PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, October 30, 2011

Tujuan Dakwah Pertama : Membantu Manusia Melaksanakan Syariat Allah



Selain dari itu juga, dakwah dapat membantu manusia dalam melaksanakan berbagai ibadah atau syariat kepada Allah SWT. Sebagai seorang juru dakwah, tugas utama yang perlu ia lakukan adalah mengajak atau membantu manusia menjalankan segala perkara yang di suruh oleh Allah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah.

Perkara yang paling awal perlu dilakukan oleh para pendakwah ialah berusaha memberikan kefahaman tentang agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kalau mereka semua faham akan hakikat kejadian manusia sebagai hamba Allah, maka mereka sendiri akan sedar dari segala kesilapan atau kelemahan yang telah dilakukan oleh mereka. Mejoriti masyarakat Islam sekarang ini tidak faham dan tidak tahu hakikat sebagai seorang muslim, mereka sering terpengaruh dengan budaya-budaya luar yang bercanggah dengan prinsip Islam. Ada juga diantara mereka beranggapan Islam ini cukup sekadar solat lima waktu, berpuasa, mengerjakan haji dan mengeluarkan zakat sahaja. Mereka juga beranggapan bila sudah buat semua ini, mereka sudah terlepas dari tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah. Sebab itulah kefahaman Islam itu perlu diterapkan kepada mereka. Bila mereka sudah faham, maka usaha dakwah itu menjadi mudah dan berjaya mencapai tujuannya yang utama iaitu membantu manusia melaksanakan segala syariat yang telah ditetapkan oleh Allah kepada hambaNya.

Mengajak manusia mengenali Allah dan Rasul adalah menjadi kewajipan utama para pendakwah. Setiap pendakwah mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan segala perkara yang berkaitan dengan syariat Islam, mereka juga tidak boleh mengambil sikap sambil lewa ataupun cuai melainkan mereka mempunyai iman yang lemah sahaja. Sabda Rasulullah SAW :

 “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Perkara pertama yang perlu diketahui oleh umat Islam ialah Islam, Iman Dan Ehsan. Ketiga-tiga perkara ini menjadi asas yang penting dalam diri umat Islam. Jika seseorang Islam kurang salah satu dari tiga asas utama syariat Islam ini, maka ia belum lagi menjadi seorang muslim yang kamil. Harus diketahui oleh para pendakwah, usaha yang paling utama menyedarkan masyarakat tentang kepentingan melaksanakan syariat Islam. Jika mereka gagal melaksanakannya, sudah pasti mereka tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi.  



Wednesday, October 26, 2011

Isteri Disyihirkan, Suami Buat Masiat & Halang Isteri Melakukan Ibadah



Assalamualaikum ustaz berdosa ke seorang wanita yg disihir dan badan nya di kuasai mahluk halus meminta cerai dgn suaminya...kerana siisteri sudah tidak tahan dgn suami yg selalu membuat maksiat dan yg tidak mahu bersamanya kerana dia memakai tudung, dan marah akan nya bila dia bangun pagi untuk sembahyg tahajud..ada ke wanita ini berdosa kerana memecah belahkan keluarga nya sendiri?

Jawapan

Apa yang saya faham dan dapat buat kesimpulan dari soalan puan adalah seperti seorang isteri kena syihir,  isteri tersebut diabaikan oleh suaminya yang melakukan maksiat dan suaminya tidak suka isterinya menutup aurat dan melaksanakan ibadah kepada Allah.

Isteri Kena Syihir

Maksud Syihir adalah ilmu yang berkaitan perbuatan secara halus melalui pertolongan makhluk ghaib, iaitu dengan bantuan syaitan atau jin bertujuan memudharatkan atau mengelirukan manusia. Kalau si suami, kaum keluarga dan orang yang punya badan itu sendiri mengetahui ia telah disyihirkan. Maka cepat-cepatlah mendapatkan rawatan perubatan Islam. Jangan berlengah lagi sebab apabila orang yang terkena syihir secara tidak sedar ia akan melakukan segala perkara tanpa disedarinya. Nasihat saya dalam mendapatkan rawatan mestilah berwaspada dalam memilih pakar perubatan Islam, pastikan ia bertauliyah dan berijazah dari gurunya yang asal. Pastikan juga segala amalan dan perlakuannya tidak bercanggah dengan prinsip syariat Islam. Friman Allah yang bermaksud :

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.” (Al-Baqarah : 102)

Bagi sesiapa yang terkana syihir atau kaum kerabatnya yang terkena syihir, maka hendaklah ia bersabar dan redho dengan apa yang telah berlaku. Carilah jalan penyelesaian yang diredhoi Allah dan jangan mencari jalan untuk membalas dendam dengan apa yang telah dilakukan oleh orang yang telah berbuat jahat kepadanya. Semua perkara serahlah kepada Allah, biar Allah yang membalas balasan yang setimpal dari apa yang telah mereka lakukan.

Kalau orang yang disyihir cakap perkara-perkara yang boleh menjatuhkan iman seperti mempertikaikan kekuasaan atau kewujudan Allah. Sebenarnya perlakuan tersebut tidak merosakkan akidah kerana itu semua bukan datang darinya, secara ilmiahnya orang yang terkena syihir atau dirasuk oleh jin, kebiasaannya seluruh sarafnya telah dikuasai oleh jin. Nada suaranya juga berubah dan wajah mukanya pun berubah. Segala perkataan yang dikeluarkan itu bukan datang dari orang tersebut tetapi ia datang daripada jin yang telah menguasainya.

Begitu juga si isteri yang meminta cerai disebabkan kena syihir atau rasuk jin. Ia sebenarnya tidak berdosa kepada suaminya, yang menjadi dosa adalah orang yang mensyihirkannya itu. Di sini pihak suami seharusnya faham akan keadaan isterinya yang terkena syihir, jangan biarkan isteri begitu sahaja, cepat cari jalan untuk mengubati masalah yang dihadapi oleh isterinya. Suami seharusnya tenang dalam mengatur segala tindakan. Segala keputusan bersandarkan kepada Allah melalui doa dan solat sunat atau sebagainya. Ada pepatah yang mengatakan bahawa setiap kesulitan dan kepayahan itu ada jalan keluarnya dan mustahil tidak ada jalan keluar.

Isteri Diabaikan Oleh Suami Yang Melakukan Maksiat

Dalam perkahwinan suami isteri mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Jika hak dan kewajipan tersebut diabaikan, maka ia telah mengundangkan kemurkaan Allah kepada mereka. Dalam masalah ini, tidak sepatutnya seorang suami mengabaikan tanggungjawabnya. Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Cukup berdosa orang mengabaikan orang yang ditanggungnya”. (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Isteri boleh meminta cerai kepada suaminya (khuluk) jika benar-benar telah melalui beberapa pertimbangan menurut syariat Islam. Harus hukumnya sekiranya terdapat keperluan ke arah itu, seperti isteri membenci suaminya kerana perwatakan luarannya, kerana akhlaknya yang tercela, kerana agamanya ertinya mengabaikan perintah Allah atau melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan lain-lain, terlalu tua atau lemah syahwat. Kemudian isteri pula khuatir kalau-kalau tidak dapat melaksanakan hak-hak Allah SWT dalam mentaati suaminya.

Jika suami mengatakan bahawa dia telah melakukan zina dan sifat terus terangnya itu kerana menginginkan agar isteri meminta cerai, maka perbuatan suami semacam ini haram hukumnya dan berdosa besar. Seandainya telah sampai ke tahap demikian berpisah atau cerai adalah lebih baik demi kemaslahatan isteri dan menjaga agama isteri.

Sebagaimana Islam memberikan hak kepada suami tentang talak maka Islam juga memberi hak kepada isteri untuk meminta khuluk atau cerai. Untuk lebih memuaskan lagi hati puan merujuklah kepada pihak qadi yang berdekatan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang bijaksana dan mengikut undang-undang syariat di negara kita.

Suami Marah Isteri Melaksanakan Perintah Allah

Kebanyakkan isteri jahil tentang masalah ini, mereka sering kali mentaati suami mereka membabi buta, bila sahaja suami mereka menyuruh melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam, mereka serba salah dan delima untuk melakukannya. Sebenarnya perkara ini telah jelas dalam prinsip Islam bahawa Allah tidak pernah meredhoi umatnya melakukan perkara yang dilarang oleh Islam. Hal ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Tidak berdosa dan isteri juga tidak perlu meminta izin suami untuk melakukan ibadah atau melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah. Setiap suruhan Allah yang kita lakukan itu adalah sebagai lambang kita mentaati perintah Allah. Mentaati perintah Allah adalah lebih besar dari mentaati perintah suami atau manusia lain. Lazimnya bagi isteri yang mentaati perintah Allah, secara tidak langsung ia juga mentaati perintah suaminya.

Menjadi tanggungjawab kepada isteri menegur segala kesalahan dan ketidak fahaman suami tentang selok belok ajaran Islam. Jika ini semua telah dilakukan oleh isteri, maka ia telah melaksanakan  tanggungjawabnya kepada Allah untuk menyampaikan amal makruf nahi mungkar dalam keluarganya.

Jika segala usaha menasihati suaminya diancam dengan siksaan atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudharatan kepadanya, maka lebih baik ia melibatkan keluarganya dan keluarga suaminya bagi membantu ia untuk menyelesaikan masalah ini. Selain dari itu juga ia boleh membuat aduan di Pejabat Agama Islam berdekatan untuk tindakan lanjut.


Monday, October 24, 2011

Nak Berdakwah Kena Tahu Tujuan Dakwah Dulu

Sekadar Gambar Hiasan Sahaja


Tujuan dakwah ialah untuk menjadikan manusia muslim mampu mengerjakan segala ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Selain dari mengamalkan, mereka juga dapat menyebarkan pula  kepada masyarakat yang lain dengan harapan masyarakat tersebut dapat mengamalkan segala perkara yang disuruh oleh Allah.

Setiap para pendakwah wajib mengetahui tujuan berdakwah supaya setiap dakwah yang dilakukan dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Selain dari itu juga dakwah adalah untuk memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada seseorang agar ia selamat di dunia dan juga di akhirat. Nabi Muhammad SAW telah memperkenalkan berbagai cara melakukan dakwah seperti menggunakan perkataan, tulisan dan juga perbuatan. Firman Allah SWT yang berbunyi :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Berdasarkan firman Allah di atas ini, saya berkesimpulan bahawa tujuan dakwah ini tidak akan dapat dicapai apabila ketiga-tiga kaedah dakwah ini tidak diaplikasikan dengan baik dan sempurna, di antara kaedah ini adalah seperti hikmah kebijaksanaan, memberikan nasihat  yang baik dan berbahaslah untuk memberikan kefaham kepada mereka yang tidak faham tentang agama. Ada sesetengah pendakwah berjaya dan ada diantara mereka gagal menyampaikan dakwah yang berkesan kepada masyarakatnya. Ini semua berlaku adalah disebabkan para pendakwah tidak menguasai metodologi dakwah dengan baik.

Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi pernah berkata bahawa setiap pendakwah itu perlu menggunakan pendekatan dakwah masa kini yang perlu disesuaikan dengan realiti dan keadaan semasa bagi merealisasikan matlamat dakwah yang dirangka, dibawa oleh para Rasul dan golongan Salafussoleh. Usaha ini juga telah dijalankan oleh seluruh gerakkan Islam demi mencapai tujuan yang telah ditetapkan dalam dakwah.

Oleh karena itu seorang pendakwah wajib memahami tujuan dakwah dengan baik, sehingga segala kegiatan dakwah benar-benar mengarah kepada tujuannya. Seorang pendakwah hendaklah  yakin akan kemampuannya, jika ia tidak yakin dengan kemampuan dirinya, nescaya boleh  menyebabkan terjadinya penyelewengan-penyelewengan di dalam bidang dakwah.

Thursday, October 20, 2011

Muammar Gaddafi Di Tangkap Pejuang Libya


Bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi ditangkap pejuang revolusi negara itu di bandar kelahirannya di Sirte, hari ini, demikian menurut laporan televisyen Libya yang memetik Majlis Ketenteraan Misrata.

Bagaimanapun, laporan penangkapan itu masih belum dapat disahkan badan bebas lain.
Gaddafi dilaporkan ditahan selepas berlaku pertempuran tetapi ada khabar angin bahawa bekas Presiden Libya itu terbunuh akibat cedera parah.

Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini memerintah Libya mendakwa Gaddafi bersembunyi di dalam lubang ketika tentera NTC melakukan serbuan.

Susulan berita itu, rakyat negara itu meraikan dengan membunyikan hon dan melepaskan tembakan bertali arus ke udara, menandakan kejatuhan pemerintahan 42 tahun pemimpin paling lama negara itu.

Sumber : Berita Harian


Monday, October 17, 2011

Bahaya Bagi Sesiapa Memiliki Cinta Nafsu



Cinta itu adalah anugerah daripada Allah kepada semua makhluk ciptaannya. Allah menciptakan segala sesuatu itu secara berpasangan-pasangan (lihat Surah Ar-rum ayat 21) iaitu lelaki dengan perempuan dengan tujuan agar mereka saling mengisi kekurangan dan kelebihan di antara mereka yang pada akhirnya akan tumbuh cinta dalam hati mereka.

Cinta dapat membawa keberkatan jika kita boleh mengarahkannya ke jalan yang diredai oleh Allah s.w.t, tetapi cinta juga boleh membawa kepada petaka, malah menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan dan jauh daripada norma Islam.

Bercinta janganlah mengiku nafsu semata, tetapi ia perlu berasas kepada agama dan batas Islam. Cinta nafsu adalah cinta yang tidak mengikuti aturan Islam. Ia bebas berbuat apa saja.

Ada beberapa kerosakan akibat cinta nafsu ini. Pertama, lupa mengingati Allah kerana mereka lebih sibuk mengingati makhluk-Nya yakni orang yang dicintainya.
 
Contohnya jika dia lebih kuat mengingati Allah, insya-Allah mengingati makhluk pasti terkendali. Tapi jika lebih kuat mengingat makhluk-Nya maka mengingati Allah akan dikalahkan.
Kedua, melupakan agama. Tiada orang yang paling mensia-siakan agama dan dunia melebihi orang yang sedang dirundung cinta nafsu.

Ia mensia-siakan maslahat agamanya kerana hatinya lalai untuk beribadah kepada Allah s.w.t.


Ketiga, mengundang bahaya. Bahaya dunia dan akhirat lebih cepat menimpa kepada orang yang dirundung cinta nafsu melebihi kecepatan api membakar kayu kering.


Ketika hati berdekatan dengan orang yang dicintainya secara buta itu, ia akan menjauh dari Allah s.w.t. Jika hati jauh daripada Allah, semua jenis bahaya mengancam dari segenap sudut kerana syaitan sudah menguasai dirinya.


Jika syaitan sudah menguasai diri, mereka berada dalam keadaan bahaya.


Cukuplah dengan fakta masalah perzinaan dan penularan penyakit seksual berlaku dalam dunia hari ini. Begitu juga dengan gejala buang bayi yang tidak berdosa amat menggerunkan.


Keempat, syaitan akan menguasai. Jika kekuatan syaitan menguasai seseorang, ia akan merosakkan akalnya dan memberikan rasa was-was.


Akal kadang-kadang sudah tidak terkendali ibarat seperti meletakkannya di kepala lutut. Padahal yang paling berharga bagi manusia adalah akalnya yang membezakannya manusia dan haiwan.


Jadi jangan hairan jika ramai yang terjerumus melakukan maksiat kerana fikiran mereka menjadi singkat. Apa yang sentiasa mereka fikirkan adalah hawa nafsunya iaitu mahu sedap dan seronok saja.


Kelima, kurang kepekaan. Cinta nafsu akan merosak indera atau mengurangi kepekaannya. Apabila diri penuh dengan dosa maka hati akan rosak. Jika hati sudah rosak maka organ lain, seperti mata, lisan, telinga juga turut rosak.


Ertinya, ia akan melihat yang buruk pada diri orang yang dicintainya secara nafsu itu sebagai sebuah kebaikan atau sebaliknya.


Imam Ahmad menyebut: “Cintamu kepada sesuatu membutakanmu dan membuatmu tuli.”


Ibnu Abbas pernah mendengar berita ada seorang lelaki yang sangat kurus sehingga yang tinggal hanya kulit dan tulang.


Ibnu Abbas berkata, “Kenapa ia? “Ia terkena jatuh cinta, isyq (cinta buta),” jawab seseorang.


Kemudian Ibnu Abbas berdoa dan berlindung kepada Allah s.w.t sepanjang hari daripada penyakit isyq. Kita perlu berfikir secara lebih dewasa dalam apa jua tindakan akan kita akan lakukan. Jangan main-main dalam menangani masalah serius itu.


Jangan sampai terbius oleh gemerlap kehidupan yang menawarkan kenikmatan sementara. Jika kita belum mampu untuk berkahwin maka janganlah berkahwin lagi kerana perkahwinan bukan urusan main-main.


Kita mesti rela untuk membuang fikiran murahan mengenai pertunangan adalah segala-galanya. Sebab, bercinta adalah salah satu bahagian ekspresi cinta nafsu.


Wahai remaja, mulai sekarang tumbuhkan dahulu kecintaan kita kepada ilmu agama sehingga kita memahaminya serta mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian. Semoga pula kita tidak tergoda dengan cinta nafsu semata.

Sumber : Harian Metro 

 

Friday, October 14, 2011

Ustaz Saya Tidak Pernah Solat Dan Bagaimana Ingin Bertaubat



Ustaz... saya hanya hendak menanyakan satu soalan : dulu saya kerap sembahyang tiba saya rasa sembahyang itu leceh. Sudah banyak kali saya berjanji pada diri saya untuk sembahyang tanpa meninggalkan dengan sengaja tetapi saya tetap ulang tabiat lama. Tetapi kali ini saya rasa saya betul-betul hendak bertaubat tetapi saya tidak tahu sama ada Allah terima atau tidak taubat saya. Apa cadangan ustaz atau saranan ustaz?

Jawapan

Soal ibadah atau mengerjakan perkara yang makruf ini bukan perkara yang dianggap suka-suka, bila rajin buat apabila tidak rajin kita tinggalkan. Kalau ibadah sunat itu tidak mengapalah sebab kalau kita tidak buat dia tidak mendapat apa-apa pahala dan dosa. Tetapi kalau perkara yang wajib kalau kita tinggalkan dia mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah.

Saya umpamakan diri kita sebagai hamba Allah kepada seorang pelancong yang masuk ke dalam sesebuah negara. Syarat untuk memasuki sesebuah negara mestilah dengan menggunakan pasport dan juga visa, kalau tidak ada pasport dan visa pelancong tersebut dianggap sebagai pendatang tanpa izin. Apabila dokumen sudah diluluskan oleh pihak imengration, maka pelancong tersebut sudah boleh bergerak bebas dalam negara tersebut dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negara tersebut. Jika ia melakukan kesalahan atau melanggar syarat yang ditentukan, dia boleh didakwa dan boleh juga ditamatkan masa melancongnya dengan serta merta.

Berdasarkan perumpamaan di atas ini adalah apabila kita disahkan atau diluluskan sebagai seorang muslim dengan pasport atau visa kita iaitu syahadah, maka kita kena mentaati segala undang-undang atau syariat yang terdapat dalam agama Islam. Jika kita gagal mematuhinya nescaya kita mengundang kemurkaan dan dosa daripada Allah. Bila tamat sahaja pasport dan visa yang diberikan Allah kepada kita iaitu mati, sudah pasti di akhirat nanti kita menghadapai satu siksaan yang sangat dahsyat dari Allah atas segala kegagalan yang telah kita lakukan.

Kalau kita hitungkan balik jumlah waktu solat dan masa yang diperlukan untuk mengerjakan solat itu sangat sedikit dan tidak sampai suku masa dari jumlah 24 jam. Bagaimana anda boleh anggap solat ini satu perkara yang susah. Inilah yang dikatakan tipu daya syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk memutar belitkan pemikiran manusia dengan menganggap solat itu satu perkerjaan yang sangat susah berbanding dengan kerja lain.  Firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (At-Taha : 14)

Semua makhluk adalah hak milik Allah, jadi terpulanglah kepada Allah untuk buat apa sekalipun kepada makhluknya. Kita tidak boleh berbantah dan mempertikaikan segala suruhan Allah. Setiap amal kebajikan yang kita buat ada balasannya dan ganjarannya. Buatlah ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

Satu lagi saya hendak ingatkan kepada yang bertanya, sebagai seorang muslim, kita tidak boleh anggap solat itu membebankan dan menyusahkan kita, sebab solat ini adalah perintah Allah dan kita tidak boleh mempersenda segala suruhan Allah dan jika kita mempersenda, maka sudah pasti ia mengundang kemurkaan Allah, segala amal dan pahalanya akan ditolak oleh Allah, boleh merosakkan akidahnya dan akan diazab dengan siksaan yang sangat pedih di hari akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) Dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan Yang buruk dan keji). tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat Yang lain dari Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) Dengan Segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah orang-orang Yang dijerumuskan (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas Yang menggelegak, dan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Al-An’am : 70)

Manusia adalah makhluk yang lemah dan mudah untuk lupa segala suruhan dan larangan Allah. Jadi sebab itulah Islam diturunkan untuk mengajak dan mengingati manusia akan perintah Allah. Sebab itulah Islam mewajibkan solat 5 waktu, ini bertujuan untuk menghidupkan hati manusia dari terus leka dengan tipu daya syaitan. Bila kita solat, kita akan ingat segala kesilapan yang telah dilakukan oleh kita, dari kesalahan yang dilakukan mohon ampun kepada Allah melalui doa-doa yang terdapat dalam solat dan selepas solat.

Allah itu Maha pengampun dan Maha Penyayang..Kalau kita bertubat dengan sepenuh hati dan berikrar tidak melakukan lagi dosa tersebut, nescaya Allah akan menerima taubat kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)

Tidak ada alasan lagi bagi sesiapa yang melakukan dosa untuk bertaubat, kerana Allah sentiasa membuka bintu taubat seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin bertaubat. Ini peluang yang Allah berikan kepada kita, jangan kita lengah-lengahkan taubat, sebab ajal maut kita tiada siapa pun tahu melainkan Allah sahaja. Kalau tidak disegerakan taubat, takut-takut nanti kita tidak sempat untuk bertuabat kepada Allah.

Dalam taubat ini juga ada beberapa syarat yang telah ditetapkan seperti kata Imam Qurtubi Rahimahullah “Taubat itu mempunyai empat perkara iaitu istiqfar dengan lidah, meninggalkan dengan badan, menyembunyikan keinginan untuk kembali semula dan meninggalkan keburukan”. Taubat ini bukan hanya dilafazkan dimulut sahaja atau menangis dengan air mata berdarah sekalipun, taubatnya tidak akan diterima oleh Allah sebab dia masih lagi mempunyai keinginan untuk melakukan dosa itu kembali.


Wednesday, October 12, 2011

Brunei Ingin Melaksanakan Hukum Islam



Sultan Brunei hari ini menitahkan agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera, serentak dengan undang-undang sivil di negara itu.

Baginda yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di bangunan Majlis Undangan di sini berkata,perlaksanaan undang-undang itu tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada.

Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia.

"Kita tidak harus melambatkan dan sebaliknya merebut petunjuk itu secara positif.

"Apa lagi di sana untuk menunggu? Kita sudah mempunyai bangunan mahkamah yang mengagumkan, ramai pakar telah dihasilkan dan bahawa negara telah mencapai kemerdekaan. Apa lagi?" soal baginda.

Menurutnya, setiap individu bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan baik yang merupakan permintaan dari Allah Maha Kuasa.

Sehubungan itu ujarnya,undang-undang Islam penting untuk mengawal semua masalah dalam hidup, agama, keturunan, minda dan kekayaan.

"Walaupun ia adalah tanggungjawab kita, ia perlu dipenuhi bagi Allah Maha Kuasa," titah baginda lagi.

Memetik laporan Brudirect.com, undang-undang Islam ujar baginda, adalah pengetahuan dan sistem yang unik dan sangat cantik dan sudah tentu akan dipilih apabila difahami, namun jika ia tidak difahami, ia akan dibenci.

"Tetapi sejak manusia tidak mahu memahami, undang-undang itu dilihat sebagai buruk dan menakutkan. Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa, kita dipandu oleh-Nya untuk melihat dengan jelas keindahan undang-undang Islam.

"Saya memberi mandat kepada agensi-agensi atau institusi yang berkaitan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Majlis Agama Islam, Negeri Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Mahkamah Syariah dan semua pihak untuk bekerjasama dan berurusan secara kolektif dan telus sehingga undang-undang ini mula membuahkan hasil," titah baginda lagi.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pg Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Brunei adalah badan tertinggi dalam membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dalam menegakkan kesucian Islam di negara ini.

Sumber : Harakah Daily

Ulasan Ustaz

Masyarakat Islam sekarang ini kebanyakkannya kurang tahu tentang Islam yang sebenar, sebab itulah penerangan demi penerangan perlu diterapkan kepada mereka supaya mereka dapat mengetahui dan memahami Islam itu dengan lebih mendalam lagi. Tidak menjadi masalah kalau orang kafir sendiri tidak mahu undang-undang Islam kerana mereka memang tidak membenarkan agama Islam dan tidak yakin dengan apa yang terdapat di dalam Al-Quran. Sepatutnya yang perlu dirunsingkan ialah umat Islam yang menolak undang-undang syariah atau hukum Islam. Ini isu yang besar dan perlu mencari jalan untuk menyelesaikannya. 

Orang kafir sudah pasti di hari perhitungan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka selamanya. Tidak hairanlah kalau mereka menolak hukum Islam. Menjadi hairan bagi saya orang Islam yang menolak hukum Islam, bila tolak sahaja hukum Allah bererti menolak Al-Quran dan Sunnah. Bila tolak Al-Quran dan Sunnah ini sudah pasti menolak kebenaran Allah dan Rasulullah. 

Sebagai orang yang faham tentang Islam, kita tidak semestinya diam dari memberi faham kepada umat Islam yang lain, sebab menjadi kewajipan kepada kita untuk menyebarkan dakwah kepada semua manusia terutamanya kepada umat Islam itu sendiri. Kalau kita hanya fikirkan pangkat dan harta sahaja, maka sudah tentu kita telah mengabaikan satu tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah. Saya teringat kata-kata guru saya semasa belajar di pondok dahulu, antara kata-katanya ialah "kalau kita kejar dunia, sudah pasti kita dapat dunia sahaja. Kalau kita kejar akhirat, maka sudah tentu dunia akhirat kita dapat."

Sebagai pendakwah kita jangan hanya menyampaikan perkara-perkara yang melibatkan solat, akhlak yang baik, sejarah Islam dan benda-benda yang ringan sahaja. Kita juga kena menyampaikan semua perkara yang melibatkan kepentingan Islam, supaya masyarakat di luar sana faham tentang Islam yang sebenar. Insya-Allah kalau kita ceritakan perkara yang sebenar dan tidak melibatkan mana-mana fahaman politik, maka sudah pasti masyarakat diluar sana akan menerimanya dengan hati yang terbuka walaupun mereka mempunyai latar belakang politik yang berbeza. Sebab itulah setiap pendakwah perlu mempunyai strategi dan kebijaksanaan untuk menyusun segala gerak kerja dakwahnya.

Bila semua masyarakat telah faham tentang Islam, maka sudah menjadi satu perkara yang mudah untuk memastikan Islam yang sebenar dapat diamalkan dan dilaksana di muka bumi ini. Seperti titah Sultan Brunei untuk melaksanakan hukum Islam di negaranya. Ini semua berlaku disebabkan dia telah memahami tentang kebenaran hukum Islam itu sendiri.

Tuesday, October 11, 2011

Maksud Dakwah Mengikut Ilmuan Islam


Pengertian dakwah dari segi bahasa ialah berasal dari kata Arab seperti da’a, yad’u, da’watan yang membawa maksud menyeru, memanggil, mengajak, menjamu, memandu dan menjemput. Manakala maksud dakwah dari segi istilah pula ialah mendorong manusia agar berbuat kebajikan dan petunjuk. Menyuruh mereka berbuat yang ma`ruf dan mencegah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dalam erti kata yang lain pula, dakwah adalah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Menurut Jum’ah Amin Abdul Aziz mengatakan bahawa dakwah Islamiah adalah risalah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai wahyu dari Allah dalam bentuk kitab yang tidak ada kebatilan di dalamnya, baik di depan atau dibelakangnya, dengan kalam-Nya yang bernilai mukjizat dan yang ditulis di dalam mushaf yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW dengan sanad yang mutawatir, bagi yang membacanya dinilai sebagai ibadah.

Dr. Ra’uf Shalabi menjelaskan bahawa dakwah Islamiah itu adalah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.

Ali Abdul Halim Mahmud pula mengatakan bahawa Dakwah ilallah bermaksud kita berdakwah agar manusia beriman kepada Allah, risalah yang dibawa para nabi dan rasul, taat pada apa-apa yang diperintahkan, berhenti total dari semua yang dilarang dan membenarkan seluruh perkataan utusan Allah tersebut. Arti berdakwah adalah mengajak kepada din Islam, penutup seluruh Kalamullah, serta agama yang paling sempurna dan syamil (komprehensif). Islam adalah agama yang telah Allah jamin penjagaannya, sedangkan agama-agama selain Islam diserahkan kepada para pemeluknya. Oleh kerana itu, hanya Islamlah yang akan tegak tanpa perubahan dan cacat.

Berdasarkan beberapa definisi yang telah diberikan di atas ini, maka kita dapat menyimpulkan bahawa dakwah itu adalah satu usaha mengajak manusia beriman kepada Allah dengan membenarkan segala apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Dakwah juga mengajak manusia mencontohi akhlak yang telah ditunjuk dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dakwah dapat ditinjau dari dua sudut yang berbeza seperti :
  1. Maksud dakwah secara umum, ialah sutu ilmu pengetahuan yang berisi kaedah-kaedah dan tuntunan-tuntunan bagaimana cara sebaiknya untuk pendakwah itu menarik perhatian atau minat seseorang untuk menganut, menyetujui dan melaksanakan suatu ideologi tertentu.

  1. Dakwah menurut Islam pula ialah mengajak seseorang dengan penuh kebijaksanaan ke arah jalan yang benar sesuai dengan perintah Allah untuk kemaslahatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Allah mengajak hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yang membolehkan mereka masuk ke syurga, seperti berpegang teguh kepada ajaran Islam. Dengan agama inilah, Allah mengutuskan para rasul untuk menyeru sekelian umat manusia ke jalan yang diredhoi Allah dan meninggalkan segela perkara yang dilarang oleh-Nya. Beruntunglah bagi sesiapa yang membenarkan seruan tersebut. Firman Allah yang berbunyi :

“Dan sesiapa Yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana Sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah Yang tetap menang.” (Al-Maidah : 56)

Zaman moden ini, dakwah sangat diperlukan untuk membendung segala masalah keruntuhan Akhlak yang semakin berleluasa. Kalaulah konsep dakwah ini tidak digunakan dengan penuh hikmah dan penuh kebijaksanaan, maka kemungkinan besar, ia belum tentu dapat mengatasi masalah sosial ini. Ini menunjukkan bahawa seorang pendakwah perlu mempunyai persediaan dan jati diri yang kuat. Bukan mudah hendak berdepan dengan manusia ini, kerana ia mempunyai berbagai karenah dan berbagai rintangan yang perlu dihadapi oleh pendakwah, jika tidak mempunyai persiapan yang rapi, maka seseorang pendakwah itu akan mengalami kekalahan atau kekecewaan dan ia juga tidak sanggup lagi untuk menghadapi masalah ini.

Nabi Yusof telah menunjukkan satu tauladan yang sangat bermakna kepada para pendakwah sekalian, walaupun Baginda di penjarakan dengan sebab difitnah oleh seorang isteri raja ketika itu, tetapi Baginda tidak berputus asa dan Baginda meneruskan usaha dakwahnya di dalam penjara tersebut. Kisah ini telah dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran yang berbunyi :

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak Aku kepada-Nya. dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (Yusof : 33)


Sunday, October 9, 2011

Jom Buat Korban Bersama HALUAN Malaysia


Muslim dan muslimat yang budiman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Syukur ke hadrat Allah SWT yang mencurahkan nikmat keimanan, rahmat dan rezeki yang melimpah-ruah kepada kita. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW yang telah meninggalkan kepada kita contoh tauladan yang mulia, untuk mencapai kejayaan yang hakiki.

Kini bulan Zulhijjah telah tiba, jester peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah korban. Alhamdulillah, saban tahun peluang ini sentiasa dinanti dan direbut oleh mereka yang berkemamouan. Namun saban tahun juga kita dapat melihat daging-daging korban berlebihan di tempat-tempat tertentu, malah ada juga diagihkan kepada mereka yang tidak begitu memerlukan bantuan. Sedangkan mereka yang benar-benar memerlukan masih tidak dapat mengecapi daging korban sebagaimana sepatutnya.

Menyedari senario ini, HALUAN sekali lagi akan menganjurkan “Program Ibadah Korban Aidil Adha 1432H” sebagai inisiatif untuk menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah korban di tempat mereka yang lebih memerlukan bantuan, samaada kerana masalah ekonomi, bencana alam, peperangan, penindasan dan seumpamanya.

Untuk tujuan ini, HALUAN mengenalpasti gologan berikut sebagai sasaran program ibadah korban bagi tahun 1432H :

  1. Perkampungan orang asli Semenanjung Malaysia, bagi meraikan saudara-saudara baru. 

  2. Perkampungan Islam miskin di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. 

  3. Perkampungan Islam di Kemboja.

  4. Sri Langka, India, Bangladesh, Thailand, Vietnam dan Loas. 

  5. Pelarian dan mangsa-mangsa kebuluran Somalia.
Semoga Allah menerima amal kebaikan kita semua. Dengan melaksanakan ibadah korban di tempat-tempat yang lebih memerlukan insya-Allah kita mendapat ganjaran yang berlipat ganda di samping turut menyumbang untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam di tempat-tempat tersebut. Allah berfirman dalam surah Al-Hajj, ayat ke 37 yang bermaksud :

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu”.

Diriwayatkan oleh Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Tiada dibuat oleh anak adam pada Aidil Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah SWT daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.”

Friday, October 7, 2011

Rintihan Ibu Somalia

Hawo Husein

Adey Salat tiba di kem bersama lima orang anak


Dadaab, Kenya Timur, 8 Sept – Hawo Husein mungkin akan diheret ke mahkamah dan akan didakwa jika dia seorang rakyat Malaysia. Ibu muda yang berusia 19 tahun itu sudah mempunyai lima orang anak. Dia mungkin berkahwin pada usia 14 tahun atau lebih muda lagi.

Telah lima hari berlalu sejak beliau tiba di Dadaab dari perkampungan bernama Sagale di Juba Tengah, Somalia. Bapanya mengizinkan dia bersama bayinya berhijrah ke Kenya menggunakan wang simpanan sebanyak USD100 untuk perjalanan melalui jalanraya. Dia bergegas di antara tempat-tempat persembunyian dan bernasib baik kerana dia dan rakannya yang lain tidak disamun, dirompak atau dirogol sepanjang perjalanan yang memakan masa 20 hari itu.

“Saya tiba dengan selamat tetapi berlapar sepanjang perjalanan, termasuk hari ini,” ujarnya sambil mengatakan dia belum mendapat kad pelarian UNHCR bagi membolehkannya mendapat bekalan makanan mingguan.

“Segalanya pasti berubah jika hujan mulai turun. Kami menanam jagung dan kacang tetapi semuanya musnah kerana kemarau. Tiada tanaman yang mampu hidup dan kami telah kehabisan makanan dan wang. Siapakah yang mahu membantu kami bertahan? Saya berharap hijrah ini akan memberikan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Adey Salat, 40 baru tiba di kem IFOR2 lapan hari yang lalu. Bersamanya adalah lima anak-anak kecilnya sementara suaminya tinggal di Somalia untuk menjaga harta benda mereka. Seperti Hawo dan kebanyakan pelarian lain, Adey menanam jagung, kacang dan sayuran untuk dijual di pasar. Dia yang kini di IFOR2 tiada tempat berteduh, terpaksa tidur di bawah pokok dan tidak mempunyai pakaian dan ubat-ubatan.

“Kami berpanas di siang hari dan menahan kesejukan pada malamnya. Kami akan berpelukan bersama dengan apa jua pakaian yang ada dan diberikan oleh orang yang bersimpati,” tambahnya lagi.

Pelarian Somalia terpaksa melalui proses yang panjang dan rumit sebelum mendapat kad pelarian UNHCR yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan, rawatan dan mungkin sehelai hamparan tarpaulin sebagai khemah. Dengan bekalan asas itu, mereka akan ke belukar berhampiran untuk memotong beberapa batang pokok melley dan mendirikan struktur kubah ringkas dengan hamparan tarpaulin sebagai bumbungnya. Dengan lumpur keras sebagai lantainya, buat masa ini, pokok dan belukar akan menjadi rumah mereka.   


Sumber : Portal HALUAN MALAYSIA

 

Tuesday, October 4, 2011

Tips Mudah Menghadapi Suami Mabuk & Suka Berpoya-poya



Ustaz bila suami keluar berpoya-poya dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, boleh ke kalau si isteri tidak mebenarkan si suami di kamarnya dan kadang kala tertinggi suara terhadap suaminya. Apakah patut si isteri lakukan dia sungguh binggung..harap ustaz dapat memberi penjelasan.

Jawapan Ustaz

Sebagai seorang isteri, ia sepatutnya melayani suaminya lebih dari melayani kedua ibu bapanya. Ini juga merupakan tanggungjawab isteri kepada suaminya. Ada pepatah yang mengatakan apabila seorang wanita telah berkahwin, maka syurganya terletak di bawah kaki suaminya. Pepatah ini membawa maksud, jika seorang isteri gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang solehah, sudah pasti ia tidak dapat menikmati syurga Allah dan dirinya diazab di dalam api neraka Allah yang sangat dahsyat. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Riwayat At-Tabrani)

Tentang masalah taati kepada suami, setiap isteri jangan pula taati segala perintah yang bercanggah dengan syariat Islam, sebabnya dalam Islam sendiri tidak pernah meredhokan perkara-perkara yang mungkar dilakukan walaupun itu arahan suami. Jadi dalam soal ini, si isteri boleh memberi nasihat kepada suami dengan bahasa yang baik dan jika boleh elakkan dari menengking suami. Sebab dalam menyampaikan mesej Islam atau memberikan nasihat kepada seseorang, kita mestilah bijak dan hikmah dengan segala teguran kita supaya ia tidak berlaku salah faham dan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Firman Allah yang bermaksud :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Tentang soalan yang ditanyakan di atas, sebagai tindakkan awal, isteri boleh menegur kesalahan suaminya dengan mengatakan minum arak itu adalah haram dan dosa besar bagi orang yang melakukannya. Boleh juga isteri mengunci pintu bilik apabila suami yang mabuk pulang ke rumah, bagi saya ini penting sebab, orang yang mabuk biasanya ia tidak sedar apa yang telah dilakukan. Kadang-kadang disebabkan kesilapan kecil dia sanggup memukul isterinya sehingga cedera.

Jika segala teguran dan nasihat isteri tidak diindahkan oleh suami, maka si isteri boleh mengadukan masalah ini kepada kedua ibu bapanya. Kadang-kadang suami ini boleh mendengar apa yang dinasihati oleh kedua ibu bapanya. Jika cara ini tidak berkesan, maka bolehlah si isteri buat pengaduan di Jabatan Agama Islam yang berdekatan supaya suami anda dipanggil untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling. Selalunya bagi isteri yang mempunyai masalah seperti ini, pihak Jabatan Agama Islam mempunyai kaedah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Setiap apa yang telah anda usahakan aringilah ia dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dan jalan keluar kepada masalah yang anda hadapi ini. Mungkin ini satu ujian yang anda perlu tempoh. Mungkin juga Allah ingin menaikkan martabat iman anda kepada Allah atau mungkin sebelum ini ada apa-apa kesalahan yang anda telah lakukan. Jika anda mohonlah taubat kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud :  

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah : 186)

Sunday, October 2, 2011

Tun Dr. Mahadir : Filem Hantulah Punca Histeria & Perosak Minda


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir (gambar) dipetik Berita Minggu hari ini.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

“Untuk bergerak dan maju ke hadapan, kita perlu banyak menerapkan cara berfikir secara saintifik dalam menyelesaikan masalah, bukan bergantung pada bomoh.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh mengubati orang dengan kemenyan,” katanya sambil menambah, “dulu kita tidak ada cara lain mungkin boleh guna cara itu.”

“Dulu jika kita sakit jantung, pergi belah dada kita akan mati.

“Sekarang, jika kita sakit jantung, kita boleh belah (buat pembedahan) sebab sudah ada mesin jantung dan paru-paru. Itu saintifik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.

Ulasan Ustaz

Perkara utama zaman sekarang ini yang sangat memesongkan umat Islam negara ini adalah filem-filem hantu yang menceritakan perkara-perkara tahyul dan syirik. Ini filem yang tidak masuk akal dan filem yang membuatkan umat Islam negara ini takut kepada hantu dan bukan takut kepada Allah. Sebab itulah ramai umat Islam sekarang berani melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Saya sangat setuju apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa filem itu membawa fahaman yang salah dan tidak dapat dibuktikan oleh ilmiah.

Bagus apabila filem itu menggambarkan bahawa orang yang dirasuk atau diganggu hantu itu dirujuk kepada Ustaz atau orang agama. Tapi malangnya lakonan ustaz atau fiqiyah yang digambarkan itu keterlaluan dan sangat memesongkan seperti, keluarnya cahaya perkataan Allah, cahaya kilat atau sebagainya. Ini sangat memesongkan dan tidak betul segala apa yang digambarkan oleh filem hantu tersebut.

Baru-baru ini Filem Hantu Bonceng menjadi hangat apabila dikritik oleh orang-orang agama dan masyarakat bahawa filem tersebut boleh merosakkan akidah dan sebahagian gambaran yang dibuat menghina Islam. Menjadi tanggugjawab pihak yang mempunyai kuasa untuk menapis filem-filem membuat penilitian yang sepatutnya. Jika ada filem yang bertentangan dengan Islam atau dengan moral masyarakat, maka lebih elok filem tersebut disekat dan tidak diterbitkan. Jadikan orang agama sebagai tempat rujukan apabila ada perkara-perkara yang tidak diketahui oleh penal penapisan filem.

Satu lagi perkara yang jarang disebut dan dipertikaikan oleh masyarakat iaitu pakaian pelakon yang kebanyakkannya tidak mengambarkan sebagai seorang muslim yang baik. Ada artis Islam negara ini yang berpakaian seksi kalah artis Hoollywood atau Bollywood. Bagaimana artis nak menunjukkan tauladan yang baik kepada peminat mereka kerana mereka sendiri mempunyai akhlak yang jauh menyimpang dari akhlak Islam. Kadang-kadang mereka menggambarkan filem-filem Islamik dan mereka hanya berpakaian tutup aurat ketika lakonan sahaja, tetapi diluar lakonan mereka sebenarnya hipokrik.

Saya menegaskan disini, bukan sekadar filem hantu sahaja perlu dibersihkan dari industri perfileman negara, tetapi akhlak dan pakaian artis juga perlu dibersihkan dari dunia perfileman. Jika ini semua cantik, maka nescaya segala mesej atau objektif yang disampaikan dalam filem tersebut akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh untuk mendidik masyarakat negara ini yang kebanyakkannya sedang hanyut ditipu oleh syaitan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG