Saya ada persoalan berkaitan bakal
isteri saya. Kami akan berkahwin hujung tahun ini. Masalahnya saya terlalu
memikirkan kisah silam bakal isteri saya. Dia mengakui yang dia pernah keluar
berdua-duaan dengan kawan lelakinya, walaupun dia tidak berpegangan tangan atau
sebaliknya. Hanya setakat keluar makan. Bila saya terkenang pasal itu hati saya
terus tidak tenteram. Rasa sakit hati atau hendak marah. Mula memikirkan
perkara yang bukan-bukan semasa mereka keluar berdua.. Mohon nasihat ustaz agar
hati saya lebih redha dan tenang dengan apa yang telah berlaku sekiranya dia
adalah jodoh terbaik saya. Terima kasih ustaz.
Jawapan
Perkahwinan merupakan sunnah Nabi
Muhammad SAW yang telah disyariatkan kepada sesiapa yang berkemampuan dari segi
zahir dan jasmani. Sesiapa yang membuat keputusan untuk berkahwin hendaklah
bersedia dari segala aspek kerana perkahwinan ini bukan sesuatu perkara yang
mudah seperti kita membeli ikan di pasar. Banyak benda yang perlu kita fikir
dan pertimbangkan seperti agama, rupa paras, keturunan dan harta. Islam telah
menyarankan kepada hambanya supaya memilih pasangan berdasarkan agama mereka,
bukan berdasarkan rupa paras yang ada kepada mereka. Hadis Nabi Muhammad SAW
yang bermaksud :
“Seseorang wanita itu dikahwini kerana
empat perkara : Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Utamakanlah
yang mempunyai agama, nescaya kamu akan selamat” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam masalah anda ini, setiap manusia
tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan tidak ada manusia yang tidak pernah
melakukan kesalahan dan dosa kecuali para nabi dan rasul kerana mereka adalah
maksum (dipelihara Allah). Sepatutnya anda perlu memaafkan segala kesalahan
yang pernah dilakukan oleh bakal isteri awak, betapa baiknya dia sanggup menceritakan
segala kisah silamnya. Sepatutnya anda kena terima secara terbuka, ikhlas serta
bersangka baik dan bukan bersangka buruk terhadapnya. Islam juga menyarankan
umatnya bersangka baik terhadap orang lain dan kerana bersangka buruk boleh
mendatangkan fitnah dan boleh menyebabkan hubungan anda menjadi masalah dengan
bakal isteri anda.
Sepatutnya anda kena menerimanya
dengan baik walaupun dirinya tidak memenuhi segala kreteria yang anda tetapkan.
Hal ini boleh diterima dengan satu cara sahaja iaitu memilih bakal isteri
berdasarkan agama seperti menutup aurat, melaksanakan ibadah fardu dengan baik,
menghormati orang, lemah lembut, mempunyai akhlak yang mulia atau sebagainya.
Anda dan keluarga anda juga tidak akan kecewa kerana wanita yang taat kepada
perintah Allah telah tahu apa tugasnya sebagai isteri dan hamba Allah, anda
juga tidak perlu mengajarnya menjadi seorang isteri dan menantu yang baik,
malah jika anda melakukan kesalahan dia sendiri yang akan menegur dan memberi
nasihat kepada anda. Betapa bahagianya bila ada isteri sebegini, sejuk mata dan
lembut hati bila bersamanya.
Buangkan segala perasaan negatif
terhadap bakal isteri anda kerana ia tidak mendatangkan apa-apa keuntungan
kepada diri anda dan keluarga anda. Bila berkahwin tanggungjawab anda besar dan
akan bersamanya sampai bila-bila. Jika pada awalnya sudah berperasaan negatif,
bagaimana anda hendak menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab? Saya juga
yakin rumahtangga yang dibina pasti akan timbul masalah yang besar dan ini akan
menjadi duri dalam bahtera rumahtangga anda. Bila berlaku sahaja pergaduhan dan
pertengkaran masalah silam isteri akan diungkit.
Hidup anda bersamanya juga menjadi
tidak nyaman kerana buruk sangka sentiasa bermain di dalam fikiran anda,
lama-lama ia akan membuatkan perasaan anda tidak tenteram, waktu itu juga anda
akan sentiasa mencari gaduh dengannya walaupun perkara tersebut remeh seperti
masakan tidak sedap, air kopi tidak manis atau sebagainya. Masalah ini juga
boleh mendatangkan penceraian, bila berlaku cerai anak-anak terabai sehingga
menyebabkan anak mencari keseronokan diluar kerana mereka beranggapan ibu bapa
mereka bukan tempat untuk mereka bermanja dan mengadu masalah.
Cuba kita perhatikan betapa besar
inpak atau kesan dari sangka buruk tadi. Pada awalnya kecil tapi kesannya
sangat dalam sehingga boleh menyebabkan pengabaian tanggungjawab di dalam
rumahtangga. Bagaimana nanti bila anda mati dan berada di hari perhitungan
Allah. Ya ibadah anda sempurna tetapi tanggungjawab terhadap keluarga tidak
sempurna disebabkan buruk sangka anda. Keputusannya, Allah memerintahkan diri
anda dihumbankan ke dalam neraka Allah disebabkan anda cuai sebagai ketua
keluarga. Nauzubillahiminzalik….
Tujuan perkahwinan untuk mencari
keseronokkan dan ketenteraman di dalam kehidupan. Orang berkahwin segala keperluan
hidupnya dipenuhi seperti kesempurnaan ibadah, seksual, memperolehi keturunan dan segala yang dapat dinikmati di dalam alam
berumahtangga. Kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Ihya' Ulumuddin,
terdapat lima tujuan pertama, dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini
tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat
berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka. Kedua,
menghilangkan tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu
di dalam ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina
faraj. Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang
akan membawa ke arah perkara-perkara yang haram. Ketiga, Membereskan
gangguan hati dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas,
membasuh dan lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk
urusan tersebut sahaja. Keempat, dengan pergaulan dan percampuran suami isteri
dapat menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini
akan mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan
ibadat. Kelima, dapat bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan
berumahtangga.