PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, January 30, 2012

Asas Pembelajaran Ilmu Tauhid




Asas pembicaraan ilmu tauhid mempunyai empat perkara penting yang perlu dipelajari oleh semua umat Islam. Antara perkara tersebut ialah :

Uluhiyah

Uluhiyah adalah pengEsaan Allah dalam ketuhanan. Ketauhidan ini dibina atas dasar ikhlas kerana Allah semata-mata, bersama rasa cinta, takut, mengharap, tawakal, gemar dan hormat secara menyeluruh hanya kepada Allah. Uluhiyah itu mengesakan Allah dalam ketuhanan, kerana dasar aqidahnya dibangun atas keikhlasan bertuhan. Dan dalam mendapatkan keikhlasan itu perlu pula kepada cinta yang amat sangat kepada Rabbul Izzah Allah Maha Esa. Firman Allah :

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai arasy yang besar." (At-Taubah : 129)

Dalam erti kata yang lain, uluhiyah juga dinamakan sebagai tauhid ibadah, kerana ubudiyyah merupakan sifat bagi seorang hamba untuk menyembah Allah dengan seikhlas hati dan bergantung segalanya kepada Allah.

Syeikh Islam Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa ketahuilah, keperluan seorang hamba untuk menyembah Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu pun tidak memiliki bandingan yang dapat dikiaskan, tetapi dari sebahagian segi mirip dengan keperluan jasad kepada makanan dan minuman. Akan tetapi, diantara keduanya ini terdapat perbezaan mendasar. Kerana, hakikat seorang hamba adalah hati dan rohnya, ia tidak boleh baik, kecuali dengan Allah yang tiada Tuhan selainNya. Ia tidak boleh tenang di dunia, kecuali dengan mengingatNya.

Nubuwwat

Tauhid Nubuwwat adalah tauhid yang berkaitan dengan perutusan nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah SWT untuk disampaikan kepada sekelian manusia. Mempercayai nabi dan rasul adalah salah satu daripada Rukun Imam yang wajib kita percayai. Andai kata seseorang itu tidak mempercayai tentang kewujudan para nabi dan juga para rasul, maka dia boleh menjadi kufur dan rosak akidahnya.

Sam’iyat

Maksud sam’iyat adalah perkara yang tidak dapat digambarkan dengan pancaindera manusia dan hanya dapat diketahui melalui al-quran dan al-hadis. Perkara sam’iyat juga boleh diberi maksud perkara yang berlaku di luar batas akal fikiran manusia yang wajib dipercayai sepenuhnya oleh umat Islam. Antara perkara-perkara sam’iyat ialah seperti :

  1. Hari Kiamat : Hari kebangkitan semula.

  2. Hari Akhirat : Hari kebangkitan selepas alam dunia.

  3. Alam Barzah : Alam kubur, siksaan kubur, nikmat kubur.

  4. Mahsyar : Tempat berkumpul manusia untuk menunggu perhitungan Allah.

  5. Mizan : Alat timbangan amalan baik dan buruk manusia.

  6. Buku Amalan : Setiap manusia akan direkodkan segala amalan baik dan buruk di dalam buku amalannya.

  7. Sirat : Titi yang merentangi neraka, akan dilalui oleh semua manusia.

  8. Neraka : Tempat seksaan bagi orang yang melanggar perintah Allah.

  9. Syurga : Tempat ganjaran bagi orang yang mentaati perintah Allah.

  10. Dosa : Ganjaran buruk bagi orang yang tidak melaksanakan suruhan Allah. 

  11. Pahala : Ganjaran yang baik bagi orang yang melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah.
Mumkinat

Mumkinat atau mumkin bermaksud perkara-perkara harus yang boleh jadi ada dan boleh jadi tiada seperti perkara-perkara yang ada di alam ini. Mumkin Pada Akal ialah kita dapat menentukan atau menghukum sesuatu benda atau sesuatu zat itu boleh berkeadaan tertentu atau boleh pula berkeadaan tidak begitu. Contohnya “Langit mendung dan gelap, kemungkinan ia akan hujan nanti”. Maksud di sini langit tersebut boleh jadi hujan dan boleh jadi tidak hujan.





Monday, January 23, 2012

Hukum Mempelajari Ilmu Akidah




Ilmu Tauhid adalah asas atau tunjang dalam agama Islam jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti fiqh, tasawuf, akhlak dan sebagainya. Ilmu tauhid ini sangat penting kerana ia mengajar manusia untuk mengenali Allah dengan cara lebih mendalam, ilmu ini juga mampu untuk menambah tahap keyakinan seseorang terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah. Kalaulah seseorang itu tidak mempelajari ilmu tauhid bagaimana dia hendak mengenali dan beriman kepada Allah.

Berdasarkan keterangan di atas ini, hukum mempelajari ilmu tauhid adalah fardu ’ain atau wajib bagi setiap mukallaf (orang yang akil dan baliqh), lelaki dan perempuan. Mempelajari ilmu tauhid adalah wajib atau satu keharusan bagi setiap orang yang memiliki akal sehat dan telah memasuki umur dewasa sebelum ia mempelajari ilmu-ilmu agama lainnya. Karena ilmu ini bersangkutan dengan keimanan dan  keberadaan Allah dan para rasul rasulNya.



Wednesday, January 18, 2012

Aliran Mazhab Akidah


Selepas zaman Rasulullah dan zaman para sahabat ilmu tauhid ini berkembang dengan pesat dan telah dibahaskan oleh beberapa tokoh ilmuan Islam dengan sedetailnya. Dari ini, timbullah beberapa aliran mazhab dalam ilmu tauhid seperti Qadariah, Jabariah, Murjiah, Muktazilah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mazhab Qadariah

Qadariah adalah sebuah mazhab yang dilahirkan di Basrah berikutan timbulnya perbahasan hangat orang Islam mengenai dengan masalah qadha dan qadar Allah. Asal nama mazhab ini diambil dari perkataan Al-Qadar yang membawa maksud sifat qudrat.  Mereka berpendapat segala kerja baik dan buruk manusia itu terjadi dengan kehendak dan kuasa diri sendiri dan bukan kerana Allah, Segala baik dan buruk manusia itu telah ditetapkan oleh Allah. Pengasas mazhab ini bernama Ma’bad Ibnu Khalid Al-Juhani dan Ghailan Al-Dimasyqi. Diantara pendapat mereka ialah seperti :
  1. Mereka mengatakan manusia itu bebas untuk melakukan segalanya menurut apa yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri.

  2. Mereka percaya bahawa Allah tidak menentukan apa-apa takdir kepada manusia.
Mazhab Jabariah

Jabariah muncul di Kufah pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah, pengasas mazhab ini ialah Jaham Ibnu Safuan yang berasal dari Khurasan. Asal Jabariah ini diambil dari perkataan Al-Jabr atau Jabrun yang membawa maksud digagahi atau tergagah. Mereka berpendapat bahawa manusia dan makhluk itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata atau sepenuhnya. Mereka juga mengatakan tidak ada sedikit pun bagi manusia ikhtiar dan tidak boleh memilih sama sekali. Segala perbuatan baik dan buruk manusia itu bukan atas dasar kehendak diri sendiri dan itu semua adalah dari kehendak Allah. Diantara pendapat mazhab ini ialah seperti :
  1. Manusia dikuasai sepenuhnya oleh Allah. 

  2. Manusia itu tidak mempunyai apa-apa usaha, pilihan atau ikhtiar dalam melakukan semua perbuatan. 

  3. Manusia diibaratkan seperti bulu dan kapas yang boleh ditiup angin ke mana sahaja. 

  4. Syurga dan neraka tidak kekal, kerana yang kekal hanya zat Allah sahaja. 

  5. Al-Quran itu adalah baru. 

  6. Allah hanya mempunyai zat dan tidak mempunyai sifat. 

  7. Allah tidak boleh dilihat pada hari akhirat nanti.
Mazhab Murjiah

Murjiah berasal dari bekas-bekas ahli politik, mereka mengambil sikap berkecuali di dalam masalah perselisihan umat Islam ketika itu mengenai perebutan jawatan khalifah diantara puak Khawarij dan Syiah. Asal perkataan murjiah ini diambil dari Arja’ yang membawa maksud menangguhkan. Mereka berpendapat iman itu adalah mengenal Allah dan rasulNya. Sesiapa yang mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka sudah cukup dikira sebagai beriman.

Ada juga dikalangan mereka yang melampaui batas dengan mengatakan bahawa orang yang mengaku secara terang-terangan dan menyembah berhala secara terang-terangan dan mati dalam keadaan seperti ini dikira beriman, kerana iman itu adalah iktiqad di hati sahaja.

Mazhab Muktazilah

Muktazilah adalah satu mazhab akidah yang berpegang kuat kepada dasar kebebasan berfikir dan cuba melepaskan umat Islam dari belenggu taqlik buta. Muktazilah diambil dari perkataan I’tazala yang membawa maksud mengasingkan diri dari golongan pada masa itu. Manakala dari segi istilah ia bermaksud golongan yang lahir dalam Islam pada awal kurun kedua Hijrah. Pengasas mazhab ini bernama Wasil Ibnu Ata’ yang mengasingkan diri daripada gurunya Hasan Al-Basri. Ketika itu Wasil keluar dari halaqah gurunya kerana tidak bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Hasan Al-Basri tentang hukum orang melakukan dosa besar. Beliau berpendapat orang yang melakukan dosa besar itu tidak mukmin dan tidak kafir, bahkan mereka berada di satu tempat di antara dua tempat, iaitu Al-Manzilah Baina Al-Manzilatain. Antara fahaman yang dibawa oleh mereka ialah :
  1. Allah tidak bersifat dengan mana-mana sifat bahkan segalanya dengan zat Allah sahaja. 

  2. Allah itu bersifat Adil dan mesti membalas baik kepada orang yang membuat baik demikian juga sebaliknya.

  3. Manusia bebas melakukan sesuatu menurut kehendak mereka.

  4. Allah wajib membuat sesuatu yang baik dan yang lebih baik.

  5. Al-Quran itu baru dan bukan qadim. 

  6. Allah tidak dapat dilihat oleh manusia baik di dunia atau pun di akhirat.
Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mengikuti perjalanan sunnah Rasulullah dan orang ramai. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berbeza dan menentang semua mazhab yang telah lahir sebelumnya. Golongan ini diketuai oleh dua orang tokoh ilmu tauhid yang bernama Abu Hassan As-Syaari di Basrah dan Abu Mansor Maturidi di Samarkhandi. Ada lapan kelompok yang tergolong dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti :
  1. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang akidah dan kerasulan. Mereka juga mengikut ulamak mutakallimin Safatiyyah, iaitu golongan yang tidak mentasybihkan Allah, ulamak ini juga berpegang bahawa Allah mempunyai sifat-sifat tertentu dan sifat-sifat itu tidak menyerupai sifat-sifat makhluk. 

  2. Orang Islam yang menjadi tokoh dalam fikah dan mengikut jalan safatiyyah dari sudut akidah dan pegangan mereka. Mereka terdiri daripada pengasas empat mazhab, iaitu Imam Malik, Imam Hambali, Imam Hanafi dan Imam Syafie serta semua pengikut mereka.

  3. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tarmizi, Imam Abu Daud dan sebagainya.

  4. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang adab, nahu dan saraf atau dikenali sebagai kumpulan ahli bahasa.

  5. Kumpulan orang Islamyang mempunyai ilmu dalam bidang bacaan qaraat Al-Quran dan tafsirnya, mereka ini juga dikenali sebagai ahli qiraat dan ahli tafsir.

  6. Orang Islam yang mempunyai ilmu tasawuf, mereka juga dikenali sebagai orang yang zahud atau sufi.

  7. Orang Islam yang berjihad atau berjuang untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan. 

  8. Orang Islam yang tinggal di negeri, tempat dan mengikti segala syiar yang terdapat dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mereka telah memperbetulkan segala fahaman yang salah berkaitan dengan ilmu tauhid yang diberikan oleh golongan terdahulu. Diantara pendapat mereka ialah :
  1. Allah telah menjadikan perbuatan manusia yang berbentuk usaha dan ikhtiar sendiri.  Manusia bebas menggunakan segalanya sama ada hendak membuat sesuatu atau tidak.  Manusia hendaklah mematuhi segala hukum yang telah diwajibkan ke atasnya. 

  2. Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan yang lain baginya, seperti kuasa, berkemahuan, berpengetahuan dan sebagainya. Sifat Allah berada pada zat Allah sejak azali lagi dengan sifat kuasa itulah Dia mengada atau mentiadakan segala yang mumkin. Manakala kemahuan Allah pula menentukan sesuatu perkara yang mumkin. 

  3. Al-Quran adalah kalam Allah yang qadim dan azali (bukan baru) kerana segala isi dan maksud Al-Quran itu ialah kalam Allah yang qadim. 

  4. Orang mukmin dapat melihat Allah di akhirat nanti. 

  5. Orang mukmin yang melakukan dosa besar itu boleh gugur imannya dan mereka masih dianggap mukmin. Jenazah mereka boleh disembahyangkan dan mereka dimasukkan di dalam neraka dahulu sehingga bersih dari segala dosa yang telah dilakukan, kemudian mereka dimasukkan ke dalam syurga.


Monday, January 16, 2012

Majlis Fatwa Kebangsaan Haramkan Bank Susu Ibu



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa cadangan penubuhan bank susu ibu adalah haram.

Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” kata kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dan dipetik akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu mengakui bahawa tabung susu itu diperlukan bagi bayi pra-matang yang memerlukan rawatan dan juga bayi yang ibunya kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi.

Bagaimanapun muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Bagaimanapun menurut laporan dalam Berita Harian itu kecualian diberikan  dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan.

Muzakarah juga memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

Friday, January 13, 2012

Layakkah Isteri Nusyuz Menerima Nafkah



Bagaimanakah seseorang isteri itu dianggap nusyuz dan bolehkah dikatakan nusyuz bagi isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri seperti digariskan Islam? Apakah hukum dan hak bagi isteri nusyuz? Bolehkah dia menuntut apa-apa sekiranya berlaku perceraian, seperti harta sepencarian, hak untuk menjaga anak dan nafkah selepas perceraian? Bolehkah isteri menuntut harta seperti tanah, rumah atau apa-apa harta yang dibeli dalam perkahwinan atas nama isterinya, sekiranya mahkamah menjatuhkan seseorang isteri itu nusyuz atau diserahkan kepada suami?

Jawapan

Nusyuz bermaksud derhaka iaitu enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suami, iaitu antara lain : 
  1. Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya.
  2. Meninggalkan rumah suaminya.
  3. Enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.” (Ahmad Ibrahim, 1999: 75)
Sekiranya perkara itu berlaku, suami hendaklah terlebih dulu mengambil tindakan dengan menasihati isterinya secara baik, jika tidak berjaya suami memulaukan isteri di tempat tidur atau tidur berasingan dan seterusnya kalau isteri masih berdegil dipukul dengan berpada. (Surah An-Nisa’, ayat 34).

Hakim boleh menjatuhkan hukuman nusyuz kepada isteri apabila suami bertindak sedemikian dan terbukti isteri bersalah. Hukum isteri nusyuz ialah dia tidak berhak mendapat nafkah sebagaimana kebiasaan.

Apabila isteri bertaubat haknya akan dikembalikan. Sekiranya berlaku perceraian, isteri tetap mendapat hak yang lain seperti mutaah, pembahagian harta sepencarian sewaktu perkahwinan dan hak penjagaan anak mengikut ketetapan hukum syarak. Harta yang dibeli atas nama isteri boleh dituntut suami sebagai sebahagian harta. 

Sumber : Harian Metro


Tuesday, January 10, 2012

Sejarah Timbulnya Ilmu Tauhid


Sejarah perkembangan ilmu tauhid ini berkembang seiring dengan perkembangan agama Islam. Ajakkan pertama dalam dakwah Rasulullah ialah mengajak manusia mentauhidkan Allah dan meninggalkan segala sembahan berhala yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Ayat-ayat Al-Quran sebelum berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah banyak berkisarkan kepada mengEsakan Allah. Dari pada masa inilah ilmu tauhid itu berkembang dan menjadi satu perbahasan asing yang merangkumi aspek-aspek ilmu tauhid sahaja.
 
Tauhid Zaman Rasulullah

Zaman Rasulullah SAW merupakan asas kepada ajaran tamadun Islam. Segala aspek kehidupan bagi umat Islam berpunca dari teras yang satu iaitu kalimah syahadah. Zaman ini juga merupakan zaman model tamadun Islam hampir semua prinsip pada zaman awal Islam berasal dari zaman ini. Selain dari itu, ia dinamakan sebagai zaman kegemilangan Islam.
 
Pada zaman Rasulullah para sahabat menerima segala ajaran Islam terus daripada Rasulullah, sekiranya ada persoalan, permasalahan atau perkara yang tidak difahami mereka akan terus menemui Rasulullah dan meminta penjelasan sehingga mereka memahami semua kemusykilan yang timbul dalam diri mereka. Setiap persoalan tauhid yang timbul ketika zaman Rasulullah akan diselesaikan melalui Al-Quran dan Hadis sehingga para sahabat menerima dan memahami segala isi kandungan Al-Quran dan Hadis yang berkaitan dengan tauhid. Dari hal ini juga, kepercayaan sahabat dan umat Islam ketika ini sangat teguh tanpa sebarang keraguan.

Rasulullah telah menyatukan umat dan kaum muslimin serta menjaga kedaulatan Islam. untuk itu juga semua kaum muslimin mengembalikan apa sahaja masalah mereka kepada Rasulullah. Antara lain juga, para sahabat pada masa itu disinari oleh cahaya hidayah dan Al-Quran dan mereka sentiasa dipantau oleh Rasulullah daripada berlakunya perpecahan dan perselisihan pendapat.

Perdebatan dan perpecahan dalam masalah tauhid merupakan suatu perkara besar dan masalah yang sangat ditakuti. Dari itulah, kaum muslimin sentiasa diingatkan supaya mentaati Rasulullah dan ditegah daripada berselisih faham. Firman Allah :

“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.” (Al-Anfal : 46)

Tauhid Zaman Sahabat

Setelah Rasulullah SAW wafat, berlakulah perlantikan Khalifah Islam yang pertama, kedua, ketiga dan keempat. Zaman ini juga boleh dikenali sebagai zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. Pada masa ini umat Islam sibuk menghadapi peperangan, pergaduhan dan perbalahan diantara umat Islam. Ketika ini juga umat Islam tidak ada perselisihan faham dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid. Mereka membaca dan memahami Al-Quran tanpa adanya takwil. Mereka mengikuti Al-Quran dan menjauhi apa yang ditegah. Mereka mensifatkan Allah dengan apa yang Allah sifatkan sendiri seperti mereka mensucikan Allah daripada sebarang sifat yang tidak layak bagi kemuliaan dan keagungan Allah. Apabila mereka berdepan dengan ayat yang mutasyabihat mereka beriman dengannya mengikut dengan menyerahkan penta’wilan kepada Allah sendiri.

Berlaku perselisihan pendapat dikalangan para sahabat hanya berkisarkan kepada perkara yang berkaitan dengan ijtihad di dalam masalah furu’ sahaja. Namum tidak berselisihan dalam masalah usul. Sebenarnya perselisihan pendapat dalam masalah furu’ berlaku sejak zaman Rasulullah lagi. Berkaitan dengan perkara usul dan tauhid, para sahabat menerima sahaja apa yang diajarkan oleh Rasulullah. Mereka tidak gemar membahas atau mencaritakan perkara-perkara yang berkaitan atau berhubung dengan tauhid. Tujuan mereka dari hal tersebut adalah untuk mengelakkan dari berlakunya perselisihan dan perpecahan dikalangan umat Islam. Setiap perkara yang timbul mereka akan terus merujuk kepada Al-Quran dan hadis untuk mencari jalan penyelesaiannya. Sekiranya masalah yang timbul itu tidak terdapat dalam Al-Quran atau Hadis, mereka akan membuat perbandingan dengan menggunakan kaedah qiyas dengan apa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah dahulu.

Tauhid Zaman Pemerintahan Bani Umaiyyah

Semenjak berlakunya pembunuhan keatas Saidina Usman Bin Affan, maka mulalah timbul perpecahan dikalangan umat Islam dan lahirlah golongan-golongan yang dinamakan Khawarij, Syiah dan lain-lain lagi. Walaupun pada asalnya perselisihan mereka itu mengenai politik dan jawatan khalifah, tetapi akhirnya berlarutan kepada perselisihan hukum-hukum dan akidah Islam.

Pada akhir zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah, timbul pula golongan-golongan yang membawa pegangan yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Ini semua berlaku adalah disebabkan negara Islam mempunyai jajahan takluk yang luas sehingga diluar kawasan tanah arab. Zaman ini juga telah lahir tokoh-tokoh Islam yang berjuang untuk menolak kepercayaan-kepercayaan yang salah ada masa ini. Mereka membicarakan kepercayaan yang benar menurut Al-Quran dan Sunnah dan pada masa ini juga mula timbulnya perbicaraan ilmu tauhid secara khusus.

Tauhid Zaman Pemerintahan Bani Abasiah

Pemerintahan Islam ketika zaman Abasiah bertambah luas kawasan jajahannya sehingga masuk ke wilayah Parsi dan Rom. Ramai orang-orang Ajam (bukan Arab) memeluk agama Islam, kebanyakkan mereka ini dari bekas-bekas agama Majusi, Brahman, Kristian dan sebagainya. Segala fahaman-fahaman yang terdapat di dalam agama terdahulu menular di dalam agama Islam.

Untuk membenteras fahaman-fahaman yang salah ini, maka timbullah tokoh-tokoh ilmu tauhid yang membahaskan dan menentang segala salah faham yang terdapat di dalam agama Islam pada ketika itu. Hujah mereka terdiri daripada dalil Al-Quran, Hadis, akal dan adat digabungkan untuk memberi kefahaman yang jelas kepada umat Islam agar mereka faham dan sentiasa mempunyai akidah yang dituntut oleh syarak.

Ilmu akidah ketika zaman ini sangat berkembang pesat, banyak kitab-kitab dalam pelbagai bahasa telah dihasilkan oleh ulamak ketika itu. Umat Islam ketika itu juga sangat gemar mempelajari ilmu ini dan mereka dapat mengembangkan ilmu ini mengikut hasil kajian yang telah diperolehi oleh mereka. Sebagai sokongan kerajaan ketika itu terhadap perkembangan tamadun ilmu, telah diwujudkan universiti dan perpustakaan yang besar sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran ilmu-ilmu yang tumbuh di dalam Negara Islam pada ketika itu.


Thursday, January 5, 2012

Adakah Haram Memakai Gelang kaki Tanpa Loceng



Salam ustaz, adakah haram memakai gelang kaki tapi tidak ada loceng? Bagaimana pula hukumnya tentang pemakaian gelang tangan berloceng?mohon penjelasan terperinci dari ustaz..

Jawapan

Bila termenung jauh memikirkan masalah wanita sekarang ini, memang kebanyakkan wanita ini pada setiap hari dalam kehidupan mereka dibelenggu dengan dosa-dosa tanpa disedari oleh mereka. Kadang-kadang saya lihat wanita yang faham agama juga terlibat dengan masalah ini. Alasan mereka Islam tidak melarang berhias dan bercantik-cantik. Paling malang lagi, mereka mengajarkan orang lain dengan pandangan mereka yang singkat tanpa menjelaskan secara terperinci pakaian yang dikehendaki oleh Islam.

Saya tidak mahu menyentuh dan membahas secara panjang masalah pakaian wanita ini, sebab sebelum ini juga saya telah buat beberapa artikel yang berkaitan dengan masalah pakaian wanita ini. Untuk mengetahui secara lebih lanjut tentang pakaian wanita muslim boleh lihat di sini dan di sini.
 

Di kesempatan yang ada ini, saya hanya fokus kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas iaitu hukum pakai gelang kaki tanpa loceng. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur : 31)

Berdasarkan firman Allah di atas ini, jelas bagi setiap wanita tentang tatacara berpakaian yang dituntut di dalam Islam. Malah wanita tidak dibenarkan berjalan secara berhentak-hentak kaki kerena ia mampu menarik perhatian orang lain yang bukan mahramnya. Ini juga dapat menimbulkan fitnah buatnya. Perlu diketahui bagi sekelian wanita yang cintakan Islam yang memakai kasut bertumit, apabila mereka berjalan ia akan mengeluarkan bunyi yang kuat, ini juga boleh menarik perhatian dan minat orang yang bukan mahram terutamanya lelaki. Perkara ini juga boleh digolongkan dalam larangan Allah akan wanita yang berjalan dengan hentak-hentak kaki dan mengeluarkan bunyi.

Begitu juga bagi wanita yang memakai gelang kaki berloceng, bila berjalan ia dapat menghasilkan bunyi gelang dan perbuatan ini juga sangat dilarang di dalam Islam. Tegahan ini telah dibuatkan di dalam Kitab Bahrul Mazi memakai loceng adalah ditegah oleh syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat mendekatinya. Penegasan ini berdasarkan kepada Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng" (Riwayat Tarmizi)

Penegasan ini juga termasuk loceng yang terdapat digelang kaki dan juga loceng yang terdapat dipergelangan tangan. Bagi sesiapa yang melakukannya, maka lebih baik bertaubat dan meninggalkan perbuatan tersebut. Ini akan merugikan kita semua. Lihat artikel lain berkaitan masalah ini di sini.

Kalau ada wanita yang memakai gelang kaki tanpa ada loceng, ini tidak menjadi masalah dan perbuatan tersebut adalah harus, kerena ia tidak dapat menarik perhatian orang lain, tambah lagi gelang kakinya disembunyikan disebalik pakaiannya. Apa-apapun bergantung kepada niatnya, kalau ia pakai untuk menarik perhatian orang yang bukan mahram akan perhiasan yang dipakai olehnya, maka ia boleh mendatangkan dosa dan maksiat. Kadang-kadang setengah wanita mereka memakai atas sebab keinginan kekasih lelaki mereka atas alasan apabila mereka pakai akan lebih menarik dan cantik. Tidak menjadi masalah kalau perbuatan tersebut disebabkan suruhan suami.

Secara logiknya, kebanyakkan wanita yang memakai gelang kaki, tidak menutup aurat kaki dengan memakai stoken atau seumpamanya. Mungkin disebabkan sukar kerana gelang tidak dapat dimasukkan ke dalam stoken atau takut orang lain tidak nampak. Kalau begini punya persepsi, maka sudah pasti ia menjadi dosa.


Monday, January 2, 2012

Elak Dari Merancang Kahwin Rahsia



Saya berusia 31 tahun dan pernah kecewa beberapa kali dalam perhubungan dengan wanita. Kini saya menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis berusia 22 tahun yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam.

Dua daripada hubungan cinta saya sebelum ini berakhir kerana kecurangan kekasih saya. Akibatnya, saya menjadi trauma dan jika boleh hubungan kali ini dapat disatukan dengan ikatan perkahwinan. 

Teman wanita saya sekarang juga mempunyai masalahnya pada masa silam kerana pernah dipermain-mainkan lelaki lain malah hampir terlanjur dengan bekas kekasih lamanya.

Kami ingin membuang segala kisah lampau dan ingin memulakan hidup baru dengan perkahwinan dan merancang berkahwin pada pertengahan tahun depan.

Namun, ayah kekasih saya berpesan supaya menumpukan kepada pekerjaan dulu sebelum berkahwin. Kami berdua amat tertekan tambahan pula umur saya sudah 31 tahun. 

Jika saya berkahwin empat tahun kemudian, saya risau menghadapi kesulitan menimang cahaya mata. Malah saya juga takut peristiwa malang berulang apabila bekas kekasih saya dulu dalam diam pernah menerima pinangan orang lain.

Akibat masalah yang menimpa, kami merancang berkahwin secara rahsia dan hanya memaklumkan keluarga selepas semuanya sudah stabil.

Niat kami sebenarnya adalah untuk saling memperteguhkan pendirian dan mengelak daripada melakukan maksiat. Patutkah kami teruskan dengan berkahwin secara rahsia?

Jawapan
 
Sebolehnya perkahwinan dipercepatkan sekiranya mampu. Rasulullah s.a.w menasihatkan pemuda supaya menyegerakan perkahwinan. Ini kerana perkahwinan dapat menjaga maruah diri dan memupuk rasa bertanggungjawab.

Memandangkan anda berdua sudah sepakat dalam soal penting ini, ada baiknya untuk anda atau wakil menyatakan hasrat kepada keluarga teman wanita dengan seberapa segera.

Mungkin dengan perbincangan secara baik akan membuka hati ibu bapa teman wanita anda untuk melangsungkan pernikahan anda nanti.

Dengan kedudukan anda yang sudah mempunyai pendapatan pastinya mereka akan bersetuju. Dengan berbuat demikian, anda berdua tidak perlu merancang untuk berkahwin secara rahsia.

Perkahwinan secara rahsia seperti di sempadan tidak digalakkan kerana boleh menimbulkan masalah kemudian hari. Dengan itu ia baik dielakkan sedapat mungkin. 

Sumber : Harian Metro



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG