PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Wednesday, February 15, 2012

Jom Tambah Lagi Ilmu Tentang Wuduk




Maksud Wuduk 

Wuduk dari segi bahasa adalah nama suatu perbuatan, iaitu menggunakan air pada anggota tertentu. Perkataan wuduk berasal dari perkataan wada’ah yang bermaksud keelokan, keindahan dan kebersihan.

Wuduk dari segi syarak pula ialah kebersihan tertentu atau perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat, kemudian disusuli dengan membasuh muka, kedua tangan, kedua kaki dan menyapu kepala untuk membolehkan seseorang itu melakukan solat dan ibadah-ibadah yang lain memerlukan wuduk. Firman Allah SWT :
 
“Wahai orang-orang yang ceriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali”(Al-Maidah : 6)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Riwayat Abu Daud)


Hukum Wuduk

  1. Wajib mengambil wuduk ketika hendak menunaikan ibadah seperti mendirikan solat fardu atau solat sunat.  Wuduk diwajibkan kepada sesiapa yang  hendak melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sama ada tawaf fardu atau sunat. Selain dari itu, wuduk juga wajib dilakukan oleh orang yang hendak menyentuh Al-Quran. 

  2. Sunat bagi seseorang yang hendak menyentuh kitab-kitab syarak seperti Al-Quran, Hadis, Tafsir, Aqidah atau Fiqh. Kecuali bagi mana-mana kitab yang mengandungi ayat Al-Quran lebih banyak dari isi yang lain, maka diwajibkan orang tersebut mengambil wuduk. Selain dari itu, wuduk juga disunatkan kepada orang yang hendak tidur, mengusung jenazah dan disunatkan sentiasa berada di dalam keadaan wuduk.

Syarat Wuduk

  1. Beragama Islam kerana ia merupakan syarat wajibnya wuduk. Orang kafir tidak diwajibkan berwuduk kerana mereka menolak syariat Islam. Islam seseorang merupakan syarat kesempurnaan ibadah-ibadah yang lain seperti taharah, solat, puasa, zakat dan haji. 

  2. Berakal, wuduk tidak wajib dan tidak sah bagi orang yang tidak berakal seperti gila, mabuk atau pengsan. Tidak sah juga bagi orang yang lupa, kerana mereka tidak melakukan niat sebelum mengambil wuduk. 

  3. Baligh, wuduk tidak wajib bagi anak kecil, tetapi sah bagi anak yang sudah mumaiyiz seperti dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mumaiyiz juga adalah salah satu dari syarat wuduk. 

  4. Berkuasa untuk menggunakan air  mutlak dan air tersebut mencukupi untuk berwuduk. Tidak wajib bagi orang yang mengalami kekurangan air. Terlebih dahulu mereka hendaklah mencari sumber air di kawasan sekeliling, jika masih tiada air lagi, maka diharuskan mereka bertayammum untuk menggantikan wuduk. 

  5. Berhadas kecil, keluar sesuatu dari dua jalan qubul dan dubur. Sebelum berwuduk, hendaklah ia membersihkan dahulu segala najis yang dialami olehnya, kemudian hendaklah mengulangi wuduknya kembali. 

  6. Suci dari hadas besar, orang yang mengalami hadas besar seperti keluar mani, haid, nifas dan bersetubuh, hendaklah terlebih dahulu mandi hadas. Tidak sah ibadah yang diharamkan ketika hadas besar. 

  7. Meratakan air keseluruhan anggota wuduk sehingga tidak ada sedikit pun tempat wuduk yang tidak terkena air. 

  8. Menghilangkan sesuatu yang dapat menghalangi air sampai ke anggota wuduk. Maksudnya di sini, tidak ada sesuatu benda yang dapat menghalang air terkena bahagian anggota wuduk seperti minyak, cat, sisik ikan atau getah.

Rukun Wuduk

  1. Niat

  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu dan dari sebelah batas telinga kanan sampai batas telinga kiri. 

  3. Membasuh dua tangan bermula dari dua tapak tangan, dua lengan dan dua siku. Wajib dibasuh sekalian bulu, daging, jari-jari atau kuku yang tumbuh di kawasan wuduk. Kemudian bagi orang yang cacat atau putus tangan, hendaklah membasuh kawasan wuduk yang tertinggal sahaja dan jika tangan seseorang itu putus atas dari siku, wajiblah ia membasuh kawasan yang putus sahaja. 

  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air seperti membasuh sebahagian kulit kepala atau rambut di dalam kawasan kepala sahaja. Tidak sah wuduk bagi orang yang membasuh rambut di luar kawasan kepalanya. 

  5. Membasuh dua kaki dengan menyampaikan air mutlak sekeliling kaki dan wajib menghilangkan sesuatu yang menghalang air sampai ke kawasan wuduk seperti membersihkan kuku dan celah-celah jari dari kekotoran. Bagi orang yang putus kaki atau cacat hendaklah ia membasuh kawasan yang masih tertinggal sahaja.

  6. Tertib (berturutan) seperti memulakan wuduk itu dengan niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan, membasuh kepala dan yang terakhir membasuh kedua kaki. Batal wuduk bagi orang yang tidak mengikut aturan syarak.

Sunat Wuduk

  1. Membaca Bismillah

  2. Membasuh tangan dari tapak tangan hingga pergelangan tangan. 

  3. Bersugi dengan sesuatu yang kesat seperti berus gigi, kayu sugi atau kain.

  4. Berkumur-kumur dengan memasukkan air ke dalam mulut. 

  5. Membersihkan hidung dengan cara memasukkan air di dalam lubang hidung. 

  6. Menyapu seluruh kepala dengan air. 

  7. Membasuh kedua telinga dari sebelah luar dan dalam telinga.

  8. Membasuh kaki dengan menyelati jari tangan di bahagian jari kaki agar air sampai kebahagian tersebut. 

  9. Tidak berkata-kata semasa mengambil wuduk.

  10. Mendahulukan anggota kanan dahulu dari  anggota sebelah kiri.

  11. Membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali berturut-turut. 

  12. Membaca doa sesudah selesai berwuduk

Perkara Yang Membatalkan Wuduk


  1. Keluar sesuatu dari salah satu jalan qubul atau dubur. 

  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan atau mabuk. 

  3. Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan yang ajnabi (orang yang boleh berkahwin). Tidak batal wuduk bagi mereka yang mahram seperti anak dengan ibu atau adik dengan kakak. 

  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri atau milik orang lain. 

  5. Tidur yang tidak tetap kedudukannya seperti tidur berbaring. Tidak terbatal wuduk bagi orang yang tidur secara duduk dan tidak berubah keadaan mula ia tidur sehingga ia bangun dari tidur.

  6. Murtad seorang Muslim sama ada dari hati, perkataan dan perbuatannya.

Ibadah Yang Perlu Berwuduk

  1. Solat wajib atau solat sunat kecuali solat jenazah. 

  2. Melakukan tawaf fardu atau sunat di Baitullah. 

  3. Sujud tilawah atau sujud syukur. 

  4. Memegang, menyentuh dan membawa Al-Quran kecuali ketika hendak menyelamatkan Al-Quran dari terbakar atau terjatuh dari tempat tinggi.

Hikmah Wuduk

Ibnu Qaiyyim Al-Jauzi menyatakan bahawa wuduk dapat mendatangkan kesegaran badan, kesedapan jiwa, kecergasan diri dan menghilangkan  setiap kekotoran yang diperoleh oleh seseorang. Wuduk juga adalah sebahagian dari rawatan kesihatan kepada umat manusia, kerana ia dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu yang terdiri dari anggota-anggota wuduk.

Orang yang berwuduk dapat mengekalkan kesihatan badan dan dapat menjauhkan dirinya dari segala penyakit yang berpunca dari jangkitan kuman. Selain dari itu, wuduk dapat memberikan ketenteraman jiwa kepada orang yang sering mengambilnya. Jika seseorang itu menghadapi masalah atau stress, maka lebih baik ia mengambil wuduk untuk menenteramkan jiwanya supaya ia tidak melakukan perbuatan yang tidak normal.

Setiap manusia sering kali terdedah dengan kekotoran batin dengan menggunakan anggota wuduk seperti tangan, kaki, akal, mata dan telinga untuk melakukan maksiat. Jadi cara untuk menyucikan kekotoran batin ini adalah dengan mengambil air wuduk agar dosa yang dilakukan itu gugur bersama air wuduk tersebut. Dari Anas ra mengatakan :

“Rasulullah SAW bersabda : mahukah aku beritahukan kepada mu amalan-amalan, yang apabila diamalkan Allah akan menghapuskan segala dosa-dosa dan menaikkan darjat? Sahabat menjawab : tentu kami mahukan itu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda : menyempurnakan wuduk meskipun dalam keadaan yang sukar, memperbanyak langkah menuju masjid dan menunggu waktu solat sebelum masuk waktunya. Inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Adab Berwuduk

  1. Mengadap kiblat, kerana kiblat merupakan arah yang paling utama dan perbuatan seperti ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. 

  2. Berada pada tempat yang tinggi untuk mengelakkan dari percikan sisa air wuduk yang telah digunakan.

  3. Tidak berkata-kata dengan orang lain tanpa adanya sesuatu yang memaksa. Sikap seperti ini akan menghilangkan pahala wuduk dan ini juga perbuatan yang makruh. 

  4. Bagi orang yang memakai cincin hendaklah menggerak-gerakkan cincinnya agar air wuduk itu dapat sampai ke kawasan cincin tersebut. 

  5. Menggunakan tangan kanan ketika mengambil air untuk berkumur, membasuh muka dan membasuh kepala. Menggunakan tangan kiri pula ketika hendak membuangkan kotoran atau hingus yang terdapat di dalam hidung. 

  6. Melaksanakan wuduk sebelum masuk waktu solat bagi orang yang tidak uzur. Perbuatan seperti ini adalah langkah bersegera untuk mendirikan solat. 

  7. Memasukkan jari manis yang dibasahi dengan air ke dalam lubang telinga untuk membersihkannya. 

  8. Melebihkan basuhan muka, kedua tangan dan kedua kaki dari batas yang telah diwajibkan. 

  9. Hendaklah menjimatkan air ketika mengambil wuduk, kerana perbuatan membazir itu adalah makruh dan sebahagian dari perbuatan syaitan. 

  10. Membaca syahadah dan doa setelah selesai berwuduk.

5 comments :

  1. As'salamualaikum, izinkan sy share. JazaakALLAHu khaira .

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum .....mohon izin utk share...syukran jazilan....

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum Ustaz!
    Mengapa dlm komputer saya tak keluar "menyapu kepala" sebagai rukun wudhuk sebelum basuh kaki. Ke komputer saya rosak?

    ReplyDelete
  4. Salam

    Bukan dalam komputer awak, tapi memang saya tertinggal satu rukun membasuh kepala..terima kasih atas teguran awak, saya hargai.

    ReplyDelete
  5. Salam ustaz..dlu sya jahil..saye tak tahu kne niat semase mengambil wudhu dan setelah tahu niat itu rukun..kadng2 sye terlupa untuk berniat ambil wudhu..adakah batal solat saya..adakah saya perlu menganti solat saya..mohon jasa ustaz memberi penjelasan..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG