Beberapa bulan lepas saya ada menuntut ilmu
kebatinan dengan seorang guru. Ilmu tersebut adalah ilmu asma sungai rajeh.
Beliau ada menasihati saya supaya janganlah mengharapkan khasiat ilmu tersebut,
tetapi amalkannya untuk membesarkan dan memuji Allah. Khasiatnya terserahlah
kepada Allah.
Untuk makluman Ustaz, saya telah lama
mencari-cari ilmu kebatinan. Ini adalah kerana saya berniat untuk menolong
orang-orang yang tersayang utamanya jika dalam kesusahan. Saya dan keluarga
dari dulu memang banyak masalah. Ayah saya berpuluh tahun sakit akibat terkena
sihir saudaranya sendiri. Sekarang ayah saya telah meninggal. Banyak juga orang
di sekeliling saya selalu diganggu makhluk jin. Dan sekarang ramai orang jahat
yang sewenangnya membunuh orang sana sini. Saya bukanlah seorang pesilat
handalan, dengan ilmu seperti inilah saya harap dapat membantu saya dan orang
sekeliling saya dengan izin dari Allah.
Mohon penjelasan Ustaz tentang ilmu ini.
Bolehkah saya terus mengamalkannya atau bagaimana.
Jawapan
Ada berbagai ilmu yang diturunkan Allah kepada alam ini,
sama ada ilmu itu baik atau tidak baik, sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita
harusnya bijak dalam memilih ilmu ini, jika kita tersalah pilih maka ia akan
membawa bala bencana yang amat besar kepada kita. Zaman sekarang ini banyak
sangat ilmu-ilmu yang salah atau ilmu hitam ini diguna pakai kembali manusia
dengan tujuan untuk melindungi diri dari kejahatan orang, memohon rezeki,
dimudahkan bertemu jodoh, kelihatan cantik, mencari keuntungan dunia dan
sebagainya. Ini semua sangat bercanggah dengan kehendak Syariat Islam.
Saya tidak mengenali ilmu asma ini dengan lebih mendalam,
tapi bila saya teliti dari beberapa laman blog yang mempunyai cerita tentang
ilmu ini, maka saya berkesimpulan bahawa ilmu ini diragui.
Sebagai umat Islam kita diwajibkan menuntut ilmu fardhu ain
iaitu ilmu asas-asas keislaman seperti Iman, Islam dan Ehsan, sebabnya ilmu ini
dapat mengajar kita mengenali Allah dengan lebih dekat, cara hendak melakukan
ibadah dan tahu mengamalkan akhlak Islam seperti yang diajarkan oleh Rasulullah
dahulu. Kalau ilmu asas ini pun kita belum lengkap lagi, maka lebih baiklah
diperlengkapkan dahulu sebelum menuntut ilmu kebatinan. Selalunya orang yang
tidak kuat asas Islamnya, ia akan terpesong jauh dari jalan Islam yang sebenar,
seperti mengatakan “ilmu ini adalah kuat dan boleh membuat segalanya”. Dia
terlupa bahawa yang lebih kuat dan berkuasa itu adalah Allah bukan ilmu itu.
Tak pasal-pasal rosak akidah disebabkan iktiqad seperti itu.
Lazimnya seseorang
itu hendak mencapai makam tertentu, maka ia hendaklah melalui perkara asas
seperti menjaga amalan wajibnya, melakukan amalan sunat, menjaga pergaulan,
qiyamullail, solat berjamaah, mendidik keluarga, tidak merokok dan sebagainya.
Kalau perkara ini tidak dijaga dengan baik, maka bagaimana dia hendak mendidik orang
lain? Bagaimana Allah hendak memberikan
kelebihan kepadanya? Sesungguhnya dia juga melakukan kesalahan dan dosa kepada
Allah.
Bagi sesiapa yang ingin mempelajari ilmu asma ini, ia akan
dikenakan bayaran tertentu yang telah ditetapkan oleh pengamal ilmu ini. Setahu
saya sebagai seorang guru ia hendaklah ikhlas menyampaikan ilmu kepada
muridnya, bukan hanya mencari keuntungan, tetapi ia juga mencari keredhoan
Allah. Bukan tidak boleh menetapkan harga, tetapi cukup dengan kadar tertentu
sahaja dan tidak memberatkan muridnya.
Sebenarnya banyak lagi benda yang saya ragu dalam amalan
ilmu ini, tapi saya rasa cukup setakat ini dahulu. Dan ini bertujuan untuk
menjawab persoalan di atas sahaja dan tidak perlu hendak dibicarakan semua
perkara yang diragui. Dua perkara yang saya nyatakan di atas ini sudah memadai
untuk pembaca membuat kesimpulan mengenai masalah ini.
Jika ilmu yang ingin kita pelajari itu rasa ragu-ragu dalam
hati, maka lebih elok kita hindarkan diri dari terus mempelajari ilmu tersebut,
kerana tindakan seperti ini lebih baik, jika ilmu itu salah dari segi syariat,
maka kita sudah terselamat dari melakukan dosa kepada Allah. Kadang-kadang kita
tertipu dengan gurunya yang memakai serban, kupiah dan jubah. Tak semua orang
yang memakai jubah dan serban ini baik dan bertaqwa, ada juga orang yang pakai
pakaian seperti ini tidak pernah solat, tidak berpuasa atau sebagainya. Kalau
kita pergi ke negara arab, orang berjubah dan serban ini masuk kelab malam,
minum arak, berzina dan sebagainya. Tidak cukup mengukur seseorang itu dengan
pakaiannya sahaja. Kita kena ukur berbagai aspek sebelum membuat kesimpulan
terhadap orang tersebut.
Mereka menggunakan nama agama untuk mengelirukan orang lain,
dengan memulakan wirid yang diambil dari ayat Al-Quran dan dicampur dengan ayat
atau mentera tertentu. Jadi orang yang tidak tahu akan tertipu dengan keadaan
tersebut. Sebelum membuat keputusan, maka terlebih dahulu selidiki dahulu
dengan mendalam, jika ada perkara yang diragui atau tidak jelas boleh bertanya
kepada orang yang lebih mengetahui untuk mendapat kepastian. Firman Allah yang
bermaksud :
“Dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat
kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit Demi sedikit (ke jurang
kebinasaan), menurut cara Yang mereka tidak mengetahuinya.” (Al-Araaf : 182)
Untuk mengelakkan dari terjebak dengan masalah ini, maka
carilah ilmu syariat dahulu dengan baik dan sempurna, ilmu ini juga jika
sempurna kita amalkan, dia juga mampu mendinding diri kita dari perbuatan jahat
orang lain.