PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, February 26, 2012

Jom Belajar Tentang Tayamum






Tayamum  pada bahasa adalah qasad yang bermaksud sengaja atau tuju. Manakala dari segi istilah syarak pula ialah menyampaikan tanah yang suci ke muka dan kedua tangan sebagai pengganti kepada wuduk dengan niat atau cara tertentu. Firman Allah SWT :

“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.” (Al-Maidah : 6)


Waktu Yang Diharuskan Tayamum

  1. Apabila seseorang tidak mampu menggunakan air kerana mengalami kecederaan dan bimbang kecederaan itu bertambah sakit atau lambat sembuh. 

  2. Air yang ada hanya cukup untuk dijadikan minuman bagi dirinya atau keluarganya pada masa itu dan masa akan datang. 

  3. Seseorang yang takut kepada musuh yang terdiri dari manusia atau binatang buas yang boleh mengancam nyawanya semasa dia pergi untuk  mencari air. 

  4. Air yang ada hanya cukup untuk minuman haiwan peliharaannya sahaja seperti kambing, kuda atau lembu. 

  5. Bekalan air hanya cukup untuk digunakan pada masakan sahaja seperti menguli tepung atau memasak nasi. 

  6. Air hanya cukup digunakan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan seperti air kencing atau tahi.  

  7. Seseorang yang berada di negara yang mengalami kesejukan secara luar biasa dan bimbang akan berlaku musibah pada dirinya jika ia menggunakan air pada waktu tersebut. 

  8. Air terlalu jauh darinya melebihi jarak 2 ½ km dan tidak wajib baginya berusaha mendapatkan air tersebut.

Syarat-syarat Tayamum

  1. Mengetahui terlebih dahulu masuknya waktu solat.   

  2. Mencari air dahulu selepas masuk waktu solat.

  3. Menghilangkan najis terlebih dahulu sebelum tayamum.

  4. Tanah yang suci lagi menyucikan dan tidak bercampur dengan tepung atau simen.

  5. Berijtihad menentukan arah kiblat dahulu sebelum tayamum.

Rukun Tayamum

  1. Niat tayamum “Sahaja aku tayamum kerana mengharuskan fardu solat”. 

  2. Meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah yang suci yang mempunyai debu, kemudian menyapu ke seluruh bahagian mukanya. 

  3. Meletakkan tangan ke atas tanah debu di bahagian yang belum disentuh, sapukan kedua tangan hingga ke siku seperti tangan kiri menyapu tangan kanan dan tangan kanan menyapu tangan kiri. 

  4. Tertib (teratur) sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Tayamum adalah ganti kepada wuduk dan tertib juga adalah sebahagian dari rukun tayamum sepertimana terdapat pada wuduk.

Sunat Tayamum

  1. Sunat pada tayamum adalah semua perkara yang disunatkan ketika melakukan wuduk  seperti membaca bismillah, menyapu bahagian atas pada muka atau mendahulukan anggota kanan dari anggota kiri.

  2. Membuka atau merenggangkan jari-jari tangan semasa menepuk tanah agar debu dapat sampai ke seluruh bahagian tapak tangan atau jari. Ini bertujuan untuk mengenakan tanah debu ke seluruh anggota tayamum.

  3. Mengetuk tangan selepas menepuk tanah debu agar tanah yang berlebihan dapat dikurangkan dan ini merupakan perbuatan Rasulullah SAW.

Perkara yang membatalkan Tayamum

  1. Segala perkara yang membatalkan wuduk.

  2. Ada air atau memperoleh air sebelum memulakan solat.

  3. Orang yang uzur mampu menggunakan air.

  4. Murtad.

Cara Bertayamum

Diwajibkan bagi seseorang berniat terlebih dahulu semasa hendak melakukan tayamum. Kemudian hendaklah dia membaca bismillah dan meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah debu dan menyapukannya ke seluruh bahagian mukanya. Setelah itu diletakkan semula tangannya ke tanah debu dan disapu pada kedua tangannya hingga ke siku. Hal ini juga telah dibicarakan pada perbahasan di atas.

Monday, February 20, 2012

Permasalahan Di Dalam Wuduk



Waktu Niat

Bercelaru waktu niat wuduk, ada pendapat ulamak yang mengatakan niat hendaklah dilakukan ketika membasuh muka dan ada yang mengatakan sebelum memulakan wuduk. Mengikut pendapat Mazhab Syafie, waktu niat wuduk adalah pada awal membasuh muka dan wajib menyertakannya ketika membasuh muka agar niat itu seiring dengan awal kefarduannya.

Ragu-ragu Jumlah Wuduk

Orang yang sedang berwuduk mengalami keraguan akan jumlah bilangan wuduk yang telah dilakukan olehnya. Untuk menyelesaikan masalah ini, dia hendaklah mengambil bilangan yang sedikit seperti satu atau dua kali basuhan dan ditambah lagi basuhan sehingga cukup tiga kali. Ini bertujuan untuk mengelakkan timbulnya was-was dan perbuatan seperti ini lebih diyakini kebenarannya.

Mengalami Istihadhah

Wanita yang mengalami istihadhah hendaklah ia membasuh terlebih dahulu kemaluannya, setelah itu, diikat kemaluannya supaya darah tersebut tidak mengalir, kemudian mengambil wuduk dan terus mengerjakan solat. Wanita tersebut hendak mengulangi perbuatan seperti ini pada setiap kali ia hendak mengerjakan solat fardu.

Wuduk Bagi Anggota Yang Berbalut

Islam mempunyai kaedah bagi orang yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan atau musibah-musibah yang lain. Takut apabila terkena air akan mendatangkan kecederaan yang lebih teruk atau lukanya lambat sembuh. Cara berwuduk bagi masalah ini ialah pesakit wajib mengambil wuduk bagi anggota yang tidak cedera mengikut tertibnya (mengikut susunan wuduk). Apabila sampai ke anggota wuduk yang cedera atau berbalut hendaklah ia menyapukan air di atas balutannya sebagai syarat membasuh. Kemudian pesakit tersebut hendaklah bertayammum  pada keseluruhan mukanya dan tangannya dari hujung jari hingga sikunya. Jika anggotanya cedera di kaki atau selain dari anggota tayammum, maka ia tetap juga tayammum di muka dan tangannya seperti telah disyariatkan.

Wednesday, February 15, 2012

Jom Tambah Lagi Ilmu Tentang Wuduk




Maksud Wuduk 

Wuduk dari segi bahasa adalah nama suatu perbuatan, iaitu menggunakan air pada anggota tertentu. Perkataan wuduk berasal dari perkataan wada’ah yang bermaksud keelokan, keindahan dan kebersihan.

Wuduk dari segi syarak pula ialah kebersihan tertentu atau perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat, kemudian disusuli dengan membasuh muka, kedua tangan, kedua kaki dan menyapu kepala untuk membolehkan seseorang itu melakukan solat dan ibadah-ibadah yang lain memerlukan wuduk. Firman Allah SWT :
 
“Wahai orang-orang yang ceriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali”(Al-Maidah : 6)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Riwayat Abu Daud)


Hukum Wuduk

  1. Wajib mengambil wuduk ketika hendak menunaikan ibadah seperti mendirikan solat fardu atau solat sunat.  Wuduk diwajibkan kepada sesiapa yang  hendak melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sama ada tawaf fardu atau sunat. Selain dari itu, wuduk juga wajib dilakukan oleh orang yang hendak menyentuh Al-Quran. 

  2. Sunat bagi seseorang yang hendak menyentuh kitab-kitab syarak seperti Al-Quran, Hadis, Tafsir, Aqidah atau Fiqh. Kecuali bagi mana-mana kitab yang mengandungi ayat Al-Quran lebih banyak dari isi yang lain, maka diwajibkan orang tersebut mengambil wuduk. Selain dari itu, wuduk juga disunatkan kepada orang yang hendak tidur, mengusung jenazah dan disunatkan sentiasa berada di dalam keadaan wuduk.

Syarat Wuduk

  1. Beragama Islam kerana ia merupakan syarat wajibnya wuduk. Orang kafir tidak diwajibkan berwuduk kerana mereka menolak syariat Islam. Islam seseorang merupakan syarat kesempurnaan ibadah-ibadah yang lain seperti taharah, solat, puasa, zakat dan haji. 

  2. Berakal, wuduk tidak wajib dan tidak sah bagi orang yang tidak berakal seperti gila, mabuk atau pengsan. Tidak sah juga bagi orang yang lupa, kerana mereka tidak melakukan niat sebelum mengambil wuduk. 

  3. Baligh, wuduk tidak wajib bagi anak kecil, tetapi sah bagi anak yang sudah mumaiyiz seperti dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mumaiyiz juga adalah salah satu dari syarat wuduk. 

  4. Berkuasa untuk menggunakan air  mutlak dan air tersebut mencukupi untuk berwuduk. Tidak wajib bagi orang yang mengalami kekurangan air. Terlebih dahulu mereka hendaklah mencari sumber air di kawasan sekeliling, jika masih tiada air lagi, maka diharuskan mereka bertayammum untuk menggantikan wuduk. 

  5. Berhadas kecil, keluar sesuatu dari dua jalan qubul dan dubur. Sebelum berwuduk, hendaklah ia membersihkan dahulu segala najis yang dialami olehnya, kemudian hendaklah mengulangi wuduknya kembali. 

  6. Suci dari hadas besar, orang yang mengalami hadas besar seperti keluar mani, haid, nifas dan bersetubuh, hendaklah terlebih dahulu mandi hadas. Tidak sah ibadah yang diharamkan ketika hadas besar. 

  7. Meratakan air keseluruhan anggota wuduk sehingga tidak ada sedikit pun tempat wuduk yang tidak terkena air. 

  8. Menghilangkan sesuatu yang dapat menghalangi air sampai ke anggota wuduk. Maksudnya di sini, tidak ada sesuatu benda yang dapat menghalang air terkena bahagian anggota wuduk seperti minyak, cat, sisik ikan atau getah.

Rukun Wuduk

  1. Niat

  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu dan dari sebelah batas telinga kanan sampai batas telinga kiri. 

  3. Membasuh dua tangan bermula dari dua tapak tangan, dua lengan dan dua siku. Wajib dibasuh sekalian bulu, daging, jari-jari atau kuku yang tumbuh di kawasan wuduk. Kemudian bagi orang yang cacat atau putus tangan, hendaklah membasuh kawasan wuduk yang tertinggal sahaja dan jika tangan seseorang itu putus atas dari siku, wajiblah ia membasuh kawasan yang putus sahaja. 

  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air seperti membasuh sebahagian kulit kepala atau rambut di dalam kawasan kepala sahaja. Tidak sah wuduk bagi orang yang membasuh rambut di luar kawasan kepalanya. 

  5. Membasuh dua kaki dengan menyampaikan air mutlak sekeliling kaki dan wajib menghilangkan sesuatu yang menghalang air sampai ke kawasan wuduk seperti membersihkan kuku dan celah-celah jari dari kekotoran. Bagi orang yang putus kaki atau cacat hendaklah ia membasuh kawasan yang masih tertinggal sahaja.

  6. Tertib (berturutan) seperti memulakan wuduk itu dengan niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan, membasuh kepala dan yang terakhir membasuh kedua kaki. Batal wuduk bagi orang yang tidak mengikut aturan syarak.

Sunat Wuduk

  1. Membaca Bismillah

  2. Membasuh tangan dari tapak tangan hingga pergelangan tangan. 

  3. Bersugi dengan sesuatu yang kesat seperti berus gigi, kayu sugi atau kain.

  4. Berkumur-kumur dengan memasukkan air ke dalam mulut. 

  5. Membersihkan hidung dengan cara memasukkan air di dalam lubang hidung. 

  6. Menyapu seluruh kepala dengan air. 

  7. Membasuh kedua telinga dari sebelah luar dan dalam telinga.

  8. Membasuh kaki dengan menyelati jari tangan di bahagian jari kaki agar air sampai kebahagian tersebut. 

  9. Tidak berkata-kata semasa mengambil wuduk.

  10. Mendahulukan anggota kanan dahulu dari  anggota sebelah kiri.

  11. Membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali berturut-turut. 

  12. Membaca doa sesudah selesai berwuduk

Perkara Yang Membatalkan Wuduk


  1. Keluar sesuatu dari salah satu jalan qubul atau dubur. 

  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan atau mabuk. 

  3. Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan yang ajnabi (orang yang boleh berkahwin). Tidak batal wuduk bagi mereka yang mahram seperti anak dengan ibu atau adik dengan kakak. 

  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri atau milik orang lain. 

  5. Tidur yang tidak tetap kedudukannya seperti tidur berbaring. Tidak terbatal wuduk bagi orang yang tidur secara duduk dan tidak berubah keadaan mula ia tidur sehingga ia bangun dari tidur.

  6. Murtad seorang Muslim sama ada dari hati, perkataan dan perbuatannya.

Ibadah Yang Perlu Berwuduk

  1. Solat wajib atau solat sunat kecuali solat jenazah. 

  2. Melakukan tawaf fardu atau sunat di Baitullah. 

  3. Sujud tilawah atau sujud syukur. 

  4. Memegang, menyentuh dan membawa Al-Quran kecuali ketika hendak menyelamatkan Al-Quran dari terbakar atau terjatuh dari tempat tinggi.

Hikmah Wuduk

Ibnu Qaiyyim Al-Jauzi menyatakan bahawa wuduk dapat mendatangkan kesegaran badan, kesedapan jiwa, kecergasan diri dan menghilangkan  setiap kekotoran yang diperoleh oleh seseorang. Wuduk juga adalah sebahagian dari rawatan kesihatan kepada umat manusia, kerana ia dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu yang terdiri dari anggota-anggota wuduk.

Orang yang berwuduk dapat mengekalkan kesihatan badan dan dapat menjauhkan dirinya dari segala penyakit yang berpunca dari jangkitan kuman. Selain dari itu, wuduk dapat memberikan ketenteraman jiwa kepada orang yang sering mengambilnya. Jika seseorang itu menghadapi masalah atau stress, maka lebih baik ia mengambil wuduk untuk menenteramkan jiwanya supaya ia tidak melakukan perbuatan yang tidak normal.

Setiap manusia sering kali terdedah dengan kekotoran batin dengan menggunakan anggota wuduk seperti tangan, kaki, akal, mata dan telinga untuk melakukan maksiat. Jadi cara untuk menyucikan kekotoran batin ini adalah dengan mengambil air wuduk agar dosa yang dilakukan itu gugur bersama air wuduk tersebut. Dari Anas ra mengatakan :

“Rasulullah SAW bersabda : mahukah aku beritahukan kepada mu amalan-amalan, yang apabila diamalkan Allah akan menghapuskan segala dosa-dosa dan menaikkan darjat? Sahabat menjawab : tentu kami mahukan itu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda : menyempurnakan wuduk meskipun dalam keadaan yang sukar, memperbanyak langkah menuju masjid dan menunggu waktu solat sebelum masuk waktunya. Inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Adab Berwuduk

  1. Mengadap kiblat, kerana kiblat merupakan arah yang paling utama dan perbuatan seperti ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. 

  2. Berada pada tempat yang tinggi untuk mengelakkan dari percikan sisa air wuduk yang telah digunakan.

  3. Tidak berkata-kata dengan orang lain tanpa adanya sesuatu yang memaksa. Sikap seperti ini akan menghilangkan pahala wuduk dan ini juga perbuatan yang makruh. 

  4. Bagi orang yang memakai cincin hendaklah menggerak-gerakkan cincinnya agar air wuduk itu dapat sampai ke kawasan cincin tersebut. 

  5. Menggunakan tangan kanan ketika mengambil air untuk berkumur, membasuh muka dan membasuh kepala. Menggunakan tangan kiri pula ketika hendak membuangkan kotoran atau hingus yang terdapat di dalam hidung. 

  6. Melaksanakan wuduk sebelum masuk waktu solat bagi orang yang tidak uzur. Perbuatan seperti ini adalah langkah bersegera untuk mendirikan solat. 

  7. Memasukkan jari manis yang dibasahi dengan air ke dalam lubang telinga untuk membersihkannya. 

  8. Melebihkan basuhan muka, kedua tangan dan kedua kaki dari batas yang telah diwajibkan. 

  9. Hendaklah menjimatkan air ketika mengambil wuduk, kerana perbuatan membazir itu adalah makruh dan sebahagian dari perbuatan syaitan. 

  10. Membaca syahadah dan doa setelah selesai berwuduk.

Saturday, February 11, 2012

Buku Pertama Masuk Berita Harian

Assalamualaikum

Salam Ukhwah Fi Allah kepada semua pembaca blog ini. Walaupun sibuk dengan berbagai aktiviti harian disebabkan tugas sebagai seorang murabbi. Tetapi itu tidak bererti kita boleh meninggalkan segala amalan yang diwajibkan oleh Allah kepada kita semua. Tujuan hidup di dunia ini adalah untuk mencari satu tujuan iaitu 1 akidah, 1 Allah, 1 saudara dan 1 Islam. Di sini Islam telah membuktikan sebuah agama yang tidak hanya berteraskan bangsa sahaja, namun pada hakikatnya Islam itu adalah sesuai untuk semua bangsa dan warna kulit yang terdapat di dalam dunia pada hari ini dan hari akan datang. Jadi perjuangan Islam itu tidak hanya terbatas kepada satu bangsa atau satu cara sahaja seperti difahami oleh sebahagian umat Islam. Islam boleh dikembangkan dengan berbagai cara, manhaj dan kaedah yang boleh digunakan oleh pejuang Islam pada bila-bila masa tanpa menghadapi masalah disebabkan keadaan tempat atau budaya masyarakat tersebut.

Di sini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu-individu yang bersusah payah mengulas, mengedit dan memasukkan buku pertama saya di dalam Ruangan Iqra Akhbar Berita Harian pada hari Rabu bertarikh 08 Febuari 2012. Jasa anda semua sangat berharga buat diri saya dan saya doakan anda semua sentiasa berada dibawah rahmat Allah agar anda semua dalam keadaan yang penuh ceria, sihat dan bahagia bersama keluarga, sahabat dan seluruh masyarakat disekeliling anda semua.



Sunday, February 5, 2012

Kisah Hanzalah Motivasi Buat Pejuang Islam



Salah seorang sahabat serta jurutulis kepada Rasulullah SAW yang terkenal ialah Abu Hanzalah bin Ar Rabie. Ketika peperangan Uhud meletus beliau baru sahaja diakadnikahkan. Oleh itu Rasulullah mengecualikan beliau dari turut serta ke medan peperangan. Inilah caranya Rasulullah meraikan sahabat baginda.

Namun apabila Hanzalah terjaga dari tidurnya, beliau terdengar gendang perang dibunyikan begitu kuat sekali. Melalui seorang sahabatnya beliau mendapat tahu tentera Islam mendapat tentangan yang hebat. Keadaan terlalu genting.

Tanpa membuang masa lagi Hanzalah terus memakai pakaian perang lalu mencapai pakaian perang lalu mencapai pedang. Dia meluru ke medan tempur tanpa sempat mandi junub.

Berlakulah pertempuran hebat hingga ramai pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah dapat menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut terkorban dalam keadaan sedang sujud.

Satu perkara pelik telah berlaku. Rasulullah SAW telah melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana sabdanya yang bermaksud: "Aku nampak antara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air awan di dalam dulang perak."

Para sahabat tercengang-cengang mendengar perkara ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhadak menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab.


Maksud Dakwah



Dakwah ilallah adalah dakwah yang bersumber dari Allah SWT yang disampaikan kepada kita melalui para nabi dan rasulNya, serta ditutup dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW. Bila dikatakan ‘dakwah ilallah’, berarti kita berdakwah agar manusia beriman kepada Allah, risalah yang dibawa para nabi dan rasul, taat pada apa-apa yang diperintahkan, berhenti total dari semua yang dilarang dan membenarkan seluruh perkataan utusan Allah tersebut. Erti berdakwah adalah mengajak kepada din Islam, penutup seluruh Kalamullah, serta agama yang paling sempurna dan syamil (komprehensif). Islam adalah agama yang telah Allah jamin penjagaannya, sedangkan agama-agama selain Islam diserahkan kepada para pemeluknya. Oleh kerana itu, hanya Islamlah yang akan tegak tanpa perubahan dan cacat.

Kegiatan berdakwah sudah ada sejak adanya tugas dan fungsi yang perlu diberatkan oleh manusia dibelantara kehidupan dunia ini. Hal itu dilakukan dalam rangka penyelamatan seluruh alam, termasuk di dalamnya manusia itu sendiri. Namun kegiatan dakwah seringkali difahami, baik oleh masyarakat awam atau pun sebahagian masyarakat terdidik, sebagai sebuah kegiatan yang sangat praktis, sama dengan tabligh (ceramah), iaitu suatu kegiatan penyampaian ajaran Islam secara lisan yang dilakukan oleh para khatib di atas mimbar. Kegiatan dakwah itu dilakukan terbatas hanya di majlis-majlis taklim, masjid-masjid dan mimbar-mimbar keagamaan. Meski hal itu tidak sepenuhnya keliru, namun sangat penting untuk diluruskan.

Apabila kita katakan “Dakwah Islamiah”, maka yang kita maksudkan adalah “Risalah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai wahyu dari Allah dalam bentuk kitab yang tidak ada kebatilan di dalamnya, baik di depan atau di belakangnya, dengan kalamNya yang bernilai mukjizat dan yang ditulis di dalam mushaf yang diriwayatkan dari Nabi SAW dengan sanad yang mutawatir, yang membacanya bernilai ibadah.”

Dakwah itu megandungi makna : An-Nasyr (menyebarkan), Al-Balagh (menyampaikan), Al-Iqna’ (menyedarkan) dan Ad-Di’ayah (propaganda) yang semua ini telah menjadi ilmu tersendiri, sejajar dengan ilmu-ilmu lainnya. Semua ini memiliki pembahasan, karakteristik dan sasaran tersendiri bersama dengan ilmu-ilmu Islam lainnya. Dakwah bahkan telah menjadi ilmu Islam yang paling penting dalam menjaga akidah umat, eksistensinya hari ini dan masa depannya nanti, melindunginya dari mazhab-mazhab batil yang menyerang umat Islam, embusan angin beracun dari musuh-musuh Islam siang dan malam, ghawul fikri (perang pemikiran), penjajahan intelektual yang mawadah sekarang ini di tengah masyarakat muslim.

Dari segala definisi dakwah yang telah diberikan di atas, penulis dapat membuat beberapa rumusan seperti :
  1. Dakwah adalah satu usaha mengajak manusia beriman dan taat akan segala perintah dan larangan Allah. 

  2. Dakwah ialah usaha untuk menyelamatkan manusia dari melakukan segala kesalahan yang bertentangan dengan syariat Islam. Usaha ini juga dilakukan melalui usaha tabligh melalui ceramah atau segala program yang dijalankan di masjid-masjid. 

  3. Dakwah adalah kesinambungan usaha dakwah Rasulullah SAW untuk menyampaikan segala wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada sekelian umat seperti telah tercatat di dalam Al-Quran. 

  4. Dakwah merupakan sebahagian ilmu Islam yang paling penting. Dakwah juga adalah usaha menyebar, menyampaikan, menyedarkan dan mempunyai kaedah yang tersendiri untuk melindungi umat Islam dari terjebak dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Ini bertujuan untuk memelihara keharmonian akidah umat Islam agar umat Islam menjadi seorang muslim yang sejati.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG