PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Monday, April 30, 2012

Jangan Mencari Salah Suami Atau Isteri Buruk Padahnya




Assalamu'alaikum..
Untuk pengetahuan ustaz..saya sering mencari salah suami..suatu hari saya ada membaca mesej dlm handset suami dan menuduh yg bukan2 pada suami..sdangkan apa yg saya katakan tu silap dan tidak masuk akal..lalu suami baran teramat sgt lalu terlepas ckp 'kalau tengok handset abg lagi jatuh talak'...utk pengetahuan ustaz ketika itu saya sakit dan kami terkena santau pemisah dan masih didalam rawatan perubatan...soalan saya sejauh mana jatuhnya talak itu ustaz...kalau saya cuba nk tgk tapi tak boleh sbb dah lock adakah jatuh talak itu...dan juga kalau handset suami berbunyi lalu saya terpandang adakah jatuh talak juga ustaz...harap dapat membantu.. trima kasih wassalam.

Jawapan

Islam telah mengajar kita supaya bersangka baik (husnuzon) kepada orang lain, jangan sesekali bersangka buruk kerana bersangka buruk itu boleh timbul fitnah. Selain dari itu juga ia boleh menyebabkan hubungan sesama Islam putus dan berpecah belah. Tidak salah kita bersangka baik kepada orang lain dan ia tidak merugikan kita. bila bersangka baik, secara automatik hubungan kita akan jadi baik dan mesra dengan orang tersebut. Firman Allah SWT :

 “Dan janganlah Engkau mengikut apa yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Al-Isra : 36)

Setiap apa yang kita ragui selidikilah dahulu dengan bertanya kepada orang tersebut, agar kita memperolehi jawapan atas keraguan kita. Jangan pula bertanya kepada musuhnya yang sudah pasti jawapan mereka akan mengiyakan apa yang kita ragui. Seperti situasi politik sekarang, orang yang dituduh liwat, berzina, politik dan sebagainya tidak dirujuk kepadanya. Malah dirujuk kepada seteru politiknya, sudah pasti jawapan yang kita perolehi buruk dan fitnah. Perbuatan fitnah adalah satu kesalahan yang paling besar dengan dosa-dosa yang lain. Firman Allah SWT :

 “Dan (ingatlah Bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan” (Al-Baqarah : 191)

Sepatutnya suami dan isteri tidak perlu ada apa-apa perasaan yang negatif terhadap pasangannya, kerana perasaan tersebut akan membuatkan hubungan mereka menjadi tidak selesa dan tidak harmoni. Ini boleh menyebabkan timbul rasa tidak selesa di antara pasangan dengan kita, lama-lama boleh menyebabkan rasa bosan dan boleh berlaku pergaduhan dan penceraian. Menjadi binasa ialah anak-anak yang tidak tahu apa-apa, mereka hilang kasih sayang dari ibu bapa dan hidup mereka diabaikan. Maka mereka mencari ketenangan dan keseronokan di luar rumah kerana mereka menganggap rumah itu adalah neraka bagi mereka. Timbullah masalah sosial dikalangan anak-anak yang terbiar dari kedua ibu bapa disebabkan pergaduhan dan mementingkan diri masing-masing.

Dari mula kita menerima pasangan kita semasa bercinta sehingga berkahwin dengan mengatakan “saya terima awak seadanya, segala kelemahan dan kecacatan awak itu juga saya terima. Kita teruskan hubungan dengan apa cara sekali pun walaupun berbagai rintangan dan dugaan yang perlu kita hadapi.” Bila renung kata-kata ini ibarat seperti ikrar seorang anggota komando yang sanggup mati di medan perang demi mempertahankan negara tercinta ini. Bila dah kawin semua ini menjadi basi dan semua kenangan yang ada tidak lagi manis malah semua menjadi pahit.

Masalah lafaz taklik pula, sebenarnya lafaz tersebut berlaku sampai bila-bila walaupun talipon tersebut tidak boleh dibuka. Hal ini merujuk kepada lafaz taklik suaminya “bila tengok hanset jatuh talak”. Kalau niat suami hanya hensetnya sahaja, maka lain-lain henset tidak dikira dan awak boleh lihat henset lain dari henset suami anda. Jika suami niat semua henset yang ada walaupun bukan hensetnya, maka awak tidak boleh lihat semua henset termasuk henset awak sendiri.

Tempoh masa tidak disebut oleh suami anda, jadi ia berlaku sampai bila-bila sehingga jatuh talak taklik itu apabila awak melihat henset. Jumlah talak yang jatuh ialah satu dan dihitung dengan jumlah talak yang pernah diberi oleh suami sebelum ini. Jika ia sudah cukup 3 kali talak, maka suami tidak boleh lagi rujuk kembali dengan bekas isterinya kecuali berlaku perkahwinan dengan lelaki lain dan bercerai tanpa adanya paksaan dan rancangan seperti cina buta.

