PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Thursday, June 30, 2011

Sabar Menghadapi Anak Yang Dikurniakan Allah



Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri, secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang, memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang ada untuk menjamin kebahgiaan anak mereka di masa akan datang. Walaupun dalam keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.

Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan redho dan sabar. Mereka juga sedar jika Allah tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.

Pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak, mereka sanggup berusaha melakukan berbagai perubatan sama ada moden ataupun tradisional bagi menangani masalah mereka. Selain dari itu, mereka berdoa kepada Allah semoga mereka diberikan cahaya mata sebagai penyambung jenerasi keturunan mereka. Ada diantara mereka redho dengan ketentuan dan ketetapan Allah kepada mereka yang tidak mempunyai zuriat, mereka mengambil anak angkat untuk memeriahkan rumahtangga mereka.

Ada di antara mereka menanti bertahun-tahun lamanya, baru Allah menganugerahkan cahaya mata kepada mereka. Mereka sambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kebanggaan. Setelah sekian lama mereka menanti akhirnya dikurniakan juga anak kepada mereka sebagai penyeri rumahtangga mereka.

Sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah ini dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. Firman Allah :

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Al-Kahfi : 46)

Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :

“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zaariyat : 58)

Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun berak. Ibunya bangun dengan hati yang ikhlas dan sabar untuk membuat susu kepada anaknya atau membasuh berak anaknya. Pada waktu siang pula, anaknya merap dan mahu sentiasa didukung sehingga membantutkan pekerjaan ibu untuk mengemas rumah dan memasak. Apabila anak sudah boleh merangkak dan berjalan, habis semua pelusuk dan penjuru rumah si anak terokai, habis semua baju dan barang-barang dipunggah oleh anak, tetapi si ibu melayan karenah anak dengan sabar dan mengemas kembali barang yang diselerakkan oleh anak. Bertambah baik lagi apabila si ayah turut membantu ibu dalam menjaga anak mereka, jika si ibu memasak, solat, mengemas rumah si ayah yang menjaganya. Begitu juga si ayah bagun dari tidur untuk membantu isterinya membuat susu kepada anak pada waktu malam dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.

Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunah Rasulullah saw. Dari Aisyah ra ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :

“Apa yang di lakukan Rasulullah saw di rumahnya? Aisyah ra menjawab : Rasulullah saw membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika beliau saw mendengarkan azan beliaupun keluar (ke mesjid)”. (Riwayat Al-Bukhari)

Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.

Monday, June 27, 2011

JAKIM Sahkan Hp Sauce, Tabasco Pepper Sauce Mengandungi DNA Babi



Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.

Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.

"Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.

"Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.

Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.

Sumber : Persatuan Pengguna Islam Malaysia


Friday, June 24, 2011

Kecoh Gambar Lucah Dalam Surah Yassin Di Pulau Pinang




Sebanyak 11 naskhah Surah Yasin yang diletakkan sekeping gambar berwarna yang memaparkan pelbagai aksi lucah ditemui di Masjid Negeri Pulau Pinang, semalam.

Imam Besar masjid itu, Yusuff Ahmad berkata gambar lucah itu ditemui di dalam naskhah Surah Yasin di rak ruang solat utama masjid itu oleh seorang pengawal keselamatan masjid yang ingin membacanya sementara menunggu solat Asar pada kira-kira jam 4.30 petang.

"Beliau kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada siak masjid dan beberapa kakitangan lain termasuk saya. Apabila diperiksa, kami menemui 10 lagi naskhah Yasin yang turut mengandungi gambar lucah," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Yusuff berkata naskhah Surah Yasin itu dipercayai baru diletakkan di rak berkenaan kerana keadaannya yang masih elok dan tidak terusik dan naskhah itu juga berbeza dengan naskhah Surah Yasin sedia ada di masjid.

Katanya seorang daripada imam masjid membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru, Air Hitam berhubung perkara itu, petang semalam.

Pandangan Ustaz

Memasukkan gambar lucah dalam Surat Yassin di Masjid Negeri Pulau Pinang, merupakan kes kali kedua selepas Masjid Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Tidak sepatutnya perkara seperti ini berlaku di negara Malaysia, kerana rakyat negara ini hidup dengan aman damai. Jenayah seperti ini, boleh dianggap sebagai satu pencabulan keharmonian yang telah lama dikecapi oleh rakyat negara ini. Perkara ini juga adalah satu penghinaan kepada umat Islam.

Ayuh semua umat Islam, bagun dari tidurmu dan bergerak untuk memartabatkan Islam sebagai addin yang sempurna dan sebagai perlembagaan negara ini, kalau kita tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup kita semua, maka pasti umat Islam negara ini akan dihina dan dianggap sebagai umat yang tidak berguna.

Jangan jadikan Islam sebagai mangsa untuk menjayakan sesuatu agenda politik yang tidak bermaruah dan tidak takut dengan azab dan kemurkaan Allah. Islam adalah agama yang suci dan agama yang dipelihara oleh Allah. Layarkanlah politik negara ini, sebagai politik atau siasah yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah saw. Politik yang berpaksikan kepada hukum Islam, lebih terjamin keharmonian sesama kaum, lebih membela semua kaum dan memberikan kebahgiaan di dunia dan di akhirat.

Bertubatlah bagi sesiapa yang merancang dan melakukannya, kerana Allah mengetahui dan nampak segala apa yang kamu telah lakukan, walaupun tiada seorangpun manusia lain yang nampak. Ingat kebahgiaan dan kesenangan dunia tidak menjamin kebahgiaan selamanya dan tidak menjamin kebahgiaan di akhirat yang kekal abadi. Bertubatlah sebelum terlambat iaitu sebelum anda berjumpa dengan ajal maut anda.


Pintu-pintu Yang Dimasuki Syaitan Dalam Tubuh Manusia



Dalam sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama Syeikh Fathi Yakan menulis kitabnya yang terkenal iaitu Maza yakni intima’I lil Islam. Menyatakan bahawa pintu-pintu yang dimasuki syaitan dalam tubuh manusia ialah :

  1. Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar.

  2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba.

  3. Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.


  4. Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.

  5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka.

  6. Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.

  7. Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.

  8. Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.

  9. Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk.

  10. Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Tuesday, June 21, 2011

Sheikh Abu Bakr : Palestin Tanggungjawab Seluruh Umat Islam


JOHOR BAHRU, Bagaikan satu keberkatan dari Allah SWT apabila dipilih oleh Syeikh Abu Bakr Al-Awawidah untuk menyampaikan ceramah kesedaran dan berita perkembangan mutakhir Palestin kepada umat Islam di sini. Ini merupakan lawatan kali pertama ke Johor oleh ulamak Palestin itu, yang buta matanya akibat disiksa rejim pengganas Zionis Israel.

Majlis yang dianjurkan oleh HALUAN Johor dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Uda dan Pejabat Kadi Negeri Johor ini telah dimulakan dengan pengenalan ringkas tentang peribadi Syeikh Abu Bakr. Ustaz Abu Ubaidah Embong yang bertindak sebagai penterjemah telah menceritakan tentang pengalaman Syeikh yang buta sejak berumur 22 tahun apabila disiksa dengan kejam, termasuklah siksaan menggunakan renjatan elektrik di kepalanya ketika beliau ditahan kali pertama di sebuah penjara Israel. Syeikh Abu Bakr, yang jelas kelihatan lebih tua dari umurnya yang sebenar, telah dipenjara sebanyak lapan kali. Sebagai Ketua Rabitah Ulamak Palestin, beliau adalah tokoh yang tidak asing lagi di kalangan 7 juta orang penduduk Palestin.

Memulakan ceramah beliau, Syeikh Abu Bakr mengingatkan para jemaah yang hadir bahawa tanggungjawab terhadap Masjid Al-Aqsa, Kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin bukan hanya dipikulkan kepada umat Arab Palestin sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam di mana sekali pun mereka berada samada lelaki mahupun perempuan, rakyat atau pemerintah, yang buta huruf atau terpelajar. Baitul Maqdis dan bumi anbiya’ Palestin adalah merupakan tanah wakaf kepada ummat Islam sehingga ke akhir zaman, selaras dengan perjanjian “Al-Ahdi Al-Umari” di antara khalifah Islam yang kedua Saidina Umar RA dan wakil orang-orang Kristian iaitu Paderi Petronius.

Umumnya kita sedia maklum bahawa Baitul Maqdis adalah kota suci Islam yang ketiga setelah Mekah dan Madinah. Ironinya, kalau umat Islam boleh mempertahankan Mekah dan Madinah dengan darah dan nyawa mereka, mengapakah mereka tidak bersikap demikian terhadap Baitul Maqdis yang pada ketika ini berada di bawah cengkaman Yahudi laknatullah? Itulah persoalan yang dilemparkan oleh Sheikh Abu Bakr kepada para hadirin.

Sudah sekian lama rejim pengganas Zionis merancang untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa, iaitu masjid ketiga suci bagi umat Islam. Di situlah telah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW yang menjadi penghubung di antara langit dan bumi. Oleh itu, masjid ini wajib dipertahankan oleh umat Islam dengan apa sahaja yang mereka ada, samada harta, nyawa mahupun doa.

Syeikh Abu Bakr juga memberi peringatan khusus kepada kaum wanita di Malaysia. “Para wanita di Palestin telah mengorbankan suami-suami, anak-anak dan cucu-cucu lelaki mereka untuk mempertahankan Baitul Maqdis, Al-Aqsa dan bumi Palestin. Apakah yang telah dilakukan oleh wanita-wanita Muslim di Malaysia terhadap tanah wakaf mereka ini?,” soal beliau.

“Wahai Allah, aku telah menyampaikan kepada mereka, saksikanlah.” Begitulah kata-kata yang mengakhiri ceramah beliau, dengan linangan air mata membasahi wajahnya yang redup itu.

Pada malam itu sejumlah lebih RM 12,000 telah disumbangkan oleh para dermawan yang hadir. InsyaAllah sumbangan tersebut akan digunakan bagi menjayakan projek-projek bantuan dan pemulihan di Palestin dan juga kem-kem pelarian rakyat Palestin.

Sumber : Laman Portal HALUAN Malaysia



Monday, June 20, 2011

Bersyukur Apabila Memperolehi Anak


Sifat syukur perlu ada kepada semua umat Islam, kerana Allah swt telah menganugerahkan nikmat makan, nikmat berjalan, nikmat melihat, nikmat memegang dan berbagai nikmat lagi yang mesti di gunakan untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah. Barang siapa yang tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka, maka nescaya Allah akan sediakan kepadanya satu azab yang sangat pedih iaitu azab api neraka Allah swt. Firman Allah :

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Ibrahim : 7)

Anak merupakan eset yang paling berharga dan tidak ternilai jika dibandingkan dengan perkara yang lain. Ibu bapa perlu menghargai dan mensyukuri kepada Allah yang telah mengurniakan anak kepada mereka. Tidak rasa kecewa jika Allah memberikan kepadanya anak yang hitam kulitnya, cacat dan tidak seperti yang diharapkan. Malah mereka berbangga dengan pemberian Allah ini dengan menadahkan kedua tangan dan berdoa dan berterima kasih kepada Allah.

Memang berat bagi sesiapa yang diuji oleh Allah dengan memberikan anak yang kurang upaya atau mengalami masalah kesihatan. Banyak wang kos yang perlu dihabiskan untuk menyara perubatan anak mereka. Bermakna sungguh jika mereka redho dan menerima dengan hati yang ikhlas atas anugerah yang telah diberikan oleh Allah. Besar ganjaran yang mereka dapat dari Allah atas penat lelah mereka menjaga anak mereka yang sakit dan cacat. Anggaplah ini satu ujian Allah kepada hambanya untuk menaikan taraf keimanan seseorang hamba yang disayangi oleh Allah. Firman Allah :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Ali-Imran : 200)

Saidina Ali Bin Abi Talib pernah mengatakan bahawa :

"Bersabarlah walaupun itu sukar. Kerana akan jauh lebih sukar lagi jika kesabaran itu tidak engkau miliki lagi".

Sabar melayani karenah anak-anak adalah salah satu dari komponen syukur yang perlu dimiliki oleh kedua ibu bapa. Cuba kita nilai karenah anak dari sudut yang positif, maka pasti kita akan memperolehi jawapan yang sangat baik, iaitu anak-anak memerlukan perhatian dari kedua ibu bapa mereka. Sudah hampir sehari ibu bapa mereka meninggalkan mereka demi mencari rezeki yang halal. Setelah pulang dari kerja, maka sudah pastilah anak-anak akan melepaskan kerinduan mereka kepada kita dengan cara merap, tidak mahu berenggang, sentiasa hendak di dukung dan sebagainya.

Alangkah bahagianya, kalau kita melayan anak-anak dengan penuh kesabaran walaupun dalam kepenatan yang amat sangat. Besar ganjaran Allah kepada ibu bapa yang sabar melayani anak-anak mereka. Di antara ganjaran yang diperolehi oleh ibu bapa mereka ialah dihapuskan segala dosa kecil yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Allah menambah darjat keimanan ibu bapa yang sabar melayani karenah anak mereka. Merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak dan sekaligus dapat melahirkan keluarga Mawardah War Rahmah.

Ibu bapa yang bersyukur akan sentiasa memastikan anak-anak mereka dijaga dengan baik dan diberikan didikan yang baik sama taraf dengan kanak-kanak yang lain. Walaupun tiada duit untuk membayar yuran sekolah atau tiada duit untuk membeli buku sekolah anak-anak, mereka sanggup berpuasa dan menahan diri dari kelaparan demi memastikan anak-anak mereka memperolehi pelajaran dan mempunyai buku untuk mereka belajar. Apabila hujan, mereka sanggup memberikan baju hujan atau payung kepada anak mereka supaya tidak terkena hujan takut demam, tetapi mereka basah kuyup disebabkan terkenanya hujan.

Perbuatan ini semua berlaku kerana mereka mensyukuri dan menghargai anugerah anak yang telah Allah berikan kepada mereka. Setiap saat mereka akan memastikan anak mereka belajar dan menjadi orang yang soleh dan bertaqwa kepada Allah.

Thursday, June 16, 2011

Tips Elak Kecurian & Dirogol Dalam Rumah Sendiri


Banyak kes pecah rumah dan ada ahli keluarga dibunuh atau dirogol oleh perompak. Muhasabahkan diri kita. Adakah kita pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua dalam keluarga menentukan anak-anak dan isteri kita selamat ketika tidur waktu malam hari? Adakah kita pernah memagar rumah kita secara fisikal dan dipagari dengan pendinding ayat Al-Quran.

Rumah yang dipagar dengan keluli atau mangga solex, sekiranya perompak menggunakan ilmu sihir boleh membuka semua kunci. Kerana ilmu sihir itu kerja iblis dan syaitan. Terutama perompak dari Indonesia yang mahir menggunakan ilmu sihir memukau dan pembuka kunci. Hanya dengan menepok mangga ia terbuka tanpa kunci. Jadi mari kita pagar rumah kita dengan ayat suci Al-Quran dan baca tip pencegahan ini.

Tips Menghalang Kecurian
  1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

  2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

  3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12:00 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan Petaling Jaya).

  4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

  5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama ...).

  6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and off kan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).

  7. Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

  8. Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

  9. Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

  10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam bilek tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

  11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis kawasan anda, bomba kawasan anda, 999 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

  12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

  13. Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi bercuti.

  14. Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat-surat dalam peti surat. Peti surat yang penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

  15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

  16. Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & steering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

  17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.

  18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

  19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.
Link
  1. Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.

  2. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

  3. Pastikan keadaan selamat sebelum buka pintu rumah (Tak kira siang atau malam, terutamanya balik lepas 11:00lam).
Sumber : Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Tuesday, June 14, 2011

Anak Amanah Allah



Anak adalah amanah Allah yang sangat besar dan berat untuk dipikul oleh kedua ibu bapa. Bukan mudah untuk memastikan anak-anak kita menjadi insan yang berguna dalam zaman serba moden, serba kecanggihan teknologi ini. Banyak rintangan yang perlu dihadapi untuk memastikan anak kita menjadi insan yang bertaqwa. Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat. Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Sering kita dengari di dalam media masa yang menceritakan tentang berlakunya kes-kes penderaan kepada anak-anak yang sangat membarah di dalam masyarakat negara ini. Hari demi hari ada sahaja berita yang melibatkan penderaan dan pembuangan bayi. Mana perginya sifat keperimanusiaan dan sifat belas kasihan. Sangat menyayat hati tragedi yang menimpa arwah adik Syafiah Humairah Sahari, didera oleh teman lelaki ibunya sehingga mati.

Begitu juga kes kehilangan arwah adik Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Kemudian mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan.

Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.

Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan jenerasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.

Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.

Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :

“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”

Sunday, June 12, 2011

Anak Anugerah Allah


Anak adalah anugerah yang tidak terhingga daripada Allah kepada pasangan suami isteri yang mendirikan rumahtangga. Timbul riak wajah yang ceria dan gembira suami isteri apabila mereka diberitahu oleh doktor yang merawat mengatakan bahawa isterinya mengandung sekian bulan.

Dari situlah mereka merancang dan mengatur jadual untuk menyambut kedatangan orang baru dalam keluarga mereka. Setiap hari dan setiap bulan mereka melakukan persediaan, seperti melakukan rawatan untuk memastikan bayi di dalam kandungan itu sihat dan selamat, mengawal pemakanan seperti memakan makanan yang berkhasiat, membeli pakaian, alat-alat penjagaan bayi, memilih nama yang sesuai dan sebagainya.

Apabila tiba tanda-tanda kelahiran kepada isteri, si suami bertungkus lumus berusaha untuk menghantar isterinya ke hospital yang berdekatan. Si suami memaklumkan kepada ibu bapanya dan mertuanya bahawa isterinya telah masuk ke wad bersalin di hospital sekian-sekian. Timbul berbagai kerisauan dan persoalan di dalam kepala suaminya seperti bagaimana keadaan isterinya? adakah isterinya selamat? adakah isterinya bersalin normal ataupun tidak? Selain dari itu juga suaminya berdoa kepada Allah semoga isterinya dapat melahirkan anaknya dengan keadaan selamat.

Setelah sekian lama menanti dengan penuh debaran dan kerisauan, si suami diberitahu oleh doktor yang merawat isterinya bahawa isterinya selamat bersalin dan isterinya sekarang sedang berehat setelah sekian lama bertarung dengan kesakitan yang tidak terhingga. Rasa syukur dan gembira apabila mendengar khabar tersebut. Beliau menziarahi isterinya dan anaknya untuk memastikan khabar tersebut sahih dan benar.

Si suami mendukung anaknya untuk diazankan disebelah telingga kanan dan diiqamahkan disebelah telingga kiri, sebagai memenuhi tuntutan sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw. Daripada Abi Raafi’ berkata :

“Aku pernah melihat Rasulullah saw mengazankan pada telinga Hasan Bin ‘Ali ketika ia dikahirkan oleh Fatimah”. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Cukup sahaja hari yang ketujuh si suami berusaha untuk mengadakan majlis aqikah, tahnik, cukur kepala dan diberikan nama kepada anaknya. Tidak kisah wang ringgit habis begitu banyak, yang penting adalah tanggungjawabnya sebagai bapa terhadap anaknya. Majlis disambut dengan penuh kegembiraan dengan menjemput sanak saudara, jiran-jiran dan para sahabat untuk meraikan majlis anaknya. Ucapan tahniah dan hadiah dari para tetamu yang datang diterima oleh bapa dan ibu anak tersebut. Hal ini menambahkan lagi rasa kegembiraan dan tali persaudaraan di antara tuan rumah dengan tetamu yang hadir.

Betapa gembiranya si ibu dan bapa apabila mendapat cahaya mata, berbagai harapan yang telah diberikan kepada anak tersebut. Ada yang mengharapkan anak tersebut menjadi anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Ada juga yang mengharapkan anak tersebut menjadi pandai dengan memperolehi pendidikan yang cemerlang, supaya anak tersebut memperolehi pekerjaan yang baik untuk masa depannya.

Tidak kiralah apa harapan yang telah diberikan kepada anak tersebut. Paling penting dalam pendidikan anak-anak adalah pendidikan agama Islam, kerana ia merupakan fardhu ain dan perlu diberikan kepada mereka. Pendidikan agama sangat penting untuk menjamin keselamatan dunia dan akhirat.

Menurut Dr Abdul Rahman an-Nawawi di dalam bukunya yang bertajuk “Pendidikan Islam Di Rumah, Di Sekolah dan Masyarakat” mengatakan bahawa :

".....keselamatan manusia daripada kerugian dan azab dapat dicapai melalui tiga bentuk pendidikan. Pertama, pendidikan individu yang membawa manusia kepada keimanan dan ketundukan kepada syariat Allah swt, serta beriman kepada yang ghaib. Kedua, pendidikan diri yang membawa manusia kepada amal soleh dalam menjalani kehidupan seharian. Ketiga, pendidikan masyarakat yang membawa manusia kepada sikap saling berpesan dalam kebenaran dan saling memberi kekuatan ketika menghadapi kesulitan yang pada intinya, semuanya ditujukan untuk beribadah kepada Allah swt."

Dalam pendidikan anak-anak perlu mempunyai tiga konsep yang perlu diserapkan kepada mereka supaya mereka tidak lari dari kehidupan yang dituntut dalam Islam iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. Konsep yang dimaksudkan ialah iman, amal soleh dan akhlak yang mulia. Jika dapat diberikan kepada anak-anak tersebut melalui pendidikan, nescaya mereka akan menjadi manusia yang baik, dihormati dan menjadi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat diluar sana.

Untuk memastikan pendidikan anak-anak ini berkesan, maka ibu bapa menjadi faktor penggerak yang utama untuk memastikan anak-anak mereka berhasil dalam pendidikan. Ibu bapa adalah idola yang paling dekat dengan anak, jika mereka tidak mempunyai akhlak yang baik maka sudah pasti anak tersebut mencontohinya atau mengikut tabiat buruk ibu bapanya. Pepatah melayu mengatakan bahawa “jika si bapa kencing berdiri, anaknya pula kencing berlari”.

Bagaimana hendak mengajar anak sembahyang, menutup aurat, menghormati orang yang lebih tua, sopan santun dan mempunyai akhlak yang baik kalau ibu bapanya tidak mempunyai sifat atau tingkah laku yang sedemikian. Sebab itulah pendidikan sekarang ini tidak berkesan, kerana ia hanya terlaksana di masa dan tempat yang tertentu sahaja.

Natijah yang kita dapat dari hasil pendidikan tersebut ialah berlakunya gejala-gejala sosial dikalangan remaja kita sekarang ini. Seperti berlakunya penyalah gunaan dadah, pergaulan bebas, mat rempit, buang anak dan sebagainya. Ramai anak remaja Islam kita yang rosak disebabkan terpengaruhnya dengan budaya barat yang merosakkan. Sepatutnya dengan kepesatan perkembangan teknologi, pendidikan dan ekonomi, remaja Islam kita lebih berdaya saing semasa mereka untuk memperolehi kejayaan dengan segala kemudahan yang ada pada masa sekarang ini. Tetapi malangnya remaja kita lebih terkebelakang jika dibandingkan dengan remaja-remaja bangsa lain di negara ini.

Pihak kerajaan telah memberikan berbagai-bagai kemudahan kepada kita untuk meningkatkan taraf kehidupan bangsa kita terutamanya Melayu Islam. Segala usaha yang dibautkan oleh kerajaan tidak mencapai tahap yang diharapkan, malah perlu mencari kaedah yang baru untuk menyelesaikan berbagai masalah-masalah sosial yang berlaku sekarang ini. Banyak wang dan tenaga pakar yang dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini.

Kaedah yang paling baik dan berkesan untuk menyelesaikan masalah ini adalah kembali semula kepada Islam, kerana Islam mempunyai kaedah yang lebih baik dan telah terbukti semasa Nabi Muhammad saw mendidik para sahabatnya dari zaman kegelapan jahiliah kepada zaman nur Islam. Setelah Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, baginda menjalankan usaha dakwah yang pertama secara berahsia. Pusat perhimpunan umat Islam atau para sahabatnya ketika itu adalah di rumah Al- Arqam bin Abil Arqam. Di sinilah Rasulullah saw mengajar para sahabatnya tentang dasar-dasar agama Islam iaitu Makrifatullah (Mengenali Allah). Berkat perjuangan dan kesabaran Rasulullah, maka para sahabatnya tabah dan bersabar apabila diseksa oleh penduduk musyrikin Mekah. Walaupun diseksa dan diancam bunuh, mereka tetap juga berpegang teguh dengan akidah Islam dengan penuh keyakinan. Tidak gentar menghadapi musuh-musuh mereka walaupun mereka tidak memiliki apa-apa kelengkapan atau senjata dan hanya yakin terhadap pertolongan Allah sahaja.

Inilah hasil yang dikehendaki dalam pendidikan Islam, bukan sahaja mempunyai akhlak yang baik, malah mereka juga berani mengorbankan diri mereka untuk menegakkan syariat Islam. Jelas di sini bahawa pendidikan Islam layak untuk digunakan dan diamalkan dalam kehidupan kita, supaya ia dapat memastikan anak-anak dan keluarga kita menjadi insan yang berguna, tidak menyusahkan masyarakat dan tertaqwa kepada Allah. Bagi memastikan pendidikan itu berjaya, maka ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak tersebut.


Thursday, June 9, 2011

Jom Dapatkan Buku Sulung Ustaz


Segala puji dan syukur kepada Allah SWT yang menjadikan alam ini dengan penuh keindahan. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan Muhammad SAW yang telah bersusah payah menegakkan syariat Islam di muka bumi ini, dengan berkat perjuangan Baginda Islam dapat dinikmati pada zaman sekarang ini walaupun Islam sentiasa menerima pelbagai dugaan dan cabaran dari musuh-musuhnya. Sebagai umat Islam, kita wajib membersihkan agama Islam ini dari segala tomahan dan fitnah yang telah dilemparkan oleh musuh-musuh Islam. Ayuhlah kepada sekalian umat Islam, marilah kita berpegang kepada Islam yang sempurna yang diasaskan dari Al-Quran dan Sunnah.

Ingatlah di dunia ini adalah tempat sementara sahaja dan tempat untuk kita mencari sebanyak yang mungkin pahala atau kebaikan untuk kita bawa ke akhirat nanti. Barang siapa yang mempunyai pahala dan kebaikan yang banyak, nescaya dengan kuasa Allah dia akan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan barang siapa yang banyak dosa pula akan dicampakkan ke dalam api neraka Allah yang amat dahsyat.

Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan sebuah buku yang menceritakan Taharah (bersuci) dengan cara lebih terperinci dan mudah untuk difahami oleh pembaca-pembaca sekalian. Dalam buku ini, saya masukkan beberapa perkara yang berkaitan dengan taharah iaitu seperti najis, istinjak, darah wanita, air manusia, mandi dan sunat-sunat fitrah. Ini semua sangat penting kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian. Saya yakin masih ramai lagi yang tidak memahami tentang taharah dan bahagian-bahagiannya. Sebab dari itulah, terdetik dari hati saya untuk menyusun sebuah buku yang berkaitan dengan taharah secara padat dan lengkap dan ia dapat menjadi rujukan kepada semua pihak pada bila-bila masa.

Saya mohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan yang terdapat di dalam buku ini dan semua kelemahan atau kesilapan akan diperbetulkan pada cetakkan kedua pada masa akan datang. Jika ada segala perbahasan atau pendapat saya dalam bab-bab yang tertentu yang tidak sehaluan dengan pembaca, anggaplah itu adalah lumrah di dalam perbahasan ilmu fiqh yang amat banyak perbahasan khilaf atau ijtihad dari para ulamak dan ilmuan Islam. Berlapang dadalah dalam segala pandangan yang tidak sehaluan dengan anda, kerana perbezaan pendapat itu adalah perkara fitrah selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum-hukum yang qat’i atau jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Hanya kepada Allah saya berserah diri dan mengharapkan keredhaan dan ganjaran atas segala usaha penyusunan buku ini, semoga segala kerja buat saya ini adalah kerana Allah dan bukan kerana untuk mencari sedikit keuntungan dunia yang bersifat sementara. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan nikmat kesihatan kepada saya untuk meneruskan lagi usaha berdakwah dan menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat Islam zaman sekarang ini, Insya Allah.

Wednesday, June 8, 2011

Team Bola Wanita Iran Di Halau Kerana Bertudung


AMMAN-Media massa Barat menonjolkan bagaimana air mata dan sujud para pemain bola sepak wanita Iran yang tidak bersedia mengorbankan kemuliaan mereka sebagai Muslimah ketika mengikuti pertandingan pemilihan Olimpik 2012 yang bakal diadakan di London. Pihak pengurusan Bahrain Berjaya membantah dan menggagalkan pertandingan team bolasepak wanita Iran ketika perlawanan dengan team Jordan pada Jumat 3 Jun di Amman baru-baru ini dengan alasan team dari Iran mengenakan pakaian Islam dan berjilbab.

Setelah keputusan berat sebelah itu, para pemain Team Iran bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Iran, kemudian berlari menelilingi padang sambil mengibarkan bendera Iran. Setelah itu mereka bersujud di atas bendera Iran dan meninggalkan padang dengan mata berkaca-kaca.

Keputusan pihak pengurusan Bahrain itu sangat mengecewakan apabila kedua team sudah siap masuk di padang untuk memulakan pertandingan. Namun sikap team Iran membuat para pemain Team Jordan dan juga para penonton terharu. Mereka memberi sokongan dengan bertepuk tangan mengiringi para pemain Iran ketika keluar padang.

Peristiwa tersebut mendapat sorotan meluas dari media massa Barat termasuk BBC, New York Times, Xinhua, dan bahkan Times of India. Dalam berbagai laporan disebutkan, "Team bola sepak wanita Iran dilarang mengikuti pertandingan pemilihan Olimpik 2012 London kerana memakai pakaian Islam."

Berdasarkan ketetapan FIFA, dilarang menutupi leher dan telinga ketika bertanding, namun Persatuan Bola sepak Kebangsaan Iran menyatakan bahwa pihaknya telah mendapat persetujuan dari FIFA dua tahun lalu bahwa Team Wanita Iran itu dapat bermain dengan tetap mengenakan jilbab. Team bolasepak wanita Iran berada dalam ranking terbaru FIFA naik dua tangga dikedudukan 51 dunia.


Setelah pembatalan tersebut, team tersebut segera meninggalkan Amman menuju Teheran. Team Iran itu menduduki tangga pertama dan telah bersedia untuk memasuki babak kedua. Ketua Persatuan Kebangsaan Bolasepak Iran, Ali Kaffashian, menyatakan sangat sedih dengan peristiwa tersebut dan menyatakan, pihaknya akan merujuk hal tersebut kepada FIFA. Kaffashian menegaskan bahwa Iran sebelumnya telah mendapat persetujuan dari ketua FIFA agar para pemainwanita Iran dapat tampil dengan mengenakanpenutup kepala khas untuk menjaga nilai-nilai Islam.

Sumber : Tranungkite Online

Monday, June 6, 2011

Nikah Gantung Sah Ke Tak Sah


assalamualaikum.
boleh saya tahu lebh lanjut mengenai nikah gantung. atau mungkin ustaz boleh buat 1 entry khas mengenai nikah gantung.
salam.

Jawapan :

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah swt menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” (An-Nur : 32)

Hukum Perkahwinan

  1. Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

  2. Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

  3. Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

  4. Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

  5. Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.
Nikah Gantung

Banyak betullah istilah-istilah yang digunakan orang melayu dalam pernikahan ni, ada cina buta, ada nikah gantung dan macam-macam lagi. Nikah gantung yang saya faham adalah seperti majlis pernikahan dibuat dahulu dan majlis perkahwinan atau kenduri kemudian. Kebanyakkan orang mengatakan bahawa nikah gantung ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya zina. Sebut-sebut nikah gantung ni selalunya kita dengar kepada anak-anak muda yang masih menuntut ilmu atau mabuk bercinta, takut makwe dan pakwe dirampas orang lain, maka mereka sanggup merancang untuk kahwin gantung.

Sebelum membuat keputusan kawin gantung ni, terlebih dahulu minta izin ibu bapa dahulu, jangan buat ikut nafsu sahaja, sebab masih banyak lagi tanggungjawab yang belum kita selesaikan terutamanya tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang berharap anak mereka memdapat kejayaan dalam pelajaran dan banyak lagi. Kalau ibu bapa bagi kawin, maka ia tidak menjadi masalah untuk melaksanakan perkahwinan. Redho ibu bapa ini penting sebab di situ ada keberkatannya. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Redho Allah itu atas redho kedua ibu bapa”.

Janganlah kita mengecewakan kedua ibu bapa kita kerana cinta dan perkahwinan tanpa redho mereka. Takut-takut hidup kita tak bahagia dan tidak aman, kerana balasan orang yang mengecewakan atau derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan balasannya di dunia.

Dalam hal yang lain juga perlu kita perhatikan, seperti tanggungjawab yang akan dipikul oleh orang yang sudah berkahwin, mampukah dia melaksanakan perkara tersebut seperti memberi nafkah, perlindungan, kebahgiaan dan sebagainya. Kalau mampu maka anda layak untuk berkahwin. Haram berkahwin bagi orang yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Boleh lihat di atas tentang hukum-hukum perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. “ (Al-Baqarah : 233)

Kahwin gantung, mestilah cukup rukun-rukun nikahnya seperti penganting lelaki, penganting wanita, dua orang saksi, wali, ijab dan qabul. Kalau cukup semua ini, maka perkahwinan tersebut sah dan bolehlah pihak penganting bersama. Ada adat melayu kita yang bercanggah dengan syarak seperti penganting yang nikah belum kenduri, tidak boleh bersama lagi. Sebenarnya perkara ini salah, kerana kenduri itu adalah sunat sahaja yang wajib itu adalah akad nikah. Tidak perlulah menghalang pengantin berjumpa atau berdua-duaan, lagipun saat itulah yang paling indah bagi pasangan pengantin.

Tidak boleh bersama bagi penganting lelaki yang belum bayar maskahwin kepada isterinya, kerana maskahwin adalah wajib, jika dia gagal membayarnya, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Kalau boleh jangan berhutang maskahwin sebab dia tidak mahal. Beza dengan hantaran, kadang-kadang kita dengar hantaran sampai puluh-puluh ribu. Perkahwinan ini bertujuan untuk mencari keberkatan dan mencari kebahgiaan, janganlah sampai menyulitkan atau memayahkan pihak penganting lelaki dengan jumlah yang tinggi sehingga dia terlibat pula dengan hutang. Penganting lelaki dan perempuan boleh bersama jika wang hantaran belum dibayar, kerana hantaran adalah sunat. Tentang maskahwin pihak pengantin lelaki boleh berbincang dengan pengantin perempuan dengan cara yang baik. Kadang-kadang ada pengantin perempuan yang sanggup berikan duit maskahwin kepada suaminya untuk kegunaan tertentu seperti belajar, yuran dan sebagainya, maklumlah pengantin lelaki masih belajar. Ada setengah wanita dia tetapkan maskahwinnya murah dan ada yang minta Al-Quran sahaja. Apa-apapun berbincanglah dan selesaikanlah segala kesukaran dengan cara yang baik dan hikmah.

Penutup

Apa-apapun sebelum berbuat sesuatu, fikirkanlah dan berdoalah semoga Allah memberikan satu jalan keluar dari segala kesulitan yang berlaku. Perkahwinan ini adalah satu perkara yang baik dan banyak ganjarannya. Di antaranya terhindar dari melakukan dosa, solat boleh khusyuk, mudah melakukan ibadah dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” (Ar-Rum : 21)


Friday, June 3, 2011

Bertakwalah Kepada Allah


Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepadaNya. Ibadat dengan erti tunduk, patuh dan taat kepada perintah dan arahanNya. Ini semua bertujuan melahirkan manusia yang baik dan beriman kerana hanya manusia yang beriman dapat memakmurkan alam yang diciptakan Allah dengan kebaikan.

Sekiranya penghuni bumi beriman, bumi akan aman dan sebaliknya jika bumi dipenuhi orang-orang yang fasik nescaya ia akan berada di lembah kehancuran. Oleh itu bumi sangat perlu kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa agar dapat terus dimanfaatkan oleh penduduknya.
Pengertian Takwa

Takwa merupakan masdhar (kata dasar/jadian) dari kata waqa’ yang berarti menghalangi diri dari segala hasrat biologis (Syahwat). Menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan, khususnya hal-hal syubhat, lebih-lebih yang haram. Takwa mempunyai pengertian yang sangat luas dan banyak. Antara beberapa takrif takwa yang diberikan oleh ulamak ialah seperti berikut :
  1. Takut kepada azab Allah dengan melakukan amalan yang soleh, dan takut kepada Allah secara terang atau tersembunyi.

  2. Takwa juga adalah berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan agar tidak melampaui batasan yang ditegah oleh Allah. Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang takwa. Ubay berkata: “Pernahkah kamu berjalan di suatu jalan yang penuh berduri?” Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubay lagi: “Bagaimana kamu melaluinya?” Kata Umar: “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.” Lalu Ubay berkata: “Itulah makna takwa.”

  3. Menurut Umar bin Abdul Aziz bahwa takwa adalah meninggalkan segala yang diharamkan (dilarang) oleh Allah Ta’ala dan melaksanakan apa Yang diwajibkan.

  4. Saidina Ali Karamallahu Wajhah pernah mentakrifkan takwa sebagai ‘takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, redha dengan kurniaan Allah walaupun sedikit, dan membuat persediaan untuk hari pembalasan.”

  5. Al-Tahanuwi mengatakan: “Takwa adalah kamu menghiasi batinmu untuk Allah sebagaimana kamu menghiasi zahirmu untuk makhluk.”

  6. Al-Taftazani pula menjelaskan takwa adalah menghindari diri daripada segala yang dikeji oleh syarak.
Kedudukan Takwa

Takwa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa dalam Islam. Banyak ayat al-Quran yang menyeru dan mendesak manusia supaya bertakwa kepada Allah swt Setiap minggu kaum muslimin diingatkan dalam khutbah Jumaat supaya bertakwa. Dengan peringatan berterusan yang sentiasa diberikan kepada orang yang beriman ini, maka ia menunjukkan bahawa betapa Allah swt sangat memberikan perhatian ke arah melahirkan mausia yang bertakwa. Allah swt juga mengingatkan manusia agar benar-benar bertakwa kepadaNya. Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu seorang muslim.” (Ali Imran : 102)

Terdapat dua perkara penting yang menjelaskan kepada kita betapa besarnya kedudukan takwa dalam Islam iaitu:
Seruan Kepada Takwa Adalah Tugas Utama Para Rasul

Tugas semua rasul yang diutuskan oleh Allah ialah mengajak umat mereka bertakwa kepada Allah. Semenjak zaman nabi Adam ‘Alaihissalam dan nabi-nabi selepas itu sehinggalah kepada Nabi Muhammad saw, kesemuanya menyeru kaum mereka supaya bertakwa kepada Allah. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang tugas ini. Antaranya ialah :

Firman Allah swt tentang kisah Nabi Nuh yang menyeru kaumnya supaya bertakwa kepadaNya selama 950 tahun :
“Kaum Nuh telah mendustakan para rasul,Ketika saudara mereka, Nuh berkata kepada mereka; mengapa kamu tidak bertakwa?” (Al-Syuara : 105-106)

Begitu juga kisah Nabi Hud as dengan kaum ad Baginda juga sentiasa menyeru kaumnya agar bertakwa kepada Allah swt :
“Kaum ‘Aad telah mendustakan para rasul.Ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka; Mengapa kamu tidak bertakwa?” (Al-Syuara : 123-124)

Antara tujuan dan matlamat Allah swt menurunkan hukum dan syariat kepada para nabi ialah untuk membentuk masyarakat yang bertakwa. Jika takwa sudah menghuni dalam jiwa manusia, maka mereka tidak perlu lagi kepada pengawasan dan kawalan daripada sesiapa pun. Takwa mendorong seseorang melakukan kebaikan yang membuahkan hasil.
Kayu Pengukur Kualiti insan

Allah swt menjadikan takwa sebagai kayu ukur hubungan seseorang hamba denganNya. Jika seseorang itu bertakwa, bererti dia orang yang hampir dengan Allah swt, manakala orang yang tidak bertakwa, dia adalah orang jauh hubungannya dengan Allah swt. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Al-Hujurat : 13)

Allah tidak menilai seseorang berdasarkan rupa paras, harta atau kedudukan, sebaliknya takwa menjadi asas penilaian Allah terhadap kualiti seseorang insan. Allah juga menyebut bahawa takwa sebagai sebaik-baik bekalan yang perlu disediakan oleh manusia untuk bertemu denganNya di akhirat kelak. Tiada bekalan lain yang setanding dengan takwa. Firman Allah :

“Sediakanlah bekalan,sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa” (Al-Baqarah : 197)

Di samping itu, takwa juga menjadi pakaian terbaik untuk perhiasan hidup manusia di dunia ini kerana orang yang bertakwa bukan sahaja mulia di sisi Allah tetapi mereka juga akan dihormati oleh manusia kerana ketinggian akhlak dan keperibadian mulia. Firman Allah swt :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan, dan takwa ialah sebaik-baik pakaian untukmu” (Al-Araf : 26)
Implikasi Orang Bertakwa

Allah swt telah menjanjikan beberapa ganjaran bagi orang yang bertakwa sama ada berupa ganjaran di dunia mahupun ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Antara ganjaran yang menanti orang-orang yang bertakwa ialah :
Allah Menjadikan Di antara Para WaliNya

Kedudukan orang yang bertakwa sangat mulia di sisi Allah. Allah swt tidak menjadikan rupa paras atau harta dan kedudukan sebagai kayu pengukur kepada penilaian kemuliaan seseorang manusia, sebaliknya menjadikan ketakwaaan seseorang sebagai ukuran. Walaupun pada pandangan manusia seseorang mungkin di pandang rendah kerana tidak memiliki harta, kekayaan dan pangkat tetapi jika dia bertakwa, maka dia tinggi di sisi Allah. Di kalangan orang yang bertakwa ada yang lebih tinggi darjat mereka lalu diangkat oleh Allah sebagai para waliNya. Firman Allah swt :
“Ingatlah sesungguhnya para wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.Iaitu orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.” (Yunus : 62-63)
Mendapat Hidayah Daripada Allah

Allah swt berhak memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bagi orang yang bertakwa, mereka seolah-olah mendapat satu jaminan daripada Allah swt bahawa mereka akan mendapat hidayah tersebut, sedangkan orang yang tidak bertakwa akan terus berada dalam kesesatan kerana tiada hidayah daripada Allah swt. FirmanNya :
“(Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran : 138)
Menerima Amalan Mereka Sebagai Ibadat

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa." (Al-Maaidah : 27)

Ini bermaksud orang yang tidak bertakwa, segala amalan kebajikan yang mereka lakukan tidak dinilai dan diberikan ganjaran oleh Allah. Amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Mereka menjadi orang-orang yang rugi.
Selamat Daripada Rancangan Jahat Dan Godaan Syaitan

Orang yang tidak bertakwa mudah terpengaruh dengan pujukan dan godaan syaitan. Mereka akhirnya terpedaya dan mengikut hasutan syaitan yang menyesatkan. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Al-Araaf : 201)
Terlepas Daripada Belenggu Kesempitan Hidup Dan Dimurahkan Rezeki

Orang bertakwa sentiasa diberikan jalan keluar oleh Allah ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Hati mereka sentiasa tenang kerana yakin Allah pasti akan membantu mereka. Allah juga memberi jaminan rezeki yang berterusan kepada orang-orang yang bertakwa. Firman Allah swt :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar .Dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak ia sangka.” (Al-Talaq : 2-3)
Sentiasa Mendapat Pertolongan Dan Kasih Sayang Allah

Orang-orang yang bertakwa sentiasa patuh dan taat kepada Allah. Mereka melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Oleh itu Allah juga memberikan kasih dan cintaNya kerana mereka. Bahagialah orang-orang yang mendapat kasih dan cinta Allah kerana Allah akan sentiasa memeliharanya daripada sebarang kecelakaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Nahl : 128)

FirmanNya lagi :
“Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertakwa.” (Al-Taubah : 7)
Mendapat Balasan Syurga Daripada Allah

Syurga menjadi idaman bagi setiap manusia, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Mereka sering merindukan syurga. Mereka juga terdorong melakukan amalan soleh dengan harapan diberikan ganjaran syurga. Allah menjanjikan syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tiada tandingannya kepada orang yang bertakwa. Firman Allah swt :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mata air.” (Al-Zariyat : 15)
Kisah Orang Bertakwa

Kisah Pertama :

Abdullah bin Dinar menceritakan: “Suatu hari aku pergi ke Mekah dengan Umar al-Khattab. Dalam perjalanan kami kehabisan bekalan makanan, lalu bertemu dengan seorang pemuda pengembala kambing. Umar meminta kepada pemuda itu agar dijualkan seorang kambing kepada kami. Pemuda itu memberitahu dia hanyalah seorang hamba yang ditugaskan memelihara kambing tersebut, tidak berhak untuk menjualnya.

Umar mengujinya dengan berkata: “Kamu beritahulah kambing kamu telah dibaham serigala.” Jawab pemuda itu: “Allah melihat perbuatan saya.” Umar menangis mendengar jawapan pemuda pengembala kambing tersebut yang takut kepada Allah. Dia tidak sanggup melanggar larangan Allah dengan menjual kambing yang bukan miliknya, walaupun ditawarkan dengan ganjaran dunia di saat dia sangat memerlukannya. Akhirnya pemuda itu dibeli lalu dibebaskan oleh Umar al-Khattab.”

Kisah Kedua :

Kisah seorang ibu dengan anak gadisnya penjual susu. Ibunya mahu mencampurkan air ke dalam susu agar mereka mendapat keuntungan yang lebih. Si ibu menyebut bahawa tiada siapa yang tahu perbuatan mereka termasuk khalifah Umar. Jawab si anak gadis: “Walaupun Umar tidak nampak, tetapi tuhan Umar nampak perbuatan kita.” Anak gadis ini tidak mahu mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan. Walaupun tiada siapa yang melihat perbuatannya, tetapi keyakinan kepada Allah telah mencegahnya daripada perbuatan dosa.

Kedua-dua kisah di zaman Saidina Umar ini memberikan gambaran pemuda dan pemudi yang beriman dan bertakwa yang telah berjaya dilahirkan pada zaman baginda. Mereka memiliki peribadi, akhlak dan keimanan yang tinggi. Bagaimana pula dengan generasi muda-mudi di zaman kita sekarang?
Jalan-jalan Menuju Takwa

Setelah mengetahui hakikat dan kepentingan takwa, kita perlu mengetahui jalan-jalan yang boleh membawa kita menjadi orang-orang yang bertakwa. Kita juga mahu mencontohi dan menjadi golongan beriman sebagaimana golongan yang terdahulu. Berikut adalah beberapa perkara yang harus dilakukan untuk mencapai darjat takwa :
Membaca Al-Quran Dan Menghayatinya

Hati yang bersih dapat menerima peringatan daripada al-Quran. Orang yang mendapat penyakit hati seperti tiada ketenangan jiwa dan resah gelisah, hati mereka akan sembuh apabila membaca al-Quran. Firman Allah swt :
“Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka bertakwa.” (Al-Baqarah : 187)

Firman-Nya lagi :
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.(Yunus : 57)

Bagi orang kafir dan munafik, mereka tidak mendapat manfaat daripada Al-Quran. Sebahagian ulama tasawwuf menyebutkan bahawa Al-Quran ialah jalan yang paling sempurna untuk mendapat keredhaan Allah. Tempoh paling singkat untuk mengkhatamkan Al-Quran ialah tiga hari (sehari sepuluh juzuk) manakala paling lama ialah sebulan (sehari satu juzuk). Para ulamak menyebutkan tidak harus seorang muslim membiarkan harinya berlalu tanpa dia membaca sebahagian daripada Al-Quran.

Membaca Al-Quran bukan sekadar untuk mendapat berkat tetapi tujuan utama ialah untuk memahami ,menghayati dan beramal dengan isi kandungannya. Di samping itu pembaca mestilah menjaga adab ketika membaca Al-Quran yang merupakan kitab suci dan hidayah bagi orang-orang beriman.
Berusaha Mencari Hidayah Allah

Hidayah adalah hak milik Allah. Manusia hanya boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi Allah sahaja yang berhak menentukan kepada sesiapa yang dikehendakiNya untuk diberi hidayah.Firman Allah swt :
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami.” (Al-Ankabut : 69)

Antara usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk mencapai hidayah Allah ialah dengan memperbanyakkan berfikir tentang ciptaan Allah serta berzikir kepadaNya. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan lagit dan bumi (lalu berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Allah, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”(Ali Imran : 190-191)

Di samping itu manusia hendaklah memenuhi segala tuntutan dan kewajipan sebagai seorang muslim seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menghubungkan silaturrahim, jihad pada jalan Allah dan meninggalkan yang haram .

Berpuasa

Berpuasa merupakan salah satu cara untuk mencapai darjat takwa di sisi Allah. Takwa ialah jalan menuju ke syurga, dan syurga pula dikelilingi oleh perkara yang dibenci oleh manusia, manakala hawa nafsu pula ialah jalan menuju ke neraka. Berpuasa adalah lambang penguasaan manusia terhadap hawa nafsu. Manusia berjaya hidup di atas dunia ini sekiranya nafsu mereka dapat dikuasai. Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Neraka dikelilingi oleh hawa nafsu (yang disukai manusia), dan syurga dikelilingi oleh perkara yang dibenci manusia (melakukannya).” (Muttafaqun ‘Alaih)

Antara hikmah Allah mewajibkan puasa kepada orang beriman ialah untuk melahirkan orang-orang yang bertakwa kepadaNya. Dengan melakukan ibadah puasa manusia boleh mencapai darjat ketakwaan. Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu puasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Ibadah puasa mempunyai kekuatan menundukkan hawa nafsu. Puasa juga mempunyai sistem pendidikan yang baik kerana dalam ibadah puasa Ramadhan disunatkan juga membaca al Quran, solat tarawih, ‘iktikaf di masjid, qiamullail dan bersedekah.Semuanya seolah-olah satu pakej yang mempunyai kelebihan tersendiri yang saling melengkapkan antara satu sama lain dalam melahirkan orang-orang yang bertakwa.
Mengenal Allah (Ma’rifatullah)

Kita diperintah supaya beribadah kepada Allah. Ibadah tidak bererti tanpa kita mengenal siapa tuhan yang kita sembah. Semua penganut agama di dunia mendakwa mereka menyembah tuhan, tetapi mereka menyembah tuhan yang palsu kerana mereka tidak kenal tuhan yang sebenar. Firman Allah swt :
“Wahai manusia, sembah tuhan yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 21)

Untuk menjadi orang bertakwa, seseorang manusia mesti mengenal zat, sifat dan nama Allah seperti yang diterangkan oleh al-Quran. Zat Allah tidak sama dengan zat makhluk begitu juga sifatNya yang tidak sama dengan sifat makhluk. Firman Allah swt :
“Tidak ada suatu pun yang serupa denganNya,dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Syura : 11)

Ibadah juga mestilah dilakukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Kita tidak boleh mereka atau mencipta menurut hawa nafsu sendiri. Semua perbuatan kita sama ada melakukan yang disuruh, meninggalkan larangan atau melakukan yang sunat pula mestilah disertai dengan niat beramal soleh. Jika tidak, amalan kita hanya menjadi adat kebiasaan.

Demikianlah sebahagian kaedah sebagai panduan bagi seseorang untuk mencapai darjat takwa. Jika kita berusaha memenuhi segala tuntutan tersebut, tidak mustahil kita juga dapat memperolehinya. Bahagialah orang yang berjaya mencapai ketakwaan kerana mereka akan beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.
Kesimpulan

Setiap orang yang beriman hendaklah berusaha mencapai darjat takwa iaitu dengan cara memastikan setiap perbuatan dan perkataan yang mereka lakukan bertujuan mendapat keredhaan Allah. Orang yang diredhai Allah akan mendapat kasih sayang daripadaNya.

Wednesday, June 1, 2011

Muzakarah JAKIM : Haram Pelaburan Forex Internet


Salam perjuangan kepada semua umat Islam dan mereka yang sentiasa bersama saya dalam menjalankan dakwah melalui alam maya ini. Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya yang telah berjaya mengembangkan Islam keseluruh dunia. JAKIM telah melaksanakan satu muzakarah yang berkaitan dengan Pelaburan Forex melalui internet, pada tarikh 31 Mei 2011, hari Selasa. Hasil perbincangan tersebut, pihak yang terlibat dalam muzakarah tersebut sebulat suara bersetuju mengatakan bahawa Pelaburan Forex melalui internat adalah haram.

Di sini saya masukkan ringkasan perbincangan tersebut yang telah diambil dari laman blog Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. (Lihat di sini)

KUMPULAN PERTAMA

Hasil daripada kajian kumpulan pengkaji pertama yang dianggotai oleh Prof. Madya Muhammad Bin Som, Dr Marjan Muhammad, Ust Luqmanul Hakim Hussain, Wan Norhaziki Wan Abdul Halim. Kesimpulan mereka mencatatkan seperti berikut :

Pertama : Spot forex yang dijalankan oleh individu melalui platform internet agak berbeza daripada konsep spot forex yang dijalankan di peringkat inter-bank. Dari satu sudut, ia dibuat berdasarkan spot forex dari segi harga lani (value spot), tetapi dari segi penyelesaian ia tidak berlaku berdasarkan T+2. Malah penyelesaian tidak akan berlaku selagi pedagang tidak menutup posisi yang dibukanya.

Namun, dari sudut yang lain, spot forex dilihat lebih mirip kepada forward forex, kerana apabila pedagang membeli sesuatu matawang daripada broker, beliau tidak akan dapat memiliki matawang yang dibelinya. Sebaliknya, pedagang akan menikmatinya setelah beliau menjualnya semula kepada broker pada waktu hadapan. Apa yang membezakan spot forex oleh individu dengan forward forex ialah kadar tukaran matawang masa hadapan adalah tetap iaitu kadar yang dipersetujui pada tarikh transaksi, manakala kadar tukaran matawang dalam spot forex tidak tetap, tetapi berdasarkan turun naik harga pasaran matawang yang didagangkan.

Kedua : Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah. Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1),(2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953. Mana-mana individu dilarang sama sekali berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

Ketiga : Berdasarkan beberapa isu syariah yang diketengahkan termasuk isu qard = leverage, riba al-nasi’ah = rollover interest, qabd, menjual matawang yang tiada dalam pegangan (qabd) dan spekulasi yang melibatkan perjudian, ternyata operasi spot forex secara online oleh individu adalah tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jualbeli matawang (bay‘ alSarf).”

KUMPULAN KEDUA

Manakala satu kumpulan lagi datangnya dari Universiti Utara Malaysia yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib, Dr. Muhammad Nasri Hussain. Kertas mereka menyimpulkan seperti berikut :

“Berdasarkan perbincangan di atas, perdagangan forex online adalah tidak dibenarkan oleh Syarak kerana adanya perkara-perkara yang menyalahi Syarak iaitu.
  1. Pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak Sarf dan mengandungi unsur riba.

  2. Sekiranya pembelian kredit itu ditakyifkan sebagai pemberian pinjaman oleh broker, perkara tersebut masih termasuk dalam aktiviti yang dilarangkan oleh Syarak kerana mengandungi unsur mendapat manfaat dari pinjaman, dan larangan mengumpulkan ‘pinjaman’ dan jual-beli’.

  3. Menjual matawang secara menangguhkan penyerahan adalah dilarang oleh Syarak. Syarat qabd dalam majlis tidak wujud di dalam transaksi ini. Keharusan melewatkan penyerahan (qabd) tidak boleh diaplikasi dalam urusniaga ini kerana tidak termasuk di dalam konsep ‘darurat’ bagi transaksi ‘bonafide’.

  4. Urusniaga broker secara online ini mengandungi unsur bay’ al-najsy iaitu peniaga menawarkan harga bukan untuk memiliki matawang sebaliknya untuk memberi faedah kepada penjual melalui kenaikan harga.

  5. Urusniaga ini juga mengandungi ihtikar yang dilarang oleh Syarak.

  6. Urusniaga ini juga mengandungi unsur perjudian yang bergantung kepada turun naik harga atau angka.”
Nasihat Ustaz

Berlapang dadalah dan terima kenyataan bahawa Pelaburan Forex Internet adalah haram. Pihak JAKIM dan penal-penal yang terlibat lebih arif, lebih mengetahui dan lebih mengkaji akan perkara tersebut daripada kita yang tidak mengetahui dan tidak mengkaji dengan cara lebih mendalam. Jangan pula mencari jalan untuk membolehkan Pelaburan tersebut dengan cara memfitnah, memcerca pihak JAKIM dan Ahli muzakarah untuk kepentingan peribadi. Perbuatan seperti ini bukan dari budaya Islam dan tidak bertanggungjawab.

Bagi sesiapa yang terlibat dengan Pelaburan Forex Internat, maka lebih baik berhenti dan keluarkan duit tersebut dari pelaburan tersebut. Keuntungan yang dimiliki selama ini dari hasil pelaburan tersebut, dapat disedekahkan kepada pihak-pihak yang tertentu untuk kegunaan awam seperti rumah anak yatim, masjid, balai raya dan sebagainya. Segala hasil dari perkara yang haram tidak akan memperolehi keberkatan dalam kehidupan kita dan Allah tidak meredhoi segala usaha dan amalan kita yang terlibat dengan wang haram atau pekerjaan haram.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG