Kebanyakkan
manusia di luar sana tidak faham apa yang dikatakan takaful, ada sebahagian
mereka beranggapan bahawa takaful ini sama dengan insuran konvensional dan
hanya perlindungan semata-mata. Ada pula orang yang jahil tentang takaful
memberi hujah dan menyamakan takaful dengan insuran dan ia menjadi haram kerana
ia terlibat dengan riba, perjudian dan sebagainya. Banyak lagi andaian yang
dibuat oleh mereka yang jahil, habis semua ulamak atau pakar-pakar ekonomi
Islam dianggap bersyubahat dan berdusta untuk mencari keuntungan dunia. Persoalan
saya, orang yang buat komen dengan pakar ekonomi Islam mana yang lebih berilmu
dan alim. Sudah tentu pakar ekonomi Islam yang tahu kaedah mengeluarkan hukum
bagi masalah-masalah baru yang timbul pada zaman sekarang.
Umat Islam
dikelilingi dengan Hutang
Boleh dikatakan
90% umat Islam Malaysia terlibat dengan pelbagai hutang, di antara hutang yang
dimaksudkan ialah hutang rumah, kereta, peribadi dan sebagainya. Memang semasa
kita mengambil loan atau pembiayaan peribadi diwajibkan kita mengambil takaful
sekali untuk melangsaikan segala hutang yang ada apabila berlaku kematian
kepada diri kita. Tapi bagaimana kalau berlaku penyakit dan lumpuh sebahagian
anggota badan kita? Takaful loan tidak cover kerana tidak berlaku kematian.
Setiap bulan kita dikehendaki membayar hutang, waktu itu juga kita kehilangan
pekerjaan, isteri pula tidak bekerja, kalau pun bekerja pendapatannya tidak
cukup untuk menampung kos rumahtangga dan rawatan kita apatah lagi hendak
membayar hutang. Dalam Islam membayar hutang adalah wajib seperti Sabda
Rasulullah SAW :
“Jiwa seorang
mukmin tergantung kerana hutangnya, sampai hutang itu dilunaskannya.” (Riwayat
At-Tirmidzi)
Lagi Sabda
Rasulullah SAW :
"Demi yang
jiwaku ada ditanganNya, seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan Allah,
kemudian dihidupkan lagi, lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada
hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan."
(Riwayat Ahmad)
Bagaimana baik
sekalipun seseorang yang berhutang, ia tidak di masukkan ke dalam syurga Allah
sehingga hutangnya dapat dilunaskan. Ibadahnya kuat sentiasa Qiyamullail dan
peribadinya soleh, tetapi disebabkan hutang ia masih tergantung dan segala
amalannya disedut bagi melangsaikan hutangnya. Cuba kita bayangkan kalau hutang
kita sebanyak RM 10.000.00 ibadah kita apabila ditimbang sebanyak 100 pahala,
habis semua disedut bagi membayar hutang yang ada, hutang masih berbaki dan
amalan kita habis disedut, mati juga tetap masuk di dalam neraka Allah sebab
banyak dosa yang telah kita lakukan di dunia.
Nafkah
Keluarga
Setiap orang
mempunyai amanah dan tanggungjawab bagi memberikan nafkah kepada keluarganya.
Memberikan perlindungan, pakaian, pendidikan, makan minum dan sebagainya. Jika
kita gagal memberikan nafkah, bererti kita sudah mengabaikan amanah Allah.
Firman Allah yang bermaksud :
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua
tahun genap Iaitu bagi orang Yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara
Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan
juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga
menanggung kewajipan Yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya
(suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah
(melakukannya). dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang
lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) Yang kamu
mahu beri itu Dengan cara Yang patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta
ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua Yang kamu
lakukan”. (Al-Baqarah : 233)
Berdasarkan
dalil Al-Quran ini, wajib kepada ketua keluarga menyediakan nafkah atau
perbelanjaan kepada isteri dan anak-anaknya. Bagaimana kalau berlaku kematian,
lumpuh, penyakit keritikal? Sudah pasti waktu ini kita tidak boleh bekerja,
mungkin kita akan diberhentikan kerja. Pekerja swasta mungkin dalam masa tiga
bulan selepas mengalami musibah. Penjawat Awam mungkin dalam masa setahun, jika
perkhidmatan kita melebihi 20 tahun, bolehlah kita dapat pencen separuh gaji (kalau
tak silap saya).
Semasa itu
juga anak-anak bersekolah dan ada yang telah melanjutkan pengajian ke peringkat
universiti. Kos pengajian makin meningkat, kos sara hidup makin meningkat, duit
simpanan hanya ada sedikit sahaja sekitar RM 50.000.00 ke bawah. Hutang pula
banyak dan perlu dilunaskan, mungkin isteri kita pada waktu itu
bertanggungjawab untuk membayar hutang kita. Banyak lagi bebanan dan
penderitaan yang perlu ditanggung oleh ahli keluarga kita.
Cuba anda
bayangkan, kalau situasi ini semua berlaku kepada keluarga anda, waktu itu baru
anda terpikir dan semasa itu rungsing memikirkan pendapatan keluarga, emosi
makin meningkat dan pada masa itu juga anak-anak terpaksa bekerja dan mungkin
ada yang berhenti dari sekolah untuk bekerja membantu isteri kita mencari duit
bagi menampung kos rumahtangga. Waktu itu juga syaitan memainkan peranan
menghasut kita perkara yang bukan-bukan seperti “isteri kerja sehingga lewat
malam, mungkin ada lelaki lain”. Keluarga mertua menghasut isteri kita supaya
mohon pasah dan banyak lagi kemungkinan yang akan berlaku.
Harta Dan
Wang Simpanan
Apabila berlaku
kematian segala harta dan akaun simpanan kita akan dibekukan oleh pihak yang
berwajib seperti pihak bank dan sebagainya. Ahli keluarga kita tidak boleh
mengeluarkan dan menjual satu pun harta peninggalan kita. Boleh kita keluarkan
atau jual harta kita setelah selesai urusan mengagihan harta. Saya difahamkan
masa pengurusan tersebut sekurang-kurangnya enam bulan dan boleh jadi lewat
lagi dari masa tersebut. Ketika itu ahli keluarga kita terpaksa berhutang
dengan bank dan sebagainya bagi menampung kos sara hidup dan kos pengebumian
kita.
Wang
simpanan tidak banyak, yang ada hanya cukup untuk anak sekolah sahaja. Untuk
kos keluarga isteri perlu bekerja. Apa sahaja kerja yang ada terpaksa isteri
terima walaupun bergaji rendah bawah dari RM 1000.00. Wang simpanan kita pada
waktu itu juga dibekukan oleh pihak bank kerana ia menjadi harta pusaka. Tidak
malukah kita kepada keluarga mertua dan Allah SWT di atas sikap tidak bertanggungjawab
kita kepada keluarga. Semasa waktu akad nikah, semuanya kita janji akan
memberikan kesenangan dan tidak akan menyusahkan ahli keluarga kita. Disebabkan
pengabaian kita, pelajaran anak tidak menentu, murung dan terpaksa sibukkan
diri mencari kerja sambilan bagi menampung kos pengajiannya. Pelajarannya makin
merosot, sekolah rajin cuti, bila datang sekolah sering tidur di dalam kelas
disebabkan penat melakukan pekerjaan sambilan.
Simpan
Emas, perlu kita ingat.. zaman sekarang dunia berurusan dengan mata wang
kertas, bukan lagi dengan nilaian emas. Jadi mahu tidak mahu, emas itu perlu
dicairkan menjadi nilaian wang kertas. Semasa hendak menjual emas, pihak bank
atau kedai emas mempunyai cas dan nilaiannya menjadi susut sebanyak 12% dari
harga emas semasa. Kenalah waktu itu, baru kita beli atau nilaian emas susut.
Maka sudah tentu kita menjadi rugi…
Kewajipan
Mengambil Takaful
Berpandukan
hujah di atas, maka perlulah kita mengambil takaful mengikut keperluan semasa,
bukan ambil ikut nafsu. Kebanyakkan orang sekarang ambil takaful mengikut
nafsu, semua manfaat hendak diambil olehnya. Bila banyak manfaat kita ambil,
kos caruman juga makin tinggi dan bukan semua manfaat kita gunakan sehingga
tamatnya kontrak. Jadi di situ kita telah rugi, duit kita habis begitu sahaja.
Sebelum ambil wajib kita fahami dahulu, jika tidak faham takut ia menjadi
fitnah dan akadnya menjadi tidak sah. Sebab itulah setiap agen perlu pakar dan
perlu dalami betul-betul asas takaful dalam muamalah Islam. Bukan main jual sahaja
untuk mendapatkan komisyen dan target tahunan.
Ini sering
terjadi kepada para agen (wakil) takaful hanya pandai membicarakan polisi
sahaja dan tidak mendalami konsep asas di dalam takaful tersebut. Sebab itulah
ramai di luar sana hanya tahu polisi sahaja tetapi tidak tahu mana yang lebih
penting dan mana yang tidak penting. Kadang-kadang orang yang ada takaful pun
tidak tahu apa yang dia ambil. Bila Tanya ada takaful? Beliau jawab ada, Macam
mana cover dia? Entah tidak tahu tetapi ada simpanan. Hal inilah yang
menyebabkan mereka yang menjadi ahli takaful apabila polisinya matang (habis
kontrak) terkejut duit yang dapat balik hanya sedikit bukan semua dari apa yang
mereka bayar. Dari sinilah mereka menuduh takaful bohong dan sama dengan
insuran, tidak perlu ada pun tak apa sebab semuanya bohong belaka. Sebenarnya
bukan operator takaful yang bohong, tetapi agen yang menjualnya berbohong dan
tidak menceritakan perkara yang sebenarnya, kerana takut orang tidak mengambil
takaful.
Jadi
rumusan yang dapat diambil, takaful yang dijual oleh para agen diluar sana
tidak menepati hukum muamalat yang telah ditetapkan seperti rukun jual beli
yang terdiri daripada penjual, pembeli, barang yang dibeli dan akad. Semua ini
mesti berlaku dengan jelas dan tidak ada perkara yang terselindung, bila ada
akat jual beli itu tidak terlaksana, maka jual beli itu menjadi haram. Cara
menpromosikan takaful tidak boleh sama dengan menjual insuran konvensional,
kerana dia boleh mengundang fitnah seperti yang ada di lapangan sekarang. Agen
itu perlu memperjelaskan satu persatu dari pada asas takaful, keperluan
mengambilnya, komitmen orang (hutang, nafkah), kemudian tunjukkan ilustrasi
kepada klien agar ia jelas dan terang apa yang dia ambil. Tidak boleh ada
konsep paksaan, jika prospek tidak mahu, anda tidak boleh memaksa dan hanya
boleh ingatkan dia tentang keperluannya sahaja seperti konsep
berusaha,bertawakal dan berdoa. Kalau semua ini cantik penerangannya, maka
sudah pasti ia tidak boleh mengundang fitnah seperti yang ada sekarang iaitu
“takaful dan insuran sama sahaja.”
Lihat Sambungan siri 2, Klik Di Sini