Salam ustaz saya nak tanya satu persolan yg ditanyakan oleh
pensyarah saya iaitu, mengapa orang bukan Islam boleh menukar agama dan
memasuki agama Islam tapi orang Islam tidak boleh menukar ke agama lain. saya
harap ustaz boleh bantu saya menyelesaikan masalah ini..terima kasih.
Jawapan
Satu soalan yang bagus dan jarang ditanyakan orang. Islam
adalah satu agama yang mengandungi berbagai rukun, undang-undang yang perlu
diterima oleh orang yang memeluk agama Islam. Jika orang tersebut ingkar dengan
undang-undang agama Islam, maka Allah akan memberikan kepadanya balasan buruk
iaitu dosa dan azab neraka. Undang-undang yang dimaksudkan di sini ialah
seperti hukum-hukum syarak yang terkandung di dalam Islam perlu dipatuhi oleh
semua umat Islam. Setiap umat Islam terlah melafazkan ikrar dengan kalimah
penyaksian (syahadah) sebagai bukti akan mematuhi segala peraturan dan
undang-undang yang terdapat di dalam agama Islam. Firman Allah swt yang
bermaksud :
“Pada hari ini,
Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu
kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Al-Maidah : 3)
Ibarat yang saya boleh datangkan di sini ialah seperti
seorang pelancung masuk ke dalam sebuah negara, di situ dia perlu mematuhi
segala hukum dan peraturan yang terdapat di dalam negara tersebut, dia juga
tidak boleh keluar dari negara tersebut sesuka hati dan perlu mendapat
kebenaran terlebih dahulu seperti cop keluar dipasportnya.
Pengajaran yang boleh diambil cari perumpamaan di atas ini,
apabila seseorang tersebut memeluk agama Islam perlu mematuhi segala
undang-undang dan dia tidak sama sekali dibenarkan menukar agama dan itu telah
termaktub dalam hukum syarak. Bila dia keluar dari Islam, dia akan dikenakan
tindakan undang-undang seperti yang digariskan oleh agama Islam.
Masalah orang agama lain masuk Islam, itu tidak menjadi
paksaan, kerana Islam tidak memaksa mana-mana umat agama lain memeluk Islam. Terpulang
kepadanya, kalau dia ingin memeluk agama Islam dengan ikhlas dan hati yang
terbuka, maka Islam menerimanya sebagai saudara baru. Firman Allah yang
bermaksud :
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah
nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah : 256)
Jika dibandingkan agama Islam dengan agama lain, Islam lebih
mudah dan bersifat fitrah dan sesuai kepada semua umat manusia untuk
mengamalkannya. Tidak menjadi kepayahan dan kesulitan bagi sesiapa yang ingin
bersama dengan Islam. Segala amalan yang dibuat dalam Islam ada kebaikkannya
pada manusia seperti kesihatan tubuh badan, hubungan sesama manusia, hubungan
manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan Allah. Semua amalan ini juga
telah dibuktikan oleh sains.






