Assalamualaikum kepada semua pembaca budiman, terima kasih atas sokongan
semua yang sering berkunjung dan memberi sokongan terhadap usaha saya ini. Dari
Disember 2009 hingga Julai 2012 iaitu 2 tahun 8 bulan blog ini beroperasi. Waktu
pembukaan blog ini tiada siapa yang datang hanya saya sahaja yang sering masuk
untuk melihat aktiviti trafik dan soal jawab di dalam blog ini. Setiap waktu
dan masa blog ini dikunjungi oleh ramai orang sama ada di dalam dan luar Negara
sehingga sekarang ini trafiknya mencecah 2000 orang sehari. Total trafik sehingga
hari ini 14 Ogos 2012 ialah sebanyak 648.979 orang.
Ini satu kejayaan besar buat saya dalam menyebarkan dakwah Islam di
dalam media alam maya ini. Pelbagai karenah dan ragam pembaca yang ada di dalam
blog ini, ada yang pro dan ada yang kontra. Tapi apa-apa pun ia memerlukan
kesabaran yang sangat kuat dalam menyebarkan dakwah. Di dalam alam maya ini
juga ada halangan dan rintangannya juga.
Tujuan penubuhan blog ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada
orang ramai diluar sana yang menjadikan internet sebagai medan untuk
mendapatkan maklumat-maklumat agama. Mungkin mereka hendak bertanya terus
kepada ustaz segan, maka mereka menggunakan alam maya inilah untuk bertanya
tanpa rasa segan dan malu kerana di dalam ini maklumat diri boleh dirahsiakan.
Pada permulaan penubuhan blog ini, memang saya layan semua soalan yang
diutarakan pengunjung kepada saya tanpa ada satu pun yang tertinggal. Tetapi lama
kelamaan banyak soalan yang diutarakan di dalam blog ini berulang-ulang dan
jawapannya juga telah diberikan oleh saya, anda boleh semak sendiri dalam
ruangan komen dan artikel di atas. Kadang-kadang ada sebilangan pengunjung
mahukan jawapan yang sesuai dengan apa yang mereka kehendaki. Hal ini memang
saya tidak boleh lakukan sebab Islam bersumberkan Al-Quran dan Hadis, kalau
perkara itu telah jelas di dalam kedua sumber Islam ini, maka tidak dapat tidak
ia perlu dituruti walaupun jawapannya disebalik apa yang hajati. Jika tiada
jawapan di dalam dua sumber tersebut, barulah kita rujuk kepada Ijmak dan Qiyas
ulamak. Selalunya setiap masalah baru yang timbul akan segera diselesaikan oleh
para ulamak yang terkini dengan mengeluarkan fatwa yang kontemporar.
Janganlah berkecil hati bagi sesiapa yang bertanya tanpa dijawab oleh
saya. Layanan akan diberikan kepada soalan-soalan yang tiada kaitan dengan apa
yang dinyatakan di dalam blog ini, saya akan ambil dan sediakan sebuah artikel
untuk rujukan pengunjung semua. Untuk pengurusan masa pekerjaan, ceramah,
keluarga, NGO dan belajar, maka saya perlu mengurangkan perhatian saya terhadap
blog ini, kalau tidak banyak lagi kerja lain yang penting terbengkalai. Jadi saya
harap anda semua faham dengan masalah yang dihadapi oleh saya.
Sebagai nasihat, kepada pengunjung yang bertanya, kalau tidak ada
jawapan dari saya, maka janganlah melulu dengan menuduh saya itu dan ini,
berlapang dadalah dalam hal ini, cuba bersangka baik terhadap saya dan orang
lain, kerana Islam juga menyarankan umatnya bersangka baik kepada orang lain. Buangkan
sifat tercela dan cari jalan yang baik untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama
Islam.
Harapan saya, jika terdapat artikel yang salah petikan atau ayat, saya
mengharapkan teguran dan perkongsian yang bernas untuk membangunkan diskusi
ilmu di dalam blog ini. Saya juga tidak pandai dan masih belajar dan banyak
perkara yang tidak saya tahu. Saya sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang
pakar untuk berkongsi dengan saya dan para pengunjung blog ini. Mudah-mudahan
usaha baik anda mendapat rahmat dan balasan yang baik dari Allah.
Perhatian kepada semua, segala komen yang negatif dan berunsur lucah
akan saya buang dari blog ini, kerana komen seperti itu tidak layak bertapak di
dalam blog saya ini. Kepada sesiapa yang tahu adanya komen-komen seperti ini,
sila maklumkan kepada saya bagi mengambil tindakan yang selanjutnya. Saya berharap
blog saya ini boleh memberikan suasana ilmu untuk dimanfaati oleh mereka yang
tidak mengetahui.
Wahai pengunjung sekelian, jangan jadikan internet semata-mata untuk
dapatkan informasi agama kerana ia belum cukup untuk mengisi keperluan rohani
kita, amat cantik jika kita dapat meluangkan masa menghadiri mana-mana kelas
ilmu yang berdekatan. Ini lebih berkat dan lebih terjamin dari rujukan
internet. Menuntut ilmu perlu berdepan dengan guru yang pakar, mesti mempunyai
kitab atau buku. Barulah ilmu yang dipelajari itu berkat dan jauh dari
kesesatan.
Bagi memastikan blog ini terus beroperasi, saya memohon kepada para pengunjung
semua, berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan
usaha dakwah ini. Insyaallah jika mempunyai rezeki, blog ini akan ditingkatkan
lagi keupayaannya di masa akan datang. Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf
atas segala kelemahan yang ada di dalam blog ini, insyaallah saya akan
memperbaikinya di masa-masa akan datang. Semoga Allah merahmati anda semua di
dunia dan di akhirat.


Assalamualaikum...Alhamdulillah....saya yg bukan dari bidang ugama bina blog tiada siapa yg tengok...sekarang Alhamdulillah.
ReplyDelete
ReplyDeleteInfonya cukup bermanfaat banget gan
ReplyDeleteMakasih ya atas info-infonya
ReplyDeleteSemoga sukses selalu
ReplyDeleteSemoga sukses selalu
ReplyDeleteJangan Lupa mampir balik ya