PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, November 27, 2011

Hayati Hijrah Rasulullah



Maksud Hijrah

Secara harfiyah makna hijrah berasal dari kata bahasa arab hajara-yahjuru-hijratan yang berarti perpindahan ke lain negeri atau pemisahan diri dari keluarga dan sahabat handai atau negeri asal. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani.

hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya.

Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Dan hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.

Dalil Hijrah

“Sesungguhnya orang-orang Yang beriman, dan orang-orang Yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang Yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 218)

“(Sesungguhnya) orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah Dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang Yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang Yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang Yang berjaya.” (At-Taubah : 20)

Aspek Hijrah

Hijrah Rasulullah Dari Mekah Ke Madinah

Hijrah Rasulullah saw dan para sahabatnya dari kota Makkah ke Yathrib,  berlaku pada tahun 622M. Tujuannya ialah untuk menyelamatkan aqidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah.  Hijrah ini berakhir dengan kejayaan Rasulullah membuka kota Makkah pada tahun 630M, di mana baginda menyatakan bahawa tidak ada  hijrah selepas pembukaan Makkah.

Hijrah Ummat

Hijrah umat ialah perpindahan umat Islam dari mana-mana negeri atau negara yang di dalamnya aqidah umat ditindas ke mana-mana tempat di bumi Allah demi menyelamatkan aqidah.  Pintu hijrah seperti ini belum tertutup dan tidak akan tertutup hingga hari Qiamat selagimana berlaku penekanan dan kezaliman  ke atas umat Islam yang memaksa mereka berpindah bagi menyelamat dan memelihara aqidah.

Hijrah seperti ini, dari satu aspek, adalah sama seperti hijrah Rasulullah dari Makkah ke Yathrib, iaitu perpindahan daripada  bumi yang penuh penindasan dan kezaliman ke atas aqidah Islam dan penganut-penganutnya ke tempat yang lebih selamat bagi menyelamatkan aqidah Islam dan memelihara kehormatan penganut-penganutnya.  Dengan ini mereka akan dapat melakukan ibadah kepada Allah dan melaksanakan segala tuntutan aqidah secara bebas dan terpelihara.

Hijrah Hati Dan Akhlak

Hijrah bentuk ini ialah perpindahan jiwa daripada yang buruk kepada yang baik, suci dan benar. Atau, perpindahan jiwa daripada yang baik kepada yang lebih baik, lebih suci dan lebih benar. Hijrah bentuk ini tidak kurang mulianya daripada hijrah bentuk pertama dan kedua di atas.  Ia merupakan penerusan bagi ikatan perjanjian di antara seorang hamba dengan Allah agar hidupnya sentiasa di dalam keadaan bersih dan mengamalkan akhlak terpuji sebagai bukti kepada kebenaran imannya.

Inilah  hijrah ma’nawi dalam pembentukan syakhsiyah, di mana seseorang itu mendaki anak-anak tangga kebersihan dan kesucian menuju kepada Allah. Beliau menjalani hidup dalam keadaan suci dan mulia.

Rangkuman Hijrah Manusia

Hijrah Jasmani

Hijrah Jasmani ialah seseorang itu melakukan perubahan dirinya kearah yang lebih baik, sepertimana bersenam, memiliki pakaian yang baik dari segi syarak, ingin memiliki pekerjaan yang baik, ingin memiliki taraf akademik yang baik dan sebagainya. Jasmani perlu sihat kerana ia akan memudahkan kita beribadah kepada Allah dengan lebih sempurna, begitu juga memiliki pekerjaan yang baik supaya kita tidak mencuri disebabkan tekanan hidup, tukar pakaian daripada berpakaian yang kurang sempurna menutup auratnya sehingga sempurna menutup auratnya dan banyak lagi.

Hijrah Rohani

Hijrah rohani ialah seseorang yang menghijrahkan dirinya kearah agama Allah seperti beliau mendekatkan diri ke masjid dan majlis-majlis ilmu yang sebelum ini tidak pernah dihadirinya. Buangkan penyakit-penyakit hati yang sering menjauhkan diri kepada Allah seperti mempunyai perasaan tamak, hasad dengki, riak, menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki dan sebagainya. Jika seseorang itu dapat mengubah hatinya atau psikologinya kearah yang baik dan memiliki akhlak yang baik, nescaya ia akan mempunyai perasaan cintakan Allah dan Rasulnya. Malah dirinya akan disukai oleh masyarakat sekelilingnya. Orang seperti ini sering disenangi oleh masyarakat kerana ia mempunyai peribadi yang baik. Apabila ia terkena musibah atau ujian Allah, maka dia tabah dan tenang hatinya menghadapi ujian Allah, sedikitpun ia tidak bersungut dan gelisah dengan ujian Allah ke atas dirinya.

Pengajaran Hijrah

  1. Ikhlas 
  2. Mantapkan syakhsiyah 
  3. Strategi Yang Baik 
  4. Sabar 
  5. Dalam Jemaah 
  6. Pengorbanan

Wednesday, November 23, 2011

Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

  2. Umat Islam dilarang menyertai aktiviti Candlelight Vigil kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam.

Keterangan/Hujah : 


  1. Di dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan kepercayaan. Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Bagaimanapun, api atau cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha. Amalan Candlelight Vigil khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.

  2. Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam. Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-18, m.s. 1343 yang bermaksud : “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)  

  3. Rasulullah S.A.W turut melarang umatnya daripada melakukan sesuatu perkara yang bukan datangnya dari urusan agama, sepertimana disebutkan di dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-17, m.s. 1343 yang bermaksud : “Telah diberitakan kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi, diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf, diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan (mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”.  (Riwayat Muslim)

 Sumber : E-Fatwa Malaysia


Monday, November 21, 2011

Tujuan Dakwah Ketiga : Amal Makruf, Nahi Mungkar



Sebenarnya menegakkan perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran ini menjadi tanggungjawab semua umat Islam, bukan hanya tanggungjawab pendakwah sahaja. Bila seseorang muslim itu melihat perkara kemaksiatan berlaku di persekitarannya, maka sudah pasti itu menjadi tanggungjawab dirinya untuk mencegah perkara maksiat yang berlaku disekelilingnya. Dosa jika ia gagal berbuat demikian. Firman Allah yang berbunyi :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.” (Ali Imran : 104)

Seorang pendakwah yang menegakkan amal makruf dan mencegah kemungkaran hendaklah  mempunyai sifat lemah lembut, beradab dan bersopan santun, sebab pendakwah yang mempunyai sifat-sifat ini akan menjadikan pendakwah tersebut dipandang mulia oleh masyarakat. Jika ia mempunyai sifat sebaliknya, maka sudah pasti ia tidak dihormati dan dipandang serong oleh masyarakat. Menjadi seorang pendakwah ini bukan perkara yang mudah, malah ia sentiasa dipantau dan dinilai oleh masyarakat. Bila melakukan kesalahan yang kecil sahaja, mereka akan anggap ini kesalahan yang besar dan tidak patut dilakukan oleh para pendakwah. Paling memalukan ia diperbesarkan dengan menokok tambah supaya cerita tersebut menjadi tarikan orang ramai.

Dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ini, perlu mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh pendakwah. Ini semua bertujuan untuk memastikan keberkesanan amar makruf dan nahi mungkar dapat ditegakkan di dalam bumi Allah ini. Antara syaratnya ialah :

Ikhlas

Pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah mempunyai hati yang ikhlas dan dilaksanakan untuk menjaga kepentingan Agama Allah. Pendakwah yang ikhlas dapat memupuk rasa  kasih saying dan prihatin untuk membetulkan segala kesilapan mereka.

Para pendakwah tidak boleh mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata. Ada sebahagian pendakwah yang mencari keuntungan dari setiap usaha dakwahnya, Contohnya seperti mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi kepada pihak penganjur program.  Apabila pihak penganjur merayu supaya harga tersebut dikurangkan, Dengan nada yang sombong mereka berkata “kalau tidak mampu cari penceramah lain, ada banyak lagi jemputan yang boleh bagi kepada kami bayaran yang tinggi”.  Bukan maksud saya para pendakwah tidak boleh meletakkan harga, tetapi setiap harga itu biarlah berpatutan dan mampu dibayar oleh pihak penganjur. Beginilah jadinya, jika pendakwah tersebut tidak mempunyai sifat ikhlas dalam menyampaikan dakwahnya. Segala bahan yang disampaikan tidak memdapat keberkatan daripada Allah, penonton yang mendengar hanya bergelak ketawa sahaja. Segala isi yang disampaikan tidak dapat memberi kesan kepada pendengarnya.

Berilmu

Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu, dengan ilmu pengetahuan kita dapat melaksanakan segala pekerjaan dengan mudah. Orang yang berilmu adalah orang yang mempunyai wawasan yang tinggi dan ia tidak boleh ditipu oleh orang lain dengan mudah. Setiap ibadah yang dilakukan oleh orang yang berilmu lebih diterima oleh Allah berbanding orang yang tidak berilmu.

Syaikh Abdul Rahman Bin Qasim An-Najdi mengatakan : “Amal adalah buah dari ilmu. Ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain. Fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu tidak beramal dengannya lebih teruk berbanding orang jahil.

Bagi memastikan dakwah yang disampaikan oleh para pendakwah itu berjaya, perkara yang awal perlu mereka sediakan adalah ilmu pengetahuan yang luas. Bagi pendakwah yang sentiasa meningkatkan ilmu mereka, maka sudah pasti ia menjadi satu kesenangan bagi mereka untuk mengenali sasaran dakwah dan dapat mengatur strategi dakwah mereka dengan baik dan sesuai dengan tahap pemikiran sasaran mereka. Bagi pendakwah masa kini, banyak cabaran yang perlu mereka lalui terutama apabila berhadapan dengan mad’u mereka.

Jika mereka tidak dapat menguasai ilmu pengetahuan dengan baik terutamanya ilmu-ilmu baru yang timbul di zaman moden ini seperti media elektronik, media cetak, isu-isu semasa dan sebagainya. Kadang-kadang dalam menjalankan dakwah kita akan diduga dengan persoalan-persoalan yang ilmiah contohnya kenapa Islam mewajibkan umatnya membasuh najis anjing dan babi dengan tanah dan tidak boleh dibasuh dengan air sabun. Sudah pasti kita tidak boleh jawab soalan sebegini kalau kita tidak mempunyai ilmu dalam bidang-bidang yang berkaitan. Ini juga akan dijadikan senjata bagi mereka untuk memperlekehkan usaha dakwah kita.

Al-Qahtani menjelaskan pendakwah yang bijaksana itu ialah pendakwah yang mempelajari tentang reality sasaran untuk disesuaikan dakwah dengan taraf dan paras mereka dari semua sudutnya.

Fathi Yakan menambah dakwah itu untuk manusia dan ditujukan kepada manusia yang bermacam-macam keadaan dan bermacam-macam perbezaan, sama ada dari sudut umur, lapisan, pengetahuan, status, keadaan masyarakat, kecenderungan dan aliran pemikiran, dengan itu pendakwah harus bijak dan matang dalam memahami sasarannya, supaya apa yang dikemukakan itu sesuai. Pendakwah yang berjaya ialah yang memberi sesuatu berdasarkan keperluan sasaran, dengan cuma memuaskan hati sasaran untuk mempengaruhi mereka.

Dari segala apa yang diterangkan di atas, sangat penting penguasaan ilmu bagi para pendakwah sebelum mereka turun berjumpa dengan sasaran dakwah mereka. Apabila mereka dapat menguasai ilmu dakwah dengan baik, maka mereka dapat mengenal pasti punca masalah yang berlaku dalam golongan sasaran dan dapat merangka metod dakwah yang baik dan sesuai untuk sasaran dakwah mereka. 

Saturday, November 19, 2011

Putus Silaturahim dilarang Dalam Islam



Saya tersinggung dan terasa hati dengan bapa mentua kerana dia pernah menghina serta pernah memberitahu bencikan saya. Dia juga pernah meminta saya menceraikan anaknya.

Sejak itu saya berjanji tidak mahu berjumpanya lagi. Berdosakah jika saya membenci sikapnya itu dan adakah wajar tindakan saya tidak menjenguknya?

Jawapan

Setiap Muslim mesti memahami Islam sangat menitik beratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim. Bersikap benci-membenci dan memutuskan hubungan sesama saudara dilarang di dalam Islam.

Jika berlaku perselisihan faham, mereka hendaklah didamaikan dan menyambung kembali tali persaudaraan. Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikan di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10).

Dalam sebuah lagi hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadis riwayat Muslim).

Baginda bersabda lagi: “Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi)

Menghubungkan silaturahim banyak faedahnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia memelihara hubungan silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru keterlanjuran kata-kata bapa mentua anda itu perlulah segera dimaafkan kerana sebagai menantu kita tidak boleh menyimpan perasaan marah atau benci.


Sumber : Harian Metro



Tuesday, November 15, 2011

Bayar Komisen (Upah) Orang Yang Dapatkan Pekerjaan



Salam Ustaz, apakah hukum membayar wang komisyen contohnya..saya bekerja sebagai freelancer dlm bidang design memberikan komisyen kepada sesiapa yg recommend/ dapatkan kan job utk saya.


Jawapan

Segala pekerjaan yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti jual beli, hutang, komisen dan sebagainya adalah termasuk di dalam perbincangan muamalah Islam. Muamalah dalam Islam ini sangat luas dan ia berubah mengikut keadaan semasa. Semakin moden dunia ini maka semakin canggihlah pekerjaan manusia.

Sebelum kita masuk kepada poin soalan di atas, rasa lebih elok saya berikan sedikit pengertian muamalah dan beberapa garis panduan yang telah ditetapkan Islam dalam muamalah.

Kata muamalah berasal dari bahasa Arab  amala, yuamilu, muamalatan (al-muamalah), bermaksud menyikapi, memperlakukan, bergaul, berinteraksi, dan sebagainya. Bidang muamalah dalam Fiqh Islam secara umum meliputi pergaulan dan interaksi sesama manusia di dalam aspek-aspek kehidupan, seperti aspek adat istiadat dan kebiasaan, sosial, kemasyarakatan, budaya, kesenian dan hiburan, ekonomi, perdagangan, pendidikan, politik, pengelolaan pemerintahan dan lain-lain lagi.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas : 77)

Jelas bahawa segala pekerjaan yang berkaitan dengan manusia mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Islam. Jadi sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah, mestilah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan Islam dalam muamalah. Setiap muamalah mestilah mengikut rukun dan syarat yang telah digariskan oleh Islam.

Kembali kepada persoalan asal iaitu membayar upah kepada orang yang mencari pekerjaan kepada kita. Kaedah Fiqh terhadap muamalah ialah setiap pekerjaan itu adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Pekerjaan atau projek yang dicari kepada kita itu mestilah tidak bercanggah dengan prinsip Islam, maksud bercanggah seperti pekerjaan yang melibatkan maksiat, arak, perjudian, riba, penipuan dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Orang-orang Yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa Yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman  itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa Yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah : 275)

Tidak salah untuk kita membayar upah sebagai penghargaan kepada orang tersebut yang telah mencari projek atau pekerjaan untuk kita. Jika kita ada berbuat janji dengan orang yang mencari pekerjaan atau projek kepada kita, maka mestilah dibayar seperti yang telah dijanjikan kepada orang tersebut, kalau kita gagal, maka urusan tersebut tidak sah dari sisi Islam kerana ia terlibat dengan penipuan.



Sunday, November 13, 2011

Usrah Bulanan : Jangan Jadikan Sejarah Rasulullah Sebagai Bacaan Sahaja



Rasulullah tinggalkan 2 perkara sebagai rujukan dan pedoman umat Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah Baginda. Hal ini juga telah dirakamkan oleh Baginda dalam sebuah Hadis yang bermaksud :

“Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanyanescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku”

Kitabullah (Al-Qur’an)

Ianya merupakan sumber utama untuk memahami garis-garis kasar penghidupan Muhammad RasuluLlah Saw Pendedahan sejarah hidup Rasulullah dalam al-Quran melalui salah satu aliran berikut :

  1. Memaparkan beberapa bahagian dari penghidupan baginda, seperti ayat-ayat yang diturunkan mengenai peperangan Badar, Uhud, al Khandaq atau al Ahzab juga seperti kisah perkahwinannya dengan Zainab binti Jahsy. Firman Allah yang bermaksud : “Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Engkau berkata kepada orang Yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan Yang Engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil Engkau menyembunyikan Dalam hatimu perkara Yang Allah akan menyatakannya; dan Engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah Yang berhak Engkau takuti (melanggar perintahNya). kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan Engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang Yang beriman untuk berkahwin Dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). dan sememangnya perkara Yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Al-Ahzab : 37) 

  2. Mengulas pertempuran-pertempuran dan kejadian-kejadian ini adalah untuk memberi penjelasan selanjutnya kepada apa yang dimusykilkan atau untuk menerangkan beberapa kesamaran tentang pertempuran dan peristiwa-peristiwa atau untuk menarik perhatian umat Is1am terhadap sesuatu iktibar. Sebenarya segala-galanya ini mempunyai makna dan hubungkait yang amat rapat dan mesra dengan sejarah dan riwayat bidup Rasulullah saw. Kesemuanya ini menampakkan kepada kita sebahagian besar dan pada aspek-aspek penghidupan Rasulullah saw dan hal ehwal yang bersangkutan dengannya.

Sebenarnya pendedahan Al-Qur’an Al-Karim tentang segala-galanya ini adalah terlalu ringkas dan padat, meskipun cara dan aliran pendedahan tadi kadang kalanya berlainan di antara satu sama lain namun begitu kesemuanya ini tetap memaparkan cebisan-cebisan dan penerangan secara ringkas terhadap pertempuran dan kejadian yang bersejarah. Memang ini adalah jalan dan aliran Al-Quran Al-Karim di dalam menceritakan perihal-perihal para Anbiya yang terdahulu dan umat manusia di zaman silam.

Kitab Al-Sunnah Al-Nabawiyyah (Hadith hadith)

Hadith-hadith Nabi yang sahih. Hadith yang dimaksudkan di sini ialah isi kandungan Kitab-kitab Hadith yang terkenal dengan kebenaran dan amanahnya, seperti Kitab Hadith Al Muwatta’ oleh Imam Malik, Al Musnad oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya.

Sumber yang kedua ini lebih luas dan terperinci dari yang pertama. Sungguhpun begitu mungkin kita tidak dapat memberikan suatu gambaran yang lengkap tentang kehidupan Rasulullah saw sejak dilahirkan hingga wafat nya kerana beberapa sebab :

  1. Oleh kerana Kitab-kitab Hadith ini disusun mengikut maudu’ atau tajuk-tajuk fiqah ataupun mengikut unit-unit kajian yang bersangkut dengan syari’at Islam maka hadith hadith yang menceritakan tentang penghidupan Rasulullah berselerak dan berkecamuk dalam maudu’-maudu’ fiqah. 

  2. Oleh kerana para ahli hadith, terutamanya penyusun kitab hadith yang enam tidak memerhatikan soal ini ketika mengumpulkannya untuk disusun mengikut sejarah hidup Rasulullah, apa yang mereka titik beratkan ialah penyusunan mengikut maudu’ atau tajuk-tajuk fiqah seperti yang disebut tadi.

Kitab-kitab Sejarah Rasulullah

Perihal riwayat hidup Muhammad Rasulullah saw di zaman silam adalah melalui dan mulut ke mulut tanpa mendapat perhatian untuk dibukukan, walaupun terdapat sebilangan kecil yang cuba menitikberatkan perhatiannya terhadap kejadian dan peristiwa-penistiwa dalam sejarahnya itu.

Setelah beberapa ketika terdapat beberapa orang cuba mencatit riwayat hidup Rasulullah saw ala kadar yang sampai ke pengetahuannya antara mereka seperti ‘Urwah Ibnu Al Zubair (wafat, 92H), Abari bin ‘Othnan (wafat, 105H), Wahb in Manbah (wafat, I1OH), Syarhabil bin Sa’d (wafat. 123H) dan Ibnu Syihab Al Zubri (wafat, 124H).

Sayangnya apa yang dituliskan oleh mereka ini telah hilang. Hanya tinggal-beberapa bahagian yang tercamuk, setengahnya terdapat dalam kitab Al-Tabani manakala sebahagian yang lain pula tersimpan di bandar Heidelberg di Jerman. Bahagian yang tersimpan di Jerman ini ialah sebahagian dan tulisan Wahb bin Manbah (11OH).

Kemudian timbul pula satu angkatan penyusun riwayat hidup Rasulullah saw yang terkemuka antara mereka ialah Muhammad bin Isbaq (wafat, 152H) kemudian lapisan kedua, antara mereka ialah Al Waqidi (wafat, 207H) dan Muhammad bin Sa’ad (wafat pada tahun 230H) penyusun kitab Al-Tabaqat Al-Kubra.

Ahli sejarah sebulat suara mengatakan bahawa apa yang ditulis oleh Muhammad bin Ishaq merupakan satu-satunya makiumat (dokumen) sejarah Rasulullah saw yang paling benar dan boleh dipegang. Tetapi malangnya kitab beliau yang berjudul Al Maghazi Wa Al Siyar telah hilang dan kehilangannya mengakibatkan hilangnya intisari perpustakaan di zaman itu.

Setelah masa beredar setengah abad lamanya barulah timbul seorang jaguh yang lain iaitu Abu Muhammad Abdul Malek yang lebih dikenal dengan Ibnu Hisyam, beliau telah menghidangkan kepada kita saringan sejarah Rasulullah saw dengan cara yang menarik sekali.

Sebenarnya apa yang dikarang oleh Ibnu Hisyam itu adalah kandungan “Al Maghazi Wa Al Siyar” yang dikarang oleh Ibnu Ishaq dalam bentuk ringkasan.

Ibnu Khillikan telah menegaskan dalam bukunya begini :

“Ibnu Hisyam ini ialah orang yang mengumpulkan Riwayat Rasulullah daripada Kitab “Al Maghazi Wa Al Siyar” yang dikarang oleh Ibnu Ishaq setelah disaring dan dibuat beberapa pembaharuan, tambahan dan ringkasan. Kemudian hasil itu dikenali dengan nama “Sirah Ibnu Hisyam “.

Akhirnya barulah orang lain cuba mengikuti jejak langkah mereka ini dalam usaha mengarang dan menyusun sejarah hidup Rasulullah saw, terdapat antara mereka yang cuba membentangkan pelbagai aspek hidup Rasulullah saw. Sebahagian dan mereka yang lain pula cuba mengkaji sudut-sudut hidup Baginda yang tertentu, seperti Al Asfahani dalam bukunya “Dala’il Al Nu buwwah” dan “Tanda-tanda Kenabian”. Imam Tarmidzi pula dalam kitabnya (Al Asy Syamail) cuba menyingkap aspek yang tertentu dan begitu juga Ibn Al Qayyim Al Jauziy dengan bukunya “Zad Al Ma’ad”.

Thursday, November 10, 2011

Tujuan Dakwah Kedua : Mengubah Tingkahlaku Buruk Masyarakat Islam



Menjadi kewajipan para pendakwah berusaha dengan daya upaya yang ada untuk mengubah segala tingkahlaku yang buruk dikalangan umat Islam masa kini. Ini bertujuan untuk mengajak masyarakat Islam meninggalkan segala perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan Islam dan melakukan segala pekerjaan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Dapat kita lihat di lapangan bahawa umat Islam sekarang sangat jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Berbagai masalah sosial yang dialami oleh umat Islam sekarang ini seperti penceraian dikalangan suami isteri, pergaulan bebas, penyalah gunaan dadah, pembunuhan, seks bebas dan sebagainya. Berbagai kaedah yang telah dibuat oleh pakar-pakar psikologi atau kauseling, tetapi setiap kaedah yang dihasilkan oleh mereka itu belum ada satupun yang berkesan dan dapat mengurangkan masalah ini. Masalah sosial ini tidak akan selesai selagimana kita tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Islam sahaja yang mempunyai formula untuk mengatasi masalah ini dengan berkesan. Ini juga telah ditegaskan oleh Syeikh Sayyid Al-Qutb dengan mengatakan bahawa Islam sahajalah wadah yang mampu untuk memberikan keadilan sosial bagi umat sejagat. Firman Allah SWT yang berbunyi :

 “Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah : 208)

Mari kita renung dan selidiki kalam Allah di atas ini, jelas bahawa Agama Islam mempunyai cara yang tersendiri untuk mencegah dan merawat masalah sosial ini. Untuk memastikan formula ini berkesan, maka para pendakwah hendaklah menyusun strategi yang baik untuk mengatasi masalah sosial ini. Para pendakwah perlu mempunyai sikap yang kreatif dan inovatif untuk melaksanakan segala dakwahnya. 

Saturday, November 5, 2011

Sedia Berkorban Demi Cinta





Berkorban bererti kesanggupan memberikan dengan ikhlas sesuatu amat disayangi kepada orang lain supaya dapat memberi manfaat kepada orang itu. Antara peristiwa mengesankan hati ialah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang mengajar supaya taat perintah, beriman dan berserah kepada Allah.

Berkorban untuk mendapat cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada bertanya, apakah ganjaran berkorban?

Daripada Zaid bin Arqam, katanya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.

Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis ini mengingatkan kita kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil serta menganugerahkan apa saja.

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun Baginda sudah lanjut usia. Namun Baginda tidak pernah berputus asa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat.

Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga, Baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian berat diturunkan Allah SWT ke atas dua beranak itu dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim menyembelih putera kesayangannya. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati sedih, Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.”

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan keredaan terhadap perintah Allah SWT.

Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih kepada ibu dan ayahnya serta keseronokan zaman remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawa sendiri, semata-mata taat terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata :

"Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya cinta daripada Allah ada sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu.

Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara supaya ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia, tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia berkorban apa saja.


Sumber : Berita Harian

Wednesday, November 2, 2011

Adakah Langgar Binatang Boleh Mendatangkan Sial Kepada Isteri Mengandung?



Soalan


Assalamualaikum wbt.


Ustaz,


Saya ada seperkara yang ingin ditanya.


Baru2 ini, saya secara tidak sengaja telah terlanggar seekor anak kucing semasa sedang memandu. Ia betul2 tidak dapat dielakkan. Apa yang saya ingat, ternampak kelibat seekor anak kucing berlari laju melintasi jalanraya ketika saya sedang memandu dengan kelajuan sederhana dan saya betul2 tidak dapat berbuat apa2. Pada saya, saya juga boleh kemalangan dengan kereta disebelah atau belakang jika membelok secara tiba2.
Astaghfirullahhalazim...


Dalam perjalanan pulang, saya lalu semula dijalan berkenaan. Dengan rasa bersalah dan kesal, saya kutip semula cebisan2 kucing tersebut yang masih tertinggal. Saya bungkus dengan kertas, plastik dan kain dan saya decided untuk bawa pulang kerumah untuk dikebumikan kerana saya beranggapan yang saya harus bertanggungjawab, walaupun tidak disengajakan. Selesai dikebumikan dibelakang rumah, saya menceritakan kejadi ini kepada isteri.


Yang menambahkan lagi serba salah dihati saya ialah, isteri saya sedang hamil (8 bulan) anak kedua kami. Saya sangat risau apa2 perkara yang tidak elok atau 'bala' atau 'badi' pada keluarga atau 'kenan' pada anak dalam kandungan atau perkara2 seumpamanya akibat dari kejadian itu kerana saya ada terdengar sebelum2 ini, jika terlanggar kucing, akan membawa 'sial' (nauzubillah) dan tambah jika menakutkan isteri sedang hamil dan khuatir perkara2 tersebut tadi akan memberi kesan pada anak dalam kandungan. Saya sangat risau dan perkara ini sangat kuat bermain difikiran sejak kejadian itu.


Soalan saya ustaz, :

  1. Adakah betul tindakan saya membawa pulang cebisan kucing tersebut dan mengebumikannya di rumah? 

  2. Adakah benar perkara2 yang tidak elok seperti tersebut akan berlaku pada saya sekeluarga? 

  3. Adakah kejadian ini akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan isteri? 

  4. Apakah amalan2 atau 'denda' yang disarankan oleh Islam jika berlaku perkara sebegini?


Mohon bantuan dan perkongsian ustaz mengenai perkara ini. Juga dimohon didoakan juga kebahagiaan dan kesejahteraan saya sekeluarga.
Terima kasih.

Jawapan 

Mayat manusia sahaja yang di mulaikan selain dari itu tidak dimuliakan, sebabnya manusia ini Allah jadikan sebaik kejadian, Sebab itu mati manusia ini perlu diurus, dimandikan, disembahyang dan dikebumikan mengikut apa yang telah diajar oleh nabi kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israk : 70)


Masalah langar binatang, di sini awak tidak sengaja, saya sendiri pernah terlanggar binatang..tidak ada apa-apa kesan pada kandungan isteri anda, itu semua mitos kurafat dan bid'ah orang melayu kita yang ikut ada yang tidak ada sumber yang sahih, di dalam Al-Quran dan hadis dan tidak ada juga pendapat ulamak yang mengatakan bahawa itu petanda buruk. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku" (Riwayat Malik)

Para ulamak telah sepakat dengan mengatakan bahawa sumber rujukan umat Islam terbahagi kepada 4 sumber seperti Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Sumber ini juga menjadi rujukan umat Islam dalam melaksanakan segala jenis kehidupannya di dunia ini.  

Jangan risau, semua ini kita serah kepada Allah sebab dia yang menentukan segalanya, kalau Allah tidak kehendaki maka perkara ini tidak berlaku. Jadi masalah anda langar kucing itu Allah telah ditentukan Allah, anda kena yakin kepada qada dan qadar Allah bukan cakap orang tua-tua dahulu.


Masalah anda kutib dan tanam bangkai kucing itu tidak menjadi kesalahan, dan bagus juga sebab dia boleh mengelakkan rasa tidak senang orang yang lalu lalang jalan tersebut, bagus tindakan awak sebab itu adalah perbuatan terpuji dan Islam sangat menggalakkan umatnya membuang perkara-perkara yang merbahaya dan perkara yang kurang senang di jalan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG