terhadap
perintah Allah SWT.
Seterusnya, ketaatan
dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih kepada ibu dan
ayahnya serta keseronokan zaman remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawa
sendiri, semata-mata taat terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.
Kedua-dua pengorbanan
ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT
yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu
mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh
jaminan besar.
Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari
yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang
adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang
hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat,
mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda
oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya
lalu berkata :
"Sesungguhnya aku
takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui
apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata,
beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Hadis riwayat Muslim)
Sesungguhnya cinta
daripada Allah ada sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku
pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi
Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu.
Baginda mengetahui
bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi
memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah
cukup kenal Allah SWT.
Menurut Imam
al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta
tanpa makrifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu
yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang
sementara supaya ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.
Takut mengorbankan
dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap muslimin. Sifat
tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia,
tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah.
Justeru, biarlah
peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk
kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini
pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia berkorban apa saja.
Sumber : Berita Harian
Sumber : Berita Harian









































0 comments:
Post a Comment