PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Saturday, April 30, 2011

Perbicaraan Sumpah Laknat Di dalam Kitab-kitab Islam



Maksud Sumpah


Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman yang merupakan jamak dari perkataan al-Yamin. Pada dasarnya ia bererti tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab lazimnya mengangkat tangan kanan mereka. Apabila mereka saling bersumpah, masing-masing memukul tangan kanannya dengan tangan kanan orang yang bersumpah. Adapun dari sudut istilah, ia bererti menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus.

Syarat Sumpah

Agar sumpah menjadi sah (valid) dan berauthority sebagaimana hadis di atas, ia perlu terlebih dahulu menepati satu syarat, iaitu ia disumpah atas nama Allah, salah satu dari nama-nama Allah atau salah satu dari sifat-sifat Allah. Berikut diperincikan syarat ini :

Sumpah Dengan Nama Allah

Rasulullah saw bersabda :

“Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.

Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.

Berdasarkan hadis di atas juga, boleh bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti Al-Rahman, Al-Rahim, Al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Sumpah Dengan Salah Satu Sifat Allah

Sumpah sebegini pernah dilakukan oleh Rasulullah saw, umpama :

“Aku berlindung dengan Kemuliaan Kamu, yang tidak ada Tuhan melainkan Kamu yang tidak mati manakala jin dan manusia akan mati.” (Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma), dia berkata, Nabi saw pernah bersumpah dengan berkata :
“Tidak! Demi yang membolak-balikkan hati.” (Riwayat Al-Bukhari)

"Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka." (Riwayat Muslim)

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah swt jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan :

Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah:
“Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.” (Riwayat Abu Daud)

Sumpah dengan selain Allah bukan sahaja tidak sah dan syirik, orang yang melakukannya perlu segera mengucapkan syahadah, mempersaksikan bahawa “Tiada Tuhan Melainkan Allah” :

Sesiapa di antara kalian bersumpah lalu berkata dalam sumpahnya itu : “Demi Latta!”, maka hendaklah dia mengucapkan La ilaha illallah. Dan sesiapa yang berkata kepada temannya: “Ayuh, aku ingin bertaruh dengan kamu”, maka hendaklah dia bersedekah. (Riwayat Muslim)

Mengapakah sumpah dengan selain Allah boleh melibatkan syirik? ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menjawab persoalan ini :

Al-Yamin ialah sumpah dengan kata-kata khusus bagi menguatkan sesuatu yang disumpah, iaitu dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Orang yang bersumpah apabila ingin menguatkan sesuatu, baik dalam rangka menafikan atau menetapkan, maka dia perlu menguatkannya dengan sumpah yang disandarkan kepada yang mulia, yakni dengan mengucapkan sesuatu mulia yang dia miliki.

Sejak dahulu lagi, manusia menyakini bahawa sesuatu yang dijadikan sandaran sumpah akan menguasai orang yang bersumpah, di mana ia dapat memberikan manfaat atau mudarat berdasarkan sebab-sebab rasional dan tidak rasional. Apabila orang yang bersumpah menepati apa yang dia sumpahkan, maka (diyakini) yang dijadikan sandaran sumpah tersebut telah rela dan mengabulkan sumpahnya. Apabila (yang dijadikan sandaran sumpah) tidak rela, maka ia akan menimpakan bahaya kepadanya.

Atas dasar inilah, sumpah atas nama selain Allah swt atau atas nama selain sifat Allah dikatakan sebagai perbuatan syirik (kerana menyakini manfaat dan mudarat datang dari apa yang dijadikan sandaran sumpah dan bukan datang dari Allah).

Selain larangan bersumpah dengan selain Allah, seseorang itu juga diperingatkan agar jangan berdusta dalam sumpah, sekalipun terhadap perkara yang amat kecil. Rasulullah saw bersabda :

“Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.” Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “(Ya), sekalipun sebatang kayu arak (yang digunakan untuk bersiwak).” (Riwayat Muslim)

Mengingatkan besarnya ancaman bagi orang yang berdusta dalam sumpahnya, maka Islam menganjurkan sikap “cegah sebelum parah”, yakni jangan biasakan diri bersumpah. Jangan bersumpah tentang itu dan ini tanpa sebarang keperluan untuk bersumpah. Kebiasan bersumpah akan menyebabkan orang itu merasa tidak mengapa untuk berdusta dalam sumpahnya sehingga akhirnya terjebak dalam ancaman hadis di atas. Justeru Allah swt berfirman :

“Dan janganlah kamu menurut orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina.” (Al-Qalam :1 0)

Beberapa Persoalan Berkaitan Sumpah

Sah Atau Tidak Sumpah Dengan Lafaz Yang Tidak Jelas?

Para ilmuan berbeza pendapat tentang orang yang bersumpah dengan lafaz yang tidak jelas, umpama “Demi janji Allah…” atau orang yang hanya menyebut “Aku bersumpah…” tanpa menyandarkannya kepada Allah. Perbezaan ini membuahkan tiga pendapat :

  1. Sumpah tersebut adalah sah (valid).

  2. Sumpah tersebut tidak sah (invalid).

  3. Sumpah tersebut sah jika penyumpah meniatkannya sebagai satu sumpah, tidak sah jika penyumpah tidak meniatkannya sebagai satu sumpah.
Di antara tiga pendapat ini, yang terbaik ialah meminta penyumpah melafazkan semula sumpahnya dengan lafaz yang pasti, umpama “Demi Allah aku bersumpah tidak melakukan hal ini”. Jika dia enggan, maka sumpahnya dianggap tidak sah kerana memiliki unsur keraguan di dalamnya.

Sah atau tidak sumpah dengan ucapan insya-Allah?

Sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut :

“Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.”(Riwayat Abu Daud)

Bolehkah Bersumpah Dengan Al-Quran?

Kamal bin Al-Sayyid Salim hafizhahullah menjawab persoalan ini :

Al-Quran ialah perkataan Allah (kalamullah) dan ia bukan ciptaan (Allah). Perkataan Allah yang suci itu merupakan satu sifat dari sifat-sifat-Nya. Oleh kerana itu jumhur ilmuan, kecuali Abu Hanifah, berpendapat boleh bersumpah dengan al-Qur’an dan sumpah itu menjadi sah… Sementara itu tokoh Mazhab Hanafi yang mutakhir seperti Ibn Al-Hamam dan al-Aini menguatkan pendapat jumhur membolehkan sumpah dengan al-Quran. (Demikian kenyataan Wahbah al-Zuhaili dalam) Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, jld. 3, ms. 379.

Sesiapa yang bersumpah dengan mushaf al-Quran sementara yang dia maksudkan ialah perkataan Allah yang tertulis dalam mushaf itu, maka ia dibolehkan. Namun jika yang dia maksudkan ialah lembaran kertas yang tertulis (atasnya ayat al-Quran), maka ia tidak dibolehkan. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Dalam suasana kebanyakan umat Islam masa kini yang tidak faham tentang sifat Kalamullah dan kaitannya dengan al-Quran, serta tidak tahu membezakan antara Kalamullah dan tulisan di atas Al-Quran, maka adalah lebih selamat mereka tidak bersumpah dengan menggunakan al-Quran.

Apakah Hukum Orang Yang Melanggar Sumpahnya?

Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kafarat sumpah berdasarkan firman Allah swt :

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu Yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya Dengan sebab sumpah Yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan Yang sederhana Yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. kemudian sesiapa Yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamanya) supaya kamu bersyukur.” (Al-Maidah : 89)

Bagi sumpah yang berganda, maka ia diperincikan sebagai berikut :

  1. Orang yang melafazkan sumpah beberapa kali untuk satu perkara yang sama lalu dia melanggarnya, maka kafaratnya hanya sekali.

  2. Orang yang melafazkan satu sumpah untuk beberapa perkara dengan satu lafaz, maka satu kafarat bagi setiap perkara yang dilanggarnya.
Walaubagaimanapun terdapat beberapa jenis pelanggaran sumpah yang tidak diwajibkan kafarat, iaitu :

  1. Sumpah dusta (Al-Yamin Al-Ghamus). Sumpah ini hukum asalnya memang tidak sah kerana ia adalah dusta. Disebabkan ia sejak awal adalah tidak sah, maka pelanggarannya tidak mewajibkan kafarat. Akan tetapi orang yang melakukan sumpah dusta tersebut diwajibkan bertaubat dan menyatakan apa yang benar di sebalik pendustaannya itu.

  2. Percakapan biasa yang tidak dimaksudkan sebagai sumpah (Al-Yamin Al-Laghw). Terhadap ayat 89 surah al-Maidah di atas, ‘Abd Allah Al-Bassam hafizhahullah menulis : “Aisyah ra menafsirkan sumpah yang tidak dimaksudkan adalah perkataan yang sering diucapkan oleh lisan manusia saat mereka berbicara, iaitu ucapan mereka sendiri seperti La wallahi dan Bala billah. Ia adalah ungkapan yang sering diucapkan oleh lisan tetapi tidak diniatkan oleh hati sebagai sumpah. Penafsiran sebegini dikemukakan oleh tiga imam mazhab.”

  3. Orang yang melanggar sumpahnya kerana terlupa, keliru atau dipaksa. Ini berdasarkan keumuman hadis Rasulullah saw :“Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesilapan, kekeliruan dan apa yang dipaksa ke atasnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

  4. Orang yang telah bersumpah untuk sesuatu yang akan datang, lalu kemudian dia mendapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia sumpahkan, maka tidaklah bersalah untuk dia melanggar sumpahnya yang awal, asalkan dia membayar kafarat. Dalilnya ialah hadis berikut :“Apabila kamu bersumpah dengan sesuatu sumpah, lalu kamu melihat sesuatu lain yang lebih baik dari apa yang telah kamu sumpah, maka bayarlah kafarat dari sumpah kamu (yang awal itu) dan ambillah yang lebih baik itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Bagaimana Menangani Pendapat Yang Membolehkan Sumpah Dengan Selain Allah?

Diketahui terdapat sebahagian pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah. Mereka berhujah dengan beberapa sumpah Allah swt di dalam al-Quran, di mana Allah bersumpah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya. Antara ayat al-Quran yang dimaksudkan :

“Demi langit dan (bintang)”. (Al-Thariq : 1)

“Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh!” (Al-Fajr : 1-2)

“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari!” (Al-Syams : 1)

Penghujahan di atas dapat ditolak dengan penjelasan :

  1. Sumpah-sumpah seperti di atas mengandungi sandaran sumpah yang tersembunyi, iaitu Pencipta bagi ciptaan-ciptaan tersebut, yakni Allah swt. Sehingga yang dimaksudkan dalam sumpah-sumpah tersebut ialah “Demi Pencipta langit dan bintang”, “Demi Pencipta waktu fajar dan malam yang sepuluh” dan “Demi Pencipta matahari dan cahayanya di pagi hari”.

  2. Sumpahan Allah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya memiliki tujuan menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta perkara-perkara tersebut. Justeru apabila Allah bersumpah “Demi matahari…”, ia bagi menunjukkan kepada manusia kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta matahari.
Berdasarkan dua penjelasan di atas, dapat diketahui bahawa sumpah seumpama ayat-ayat al-Quran di atas hanya layak bagi Allah, justeru menjadi hak-Nya sahaja. Kita sebagai manusia tidak layak meniru tatacara sumpah sedemikian.

Selain itu pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah menggunakan hadis berikut sebagai dalil :

“Daripada Abu Hurairah ra dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata : “Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling tinggi anjarannya?” Rasulullah menjawab : “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata : “Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.” (Riwayat Muslim)

Pendalilan dengan hadis di atas dijawab, bahawa perkataan Rasulullah saw “Demi ayah kamu!” bukanlah satu sumpah tetapi sekadar ungkapan yang lazim di sisi masyarakat Arab (Al-Yamin Al-Laghw). Al-Nawawi rahimahullah menjelaskan :

"(Rasulullah) bersumpah dengan ayah (sahabat itu) padahal (baginda) melarang bersumpah dengan selain Allah. Maka berkenaan sumpah dengan sandaran ayah ini, dijelaskan bahawa sumpah yang dilarang dengan selain Allah adalah apabila ia memang dimaksudkan (sebagai sumpah). Adapun lafaz sumpah dalam hadis ini, ia merupakan kebiasaan di atas lisan orang-orang Arab tanpa (mereka) memaksudkannya (sebagai sumpah). Maka ia tidak termasuk dalam kategori sumpah yang dilarang oleh baginda."

Dalam kes jenayah, bolehkah yang tertuduh bersumpah sebelum diminta oleh hakim?

Terdapat dua hadis yang menjadi rujukan bagi persoalan ini :

“Sumpah kamu wajib berada di atas apa yang diminta oleh lawan kamu (yang membuat tuduhan).” (Riwayat Muslim)

“Sumpah bergantung kepada niat orang yang meminta sumpah.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan dua hadis di atas, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat :

  1. Orang yang tertuduh hendaklah menunggu hingga hakim meminta dia bersumpah bagi membersihkan tuduhan ke atas dirinya.

  2. Asalkan ada tuduhan, orang yang tertuduh boleh bersumpah bagi membersihkan dirinya. Dengan syarat ia diminta atau dicadangkan oleh orang yang memiliki kedudukan di sisi masyarakat atau negara, baik orang itu ialah seorang hakim atau selainnya.
Pada analisa saya, yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Penjelasannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad Bin Ismail Al-Shanani rahimahullah :

Kesimpulannya, sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah dalam semua perkara kecuali apabila diminta bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapkan ke atasnya. Maka dalam kes ini sumpah hendaklah sesuai dengan maksud orang yang meminta dia bersumpah (yakni hakim atau wakilnya). Inilah maksud hadis di atas.

Adapun apabila dia bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapnya, maka sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah.

… Saya (al-Shan‘ani) berkata, tidak diketahui dari mana datangnya pembatasan (terhadap keumuman) hadis di atas kepada hakim atau wakilnya sahaja (dalam persoalan permintaan sumpah). Padahal zahir hadis menunjukkan apabila sumpah itu diminta oleh orang yang memiliki hak (yakni kedudukan dalam masyarakat atau negara), maka niat sumpah itu sesuai dengan niat orang yang memintanya (dan ini berlaku secara) mutlak.

Apakah Maksud Sumpah Mubahalah?

Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut :

“Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” (Ali Imran : 61)

Perkataan Mubahalah berasal daripada kata bahlah atau buhlah yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.

Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran untuk berdialog dengan Rasulullah saw di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah swt menurunkan ayat 61 surah Ali Imran di atas.

Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke atas ahli keluarganya.

Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.

Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah yang dilakukan oleh Rasulullah saw, dapat dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah :

  1. Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.

  2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.

  3. Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.

  4. Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
Lazimnya apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara berhadapan, sumpah mubahalah tidak akan berlaku. Pihak yang membuat tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan :

Daripada Huzaifah ra, dia berkata : Al-Aqib dan Al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah saw untuk saling melaknat (Mubahalah). Huzaifah menyambung: Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.” Lalu akhirnya mereka berdua berkata : “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab : “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.” Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah saw sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda : “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah saw bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sumber : Blog Dari Minda Ku

Friday, April 29, 2011

Haram Sambut Hari Lahir Dengan Meniup Lilin Dan Menyanyi




Bolehkah menyambut hari jadi dengan meniup lilin dan bernyanyi....setengah orang cakap tak boleh...kalau tak, boleh ke kita tukarkan lagu "Allah selamatkan kamu"?

Jawapannya

Sebenarnya menyambut hari lahir ini tak salah, sebab Rasulullah setiap hari Isnin dia berpuasa untuk memperingati hari kelahirannya. Kemudian setiap tahun 12 Rabiulawal semua umat Islam menyambut hari kelahiran dan perjuangan Rasulullah untuk memartabatkan agama Islam.

Majlis menyambut hari kelahiran adalah baik kerana itu adalah caranya kita menginggati segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dan ia merupakan salah satu cara kita bersyukur kerana Allah melahirkan kita di dunia ini dengan keadaan baik dan sihat.

Tapi kita kena ingat kalau majlis ini salah pengisiannya atau salah meraikannya dengan cara tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak seperti adanya tarian, menari, konsert, bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya. Meninggalkan solat dan sebagainya. Maka ini jelas menjadi haram. Menjadi persoalan ramai umat Islam diluar sana bolehkah meraikan hari kelahiran dengan memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu
“selamat hari jadi”?

Jawapannya, perkara ini datang bukan dari budaya Islam dan ia datang daripada budaya barat. Hadis Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud :

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku.”

Jelas di sini bahawa merayakan hari kelahiran dengan meniupkan lilin itu bukan dari Agama Islam, malah ia dipraktikkan oleh masyarakat Kristian setiap kali mereka menyambut hari kelahiran mereka. Barang siapa yang menyambutnya dengan cara memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu hari lahir adalah haram sebab dia bukan dari budaya Islam. Cara Islam menyambut hari kelahiran adalah dengan melaksanakan kenduri kesyukuran, membaca doa dan menjemput semua kaum kerabat dan sahabat-sahabat yang berdekatan dengan tujuan untuk bersilaturahim antara satu sama lain.

Akhir kalam, masuklah kedalam Agama Islam dengan cara keseluruhannya bukan masuk yang mana sesuai kita ambil dan yang tidak sesuai dengan nafsu kita tinggalkan. Jadilah umat Islam yang taat kepada perintah Allah dan meninggalkan perkara yang mungkar dan syubhah, kerana ini lebih menjaminkan keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Rayakanlah hari kelahiran sepertimana yang ditetapkan oleh syarak Islam, mudah-mudahan majlis yang dijalankan itu diberkati dan dirahmati oleh Allah.

Wednesday, April 27, 2011

Fiqh Dakwah Perlu Difahami Oleh Pendakwah


Dalam segi bahasa Fiqh bererti faham, sama ada secara mendalam atau sederhana. Pada zaman permulaan Islam, istilah ini digunakan bagi member erti memahami apa sahaja ajaran Islam sama ada yang bersifat amali atau sebaliknya seperti hal-hal mengenai akhlak, rohani dan metafizikal.

Fiqh juga diertikan sebagai ilmu pengetahuan tentang hukum dalam Agama Islam. Firman Allah SWT :

“Maka apakah Yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Abu Hanifah pernah mentafsirkan istilah Fiqh ini sebagai mengenali hak dan tanggungjawab diri, iaitu satu konsep yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Dari pengertian di atas, dapat disimpulkan fiqh adalah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam semua tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam terutamanya yang berkaitan dengan hukum-hukum Allah. Mengetahui segala ilmu-ilmu agama itu adalah fardhu ain dan dituntut kepada semua umat Islam. Ini menjadi tanggungjawab kita semua untuk menimba seberapa banyak ilmu agama sebagai bekalan dan pedoman untuk kita melakukan ibadah seharian.

Dakwah ialah kegiatan menyeru dan menyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Dakwah juga adalah mengajak untuk patuh kepada ajaran agama Islam dengan lebih sempurna.

Menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah SWT sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Secara kebahasaan, dakwah adalah kata dasar (masdar) dari kata kerja da’a-yad’u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata “ilmu” dan kata “Islam”, sehingga menjadi “ilmu dakwah” dan “dakwah Islam” atau al-da’wah al-Islamiyah.

Menurut Abu ‘Urwah, pengertian dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, sama ada kepada perkara yang haq atau batil. Selain itu, seruan kepada Allah SWT.

Dari segi istilah syara’ pula membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah SWT.

Seterusnya saya datangkan beberapa definisi dakwah menurut pandangan para ilmuan Islam sebagai berikut :

  1. Pendapat Bakhial Khauli, dakwah adalah satu proses menghidupkan peraturan-peraturan Islam dengan maksud memindahkan umat dari satu keadaan kepada keadaan lain.

  2. Pendapat Syekh Ali Mahfudz, dakwah adalah mengajak manusia untuk mengerjakan kebaikan dan mengikuti petunjuk, menyuruh mereka berbuat baik dan melarang mereka dari perbuatan jelek agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pendapat ini juga selaras dengan pendapat Al-Ghazali bahawa amar ma’ruf nahi munkar adalah inti gerakan dakwah dan penggerak dalam dinamika masyarakat Islam.
Dari pengertian dakwah yang diberikan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa maksud dakwah ialah menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk mengingati Allah, mengenali Allah dan meninggalkan perkara yang mungkar dan melaksanakan atau mengerjakan perkara yang makruf. Firman Allah :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. oleh itu sesiapa Yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadaNya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa Yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan Aku pula bukanlah menjadi wakil Yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".


Dari segala pengertian atau definisi yang diberikan di atas sama ada pengertian fiqh atau dakwah, maka saya dapat membuat rumusan bahawa maksud fiqh dakwah itu ialah memberi kefahaman, pengetahuan, mengenali hak diri dan tanggungjawab sebagai seorang yang menyebarkan seruan Islam kepada semua manusia untuk mengajak mereka mengenali Allah. Selain dari itu juga, fiqh dakwah adalah untuk mengajak atau menyeru manusia untuk mengamalkan ajaran Islam dengan lebih sempurna lagi.

Saturday, April 23, 2011

6 Produk Kosmetik Beracun


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan mengguna enam produk kosmetik jenama terkenal berikutan pengesanan Racun Berjadual seperti dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin yang boleh memberi pelbagai kesan sampingan kepada pengguna. Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A.Rahman berkata enam produk tersebut ialah BML HB Lotion, Krim Malam Shana, Natasya Gold Krim Herba, Biotox Whitening Hydro Cream, Yoko Whitening Cream dan Sue Beauty Night Treatment Cream.

"Penggunaan dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin dalam produk kosmetik adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, kulit mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari manakala hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif di samping menghalang proses pigmentasi (depigmentasi).

"Proses depigmentasi mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh memberi risiko kanser kulit. "Depigmentasi berlebihan berbahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan iklim tropika," katanya.

Eisah berkata dexamethasone pula adalah sejenis steroid, apabila digunakan secara topikal boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan antaranya iritasi kulit, kulit kering, jerawat, kulit menjadi nipis dan meningkatkan risiko jangkitan kuman.

Sehubungan itu, katanya sesiapa yang mempunyai stok produk terbabit dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta-merta.

Sumber : Blog Cina Islam

Friday, April 22, 2011

Potong Kuku Hari Jumaat Sunat Ke?


Saya ingin mendapat kepastian, adakah ada hari tertentu yang digalakkan untuk memotong kuku seperti pada Isnin, Khamis dan Jumaat? Manakala hari lain dikatakan kurang sesuai. Jika tidak berpeluang atau terlupa memotong kuku pada tiga hari berkenaan bolehkah kita memotongnya pada hari lain?

Jawapan

Memotong kuku termasuk dalam sunnah fitrah (Klik Sini). Ini jelas apabila Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam Syafie, disunatkan memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat sama seperti mandi, bersugi, memakai haruman sebelum ke masjid.

Menurut riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w memotong kuku
dan menggunting misai pada Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersolat. (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani)

Berkenaan terdapat hari tertentu memotong kuku, tiada hadis yang benar-benar sahih berkenaan mengerat kuku berkenaan. Ia boleh dilakukan tanpa mengikut hari tertentu.


Ada hadis daif yang hukum beramal dengannya dibenarkan terutama ketentuan Isnin, Khamis dan Jumaat sebagai hari diutamakan untuk melakukan ibadat sunat.


Justeru, sunat memotong kuku pada hari terbabit manakala memotong pada hari lain masih dibenarkan sekiranya perlu.

Sumber : Harian Metro Online

Thursday, April 21, 2011

Jangan Salah Faham Tentang Syukur


Bersyukur kepada Allah atas segala kemudahan dan nikmat yang diberikan, bagun sahaja dari tidur kita berada dalam keadaan baik dan sihat tanpa ada satu kekurangan dalam diri kita. Sebagai hamba Allah yang budiman dari segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita hendaklah disyukuri atau berterima kasih kepada Allah, dengan nama Ar-Rahman dan Ar-Rahimlah kita memperolehi segala nikmat dari Allah walaupun pada hari kemarin banyak melakukan dosa kepada Allah. Ramai orang tidak pernah rasa syukur kepada nikmat yang Allah berikan, malah segala nikmat ini disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti nikmat tangan digunakan untuk mencuri, memberi rasuah, membuat maksiat dan memukul orang. Nikmat kaki pula digunakan untuk mengunjungi pusat-pusat hiburan, pergi ke Kedai Sport Toto dan pergi melakukan maksiat. Nimat rupa yang cantik digunakan untuk memperolehi pujian, mengaut keuntungan, diperagakan untuk tontonan lelaki yang bukan mahram dan sebagainya. Banyak lagi nikmat yang telah disalah gunakan tanpa rasa takut dan segan kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud :

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Al-Ibrahim : 7)

Lagi firman Allah yang bermaksud :

“Dan .syukurilah nikmat Allah, jika kamu memang menyembah.Allah.” (Surah al-Nahl:ayat 144)

Bagi sesiapa yang kufur kepada nikmat Allah atau menyalah gunakan nikmat Allah, maka ia akan diazab dengan diseksa oleh Allah dengan siksaan yang amat pedih di dalam neraka Allah. Orang yang menyalah gunakan nikmat Allah ini hatinya tidak akan rasa tenteram dan sentiasa memberontak untuk membuat lagi dosa-dosa atau perkara yang ditegah oleh Allah. Perkara ini boleh kita lihat sendiri, kalau orang yang melakukan zina, dia akan sentiasa melakukan zina sebab baginya itu adalah nikmat dan keseronokkan atau cara ia melepaskan strees. Begitu juga dengan kesalahan-kesalahan yang lain.

Bagaimana cara hendak bersyukur dengan baik dan praktikal? Banyak cara untuk kita bersyukur bukan sekadar lafaz di bibir sahaja sepertimana yang dibuat oleh para artis tanah air yang menjadi pujaan bagi orang yang kufur kepada nikmat Allah. Dengan rasa megahnya mereka apabila mendapat anugerah sesuatu menyebut saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan yang diperolehi dengan pakaiannya seperti orang sedang berbogel. Sepatutnya mereka kena rasa malu kepada Allah dan diri sendiri sesungguhnya dengan keadaan mereka itu tidak layak bersyukur kepada Allah. Cara bersyukur dengan betul ialah kita menzahirkan dari hati, bibir dan perbuatan seperti :

  1. Hati bila bangun dari tidur atau dapat menjamah makanan untuk menghilangkan lapar terdetik dihati dengan mengatakan jika Allah tidak izin aku makan, maka aku tak dapat rasa nikmat seperti ini. Alhamdulillah, Subhanallah, Allahu Akhbar.

  2. Bibir bila bangun dari tidur kita membaca dosa dengan menyebut Alhamdulillah. Ataupun mengeluarkan perkataan-perkataan yang baik, bila ditimpa musibah sekalipun ia tetap mengatakan Alhamdulillah aku Cuma cedera sahaja tak patah kaki. Setiap apa yang dialaminya akan disebut perkataan-perkataan toiyyibah.

  3. Perbuatan bagun sahaja dari tidur kita pergi membersihkan badan dan mengambil wuduk, Solat Subuh, membaca Al-Quran, dengar siaran Tanyalah Ustaz TV9 dan sebagainya. Melakukan kerja-kerja baik juga adalah cara kita bersyukur dengan perbuatan, kerana segala anggota yang diberikan oleh Allah itu kita guna dengan baik sepertimana yang diamanahkan oleh Allah.
Sebenarnya panjang nak menceritakan nikmat syukur ini, Cuma di sini saya cerita dengan serba ringkas sahaja dan ini akan menjadi poin ceramah saya pada hari Khamis 29 April 2011 minggu depan di Balai Polis Trafik Johor Bahru. Wahai sahabat semua doakan saya dapat memberikan ceramah dengan baik dan dapat menyampaikan segala isi yang berguna untuk meningkatkan rasa kesyukuran dalam diri saya dan pendengar ceramah saya. Saya ini orang yang kuat gemuruh, kalau sahabat semua ada tips untuk hilangkan rasa gemuruh bolehlah kongsi di ruangan komen artikel ini. Ni ceramah kali ke 4 saya, masih baru dan perlukan tunjuk ajar daripada semua sahabat.

Wednesday, April 20, 2011

Kursus Motivasi Solat IKM JB

Salam bahagia dan salam sejahtera kepada semua pengunjung yang datang menziarahi blog usang ini. Alhamdulillah dengan rasa syukur dan rendah diri kepada Allah pihak Unit Pengajian Islam IKM JB dapat melaksanakan program Kursus Motivasi Solat kepada pelajar-pelajar semester 1 IKM JB. Program ini dijalankan dengan teratur sepertimana yang telah dirancangkan oleh Penyelarasnya iaitu Ustazah Zaleha Binti Mamat.














Monday, April 18, 2011

Cara Melupuskan Al-Quran Lama Dan Rosak

Saya ingin meminta pandangan ustaz mengenai cara terbaik membuang buku agama lama dan cebisan ayat al-Quran yang dicetak daripada komputer. Adakah dengan cara membakar dan bagaimana pula dengan abunya?

Cara terbaik adalah mengumpul bahan agama dan cebisan ayat al-Quran berkenaan dalam satu tempat untuk dibakar. Bagi memastikan pembakaran secara sempurna, bahan itu bolehlah dicarik menjadi helaian kecil dan barulah dibakar.

Abunya bolehlah dihanyutkan ke sungai atau laut. Ia juga boleh ditanam di tempat yang tidak di langkah manusia.

Selain itu, ada juga usaha syarikat tertentu mengumpul bahan agama untuk
proses pelupusan seperti Pusat Pelupusan Ayat Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang.

Anda juga boleh menghubungi syarikat itu bagi tujuan pelupusan bahan agama berkenaan.

Sumber : Harian Metro Online

Sunday, April 17, 2011

Bersyukur Dan Memperbanyakkan Selawat Kepada Rasulullah


CAHAYA MUKA NABI MUHAMMAD SAW

Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah bahawa ia telah berkata : " Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum daripada Tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah saw Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, " Hai Rasulullah alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya : " Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari kiamat?" Jawab Rasulullah : "Orang yang bakhil." Aku bertanya lagi : "Siapakah orang yang bakhil itu?" Jawab baginda : "Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap selawat ke atasku."

BERDOA

Berkata Al-Barra' ra bahawa Nabi saw bersabda : "Segala doa itu terdinding (terhalang untuk dikabulkan) daripada langit sehingga orang yang berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad."

KIJANG DAN ANAKNYA

Diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang lelaki lalu di sisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang ditangkapnya, lalu Allah SWT (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi saw : "Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke mari." Bersabda Rasulullah saw : " Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari semula?" Jawab kijang itu : "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah SWT akan melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak mengucapkan selawat bagi engkau apabil disebut nama engkau disisinya." Lalu Nabi saw pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya." Kijang itupun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka turunlah malaikat Jibril as dan berkata : "Hai Muhammad, Allah SWT mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman : " Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau."

Alhamdulillah..marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat kerana kita tergolong dalam umat Muhammad.

Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air."Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?" Rasulullah saw bersabda, : "Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran."

Wasalam


Saturday, April 16, 2011

Dakwah Rasulullah Kepada Remaja

Program Remaja HALUAN

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda : ‘Wahai anak, sesungguhnya aku mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan.” (HR. Tarmizi dan dia berkata : Hadisnya hasan shahih).

SENI DAKWAH

  1. Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW berdoa untuknya: “Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepadanya hikmah.” Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiahnya.

  2. Oleh itu dalam berdakwah untuk remaja (yang menjadi mad’u), perlu berdoa untuk masa depannya.

  3. Merancang masa depan mad’u sesuai dengan potensinya

  4. Memberi bimbingan yang berterusan.

  5. Baginda memanfaatkan setiap detik masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiah mad’unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa enteng terhadap mad’u kecil, bahkan baginda mengambil berat hal ehwal tarbiahnya.

  6. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiah mad’unya, sehinggakan sewaktu bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiah.

  7. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa hina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh KEDEKATAN FIZIKAL, bersentuhan dan bermesra dengan anak remaja. Baginda tidak merasai jurang generasi dengan golongan remaja.

  8. Baginda mentarbiah remaja dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan – sepertimana kata baginda (yang bermaksud): “aku ingin mengajar kamu BEBERAPA PERKATAAN”.

  9. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiah generasi muda. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan dan ketakutan baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.

  10. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda. Begitulah juga para pendakwah di sepanjang zaman, perlu meletakkan satu rancangan jangka panjang dalam pembinaan generasi muda. Cagarannya ialah pengorbanan, kesabaran, tawakkal dan istiqamah.
Sumber : Blog Ustaz Azhar Idrus

Wednesday, April 13, 2011

Cara Mengenali Telur Tiruan Dan Original

Sebelah Kanan Komputer adalah telur original dan sebelah kiri komputer telur tiruan

Sebelah Kanan Komputer adalah telur original dan sebelah kiri komputer telur tiruan

Untuk Paparan Lebih Jelas Sila Klik Pada Gambar

Telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.

Mengikut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.

Kuning telur dihasilkan hanya dengan mencampurkan pewarna makanan kuning lemon ke dalam adunannya.

Kalsium klorida ditambah ke dalam adunan telur dan kemudian ke dalam acuan untuk menghasilkan membran telur. Cangkerang telur diperbuat dengan lilin parafin, serbuk gypsum, kalsium karbonat dan bahan-bahan lain.

Pada amnya bahan-bahan ini adalah penambah makanan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama. Oleh itu telur tiruan hanya mempunyai sedikit atau tidak langsung berkhasiat berbanding telur sebenar.

Cara mengenal telur tiruan
  1. Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.

  2. Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.

  3. Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.

  4. Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.

  5. Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
  6. Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.

  7. Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.

  8. Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Telur adalah sumber protein yang murah dan dimakan oleh penduduk Malaysia. Memandangkan ia merupakan makanan kegemaran ramai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera berhubung isu telur tiruan ini. Tambahan pula, telur tiruan mungkin mengandungi gelatin yang haram dimakan oleh orang Islam.

Nasihat Ustaz

Berjaga-jagalah apabila membeli belah, bersikap teliti dalam memilih barang yang akan dibeli dan dimakan. Selidiki dahulu barang tersebut sebelum membuat keputusan untuk membeli. Bahan kimia yang dicampur dalam telur tersebut boleh membahaya kesihatan badan. Ingat-ingat dahulu sebelum terkena, berjaga-jaga sebelum jatuhnya sakit dan mencegah sebelum berubat. Inilah tindakan yang baik dan perlu ada kepada setiap pengguna Islam.

Sunday, April 10, 2011

Maksiat Banyak Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian



Boleh terangkan pada saya hukum majlis seperti Anugerah Bintang Popular Berita harian (ABPBH) dan hukum mereka yang hadir ke majlis tersebut serta hukum mereka yg mengundi serta menontonnya? Harap ustaz dapat memperjelaskannya. Terima kasih.

Jawapannya

Alhamdulillah di atas kesempatan waktu ini saya dapat menjawab soalan anda ini, tetapi jawapan yang diberikan adalah secara ringkas dan terang sahaja. Sejak kebelakangan ini, masyarakat kita disajikan dengan hiburan yang kebanyakkannya melanggar hukum syarak seperti, artis tidak menutup aurat, berpelukkan antara bukan mahramnya, gosip dan lagu-lagu yang jelas melanggar syariat Islam. Dari perkara inilah, masyarakat Islam negara ini diabaikan tanggungjawabnya yang sebenar kepada Allah sebab leka dan lalai dengan hiburan yang ada. Saya yakin banyak masyarakat kita hari ini tidak pandai membaca Al-Quran, tidak ingat nama para rasul, kadang-kadang ada yang tidak pernah dan tidak tahu solat. Tetapi apabila ditanyakan lagu sekian-sekian lantas ia boleh menyanyi dan boleh menyebut siapa pengarang dan penyanyi lagu tersebut. Inilah yang dinamakan sebagai kejahilan umat Islam sekarang bukan disebabkan mesej Islam itu tidak sampai, tetapi disebabkan pendidikan dan keadaan persekitarannya.

Majlis anugerah bintang popular Berita Harian, mari kita lihat dari sudut pengisiannya dahulu. Saya rasa semua orang tahu pengisian majlis tersebut diantaranya ialah anugerah artis popular, persembahan, artis-artis yang menggayakan pakaian pada malam tersebut dan banyak lagi dapat kita lihat. Jelasnya majlis tersebut banyak dihidangkan dengan maksiat mata, dosa dan kemungkaran. Alasan saya mengatakan tersebut, kalau betul-betul majlis itu mengikuti syariat Islam, tidak berlaku pakaian yang menjolok mata, kadang-kadang artis yang terima anugerah itu berpelukkan antara satu sama lain tidak kira yang mahram atau tidak. Firman Allah yang bermaksud :

"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (An-Nur : 31)

Kemudian saya datangkan hadis Rasulullah yang menegah wanita yang membuka aurat dan berpakaian seperti bertelanjang. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat , rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian ." (Riwayat Muslim)

Menurut Syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Halal dan Haram mengatakan bahawa :

“Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini.”

Kesimpulan yang dapat diambil adalah majlis tersebut sepatutnya mengawal semua artis-artis supaya berpakian menutup aurat. Bagaimana majlis tersebut dapat memperolehi keberkatan dan mengikut cara Islam. Malangnya kebanyakkan yang terlibat itu adalah dari umat Islam, mereka tidak menghiraukan perintah Allah dan inilah yang dinamakan sebagai orang yang sesat dan rugi.

Orang yang hadir dan memberikan sokongan secara langsung atau tidak langsung, bermakna orang tersebut menyokong apa yang diperbuatkan oleh artis-artis tersebut termasuklah segala perbuatan yang bercanggah dengan syarak. Friman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Al -Asr 2-3)

Sepatutnya kita semua sebagai orang Islam hendaklah menjauhkan diri dari program tersebut, sebab dia mengundangkan dosa. Orang yang terlibat sama ada mengunding, menonton, pergi ke majlis tersebut semuanya akan dapat saham dosa dari hasil apa yang dibuat oleh artis dalam majlis tersebut.

Orang yang mengundi artis yang diminati dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau SMS. Peraduan ini telah lama diharamkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Kali 64 pada Tarikh 27 Julai 2004 di Putrajaya menyatakan bahawa :

“Bahawa menyertai peraduan berbayar menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di mana pemenang ditentukan secara rawak berdasarkan nasib dalam sistem tersebut adalah haram di sisi hukum syarak.”



Majlis tersebut dipenuhi dengan dosa, kemudian orang yang menonton juga dapat saham dosa. Ada lagi dengan peraduan SMS untuk memilih artis-artis yang diminati. Maka dari ini semua yang ada dalam majlis tersebut adalah haram. Mungkin ada kebaikannya seperti anugerah artis nasyid terbaik. Benda yang baik tu sikit sangat dan benda yang tidak baik banyak. Kalau ikut kaedah benda ini jadi haram atau lebih baik tidak usah dibuat atau dilibatkan. Sepatutnya mereka yang ada kena berusaha untuk mewujudkan satu majlis anugerah artis-artis nasyid dengan menghindarkan diri dari perkara-perkara yang tidak syarak.

Begitu juga peraduan yang dibeli dari surat khabar dan undi tersebut diposkan kepada pihak penerbit. Dalam hal ini terdapat modal dan kos yang digunakan untuk mengundi orang tertentu dengan harapan supaya ia memperolehi kemenangan. Di sini saya cenderong mengatakan haram sebab orang yang hendak mengundi mesti kena beli surat khabar dan menghantarnya dengan kos yang tertentu. Lagipun benda ini jelas maksiat dan majlis tersebut tidak mematuhi syarak, buat apa bersusah payah mengundi sebab tak mendatangkan apa-apa faedah malah dapat dosa lagi ada. Kalau betul-betul kita faham, semua ini tak akan terjadi sebab adanya unsur syubhah atau ragu-ragu akan halal dan haramnya.

Friday, April 8, 2011

Kewujudan Siksaan Kubur



Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah saw memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.


Istilah kubur hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.


Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat. Ini berdasarkan Firman Allah yang bermaksud :


“Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia “Wahai Tuhanku kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataanya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Al-Mukminun : 99-100)

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.


Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.


Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara sam’iyyat yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah saw memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa berikut:


“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :


“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadaNya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadaNya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadaNya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah saw akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.


Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.


Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepadaNya.


Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.


Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.


Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam.


“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.”(Surah Ali-Imran ayat : 16)

Sumber : Khutbah Jumaat JAKIM

Wednesday, April 6, 2011

Cinta Cara Islam



Bismillahirrahmaanirrahim...

Ya Allah jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu

Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati,izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu...

Ya Rabbana ,jika aku jatuh hati jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu.....

Ya Rabbul Izzati ,jika aku rindu ,rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan Mu....

Ya Allah ,jika aku menikmati cinta kekasihMu janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu

Ya Allah ,jika aku jatuh hati pada kekasihMu jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu....

Ya Allah jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu...

Amin.....

Monday, April 4, 2011

Temuduga Terbuka Untuk Semua Yang Layak



Temuduga Sbg “Calon Jenazah”
Semua Akan Dikehendaki Hadir Tanpa Sebarang Pengecualian

Kekosongan Jawatan:

  1. Ahli Syurga Dari Awal.
  2. Ahli Neraka Dari Awal.
  3. Ahli Neraka Sementara .. Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

Empat Ganjaran Lumayan (Khas Untuk Jawatan 1)

  1. Nikmat Kubur.
  2. Perlindungan Di Padang Mahsyar.
  3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
  4. Syurga Yang Kekal Abadi.

Tarikh Temuduga:
Bila-Bila Masa Secara Adhoc Bermula Dari Saat Membaca Iklan Ini.

Lokasi Temuduga:
Di Dalam Kubur (Alam Barzakh).

Kelayakan:
  1. Anda Tidak Perlu Bawa Siji-Sijil,Termasuk Sijil Saham Termasuk Saham Internet.
  2. Anda Tidak Perlu Bawa Pingat , Mercedes Mata Belalang Atau Kad Kredit.
  3. Anda Tidak Perlu Bawa Wang Atau Harta Serta Emas Yang Anda Kumpul.
  4. Anda Tidak Perlu Berparas Rupa Yg Cantik, Hensem Atau Berbadan Tegap Atau Seksi.
  5. Sila Bawa Dokumen Asal Iaitu : Iman Dan Amal Serta Sedekah Jariah Sebagai Sokongan.

Panel/Penemuduga:
Mungkar Dan Nakir.

Enam Soalan Bocor:

  1. Siapa Tuhan Anda?
  2. Apa Agama Anda?
  3. Siapa Nabi Anda?
  4. Apa Kitab Anda?
  5. Di Mana Kiblat Anda?
  6. Siapa Saudara Anda?

Cara Memohon:

Anda Cuma Perlu Menunggu Penjemput Yang Berkaliber Untuk Menjemput Anda. Ia Akan Menjemput Anda Pada Bila-Bila Masa Saja (Mungkin Sekejap Lagi). Ia Akan Berlembut Kepada Orang-Orang Tertentu Dan Akan Bengis Kepada Orang-Orang Tertentu. Ia Diberi Nama Izrail.

Sumber : Ustaz Azhar Idrus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG