PINDAH WEBSITE BARU

Salam bahagia kepada semua pengunjung blog ini, semoga anda semua berada di bawah naungan Allah SWT. Untuk Pengetahuan semua blog Ustaz Nor Amin ini telah berpindah ke website baru bermula awal bulan Februari 2014. Jadi segala artikel dan maklumat baru diupdate di sana.


Jom Ziarah Web baru ustaz

Klik Sini

Smart Hijrah

Sunday, November 10, 2013

Jangan Salahkan Mereka Yang Tidak Menyokong


Alhamdulillah Allah SWT telah menggerakkan hati ini untuk menghasilkan satu artikel yang dituju khas buat diri sendiri dan kepada semua insan yang bergelar pejuang yang ingin menegakkan Agama Allah SWT di muka bumi ini. Memang mudah untuk mendapat gelaran pejuang, mujahidin, ustaz atau ustazah, mungkin pengiktirafan ini dapat melalui syahadah diniyyah atau terjebak dalam pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai latar belakang perjuangan Islam. pernahkah terdetik di hati kita bahawa gelaran yang dibawa ini bersesuaian atau tidak dengan watak yang sebenar, adakah ia semata-mata toping atau hanya gelaran biasa-biasa sahaja?

Sebab itulah telinga kita sering dihidangkan dengan kata-kata “alah..nama saja ustaz, tetapi perangai teruk” atau “pejuang Islam apanya, sombong nak mampus..lalu tepi orang pun tak tegur, mentang-mentanglah kita ni tak sokong mereka yang bawakan Islam.” Memang sesiapapun akan marah dengan herdikan seperti ini. Cara yang baik untuk mengatasi masalah ini ialah jangan kita dahulukan sifat marah itu, tetapi dahulukanlah dengan muhasabah diri. Kenapa mereka mengeluarkan kata-kata sebegini kepada mereka yang menyampaikan seruan dakwah? Jawapan dari saya ada dua, pertama mungkin mereka tidak mahu kepada Islam dan menganggap orang yang membawa Islam ini adalah pengacau untuk bersuka ria. Kedua mungkin kerana perangai orang yang membawa Islam itu tidak mencerminkan keperibadian Islam yang sebenar seperti mana yang diajarkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Kadang-kadang sampai ada pulau memulau, tidak bertegur sapa sesama adik-beradik dan jiran tetangga. Semua ini berlaku sebab latar belakang politik berbeza, satu pihak menyokong Islam dan satu pihak lagi pula menyokong semangat nasionalisme. persoalannya di sini sampai bila kita hendak memulau dan bermasam muka dengan mereka yang tidak mahu kepada Islam ini. Pernahkan kita cuba untuk memberi penerangan kepada mereka agar mereka faham dengan kewajipan menegakkan hukum Allah SWT. sekiranya pernah berapa kali kita berbuat demikian? Kalau jawapannya beberapa kali, maka itu belum cukup lagi dan sempurna lagi dakwah yang diberikan kepada mereka ini. Proses dakwah memerlukan masa yang panjang, boleh jadi 10 tahun, 20 tahun, 2 minggu, 2 hari atau bila-bila masa sahaja. Mengerjakan dakwah memerlukan manhaj yang betul dan tepat pada tempatnya. Paling penting sekali dalam usaha ini ialah keikhlasan menyampaikan dakwah.

Pendekatan dengan politik tidak membuahkan hasil dan awal-awal lagi sudah ditolak, maka gunakanlah pendekatan yang lain untuk mendekatkan mereka dengan Islam, boleh jadi dengan pengajian-pengajian umum, ceramah agama yang tidak menyentuh mana-mana pertubuhan politik. Topik yang disampaikan juga perlu dimudahkan dan berperingkat-peringkat untuk mereka yang belum faham atau hendak berjinak-jinak dengan Islam. Antara tajuk yang boleh digunakan seperti kasih sayang sesama manusia, akhlak, akidah, ibadah atau muamalah yang tidak menyentuh perkara yang sensitif. Apabila mereka sudah lama dan bersedia untuk menerima perkara yang lebih berat, maka barulah kita masuk soal-soal perundangan Islam dan kewajipan menyokong orang yang ingin menegakkan Islam. waktu ini mereka sendiri akan lebih faham akan kewajipan mereka dan tindakan yang sepatutnya dibuat oleh mereka sebagai seorang hamba Allah yang beriman.

Buktinya dapat kita lihat sendiri dengan dakwah yang dijalankan oleh Baginda Rasulullah SAW semasa mula-mula menjalankan dakwah. Pertamanya Rasulullah SAW berdakwah secara bersembunyi di rumah al-Arqam Abu Arqam. Antara isi-isi dakwah yang disampaikan Nabi SAW pada ketika itu ialah akidah, akhlak dan persaudaraan sesama Islam. apabila tiba masa yang sesuai, barulah Rasulullah keluar berdakwah secara terbuka dengan mengajak umat manusia mentauhidkan Allah dan hubungan persaudaraan sesama Islam. Kemudian secara berperingkat-peringkat diharamkan perkara-perkara yang merosakkan seperti arak dan sebagainya.

Rasulullah SAW juga menolak mereka yang benar-benar menentang Islam seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Walaupun begitu Rasulullah terbuka untuk mereka yang ingin memeluk agama Islam. Buktinya seperti Sayidina Khalid Al-Walid RA yang pernah menumpaskan tentera Islam di dalam peperangan Uhud. Kemudian Rasulullah menerima pengislaman Hindon yang menjadi dalang pembunuhan Sayidina Hamzah dengan membelah dada, memotong hati dan digigit olehnya demi melepaskan geramnya terhadap Hamzah yang membunuh suaminya ketika peperangan Badar dahulu.

Pendekatan qudwah hasanah juga boleh diterapkan dalam hidup kita yang bergelar pejuang Islam agar masyarakat tertarik dengan akhlak dan budi pekerti yang ditunjukkan. Contoh teladan yang baik ini sebenarnya lebih mujarab berbanding dengan lisan yang digunakan. Sebabnya ia tidak menyakiti hati sesiapa dan tidak menyentuh perkara yang sensitiviti seseorang. Dakwah dengan perilaku yang baik ini lebih mudah dibawa dan lebih mudah disampaikan kepada masyarakat dengan hanya dipraktikkan dan diamalkan. Ada kalanya masyarakat menolak kita yang membawa Islam adalah disebabkan tingkah laku. Senyuman pun diambil kira oleh masyarakat kepada kita yang bergelar pendakwah ini. Jadi jagalah tingkah laku kita walaupun perbuatan itu kecil sahaja di sisi kita tetapi besar nilainya di sisi masyarakat.

Pendekatan dakwah fardiah juga sangat baik kerana dakwah fardiah ini langsung terus kepada individu-individu yang dipilih oleh pendakwah. Cuma dakwah fardiah ini memerlukan masa yang panjang. Ia perlu dimulakan dengan perhubungan kawan-kawan, secara tidak langsung dimasukkan unsur-unsur Islam ke dalam sesi persahabatan. Memberikan bantuan kepada sahabat yang berada dalam kesempitan juga dikira sebagai dakwah fardiah.

Amat malang kepada mana-mana pertubuhan Islam yang memiliki ahli atau yang berjawatan mengalami masalah akhlak. Contoh seperti budi bahasa, masalah hutang, fikiran jumut, ekstrem atau terjebak dengan masalah Syiah yang jelas akidahnya menyimpang jauh dari Ahli Sunah Wal Jemaah yang diamalkan di negara ini. Sekiranya ada perlu cepat ditangani kerana aliran dan pemikiran seperti ini akan merosakkan sesebuah jemaah yang berlatar belakangkan Islam. kepercayaan masyarakat terhadap jemaah itu perlu dipelihara sebelum masyarakat hilang kepercayaan dan meninggalkan jemaah tersebut.

Untuk menyelesaikan masalah ini tidak lain dan tidak bukan hanya dengan jalan tarbiah sahaja yang boleh mengikis segala kekotoran hati yang ada pada ahli sesebuah jemaah. Tarbiah ini ada banyak caranya yang boleh diaplikasikan. Cara yang baik dan terbukti kejayaannya yang dipraktikkan Rasulullah dan Syeikh Syahid Imam Hassan al-Banna iaitu usrah atau ijtimak bersama ahli untuk memupuk semangat setia kawan, saling memahami, amanat pimpinan, taat pimpinan, membentuk akhlak Islamiah, melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Dengan adanya uslub seperti ini, perselisihan faham dan sifat-sifat yang tidak patut ada pada pejuang Islam itu dapat dihapuskan.

Bukan perkara yang mudah untuk menegakkan syariat Islam, memerlukan semangat jihad dan pengorbanan yang tinggi. Tanggungjawab dakwah itu perlu dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan cantik. Memang mesti ada masyarakat yang tolak usaha kita, tetapi itu bukan bererti usaha dakwah itu terputus begitu sahaja, mungkin boleh digunakan uslub yang lain untuk golongan seperti ini. Lihatlah Ikhwan Muslimin yang berdakwah lebih 60 tahun, baru Allah SWT anugerahkan mereka membentuk sebuah kerajaan yang demokratik dan menjadikan Islam itu sebagai asas perlembagaan negara, itu pun masih ditentang oleh mereka yang menolak Islam. Apatah lagi dengan kita yang masih jauh lagi perjalanan. Renung-renungkanlah wahai pembaca sekalian… 



1 comment :

  1. jinakkan masyarakat ke masjid, pasti kan berubah...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KOMEN PEMBACA

PENGIKUT BLOG