PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, July 25, 2011

Berkahwin Dengan Bakal Suami Atau Isteri Sudah Telanjur


Saya berumur 25 tahun dan kawan perempuan saya berumur 20 tahun. Kami berhasrat untuk berkahwin tanpa menceritakan perkara sebenar kepada keluarga saya.

Perempuan berkenaan sudah terlanjur ketika zaman persekolahan dengan lelaki lain.

Apakah hukum mengahwini perempuan itu dan kedudukan saya di sisi agama kerana niat saya kahwin adalah untuk membimbing perempuan itu ke arah yang lebih baik?

Jawapan Dr. Salam

Hukum perkahwinan itu adalah harus atau dibenarkan. Niat anda adalah baik dan ia boleh diteruskan. Sudah tentu pasangan anda sudah bertaubat dan menyesal dengan peristiwa lampau dan bersedia membaiki diri.

Apa yang penting persetujuan anda untuk mengambilnya sebagai isteri dan seterusnya membimbing isteri ke jalan yang benar (Islam).

Seterusnya anda tidak perlu menceritakan peristiwa silam itu kepada sesiapa kerana ia adalah satu aib dan keburukan yang tidak perlu didedahkan.

Sumber : Harian Metro

Jawapan Ustaz Pula

Sebagai seorang yang pernah terlanjur pada masa dahulu dan telah bertaubat kepada Allah swt. Tidak perlulah menceritakan perbuatan tersebut kepada bakal suami atau isteri anda, kerana hal ini sangat mengaibkan diri anda sendiri. Malah ia boleh menimbulkan perasaan kurang baik bagi pasangan anda apabila sudah mendengar cerita ini. Lebih baik disembunyikan sahaja perbuatan tersebut dari timbul pula masalah-masalah baru. Setiap manusia ada silapnya, segala kesilapan yang telah dilakukan cukup bertaubat kepada Allah dan tidak perlu diceritakan kepada orang ramai atau bakal pasangan anda.

Bagi sesiapa yang mengetahui bahawa pasangannya pernah terlanjur dengan orang lain pada masa dahulu, maka anda perlu ikhlaskan diri anda untuk menerima atau tidak, jangan letakkan perasaan kasih sayang dihadapan kerana ia sangat merbahaya pada masa akan datang nanti. Jika berlaku pergaduhan, kemungkinan besar peristiwa ini akan diungkit kembali. Kalau anda menerima bakal isteri atau suami anda dengan hati yang ikhlas atau ingin membimbingnya ke arah jalan yang benar (Islam) maka dipersilakan untuk meneruskan hajat anda, kerana niat anda sungguh murni dan dalam masa yang sama anda telah melaksanakan kerja dakwah dalam rumahtangga anda.

Thursday, July 21, 2011

Iman Senilai RM 0.20



Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut. "Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?", Imam tersebut bertanya kepada dirinya. "Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup", kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti. Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut. "Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya", pemandu bas tersebut berkata. Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya wajib berlaku jujur".

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam".

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!, Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!.

Sahabatku... Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas?

Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam...

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

"DUNIA sebagai ALAT, AKHIRAT sebagai MATLAMAT"

Semoga Bermenfaat!

Sumber : Maju Online Net


Sunday, July 17, 2011

Hukum Orang Kafir Baca Al-Quran Dan Hadis



Assalamualaikum ustaz..saya ada satu persoalan apakah hukum bagi orang bukan Islam menggunakan hadis dalam hujahnya?..cthnya apa yang berlaku pada sidang ADUN semalam..adakah ianya salah??apa pandangan ustaz.?

Jawapannya

Islam yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah saw adalah untuk disampaikan kepada semua umat manusia tanpa dikecualikan kepada sesiapa. Al-Quran dan Hadis adalah dua sumber hukum yang paling penting dalam menentukan sesuatu hukum di dalam Islam selain daripada Ijamak dan Qiyas. Selain dari itu juga, Al-Quran dan Hadis merupakan suatu alat dakwah yang mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah dan kebenaran Islam kepada orang-orang bukan Islam. Untuk berdakwah kepada mereka, kita tidak berhujah dengan hanya menggunakan akal semata-mata kerana Islam itu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan dikukuhkan juga dengan kebenaran akal fikiran manusia. Saidina Umar Al-Khatab memeluk agama Islam dengan hanya mendengar adiknya Fatimah membaca Al-Quran.

Berdasarkan persoalan di atas mengenai orang kafir membaca Al-Quran atau membaca Hadis Rasulullah saw. Di sini saya datangkan pendapat ulamak terlebih dahulu yang berkaitan dengan masalah ini, di antaranya ialah :

  1. Syeikh Atiyyah Saqr bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa : “Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.”

  2. Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar mengatakan bahawa : “Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.”

  3. Begitu juga dengan pendapat dikalangan ulamak Mazhab Syafie di antaranya ialah Imam Ramli dalam kitabnya ihaayatu al Muhtaj mengatakan bahawa : "Orang kafir tidak ditegah untuk membaca la-Quran kerana mereka tidak percaya kepada kehormatannya."

  4. Ada juga sebahagian ulamak terutamanya dari kalangan Mazhab Hambali mengatakan bahawa : “Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub.”

Sebagai orang muslim yang baik, maka kita kena positifkan perkara ini dan jangan sama sekali mencampurkannya dengan kepentingan peribadi masing-masing. Masalah ini akan lebih parah lagi apabila ia melibatkan kepentingan politik tertentu. Kalau masalah ini dibicarakan mengikut fikiran yang waras, maka masalah ini tidak menjadi besar dan tidak berlaku laporan polis dan berbagai kecaman yang telah berlaku sebelum ini. Perkara ini semua merupakan khilaf ulamak, lazimnya apabila berlakunya khilaf ulamak, maka mesti ada yang mengatakan harus, haram, sunat, makruh dan sebagainya. Faktor berlakunya berbagai pendapat dari kalangan para ulamak adalah disebabkan tiada dalil Al-Quran dan Hadis yang mengatakan haram dan mengatakan harus orang kafir membaca Al-Quran dan Hadis.

Sepatunya masalah ini tidak menjadi besar dan kita sebagai orang awam perlu menghormati segala pandangan yang telah dikeluarkan oleh orang-orang alim walaupun ia tidak bersesuaian dengan pandangan kita. Mereka mengeluarkan hujah berdasarkan ilmu mereka. Kita mengeluarkan hujah berdasarkan fikiran yang jahil agama dan dicampurkan juga dengan keinginan nafsu politik yang tajam.

Ini pandangan saya, orang kafir membaca Al-Quran dan hadis ia merupakan langkah yang baik, kerana secara langsung atau tidak langsung mereka telah mempelajari Al-Quran dan Hadis. Masalah tajwid atau sebutan itu janganlah kita pertikaikan, kerana mereka mana tahu ilmu tajwid, lagipun lidah mereka bukan seperti lidah orang yang dah lama belajar membaca Al-Quran atau Hadis. Sepatutnya kita kena malu kepada mereka, kerana ramai orang Islam yang tidak tahu membaca Al-Quran, malah lebih teruk lagi tidak tahu mengucap pun ada. Ramai ahli-ahli sains barat yang memeluk Islam kerana mereka mengkaji dan membaca Al-Quran yang telah diterjemahkan kepada bahasa mereka.

Antara ahli sains yang telah memeluk islam kerana melihat kebenaran Al-Quran ialah profesor Milan dari Republik Czeck, Dr. Murice Bucaille, seorang doktor bedah dari Perancis, Jacque Costeau, ahli kaji lautan juga dari Perancis, Dr. Tijtet Tijson, seorang profesor perubatan dari Chiang Mai University, Thailand juga telah menganut Islam selepas melihat kebenaran Al-Quran. Profesor Keith L Moore, dari University Toronto, Kanada menyatakan bahawa mustahil kenyataan tentang embriologi yang terdapat dalam al-quran ini berasal daripada Nabi Muhammad saw dan beliau mengakui kebenaran Al-Quran.

Orang kafir belajar membaca Al-Quran dan Hadis juga merupakan sebahagian dari dakwah Islam yang telah disampaikan tanpa paksaan, mereka berminat untuk menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai hujah mereka. Kita sebagai orang Islam berusaha menyampaikan dakwah dan berdoa kepada Allah semoga diberikan hidayah kepada mereka untuk memeluk agama Islam. Al-Quran bukan untuk orang Islam sahaja, malah dia juga ditujukan kepada orang bukan Islam dan banyak ayat-ayat yang mengatakan wahai sekalian manusia, ini membawa maksud secara umum iaitu sekalian manusia termasuk yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Saya tegaskan di sini, artikel saya ini tidak terikat kepada mana-mana fahaman politik, saya berhujah berdasarkan sedikit ilmu yang kerdil dan sedikit rujukan yang telah dibuat. Tujuan penyebaran artikel ini adalah sebagai jawapan kepada pengunjung yang bertanya dan merupakan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang menghayati hadis Rasulullah yang berbunyi “Sampaikanlah walaupun dengan satu ayat”.


Friday, July 15, 2011

Orang-orang Asing (Ghuraba)



Nasyid ghuraba yang sangat popular dikalangan manusia yang sentiasa menegakkan harakah Islamiah, nasyid ini telah dicetuskan oleh pejuang-pejuang ikhwanul muslimin yang telah dipenjarakan dan dihukum bunuh oleh pemerintah yang zalim ketika itu. Setiap kali saya mendengar nasyid ini mengalir air mata apabila menghayati maksud nasyid tersebut. Kadang-kadang nasyid ini menjadikan saya bermuhasabah diri sendiri dengan segala kesenangan yang Allah beri, tapi berapa banyak yang saya guna untuk Islam. Kalau nak dibandingkan dengan pejuang Islam yang dulu dan sekarang yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk mengembalikan kegemilangan Islam, memang jauh sekali.

Nasyid ini sangat bagus didengari oleh orang yang mendukung perjuangan Islam, kerana dalam liriknya terdapat berbagai jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapi oleh orang yang mendukung perjuangan Islam. Dalam perjuangan mesti ada jati diri yang kuat dan teguh apabila menghadapi segala tekanan dan ancaman. Contoh dapat kita lihat di dalam video ini, orang yang menciptakan lagu ini tidak gentar menghadapi segala ugutan walaupun mereka berhadapan dengan hukuman mati.

Orang asing itu bukan bermaksud penjajah atau orang yang tidak mahu berpegang kepada syariat Islam, orang asing yang dimaksudkan di sini adalah orang yang mendukung kuat perjuangan Islam itu dianggap seperti orang asing dan orang yang tidak mempunyai tamadun dan mereka tidak layak bersuara.

Kepada semua pendukung Islam, janganlah berasa kecewa dengan apa yang telah diusahakan walaupun kita semua diusir atau dipulau oleh masyarakat sekeliling. Tapi ingatlah Allah sentiasa memuji segala tindakan yang dilakukan untuk memartabatkan Islam. Gunakan segala apa yang ada untuk melaksanakan dakwah Islam kepada masyarakat walaupun sedikit sahaja yang kita tahu. Ingatlah orang asing tidak akan rugi di dunia dan di akhirat. Hadis Nabi saw yang bermaksud :

“Islam bermula dengan asing dan ia akan kembali asing seperti permulaannya, maka beruntunglah orang yang asing.”


video


video
Sefahaman saya nasyid ini dicipta semasa berada di dalam penjara, video ini adalah vokal asalnya dihukum mati

Maksud Lirik Nasyid Ghuraba


Orang-Orang Asing 8X

Orang-orang asing, jangan kita mengagungkan sesuatu selain daripada Allah,
Orang-orang asing, redhailah ianya sebagai syiar hidup.
Orang-orang asing, jangan kita mengagungkan sesuatu selain daripada Allah,
Orang-orang asing, redhailah ianya sebagai syiar hidup.

Sekiranya kau tanya tentang kami maka kami tidak peduli dengan orang-orang yang zalim,
Kita tentera Allah selamanya, jalan kita adalah jalan orang-orang yang enggan terhina.
Sekiranya kau tanya tentang kami maka kami tidak peduli dengan orang-orang yang zalim,
Kita tentera Allah selamanya, jalan kita adalah jalan orang-orang yang enggan terhina.

Orang-Orang Asing 8X

Kita tidak peduli dengan perikatan bahkan kita akan selesaikan untuk selama-lamanya,
Kita tidak peduli dengan perikatan bahkan kita akan selesaikan untuk selama-lamanya.
Maka marilah kita berjihad, kita bertempur dan kita berperang daripada pembaharuan,
Orang-orang asing beginilah kebebasan di dalam dunia perhambaan.

Maka marilah kita berjihad, kita bertempur dan kita berperang daripada pembaharuan,
Orang-orang asing beginilah kebebasan di dalam dunia perhambaan.

Orang-Orang Asing 8X

Berapa kalikah kita memperingati masa tika hari kita bergembira,
Dengan kitab Allah kita menghafaznya pagi dan petang.
Berapa kalikah kita memperingati masa tika hari kita bergembira,
Dengan kitab Allah kita menghafaznya pagi dan petang.

Orang-Orang Asing 8X

Orang-orang asing, jangan kita mengagungkan sesuatu selain daripada Allah,
Orang-orang asing, redhailah ianya sebagai syiar hidup.
Orang-orang asing, jangan kita mengagungkan sesuatu selain daripada Allah,
Orang-orang asing, redhailah ianya sebagai syiar hidup.

Sekiranya kau tanya tentang kami maka kami tidak peduli dengan orang yang zalim,
Kita tentera Allah selamanya, jalan kita adalah jalan orang-orang yang enggan terhina.
Sekiranya kau tanya tentang kami maka kami tidak peduli dengan orang yang zalim,
Kita tentera Allah selamanya, jalan kita adalah jalan orang-orang yang enggan terhina.

Orang-Orang Asing 8X



Sunday, July 10, 2011

Masih Adakah Zinnirah Di Akhir Zaman Ini



Allah..., Allah..., Allahu Akhbar, Allah Yang Maha Besar. Begitulah rintihan yang kedengaran daripada bibir merekah seorang wanita dek lapar dan dahaga menanggung derita kerana beriman.

Bayangkanlah betapa siksanya ditelentangkan di tengah padang pasir yang panas terik. Sedangkan badannya dihempap batu besar lagi berat. Kemudian disebat bertubi-tubi. Tetapi keadaan begini tidak sedikit pun memesongkan hati Zinnirah daripada meyakini kewujudan dan keesaan Allah. Hatinya berbisik, “Ini untuk-Mu wahai Tuhan-ku. Aku membeli kesusahan ini untuk kesenangan akhirat kelak. Aku sedar untuk memperoleh syurga terpaksa melalui ujian berat. Sedangkan jalan ke neraka itu di pagari nikmat.”

Penyiksaan demi penyiksaan diterima oleh Zinnirah dengan penuh tabah. Kaki dan tangannya diikat. Tamparan serta tendangan yang hinggap di tubuhnya tidak sedikit pun mengubah fikiran Zinnirah. Begitulah keadaan hamba perempuan Umar al-Khattab yang telah memeluk Islam sebelum tuannya sendiri beroleh hidayah Allah. Umar yang terkenal bengis semasa jahiliyahnya tidak pun menaruh belas terhadap hamba-hambanya yang memeluk Islam. Kesemuanya disiksa dengan dahsyat!

Zinnirah termasuk di kalangan generasi awwal yang memeluk Islam. Pasti dia telah menerima seruan Rasulullah secara rahsia. Zinnirah menerima cahaya keimanan itu dengan hati yang insaf dan sedar bahawa Yang Maha Pencipta sajalah yang berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya. Dia menunaikan ibadtnya secara sembunyi pada waktu malam.

Dalam keheningan dan kesunyian malam, dia sujud memohon pertolongan Allah. Setiap kali ayat-ayat Al-Quran dibacanya, pasti tidak henti-henti airmatanya berlinangan. Bilamana terbaca ayat Al-Qur’an yang menggambarkan siksaan api neraka, dia menangis hingga pengsan. Jiwa tauhid tertanam tebal dalam dirinya, tiada suatupun dapat mempengaruhinya melainkan kekuasaan Allah.

Penyiksaan terhadap Zinnirah berada di kemuncaknya bilamana kedua-dua matanya dicucuk dengan besi tajam. Akhirnya gelaplah seluruh penglihatannya. Terlalu zalim penyiksaan tersebut. Namun hatinya masih mampu berbisik, ‘Ya Allah, aku lebih rela dibunuh daripada menjual agama-Mu. Semakin dahsyat penyiksaan ini, semakin kurasai kehebatan dan keagungan-Mu. Panahan cinta-Mu itulah yang menguatkanku menanggung azab ini. Ya Allah! Berilah petunjuk kepada orang yang menyiksaku...”

Bukan sahaja Zinnirah tidak berdendam, malahan ketabahnnya semakin mendalam. Meski pun matanya telah buta tetapi hatinya tetap celik dan berupaya melihat cahaya kebenaran Islam. Begitulah hakikat iman, kesannya terhadap hati memang luarbiasa. Apatah lagi jika disertai dengan pengorbanan yang sangat besar seumpama yang telah dikorbankan oleh Zinnirah. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah yang berbunyi :

“Tidak ada sesuatu pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akn memberi petunjuk kepada hatinya Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghaabun: 11)

Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya supaya terpesong daripada Islam. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari tuhan mereka, Latta dan Uzza. Zinnirah menolak dakwaan itu dengan pendiriannya yang tegas. Dia tahu dengan jelas, Latta dan Uzza itu hasil ciptaan tangan orang-orang kafir Quraisy. Bila-bila masa saja ia boleh dimusnahkan, dan sudah tentu tidak mungkin buatan manusia tidak dapat mendatangkan sesuatu bencana maupun rahmat.

Zinnirah tetap menegaskan, bahawa matanya buta atas kehendak Allah. Maka hanya Allah jua yang akan dapat menghilangkan bencana yang ditanggungnya. Dengan pendirian Zinnirah itu, bertambah-tambah kemarahan orang-orang kafir Quraisy. Mereka memperhebatkan lagi siksaan terhadap Zinnirah dan terus mencabarnya untuk membuktikan kebenaran pendiriannya itu. Zinnirah terbukti tegas dan tabah. Keyakinannya tidak sedikit pun tergugat dan berganjak. Semuanya ini tidak sia-sia di sisi Allah. Ketabahan luar biasanya itu telah beroleh ganjaran yang ajaib!

Allah Yang Maha Berkuasa telah mengembalikan penglihatan Zinnirah! Malahan matanya dapat melihat dengan lebih terang dari sebelumnya. Ditambah dengan sesuatu yang menakjubkan; sinaran mata Zinnirah menyilaukan pandangan orang-orang kafir Quraisy! Begitulah pertolongan Allah kepada Zinnirah untuk menambah kekuatan imannya. Saydina Abu Bakar As-Siddiq sendiri datang menebus Zinnirah dengan harga yang tinggi. Mulai saat itu bebaslah Zinnirah daripada penindasan orang-orang kafir Quraisy.

Begitulah Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan terhadap selain daripada Allah. Manusia seluruhnya hanya wajib memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Setiap Muslim mesti berpegang teguh dengan prinsip, ‘Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.’ Di situlah juga terletakkannya keunggulan generasi awal Islam bertepatan dengan maksud firman Allah :

“Kamu sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh mengerjakan kebaikan dan melarang memperbuat kejahatan.” (Ali-Imran:110)

Bagaimana pula kita sebagai anak muda Islam hari ini? Anak muda hari ini disifatkan sebagai bakal pemimpin hari esok. Anak muda hari esok pula pasti akan mewarisi watak remaja hari ini. Sedangkan untuk mewarisi segala bentuk kebaikan, anak muda hari ini sepatutnya mencontohi anak muda masa silam. Yang dimaksudkan dengan anak muda masa silam ialah generasi awal Islam yang Rasulullah didik dengan prinsip Islam. Hati mereka telah ditanam dengan iman yang mendalam.

Untuk menjelmakan hakikat ini dalam kehidupan kita, setiap pengetahuan Islam yang telah kita pelajari selama ini mestilah diamalkan sepenuhnya. Tidaklah tinggal sebagai ilmu pengetahuan semat-mata. Dengan benar-benar melaksanakan tuntutan Islam kita akan berjaya menepis sebarang pujukan syaitan yang sentiasa berusaha menghalang kita daripada menghambakan diri semata-mata kepada Allah.

Apabila kita fokuskan penelitian ini ke atas anak gadis dewasa ini, kesan yang akan wujud dalam masyarakat masa depan sangatlah besar dan penting. Ini berdasarkan pendapat, apabila baik wanita sesebuah masyarakat itu, maka akan baiklah juga masyarakat tersebut. Wanita juga disifatkan sebagai tulang belakang dalam kehidupan berkeluarga. Justru itu persediaan seawal usia remaja mestilah diberi perhatian. Supaya hati mudah terpimpin untuk mematuhi perintah Allah sepertimana keyakinan dan ketaatan yang dimiliki oleh Zinnirah. Hanya hati yang demikian akan bebas daripada cengkaman nafsu. Hati tersebut merdeka daripada sebarang rasa gelisah serta menjamin pemiliknya beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dengan lain perkataan mengecap kebahagiaan di dunia manakala di akhirat beroleh syurga idaman.

Sumber : Portal Haluan Malaysia


Thursday, July 7, 2011

Isteri Berhak Tolak Suami Berpoligami, Kata Imam Al-Aqsa



Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Akram Sabri berkata wanita Islam boleh menolak poligami dan tidak berdosa sekalipun agama Islam menghalalkannya.

Beliau berkata ini kerana wanita berhak menuntut syarat ke atas suami supaya tidak berpoligami.

"Poligami tertakluk kepada beberapa syarat termasuk suami harus berlaku adil dalam setiap perkara termasuk nafkah zahir dan batin. Jika syarat-syarat ini tidak dipatuhi maka suami akan berdosa seperti mana firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 129," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya yang dipetik agensi berita Jordan Fact International hari ini.

Akram Sabri berkata antara faktor yang mengharuskan suami berpoligami mengikut syarak ialah isteri tidak boleh melahirkan anak dan isteri mengidap penyakit yang boleh mengalang suami bersetubuh dengannya.

Faktor lain ialah suami mempunyai kemahuan seks amat tinggi dan berlakunya peperangan yang mengorbankan ramai kaum lelaki sehingga bilangan wanita jauh lebih ramai, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penolakan isteri itu tidak mewajibkan si suami mematuhinya kecuali jika pasangan berkenaan telah menandatangani perjanjian tidak berpoligami.

Dalam keadaan itu suami wajib mematuhi syarat tersebut, katanya.

Mengenai pandangan bahawa isteri tidak boleh menolak poligami, beliau berkata: "Sesungguhnya untuk menentukan sesuatu hukum dalam Islam maka kita harus merujuk kepada al-Quran dan hadis.

"Kita tidak boleh menentukan sesuatu hukum dalam Islam itu hanya dengan mengikut kelakuan dan perbuatan sesetengah orang Islam. Lagipun bukan semua orang Islam boleh dijadikan sumber rujukan untuk berhujah mengenai hukum Syarak," katanya.

Pandangan Ustaz

Secara peribadi, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Imam Al-Aqsa wanita berhak menolak poligami. Alasan beliau mengatakan perkara tersebut adalah atas sebab ramai suami-suami diluar sana yang tidak mampu memberikan nafkah zahir, batin dan gagal melaksanakan tanggungjawab yang baik kepada isteri. Bagaimana hendak berpoligami? seorang isteri pun sudah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab. Islam meletakkan hukum haram kepada lelaki yang ingin berkahwin tetapi tidak mampun menyediakan nafkah dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab.

Ramai suami atau lelaki yang ingin berpoligami berhujah dengan mengatakan :

"Poligami ini adalah sunnah Rasulullah saw, tiada siapa ada hak untuk menghalang sunnah nabi, barang siapa yang menghalang sunnah nabi, maka dia bukan dari kalangan umat nabi".

Jangan sesekali menggunakan nama Rasulullah untuk menghalalkan tindakan tersebut, kalau kita lihat balik dari sejarah Rasulullah berpoligami, jauh berbeza dengan orang sekarang berpoligami. Rasulullah berkahwin 10 orang wanita, 1 orang anak dara dan 9 orang lagi adalah janda. Rasulullah berkahwin bukan sebab keinginan seks, tetapi Baginda berkahwin atas sebab rasa bertanggungjawab dan rasa belas kasihan terhadap isteri-isterinya. Rasulullah mampu melaksanakan segala tanggungjawabnya sebagai suami dan memberikan kasih sayang yang sebaiknya kepada semua isterinya.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah saw, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Baginda bermalam di rumah isterinya dan memberikan hadiah cincin kepada semua isterinya. Rasulullah menyuruh isterinya jangan menceritakan kepada isterinya yang lain dan berkata pemberian cincin ini tanda Baginda menyayangi isterinya.

Bagi suami-suami yang ingin berpoligami dan yang telah berpoligami, cuba tanya diri sendiri :
“Mampukah aku berpoligami seperti sunnah Rasulullah saw atau selama aku berpoligami adakah aku mengikuti sunnah Rasulullah saw? Kalau jawapannya keluar dari benak fikiran anda semua seperti : “Aku tidak mampu dan selama ini aku telah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami yang baik”. Maka lebih baik jangan berpoligami, sebab poligami anda nanti akan mendatangkan dosa dan ancaman dari Allah sahaja bukan mendapat pahala mengerjakan sunnah Rasulullah. Kepada yang sudah berpoligami, perbetullah segala kesilapan yang telah dilakukan, masih belum terlambat dan Allah sentiasa membukan pintu taubat seluas-luasnya bagi sesiapa yang ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Kepada semua para wanita atau isteri jangan sesekali membenci poligami dan menghina amalan tersebut, sebab amalan tersebut tidak salah dan ia menjadi sunnah Rasulullah saw, yang salahnya ialah lelaki yang tidak berkemampuan berpoligami dan mengabaikan segala tanggungjawabnya terhadap isteri tuanya dan anak-anaknya. Perbetulkan hujah anda semua wahai wanita, jangan disebabkan hujah anda semua Allah melaknati anda kerana menyalahkan sunnah Rasulullah saw yang menyebabkan rumahtangga anda rosak.


Tuesday, July 5, 2011

Haram Wanita Memakai Loceng Kaki



Setiap Muslim dan Muslimah hendaklah menjaga tata cara pergaulan dan pemakaian apabila berhubung dengan bukan mahram seperti di tempat kerja.

Paling utama dalam hal pemakaian kerana cara berpakaian dapat menarik perhatian orang lain yang bukan mahram. Memakai gelang kaki bagi wanita Islam dengan bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga menarik perhatian rakan sekerja yang lain untuk berpaling melihat ke arahnya dikira bercanggah dengan tata cara pemakaian dan pergaulan seorang wanita Muslimah dan Mukminah.

Itu sebabnya ia dihukum haram apabila bertujuan sedemikian dan pemakaian hiasan sedemikian perlu dielakkan. Ini jelas apabila al-Quran menggariskan berkenaan tatacara bergaul dan berpakaian seorang wanita Islam iaitu :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur (24): 31)

Dalam ayat ini, kita boleh simpulkan termasuk dalam ‘menghentak kaki’ ialah memakai gelang berloceng dan memakai kasut bertumit keras sehingga mengeluarkan bunyi.

Islam melarang perbuatan itu kerana ia menarik perhatian orang sehingga terserlah perhiasan diri seseorang wanita. Manakala memakai gelang kaki berloceng bagi anak-anak perempuan yang masih kecil dan bertujuan untuk pengawasan pula adalah harus.

Ia tidak termasuk dalam larangan di atas kerana tidak bertujuan menarik perhatian lelaki dan usianya masih kecil.

Sumber : Harian Metro


Sunday, July 3, 2011

Perkahwinan Yang Baik Menentukan Anak Yang Baik


Perkahwinan merupakan fitrah kejadi Allah kepada manusia, ini bertujuan untuk mengawal pergaulan lelaki dan perempuan yang mempunyai perasaan cinta kasih sehingga boleh menyebabkan berlakukan perzinaan. Perkahwinan juga merupakan satu ikatan pernikahan di antara bakal pengantin lelaki dan bakal pengantin perempuan dengan memenuhi segala syarat dan rukun pernikahan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Bagi sesiapa yang ingin memasuki dalam alam berumahtangga, perlulah mempersiapkan diri dari sudut rohani, jasmani, intelek dan meterial terlebih dahulu. Sebabnya dalam perkahwinan mempunyai berbagai dugaan atau masalah yang akan ditempuh oleh pasangan suami isteri. Semua perkara yang berlaku dalam rumahtangga hendaklah diselesaikan sendiri, perlu membebaskan diri dari kehidupan bujang yang hanya mementingkan diri sendiri atau membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan pasangan masing-masing.

Buang segala sikap yang buruk terutamanya sikap egois atau sikap “aku memiliki kuasa vito sebagai seorang suami isteri aku perlu menurut perintah aku”. Kerana sikap sebegini akan menyebabkan pasangan kita tidak berpuas hati dan merasa kecewa. Lama kelamaan ia akan menimbulkan ketegangan dan konflik dalam rumahtangga dan boleh menyebabkan berlakunya penceraian.

Masalah penceraian yang berlaku dalam masyarakat Islam sekarang ini sangat parah dan boleh dikatakan setiap hari mesti ada penceraian yang akan berlaku. Kebanyakkan punca berlakunya penceraian ialah tidak mempunyai kesefahaman antara suami dan isteri dalam menguruskan rumahtangga, suami atau isteri mempunyai hubungan dengan orang yang ketiga sehingga menyebabkan berlakunya penceraian.

Realiti yang berlaku sekarang, kebanyakkan pasangan suami isteri yang berkahwin hanya menilai rupa paras semata-mata, bukan dilihat dari segi agama pasangan mereka yang menjadi ukuran utama. Rupa paras, kecantikkan tidak boleh menjamin kebahgiaan pasangan suami isteri, memang mula-mula berkahwin rasa bangga dan bertuah kerana memiliki isteri yang cantik atau suami yang hensem. Bila sudah lama dan mempunyai anak, kesemua kecantikkan itu hilang dimakan usia. Timbullah rasa tidak senang dikalangan suami isteri yang mempertikaikan pasangan masing-masing sehingga menyebabkan mereka mencari kesenangan di luar atau orang ketiga.

Dari sinilah Rasulullah telah mengajar umatnya supaya mencari pasangan hidup dengan penilaian utama ialah agamanya, kerana agama lebih menjamin kebahgiaan pasangan tersebut dalam melayari bahtera rumahtangga. Orang yang memilih agama selalunya akan memiliki pasangan yang mempunyai akhlak yang baik dan menenangkan. Inilah harta yang ramai pasangan suami isteri tidak dapat dan harta ini sudah pasti memberikan mereka kebahgiaan di dunia dan di akhirat. Secara tidak langsung juga akan terpancar sinar kecantikkan dan kelembutan pada pasangan masing yang berkahwin berdasarkan agama. Memilih pasangan yang mempunyai agama, maka sudah tentu keluarganya juga adalah dari orang yang baik-baik dan orang yang bertaqwa kepada Allah. Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda :

“Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab : Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau merebut yang empunya agama, itulah pilihan yang terbaik.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG