Sebenarnya
menegakkan perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran ini menjadi
tanggungjawab semua umat Islam, bukan hanya tanggungjawab pendakwah sahaja. Bila
seseorang muslim itu melihat perkara kemaksiatan berlaku di persekitarannya,
maka sudah pasti itu menjadi tanggungjawab dirinya untuk mencegah perkara
maksiat yang berlaku disekelilingnya. Dosa jika ia gagal berbuat demikian.
Firman Allah yang berbunyi :
“Dan hendaklah ada di
antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada
Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah
orang-orang Yang berjaya.”
(Ali Imran : 104)
Seorang pendakwah
yang menegakkan amal makruf dan mencegah kemungkaran hendaklah mempunyai sifat lemah lembut, beradab dan
bersopan santun, sebab pendakwah yang mempunyai sifat-sifat ini akan menjadikan
pendakwah tersebut dipandang mulia oleh masyarakat. Jika ia mempunyai sifat
sebaliknya, maka sudah pasti ia tidak dihormati dan dipandang serong oleh
masyarakat. Menjadi seorang pendakwah ini bukan perkara yang mudah, malah ia
sentiasa dipantau dan dinilai oleh masyarakat. Bila melakukan kesalahan yang
kecil sahaja, mereka akan anggap ini kesalahan yang besar dan tidak patut
dilakukan oleh para pendakwah. Paling memalukan ia diperbesarkan dengan menokok
tambah supaya cerita tersebut menjadi tarikan orang ramai.
Dalam
melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ini, perlu mempunyai beberapa syarat
yang perlu dipenuhi oleh pendakwah. Ini semua bertujuan untuk memastikan
keberkesanan amar makruf dan nahi mungkar dapat ditegakkan di dalam bumi Allah
ini. Antara syaratnya ialah :
Ikhlas
Pelaksanaan
amar makruf dan nahi mungkar hendaklah mempunyai hati yang ikhlas dan dilaksanakan
untuk menjaga kepentingan Agama Allah. Pendakwah yang ikhlas dapat memupuk rasa kasih saying dan prihatin untuk membetulkan
segala kesilapan mereka.
Para pendakwah tidak boleh mengutamakan kepentingan peribadi
semata-mata. Ada sebahagian pendakwah yang mencari keuntungan dari setiap usaha
dakwahnya, Contohnya seperti mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi kepada
pihak penganjur program. Apabila pihak
penganjur merayu supaya harga tersebut dikurangkan, Dengan nada yang sombong
mereka berkata “kalau tidak mampu cari penceramah lain, ada banyak lagi
jemputan yang boleh bagi kepada kami bayaran yang tinggi”. Bukan maksud
saya para pendakwah tidak boleh meletakkan harga, tetapi setiap harga itu
biarlah berpatutan dan mampu dibayar oleh pihak penganjur. Beginilah jadinya,
jika pendakwah tersebut tidak mempunyai sifat ikhlas dalam menyampaikan
dakwahnya. Segala bahan yang disampaikan tidak memdapat keberkatan daripada Allah,
penonton yang mendengar hanya bergelak ketawa sahaja. Segala isi yang
disampaikan tidak dapat memberi kesan kepada pendengarnya.
Berilmu
Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu, dengan ilmu pengetahuan
kita dapat melaksanakan segala pekerjaan dengan mudah. Orang yang berilmu
adalah orang yang mempunyai wawasan yang tinggi dan ia tidak boleh ditipu oleh
orang lain dengan mudah. Setiap ibadah yang dilakukan oleh orang yang berilmu
lebih diterima oleh Allah berbanding orang yang tidak berilmu.
Syaikh Abdul
Rahman Bin Qasim An-Najdi mengatakan : “Amal adalah buah dari ilmu. Ilmu itu
dicari demi mencapai sesuatu yang lain. Fungsi ilmu ibarat sebatang pohon,
sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam
seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu tidak
beramal dengannya lebih teruk berbanding orang jahil.
Bagi memastikan dakwah yang disampaikan oleh para pendakwah itu
berjaya, perkara yang awal perlu mereka sediakan adalah ilmu pengetahuan yang
luas. Bagi pendakwah yang sentiasa meningkatkan ilmu mereka, maka sudah pasti
ia menjadi satu kesenangan bagi mereka untuk mengenali sasaran dakwah dan dapat
mengatur strategi dakwah mereka dengan baik dan sesuai dengan tahap pemikiran
sasaran mereka. Bagi pendakwah masa kini, banyak cabaran yang perlu mereka
lalui terutama apabila berhadapan dengan mad’u mereka.
Jika mereka tidak dapat menguasai ilmu pengetahuan dengan baik
terutamanya ilmu-ilmu baru yang timbul di zaman moden ini seperti media
elektronik, media cetak, isu-isu semasa dan sebagainya. Kadang-kadang dalam
menjalankan dakwah kita akan diduga dengan persoalan-persoalan yang ilmiah
contohnya kenapa Islam mewajibkan umatnya membasuh najis anjing dan babi dengan
tanah dan tidak boleh dibasuh dengan air sabun. Sudah pasti kita tidak boleh
jawab soalan sebegini kalau kita tidak mempunyai ilmu dalam bidang-bidang yang
berkaitan. Ini juga akan dijadikan senjata bagi mereka untuk memperlekehkan
usaha dakwah kita.
Al-Qahtani menjelaskan pendakwah yang bijaksana itu ialah
pendakwah yang mempelajari tentang reality sasaran untuk disesuaikan dakwah
dengan taraf dan paras mereka dari semua sudutnya.
Fathi Yakan menambah dakwah itu untuk manusia dan ditujukan kepada
manusia yang bermacam-macam keadaan dan bermacam-macam perbezaan, sama ada dari
sudut umur, lapisan, pengetahuan, status, keadaan masyarakat, kecenderungan dan
aliran pemikiran, dengan itu pendakwah harus bijak dan matang dalam memahami
sasarannya, supaya apa yang dikemukakan itu sesuai. Pendakwah yang berjaya
ialah yang memberi sesuatu berdasarkan keperluan sasaran, dengan cuma memuaskan
hati sasaran untuk mempengaruhi mereka.
Dari segala apa yang diterangkan di atas, sangat penting
penguasaan ilmu bagi para pendakwah sebelum mereka turun berjumpa dengan
sasaran dakwah mereka. Apabila mereka dapat menguasai ilmu dakwah dengan baik,
maka mereka dapat mengenal pasti punca masalah yang berlaku dalam golongan
sasaran dan dapat merangka metod dakwah yang baik dan sesuai untuk sasaran
dakwah mereka.


Rukun Islam yang pertama adalah aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad pesuruh Allah. Untuk kalimah mulia ini tertanam ke dalam hati setiap umat Islam kita hendaklah menunaikan hak kalimah ini. Apakah hak kalimah ini? Hak kalimah ini adalah, apabila kita melihat kemungkaran yang manusia lakukan terhadap Allah secara terang-terangan, kita hendaklah mencegahnya dengan mengajak kepada kebaikan. Kita hendaklah bermula dengan mencegah punca bagi segala kemungkaran. Punca bagi segala kemungkaran apabila manusia tidak mahu mengaku tiada tuhan melainkan Allah dan mengaku Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah. Amalan yang utama adalah mengaku tiada tuhan melainkan Allah dan mengaku Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah. Apabila seseorang mengucap kalimah mulia, Allah s.w.t akan menghapuskan segala dosanya dan menukarkan amalan buruknya kepada kebaikan. Seseorang yang tidak mahu mengucap kalimah mulia adalah seorang kafir atau bukan Islam dan seorang yang mengucap kalimah mulia adalah seorang Islam. Mungkar kedua yang dilakukan oleh seseorang yang telah mengucap kalimah mulia adalah mereka tidak menyampaikan kalimah mulia kepada mereka yang tidak pernah mengucap kalimah mulia dan yang ketiga mungkar yang dilakukan oleh seseorang yang telah mengucap kalimah mulia adalah tidak menunaikan solat lima waktu.
ReplyDelete