Ust. Apa patut
kita lakukan untuk hati yang hiba, harap penjelasan ust untuk selesaikan masalah saya ini.
Jawapan
Setiap manusia
yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi agar manusia boleh
menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin. Emosi perlu dikawal oleh akal
dan akal pula perlu dikawal oleh iman. Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri
manusia, maka sudah pasti ia akan menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung
kepada cara individu tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan
dan sentiasa berada dalam keadaan normal. Emosi yang hanya berpandukan kepada
akal semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam.
Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang sanggup
membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang sanggup membunuh
atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah. Tetapi apabila ia dikawal
oleh akal dan iman sudah tentu orang yang sedih akan pasrah kerana ia tahu
bahawa itu adalah ketentuan Allah dan setiap perkara itu ada hikmah
disebaliknya.
Hati yang hiba
tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi yang telah
dianugerahkan kepada manusia. Caranya untuk mengawal hati yang hiba ini ialah
kembali kepada Islam seperti yang saya tegaskan di atas. Islam mempunyai
penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani
atau jasmani. Hal ini sangat berbeza dengan agama-agama yang lain kerana mereka
tidak ada asas pembinaan rohani kepada setiap umat mereka.
Membaca
Al-Quran
Al-Quran adalah
ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi menghilangkan perasaan hiba dan
segala penyakit hati dan jasad. Setiap orang yang membaca Al-Quran akan menjadi
tenang dan Allah akan memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang
dihadapi olehnya. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan
Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci yang menjadi
ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan
(sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan
keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra : 82)
Seorang lelaki datang
berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan berkata “Wahai Ibnu Mas’ud
nasihatilah aku dan berilah penawar untuk jiwaku yang gelisah ini, aku tidak
tenteram, jiwa gelisah dan fikiran aku bercelaru. Ibnu Mas’ud menjawab “kalau
begitu bacalah Al-Quran atau engkau mendengar orang membaca Al-Quran.
Mengunjungi
Tempat Pengajian
Mengunjungi
tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa agar mengenali dan
sentiasa mengingati Allah. Tidak rugi orang yang sentiasa mengunjungi tempat
pengajian, kerana di dalam pengajian tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu,
ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita
agar sentiasa bertindak mengikuti kehendak Allah dan tidak menyalahi syarak.
Menuntut ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan
ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.
Telah Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, karena mempelajari
ilmu merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah ibadah
dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.
Jelas di sini,
orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu,
seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir kepada Allah. Segala kepayahan,
kesukaran dan kesedihan yang dihadapi olehnya akan terubat dan ia tahu
bagaimana untuk bertindak sesuai dengan tuntutan Islam. Ini berbeza dengan
orang yang tidak menuntut ilmu, kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam
tindakan mereka dan kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara
sebegini sangat bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.
Sentiasa
Berzikir
Untuk
menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka hendaklah ia
sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini berlaku apabila hati
seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang terlupa memerlukan suatu kaedah
yang rohaniah dan tidak boleh menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik.
Zikir adalah ubat yang sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang
yang selalu berzikir.
Jika ia
berjalan tersepak batu mulutnya terus menyebut “Allah Akbar”, setelah
kekenyangan dia menyebut “Alhamdulillah”, apabila ia terperanjat atau melihat
sesuatu yang menakjubkan dia menyebut “Subhanallah”. Inilah yang dikatakan
orang yang memiliki hati yang hidup dan sentiasa mengingati Allah. Firman Allah
yang bermaksud :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Rad : 28)
Mengerjakan Solat
Solat merupakan ibadah
yang paling penting di dalam Islam, tanpa mendirikan solat! ibadah lain juga
turut ditolak. Jadi kita sebagai umat Islam, jangan sesekali mensia-siakan
amanah yang diperintahkan Allah ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk
dengan tugasan harian, namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis
Nabi yang bermaksud :
“Solat itu
tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan
sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (Riwayat Baihaqi)
Berkata Dr.
Musfir Bin Said Az-Zahrani bahawa solat adalah satu nama yang menunjukkan
adanya ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, hamba seolah
berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh kekhusyukannya memohon banyak hal
kepadaNya. Perasaan ini akhirnya boleh menimbulkan adanya kejernihan spiritual,
ketenangan hati dan keamanan diri di kala ia mengerahkan semua emosi dan
anggota tubuhnya mengarahkan kepadaNya dengan meninggalkan semua kesibukkan
dunia dan permasalahannya. Pada saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan
Tuhannya tanpa ada interaksi dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia
merasakan ketenangan dan akalnya pun seolah menemukan waktu rehatnya.
Jelas di sini,
bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh mengubati jiwa seseorang
yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa mendirikan solat, seseorang itu harus
mengosongkan jiwa dan raganya untuk member sepenuh tumpuan kepada Allah. Segala
yang berlaku sebelum solat telah diredhokannya kerana ia hendak memfokuskan
seluruh hatinya kepada solat dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah.
Secara tidak langsung, kita tidak mempunyai perasaan iri hati dan dendam kepada
sesiapa yang melakukan masalah kepada kita kerana telah redho kepada ketentuan
dan ketetapan Allah. Dua perkara yang dapat kita hindar setelah menunaikan
solat iaitu perasaan hiba atau kecewa dan perasaan ingin melakukan kejahatan
yang jelas dilarang oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Al-Ankabut : 45)
Amat rugi bagi
orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa ada semangat untuk
melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang diajarkan oleh Baginda
Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna diibaratkan seperti kain buruk dan
kain itu akan dicampakkan oleh Allah ke muka kita apabila dihari perhitungan
nanti.
Bersangka
Baik Kepada Orang
Salah satu sifat yang
disarankan oleh Islam ialah bersangka baik kepada orang lain (husnuzon) dan ia
adalah salah satu dari sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca
timbulnya rasa tidak tenang kepada orang
lain adalah kerana kita mempunyai perasangka yang tidak baik kepada orang lain
sehingga menyebabkan hubungan kita dengan orang tersebut tidak selesa. Firman
Allah yang bermaksud :
“Wahai
orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan
itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh
itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada
Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Hujurat : 12)
Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri kita dan
orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk menerima orang lain
di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak mempunyai apa-apa pertalian
darah darinya. Walaupun begitu, dia menganggap orang lain seperti saudaranya
yang dekat dan sentiasa mudah untuk membantu dan menjalinkan hubungan sosial
dengan orang lain. Malah inilah perkara yang dianjurkan oleh Islam, kerana
setiap umat Islam itu adalah bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan
kiri juga turut merasai kesakitannya.
Selain dari itu, hubungan persaudaraan sesama Islam menjadi lebih baik
dan lebih inteam di antara satu sama lain. Ini berlaku adalah disebabkan oleh
perasaan yang bebas dan hati yang terbuka dari sebarang sikap dan sifat yang
buruk terhadap saudaranya yang lain. Segala kesalahan dan teguran dari orang
lain akan dinilai olehnya dengan positif, jika teguran itu baik menuruti lunas-lunas
undang-undang Islam akan diterimanya dengan tenang. Manakala yang tidak
menepati kehendak Islam akan ditolaknya dengan alasan yang baik dan terbuka.
Sekiranya orang lain melakukan kesalahan kepadanya seperti mencerca dan
menyakiti hatinya, ia akan segera memaafkan orang tersebut dan diubati
kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.
Penutup
Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh
mengubati perasaan yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati
dengan ubat, ia mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di
dalam agama Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani
dan merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang berlaku
kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai kaedah yang
tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada pada manusia. Selain
itu, segala ibadah yang dilakukan dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah
dan menjadikan kita seorang hamba yang baik dan soleh. Hal ini semua boleh
diperolehi, jika segala ibadah dilakukan dengan sebaik yang mungkin seperti
ikhlas dan tanpa ada apa-apa perasaan sebaliknya.



