Sejak akhir-akhir ini sering telinga kita didendangkan
dengan hudud, ada yang menghina dan ada yang menyokong. Hati saya berbisik dan
bertanya “ehs… tak takut ka depa nie dengan Allah, cakap sesuka hati perut depa
je. Semua benda nak ikut logik akal tanpa didinding dengan dalil Al-Quran dan
hadis. Tak takut ke akidah tu rosak, tak takut ke azab Allah.” Beginilah
jadinya apabila hujah tidak disandarkan kepada dalil Al-Quran, hadis dan hujah
ulamak. Tiada manusia yang tidak perlukan sandaran atau pedoman kerana ia pasti
akan terpesong. Di jalan raya juga ada papan tanda penunjuk arah, di pasaraya
atau mana-mana tempat ada penunjuk arah untuk ke tandas, surau, tempat makan
atau sebagainya. Logiknya manusia tidak boleh terlepas dari perlembagaan yang
digubal oleh Allah iaitu Al-Quran dan hadis. Bila datang daripada Allah, maka
pasti kita sebagai hamba wajib menurutinya walaupun perintah tersebut tidak
menepati logik akal kita.
Saya kurang risau apabila orang bukan Islam memberikan
komen yang negatif tentang hudud, sebab mereka jelas-jelas tidak percaya
tentang ketauhidan Allah, tidak yakin dengan Al-Quran dan hadis dan jelas
mereka menolak ajaran Islam itu secara mentah-mentah kerana mereka bukan Islam.
Apabila di hari perhitungan nanti mereka tetap juga akan dicampakkan ke dalam
neraka Allah dulu, kini dan selamanya. Firman Allah yang bermaksud :
“Engkau
melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat
mereka. Demi Sesungguhnya amatlah buruknya apa Yang mereka sediakan bagi diri
mereka (pada hari akhirat kelak) Iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan
mereka pula tetap kekal di Dalam azab (neraka).” (Al-Maidah : 80)
Janganlah disebabkan mulut yang celupar
mengeluarkan komen yang bukan-bukan tentang hukum Allah dapat mengundangkan
kemurkaan Allah. Sangat malang bagi mereka yang biadap kepada Allah, kerana
hidup mereka tidak akan memperolehi keamanan di dunia dan di akhirat. Kalau pun
mereka rasa senang di dunia disebabkan harta yang melimpah ruah serta
kekuasaan, maka ingatlah itu adalah balasan Allah untuk mereka yang derhaka
agar mereka memperolehi sebanyak mungkin kenikmatan dunia agar mereka lupa akan
perintah dan larangan Allah. Makin lama hidup di dunia, semakin banyaklah dosa
yang mereka lakukan. Apabila di hari perhitungan nanti, Allah akan siksa mereka
dengan siksaan yang pedih dan dahsyat. Ketika itu tiada siapa yang mampu
menolong mereka, masa itu juga mereka memekik dan berteriak kesakitan akan azab
Allah. Kemudian mereka merayu kepada Allah supaya dikembalikan mereka ke dunia
untuk melaksanakan segala suruhan dan perintah Allah, tetapi jawapan Allah
disebalik apa yang mereka harapkan.
Jadi jelas, kalau diri itu tidak mempunyai
ilmu yang berkaitan dengan syariat Islam, maka janganlah memberikan komen,
kerana komen tersebut boleh mengundang padah. Alangkah cantiknya hal-hal yang
berkaitan dengan agama diserahkan kepada orang yang lebih tahu untuk memberikan
ulasan dan pandangan. Inilah baru dinamakan disiplin ilmu. Contoh saya berikan
di sini kalau kita sakit, mesti kita rujuk kepada doktor, bukan rujuk kepada
pomen kereta. Sebab doktor lebih layak untuk memberikan perkhidmatan di atas
kesakitan yang kita alamami. Tidak ada alasan lagi bagi semua manusia,
permasalahan agama mestilah dirujuk kepada orang yang alim tentang agama. Firman
Allah yang bermaksud :
“Bertanyalah kamu (Wahai golongan
musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak
mengetahui.”
(An-Nahl : 43)
Menjadi masalah apabila orang agama
merahsiakan perkara kebenaran, mereka sanggup menjual agama semata-mata kerana
duit, harta pangkat dan perut sahaja. Mereka ini dikenali sebagai ulamak suk
(jahat). Walaupun jelas perkara tersebut jahat dan bercanggah dengan Islam,
mereka boleh memusing hujah-hujah tersebut dengan bersandarkan kepada dalil
Al-Quran dan Hadis sehingga menjadikan perkara yang bertentangan dengan Islam
itu menjadi betul. Contoh yang dapat kita lihat, ada seorang tokoh agama bergelar
Doktor Falsafah dan sekarang bergelar senator mengeluarkan hujah bahawa “hukum hudud
tidak lagi relaven pada zaman sekarang, kerana ia sudah kuno.” Banyak lagi hujah
cacian dan pandangan yang tidak betul diberikan oleh beliau. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud :
“Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha
Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka
tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat.” (Riwayat Abu Daud)
Sedarkah kita, menghina atau
mempersendakan hukum Allah boleh menyebabkan iman menjadi rosak, erti kata lain
terkeluar dari Islam atau murtad. Segala amalan ibadah kebaikan dan pahala yang
dibuat selama hidup di dunia ini dihapuskan oleh Allah dan dikekalkan sahaja
perbuatan kejahatan dan dosa yang telah mereka lakukan selama ini.
Kepada sesiapa yang sering berhujah dengan
mengatakan begitu dan begini tentang hukum Allah hanya berbekalkan logik akal
dan nafsu semata-mata, maka cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah, beristiqfar,
bersyahadah dan kembali ke pangkal jalan kerana pintu taubat masih terbuka
kepada sesiapa yang insaf dan kembali kepangkuan Islam yang sebenar. Bagi mereka
yang tidak mahu bertaubat walaupun diberikan nasihat, apabila sampai ke suatu
tahap dia boleh ditahan dan boleh dihukum bunuh (rujuk kepada kitab fiqh bab
jenayah).
Ada orang kata “kami tidak terlibat
dengan mereka yang menghina hukum Allah, tetapi kami hanya menyokong sahaja”. Jawapan
daripada saya, sokong diibarat bersubahat dan mereka ini akan menerima saham
dari segala kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh orang yang menghina hukum Allah.
Jadi berhati-hatilah sebelum menyokong mana-mana individu, jangan disebabkan
dia, kita yang menyokong dihumban ke dalam neraka Allah.
Jangan dijadikan soal politik itu ke
hadapan, jadikan Islam itu dihadapan, kerana politik itu tidak menjamin syurga
kepada kita. Boleh dijamin syurga apabila sesuatu politik itu menjadikan Islam
sebagai teras atau perlembagaannya. Setiap apa yang ada di dalam Al-Quran dan
Hadis dilaksanakannya tanpa ada apa-apa bantahan. Maka ini barulah dinamakan “dengar
dan taat”. Jika kita tidak memihak ke mana-mana badan politik, maka lebih baik
kita berdiam dan jangan mengeluarkan apa-apa komen yang berkaitan hukum Allah. Takut
nanti komen kita jadi tidak betul, tak pasal-pasal sesat dan menghina hukum
Allah. Awas sebelum berkata-kata…