Nasihat saya, dapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Agama Islam yang berdekatan tentang masalah awak dan suami awak ini. Ini bertujuan untuk anda dan suami mendapatkan kepastian tentang lafaz taklik yang diberikan oleh suami.


Saturday, April 21, 2012

Dakwah Fardiyah



Dakwah Fardiyah adalah seni perhubungan antara seorang pendakwah dengan mad’unya dalam bentuk hubungan peribadi secara langsung. Dalam erti kata lain dakwah fardiyah juga adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain dalam jumlah yang kecil dan terbatas. Biasanya dakwah fardiyah berlaku tanpa persiapan yang rapi, matang dan tersusun. Antara kategori dakwah fardiyah adalah seperti memberi nasihat, teguran, anjuran dan contoh tauladan yang baik kepada rakan dan orang sekeliling.

Mustafa Al-Mahsyur memberikan beberapa pesanan khusus mengenai dakwah fardiyah kepada para pendakwah yang ingin menggunakan dakwah fardiyah sebagai alat untuk mereka menyebarkan dakwah. antara pesanan khusus tersebut ialah :
  1. Pendakwah hendaklah bersungguh-sungguh, memberi perhatian, mengikuti perkembangan dan membuat penilaian setelah dakwah fardiyah dilaksanakan dalam jangka masa tertentu. Ini dilakukan supaya kita berpuas hati terhadap usaha yang dilakukan.

  2. Perlaksanaan dakwah fardiyah hendaklah terlebih dahulu diberikan panduan dan tunjuk ajar kepada pendakwah berkenaan uslub, pengertian dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Ini bertujuan untuk memantapkan lagi dakwah yang dilakukan kepada mad’u. 

  3. Selain daripada menjelaskan tuntutan-tuntutan yang terdapat dalam usaha dakwah, pendakwah juga perlu mencari jalan untuk menghilangkan keraguan mad’u terhadap Islam dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang boleh mengikis keraguan yang terdapat dalam fikiran mad’u. 

  4. Kebaikan dan kejayaan cemerlang yang diperolehi oleh mereka yang menyahut seruan Allah mestilah ditonjolkan kepada semua. Begitu juga dengan bahaya besar yang menimpa mereka yang menolak kebenaran Islam. Sesungguhnya cara ini dapat memberikan  kesan yang mendalam kepada mad’u.

  5. Para pendakwah mestilah sentiasa bekerjasama, tolong menolong dan nasihat menasihati antara satu sama lain apabila mereka ditimpa musibah atau menghadapi halangan dan rintangan.

  6. Kejayaan, Keberkatan dan taufiq adalah berdasarkan kepada keikhlasan, kesungguhan, berlapang dada dan kesabaran dalam menjalankan usaha dakwah.

  7. Dakwah fardiyah ini dapat dilaksanakan di dalam sebarang suasana dan keadaan, berbeza dengan dakwah am yang kadang-kadang menghadapi tekanan dan rintangan.

  8. Dakwah fardiyah istimewa kerana ia mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza dengan dakwah am seperti ceramah dan majlis ilmu kerana ia tidak melahirkan hubungan mesra secara langsung antara pendakwah dan mad’u.

  9. Dakwah fardiyah memberi kesempatan kepada mad’u untuk meminta penjelasan terhadap setiap kekeliruan dan ia juga mampu menghapuskan segala keraguan dan kesamaran di dalam dirinya.

  10. Hasil dakwah fardiyah ini mampu mencapai angka yang berlipat ganda di dalam waktu yang singkat jika dibandingkan dengan dakwah am.
Setiap para pendakwah yang melaksanakan dakwah fardiyah hendaklah terlebih dahulu menentukan tempoh masa tertentu untuk membawa seorang mad’u ke jalan dakwah. Pendakwah juga hendaklah berfikir kreatif, tekun dan bertenaga untuk menjayakan usaha dakwahnya. Dia hendaklah menganggap segala cabaran dan dugaan itu sebagai ujian bagi dirinya. Pendakwah akan memperolehi kejayaan membawa mad’unya ke jalan kebenaran apabila ia mempunyai sifat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi.

Tuesday, April 17, 2012

Bertaubat Dahulu Sebelum Terlambat



Imam Ar-Raghib Al-Ashfahani mengatakan bahawa dalam istilah syarak taubat adalah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan. Berkeinginan kuat untuk tidak mengulanginya dan berusaha melakukan apa yang boleh diulangi. Jika keempat hal itu telah terpenuhi bererti syarat taubatnya sempurna.

Iman An-Nawawi berkata para ulamak berkata bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat itu antara hamba dengan Allah yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia, maka syaratnya ada tiga seperti :
  1. Hendaklah ia menjauhi maksiat tersebut. 

  2. Ia harus menyesali perbuatannya 

  3. Ia harus berkeinginan untuk tidak mengulangi lagi.
Jika salah satu hilang, maka taubatnya tidak sah. Dalil dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung tiada tuhan selain darinya yang Maha Hidup dan aku bertaubat kepadanya.” (Riwayat Tirmizi)

Dalil Al-Quran yang bermaksud :

“Dan Allah tidak sesekali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka, dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristiqhfar.” (Al-Anfaal : 33)

Zun-Nun Al-Masri ra menjelaskan Allah memiliki hamba-hamba yang menanam pohon-pohon kesalahan dan menyiramnya dengan taubat hingga berbuah duka dan penyesalan. Mereka gila, tetapi sebenarnya tidak. Bahkan merekalah yang mengenal Allah dan rasulnya. Lalu mereka meminum segelas air kesucian membuatnya agar sabar atas bala. Hati mereka menerawang, fikiran mereka menjulang antara bintang, bernaung di bawah penyesalan. Membaca lembaran kesalahan, membuat jiwanya terketar hingga sampai ke tinggian zuhud dengan tangga warak.

Ciri-Ciri Orang Beristiqhfar
  1. Agar memperoleh pengampunan Allah

  2. Agar mendapat kesenangan dan terlepas dari kerisauan. 

  3. Agar dapat dimakbulkan doa.
Dalil Allah yang bermaksud :

“Aku berkata : pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.” (An-Nuh : 10)

Kesimpulan
  1. Manusia wajib bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan. 

  2. Bertaubat hendaklah dengan cara yang betul dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut.

  3.  Bertaubat hendaklah dengan ikhlas dan mempunyai sifat bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat tersebut.

Thursday, April 12, 2012

Pengajaran Dari Peristiwa Gempa Bumi



Pada hari Rabu tanggal 11 April 2012 kita semua sibuk bercerita tentang Majlis Penuh Istiadat Pertabalan Agung Yang Ke 14. Tiba-tiba kita digemparkan dengan tragedi gempa bumi yang berlaku di Lautan Hindi. Banyak negara dapat merasakan gegaran gempa bumi tersebut terutamanya di Aceh dan utara tanah air. Semua orang bimbang dan bersiap sedia untuk menghadapi tsunami setelah amaran tsunami dikeluarkan oleh badan-badan berwajib. Ada yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri dari banjir besar tsunami, sebahagian yang lain berdoa agar peristiwa tsunami yang mengorbankan banyak penduduk Aceh tidak berulang dan berlaku kepada mereka. Ramai juga yang menyebarkan fitnah-fitnah kononnya tsunami telah melanda Aceh dan sebahagian negara Lautan Hindi dengan teruknya.

Saya  merenung jauh bagi memikirkan bencana yang berlaku ini. Apabila dilihat pada mut orang Islam sekarang, walaupun bencana itu datang dengan teruk sekalipun sehingga menenggelamkan dunia ini, kebanyakan mereka masih lagi tidak mahu bertaubat dan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidak langsung berasa takut dan ingin bertaubat dari segala kesalahan yang telah dilakukan. Cuba kita lihat dari peristiwa tsunami yang lepas, tidak ramai orang yang mengalami dan melihat sendiri bencana tersebut bertaubat dan yakin terhadap kekuasaan Allah. Yang peliknya ada sebahagian sarjana beragama Islam mengeluarkan kenyataan bahawa ini bukan dari Allah dan ini hanya semata-mata bencana alam.

Jika kita lihat dari Al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan Allah menurunkan bencana yang besar bagi menenggelamkan umat-umat nabi dan rasul terdahulu atas sebab keingkaran mereka. Adakah itu juga kita kategorikan sebagai bencana alam walaupun telah dinyatakan di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum ; 41)

Jangan hanya kita bercerita dengan penuh perasaan tentang gempa bumi atau bencana yang berlaku sebelum ini dengan penuh rasa belas kasihan kepada mangsa yang terlibat. Selain dari itu kita menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dialami oleh mangsa. Semua perbuatan ini bagus kerana kita menunjukkan sikap prihatin terhadap orang yang mengalami musibah tersebut. Alangkah baiknya jika kita bermuhasabah kembali kenapa Allah turunkan bala bencana seperti itu? Adakah disebabkan kejahatan yang telah dilakukan oleh manusia? Jika ya jawapannya, maka lebih baik kita bertaubat dan berusaha menjadi umat Islam yang bertakwa dan membuat sebanyak-banyaknya amalan kebaikan untuk bekalan kita menuju akhirat.

Alangkah ruginya kita, apabila kita mati nanti tidak ada amalan yang baik untuk dibawa ke akhirat bagi melepaskan kita dari dihumban ke dalam neraka. Di situ kita merayu dan menangis agar Allah melepaskan kita dari azab neraka agar dapat mengembalikan kita ke dunia untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin supaya kita tidak dimasukkan lagi ke dalam neraka Allah. Tetapi pada waktu itu kita sudah terlambat dan Allah tidak mengindahkan rayuan kita kerana di dunia dahulu berbagai-bagai peringatan telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran, tidak cukup dengan itu Allah mengutuskan Rasul sebagai pembawa khabar kebenaran untuk sekalian umat manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (Apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: "Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran, maka Adakah untuk Kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi Kami atau (bolehkah) Kami dikembalikan (ke dunia) supaya Kami dapat beramal, lain daripada apa yang Kami telah kerjakan?" Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.” (Al-Araf : 53)

Setiap apa yang telah berlaku itu datang dari Allah dan semua yang berlaku ada sebab dan pengajarannya. Gunakan akal fikiran yang telah dianugerahkan Allah kepada kita dengan sebaiknya, jika salah penggunaannya, maka sudah pasti kita telah menzalimi sendiri diri kita. Jangan jadikan diri kita sebagai orang-orang yang rugi, kerana orang yang rugi itu tempatnya di dalam neraka Allah yang mempunyai azab yang sangat pedih.


Monday, April 9, 2012

Metode Dakwah Yang Boleh Diaplikasikan Semasa Dakwah


Perkataan manhaj dan dakwah dapat dikatakan  bahawa manhaj dakwah oleh sesiapa sahaja adalah aturan dakwah yang diikuti dan rancangan ilmiah yang berisi kaedah-kaedah dan dasar-dasar tertentu agar seseorang dapat menyampaikan ajaran Islam, mengerjakannya dan mempraktikkannya.

Dari segi bahasa metode berasal dari dua perkataan iaitu “meta” (melalui) dan “hodos” (jalan, cara). Dengan demikian kita dapat ertikan bahawa metode adalah cara atau jalan yang harus dilalui untuk mencapai suatu tujuan. Sumber yang lain menyebutkan bahawa metode berasal dari bahasa Jerman methodica ertinya ajaran tentang metode. Dalam bahasa Yunani metode berasal dari kata methodos ertinya jalan yang dalam bahasa Arab disebut thariq. Apabila kita ertikan secara bebas metode adalah cara yang telah diatur dan melalui proses pemikiran untuk mencapai suatu maksud.

Terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Arab yang sangat dekat pengertiannya dengan metode. Perkataan-perkataan itu ialah uslub, manhaj dan juga wasilah. Dalam bahasa Arab, uslub bererti jalan atau cara. Ia adalah cara membentuk atau cara menggunakan sesuatu atau cara-cara tertentu untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Masalah yang didakwahkan dalam Al-Islam adalah masalah yang teramat agung dan mulia. Islam tidak memerintahkan pengikutnya dengan perkara-perkara kehidupan remeh, namun Islam mewajibkan pemeluknya untuk mengabdikan seluruh hidupannya kepada Allah SWT seperti firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 :

 “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan ; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
 
Seorang yang hendak berdakwah mestilah mengetahui cara, teknik atau metode (uslub) berdakwah. Tanpanya masyarakat yang menjadi sasaran dakwah akan menolak dan menerima secara negatif.

Rumusan yang dapat diambil, metode dakwah adalah satu kaedah atau cara untuk mengajak manusia mendekatkan diri dengan mentauhidkan Allah secara benar dan sempurna. Dalam erti kata yang lain, metode dakwah ini merupakan satu ilmu yang mengajar pendakwah tentang cara untuk menyampaikan dakwah secara tepat dan sesuai pada setiap keadaan dan masa yang ditempuhi. Ini juga secara tidak langsung mengajar pendakwah mengetahui bagaimana keadaan subjeknya atau mad’unya. Setelah itu, pendakwah dapat merancangkan cara atau teknik yang berkesan untuk mempengaruhi mad’unya apabila ia menyampaikan dakwah. 

Secara umumnya, metode dakwah yang diguna pakai sejak zaman Rasulullah hingga sekarang ialah berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 125 :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
 
Rumusan yang dapat diambil oleh penulis ialah terdapat tiga asas metode dakwah yang perlu diketahui dan dipelajari oleh para pendakwah, seperti :

  1. Bil Hikmah 
  2. Mau’izatul Hasanah 
  3. Al-Mujadalah
Di bawah ini penulis akan menjelaskan setiap asas metode dakwah secara lebih terperinci lagi dengan mengambil beberapa pandangan atau pendapat tokoh ilmu dakwah. Dengan cara ini, kita akan lebih mendalami dan memahami setiap asas terebut secara lebih kongkrit lagi.

Bil Hikmah
Kata Al-Hikmah diertikan sebagai Al-Adl (keadilan), Al-Haq (kebenaran) Al-Hilm (ketabahan), Al-‘ilm (pengetahuan), terakhir An-Nubuwwah (kenabian). Di samping itu, Al-Hikmah bermaksud sebagai penempatkan sesuatu pada tempatnya. Selain dari itu, Al-Hikmah juga ialah pengetahuan yang dikembangkan dengan tepat sehingga menjadi sempurna. Menurut pendapat ini, Al-Hikmah termenifestasikan ke dalam empat hal seperti kecekapan menguruskannya, kecermatan, kejernihan fikiran dan ketajaman fikiran.

Syeikh At-Tusi Rahimahullah pernah menyebut perkataan hikmah ialah menyeru kepada matlamat untuk membuat khibrah bagi menerima pahala dari pihak pendakwah dan yang didakwah.

Satu perkara yang sangat sukar untuk menentukan makna hikmah ialah secara teorinya. Secara mudah, hikmah bererti bijaksana. Bijaksana bererti sesuatu yang sesuai. Manakala sesuai pula bergantung kepada keadaan. Sesuatu tindakan boleh menjadi sesuai bagi seseorang, tetapi tidak sesuai bagi orang lain. Ia menjadi sesuai bagi satu masa, tetapi tidak sesuai dengan masa lain. Dengan itu, tindakan itu hikmah bagi seseorang atau bagi masa tertentu, tetapi tidak hikmah bagi orang lain atau masa yang lain. Maka, hikmah berkait rapat dengan keadaan untuk menentukan ia bersesuaian.

Dapat difahami bahawa perkataan hikmah ini ialah melaksanakan dakwah dengan cara yang lebih baik agar mesej dakwah yang dijalankan akan lebih tertib dan relevan kepada mad’unya. Selain dari itu, melaksanakan dakwah ini bergantung kepada kebijaksanaan pendakwah untuk merangka atau merancang sesuatu kaedah bagi menghadapi mad’unya, ini supaya segala mesej dakwah yang disampaikan dapat diterima oleh masyarakat sekelilingnya. 

Mengenali Golongan Sasaran

Di antara adab-adab memberi nasihat adalah dengan mengetahui keadaan masyarakat, memperhatikan jabatan dan kedudukan mereka. Iaitu seorang da’i harus memiliki pengetahuan yang meyakinkan tentang keadaan mad’unya. Kerana informasi seperti ini memungkinkan dia untuk memberikan perlakuan sesuai dengan keadaan mad’unya. Dari segi kecekapan dan kedudukannya.

Salah satu makna hikmah dalam berdakwah adalah menempatkan manusia sesuai dengan kadar yang telah ditetapkan Allah. Ketika terjun ke sebuah komuniti atau melakukan hubungan dengan seseorang mad’u. Da’i yang baik harus mempelajari terlebih dahulu keadaan komuniti atau peribadi yang bersangkutan dengan mad’unya.

Bila Masa Berbicara & Masa Diam

Seperti Pribahasa “Diam itu emas dan berkata itu perak” mungkin lebih mengena pada pembicaraan kita kali ini, tanpa menelusuri darimana asal-usul pribahasa tersebut, yang jelas makna dan arah yang dituju sejalan dengan tuntutunan agama. Sekian banyak pertunjuk agama yang mendorong agar seseorang selalu menimbang-nimbang segala apa yang akan diucapkannya, kerana ini peringatan Allah dalam Al-Quran :

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Al-Qaaf : 18)

Di dalam Sahih Tafsir Ibnu Katsir Jilid 8 telah mentafsirkan ayat di atas ini, seperti tidak ada suatu kalimat pun yang dikatakan oleh manusia melainkan ada malaikat yang selalu mengawasi dan mencatatnya. Tidak ada satu kalimat pun yang tertinggal dan tidak ada satu gerakan pun yang tidak dicatat oleh malaikat.

Rasulullah SAW mengundang ahli-ahli keluarga baginda yang terdekat untuk makan bersama-sama di rumah beliau. Yang hadir ada kira-kira 40 orang, di antaranya ialah bapa saudara baginda, Abu Lahab. Setelah selesai makan, Rasulullah SAW bersiap-siap hendak menyampaikan risalahnya. Akan tetapi Abu Lahab lantas memotong jalannya. Dia bangun lebih dahulu, lalu berkata dengan suara lantang dan penuh nafsu.

Rasulullah SAW tidak menjawab apa-apa. Orang yang meradang tidak ketentuan seperti itu tidak perlu dijawab. Beliau diam, dan diam itulah jawapannya. Itulah jawapan yang tepat terhadap cara-cara seperti itu dalam suasana yang demikian. Dipersilakannya para tetamu makan. 

Mencari  Persamaan Di Dalam Dakwah

Maksud mencari titik persamaan dalam konteks metodologi dakwah adalah usaha dalam mencari titik tolak di mana dakwah menemui jalan masuk untuk diteruskan secara sistematis terhadap mad’u yang menjadi sasaran dakwah. Hal ini dapat diibaratkan seperti pintu gerbang dari sebuah rumah besar yang dengannya kita mampu memasuki rumah. Memasuki pintu gerbang bererti titik awal untuk dapat masuk ke rumah tersebut.

Manhaj ini juga telah dibuktikan oleh dakwah Wali Songo yang menggunakan kaedah menyesuaikan dakwah Islam dengan budaya masyarakat tanah jawa ketika itu. Tidak semua Wali Songo bersetuju bahawa Islam itu perlu disesuaikan dengan keadaan setempat tanpa dihapuskan kepercayaan dan ikutan lama secara tuntas. Namun, itulah usaha yang dilakukan oleh sesetengah Wali Songo, terutamanya Sunan Kalijaga.

Upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan, akan tetapi telah diubahsuai. Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah kepada kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan bacaan mantera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil dan doa, dengan nada yang panjang dan sedih.

Toleransi Tanpa Kehilangan Sibghah

Maksud toleransi di dalam bahasa Arab dikatakan ikhtimal, tasamuh menurut arti bahasa adalah sama-sama berlaku baik, lemah lembut, saling memaafkan (toleransi). Tasamuh dalam pengertian umum adalah suatu sikap akhlak terpuji dalam pergaulan di mana rasa saling menghargai antara sesama manusia dalam batas-batas yang telah digariskan Islam.

Toleransi perlu ada pada pekerjaan dakwah, kerana dakwah merupakan pekerjaan untuk mengajak manusia mengenali Allah dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa kepentingan selain dari Allah. Berdakwah bukan untuk mencari kemenangan hujah, menidakkan pandangan orang lain, menghina atau mengherdik kesalahan yang telah dilakukan oleh orang yang hendak didakwahinya. Ini juga merupakan sebahagian dari dakwah bil-hikmah yang perlu diketahui oleh setiap pendakwah. 

Juru dakwah tidak boleh memandang remeh atau menganggap hina seseorang, kerana haknya hanya menyeru dan mengajak. Namun kadang-kadang juru dakwah terpengaruh dengan dorongan emosinya sehingga menyebabkannya merasa dirinya lebih banyak berkhidmat terhadap Islam dan meremehkan orang lain.

Sibghah bererti warna celupan dan agama. Dalam hal ini, agama Islam sebagai dasar dan tuntunan hidup, fungsi warna dan celupan tersebut mencemerlangkan barang yang diberi celupan tersebut. Apabila dikaitkan ajaran itu kepada jiwa ia akan bersinar memancar yang dalam realisasinya tampil dalam bentuk semangat, taat, peduli dan toleransi.

Memilih Kata Yang Tepat

Terlihat hubungan yang erat antara hikmah dengan memilih kata yang tepat. Salah satu sifat orang yang bijaksana (orang yang memiliki hikmah) adalah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata. Kata-kata yang keluar dari mulut seorang hakim adalah dipertimbangkan dahulu, sehingga benar dan sesuai dengan keadaan human oriented.

Pemilihan isi dakwah yang sesuai akan memberikan maklum balas yang baik daripada sasaran. Manakala, pemilihan isi dakwah yang tidak tepat akan mencetuskan pelbagai kontroversi dalam usaha dakwah yang dilakukan. 

Para da’i mestilah mengetahui ilmu-ilmu semasa selaras dengan perkembangan dalam masyarakat. Kadangkala berlakunya kegagalan dalam dakwah, justeru pendakwah tidak menjiwai peranannya dan menghalusi permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Kebijaksanaan pendakwah menguasai masyarakat dalam erti kata memahami situasi yang ada dalam masyarakat menyebabkan pendakwah tidak akan berasa terasing dan terpinggir. Ilmu-ilmu semasa harus ditekankan oleh pendakwah kerana minat para mad’u cenderung untuk memperkatakan perkara yang dianggap panas atau benda yang baru, contohnya seperti teknologi maklumat. Jesteru itu, pendakwah harus mempelajarinya demi untuk memperkemaskan pelaksanaan dakwahnya.

Cara Berpisah
Setiap pertemuan itu ada pula perpisahannya. Sudah menjadi pasti para pendakwah akan melalui situasi seperti ini, kerana sebelum memulakan pertemuan pendakwah bersedia dengan berbagai bahan untuk disampaikan kepada mad’unya, tetapi apabila habis sahaja usaha dakwah, majlis tersebut habis begitu sahaja tanpa ada apa-apa penyudahan atau kesimpulan, saranan dan nasihat yang boleh menyebabkan mad’unya mengingat kembali apa yang telah disampaikan oleh pendakwah.

Sementara itu dalam dakwah materi atau topik hikmah merupakan salah satu esensi yang sangat berharga dalam medan kehidupan, berapa jauh seorang dapat menyelami pengertian hikmah, maka sejauh itu pula jiwa manusia akan membuka reaksi dan emosinya tergugah. Berapa banyak seorang da’i yang memiliki pemikiran yang jernih tetapi akhirnya terkandas secara sia-sia. Sehingga akhirnya ia tidak memiliki pemikiran untuk disampaikan kepada para pendengarnya. Dan ini merupakan suatu polemik di dalam dakwah Islam dalam konteks hikmah harus diakhiri dengan sesuatu yang dapat menyentuh. Kerana jangan sampai dakwah yang telah dibangun dengan susah payah akan kandas akibat akhir yang tidak menyenangkan.

Selain dari itu, dakwah yang disampaikan tidak membawa kesan apa-apa atau tdak menarik minat orang yang didakwahnya, maka lebih elok majlis tersebut ditutupkan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada dan jalankan proses dakwah yang kedua dengan lebih bersedia lagi agar dakwah itu berkesan kepada pendengarnya. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Kafirun 1-6 yang berbunyi :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!, Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat seperti Aku beribadat.Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".


Di dalam Shahih Tafsir Ibnu Katsir jilid 9 menjelaskan Rasulullah SAW berlepas diri dari segala apa yang mereka perbuat. Kerana penyembahan itu harus mempunyai sesembahan yang ia sembah dan melakukan ibadah yang dia tempuh kepadanya. Rasulullah saw dan para pengikutnya menyembah Allah dengan apa yang Dia syariatkan. Dan itulah makna kalimat Islam, لا إله إلا الله محمد رسول الله iaitu tiada sembahan yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah, dan tidak ada jalan yang harus ditempuh untuk sampai kepadaNya kecuali melalui ajaran yang dibawa Rasulullah saw.

Uswatun Hasanah

Dakwah dengan Uswatun Hasanah adalah dakwah dengan memberikan contoh yang baik melalui perbuatan nyata yang sesuai dengan etika dakwah. Bahkan, Uswatun Hasanah adalah salah satu kunci sukses dakwah Rasulullah, salah satu bukti adalah bahawa pertama kali tiba di Madinah, yang dilakukan oleh Rasulullah adalah membangunkan masjid Quba, mempersatukan kaum Ansar dan Muhajirin dalam ikatan ukhwah Islamiah.

Dakwah Bi-Lisan Al-Hal

Dakwah berasal dari kata da’a, yadu’u, dakwatan yang bermaksud memanggil, menyeru. Kata lisan bererti bahasa sedangkan kata Al-Haal pula bermaksud hal atau keadaan. Lisan Al-Haal mempunyai erti yang menunjukkan realiti sebenar. 

Dakwah bi-Lisan Al-Haal merupakan sebuah metode dakwah, iaitu metode dakwah dengan menggunakan kerja nyata. Sebagai sebuah metode, dakwah dengan lisan Al-Haal juga terikat pada prinsip-prinsip penggunaan metode seperti :
  1. Hikmah 
  2. Mau’idzah Hasanah. 
  3. Mujadalah
Dakwah bi-Lisan Al-Haal mempunyai beberapa faktor yang mempengaruhinya seperti :
  1. Tujuan dengan pelbagai jenis dan fungsinya.
  2. Sasaran dakwah (masyarakat atau individu dari pelbagai segi. 
  3. Situasi dan kondisi yang beraneka ragam. 
  4. Media atau fasiliti yang tersedia dengan pelbagai macam kualiti dan kuantiti.
  5. Keperibadian dan kemampuan da’i.
Mauidzah Al-Hasanah

Perkataan mauizah al-hasanah membawa maksud sebagai jalan untuk menyampaikan dakwah dan uslub berdakwah bertujuan untuk mendekati bukan menjauhkan, memudahkan bukan menyusahkan, mengasihi dan bukan menakutkan. Menurut Imam al-Ghazali, mauizah al-hasanah adalah beberapa pengajaran dan nasihat yang berdasarkan kepada apa  yang terkandung dalam al-Quran dan aspek perkhabaran yang mengembirakan dan ancaman yang menakutkan kemudian disertai dengan kesabaran dan keikhlasan dalam nasihat yang diberikan.

Jenis-jenis dakwah mauizah al-hasanah mengikut pendapat Munzier Suparta dan Harjani Hefni (2003) telah membahagikan dakwah mauizah al-hasanah kepada :

Nasihat

Dalam berdakwah mengajak manusia kepada akidah yang benar dan melarang mereka mengikuti akidah yang rosak, seorang aktiviti dakwah sebaiknya lebih banyak menggunakan metode memberi nasihat yang baik daripada metode berbantah, metode menyanyangi dan berbelas kasih daripada metode mengingkari dan mencela. Dia memilih metode yang disukai dan ucapan-ucapan yang beradab.

Tabsyir Wa Tandzir

Tabsyir dalam istilah dakwah adalah penyampaian dakwah yang berisi kadar-kadar yang mengembirakan bagi orang-orang yang mengikuti dakwah. Terminologi tabsyir dalam konteks dakwah adalah informasi, berita yang baik dan indah sehingga boleh membuat orang gembira untuk menguatkan keimanan sekaligus sebagai sebuah harapan dan menjadi motivasi dalam beribadah serta beramal soleh.

Tandzir menurut istilah dakwah adalah penyampaian dakwah di mana isinya berupa peringatan terhadap manusia tentang adanya kehidupan akhirat dengan segala konsekuensinya. Menurut penulis, tandzir adalah ungkapan yang mengandung unsur peringatan kepada orang yang tidak beriman atau kepada orang yang melakukan perbuatan dosa atau hanya untuk tindakan preventif agar tidak terjerumus pada perbuatan dosa dengan bentuk ancaman berupa seksaan di hari kiamat.

Wasiat

What The Esence Of Wasiat? Inilah pertanyaan yang harus dijawab dalam membedah apa sebenarnya inti pokok wasiat dalam dakwah? Perlu diingat kembali berawal dari definisi wasiat pada huraian sebelumnya, bentuk-bentuk wasiat dalam Al-Quran, Al-Hadis dan dari ulama salaf dapat disimpulkan bahawa kata wasiat mempunyai terminologi yang universal. Wasiat adalah kata yang padat makna. Ini kerana wasiat adalah sarana untuk mencapai tujuan dakwah. Bila dikaitkan dengan kebenaran, wasiat adalah profil paling cemerlang untuk tegak menjaga kebenaran dan kebaikan. Bila dikaitkan dengan kesabaran, wasiat mampu mengerakkan potensi umat untuk semakin kuat dan tegar dalam kebenaran, dalam mencapai tujuan kesatuan perjalanan solidariti umat dalam semangat pantang menyerah. Bila dikatakan dengan kasih sayang wasiat adalah upaya menyebarluaskan perasaan kasih sayang dan saling mencintai sesama umat sehingga banggunan umat solid. Maka esensi wasiat dalam dakwah adalah : Ucapan seseorang da’i berupa pesan penting dalam upaya mengarahkan (taujid) mad’u tentang sesuatu yang bermanfaat dan bermuatan kebaikan. Dan persoalan-persoalan yang disampaikan dalam wasiat berkaitan dengan sesuatu yang belum dan akan terjadi.

Kisah

Bercerita tentang kisah-kisah yang mengandung hikmah sangat efektif untuk menarik perhatian para mad’u yang dapat membuat imaginasi yang atas peristiwa-peristiwa masa lampau mahupun yang akan datang, bahkan hal ini adalah merupakan pola yang terbaik untuk dilakukan para da’i dan akan dengan mudah merasuk ke dalam jiwa para komunikan  khusus pada anak-anak. Kerana dengan mendengar cerita seperti ini telah dicontohkan kepada Rasulullah SAW sejak dahulu, di mana ketika beliau berdakwah, beliau seringkali bercerita tentang kisah kaum-kaum terdahulu agar dapat diambil hikmah dari pelajarannya.

Al-Mujadalah

Metode mujadalah dengan sebaik-baiknya menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya Ulumuddin menegaskan agar orang-orang yang melakukan tukar fikiran itu tidak beranggapan bahawa yang satu sebagai lawan bagi yang lainnya, tetapi mereka harus menganggap bahawa para peserta mujadalah atau diskusi itu sebagai kawan yang saling tolong-menolong dalam mencapai kebenaran. Demikianlah antara lain pendapat sebahagian Mufassirin tentang tiga prinsip metode tersebut. Selain metode tersebut Nabi Muhammad Saw bersabda :
                                                                                                  
“Siapa di antara kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan yang terakhir inilah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Al-Hiwar

Syariat Islam bersumber dari dasar-dasar yang mulia, dimuatkan dengan moraliti yang tinggi dan sarat dengan petunjuk luhur yang mengatur perselisihan, dialog dan perdebatan yang terjadi di antara manusia. Syariat Islam berputar pada siklus logik yang benar, pemikiran yang lurus, perdebatan yang lebih baik dan berorientasi pada pencapaian kebenaran demi kebaikan dan kemaslahatan umat, dalam koridor yang diperbolehkan Allah SWT. Berikut ini beberapa landasan dan etika berdialog menurut Islam. Diantara etika yang dimaksudkan ialah :
  1. Kejujuran 
  2. Thematik dan Objektif 
  3. Argumentatif dan logis
  4. Bertujuan Untuk Mencapai Kebenaran
  5. Tawadhu 
  6. Memberi kesempatan kepada pihak lawan
Langkah-langkah atau cara dalam berdialog :
  1. Mempersiapkan Materi 
  2. Mendengar pihak lawan dengan arif, bijak dan seksama 
  3. Menggunakan ilustrasi/kiasan/gambaran
  4. Mematahkan pendapat/alasan dengan serang balik 
  5. Apologetik dan elentika
  6. Jangan Marah

As-Ilah Wa Ajwibah

Pembahasan tentang metode As-Ilah Wa Ajwibah ini menjadi begitu sangat penting sekali untuk diketahui dan dipelajari, terutama bagi para da’i, ketika berhadapan dengan mad’u yang berbeza latar belakang agama, pendidikan, budaya dan sebagainya. Untuk menghadapi mad’u yang bermacam ragam dan berbeza-beza ini, diperlukan persiapan da’i baik persiapan isi mahupun persiapan mental sehingga ketika dia dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan yang diajukan mad’unya, dia bersiap untuk menjawab.

Penutup

Metode yang telah disenaraikan di atas ini boleh diaplikasikan oleh pendakwah untuk mendekatkan diri atau menjalankan dakwah kepada mad’unya. Kaedah ini telah lama diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, kita sebagai penerus dakwahnya hanya perlu menerapkan cara dakwah ini di dalam usaha dakwah zaman globalisasi ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG