PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Wednesday, March 30, 2011

Senaman poco-poco haram - Mufti Perak



IPOH, 30 Mac: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senama poco-poco diharamkan.

Ia dibuat atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian.

"Mesyuarat mengambil keputusan bahawa pengharaman ini akan diwartakan," kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya.

Surat fatwa Mufti Perak itu dihantar kepada Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB) Perak.

Ulasan Saya

Sebelum ini saya ada membuat artikel yang berkaitan poco-poco ini, waktu itu saya dapati tiada lagi fatwa-fatwa yang berkaitan dengan poco-poco. Sekarang ini sudah ada fatwa yang menyatakan bahawa poco-poco ini haram atas sebab-sebab tertentu. Maka lebih elok di sini kita guna pakai fatwa tersebut, kerana mereka adalah orang yang lebih layak untuk menentukan sesuatu hukum. Maka di sini saya membatalkan artikel saya yang lama atas alasan artikel itu sudah tidak valid lagi kerana sudah ada fatwa yang berkaitan dengan masalah ini.

Di bawah ini saya masukkan artikel saya yang lepas mengenai poco-poco untuk bacaan semua. Page artikel tersebut terpaksa saya hazafkan atas sebab-sebab tertentu.

Artikel poco-poco pada tarikh 14/07/2010 :

Assalamualaikum,ustaz...

Kilang tempat saya bekerja menganjurkan aktiviti tarian poco-poco setiap pagi sebelum masuk bekerja sebagai satu bentuk riadah ataupun senaman.Di sini timbul kemusykilan.

Poco poco tersebut dilakukan bersama sama lelaki dan perempuan(campur)dan disertai oleh orang islam dan bukan islam.Guru tersebut juga adalah perempuan dan semua termasuk lelaki juga terpaksa belajar dengannya atas suruhan pihak atasan.Pergerakkan poco poco tersebut mengkehendaki seseorang untuk 'berlenggok-lenggok' dan bergoyang-goyang' dalam aksi yang hanya sesuai di lakukan oleh perempuan sahaja.

  1. Adakah Poco poco itu HARAM?

  2. Apakah hukumnya menari bersama-sama lelaki dan perempuan?

  3. Adakah Islam membolehkan wanita menari poco poco secara berasingan dengan lelaki?

  4. Apakakah hukumnya lelaki melakukan poco-poco kerana pergerakkan tersebut menyerupai perempuan(gerakan lembut).

Jawapannya :

Maksud senam robik atau poco-poco ini adalah bersenaman dengan mengikut rentak lagu. Poco-poco berasal dari lagu yang diberikan tajuk poco-poco diterbitkan di Indonesia. Tetapi ada orang berpendapat bahawa poco-poco ini berasal dari penganut Kristian Filipina yang melaksanakan tarian ini setiap kali mereka menghadiri upacara keagamaan pada setiap minggu di gereja. Tiadak kisah ia berasal dari negara mana, kerana rentak dan teknik tariannya adalah sama kalau dilihat di mana-mana negara.

Senaman poco-poco ini juga boleh dikategorikan sebagai hiburan yang mempunyai unsur kesihatan. Menurut Imam Al-Ghazali juga telah menyatakan bahawa hiburan ini termasuk dalam apa yang diistilahkan sebagai al-lahwu dan menjelaskan hukumnya adalah harus bagi Muslim untuk berhibur dengan syarat tidak berlebih-lebihan.

Sebelum saya menghuraikan hukum poco-poco mengikut pandangan saya yang tidak seberapa, ini bertujuan untuk mengeluarkan sahabat-sahabat semua dari dibelenggu dengan masalah status halal atau haramnya. Saya berpendapat bahawa senaman poco-poco ini seolahnya seperti sebuah tarian yang diiringi dengan rentak lagu yang dipasang.

Saya datangkan dahulu hukum tarian dalam Islam menurut pendapat Dr. Yusuf Qoradhawi dalam kitabnya yang bernama Fatwa Muasarah :

  1. Tidak bertentangan dengan adab Islam dan ajarannya. Tarian yang menamppakkan aurat, yang membawa kepada kelalaian, adanya ikhtilat jelas keharamannya. Karena bertentangan dengan perintah Allah Swt.

  2. Memperhatikan bentuk tariannya. Tarian yang membangkitkan syahwat juga dilarang dalam Islam.

  3. Tidak boleh mengiringinya dengan sesuatu yang haram. Seperti meminum khamar, memperlihatkan aurat, memanggil jin dll. Apabila sudah dicampur dengan sesuatu yang haram maka tarian itupun jadi haram.

  4. Tidak melampaui batas dan berlebih-lebihan. Segala yang melampaui batas dan berlebih-lebihan dilarang didalam Islam.

  5. Berkenaan dengan yang melihat dan mendengarkan. Setiap orang yang melihat tarian ataupun mendengarkan lagu-lagu sehingga membangkitkan syahwatnya, menimbulkan fitnah dan menghilangkan akal sehat wajib dijauhinya.


Saya datangkan juga garis panduan tarian yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertarikh 14 Januari 2009 (Klik Di sini) sebagai rujukan masyarakat Islam Malaysia seperti berikut :

  1. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

  2. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

  3. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

  4. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

  5. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.


Analisis Saya

Berdasarkan kedua-dua pendapat di atas, saya berpendapat bahawa senaman atau tarian poco-poco itu adalah harus berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Islam seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, tidak membuka aurat, tarian yang tidak boleh membangkitkan nafsu, tidak menimbulkan fitnah, tidak melalaikan, tidak memasang lagu yang melalaikan dan tidak ada unsur pemujaan sepertimana dinyatakan dalam 2 pendapat di atas.

Realiti yang berlaku dikebanyakkan tempat dalam negara Malaysia melaksanakan tarian poco-poco ini bercampur antara lelaki dan perempuan, dilaksanakan di tempat yang terbuka, perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, memasang lagu yang ada unsur-unsur keterlaluan dan melalaikan. Jika Keadaan seperti ini berlaku, maka saya lebih cenderung berpendapat haram kerana ia melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam Islam sepertimana dinyatakan di atas.

Tidak menjadi masalah kalau tarian poco-poco ini diasingkan antara lelaki dan perempuan ditempat yang berbeza. Tarian poco-poco perempuan dibuat ditempat yang tertutup dan jauh dari pandangan lelaki, tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau seksi dan dipasang dengan lagu yang mempunyai unsur yang baik. Di sini tiada apa yang dapat dipertikaikan lagi dan Islam juga tidak menghalang umatnya berhibur, tetapi biarlah hiburan itu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak.

Lelaki menyertai tarian poco-poco menyerupai perempuan? Menurut pendapat saya tiada asas pandangan ini, kerana ia tidak disertakan dengan fakta yang jelas. Tarian poco-poco adalah bertujuan untuk bersukan dan menyihatkan badan dan tiada fakta yang mengatakan bahawa tarian poco-poco ini meniru atau hanya untuk perempuan sahaja. Sepertimana saya jelaskan di atas, kalau tidak bercampur lelaki dan perempuan dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Islam, maka harus bagi lelaki menyertai tarian tersebut.

Tarian poco-poco berasal dari agama kristian? Saya berpendapat bahawa tarian poco-poco ini yang dilaksanakan di Malaysia tidak pula menampakkan unsur-unsur keagamaan dan tiada pula setiap pergerakkannya berlambang kristian seperti yang didakwa oleh sesetengah blog dan artikel. Saya juga berpendapat bahawa tarian poco-poco ini tidak mengamalkan budaya agama mereka. Hujah saya yang mengatakan seperti ini ialah tarian tersebut tidak menjejaskan akidah umat Islam, dan tidak mensyirikkan Allah. Jauh sangatlah kalau dikatakan tarian poco-poco ini mengikut agama kristian.

Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak membangkang pendapat orang yang mengatakan haram disebabkan poco-poco ini mengikut budaya kristian atau sebagainya, kerana mereka juga mempunyai hujah. Segala hujah saya di sini bukan menyokong tarian poco-poco ataupun menidakkan tarian poco-poco! kalau anda semua mempunyai hujah berdasarkan pendapat-pendapat ulamak, maka teruskan dengan hujah anda semua. Artikel saya ini bukan fatwa, tetapi ini sekadar pendapat saya sahaja berdasarkan ilmu yang lemah dan saya tidak layak mengeluarkan fatwa.

Ilmu Fardu Ain Bukan Sekadar Silibus Sekolah


Ilmu adalah lawan kepada kejahilan. Dengan memiliki ilmu di dada, ia akan mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan juga masyarakat. Masyarakat terutama remaja yang merupakan pewaris generasi al-quran hari ini perlu keluar dari kepompong kejahilan kerana status orang yang jahil adalah hina di sisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud,"katakanlah: Adakah sama antara orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan?(tentu tidak) Hanya yang menerima peringatan ialah orang-orang yang berakal."

Jika kita merasakan diri termasuk dalam golongan yang jahil, kita perlu lakukan sesuatu supaya tidak terus-menerus berada dalam kejahilan sepanjang hayat. Setiap orang layak memilih jalan keluar dan jangan sesekali membawa status jahil itu sehingga kita mati kelak sedangkan peluang untuk menuntut ilmu terbuka luas dan tiada had sempadannya. Tiada alasan untuk kita mengatakan kita tidak tahu dan tidak pernah diberitahu akan sesuatu perkara kerana Allah memberi kita akal untuk berfikir. Apakah sepanjang hidup kita ini akan tetap berpegang pada sesuatu yang salah tanpa memperbetulkannya?

Menuntut ilmu

Untuk menghindarkan diri daripada terus berada dalam kejahilan, kita hendaklah menuntut ilmu agama. Ilmu agama ini menjadi syarat kepada penerimaan ibadat kita kepada Allah. Ia terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardu ain amat perlu ditekankan dalam diri setiap bergelar Muslim kerana ia adalah perkara yang wajib dilaksanakan malah berdosa sekiranya ditinggalkan. Ia meliputi soal aqidah, tauhid, ibadat fardu dan juga akhlak diri.

Tetapi, kita juga perlu tahu, ilmu fardu kifayah wajib dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam bagi menjaga kepentingan umat Islam yang lain sekiranya tidak ada yang melaksanakannya. Jika tiada orang yang sanggup melakukan perkara fardu kifayah tersebut, hukumnya jatuh kepada perkara fardu ain dan jika masih tiada yang mampu menyelesaikannya, semua masyarakat akan menanggung berdosa.

Fardu Ain Diajar Sejak Kecil

Suatu ketika dahulu, waktu kita di bangku sekolah, setiap minggu akan diadakan kelas fardu ain bagi melatih dan mengajar kanak-kanak seawal tujuh tahun mengenal perkara-perkara yang termasuk dalam kategori ilmu fardu ain. Begitu juga kanak-kanak dan remaja hari ini. Bukannya mereka tidak mengikuti kelas fardu ain tersebut tetapi yang hairannya mengapa apabila ditanya , mereka seolah-olah tergagap-gagap untuk memberitahunya dan terkial-kial untuk melakukannya. Sedangkan ilmu fardu ain menjadi asas dalam kehidupan kita dan sudah diajar sejak dari sekolah rendah lagi. Malahan, ramai juga yang cemerlang dalam ujian dan peperiksaan tetapi gagal untuk mengamalkannya. Itulah silapnya.

Apabila meningkat dewasa, langsung ilmu fardu ain diambil mudah dan ada yang ditinggalkan kerana menganggap ianya tidak relevan dalam kehidupan yang sentiasa 'up to date'. Tetapi akan dibeleknya semula buku-buku fardu ain lama itu, contohnya apabila ingin berkahwin. Kerana pada masa itu ia amat diperlukan untuk memastikan majlis berjalan lancar dan berjaya melepasi sebuah fasa baru dalam kehidupan.

Fardu Ain Berkait Dengan Hukum

Sedarkah kita, tanpa mengetahui perkara fardu ain, setiap amalan dan perlaksanaan berkaitan fardu yang kita lakukan tidak akan sempurna. Ini kerana, perlaksanaannya melibatkan hukum sama ada sah atau batal dan haram atau halal. Kita perlu tahu, kewajipan mempelajari ilmu fardu ain adalah semata-mata untuk memastikan amalan kita tidak sia-sia tetapi diterima oleh Allah untuk diberi ganjaran. Alangkah ruginya jika kita menunaikan solat tetapi wuduk tidak sempurna ataupun aurat terbuka sehingga menyebabkan solat kita tidak sah.

Apabila amal ibadat kita tidak diterima oleh Allah SWT, hati akan menjadi keras dan mati. Perkara dosa dan pahala sudah tidak diambil kisah malah tidak dapat merasakan dosa yang dilakukan adalah satu kesalahan sehinggalah pintu hatinya tertutup. Status jahil yang dipegang akan menyebabkan kita tidak tahu bagaimana ingin menjunjung perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangannya. Seolah-olah keliru yang mana satu suruhan dan juga larangan. Akhirnya semua bercampur baur.

Ketahuilah, apabila kita tiada ilmu fardu ain, hidup kita tidak akan diredai dan dirahmati oleh Allah SWT. Tidak hairanlah jika jiwa kita berasa tidak tenteram dan mudah terikut untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT kerana diri sudah berada jauh dari-Nya. Bagi yang bergelar ibu dan bapa, menuntut ilmu fardu ain bukanlah untuk kepentingan diri sendiri sahaja dan bukanlah untuk ditunggu hari tua untuk belajar tetapi wajib kepada anak-anak yang berada dibawah tanggungan. Mereka juga perlu belajar untuk menjadi seorang Muslim yang tahu berkaitan hukum-hakam, perintah dan larangan Allah SWT.

Sumber : Portal I Love Islam

Sunday, March 27, 2011

Sudah-sudah Laaa Dengan Berita Tidak Jelas Fakta




Sejak kebelakangan ini, hampir kesemua surat khabar harian dan media elektronik diaibkan dengan berita-berita politik yang menyebelahi sebelah pihak dan tidak telus dalam menyampaikan berita. Hal ini terbukti dengan banyaknya individu menfailkan saman terhadap surat-surat khabar harian atau TV. Artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada tarikh 09 April 2010 yang bertajuk Azlina saman fitnah RM5 juta Berita Harian, Sheila Rusly :

“Seorang usahawan terkemuka, Datuk Azlina Che Abdullah hari ini memfailkan saman RM5 juta terhadap akhbar Berita Harian dan pelakon yang juga bekas rakan kongsi beliau, Sheila Rusly @ Rusli di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung tiga artikel yang dikatakan memfitnahnya.”

Begitu juga dengan kes laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Adun Bukit Payong iaitu Ustaz Mohd Nor Hamzah terhadap artikel yang didakwanya fitnah diterbitkan oleh Berita Harian :

“Pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, yang ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan seorang wanita warga Indonesia dihukum denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Marang semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkhalwat awal pagi Jumaat lalu.”

Mengikut hemat saya, sepatutnya pihak media boleh meneliti dahulu tentang kesahihan berita tersebut dengan berbagai kaedah seperti menghubungi dahulu individu tersebut untuk membuktikan kesahihan berita tersebut ataupun tapis dahulu berita tersebut dari sumber mana diperolehi dan individu yang menyampaikan berita ini adakah ia boleh dipercayai atau tidak. Islam cukup serius dalam hal seperti ini, kerana berita atau artikel yang disebarkan tidak tepat atau tidak sahih, maka ia boleh dikatakan bahawa berita itu adalah fitnah dan perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Firman Allah :

“Dan (ingatlah Bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”


Terbaru berita yang panas yang melibatkan video seks pemimpin tertinggi pembangkang. Sepahaman saya tentang cerita ini, pelakon yang terlibat dalam video tersebut tidak jelas dan gambar video tersebut juga kelabu dan tidak jelas. Kalau ikut dalam hukum Islam, gambar seperti ini sudah lama ditolak dan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tersebut. Itu tidak termasuk saksi yang terlibat dalam penyebaran video tersebut. Ada diantara mereka penah disabitkan dengan kes rogol pelajar sekolah sehingga mengandung, rasuah dan sebagainya. Dalam Islam kalau saksi fasik maka segala hujahnya dan buktinya ditolak walaupun benar. Ada dua pendapat tentang undang-undang syarak dalam masalah ini. Pertama, video tidak boleh disabitkan dengan kesalahan sebab video ini termasuk dalam benda yang ragu dan syubhah sebab dia boleh diedit dan boleh diolah. Kedua, boleh disabitkan kesalahan dengan syarat video itu mesti ditayangkan kepada 4 orang saksi yang tidak fasik dan bertaqwa dan ia terbukti perbuatan itu berlaku, maka boleh dijatuhkan hukuman. Tetapi malangnya kedua-dua pendapat ini satupun tiada dalam kes video lucah tersebut. Kalau tak percaya sila lihat dalam kitab-kitab fiqh bahagian jenayah.

Berita seperti ini sangat memalukan bangsa dan agama, kerana ia boleh menyebabkan orang bukan Islam mengatakan bahawa melayu Islam ini tak habis dengan berita-berita tidak jelas faktanya. Kembalilah kepada Islam yang sebenar kerana Islam sahaja dapat memberikan jawapan yang benar tentang masalah ini.

Saturday, March 26, 2011

Memahami Islam Yang Sebenar


Memberi kesedaran Islam kepada masyarakat, seperti fahaman Islam yang di fahami oleh Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda iaitu Islam sebagai ad-deen merupakan satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu”(Al-Maidah : 3)

Melalui proses tarbiah yang betul, untuk melahirkan mukmin yang serasi dan komited dengan Islam dan bekerja untuk Islam sepanjang hayat. Memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang berlaku kepada generasi awal yang di proses di madrasah Rasululluh S.A.W. Menjadi pejuang dan pembela yang ikhlas dan melahirkan kasih sayang sesama saudara muslim.

Melaksanakan kerja-kerja jihad secara yang berterusan. Jihad adalah satu amalan yang tinggi dan mulia di sisi Allah s.w.t dan amat di tuntut di dalam Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa di atas kerja-kerja jihad dan pengorbanan para mujahidin inilah yang menyebabkan Islam tersebar di seluruh dunia. Oleh itu roh dan semangat jihad perlu di tanamkan di dalam jiwa umat Islam supaya mereka merasai bahawa jihad adalah salah satu tuntutan agama , kerana gugur syahid di dalam perjuangan Islam mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. di akhirat nanti. Jihad yang sesuai dilaksanakan masa kini adalah menyampaikan mesej Islam kepada orang-orang Islam dan bukan Islam.

Marilah sama-sama kita menghayati Islam sebenarnya. Melahirkan akhlak Islam dalam kehidupan kita seharian. Menjaga batas-batas pergaulan dan sentiasa istiqamah dengan tarbiah dan pendidikan Islam. Melahirkan keluaraga-keluarga Islam dan terus menyebarkan dakwah Islam dalam masyarakat. Peganglah prinsip amar makruf nahi mungkar dan saling nasihat menasihati supaya manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Sumber : Ustaz Abd Basyer

Thursday, March 24, 2011

Kursus Pengurusan Jenazah IKM JB

Salam kepada semua, baru-baru ini Unit Pengajian Islam dan kerjasama AJK perlaksanaan Kursus Pengurusan Jenazah (PEJAM) Institut Kemahiran MARA Johor Bahru mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah kepada semua pelajar semester 2 IKM JB.. Alhamdulillah semua aktiviti atau tentetif yang dirancangkan berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dalam kursus tersebut dari mula hingga akhir. Semoga kerja anda semua mendapat ganjaran pahala yang setimpal dari Allah SWT. Di sini saya masukkan gambar-gambar kursus yang dijalankan untuk tontonan semua.











Tuesday, March 22, 2011

Tawassul Umar dengan Al-Abbas


KISAH masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup.

Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: Bahawa Umar ibnu al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA, dengan doanya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Al-Zubair ibnu Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibnu Umar RA berkata: Umar ibnu al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang berterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya.

Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah SAW menghormati bapa saudaranya, Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai Abbas!"

Di antara doa Abbas RA ialah: "Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepada-Mu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepada-Mu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya."

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, "Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain." Umar RA berkata berikutan hal tersebut, "Demi Allah! Dia (Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya.

Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah.

Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka.

Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri daripada kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: "Umat ini telah mendekati-Mu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! Nabi-Mu pada bapa saudaranya." Maksudnya, terimalah doaku kerana Nabi-Mu SAW.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Monday, March 21, 2011

Fakta dan Kesan Merokok


Merokok adalah penyebab utama penyakit dan membawa kepada kematian. Ia bertanggungjawab ke atas 90% barah paru-paru dan beberapa barah lain, 75% penyakit pernafasan, 25% penyakit jantung, komplikasi semasa mengandung dan penyakit pernafasan di kalangan kanak-kanak.

Sesiapa yang merokok lebih 20 batang rokok sehari mempunyai 10-15 kali ganda lebih mudah untuk mendapat serangan jantung kerana merokok merendahkan tahap lipoprotein berkepadatan tinggi (lemak yang baik) dalam darah.

JENIS PEROKOK

  1. Perokok Aktif : Individu yang menyedut asap rokok aliran utama melalui mulut.
  2. Perokok Pasif : Individu yang menghirup asap aliran sisi dan asap alirah utama yang dihembus keluar oleh perokok atau terdedah kepada asap rokok persekitaran.
ANTARA KANDUNGAN KIMIA ROKOK

  1. Aseton (penanggal cat).
  2. Ammonia (pencuci lantai).
  3. Naphthylamine.
  4. Metanol (bahan api).
  5. Naftalena (ubat gegat).
  6. Kadmium (digunakan dalam bateri kereta).
  7. Polonium-201.
  8. Gas monoksida (gas beracun).
  9. Vinil Klorida.
  10. Hidrogen Sianida (racun yang digunakan dalam kebuk gas).
  11. Toluidina.
  12. Uretana.
  13. Toluena.
  14. Arsenik (racun anai-anai).
  15. Dibenzakridine.
  16. Fenol.
  17. Butana.
  18. DDT (racun makhluk perosak).
  19. Nikotin.
  20. Benzopyrine.
  21. Tar
KESAN BAHAN KIMIA TERHADAP KESIHATAN

NIKOTIN

Kesan Awal
  1. Menyempitkan saluran darah.
  2. Meningkatkan kadar denyutan jantung dan membuatkan jantung bekerja lebih kuat.
  3. Meningkatkan jumlah oksigen yang diperlukan oleh jantung.

Kesan Akhir
  1. Ketagihan.
  2. Meningkatkan tekanan darah.
  3. Menyebabkan darah membeku dengan mudah.
  4. Lebih cenderung kepada serangan jantung, strok/ulser usus dan perut.
TAR

Kesan Awal
  1. Nafas berbau.
  2. Gigi menjadi kuning.
  3. Pakaian, rumah, dan tempat kerja berbau asap.

Kesan akhir
  1. Barah paru-paru.
  2. Emfisima (kesukaran bernafas).
  3. Lain-lain penyakit barah
KARBON MONOKSIDA

Kesan awal
  1. Mengurangkan oksigen dalam darah.
  2. Kekurangan oksigen dalam darah, yang menyebabkan nafas menjadi pendek.
  3. Kurang stamina.
  4. Kurang oksigen untuk janin.
Kesan akhir

  1. Meningkatkan peluang mendapat atherosclerosis (mengecilkan dan menyekat saluran darah).
  2. Memusnahkan saluran darah dan membawa kepada penyakit saluran darah, penyakit jantung, dan penyakit paru-paru
ANCAMAN ROKOK TERHADAP ORANG SEKELILING

Wanita
  1. Kelahiran bayi kurang berat badan dan tidak cukup bulan.
  2. Lebih terdedah kepada kanser.
  3. Kurang kesuburan.
  4. Putus haid awal.
  5. Kematian dan keguguran bayi dalam kandungan.
Kanak-kanak
  1. Mudah mendapat penyakit lelah.
  2. Mendapat jangkitan paru-paru.
  3. Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu.
  4. Orang dewasa merokok menjadi contoh yang buruk kepada kanak-kanak.

*****

Jagalah sebaik-baiknya apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Allah cipta elok-elok, bukan untuk dirosakkan, hanya kerana mengikut hawa nafsu


Saturday, March 19, 2011

Darah Istihadah Menurut Penjelasan Ilmu Fiqh


Menurut Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya yang berjudul Asas-asas Fardhu Ain mengatakan bahawa :

“Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari faraj perempuan. Darah ini bukanlah merupakan darah haid atau darah nifas. Ia adalah sejenis darah penyakit. Seseorang perempuan yang ketika didatangi darah istihadhah, wajib berpuasa, bersembahyang dan boleh mengerjakan ibadah lain sama seperti orang lain yang tidak didatangi haid dan nifas.”

Rumusan yang dapat dibuat berdasarkan pendapat di atas, istihadah merupakan darah yang keluar bukan pada masa haid dan nifas. Darah istihadah disifatkan sebagai darah penyakit. Untuk mengetahui darah istihadah ialah darah yang keluar dari rahim perempuan yang melebihi (15 hari dan malamnya) atau kurang (24 jam) dari tempoh haid dan nifas. Dari Aisyah ra berkata :

“Fatimah Binti Abi Hubaisy telah datang menemui Nabi SAW dan berkata : Wahai Rasulullah, aku telah beristihadhah, oleh itu aku tidak suci, maka adakah aku perlu meninggalkan solat? Sabda Rasulullah SAW : Tidak, itu hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Ketika kedatangan haid hendaklah engkau meninggalkan solat, dan apabila kadarnya telah berlalu, maka hendaklah engkau membasuh darah yang berada pada diri engkau dan hendaklah engkau bersolat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Darah ini membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan wanita tersebut mandi hadas dan tidak wajib meninggalkan solat serta puasa. Oleh itu wanita yang keluar darah tersebut hendaklah membasuhnya, mengikat atau membalut tempat keluarnya dan hendaklah berwuduk setiap kali hendak solat fardhu.

Faktor Istihadhah

Wanita yang mengeluarkan darah istihadhah adalah disebabkan kestabilan kesihatan tubuh badan yang terganggu atau stamina tubuh tidak terjamin yang disebabkan oleh kerosakkan organ-organ atau kelenjar-kelenjar yang berada dipersekitaran rahimnya. Kadang kala boleh juga disebabkan oleh gangguan emosi wanita tersebut.

Darah istihadhah ini mengalir secara berterusan dan kadang kala ia berlarutan sehingga beberapa minggu. Jika keadaan sebegini berterusan, maka lebih baik mendapatkan rawatan dan nasihat doktor dengan segera untuk mengetahui apa puncanya.

Ciri-ciri Istihadhah

  1. Wanita umur sembilan tahun yang mengeluarkan darah.

  2. Wanita yang keluar darah melebihi batasan haid sebanyak 15 hari dan malamnya. Atau wanita yang mengeluarkan darah kurang dari 24 jam atau satu hari dan malamnya.

  3. Wanita yang mengeluarkan darah melebihi batasan masa nifas sebanyak 60 hari dan malamnya.

  4. Wanita didatangi darah sebanyak dua kali yang diselangi dengan masa suci kurang dari 15 hari dan malamnya.
Hukum Istihadhah

  1. Tidak wajib mandi ketika ingin mengerjakan solat wajib ataupun sunat pada bila-bila masa. Kecuali satu kali ketika haidnya sudah berhenti.

  2. Orang Istihadhah wajib berwuduk setiap kali hendak mengerjakan solat.

  3. Hendaklah ia membasuh kemaluannya sebelum berwuduk dan kemudian ia menutup kemaluannya dengan sehelai kain atau kapas untuk menahan atau mengurangi najis daripada terus keluar. Jika cara ini tidak berjaya menahan darah istihadhah, maka hendaklah ia menyumbat atau mengikat kemaluannya supaya tidak bocor.

  4. Tidak menjadi halangan bagi suami yang ingin menjimak isterinya ketika istihadhah. Ini merupakan pendapat mejoriti para ulamak, kerana ia tidak mempunyai satu dalilpun yang mengharamkannya.

  5. Hukum wanita istihadhah sama sepertimana wanita yang suci daripada haid dan nifas. wanita istihadhah boleh mengerjakan solat, puasa, tawaf, membaca Al-Quran, menyertuh Al-Quran dan sebagainya.

Wednesday, March 16, 2011

Darah Nifas Mengikut Perbahasan Ilmu Fiqh


Nifas dari segi bahasa ialah beranak, manakala dari segi syarak ialah darah yang keluar selepas beranak. Ia juga dinamakan nifas kerana ia keluar selepas wanita melahirkan anak.

Menurut Muhammad Athiyah Khumais dalam bukunya yang berjudul Fiqih Wanita mengatakan bahawa :

“Nifas atau nufas ialah darah yang keluar dari qubul wanita sesudah bersalin. Seandainya dia bersalin dengan cara pembedahan, iaitu dengan cara membedah perut wanita hamil dan mengeluarkan bayi kandungannya dari bedahan tersebut, maka wanita tersebut tidak mempunyai darah nifas.”

Rumusan yang dapat dibuat, darah nifas adalah darah yang keluar mengiringi anak ketika perempuan melahirkan anak. Darah yang keluar sebelum bersalin bukan dinamakan sebagai nifas. Ada pendapat lain menyatakan bahawa darah nifas itu ialah darah yang keluar selepas selesai melahirkan anak. Dari Ummu Salamah ra berkata :

“Pada masa Rasulullah SAW , perempuan-perempuan yang sedang bernifas tidak melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan ibadah selama empat puluh hari.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Wanita gugur dan janin yang gugur itu sudah mempunyai jari, kaki, rambut dan sebagainya, maka ia sama seperti bayi yang dilahirkan dan mempunyai darah nifas. Jika janin tersebut belum berbentuk seperti lembaga atau manusia seperti segumpal darah atau segumpal daging, maka darah yang keluar selepas gugur itu bertepatan masa haidnya. Jika tidak, ia adalah darah penyakit.

Apabila seorang wanita itu melahirkan anak kembar, maka masa nifasnya adalah semasa kelahiran anak kembar pertama, bukan dari kembar yang kedua. Seandainya jarak kelahiran anak kembar pertama dan kedua itu lama jaraknya, maka nifasnya tetap dihitung dari kelahiran anak kembar yang pertama. Jika anak kembar yang kedua itu lahir lambat sehingga sampai empat puluh hari dari kelahiran anak kembar pertama, maka darah yang turun dari kelahiran kembar kedua itu adalah darah penyakit bukan darah nifas.

Tempoh Masa Keluarnya Nifas

Tempoh masa keluarnya darah nifas mempunyai tiga jenis masa, di antaranya ialah seperti berikut :

  1. Paling sedikit keluarnya darah nifas ialah satu lahzoh iaitu seketika sahaja. Kadang-kadang ia berterusan beberapa hari dan malamnya.

  2. Lazimnya atau kebiasaannya wanita yang didatangi darah nifas ini selama 40 hari dan malamnya.

  3. Paling lama atau maksimum keluarnya darah nifas ialah sebanyak 60 hari dan malamnya.

Jika mempunyai darah yang keluar berterusan atau selepas 60 hari dan malamnya itu dianggap sebagai darah istihadhah. Begitu juga darah nifas yang keluar selama 60 hari dan malamnya dan ia suci tidak sampai 15 hari dan malamnya kemudian keluar pula darah, maka darah yang keluar itu adalah darah haid.

Jika darah nifas keluar secara berselang seli atau secara putus-putus, jika ia keluar secara putus-putus selama kurang dari masa sucinya nifas iaitu 15 hari dan malamnya, maka ia dikira sebagai waktu nifas.

Monday, March 14, 2011

5 Perkara Yang Wajib Disegerakan


Dari Hatim Al-Asam: 'Terburu-buru itu termasuk sifat syaitan, kecuali pada lima tempat', maka ia turut termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW:

PERTAMA,
Pabila rumahmu dikunjungi oleh para tetamu, WAJIBlah kamu sebagai tuan rumah untuk memberi mereka makan.

KEDUA,
Pabila ada berita kematian atau seseorang meninggal dunia, WAJIBlah bagi kamu untuk menyiapkan perkuburan bagi mayat tersebut.

KETIGA,
Pabila seseorang anak gadismu telah cukup umur dan matang, WAJIBlah bagi kamu untuk mengahwinkannya.

KEEMPAT,
Pabila kamu berhutang dengan sesiapa yakni Allah SWT sekalipun, WAJIBlah bagi kamu untuk membayarnya kembali tatkala sampai masanya.

KELIMA,
Pabila pelbagai kesalahan dan dosa telah dilakukan kepada Allah SWT, WAJIBlah bagi dirimu untuk segera bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya.

Sumber : Portal I Love Islam

Saturday, March 12, 2011

Gempa Bumi Dan Tsunami Di Jepun









TOKYO 11 Mac – Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan.

Amaran tsunami dikeluarkan ke seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat.

Menurut polis Jepun, dianggarkan antara 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan perairan Sendai, bandar paling dekat dengan pusat gempa bumi.

Polis berkata, setakat ini 88 orang disahkan terbunuh dan 359 orang masih dilaporkan hilang.

Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan skala bencana alam berkenaan. Orang ramai diberi amaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Siaran televisyen turut memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam sekitar bangunan di Odaiba, pinggir bandar Tokyo dan perkhidmatan kereta api laju ke arah utara terpaksa dihentikan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan bot, kereta dan trak terapung di atas air selepas tsunami kecil melanda bandar Kamaichi yang terletak di utara Jepun.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Gempa bumi ini mengakibatkan kemusnahan besar di bahagian utara Jepun. Kerajaan akan menjalankan semua usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat dan meminimumkan kerosakan,” katanya pada satu sidang media khas.

Agensi berita Kyodo melaporkan, beberapa kebakaran turut berlaku di bandar Sendai, yang menyaksikan ombak besar menghanyutkan kenderaan di landasan lapangan terbang.

Di wilayah Wakayama, 20,000 penduduk diarahkan berpindah selepas amaran tsunami dikeluarkan dan beberapa gegaran susulan melanda.

Menurut wartawan Reuters, Mariko Katsumura, penumpang kereta api bawah tanah menjerit dan memegang tangan penumpang lain. Gegaran yang terlalu kuat membuatkan mereka sukar untuk berdiri.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini mengesahkan gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Pasaran saham Tokyo turut mengalami kerugian selepas gempa bumi itu diumumkan. Menurut bank pusat, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kewangan kembali stabil.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Ulasan Ustaz

Semua bencana yang melanda dunia hari ini adalah dari kehendak Allah tanpa dapat dihalang oleh mana-mana makhluk, Walaupun bangunan dan alat pengesan tsunami itu semakin canggih, tetapi ia tidak dapat menghalang kehendak Allah tersebut. Ini semua berpunca dari tangan manusia itu sendiri yang melakukan kerosakkan di muka bumi ini. Firman Allah yang bermaksud :

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Ar-Ruum : 41)

Marilah kita muhasabah setiap apa yang berlaku, itu semua adalah disebabkan kita melakukan berbagai keburukan dimuka bumi ini sehinggakan bumi ini sangat jelek menanggungnya lagi. Allah turunkan sesuatu bencana itu adalah untuk memberikan pengajaran kepada hambanya dan supaya hambanya ingat kembali kepada Allah dan kekuasaanya.

Kita sebagai rakyat Malaysia sering terlepas dari bencana tersebut, memang dibuktikan oleh sains bahawa negara Malaysia ini terselamat dari gempa bumi dan bencana-bencana alam yang lain. Jangan anggap kita sudah selamat dari itu semua, kerana jika Allah berkehendak bencana di negara ini, maka ia akan berlaku dengan tanpa disedari dan ia akan menyebabkan kemusnahan yang lebih besar dari negara-negara yang sering ditimpa bencana. Jangan sesekali lupa kepada Allah dan melakukan perkara yang dibenci oleh Allah sebab takut nanti Allah murka dan menurunkan bencana yang sangat besar untuk menghapuskan orang-orang yang melakukan kesalahan di muka bumi ini.

Thursday, March 10, 2011

Darah Haid Wanita Mengikut Ilmu Fiqh


Dari segi bahasa haid adalah bermakna As-Saylan yang bererti mengalir. Haid juga sesuai dengan perkataan azayan yang bererti kotoran. Sebagaimana firman Allah SWT :

“Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". (Al-Baqarah : 222)

Kata-kata yang bermaksud dengan haid dan sering digunakan oleh masyarakat Arab ialah darasun, qara’u, thamasyun, mahidhun dan banyak lagi. Menurut ahli fikah mengatakan bahawa :

“Haid adalah suatu darah yang keluar dari rahim perempuan melalui farajnya pada masa tertentu dan dalam keadaan sihat jasmaninya.”

Menurut Abu Mazaayal Husnaa dalam bukunya yang berjudul Wanita Dan Darah mengatakan bahawa :

“Haid adalah suatu tabiat semulajadi yang mesti dialami oleh semua wanita. Pada umumnya perempuan itu mengalami haid sebulan sekali sehingga juga sering disebut datang bulan.”

Menurut Muhammad Isa Selamat MA dalam bukunya yang berjudul Mandi Hadas yang mengatakan bahawa :

“darah haid iaitu darah yang keluar dari rahim perempuan yang sihat, yang tidak ada sesuatu sebab. Menurut biasanya perempuan didatangi haid itu, apabila ia meningkat umur 9 tahun, biasanya waktu berumur 12 tahun. Lama haid sekurang-kurangnya sehari semalam, menurut biasanya ialah tujuh hari tujuh malam. Apabila lebih dari 15 hari. Maka itu bukanlah dari haid lagi tetapi adalah darah istihadhah (darah penyakit).”

Rumusan yang dapat diambil dari keterangan dan pendapat diatas, haid ialah darah kotor yang keluar dari kemaluan perempuan (faraj) yang berumur sembilan tahun ke atas. Darah haid keluar dalam keadaan sihat anggota badan perempuan secara tabiat dan masa yang tertentu. Darah haid biasanya bewarna merah, tetapi jika dalam masa haid keluar darah lain dari warna merah juga dikira sebagai haid.


Usia Keluarnya Haid

Umur wanita yang didatangi haid sekurang-kurangnya sembilan tahun ke atas. Maksudnya tidak ada wanita yang didatangi haid bawah dari Sembilan tahun. Jika ada wanita yang keluar darah dari farajnya bawah daripada umur sembilan tahun, maka ia tidak dikira sebagai haid. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :
  1. Dari Aisyah ra yang mengatakan bahawa : “Apabila kanak-kanak perempuan sudah berumur Sembilan tahun bererti dia sudah termasuk wanita yang baliqh.”

  2. Wanita belum bersedia untuk hamil dan belum sanggup untuk mendidik anak-anak mereka jika kurang dari sembilan tahun.

Usia Putus Haid

Batasan usia wanita yang berhenti atau putus haid mempunyai dua pendapat. Di antaranya ialah :
  1. Menurut jumhur ulamak wanita yang putus haid itu mempunyai batasa iaitu umur wanita tersebut 60 tahun. Wanita yang berumur 60 tahun masih keluar darah dari kemaluannya lagi, maka itu tidak dinamakan sebagai darah haid dan darah itu adalah darah istihadhah.

  2. Ada sebahagian ulamak berpendapat bahawa tiada batasan haid bagi wanita. Darah haid mungkin akan berterusan hingga akhir hayat mereka.
Kesimpulannya, batasan haid bagi wanita adalah diantara umur 60 tahun, ini berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan para ulamak yang terdahulu seperti Imam Syafie. Lazimnya juga kebanyakkan wanita putus haid diantara umur tersebut.


Dasar Islam Tentang Haid

Dasarnya adanya hukum wanita yang didatangi haid ini diambil dari firman Allah SWT yang berbunyi :

“Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda Yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan Yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

Sebab turunnya ayat ini, banyak sahabat yang menanyakan tentang apa yang boleh mereka lakukan terhadap isteri mereka ketika sedang haid. Pertanyaan ini adalah disebabkan orang-orang Yahudi mengasingkan atau mengeluarkan isteri mereka yang sedang haid dari rumah. Isteri mereka juga tidak dibenarkan makan dan tidur bersama mereka. Dari hal ini Rasulullah SAW bersabda :

“Perlakukanlah apa sahaja terhadap isteri-isteri kamu selain jimak.” (Riwayat Muslim)

Lagi Sabda Rasulullah SAW :

“Haid itu merupakan suatu ketetapan Allah terhadap perempuan keturunan anak Adam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jelas di sini, bahawa wanita yang didatangi haid, boleh melakukan apa sahaja. Seperti makan bersama suaminya, tidur bersama, bekerja bersama dan sebagainya. Dibolehkan si suami bermesra bersama isterinya yang sedang dalam keadaan haid dengan syarat tidak menyentuh di antara pusat hingga lutut. Daripada Abdullah Bin Saad ra berkata :

“Dia telah bertanya Rasulullah SAW : Apakah yang dibenarkan aku lakukan terhadap isteriku ketika ia dalam keadaan haid. Jawab Rasulullah SAW bagi kamu yang di atas daripada kain sarung (antara pusat dan lutut).” (Riwayat Abu Daud)


Tempoh Masa Wanita Mengeluarkan Haid

Ulamak Fikah telah menetapkan lamanya wanita mengeluarkan darah haid ialah seperti berikut :
  1. Masa keluarnya haid adalah selama 24 jam atau satu lahzoh (seketika), bermaksud selama satu hari dan malamnya. Bagi wanita yang keluar darah tidak sampai 24 jam, maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan ia dikira sebagai darah istihadhah atau darah penyakit.

  2. Lazim atau kebiasaan bagi wanita yang didatangi haid adalah sebanyak 6 atau 7 hari dan malamnya.

  3. Masa paling panjang bagi wanita yang didatangi darah haid adalah selama 15 hari dan malamnya.

Masa Suci Daripada Haid

Sekurang-kurangnya waktu suci ialah 15 hari beserta malamnya. Darah haid juga tidak ada had tertentu bagi tempoh panjangnya. Ini kerana kadang-kadang seorang wanita tidak didatangi haid dalam tempoh setahun atau dua tahun bahkan ada yang beberapa tahun. Dari Ummu Salamah ra berkata :

“Dia meminta fatwa kepada Rasulullah SAW mengenai seorang perempuan yang selalu mengeluarkan darah. Nabi SAW bersabda : Hendaklah perempuan itu mengenalpasti terlebih dahulu bilangan malam dan siang selama haid serta kadar hari-harinya pada setiap bulan. Setelah mengetahui waktu haid dan kadarnya itu, maka hendaklah dia menghentikan solat pada waktu-waktu tersebut. sesydah waktu haid itu berakhir, dia dikehendaki menampal kemaluannya dengan sehelai kain, lalu kerjakanlah solat.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Namun jika wanita tersebut tidak mampunyai kebiasaan yang tetap, dia dikehendaki memperhatikan tanda-tanda darah yang membolehkannya mampu membezakan antara darah haid dengan darah biasa.

Seorang wanita dapat mengetahui dirinya suci ataupun tidak dari darah haid, maka ia boleh memasukkan kapas di dalam farajnya. Jika cecair basah yang melekat dikapas tersebut berwarna putih jernih dan tidak terdapat warna darah haid. Maka ia sudah dianggap suci dan wanita tersebut boleh mandi hadas. Tetapi kalau dikapas itu masih melekat warna darah yang cair walaupun sedikit sekalipun, maka ia dianggap masih tidak suci lagi. Dari Aisyah ra berkata :

“Sekumpulan kaum wanita mengirimkan dirjah kepada Aisyah yang berisikan kapas, yang di dalamnya didapati sesuatu yang berwarna kuning. Melihat itu, Aisyah berkata : Jangan kamu tergesa-gesa untuk mengerjakan solat hingga kamu melihat warna kapas itu putih bersih.”

Warna kuning atau warna keruh itu dikatakan sebagai darah haid apabila keluar pada hari-hari di mana seseorang wanita itu biasanya haid. Tetapi jika keluar darah selain dari waktu kebiasaan haid, maka ia tidak dianggap sebagai darah haid. Dari Ummu Athiyah ra berkata :

“Kami tidak menganggap warna kuning atau warna keruh itu sebagai darah haid setelah bersuci.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Bukhari)

Sifat, Bau Dan Warna Darah Haid

Sifat Darah Haid

Wanita yang didatangi haid kadang kalanya ia berasa agak panas atau hangat. Adakalanya juga darah yang keluar itu tidak disedari oleh wanita. Contohnya seperti orang sakit buasir sewaktu mengeluarkan air kencing tanpa disedari olehnya.

Bau Darah Haid

Darah yang keluar dari faraj wanita kadangkalanya ia berbau agak busuk, ada darah haid yang berbau seperti darah biasa dan ada juga darah haid yang tidak berbau sama sekali.

Warna Darah Haid

Darah yang keluar dari faraj wanita itu mempunyai lima jenis, di antaranya ialah darah bewarna hitam, warna merah, warna kelabu, warna kuning tua, warna coklat dan warna kuning keputihan. Peringkat keluarnya darah haid itu ialah seperti :
  1. Darah bewarna hitam keluar dari faraj wanita yang berbau busuk dan keluarnya agak panas.

  2. Darah bewarna merah yang keluar dari faraj wanita, ia berbau busuk dan keluarnya agak panas.

  3. Darah bewarna kelabu yang keluar dari faraj wanita, ia berbau dan keluarnya agak panas.

  4. Darah kuning tua atau coklat yang keluar dari faraj wanita, ia berbau dan terasa agak panas.

  5. Warna kuning cair atau kuning keputihan, darah seperti ini keluar kebiasaannya tidak begitu terasa dan tak berbau sangat. Darah seperti ini adalah darah dipenghujung haid.

Hikmah Keluarnya Haid

  1. Melatih kaum wanita agar terbiasa membersihkan kotoran dan berbagai najis. Sehingga nantinya tidak merasa jijik membersih najis anak atau membersih najis suami yang uzur.

  2. Sebagai tanda wanita tersebut sudah baligh. Dia perlu dibataskan pergaulannya bersama lelaki yang ajnabi dan ia juga telah diletakkan ketetapan hukum dari Allah.

  3. Sebagai tanda habisnya iddah bagi wanita yang diceraikan oleh suaminya. Hal ini bertujuan untuk memastikan rahim wanita tersebut bersih dari benih bekas suaminya yang terdahulu.

  4. Suami dan isteri akan dapat mengekalkan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Hal ini disebabkan haram bagi suami menyetubuhi isterinya selama ia didatangi haid.

Aturan Menqadha Solat Selepas Haid

Haid Pada Awal Waktu Solat

Wanita yang didatangi darah haid pada masa waktu solat telah masuk dan wanita tersebut belum melakukan solat waktu tersebut, maka ia wajib menggqadha solat yang telah ditinggalkannya itu kerana haid. Daripada Abi Mas’ud ra berkata :

“Rasulullah SAW bersabda : Sebaik-baik amal itu adalah mengerjakan solat pada awal waktunya.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Hakim)

Cara mengqadha solat adalah setelah dipastikan tiada darah lagi yang keluar atau pasti keluarnya cecair putih jernih yang tiada mengandungi sebarang warna darah. Maka ia diwajibkan mandi dan terus mengqadhakan solat yang telah ditinggalkan ketika waktu datangnya haid yang pertama dahulu.

Bercumbu Dengan Isteri Haid

Seorang suami boleh mencium atau meraba isterinya yang sedang haid kecuali faraj isterinya sahaja. Suami boleh meraba atau mencium isterinya sama ada wajahnya, lehernya, dadanya, pusatnya dan juga pahanya. Tetapi suami tidak boleh meraba atau menyentuh kemaluan isterinya. Haram sama sekali bagi suami yang meliwat isterinya dari jalan dubur kerana isterinya didatangi haid. Maimunah isteri Rasulullah SAW berkata :

“Rasulullah SAW mencumbui isteri-isterinya selain yang di bawah kain sarung, sewaktu mereka dalam haid.”

Suami yang ingin mencumbui tubuh isterinya yang sedang haid di antara pusat hingga lututnya. Itu pun disyaratkan wanita itu memakai kain sarung. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan suami menyetubuhi isterinya. Dari Ikrimah yang mendengar sebahagian isteri-isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa :

“Adalah Rasulullah jika mengigingkan sesuatu dari tubuh isterinya yang haid, baginda menutup kemaluan isterinya dengan kain.” (Riwayat Abu Daud)

Makan Ubat Supaya Datang Haid

Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang mendatangkan haid dengan syarat bukan sebagai helah untuk meninggalkan ibadah seperti tidak solat dan berbuka pada bulan Ramadhan. Mendapat izin suami kerana sengaja mendatangkan haid akan menggugurkan hak suami dari dua sudut, pertamanya ialah menghalangnya daripada bersetubuh dengan isterinya. Keduanya menghalangnya untuk merujuk semula dalam kes penceraian, iaitu isteri sengaja mendatangkan haid supaya tempoh iddah berlalu dengan cepat sehingga seandainya suami ingin merujuk semula, dia tidak sempat untuk berbuat demikian.

Menghalang Atau Menunda Haid

Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang menegah haid dengan dua syarat tidak berlaku mudarat ke atas dirinya. Jika mengakibatkan mudarat maka ia diharamkan berdasarkan firman Allah yang berbunyi :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah : 195)

Boleh bagi wanita yang memakan ubat untuk menghalang keluarnya darah haid dengan tujuan supaya ia dapat menghabiskan puasa Ramadhannya, boleh mengerjakan segala amalan haji dan sebagainya. Tetapi, sekiranya darah masih keluar, maka ia tetap dikira sebagai darah haid.

Membasuh Kain Yang Terkena Darah Haid

Pakaian yang terkena darah haid, hendaklah dikikis dahulu darah tersebut sebelum dicuci. Setelah dikikis hendaklah dibasuh seperti membasuh najis biasa. Dari Asma Binti Abu Bakar ra berkata :

“Seorang wanita bertanya kepada Rasulullah SAW katanya : Ya Rasulullah, Bagaimana caranya apabila pakaian kami kena darah haid? Apakah yang mesti kami perbuat? Rasulullah SAW menjawab : Apabila pakaian kena darah haid, kikislah darah itu kemudian bersihkan dengan air. Setelah itu anda solat memakai kain itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Monday, March 7, 2011

Istinjak Atau Membersihkan Kemaluan Cara Islam


Maksud Istinjak

Istinjak dari segi bahasa ialah putus. Manakala dari segi syarak pula ialah menghilangkan najis daripada kemaluan dengan menggunakan air, batu, atau kedua-duanya, atau sesuatu yang dibolehkan syara’ untuk bersuci.

Menurut Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji dalam kitab mereka Fikah Al-Manhaji Mazhab Syafie mengatakan bahawa :

“Istinjak ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar kencing atau air besar. Perkataan istinjak diambil daripada perkataan an-naja’ iaitu selamat dan terhindar daripada penyakit atau diambil daripada perkataan an-najwah iaitu tanah yang tinggi atau daripada perkataan an-najw iaitu sesuatu yang keluar daripada dubur. Ia dinamakan dengan istinjak di sisi syarak kerana orang yang beristinjak berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya ia dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah yang tinggi dan seumpamanya.”

Rumusan dari pendapat di atas mengatakan bahawa istinjak ialah menghilangkan najis ringan atau berat dari tempat keluarnya najis (khubul dan dubur) dengan menggunakan air, batu, kulit kayu atau benda-benda kesat. Tujuan istinjak adalah untuk membolehkan solat atau ibadah lain. Istinjak adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam, sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Istinjak

Wajib istinjak dengan air atau dengan batu atau suatu yang keras dan suci dan kesat serta tidak dihormati. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa bagi sesiapa yang meninggalkan istinjak dengan sengaja kerana orang tersebut berada didalam kekotoran.

Rukun Istinjak

  1. Islam.

  2. Alat untuk istinjak, seperti air, batu, kertas atau seumpamanya.

  3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.

  4. Istinjakkan itu membersihkan sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubur atau dubur.

Syarat Istinjak

  1. Menghapuskan rasa najis.

  2. Menghapuskan bau najis.

  3. Menghapuskan warna najis.

Cara Istinjak

  1. Istinjak mestilah 3 kali berturut-turut, jika masih belum suci, boleh diulang lagi basuhan sehingga suci.

  2. Alat dibuat istinjak mestilah melingkupi tempat yang disapu.

  3. Beristinjak mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar dari kemaluan manusia.
Istinjak Dengan Batu

Menggunakan satu batu besar atau tiga ketul batu, sapukan kepada tempat keluarnya najis iaitu qubur. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air. Hadis Rasulullah SAW :

“Dikatakan kepada Salman ra : Sesungguhnya Nabi kamu SAW telah mengajar kamu semua perkara termasuk cara membuang air. Lalu dikata : Benar, sesungguhnya baginda melarang kami mengadap kearah kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang kami beristinjak menggunakan tangan kanan atau istinjak menggunakan kurang dari tiga biji batu atau beristinjak dengan najis atau tulang.” (Riwayat Muslim)

Afdhal beristinjak dahulu dengan tiga biji batu atau tiga bahagian pada satu buji batu yang besar sehingga diyakini bersih, maka dibasuh pula dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih pada bahagian kemaluan yang terkena najis tersebut.

Disunatkan setiap bilangan penyucian itu diganjilkan bilangannya seperti 3, 5, 7, 9 dan seterusnya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa beristinjak dengan batu, maka hendaklah ia ganjilkan bilangannya. Sesiapa yang memperbuat begitu maka sesungguhnya itulah yang lebih baik, tetapi sesiapa yang tidak berbuat begitu maka tidaklah ia berdosa" (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Cara Isntinjak Dengan Batu

  1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan kemaluan yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.

  2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan kemaluan kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.

  3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.

  4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.

  5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.

Syarat Istinjak Dengan Batu

  1. Najis tersebut tidak terkena tempat lain.

  2. Bagi membuang air besar hendaklah najis tersebut berlemak-lemak, tidak cair atau lembik.

  3. Hendaklah najis itu tidak terkena najis lain ke atasnya. Kalau ia terkena najis lain, maka ia wajib beristinjak dengan menggunakan air mutlak.

  4. Sekurang-kurangnya menggunakan tiga biji batu atau tiga bahagian dari sebiji batu besar. Jika tiga batu masih tiada menyucikan hendaklah ditambah lagi hingga diyakini suci.

  5. Haram beristinjak menggunakan tulang dan najis yang menjadi keras. Begitulah juga haram beristinjak dengan sesuatu yang tertulis perkataan yang dimuliakan seperti ayat Al-Quran, Hadis, ilmu yang bermanfaat, nama-nama nabi-nabi, malaikat dan alim ulamak.

Istinjak Dengan Air Mutlak

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Beristinjak menggunakan air samalah juga dengan menggunakan batu iaitu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa, zat dan warnanya.”

Untuk memastikan bersih atau tidak qubul atau dubur, maka boleh dirasakan dengan tangan sendiri, jika ia berasa kesat dan tidak berlendir, maka ia telah dikira bersih dan suci qubul atau dubur. Air merupakan alat yang terbaik untuk beristinjak, kerana air dapat menghilangkan ain, rasa, bau dan warnanya sekali.

Cara Istinjak Dengan Air Mutlak

  1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.

  2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.

  3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.

  4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.

  5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.

  6. Sunat selepas istinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.

  7. Sunat ketika istinjak membaca doa.

  8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.

  9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.

Setelah selesai beristinjak dengan menggunakan air mutlak, batu atau benda-benda kesat, maka disunatkan membaca doa :

“Ya Allah, bersihkan hatiku daripada sifat munafik dan peliharalah kemaluanku daripada kejelekkan (kekotoran).”

Adab Beristinjak

Di sini terdapat etika yang dituntut ke atas setiap muslim supaya melakukannya ketika qada hajat dan beristinjak. Di antara etikanya ialah :

Tempat Menunaikan Hajat

  1. Jalan orang ramai atau tempat mereka duduk atau berkumpul kerana ia boleh menyakitkan mereka. Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat. Para sahabat bertanya : Apakah dua perkara tersebut? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang membuang air besar (menunaikan hajatnya) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh.” (Riwayat Muslim)

  2. Dalam lubang pada tanah atau pada dinding dan seumpamanya kerana ia akan menghasilkan perkara-perkara yang menyakitkan. Kemungkinan di dalam lubang tersebut terdapat binatang yang berbisa seperti kala jengking atau ular lalu ia keluar dan menyakitkannya. Kadang-kadang terdapat di dalamnya haiwan yang lemah, maka ia boleh menyakitkan binatang tersebut. Daripada Abdullah Bin Sarjis bahawa ia berkata : “Rasulullah SAW melarang daripada kencing di dalam lubang iaitu lubang tanah.” (Riwayat Abu Daud)

  3. Di bawah pokok yang berbuah bagi memelihara buah tersebut daripada tercemar ketika luruhnya sama ada buah tersebut dimakan atau diambil manfaat dengannya. Ini supaya perasaan seseorang tidak merasa jijik.

  4. Air yang tenang/bertakung. Ini kerana jiwa manusia akan merasa jijik dengan air tersebut sekalipun air itu banyak dan najis tersebut tidak merubah rasa, bau atau warnanya. Atau pun air itu akan dibuang begitu sahaja jika najis itu mengubahnya. Larangan ini juga termasuk pada air yang kurang dari 2 kolah. Daripada Jabir ra daripada Nabi SAW bersabda : “Baginda SAW melarang kencing dalam air (bertakung) tenang” (Riwayat Muslim)

Masuk Dan Keluar Tempat Qada Hajat

  1. Disunatkan kepada orang yang qada hajat supaya melangkah dengan kaki kiri ketika masuk dan dengan kaki kanan ketika keluar. Ini kerana itulah yang lebih layak untuk tempat-tempat kotor dan najis. Dan jangan ia membawa perkataan yang menyebut nama Allah dan juga namaNya yang lain.

  2. Disunatkan juga membaca zikir dan doa-doa yang telah thabit daripada Rasulullah SAW ketika masuk tandas dan keluar daripadanya.

Arah Mengadap

Haram ke atas orang yang qada hajat mengadap kearah kiblat atau membelakangkannya sekiranya ia berada di tempat lapang dan tidak ada pendinding yang tinggi yang menutup auratnya ketika qada hajat.

Begitu juga haram qada hajat di dalam binaan yang tidak disediakan sebagai tempat qada hajat dan tidak mencukupi syarat-syarat pendinding seperti dinding yang tinggi yang menutupi auratnya.

Disyaratkan dinding yang menutupnya itu tidak jauh daripadanya lebih daripada 3 hasta dengan ukuran tangan manusia atau menyamai lebih kurang 150cm. sekiranya binaan tersebut disediakan sebagai tempat qada hajat (tandas) maka janganlah mengadap kiblat atau membelakangkannya. Daripada Abi Ayub Al-Ansari ra. Daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila kamu datang ke tempat qada hajat maka janganlah kamu mengadap kea rah kiblat dan jangan kamu membelakangnya sama ada ketika buang air kecil atau besar, tetapi mengadaplah kea rah timur atau barat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Keadaan Orang Yang Qada Hajat

Dia hendaklah duduk di atas tumit kaki kiri dan mendirikan lutut kaki kanan serta tidak melihat ke langit, kemaluannya dan najis yang keluar daripadanya. Ini kerana perbuatan tersebut adalah tidak layak dengan keadaanya itu. Dan makruh dia bercakap dan lainnya ketika qada hajat. Daripada Ibnu Umar ra berkata :

“Seorang lelaki lalu berdekatan Rasulullah SAW yang sedang membuang air kecil. Lalu dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawab.” (Riwayat Muslim)

Makruh juga perbuatan yang lain seperti makan, minum dan bercakap-cakap ketika sedang melakukan perbuatan qada hajat.

Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri

Orang yang qada hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak dilakukan. Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana makruh menyentuh zakar dengan tangan kanan.

Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan mengerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut. Daripada Abi Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Riwayat Al-Bukhari)


Alat Yang Haram Digunakan Untuk Istinjak

  1. Tidak sah beristinjak dengan menggunakan benda-benda yang najis atau mengandungi najis, kerana ia akan menambahkan lagi kesan najis yang sepatutnya dikurangkan dengan cara beristinjak. Daripada Abdullah Bin Mas’ud ra berkata : “Nabi SAW telah datang ke tempat qada hajat dan menyuruh aku membawa 3 biji batu kepadanya. Aku hanya dapati dua biji batu dan aku cari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Kemudian aku mengambil tahi binatang dan bawa kepadanya, lalu Baginda mengunakan dua biji batu tersebut dan membuang najis itu seraya berkata : Ini adalah najis.” (Riwayat Al-Bukhari)

  2. Haram beristinjak dengan menggunakan makanan yang dimakan oleh anak Adam. Contohnya seperti roti dan lain-lainnya. Haram juga beristinjak dengan menggunakan tulang, kerana ia merupakan makanan jin dan haiwan seperti anjing. Daripada Ibnu Mas’ud ra dari Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Telah datang kepadaku Jin yang memanggil, lalu aku pergi bersamanya dan aku membacakan Al-Quran kepada mereka. Ibnu Mas’ud menceritakan lagi, dan mereka itupun meminta bekalan. Lalu Baginda menjawab : Bagi kamu semua tulang yang disebut di atasnya nama Allah, ia berada di tangan-tangan kamu dalam keadaan daging yang lebih banyak, dan juga tahi-tahi binatang menjadi makanan kepada binatang-binatang kamu.” (Riwayat Muslim)

  3. Haram beristinjak dengan sesuatu benda yang dihormati seperti anggota haiwan yang bersambung dengannya seperti tangan dan kakinya, lebih-lebih lahi anggota manusia kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan kemuliaannya.

Hikmah Istinjak

Melakukan istinjak dapat membersihkan anggota badan supaya anggota badan menjadi sihat dan cergas. Orang yang sihat akan sentiasa ceria dan bersemangat dalam setiap pekerjaannya yang dilakukan. Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri daripada segala penyakit yang disebabkan dari kuman atau kekotoran. Sebab itulah Islam sangat mengambil berat soal kebersihan ini kerana ia mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan.

Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. Kekemasan dan kebersihan adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai umat Islam kita perlu meneladani apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang yang mempunyai kebersihan diri akan sentiasa dihormati oleh orang sekelilingnya. Malah ia juga menjadi model atau contoh kepada masyarakat sekelilingnya. Berbeza dengan orang yang tidak bersih, kerana masyarakat akan memandangnya jijik dan mereka tidak mahu mendekati orang yang tidak bersih. Orang yang tidak bersih ini sering kalinya berada dalam keadaan yang tidak terurus, kotor, busuk dan sebagainya.

Beristinjak atau membersihkan diri daripada najis dapat menghindarkan diri dari berbagai-bagai penyakit yang disebabkan kekotoran najis. Kuman yang disebabkan najis yang dikeluarkan oleh seseorang dapat dihilangkan dengan cara istinjak sehingga bersih. Ini bertujuan untuk mengelakkan diri dari dihinggapi oleh berbagai penyakit. Islam telah meletakkan kaedah istinjak yang paling baik kepada umatnya supaya dapat menjauhkan diri daripada berbagai penyakit.

Friday, March 4, 2011

Pembahagian Najis Dalam Islam


Maksud Najis

Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi. Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat. Menurut Rosli Bin Othman dalam bukunya Al-Mukhtasar Al-Mufid (Ringkasan Hukum Solat dan Taharah) mengatakan bahawa :

“Najis juga boleh diertikan sesuatu benda yang kotor pada pandangan syara yang menghalang sahnya solat dan ibadah-ibadah yang pada maknanya.”

Kesimpulan dari pengertian di atas najis boleh didefinasikan kepada tiap-tiap benda yang kotor dan jijik dan tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat untuk mengerjakan solat. Sebelum melakukan solat, hendaklah terlebih dahulu membersihkan tubuh badannya dan pakaiannya dari segala najis. Firman Allah SWT :

“Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.” (Al-Muddatthir : 4)

Najis Mukhaffafah

Najis Mukhaffafah ialah kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk membersihkan benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa. Ali ra menyatakan bahawa nabi SAW bersabda :

“Air kencing kanak-kanak lelaki memadai direnjis dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh”. (Riwayat Ibnu Majah)

Cara Bersuci

Cara membersihkan najis mukhaffafah ialah dengan cara hilangkan ain najis, setelah itu basuh bahagian yang terkena najis dan dilapkan, kemudian percikkan air di atas tempat yang terkena najis, Akhir sekali lapkan dengan kain bersih sehingga kering.


Tambahan

Pada zaman sekarang, ramai ibu-ibu yang memberikan susu formula kepada anak mereka. Ini semua adalah disebabkan faktor pekerjaan yang membuatkan si ibu tiada kesempatan untuk menyusukan anak mereka, situasi seperti ini akan menyebabkan susu ibu tersebut kering dari payudaranya dan terpaksalah mereka memberikan susu formula kepada anak-anak mereka. Air kencing yang dikeluarkan oleh anak mereka ini tidak dikira sebagai najis mukhaffafah walaupun umur anak mereka tidak sampai dua tahun. Najis anak mereka hendaklah dibasuh sepertimana najis mutawassitah.

Ketika membasuh pakaian di dalam mesin basuh jangan mencampurkan pakaian anak-anak, kerana dikuatiri pakaian mereka mempunyai najis. Apabila pakaian dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai najis dicampurkan akan menyebabkan pakaian dewasa juga mempunyai najis kerana mesin basuh tidak dapat membasuh dengan cara mencucurkan air dari hujung ke pangkal pakaian tersebut. Cara untuk membasuh pakaian ialah dengan cara mengasingkan pakaian dewasa dan kanak-kanak supaya najis yang terlekat dipakaian kanak-kanak tidak terkena kepada pakaian dewasa. Lebih baik lagi setelah dibasuh dengan mesin, hendaklah dicucurkan pula dengan air mutlak ke pakaian tersebut sehingga bersih. Teknik ini lebih baik dan lebih diyakini kebersihannya.


Najis Mutawassitah

Najis Mutawassitah adalah semua najis selain najis mukhaffafah dan mughalladzah. Ini termasuklah tahi, kencing, darah, nanah,muntah, air liur basi, bangkai, arak dan lain-lain. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian seperti :
  1. Najis Ainiah, iaitu najis yang masih wujud ainnya atau kesannya seperti warna, rasa atau bau. Najis ini hendaklah disucikan menurut syara berdasarkan bahagiannya yang akan dinyatakan.

  2. Najis Hukmiah, iaitu najis yang sudah hilang ainnya dan sudah tiada kesannya tetapi belum disucikan menurut syara. Seperti sesuatu yang terkena najis dan kerana kesan panas dan angin kesan najis tersebut telah hilang sehingga tiada warna, rasa dan baunya lagi.

Cara Bersuci

Najis ainiah hendaklah dicuci sehingga tiada lagi sebarang sifat warna, bau dan rasa. Seterusnya hendaklah dialirkan air mutlak sekurang-kurangnya sekali. Daripada Asma ra menyatakan : Telah datang seorang perempuan kepada Nabi saw lalu berkata :

“Apa pandanganmu tentang darah Haid yang terkena pakaian. Nabi saw bersabda: Hilangkan kesan darah tersebut, kemudian gosokkan dengan air, kemudian basuhlah ia, kemudian kamu sembahyanglah dengannya”. (Riwayat Al-Bukhari)

Najis hukmiah memadailah dengan mengalirkan atau Menjirus air mutlak pada tempat yang terkena najis. Memadai juga dengan merenjiskan air ketempat yang mempunyai kesan najis tersebut.

Tambahan

Ada beberapa maklumat tambahan yang perlu diberi perhatian mengenai najis ini, Di antaranya :
  1. Mayat manusia dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah suci. Firman Allah yang berbunyi : “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israk : 70)

  2. Bangkai binatang yang haram dimakan dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah najis. Firman Allah yang berbunyi : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.” (Al-Maidah : 3)

  3. Bangkai binatang yang halal dimakan yang mati secara tidak disembelih menurut sembelihan syara` adalah najis.

  4. Bulu binatang yang halal dimakan adalah suci walaupun bercerai semasa hidupnya.

  5. Bulu binatang yang haram dimakan adalah najis.

  6. Kulit binatang samada yang halal dimakan atau yang haram dimakan, kecuali babi, anjing, anak kacukan keduanya atau salah satu dari keduanya menjadi suci dengan disamak.

  7. Arak yang berubah menjadi cuka adalah suci dan halal dimakan.

Najis Mughallazah

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Najis Munghallazah ialah najis berat iaitu najis babi dan anjing. Segala perkara yang ada hubungannya dengan kedua-dua binatang tersebut seperti tahi, kencing, daging, kulit dan sebaginya dikira najis munghallazah. Ini termasuk juga anak yang lahir salah satu daripadanya.”

Rumusan daripada pendapat di atas mengatakan najis mughallazah ialah anjing dan babi dan keturunan dari keduanya atau salah satu dari keduanya. Firman Allah yang berbunyi :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :

“Cara menyucikan bejana milik salah seorang kamu apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya mestilah menggunakan tanah.” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Al-Baihaqi)

Peringatan, sesiapa yang tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Bersuci
Cara menyucikan najis mughallazah ini, ialah dengan dibasuh tujuh kali. Sekali dengan air tanah (air yang dicampur dengan tanah yang suci). Kemudiaan dibasuh dengan air mutlak sebanyak enam kali ditempat yang terkena najis sehingga hilang ain, bau dan rasanya. Jika tidak hilang najis itu walaupun dibasuh sehingga beberapa kali, maka hendaklah ditambah sehingga hilang kesan najis tersebut.

Tambahan

Sebagai umat Islam perlu berjaga-jaga dengan produk-produk yang diperbuat daripada kulit babi, cara hendak mengetahui produk yang diperbuat daripada kulit babi ini adalah seperti terdapat tompok tompok di dalamnya terkandung titik tiga secara berdekatan. Ini adalah sedikit tips untuk mengesan barangan yang diperbuat daripada kulit babi.

Bagaimana pula orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi? Jawapannya anda jangan menggunakan barang itu lagi, anda perlu menyucikan tempat dan kawasan yang terkena barang tersebut dengan dibasuh 7 kali dan sekali dengan air tanah.

Memadai setiap pembelian dan barang yang dimiliki diyakini bahawa barang tersebut adalah suci dan tidak terlibat dengan unsur najis muqallazah. Elakkan dari mencari dari mana barang ini diprodukkan, dari apa ia diperbuat dan siapa yang membuat. Jika anda mencarinya, dikuatiri anda akan menghadapi masalah atau kesulitan yang besar di masa akan datang. Anda tidak berdosa jika barang yang anda miliki diyakini bersih dan terhindar dari najis muqallazah berdasarkan bukti-bukti tertentu dari sumber yang boleh dipercayai.

Benda-Benda Yang Tidak Dikira Najis

Haiwan yang mati tanpa disembelih dikira sebagai bangkai yang bernajis kecuali beberapa benda yang tidak dikira najis :
  1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.

  2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.

  3. Belalang.

  4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.

  5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

Najis Yang Dimaafkan

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syarak memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan :
  1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

  2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah yang sedikit dan tidak menjijikkan.

  3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.

  4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, air kurap atau kudis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG