Wednesday, January 16, 2013

Lagi Analisis Amanat Presiden PAS Tahun 2003


Assalamualaikum…

Atas dasar permintaan daripada pembaca blog saya, saya berbesar hati untuk menganalisis dan membuat sedikit komen atau pandangan tentang amanat atau ucapan DS Haji Abdul Hadi tahun 2003. Antara ucapannya yang berbunyi :

“Justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syari’at menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud diperingkat Persekutuan. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan diperingkat Persekutuan!

Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, Barisan pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil diperingkat Persekutuan, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!”.

Sebelum saya memberikan pendangan tentang ucapan ini, saya telah membuat pemantauan beberapa buah blog. Kalau yang pihak lawan PAS punya segala komen berbentuk hujah politik dan memburukkan, seolahnya seperti kata pepatah “tembak betul-betul dahi”. Malangnya di sini mereka tidak lihat dari sudut dakwah, keadaan semasa dan Islam.

Contoh yang dapat diberikan di sini ialah kejayaan Ikhwan Muslimin memerintah Mesir dengan terlantiknya DR. Mursi sebagai Presiden Mesir. Ikhwan tidak meletakkan melaksanakan hukum jenayat Islam dan Negara Islam itu sebagai poin yang pertama dalam pentadbiran mereka, kerana mereka beranggapan bahawa masyarakat yang faham benar-benar Islam sekitar 30% sahaja. Buat masa ini mereka perlu mempergiatkan usaha-usaha tarbiah agar lebih ramai rakyat Mesir lebih memahami.

Apabila telah faham, maka mudah untuk melaksanakan hukum dan perundangan Islam tanpa ada ganguan dan salah faham. Walaupun begitu, masih ada juga masyarakat Mesir yang berfahaman Sekular membuat bantahan dan melebelkan bahawa ada unsur-unsur Islamisasi dalam pemerintahan Mesir. Hujah yang saya hendak sampaikan di sini ialah hendak buat kerja-kerja dakwah itu bukan perkara yang mudah, ia memerlukan kebijaksanaan yang tinggi dan memerlukan masa yang cukup panjang. Hal ini semua telah terbukti dalam sirah Rasulullah SAW semasa menyebarkan dakwah. 

Mungkin juga sebelum PAS membuat perubahan dalam dasarnya, mereka menggunakan konsep kekerasan dan tidak berkompromi dengan mana-mana melainkan untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Berdasarkan rekod yang lepas dan pertubuhan-pertubuhan Islam luar negara. Maka mereka mengambil sikap berlembut atau hikmah dalam merialisasikan penubuhan sebuah negara yang berlandaskan hukum syariat. Ini tidak boleh dijadikan hujah mengatakan bahawa PAS mengadaikan prinsipnya untuk menegakkan negara Islam.

Tetapi setelah kita menilai Negara demokratik yang berpaksikan kepada punggutan suara rakyat dan kebebasan untuk rakyat. Memang ada persamaan dengan ciri-ciri Negara Islam, kerana Islam bukan konsep kuku besi tetapi ia berkongsepkan Negara yang bebas untuk rakyat dan Negara yang memberikan hidayah untuk rakyat berlandaskan syiar Islam.

Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan diperingkat Persekutuan!”


Apa maksudnya perlembagaan Negara yang mengatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan? Secara logiknya Islam itu merujuk kepada semua yang diturunkan oleh Allah melalui Al-Quran dan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW melalui Hadisnya. Kita tidak perlu lihat yang besar-besar lagi, mari kita lihat syariat yang kecil-kecil ini dahulu seperti solat lima waktu, menutup aurat, pergaulan antara lelaki dan perempuan itupun belum beres. Jadi bagaimana mungkin kita hendak buat yang besar-besar. Maka sebab itulah perlukan proses tarbiah untuk memberikan kefahaman kepada seluruh masyarakat termasuk juga masyarakat bukan Islam. Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Hassan Al-Banna dan ia adalah salah satu usul 20 yang digariskan oleh beliau. 

Hujah saya ini bukan bermaksud saya menyokong DS Haji Abdul Hadi, tetapi bila dinilai apa yang salah. Perkara ini boleh kita faham dengan cara apabila kita faham akan konsep yang terdapat di dalam Islam. Timbul masalah apabila kita tidak faham agama, kalau begini lebih baik berdiam diri. Kerana berdiam diri itu lebih baik.

Apa bezanya dengan ucapannya pada tahun 1981 dengan ucapannya tahun 2003. Nak kata tidak menggadaikan Islam, tidak juga, Cuma ia gantikan Negara Islam itu dengan Negara Demokrasi yang jelas perinsip dan ciri-cirinya mempunyai persamaan dengan Negara Islam. Boleh kata perkataan berbeza tetap prinsip tetap sama dan tidak ada satupun gugur.

Nasihat saya jangan baca pandangan saya sahaja, anda semua boleh juga lihat hujah-hujah yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama yang lain seperti PM Dr. Asri Zainal Abidin dan banyak lagi. Saya juga akui bahawa setiap manusia tidak sepi dari melakukan kesalahan kerana kita ini manusia biasa dan bukan maksum seperti para nabi dan rasul. Jadi kalau anda dapati hujah saya ini salah dan ada hujah yang lebih relevan dan lebih positif, maka ambillah hujah mereka dan tinggalkan hujah saya ini. 



Tuesday, January 15, 2013

Analisis Ustaz Tentang Amanat Presiden PAS



Tergerak hati saya untuk mencari apa sebenarnya amanat DS Haji Abdul Hadi yang asli dan tulen, cari dan terus mencari, ada seorang sahabat saya saran “ustaz boleh tengok dalam blog PM Dr Asri Zainal Abidin ada amanat yang asli yang dibuat oleh DS Haji Abdul Hadi pada tahun 1981”. Waktu ini saya pun belum lahir lagi. Lama betul cerita ini baru panas dan hangat dibincangkan dalam media massa sekarang. Ini biasa dan lumrah dan menandakan bahawa pilihanraya umum sudah tidak lama lagi..

Seperti biasa saya menegaskan di sini, sebarang komen dan pandangan tidak ada kena mengena dengan mana-mana pertubuhan politik dan individu-individu terbabit. Semua huraian tentang amanat ini dibuat berdasarkan sedikit ilmu yang ada di dalam dada saya untuk santapan masyarakat awam yang terkiai-kiai mencari hujah yang sebenar.

Sebelum itu, saya datangkan dahulu amanat asal DS Haji Abdul Hadi yang berbunyi :

Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.

Analisis dari Amanat DS Haji Abdul Hadi

“Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.”

Sebagaimana kita semua maklum, DS Haji Abdul Hadi menyatakan bahawa pihak PAS menentang UMNO adalah disebabkan mereka mengekalkan perundangan penjajah dan tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai sumber utama dalam perlembagaan Negara. Jadi dimana yang dikatakan oleh media massa dan sebahagian tokoh politik yang mengatakan beliau mengkafirkan orang UMNO. Jelas bahawa tidak ada isu kafir mengkafir di sini.

“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.”

Mari lihat petikan amanat ini pula, bagi saya memang benar apa yang dikatakan oleh DS Haji Abdul Hadi bahawa usaha mereka adalah jihad dan bergantunglah kepada Allah. Perlu kita lihat pada maksud ayat ini yang mengarahkan bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk menegakkan Islam untuk semua lapisan masyarakat termasuk juga kepada orang bukan Islam. Keyakinan mereka membawa Islam, maka amat patut mereka bergantung dengan Allah kerana segala ketentuan dan ketetapan itu hanya datang daripada Allah bukan manusia dan fenomena alam. Lagi sekali kita dapat lihat tidak ada hujah yang mengkafirkan UMNO. Jadi datang dari mana dakwaan amanat DS Haji Abdul Hadi mengkafirkan UMNO. Ini persoalan yang belum terjawab…

“Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.”

Analisis yang terakhir dapat saya buat di sini ialah “Kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku dan agama suku”. Di sini jelas dan telah ditegaskan oleh Islam. Sekiranya seseorang menolak sebahagian hukum atau ajaran Islam secara tidak langsung ia menjadi kufur yang membawa maksud kafir (Terkeluar dari Islam). Buktinya dalam firman Allah :

 “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu, mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.” (An-Nisa : 150-151)

Berdasarkan kepada firman Allah di atas ini sudah ternyata bahawa orang yang menolak keseluruhan atau menerima sebahagian dan menolak sebahagian dianggap sebagai kufur dan diazab oleh Allah di dalam neraka Allah yang amat dahsyat. Bukti ini tidak ada pertikaian lagi kerana ia jelas daripada Allah SWT.

Lagi Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesudah itu maka Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Baqarah : 85)

Ayat di atas ini dijelaskan oleh Ibnu Abbas bahawa barangsiapa yang mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah, sesungguhnya dia telah kafir. Dan barangsiapa yang mengakuinya (keberadaan hukum) namun tidak berhukum dengannya, maka dia adalah zalim dan fasik.

Jadi hujah itu bukan bermaksud mengkafirkan UMNO seperti yang didakwa. Ia hanya teks dan ucapan yang umum dan semua orang maklum dengan maksudnya. Saranan daripada saya, berhentikanlah mainan politik yang kotor dan tidak berpaksikan kepada Islam, kerana ia amat merugikan kita semua. Kesian kepada orang awam yang tidak tahu apa-apa, takut-takut ia boleh menyesatkan akidah mereka. Ingat soal akidah bukan perkara yang boleh dipermainkan.

Mungkin hujah-hujah mengkafirkan orang datang daripada segelintir ahli-ahli atau ustaz-ustaz PAS, ada juga ahli UMNO mengkafirkan PAS dan menganggap PAS menjual agama disebabkan bekerjasama dengan DAP atau dikenali sebagai Tahalluf As-Siasiah. Sebagai tindakan yang baik dan digalakkan oleh Islam jangan cepat menuding jari dan sering-seringlah memberikan peringatan atau dakwah demi memberikan kefahaman Islam kepada orang yang dianggap bersalah dan melanggar syariat Islam. InsyaAllah mungkin suatu hari nanti diberikan hidayah daripada Allah untuk mereka menerima Islam yang syumul.

Lagipun kesalahan ahli sebegini sering berlaku dalam mana-mana pertubuhan atau jemaah, amat tidak elok kalau kita menuding jari dan menuduh itu datang dari pertubuhan tersebut. Bersikap terbuka dan jaga mulut kita, jangan disebabkan mulut berlaku fitnah kepada sesebuah jemaah. Fitnah yang berlaku lebih dahsyat dari dosa seorang anak berzina dengan ibu kandungnya sendiri.




Friday, January 11, 2013

Kalimah Allah Pun Modal Politik




Asalamualaikum ustaz, disini saya ada pertanyaan tanpa bersifat politik dan komen dari ustaz tidak akan saya terbitkan ke mana mana penerbitan. Apakah hukumnya orang kafir menggunakan kalimah Allah? Saya harap ustaz dapat membantu saya disebabkan saya berasa keliru

Jawapan

Sebenarnya Allah itu untuk semua, pada asasnya ia tidak menjadi masalah penggunaan nama Allah itu, hal ini juga dibuktikan di dalam firman Allah "Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian Alam". Maksudnya Allah itu bukan dihadkan kepada umat Islam sahaja tetapi untuk semua makhluk yang dijadikan olehnya.

Cuma di sini kita tengok kepada keadaan semasa, kebanyakkan umat Islam sekarang tidak benar-benar mendalami ilmu Islam itu sendiri, malah dalam hal-hal yang remeh juga gagal difahami oleh umat Islam dengan baik. Sebab itulah berlaku pergaduhan dan pertikaian dalam masalah-masalah yang remeh seperti membid'ahkan dan mengkafirkan orang lain.

Untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dan salah faham, maka ada sebahagian ulamak mengeluarkan pendapat penggunaan kalimah Allah kurang tepat digunakan oleh orang bukan Islam, kerana ia boleh mengundang salah faham di kalangan umat Islam seperti yang ada sekarang.

Perkara ini menjadi besar dan malang lagi apabila pandangan dan hujah itu dikeluarkan atas dasar politik dan kepentingan masing-masing. Sepatutnya kita kena biarkan ulamak yang berfatwa dan menangani masalah ini. Jangan mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak yang bertanggungjawab seperti majlis fatwa atau orang yang pakar dalam bidang agama.


Boleh kita berhujah dengan syarat positifkan keadaan dan elakkan dari menyalahkan orang lain, kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada kita dan ia lebih memeningkan kepala masyarakat yang mencari jawapan-jawapan yang tepat mengikut lunas-lunas agama. 

Lagipun kita kena ingat sekarang ni musim politik, jadi mereka tak hairan lagi sama ada soal agama ataupun tidak. paling penting adalah modal untuk menghentam antara satu sama lain.

Kesimpulannya..Pada asas tidak menjadi masalah kerana Allah itu untuk semua. cuma dari keadaan masyarakat dan masa tidak mengizinkan kerana ia boleh mengundang kekeliruan dikalangan masyarakat. takut-takut murtad berleluasa dan makin menjadi-jadi.



Thursday, January 10, 2013

Tidak Cukup Bertaubat Sahaja


Assalamualaikum W.b.t ustaz,

Di sini ada satu permasalahan yang ingin saya menanyakan ustaz. Ada seorang hamba Allah dahulunya jahil dan suka menurut hawa nafsu kerana mungkin masih muda. Beliau telah melanujtkan pelajaran dengan menggunakan sumber yang was-was. Setelah mendapat sijil tersebut, beliau telah memperolehi pekerjaan. Apakah hukum gaji yang diperolehinya? Untuk pengetahuan ustaz, sejak akhir-akhir ini, pemikirannya beliau sentiasa terganggu kerana apabila mengerjakan solat, ada suatu perasaan yang menganggu solatnya. Adakah kerana itu hidayah Allah, atau syaitan ingin menganggu penghijrahan beliau? Bagaimana hendak menyucikan harta/ gaji beliau tersebut? Adakah beliau terpaksa memberi semua hartanya kepada baitulmal atau banyakkan bersedekah? Dan selepas melakukan semuanya, adakah beliau boleh menggunakan sijil tersebut lagi untuk mencari pekerjaan?

Mohon penjelasan ustaz..Terima Kasih

Jawapan

Alhamdulillah saya ucapkan tahniah kepadanya kerana sudah berhijrah ke jalan yang benar dan diredhoi Allah. Perlu kita sedar bahawa setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Maka sebab itulah kita perlu bersihkan jiwa kita dengan bertubat, bermunajat atau beribadah kepada Allah supaya setiap dosa diampunkannya.

Jangan kita susah hati tentang taubat kita diterima atau tidak diterima Allah. Tugas kita sebagai hamba Allah perlu bertaubat dari segala kesilapan yang lepas dan melaksanakan segala suruhannya dan mengelakkan diri dari membuat dosa. Soal terima atau tidak itu kerja dan urusan Allah. Cuma kita perlu ingat Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah sangat adil kepada seluruh makhluknya. Orang yang patuh dan tidak patuh kepadanya tetap diberikan rezeki dan segala kenikmatan. Malah balasannya juga adil, orang yang tidak bertaubat akan diazab olehnya dengan azab yang setimpal dan orang yang bertaubat serta berbuat baik akan dibalas dengan balasan yang baik seperti syurga. Firman Allah SWT :

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqan : 70)

Jadi tidak ada pertikaian dan masalah lagi tentang taubat, bahkan tindakan itu adalah satu keputusan yang sangat bernas kerana ia masih belum terlambat. Apabila kita berhadapan dengan sakaratulmaut atau pintu taubat sudah ditutup Allah, maka ketika itu segala taubat dan penyesalan kita tidak diterima Allah lagi, sudah pasti waktu itu kebinasaan telah diundang oleh kita.

Masalah sumber yang was-was atau syubhah. Perlu kita ingat itu perbuatan yang lepas semasa jahil dahulu. Tidak mungkin benda yang lepas boleh berpatah balik, anggaplah peristiwa yang lepas itu sebagai suatu kesilapan dan pengajaran untuk kita. Masa akan datang kita perbetulkan semula agar tidak terjebak lagi dengan perbuatan sumbang tersebut.

Tidak perlulah kita sedekahkan semua wang dan harta kita kepada baitulmal, habis bagaimana pula dengan tanggungjawab kita kepada diri, isteri, anak dan ibu bapa. Mereka semua adalah tanggungjawab kita untuk diberikan nafkah. Kalau semua harta kita serahkan ke baitulmal bagaimana pula dengan kewajipan yang lain. Tindakan yang paling cantik ialah keluarkan zakat atau sedekahkan sebahagian harta kepada golongan asnaf atau orang yang memerlukan. Inilah cara untuk membersihkan harta kita dari kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Sabda Rasulullah SAW :

”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.” (Riwayat Bukhari)

Inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk memperbetulkan keadaan yang salah, bukan senang kita hendak mencuci harta dan wang ringgit kita, sebab ia telah bercampur aduk dari segala sumber yang ada. Dengan cara berinfak dan berzakatlah yang mampu membersihkan harta kita dari segala sumber yang was-was atau syubhah.

Sijil yang diperolehi boleh digunakan kerana sijil atau ilmu itu tidak salah, yang salah itu adalah perbuatan kita. Jadi gunalah sijil dan ilmu yang dimiliki itu untuk pembangunan ummah, kerana itulah salah satu pelaburan pahala secara berterusan walaupun kita sudah kembali ke rahmatullah. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim)

Masalah ibadah yang tidak khusyuk pula. Sebagai saranan daripada saya, seeloknya luangkan masa untuk menuntut ilmu agama. Ibadah tidak akan sempurna sekiranya kita tidak mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Sebab itulah menuntut ilmu agama ini adalah sangat dituntut dan ia merupakan fardhu ain. Boleh jadi sebab kekurangan ilmu agama ibadah kita menjadi terganggu dan was-was.

Mungkin juga kekotoran hati yang diperolehi dari perkara maksiat yang telah dilakukan oleh kita dapat menghalang dari kekhusyukkan ibadah. Cara membersihkannya boleh juga dengan menghadiri mana-mana majlis ilmu yang dibuat oleh para alim ulamak. Orang yang menghadiri majlis ilmu dapat menghidupkan hatinya dan ia dapat menanggalkan kekotoran atau titik-titik hitam di dalam hatinya. Kita akan lebih selesa untuk beribadah dan mudah melakukan pekerjaan yang makruf serta disukai oleh Allah.

Penutup

Tidak cukup hanya bertaubat sahaja tetapi tidak disertai dengan ilmu, kerana dengan ilmu juga dapat membenarkan seluruh tindakan yang dibuat serta menjadi penghalang kepada kita apabila ada terlintas di dalam fikiran kita untuk melakukan kejahatan dan dosa. Malah dengan ilmu juga ia dapat menyempurnakan amalan kita dari perasaan ragu-ragu dan tidak mudah diperdaya oleh syaitan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

New Comment

Followers